View Categories

(3) Surah Al-Isra’: Ayat 4-8

17 min read

Table of Contents

Live Kuliah Pagi Selasa 09/06/2026 -23 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (03) Ayat [04-08]

Full video: https://youtu.be/AeHj6zWQlxQ?si=LkJgqyWg6GKMPpJh

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 04 sehingga ayat 08 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan ketetapan Allah bahawa Bani Israil dua kali dibinasakan, sekali ditawan oleh Bukhtannasar dan kali kedua dikalahkan lagi oleh puak Rom.
  3. Kemudian Allah beri galakan agar mereka buat baik, jika mereka buat baik kebaikan itu akan kembali kepada mereka sendiri dan Allah akan jaga dan beri kebaikan kepada mereka!

Tetapi jika mereka kembali buat jahat pastilah Allah akan hantar balik juga bala ke atas kamu.

Bala akan berulang dengan sebab keras kepala, degil tak dengar kata bani Israil!
Yakni Allah beri amaran jika ulang kejahatan bala akan berulang.

  1. Maka yang terakhir bala terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w di mana beberapa golongan yahudi seperti bani Qainuqa’, bani an-Nadhir telah di usir keluar dari Tanah Arab akibat dari kejahatan & khianat mereka!

Bani Quraizah pula telah dijatuhkan hukuman bunuh dan lebih kurang 600 orang puaknya dipancung di Madinah!

  1. Inilah hasil kejahatan mereka yang konon nak berdamai dan berkawan tetapi khianat, tikam dari belakang!

Orang sebegini ada waktunya mesti diambil tindakan yang keras sebagai pengajaran!

Di dunia sudah dibinaskaan & di Akhirat kelak pastilah neraka Jahannam tempat kembali mereka!

*Kita minta perlindungan dari kemurkaan Allah yang menimpa mereka yang jahat & fasiq ini!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa telah diberi kepada Nabi Musa a.s kitab Taurat yang menjadi petunjuk bagi bani Israil, maka ada yang dengar kata & ada yang ingkar tak dengar kata!

ii- maka datang ayat ini Allah beri amaran dan peringatan bahawa siapa yang ingkar tak dengar kata Allah akan binasakan mereka!

Kebinasaan ini telah pun terjadi sebanyak dua kali!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَقَضَيْنَا إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا ‎﴿٤﴾

Ayat 4- {Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.} (Al-Israa’ 17:4)

  1. Ayat ini merupakan ayat yang menyatakan sejarah kebinasaan bani Israil yang tak dengar kata keras kepala.

Mereka telah melakukan kerosakan atas muka bumi ini jadi Allah hantar musuh yang ganas dari luar untuk mengalahkan dan menawan mereka.

  1. Ini kerana mereka telah melakukan dua kali kesalahan:

i- pertama mereka telah mengubah isi kandungan dan hukum yang ada dalam Taurat- ikut nafsu & kehendak mereka.

Kemudian mereka telah membunuh beberapa orang nabi seperti nabi Sa’ya, menahan Irmiya dan lain-lain nabi dari kalangan bani Israil!
Ini kali pertama lalu Allah menghantar Bukhtanasar raja dari Babylon untuk menyerang & membunuh mereka!

  • Bukhtanasar atau Nebuchadnezzar II of Babylon- (630-562 SM).

ii- kejahatan keduanya mereka telah membunuh Nabi Zakaria dan Yahya a.s dan cubaan membunuh Nabi Isa a.s pula!

Lalu sekali lagi mereka dibinasakan dengan dihantar pula tentera Rom datang menyerang dan mengalahkan mereka!

