Sembahan Kafir Tak Ada Power, Dua Bandingan Batilnya Syirik & Semua Di Bawah Ilmu Allah S.W.T.

Live Pagi Khamis 14/05/2026 / 26 ZulQa’dah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (21) Ayat [73-77]
Full video: https://youtu.be/fwj87F3yeO8?si=f00PUNkn3Qhahqib
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah an-Nahli dengan ayat 73 sehingga ayat 77 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa sembahan kafir tak ada kuasa, tidak boleh memberi manfaat dan mudharat.
Tetapi apabila manusia sudah dikuasai syaitan- tungul kayu pun disangka ada kuasa. - Allah bawa dua bandingan analogi yang menunjukkan betapa batilnya syirik & kufur itu serta tiada faedah kebaikan kepada puak kafir bahkan mengundang bala di Akhirat kelak!
- Kemudian Allah tegaskan bahawa semua perkara di bawah ilmu Allah s.w.t. samada perkara ghaib atau yang tak nampak.
Kiamat akan tiba & semua orang kena bersedia menghadapinya terutama Kiamat individu iaitu kematian!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t bertanya kenapa kamu beriman dengan berhala, dewa-dewa dan sepertinya selain dari Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa!
ii- maka datang ayat ini meneruskan hentaman, kondem kepada puak kafir menyatakan lemahnya dan betapa tidak ada kuasa lansung sembahan puak kafir yang selain dari Allah itu- berhala dan segala sekutunya.
Mereka tidak ada kemampuan apa untuk memberi kamu sesuatu apapun samada manfaat atau darurat!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَهُمْ رِزْقًا مِّنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ شَيْئًا وَلَا يَسْتَطِيعُونَ ﴿٣٧﴾
Ayat 73- {Dan mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberikan mereka sebarang rezeki pemberian dari langit dan bumi, dan mereka pula tidak berdaya sama sekali mendapat kuasa itu.} (Al-Nahl 16:73)
- Allah tegaskan di sini puak kafir yang menyembah selain dari Allah seperti berhala dan segala yang seumpamanya, sembahan yang tidak memiliki apa kuasa & upaya!
Tiada kemampuan lansung untuk memberi rezeki, kebaikan atau keburukan sedikit pun!
Di sini Allah nafikan secara total kekuasaan berhala & segala sembahan itu.
- Maka jelas di sini Allah s.w.t ajar kepada kita agar jangan sesekali mempersekutukan Allah & menyamakan-Nya dengan sesuatu apa-pun!
فَلَا تَضْرِبُوا لِلَّهِ الْأَمْثَالَ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٤٧﴾
Ayat 74- {Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah, kerana sesungguhnya Allah mengetahui (setakat mana buruknya perbuatan syirik kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.} (Al-Nahl 16:74)
- Munasabah ayat:
i- setelah Allah menyatakan segala sembahan puak kafir itu tidak ada power, tidak ada kuasa;
ii- maka datang ayat ini menyatakan kesan dari tidak kuasa berhala itu- jangan sesekali kamu membandingkannya dengan Allah.
- Datang arahan Allah jangan sesekali kamu buat sekutu dari kalangan makhluk yang sebanding & yang setara dengan Allah- kerana tidak ada perbandingan dan perumpamaan sesuatupun dengan Allah!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini: (لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ)
{Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} (Asy-Syuura 42:11) - Ayat ini- (لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ)- menjadi satu tonggak besar apabila kita membincangkan tentang sifat Allah!
Apabila kita bincangkan apa saja sifat Allah terus kita letak ayat ini di depan.
Tidak ada sebarang perbandingan atau persamaan sifat Allah dengan sifat mana-mana makhluk.
Tidak ada yang setara dengan Allah satu apa-pun, lansung tidak ada!!!
- Firman Allah juga:
{“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.} (Al-Ikhlaas 112:4)
*Mantap & murni aqidah kita- tiada satupun yang setara dengan Allah!
- Kamu jangan buat bandingan semisal dengan Allah satu apapun kerana Allah Maha Mengetahui hakikat segalanya!
