View Categories

(6) Surah Al-Israa’: Ayat 16-21

15 min read

Live Kuliah Pagi Isnin 15/06/2026 – 29 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (06) Ayat [16-21]

Full video: https://www.youtube.com/watch?v=m1VrdBLL0w8

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Isra’ dengan ayat 16 sehingga ayat 21 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan sebab-sebab kebinasaan umat terdahulu adalah kerana kufur, ingkar, sombong & angkuh, maksiat & mungkar.

Umat sekarang inipun jika bersikap begini akan menerima nasib binasa juga!

  1. Allah juga nyatakan manusia ini ada 2 kategori;
    i- manusia yang cintakan dunia- yang mahukan nikmat dunia fana yang sementara ini Allah akan berikan kepada mereka dunia ini.

Kita lihat betapa ramai mereka yang bukan Islam yang mengusai dunia ini dengan kekayaan, kekuasaan & kezaliman mereka!

Tetapi di Akhirat mereka tidak akan dapat apa-apa- habis & kosong!

ii- yang cintakan akhirat- bersungguh untuk meraih kejayaan Akhirat- dia beriman, bertaqwa kepada Allah, berdakwah kepada kebaikan sungguh-sungguh mengejar Akhirat.

Maka Allah akan beri kepada mereka aman di dunia & selamat di Akhirat.

  1. Kemudian Allah nyatakan semua golongan ini tak kira beriman atau tidak, yang cintakan dunia atau Akhirat; semuanya akan dapat rezeki atas dunia ini.

Bahkan kadang-kadang yang cintakan dunia itu lebih banyak rezekinya & kaya-raya kerana mereka tiada batas halal-haram, baik atau buruk.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang golongan yang menyalahi peraturan Allah & peraturan Rasulullah s.a.w mereka akan diazab!

ii- maka datang ayat ini Allah menyatakan sebab kenapa mereka diazab, Allah juga nyatakan semua yang berlaku itu dengan taqdir & kuasa Allah!

Maka orang yang datang terkemudian ini jangan ulangi balik perbuatan buruk yang telah dilakukan oleh orang terdahulu!

  1. Nota [614] Setelah itu Allah Ta’ala menerangkan pula cara penduduk sesebuah negeri dibinasakan dengan sebab perbuatan derhaka mereka dan sesudah diutus kepada mereka: Rasul-rasul-Nya.

Sebabnya perintah Allah yang menyuruh taat itu ditujukan dalam ayat ini kepada golongan yang senang-lenang dan berkehidupan mewah meliputi ketua-ketua dan orang yang terkemuka, kerana merekalah yang menjadi ikutan kepada masyarakat dan besar pengaruhnya untuk merebakkan larang-larangan Allah dalam negerinya, yang berakhir dengan kebinasaan.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا۟ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا ٱلْقَوْلُ فَدَمَّرْنَٰهَا تَدْمِيرًا ‎﴿٦١﴾

Ayat 16- {Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.} (Al-Israa’ 17:16)

  1. Allah nyatakan apabila tiba tempohnya untuk membinasakan sesuatu negeri yang penduduknya dulu taat tetapi kerana cintakan dunia & hanyut dalam kemewahan dunia lalu menderhaka dan melakukan maksiat padanya menderhaka dan melakukan maksiat padanya- maka berhaklah sesuatu negeri itu dibinasakan dengan hancurnya.
  2. Tetapi sebelum itu Allah telah menghantar kepada mereka rasul untuk memberi bimbingan, berdakwah memberi petunjuk kepada mereka kepada jalan yang benar.

Rasul datang berunding, kkecek-kkira dulu dengan mereka- bukan kata terus dijatuhkan azab.
Tak dengar kata juga setelah nasihat baru binasa.

  1. Ulama’ mengatakan bahawa maksud {أَمَرْنَا} perintah Allah di sini:
    i- iaitu (amrun Syar’i- الأمر الشرعي) Allah telah menghantar rasul untuk memberi bimbingan nasihat, petunjuk kepada jalan yang benar kepada mereka!

ii- ada ulama’ kata ia bermaksud taqdir Allah (amrun kauni & Qadri- الأمر القدري) yakni kehendak Allah secara semulajadi yakni apabila mereka derhaka- Allah murka dan akan hantar bala.