  1. Nota[605] Yakni telah termaktub di dalam Kitab Taurat bahawa kaum Yahudi akan menderhaka dua kali di bumi Palestin dengan melakukan maksiat dan keganasan yang membunuh Nabi-nabi mereka sendiri, dan mereka pula akan berlaku sombong angkuh menentang perintah-perintah Allah serta berlaku zalim kepada umat manusia dengan cara yang kejam dan melampau-lampau.
  2. Allah kata Dia telah tetapkan dalam taqdir Allah di Lauh Mahfuz (atau dalam Kitab Taurat sebagaimana pandangan ulama’ lain) bahawa puak bani Israil akan melakukan kerosakan atas muka bumi ini sebanyak dua kali iaitu dengan mengubah kitab Taurat, membunuh para nabi- kerana itu kaum Bani Israil.
    Mereka dipanggil juga “Pembunuh nabi-nabi”.
    قتلة الأنبياء
  3. Tentang maksudnya Kitab {ٱلْكِتَـٰب} dalam ayat ini ada dua pandangan
    ulama’:
    i- kitab Taurat
    ii- kitab taqdir yang telah Allah tetapkan di Lauh Mahfuz.
  4. Kejahatan atas muka bumi {ٱلْأَرْضِ}- iaitu di Palestin tetapi ada juga ulama’ yang kata di Mesir- yang penting tapaknya di Baitul-Maqdis, berlaku di Syam kemudian merebak ke sekitarnya!
  5. Kejahatan mereka ialah kerana mereka sombong takabbur, keras kepala degil asyik nak melawan dan membunuh nabi-nabi mereka!

فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولَاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَّنَا أُولِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا خِلَالَ الدِّيَارِ ۚ وَكَانَ وَعْدًا مَّفْعُولًا ‎﴿٥﴾‏

Ayat 5- {Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.} (Al-Israa’ 17:5)

  1. Dalam ayat ini Allah ceritakan tentang balasan atau episod pertama ke atas bani Israil akibat kejahatan mereka.
    Kita lihat nota di bawah ini.
  2. Nota [606] Pada kali yang pertama itu kaum Yahudi di Palestin disebabkan kezaliman dan pencerobohannya telah diserang oleh raja Babylon dan tenteranya yang ganas lalu membunuh mereka, membinasakan rumah ibadat mereka, membakar Kitab Taurat, dan menawan tujuh puluh ribu dari kaum Yahudi serta membawanya ke negeri Babylon.
  3. Mengikut kitab Sejarah Baitul-Maqdis telah rosak selama 2 kali:

i- apabila ditawan oleh Bukhtannasar (Babylon) dan Palestin terbiar dalam kerosakan selama 70 tahun.

*Dikatakan berlaku pada tahun 606 sebelum masihi atau sebelum kelahiran Nabi Isa a.s.

ii- penawanan dan serangan kali kedua oleh pihak Rom selepas Nabi Isa diangkat ke langit akibat cubaan bunuh mereka.

Sekali lagi selama 70 tahun Palestin terbengkalai.

Serangan kedua inilah yang menyebabkan yahudi akhirnya berpecah & terhalau keluar dari Palestin dan tersebar melata ke seluruh pelusuk dunia tanpa negeri & negara.

*Ini pula dikatakan pada tahun 598.

  1. Kata Ibnu Asyur : Ayat ini menunjukkan akan peristiwa besar yang berlaku antara bani Israil dan dua musuh mereka dari umat yang besar iaitu Babylon & kali kedua oleh Rom.

*Maka kita ambil iktibar pengajaran bahawa bahayanya derhaka kepada Allah!

  1. Kata Ibnu Kathir  selepas dia menceritakan tentang penawanan dan serangan ini; iaitu tentang perang itu perang ini, raja itu raja ini, katanya:

Banyak cerita yang ditokok-tambah tak dapat dipastikan kesahihannya kerana ia adalah cerita dari yahudi.

Maka kita tak perlu korek cari apa yang tidak disebut Allah s.w.t- kita baca sajalah apa yang Allah ceritakan dalam al-Quran!

  1. Kata ar-Razi: Tiada faedah kita kaji dan cari tentang fakta peperangan mereka kerana tiada faedah kepada kita!

Yang penting kita kena tahu dan ambil iktibar ialah punca kebinasaan mereka ialah dengan sebab derhaka kepada Allah & maksiat yang mereka lakukan!

  1. Kemudian selepas kebinasaan mereka & kehancuran bani Israil ini Allah menegaskan bahawa janji Aku adalah satu janji yang tetap berlaku.
    Apa yang Allah janjikan pasti akan berlaku!
  2. Maka kita hari ini pun jika ulang cerita yang sama, jika umat Islam saling bercakaran siang malam tidak bersatu, orang bukan Islam pula merancang strategi untuk menawan; maka tunggulah saat natijahnya- apa yang akan terjadi ke atas kita umat Islam di dalam negara kita sendiri!!

ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَاكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا ‎﴿٦﴾‏

Ayat 6- {Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.} (Al-Israa’ 17:6)

  1. Selepas 70 tahun binasa Baitul-Maqdis lalu mereka menyesal & bertaubat: lalu Allah kembalikan kepada mereka kekuasaan yang hilang dulu!
    Mereka boleh ambil balik negeri mereka dulu.
  2. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat sebelum ini Allah s.w.t. nyatakan bahawa Dia berkuasa untuk menghina puak kafir itu.

Allah telah tetapkan dalam kitab bahawa mereka akan melakukan dua kezaliman dan kerosakan besar.

Akibatnya Allah mendatangkan musuh orang-orang yang kuat untuk menghancurkan dan menguasai mereka sebagai hukuman dua kali juga.

ii- maka datang ayat ini Allah s.w.t. berfirman jika mereka insaf, bertaubat & berbuat baik dengan meninggalkan maksiat & penderhakaan; bahawa Dia akan memberikan rahmat-Nya untuk mengembalikan semula kekuasaan kepada mereka setelah mereka bertaubat.

  1. Yakni selepas kena lanyak kali pertama itu, apabila mereka bertaubat dan insaf, meninggalkan dosa dan maksiat, kembali kepada ajaran Taurat yang Allah turunkan; lalu Allah S.W.T kembalikan kepada mereka negeri mereka, bangkit kembali dengan harta dan anak pinak yang ramai balik di Palestin yang subur dengan rezeki, serta tentera yang kuat dan ramai.
  2. Tetapi sudah sakit & penatlah kerana negeri mereka telah dibinasakan dengan begitu dahsyat sebelum itu, negara hancur musnah terbiar berpuluh tahun, betapa ramai anak pinak kaum keluarga diganyang dan dibunuh, ada yang ditawan dibawa balik oleh Bukhtanasar ke Babylon menjadi hamba abdi di sana!

Yakni kebinasaan, kemusnahan, kerugian & kehinaan yang amat dahsyat telah menimpa mereka!

  1. Maka kita ambil pengajaran jangan sampai kita kerugian dan ditimpa kebinasaan dulu baru nak sedar diri, bertaubat, insaf kembali kepada Allah!

Sebelum kepentingan umat Islam satu demi satu terhakis kita kena bangkit, usahakan sekat sebelum parah!

Jangan sudah terantuk baru terngadah, menyesal tiada guna lagi.

Jika sudah hilang, nak tarik balik, nak cari semula bukan mudah!

  1. Apa sudah jadi kepada bani Israil.
    Allah kata jika kamu taat & insaf- Allah kembalikan negeri mereka & beri kepada mereka dengan banyaknya {وَأَمْدَدْنَـٰكُم} dari segi harta kekayaan dan anak pinak, serta Allah jadikan mereka kaum yang lebih ramai pasukannya!

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا ‎﴿٧﴾‏

Ayat 7- {Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.} (Al-Israa’ 17:7)

  1. Munasabah ayat:
    i- yakni apabila bani Israil derhaka Allah akan timpakan bala ke atas mereka.

Tetapi apabila mereka bertaubat Allah akan kembalikan kebaikan & kekuasaan kepada mereka!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan jika kamu taat kepada Allah & buat kebaikan- maka kebaikan itu akan balik kepada kamu sendiri.

  1. Allah kata yakni jika kamu mahu menikmati kebaikan ini sepanjang masa; kamu taat & buatlah kebaikan.

Jika kamu taat kepada Allah wahai bani Israil-kebaikan itu balik kepada kamu sendiri, kamu akan dapat manfaat darinya!
{إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ}
Nescaya Allah beri kepada kamu rezeki & kekuatan untuk lawan musuh dan jika mati dalam iman & taat- syurgalah balasannya.

*Jangan main-mainlah ini janji Allah yang besar kepada kita!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.} (Al-A’raaf 7:96)

*Yakni jika kamu taat Allah akn beri rezeki & kebaikan kepada kamu!