Tidak ada sekutu dan tidak ada seumpama, tidak ada benda dari amalan kamu yang tersembunyi dari ilmu Allah!
- Kamu puak kafir tidak tahu apa- maka kamu akan terjebak dalam kesyirikan terhadap Allah – maka kamu akan mengundang bala besar akibat dari perbuatan kamu itu yang buat benda yang kamu tidak tahu!
- Kata ulama’ tafsir Ibnul Jauzi terdapat 4 pendapat para ulama’ salaf tentang maksud {sesungguhnya Allah mengetahui- إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ}:
i- Allah mengetahui bagaimana Dia nak buat perbandingan!
Kamu tak tahu maka kamu terjebak dengan syirik.
ii- Allah tahu bahawa tidak ada sekutu bagi-Nya- kamu tak tahu lalu kamu menyembah selain dari Allah.
iii- Allah mengetahui bagaimana salahnya perbandingan yang kamu buat terhadap Allah Azza wa Jalla tetapi kamu tak tahunya!
iv- Allah mengetahui apa yang sudah berlaku, apa yang sedang berlaku & apa yang akan berlaku! Ilmu kamu amat sedikit dan lemah.
۞ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا عَبْدًا مَّمْلُوكًا لَّا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَيْءٍ وَمَن رَّزَقْنَاهُ مِنَّا رِزْقًا حَسَنًا فَهُوَ يُنفِقُ مِنْهُ سِرًّا وَجَهْرًا ۖ هَلْ يَسْتَوُونَ ۚ الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٥٧﴾
Ayat 75- {Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang lagi (yang merdeka) yang Kami kurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan) dari Kami, maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, sama ada secara bersembunyi atau terbuka, adakah kedua orang itu sama? Segala puji tertentu bagi Allah (dan Allah jualah yang berhak disembah), tetapi kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid itu).} (Al-Nahl 16:75)
- Untuk membatalkan sembahan puak kafir itu Allah buat satu analogi perbandingan yang jelas untuk difahami manusia!
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan bahawa Dia tahu semuanya antara ilmu Allah Dia tahu bagaimana nak buat misal perbandingan!
Puak kamu tak tahu apa dan membuat sembahan dan syirik.
ii- maka Allah bawa bandingan di sini satu analogi yang jelas supaya kita faham bahawa dua bandingan ini pun tak sama dah!
- Bandingan itu ialah:
i- seorang hamba yang tiada kuasa & kehendak lansung kerjanya hanya ikut arahan boss.
Tidak ada milik harta hatta nak buat apapun semuanya kena minta izin boss, harta pun tiada- hanya macam-macam robot!
*Ini adalah keadaan berhala & sembahan mereka itu yang tiada power tiada kuasa, macamana dia nak berkuasa.
ii- satu lagi dia sendiri seorang lelaki yang kaya lagi gagah perkasa- seorang boss apa saja yang dia nak buat boleh buat tiada siapa boleh halang boleh sekatnya!
Dia nak sedekah nak belanja semua boleh!
- Di akhir ayat Allah tanya apakah sama sifat dua orang lelaki itu???
Surah hamba yang dimliki dengan seorang merdeka yang bebas.
Demikian Allah nak suruh kamu faham bahawa Allah itu kuasa ditangan-Nya, rezeki dibawah kuasa-Nya, Dia boleh beri kepada siapa yang Dia mahu & halang dari siapa yang Dia nak, Dia boleh buat yang Dia nak.
Maka apakah sama Allah dengan makhluk yang kamu sembah itu?
- Pastilah tidak sama sama-sekali!
Jadi bagaimanakah manusia kamu boleh menyembah berhala & dewa-dewa & samakannya dengan Allah?
Jauh sekali perbezaannya!
[567] Demikianlah juga keadaan berhala yang mereka sembah itu; tidak dapat memberikan sebarang faedah kepada mereka, sebagaimana hamba abdi yang tidak dapat melakukan sesuatupun dengan bebasnya.
- Kata seorang ulama’ Ibnu al-Qayyum : Allah buat bandingan ini antara kemuliaan & keagungan Allah dengan berhala.