  1. Yakni kita boleh kata keduanya iaitu awalnya ialah iaitu Allah hantar rasul kepada mereka; kemudian kerana mereka masih ingkar dan derhaka lalu Allah hantar bala-Nya maka berlakulah kehendak Allah itu!
  2. Azab untuk umat terdahulu adalah secara total (azab isti’sol- عذاب الاستئصال) manakala untuk umat nabi Muhammad s.a.w hanyalah azab secara terpilih (azab juz’i- عذاب جزئي) kerana umat ini adalah Rahmatan lil-Alamin.

وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنَ ٱلْقُرُونِ مِنۢ بَعْدِ نُوحٍ ۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرًا ‎﴿٧١﴾‏

Ayat 17- {Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.} (Al-Israa’ 17:17)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bagaimana kebinasaan sebuah negeri- Allah nyatakan sebab dan puncanya serta bagaimana Allah binasakannya & mereka semua musnah secara total.

ii- datang ayat ini Allah nyatakan bilakah bermula azab begitu- iaitu setelah kedatangan Nabi Nuh a.s. yang mana Allah datangkan taufan banjir besar membinasakan semua mereka yang tidak beriman dengan Allah & ajaran dakwah Nabi Nuh a.s. semuanya mati lemas tidak tinggal baka!

  1. Nota [615] Ayat ini mengandungi amaran keras kepada orang-orang kafir yang mendustakan Rasulullah s.a.w bahawa mereka akan dibinasakan sebagaimana golongan-golongan yang ingkar yang telah dibinasakan dengan banyaknya pada masa yang lalu.
  2. Iaitu ramai sudah umat-umat terdahulu yang Allah telah binasakan kerana mereka kufur & mendustakan rasul-rasul mereka- selepas rasul yang pertama iaitu Nabi Nuh a.s.
  3. Maka kamu kafir Quraisy bukanlan orang yang lebih hebat, lebih mulia atau istimewa daripada umat terdahulu yang telah binasa itu- maka jangan kamu tunjuk gedebey, angkuh & sombong!
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan (demikian juga) kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi contoh) bagi umat manusia; dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim; azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Furqaan 25:37)
  5. Cukuplah Allah s.w.t mengetahui semua { خَبِيرًۢا بَصِيرًۭا} dosa & perbuatan kamu- tiada perkara yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah samada yang zahir atau batin, yang tersembunyi atau terdedah.
  6. Kemudian Allah akan membalas semua perbuatan itu dengan adil & setimpalnya tiada siapa yang akan dizalimi!

مَّن كَانَ يُرِيدُ ٱلْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُۥ فِيهَا مَا نَشَآءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُۥ جَهَنَّمَ يَصْلَىٰهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا ‎﴿٨١﴾

Ayat 18- {Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.} (Al-Israa’ 17:18)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah menyatakan Dia maha mengetahui {خَبِيرًۢا بَصِيرًۭا} semua perbuatan perkataan dan amalan hamba-Nya.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan manusia ini ada yang tamak haloba, gila kejar habuan dunia tanpa puas- sehinggaah mereka mati ternganga tak cukup & tak puas hati lagi dengan apa yang mereka dapat atas dunia ini!

Kerana itu dikatakan ini ibarat bayang-bayang; makin dikejar makin ia lari & terlepas dari genggaman!

  1. Allah nyatakan siapa yang nak segera kaya ini Allah akan beri rezeki kepada semua jenis manusia ini samada yang beriman & taat atau yang kufur & derhaka!

Ambillah- atas dunia ini dia akan dapat apa yang dia mahu!

  1. Jika manusia beriman & taat dapat rezeki ini mereka akan syukur nikmat Allah dan mengeluarkan haq harta itud dengan zakat, infaq sedekah dan seumpamanya.

Mereka juga tidak sombong & buat perkara yang pelik-pelik!

  1. Manakala manusia yang sombong angkuh itu akan kufur tidak bersyukur akan nikmat Allah itu dan menggunakannya pada jalan keburukan yang tidak diredhai Allah!
  2. Kemudian di akhirat kelak, Allah sediakan baginya neraka Jahannam untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
  3. Nota [616] Yakni sesiapa dari golongan yang mengerjakan maksiat bertujuan untuk mendapat kesenangan hidup di dunia dengan apa yang dilakukannya, maka Allah akan memberi kesenangan itu menurut apa yang dikehendaki oleh Allah, bukan kepada semua orang-orang yang mahu mendapatnya.

Sebaliknya di akhirat pula disediakan baginya azab neraka.