  1. Tetapi dalam masa sama Allah beri amaran & peringatan jika kamu buat kejahatan & keburukan, derhaka kepada Allah; maka kesannya yang buruk berbalik kepada diri kamu juga.

Ingatlah kejahatan yang kamu buat akan naik ke atas kepala kamu sendiri!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.} (Yunus 10:23)
  2. Maka Allah nyatakan lagi apabila kamu derhaka buat kali kedua Allah akan hantar musuh untuk binasakan negeri kamu- bukan setakat negeri tetapi masjid kamu yang mulia itu (masjid Iliya) juga akan dihancurkan dan dirosakkan, penduduknya pula akan dihina oleh Allah.

Mereka akan dibunuh di mana saja dan harta mereka dirosakkan sehancur-hancurnya!

  1. Nota [607]- Kaum Yahudi di Palestin, pada kali yang kedua, telah diserang oleh musuh, lalu membunuh dan menghancurkan segala-galanya termasuk rumah ibadat mereka.

Menurut catitan sejarah, yang menyerang mereka ialah orang-orang Rom yang telah menguasai Palestin pada masa itu.

  1. Ambillah peringatan kita dari sejarah ini betapa semua azab berpunca dari kesombongan, buat derhaka & maksiat kepada Allah!

عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يَرْحَمَكُمْ ۚ وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا ۘ وَجَعَلْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَافِرِينَ حَصِيرًا ‎﴿٨﴾‏

Ayat 8- {Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).} (Al-Israa’ 17:8)

  1. Nota [608]- Sebahagian dari kaum Yahudi yang sentiasa menderhaka kepada Allah itu kemudiannya telah berpindah dan tinggal menetap di Madinah, dan dalam zaman Islam, mereka telah menentang Nabi Muhammad s.a.w dan merancang hendak membunuhnya serta mengkhianati umat Islam.

Akibatnya sebahagian dari mereka telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh Baginda dan sebahagian telah diusir dari Madinah, dan sebahagian lagi telah dikenakan “jizyah”.

Ayat-ayat ini membayangkan bahawa selagi kaum Yahudi menderhaka kepada Allah dan menceroboh serta berlaku zalim kepada umat manusia, maka selama itulah pula Allah Ta’ala menggerakkan umat-umat yang lain untuk menyerang, memburu, dan menghancurkan mereka.

Inilah yang telah berlaku di sepanjang sejarah kaum Yahudi zaman berzaman.

  1. Allah masih lagi memberi peluang kepada bani Israil untuk bertaubat.
    Tetapi Allah juga telah memberi amaran dan peringatan: {وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا} jika kamu kembali buat kejahatan- bala azab Allah juga akan kembali menimpa ke atas kamu.
  2. Tiga golongan utama yahudi di Madinah yang telah dihalau, ditawan dan dibunuh iaitu bani an-Nadhir, Qainuqa’ & Quraizhah seperti yang disebut di atas tadi.

Untuk membaca lebih lanjut kisah & sejarah yahudi di Madinah, ketua penjahatnya, antara mereka yang beriman (sangat sedikit) dan lain-lain kisah tentang yahudi boleh baca buku ini:

Madinah Munawwarah Kelebihan & Sejarah.
https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…

  1. Apa yang Allah ceritakan dalam ayat ini adalah apa yang telah berlaku kepada yahudi sepanjang sejarah & sebagai bukti mukjizat Nabi s.a.w. yang nyata dalam al-Quran!

Yang jelas Allah kata jika kamu kembali buat jahat- kejahatan juga akan menimpa kamu!

Jauh jaraknya bermula dari zaman Bukhtanasar, zaman Rom sehinggalah zaman Nabi s.a.w di Madinah- di mana mereka dihina, ada yang dibunuh & dihalau keluar dari Madinah & Semenanjung Tanah Arab.