Allah yang Maha Berkuasa memiliki segalanya atas dunia ini- Dia boleh buat apa saja kepada hamba-Nya atas dunia ini- Dia boleh beri apa yang Dia mahu & boleh sekat apa saja yang Dia tidak kehendaki!
- Segala puji Allah- hanya Allah jualah yang berhak disembah yang sempurna & lengkap- tetapi kebanyakan mereka yang musyrik tidak mengetahui hakikat tauhid itu!
- Sekarang ini orang musyrik semakin ramai bahkan jika dibuat perbandingan lebih ramai orang musyrik daripada orang Islam atas dunia sekarang ini.
- Maka kita kena berhati-hati dan jaga agama kita, sudahlah bilangan kita tak ramai, dok berbalah berpecah pula!
Jika tidak ada kesedaran untuk jaga agama & tidak berpecah; maka sehari demi sehari kuasa yang ada di tangan orang Islam sekarang ini akan terhakis dan pergi kepada orang lain!
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا رَّجُلَيْنِ أَحَدُهُمَا أَبْكَمُ لَا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَيْءٍ وَهُوَ كَلٌّ عَلَىٰ مَوْلَاهُ أَيْنَمَا يُوَجِّههُّ لَا يَأْتِ بِخَيْرٍ ۖ هَلْ يَسْتَوِي هُوَ وَمَن يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ ۙ وَهُوَ عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ ﴿٦٧﴾
Ayat 76- {Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya; ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar)?} (Al-Nahl 16:76)
- Munasabah ayat:
i- Allah kata keadaan berhala yang mereka sembah itu tak dapat memberi faedah kepada mereka sebagaimana hamba abdi yang tidak dapat melakukan sesuatu apa dengan benar.
ii- maka datang ayat ini Allah buat bandingan antara seorang lelaki yang bisu pekak dengan seorang lelaki yang normal, celik mata & boleh bercakap.
- Allah buat satu lagi perbandingan yang simple boleh difahami otak manusia yang normal!
Allah buat bandingan antara Zat-Nya yang mulia, Pemilik alam ini yang Gagah perkasa dengan berhala sembahan puak kafir selain Allah itu.
- Iaitu bandingan seperti dua orang lelaki:
i- seorang lelaki yang buta, pekak & bisu.
Tidak boleh bercakap apa, lemah & menjadi bebanan kepada orang yang menjaganya, kena bawa pandu & tuntun!
Demikianlah berhala mereka itu nak pindah kena usung angkat, tiada kuasa apa nak bergerak sendiri pun tak boleh memang tiada kuasa apa- macamana kamu boleh kata ia Tuhan yang berkuasa!
Tiada kebaikan apa yang boleh diberi kepada penyembahnya.
ii- manakala seorang lelaki lain- samakah orang buta tuli dengan orang yang celik!
Orang yang menyuruh melakukan keadilan dan berada di atas landasan yang benar!
- Pastilah tidak sama- sama sekali! Hamba & orang merdeka tak boleh dibandingkan sama dah, ini pula orang buta & orang celik pastilah tak sama! Allah buat perbandingan yang mudah ini agar manusia faham dan nampak apa yang ada di depan mata mereka!
- Nota [568]- Demikianlah juga keadaan berhala yang mereka sembah, samalah seperti orang yang kelu pekak itu, yang hanya menjadi beban dan tidak berguna.
- Bandingan ini bukan nak menghina orang yang kurang upaya- tetapi Allah buat perbandingan agar orang kafir faham akan kelemahan & ketidak-upayaan berhala sembahan mereka itu seolah seperti orang buta & pekak.
*Kita akui hakikat betapa ramai orang buta yang menjadi huffaz al-Quran, ulama’-ulama’ masyhur yang alim lagi tinggi ilmunya!
Mereka buta mata tetapi tidak buta hatinya!
- Hikmah kecerdikan seorang buta:
Kisahnya ada seorang buta yang berjalan malam sambil membawa lampu.