Sebab itu, ada di antara orang-orang yang bersifat demikian: hampa di dunia dan hampa di akhirat.

  1. Maka kita orang yang beriman kita jangan mengulangi perbuatan buruk mereka itu kerana ada pedoman al-Quran & hadis Nabi s.a.w di hadapan kita untuk diikuti & diamalkan!

 وَمَنْ أَرَادَ ٱلْـَٔاخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لَٰٓئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا ‎﴿٩١﴾‏ 

Ayat 19- {Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.} (Al-Israa’ 17:19)

  1. Munasabah ayat jelas:
    i- dalam ayat sebelum ini Allah ceritakan tentang golongan mahukan dunia- pendamba dunia.

ii- manakala dalam ayat ini Allah nyatakan tentang golongan yang mengharapkan Akhiratnya pula!

  1. Dalam ayat Allah nyatakan inilah golongan yang mahu & ingatkan akan Akhirat, mereka ini:
    i- menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, mengharapkan Allah redah, mengampunkan dosa mereka! Buat amal ikhlas kepada Allah & ikut ajaran Nabi s.a.w.

ii- maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala oleh Allah s.w.t akan amal usahanya dengan pahala yang berganda-ganda.

*Ya Allah jadikan kami dari golongan yang mendapat rahmat-Mu ini!

  1. Nota [617] Yakni orang-orang yang beriman, yang mengutamakan akhirat dengan amalnya yang baik, maka mereka akan dibalas oleh Allah dengan sebaik-baik balasan.

Kesimpulannya, untuk mencapai sebaik-baik balasan di akhirat kelak, disyaratkan tiga perkara: niat yang ikhlas, amal yang baik, dan iman yang teguh.

  1. Kerana itu kata ulama’ salaf seperti al-Fudhail rhm: Syarat untuk Allah terima sesuatu amalan hamba ada dua iaitu:
    i- ikhlas kerana Allah;
    ii- bertepatan dengan ajaran Nabi s.a.w.

كُلًّا نُّمِدُّ هَٰٓؤُلَآءِ وَهَٰٓؤُلَآءِ مِنْ عَطَآءِ رَبِّكَ ۚ وَمَا كَانَ عَطَآءُ رَبِّكَ مَحْظُورًا ‎﴿٠٢﴾‏

Ayat 20- {Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).} (Al-Israa’ 17:20)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang dua kategori manusia atas dunia ini- ada yang nak dunia ada yang nak Akhirat.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan atas dunia ini Allah beri kepada semua hamba- rezeki-Nya walaupun mereka kafir & derhaka!!!

  1. Maka ini menunjukkan kesenangan & kemewahan serta rezeki yang banyak atas dan ini bukan kayu-ukur yang menunjukkan bahawa Allah redha & sayang kepada-Nya!

Bahkan ada manusia itu makin derhaka & sombong makin kaya & senang hidupnya atas dunia ini!
Itu semua istidraj dari Allah!

*Apatah lagi jika seseorang itu influencer yang menyebabkan orang ikutnya dalam buat perkara maksiat & tak baik!

  1. Nota [618] Yakni Allah Ta’ala sentiasa melimpahkan nikmat-Nya dan rezeki pemberian-Nya kepada sekalian hamba-Nya yang mukmin dan yang derhaka; tetapi keadaan mereka berlainan kesudahannya pada hari akhirat.

Yang mukmin: Syurgalah balasannya, dan yang derhaka pula nerakalah balasannya. Na’uzubillah.

  1. Sebagaimana firman Allah ini:
    {Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).} (Hud 11:6)

ٱنظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ وَلَلْـَٔاخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَٰتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا ‎﴿١٢﴾

Ayat 21- {Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya. } (Al-Israa’ 17:21)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa semua manusia itu akan dapat rezekinya tak kira walaupun mereka beriman atau kufur.

ii- tetapi datang ayat ini Allah menyatakan walaupun sama atas dunia- tetapi kamu akan berbeza di Akhirat kelak!!!

  1. Allah nyatakan atas dunia ini walaupun semua dapat rezeki tetapi rezeki antara setiap manusia itu tidak sama!

Ada yang Allah lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain dalam rezeki pemberian itu seperti harta, umur, penampilan, rupa paras, kesihatan, anak keluarga dan lain-lain.