  1. Apa rahsia semua yahudi berkumpul di Palestin hari ini?
    Untuk memudahkan misi orang Islam nanti- ini kerana di akhir zaman nanti orang Islam akan berperang berlawan dengan yahudi yang berkumpul di situ & Islam akan menang.
    Ketika itu pokok & batu pun akan bercakap memberitahu yahudi yang bersembunyi untuk dibunuh!
  2. Ini sebagaimana hadis daripada riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ‏ إِلاَّ الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehingga kaum Muslimin memerangi orang-orang Yahudi. Maka kaum Muslimin membunuh mereka sehingga seorang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon, lalu berkata batu atau pohon itu: ‘Wahai Muslim, wahai hamba Allah, Yahudi ada di belakangku. Datanglah dan bunuhlah dia.’ Kecuali pohon Gharqad, kerana ia daripada pohon orang Yahudi.” [HR Muslim (2922)].

*Jika pokok pun boleh menjadi tali barut yahudi apatah lagi manusia!

  1. Kemudian Allah tutup ayat ini dengan mengatakan bahawa Dia akan menjadikan neraka Jahannam sebagai tempat kembali puak kafir!

Penutup & Faedah:

  1. Ayat 4- {Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu:…}-
    Allah kata Dia telah menetapkan dalam Kitab Taurat & telah tertulis dalam kitab taqdir di Lauh Mahfuz akan keadaan dan nasib yahudi bani Israil.

Allah telah menceritakan bahawa yahudi itu telah dua kali binasa akibat perbuatan jahat mereka sendiri!

Kebinasaan itu pertama di tangan Kerajaan Babylon dan kebinasaan kedua di bawah kerajaan Rom.

Itu adalah akibat perbuatan jahat mereka yang membunuh & menyakiti para nabi yang diutuskan di kalangan mereka, membunuh nabi-nabi seperti nabi Yahya hatta Nabi Isa a.s pun mereka nak bunuh.

Di mana akhirnya Allah angkat ke langit untuk menyelamatkannya daripada kejahatan mereka & Nabi Isa akan turun dekat dengan Kiamat nanti!

Ini adalah sejarah- tetapi sejarah itu akan berulang kembali!

Yakni apabila berlaku penderhakaan pada Allah akan datang bencana sebagai balasannya. Apabila mereka mengulangi kejahatan itu bala ke atas mereka juga akan berulang!

  1. Ayat 5- {Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.}-

Apabila mereka derhaka Allah hantar hamba-Nya dari kalangan manusia.

Yakni bukan hamba dari kalangan muslim. Tetapi hamba yang ganas dan jahat juga untuk mereka menjelajah di segala ceruk rantau membunuh dan membinasakan kaum yahudi ini!

Allah juga nyatakan peristiwa itu adalah satu janji yang tetap akan berlaku.
Segala yang berlaku baik atau buruk, elok atau tidak; semuanya adalah ketetapan Allah Azza wa Jalla.

Semua bala kemusnahan ini akibat dari perbuatan buruk & derhaka manusia kepada Allah!
Inilah yang kita takuti!
Jika derhaka pada Allah, ketetapan Allah datang dengan balasannya.

  1. Ayat 5- {… mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu…}- ayat ini menjadi dalil bahawa kubur-kubur para nabi & wali, orang soleh yang ada dalam sesuatu tempat atau negeri itu tidak akan dapat menyelamatkan penduduknya!

Ini kerana sudah termaklum dalam sejarah; di Palestin atau Baitul-Maqdis dan sekitarnya banyak terdapat kubur para nabi & orang soleh berbanding dengan tempat & negeri lain!

Apabila penduduknya buat perkara yang pelik & buruk, ingkar dan derhaka terhadap Allah; maka Allah hantar bala dari negara luar- bukan setakat bala biasa bahkan menghancurkan Baitul-Maqdis yang terdapat banyak kubur para nabi itu!

Maka kata ulama’: Jika kubur para nabi yang sahih Allah lantik itu pun hancur tidak dapat menolong kita apatah lagi kubur-kubur manusia biasa yang dilantik oleh manusia lain sebagai wali atau keramat kemudian dipuja oleh pengikut yang taksub!

Kita janganlah dok bermain kubur, kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t, kita ajar kepada masyarakat jangan meminta dengan orang yang sudah tiada sudah mati, kita minta dengan orang yang masih ada, kita minta dengan Allah s.w.t yang Maha Berkuasa sepenuhnya, yang Hidup & tidak mati selama-lamanya!