Apabila ditegur perbuatannya yang seolah tidak memberi faedah kepadanya dia menjawab:
Aku membawa lampu ini supaya orang yang celik nampak & tahu aku ada, lalu tidak akan melanggar aku!
وَلِلَّهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَمَا أَمْرُ السَّاعَةِ إِلَّا كَلَمْحِ الْبَصَرِ أَوْ هُوَ أَقْرَبُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٧٧﴾
Ayat 77- {Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi; tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Nahl 16:77)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah bawa bandingan antara orang yang buta pekak dengan orang yang celik, melakukan keadilan & berada di atas jalan yang benar- yang pasti tidak sama keadaan keduanya.
ii- jadi datang ayat ini menyatakan Allah mempunyai ilmu dan mengetahui segala perkara yang zahir & batin, yang jelas atau tersembunyi!
- Allah s.w.t Yang Esa, yang berkuasa dan memiliki segala yang tidak nampak oleh hamba-Nya samada di langit & di bumi!
Allah s.w.t juga Maha Mengetahui dengan segala perkara yang ada!
- Di akhir ayat Allah menegaskan bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Samada yang zahir atau ghaib, yang nampak atau tidak semuanya sama bagi Allah!
- Maka kamu jangan berani-berani buat syirik & maksiat, tak ikhlas dalam perjuangan kerana Allah tahu segalanya!
Dengan manusia atas dunia ini boleh kamu nak berpura-pura di depan mereka!
Tetapi dengan Allah tidak sesekali kerana semuanya di bawah ilmu Allah!
- Urusan Kiamat itu Allah katakan hanya sekelip mata- boleh berlaku bila-bila masa- orang yang tadinya sihat-sihat tiba-tiba kemalangan kereta terus meninggal dunia- seperti sekelip mata atau lebih cepat lagi!
Semua perkara begitulah semuanya di bawah kuasa & kehendak Allah.
- Kerana itu buatlah persiapan untuk mati, sentiasa bersedia untuk meninggalkan dunia ini dan berpindah ke alam Akhirat!
Berusaha menyediakan bekalan dengan ibadatnya, taubatnya, istighfar dan seumpamanya.
Bukan hanya sekadar siap beli kain kafan & lubang kubur- itu bukan urusan kita yang telah mati!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.} (Al-Qamar 54:50) - Alhamdulillah sama-sama kita jadikan makanan rohani kita setiap pagi bersama dengan al-Quran.
Biarlah orang nak kata apa, nak tuduh apa-pun yang penting kita jangan terpesong dari jalan yang benar, berpandukan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.
Penutup & Faedah #
- Ayat 73- {Dan mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberikan mereka sebarang rezeki pemberian dari langit dan bumi,..}– ayat ini adalah teguran keras ke atas puak kafir!
Allah tegaskan wahai kafir kamu menyembah berhala sembahan itu yang lemah lagi tidak berkuasa:
i- tidak memiliki apa-apa {لَا يَمْلِكُ}
ii- dan tidak mampu untuk mencarinya {وَلَا يَسْتَطِيعُونَ} apa yang dia tidak ada itu.
Contoh: Orang miskin jika dia tidak memiliki harta dan wang tetapi dia masih mampu berusaha untuk mencari rezekinya sedemikian dengan berkerja jika mampu atau pergi mencari orang minta berhutang, pohon zakat, sedekah di mana-mana yang sesuai!
Kalau kambing atau haiwan lain pun boleh bergerak pergi cari daun atau rumput!
Tetapi berhala itu tidak memiliki apa dan tidak mampu untuk mencarinya!!!!
Satu penafian yang total dan penuh!!!!
- Ayat 74- {Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah,…}– kata ulama’ tadabbur- tidak halal & tidak boleh sama-sekali seseorang buat bandingan sesuatu apa-pun dengan Allah.
Kerana itu kata pengkaji aqidah:
Menggunakan perkataan:
i-Tidak ada yang sebanding dengan Allah s.w.t (لا مثيل له) dalam nama atau sifat-Nya lebih baik & lebih kuat daripada;
ii- menafikan tiada yang menyerupai-Nya atau seumpamanya (التشبيه).