  1. Nota [619] Allah Ta’ala memberi rezeki kepada sekalian hamba-Nya yang mukmin dan yang derhaka tetapi setengahnya dilebihkan atas setengahnya yang lain.

Misalnya ada orang mukmin yang senang dan ada pula yang sempit hidupnya; dan ada derhaka yang mewah serta ada yang miskin.

Semuanya itu ada sebabnya dan hikmatnya, dan telahpun diterangkan dalam ayat 165 surah Al-An’aam, iaitu: kerana Allah telah menguji hamba-hambanya pada segala yang dikurniakan kepada mereka, adakah mereka bersyukur, bersabar, atau mereka kufur.

Dan juga diterangkan sebabnya dalam ayat 32 surah “Az-Zukhruf”, iaitu supaya sebahagian manusia menggunakan sebahagian yang lain untuk keperluan hidup.

  1. Di mana pemberian Allah di akhirat kelak kepada hamba-Nya lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.
  2. Kemudian Allah nyatakan bahawa sebagaimana di dunia ini berbeza rezekinya, di Akhirat kelak rezeki & kedudukan semua manusia juga tidak sama.
    Dalam syurga ada tingkatan, dalam neraka juga ada tingkatannya!
  3. [620] Yakni perbezaan dan kelebihan di antara sesama manusia bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat lebih besar lagi. Ada yang menderita azab di lapisan neraka yang terkebawah sekali, dan ada yang bersenang lenang dengan berbagai-bagai nikmat di dalam Syurga dengan mendapat pangkat kedudukan yang setinggi-tingginya.

Bahkan di dalam Syurga pun berperingkat, demikian juga yang menderita azab di dalam neraka.

  1. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّة وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّة

“Sesungguhnya di Syurga itu ada seratus tingkatan yang telah Allah sediakan bagi mereka yang berjihad di jalan Allah. Jarak antara satu tingkatan dengan tingkatan lainnya itu bagaikan jarak antara langit dan bumi.

Apabila kalian berdoa memohon kepada Allah maka mintalah kepada-Nya Syurga Firdaus, kerana Syurga Firdaus adalah Syurga yang paling tengah dan paling atas (tinggi).
Di atasnya terdapat ‘Arsy Allah Zat Yang Maha Pengasih.

Dari Syurga Firdaus itulah seluruh mata air sungai-sungai Syurga mengalir” (HR Bukhari No: 2581)

  1. Sebagaimana syurga ada darjat, neraka juga ada darjat & tahap tingkatannya juga, sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
    {Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka.
    Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.} (An-Nisaa’ 4:145)

*Maklumat: Di dalam al-Quran jika darjat syurga disebut {درجات} manakala tingkat neraka disebut {دركات}.

Ya Allah jadikan kami semua dari ahli syurga-Mu!

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 16- {Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat),…}- iaitu sebelum membinasakan sesuatu negeri Allah akan tegur kepada mereka yang berpengaruh & berpangkat {مُتْرَفِي} di kalangan mereka dulu!

Yakni apabila puak pembesar & berpengaruh ini buat maksiat & mereka ingkar tak dengart nasihat & teguran; maka tunggulah bala & azab Allah turun ke atas negeri mereka!

Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah tidak akan membinasakan mana-mana negeri kecualil setelah mereka yang berkuasa & berpengaruh di kalangan mereka angkuh & sombong dengan melakukan perbuatan mungkar & maksiat!

Telah menjadi Sunnatullah (Ketetapan Allah) bahawa sebab kebinasaan sesuatu negeri & penduduknya adalah dengan sebab derhaka & maksiat!

Semakin jahat mereka semakin besar kebinasaan yang akan menimpa mereka.

Apabila umat Islam tak mahu bersatu hati & berpecah-belah; maka kamu tunggulah apa yang akan dibuat oleh puak kafir ke atas kamu!

  1. Ayat 17- {Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.}-

Allah kata cukuplah dosa itu menjad sebab kebinasaan kerana Allah Maha Mengetahui segala perbuatan kamu!

Kata ulama’ tadabbur: Dalam ayat ini Allah bawa tegahan yang amat keras kepada orang beriman agar jangan kamu buat maksiat- jika tidak buruklah akibatnya- kamu akan binasa juga!

Kenapa Allah sebab khas nama Nabi Nuh dalam ayat ini??
Jawapan:
Kerana Nabi Nuh a.s dikira sebagai rasul yang pertama selepas Nabi Adam a.s.
Serta kebinasaan manusia yang pertama berlaku pada zaman Nuh a.s. ia adalah permulaan kebinasaan umat terdahulu yang kita boleh ambil iktibar pengajaran darinya!