  1. Ayat 7- {Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.}- Allah beri amaran kepada bani Israil atau yahudi- jika kamu buat baik maka ia kembali kepada kamu, jika kamu buat jahat ia juga kembali kepada kamu kecelakaannya.

Tetapi kita jangan fikir amaran ini untuk bani Israil saja- amaran Allah ini juga untuk kita orang beriman- kika kita berbuat kebaikan, maka faedah kebaikan yang kita lakukan adalah untuk diri kita sendiri; dan jika kita buat berbuat kejahatan, maka kesannya yang buruk berbalik kepada diri kita juga.

*Contoh sebagaimana sejarah dalam Perang Uhud- akibat dari sekumpulan sahabat yang tidak dengar perintah Nabi s.a.w tentera pemanah yang meninggalkan tapak yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w- yang menynebabkan tentera musuh dapat menguasai medan peperangan, maka tentera Islam berpecah dan huru-hara.

Ramai para sahabat yang mati syahid dan Nabi s.a.w sendiri luka-luka berdarah wajahnya!
Itulah akibat tidak mendengar perintah Nabi s.a.w.

Apatah lagi kita hari ini yang asyik berkelahi pagi petang siang malam!

Tak sempat baca al-Quran kerana asyik baca FB.
Saling tuduh menuduh, label melabel- apa nak buat?

Apa yang nak kita harapkan?
Tunggulah orang lain yang berkuasa dan kita pula berputih mata!

Kita minta perlindungan dengan Allah dari sebarang perkara yang tidak baik!

  1. Ayat 7- {Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.}-
    Allah kata peristiwa ini akan berulang!

Apa yang berlaku akan berulang- kamu balik buat maksiat kepada Allah- Allah akan balik hantar bala kepada kamu!

Maka kata ulama’: Ayat ini adalah amaran terhadap umat ini jangan sesekali buat maksiat, jangan sesekali derhaka terhadap Allah, jangan berbalah sesama sendiri!

Kamu lihat apa yang berlaku ke atas bani Israil- ia akan berlaku juga ke atas kamu jika itu sikap kamu.

Sebagai contoh dibawa sejarah umat Islam yang telah jatuh.

Sebagaimana apabila puak Tartar masuk menyerang Kota Baghdad hancur kota itu sehingga sungai-sungai menjadi hitam airnya akibat kitab-kitab yang menjadi lambang kemajuan & ketamadunan empayar Islam dibakar & dicampakkan ke dalam sungai.

Kata para ulama’: Hulago ketua tentera Tartar apabila dia masuk Baghdad telah membunuh begitu ramai umat Islam- pembunuhan yang amat besar dikatakan 1,000,000 orang telah dibunuh.

Begitu juga apabila dia masuk menawan Aleppo di Syam ramai telah dibunuh dengan kejam!

Kata setengah ulama’: Perbuatan pembunuhan Hulago Tartar ini atas orang Islam adalah sama seperti pembunuhan yang dilakukan oleh Bukhtanasar ke atas bani Israil di Baitul-Maqdis.

Kuasa Tartar boleh masuk ke dalam negara Islam adalah disebabkan berleluasanya nifaq, perkara tidak baik dalam agama, mungkar, maksiat & bid’ah.

Puak yahudi bani Israil dulupun apabila mereka derhaka buat maksiat- Bukhtanasar masuk memunsnahkan negeri mereka!

Yang di maksudkan di sini ialah: Tartar dengan umat Islam seumpama Bukhtanasar dengan bani Israil. Wallahu a’lam!

Ingatlah jika kita sesama umat Islam tidak bersatu asyik nak berbalah, buat fake akaun untuk tuduh-menuduh, label-melabel maka tungulah saat kehancuran akibatnya umat Islam akan berputih mata orang lain akan berkuasa.

Ayat-ayat al-Quran semuanya menjadi pedoman & pengajaran; kita belajar al-Quran untuk mengambil iktibar dan pengertian.

Mudah-mudahan kita dapat berfikir berasama untuk kemaslahatan umat & negara!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 09/06/2026 -23 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=973705458813308&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top