Ini kerana:
i- Allah sendiri yang gunakan perkataan ini- (لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ).
ii- Allah kata kamu jangan buat perbandingan dengan Allah s.w.t!
iii- tasybih menyamakan Allah s.w.t itu satu sifat yang khas bagi Allah, namun ada golongan yang sukar nak fahamnya!
Seperti apabila kita mengisbatkan sifat Allah melihat- jangan pula kita kata Tuhan melihat dengan mata sama seperti manusia.
Maka mereka kata kita menyamakan Allah dengan makhluk (musyabbihat)- melihat dengan mata seperti manusia.
Maka adalah lebih baik untuk menolak syubhat ini lebih baik & elok kita menggunakan perkataan: Allah itu tiada yang sebanding dengan-Nya (لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ)- bukan Allah itu tiada yang menyerupai pada nama atau sifatnya.
Contohnya lagi jika kita Allah s.w.t itu mempunyai ilmu- maka ada juga manusia yang berilmu- tetapi itu ilmu makhluk bukan ilmu seperti Allah!
Kerana itulah lebih baik kita; Allah itu tiada yang sebanding dengan-Nya (لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ)
- Ayat 75- {… adakah kedua orang itu sama?}– Allah bertanya apakah kedua orang yang dibuat bandingan itu sama?
Apakah sama antara hamba & orang merdeka?
Apakah sama antara orang buta & orang celik?
Tetapi Allah guna dalam ayat ini perkataan apakah mereka kedua itu sama semua {هَلْ يَسْتَوُۥنَ}- – untuk jamak atau ramai, Sedangkan mereka hanya dua mithal, patutnya digunakan perkataan untuk dua atau muthanna (مثنى) iaitu {هَلْ يَسْتَويان}.
Jawapan ulama’:
Ini kerana bukan untuk menunjukkan hanya dua orang lelaki itu tidak sama- tetapi bagi jenis spesis- kumpulan orang begitu- iaitu antara kumpulan spesis hamba & spesis orang merdeka; apakah sama dua kumpulan ini???
Maka apabila tidak sama- alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memiliki seluruh alam ini yang di bawah kuasa, ilmu & keagungan Allah!
- Ayat 76- {Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya…}-
Allah buat perbandingan pula tentang seorang pekak & bisu- tak boleh lihat dan tak bercakap.
Sedangkan sifat ketuhanan kena ada sifat mendengar, melihat, boleh berkata-kata dan semuanya.
Ini kerana Allah Tuhan Maha mendengar, melihat, berkata-kata & Maha mengetahui.
Jika mereka semua tidak mempunyai sifat ini ia bukanlah Tuhan.
Jadi kenapa kamu lantik dan pilih sesuatu yang tidak ada ilmu tidak berkata-kata sebagai Tuhan?????
Amat peliklah perbuatan kamu itu bila memilih berhala yang tidak bernyawa, yang tiada semua sifat ketuhanan!
Allah buat perbandingan yang cukup mudah untuk kita faham dan hadam!
Apakah kamu lihat sama kumpulan yang buta pekak dengan kumpulan orang yang celik dan boleh bercakap????
Sama seperti ayat sebelum ini bandingan antara orang hamba dengan tokeynya!
Pastilah tidak sama atas kedua perbandingan itu!
- Ayat 77- {… tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi;}– Kiamat itu datang dengan tiba-tiba & mengejut.
Kerana itu Kiamat itu juga dinamakan sebagai (الساعة)- kerana ia datang tiba-tiba dengan mengejut dalam satu ketika saja.
Allah nak menyatakan kekuasaan & keagungan-Nya- betapa dalam satu saat saja Dia boleh membinasakan alam ini dan mematikan semua makhluk!
Kemudian apabila tiba masanya dengan tiupan sangkakala kedua mereka akan dibangkitkan semula semuanya.
Jelaslah perbandingan ini dibuat untuk menyatakan kelemahan makhluk yang tiada kuasa!
Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 14/05/2026 / 26 ZulQa’dah 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr [14 Siri] & An-Nahli (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=951641841019670&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