Pada zaman Nabi Adam a.s manusia semuanya beriman kepada Allah, Terdapat senggang masa antaranya dengan Nabi Nuh di mana manusia telah mula ada yang kufur dan tidak beriman kepada Allah lalu Allah musnahkan semua yang tidak beriman dalam Taufan Nabi Nuh.

Lalu pembangunan semula manusia adalah selepas kebinasaan kaum Nabi Nuh.

Di mana manusia yang beriman yang selamat bersama Nabi Nuh berkembang biak semula atas muka bumi ini!

Cukuplah Allah tahu segala apa yang kamu buat maka kamu janganlah berani buat maksiat kepada Allah!

  1. Ayat 18- {Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki;,,,}-

Allah kata sesiapa yang gila nak dunia, mereka yang kejar dunia Allah akan beri kepadanya!

Mereka ini yang kejar habuan dunia tanpa ada ada sekatan halal-haram, baik atau buruk, sah atau tidak.

Mereka ini juga bodoh kerana apabila dapat habuan dunia itu mereka terpedaya dengannya menyangka seolah mereka akan kekal hidup atas dunia dengan kekayaan & kedudukan tinggi mereka!

Ada orang yang kaya sombong lalu mereka lupa & lalai menyangka Allah suka & redha kepada mereka!

Tetapi kita orang beriman apabila Allah buka rezeki dunia yang banyak terbuka luas kepada kita- terus kita tarik hand-brake- ingat bahawa ini adalah ujian Allah ke atas kita!

Maka kita terus tambahkan ketaatan, jaga halal-haram, jaga penampilan jaga aurat, tunaikan hak harta dalam zakat & infaq, syukur kepada nikmat Allah jangan kufur!

Kata ulama’: Sepatutnya kita orang beriman menjadikan dunia ini hanya sebagai jambatan untuk ke Akhirat.

  1. Ayat 19- {Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman,…}-

Allah kata siapa nakkan Akhirat ada 3 syarat:
i- pertamanya dia beriman kepada Allah s.w.t.
ii- beribadat dengan niat yang ikhlas kepada Allah!
iii- bertepatan dan ikut ajaran Nabi s.a.w.

Ayat ini jelaslah kepada kita sesiapa yang nak Akhirat ada SOP syaratnya:

i- semua apa yang kita buat wajib kena ikhlas kerana Allah.

ii- kita kena usaha, kena buat, kena taat & beramal soleh- buat ibadat & amal kebajikan. Bukan kata beriman dengan ikhlas kemudian solat pun tidak!

Kemudian dengan harta rezeki yang Allah beri buat maksiat pula atau jadi penaja maksiat.

Atau dia sendiri kaki maksiat, tak solat tak tutup aurat dan seumpamanya!

Ini bukan sifat orang yang nakkan Akhirat bahkan punca kebinasaan sebagaimana yang telah Allah nyatakan dalam ayat ini!!

  1. Ayat 21- {Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.}-

Allah nyatakan di Akhirat kelak ada banyak darjat, banyak tingkatan dan level!

Antara orang mukmin & orang kafir pastilah golongan & darjat yang berbeza.

Kemudian sesama orang beriman pun tak sama darjatnya dan berbebza kelebihannya!

Ini kerana keikhlasan, landasan amalan dan seumpamanya!

Jadi kita berusahalan agar kita semua berada di atas landasan yang benar yang diredhai Allah s.w.t.

Kemudian Allah nyatakan setiap orang itu tidak sama rezekinya.

Rezeki kita atas dan ini juga tidak sama setiap orang itu!

Bahkan adik-beradik daripada ibu bapa yang sama juga tidak sama rezekinya- ada yang kaya ada yang miskin, ada yang cerdik ada yang tidak, ada yang baik atau yang jahat!

Kita kena terima ketentuan Allah, tak boleh lari bahawa perbezaan itu pasti ada & tetap ketara!

Di Akhirat kelak juga pastilah tidak sama darjatnya- antara kafir & mukmin bahkan sesama mukmin juga tidak sama darjatnya!

Ya Allah jadikan kami orang yang layak ke syurga-Mu serta kami meminta syurga yang tertinggi darjatnya bersama Nabi s.a.w!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 15/06/2026 – 29 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=978726534977867&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top