View Categories

(7) Surah An-Israa’: Ayat 22-25

13 min read

Live Kuliah Pagi Selasa 16/06/2026 – 30 Zulhijjah 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (07) Ayat [22-25]

Full video: https://youtu.be/BH663Wnpp3A?si=wejEXWVcw17ekk8C

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Isra’ dengan ayat 22 sehingga ayat 25 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam ayat yang mulia ini Allah s.w.t nyatakan larangan syirik jangan sesekali menduakan Allah s.w.t.
    Lawannya wajib tauhid mengesakan Allah s.w.t- sesiapa yang syirik pastilah akan binasa.
  3. Allah kembarkan larangan syirik kepada Allah dengan arahan berbakti kepada ibu bapa. Anak yang soleh sentiasa berbakti & mendoakan Ibu bapanya maka Allah juga ajar cara mendoakan mereka.
  4. Kemudian Allah bagi panduan atau arahan tentang 5 kewajipan ihsan.
    Allah menyatakan Allah tahu semua niat dalam hati kamu apakah kamu buat sesuatu amal itu dengan ikhlas atau tidak!
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa manusia ini terbahagi dua; ada yang hanya mahukan habuan dunia semata-mata & dia pula kafir maka disediakan bagi mereka azab yang pedih di Akhirat.

Ada satu lagi kumpulan yang mahu mencari Akhirat maka Allah tetapkan 3 syarat agar iman & amalnya diterima iaitu: ikhlas kepada Allah, bertepatan dengan Sunnah Nabi s.a.w & dia mestilah seorang yang beriman!

ii- maka datang ayat yang mulia ini Allah nyatakan larangan syirik yang cukup bahaya!

Maka Syi’ar agama yang tinggi dalam ayat ini ialah yang pertama tauhid kepada Allah & keduanya berbuat baik atau berbakti kepada dua ibu bapa.

Taat kepada Allah tetapi tak baik dengan ibu bapa- tak kena dan rosak.
Taat kepada kepada ibu bapa tetapi derhaka kepada Allah lagi berat & rosak!

*Kita kena baik dengan Allah & baik juga dengan makhluk Allah- jika hanya sebelah tidak akan lengkap!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

 لَّا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ فَتَقْعُدَ مَذْمُومًا مَّخْذُولًا ‎﴿٢٢﴾‏ ۞

Ayat 22- {Janganlah engkau adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.} (Al-Israa’ 17:22)

  1. Allah seru Nabi s.a.w dalam ayat ini tetapi maksudnya kepada umat manusia seluruhnya!

Ini kerana tauhid & aqidah Nabi s.a.w pastilah sudah suci & murni. Umat yang murni pastlah tauhidnya suci- umat yang celaru tauhid tak murni!

  1. Allah memerintahkan agar jangan sesekali kamu syirik kepada Allah jika tidak kamu akan hidup dalam keadaan hina & tercela juga kecewa dari mendapat pertolongan Allah!
  2. Apa lagi yang kita mahu cari- Allah telah ajar kepada kita tauhid yang murni, Nabi s.a.w telah tunjukkan kepada kita aqidah yang suci- kenapa tak mahu ikut & cari yang dapat merosakkan aqidah.
  3. Nota [621] Setelah Allah Ta’ala menerangkan bahawa kebahagiaan akhirat akan dapat dicapai dengan amal-amal yang baik dan iman yang ikhlas, lalu diperintahkan supaya segala amal ibadat itu hendaklah berdasarkan tauhid, dengan menjauhi segala perbuatan syirik.

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ‎﴿٣٢﴾‏

Ayat 23- {Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).} (Al-Israa’ 17:23)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat pertama Allah sebut satu rukun utama yang besar kepada iman iaitu jangan syirik, wajib tauhid kepada Allah yang Esa.

Untuk menjaga tauhid kepada Allah jangan sesekali syirik kepada Allah!

ii- maka datang ayat ini menyatakan antara amal baik ialah berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa dengan perkataan & perbuatan.
Serta dengan hati sekali iaitu ikhlas kerana Allah dalam segalanya!

  1. Allah perintahkan kepada kita sebagai dua syi’ar agama yang besar iaitu:

i- supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, ini seruan kepada tauhid & aqidah yang murni.

ii- dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Ini seruan untuk berbuat baik kepada dua ibu bapa serta manusia seluruhnya.

  1. Manusia ini pada awalnya ketika masih kecil apatah lagi ketika bayi bergantung sepenuhnya kepada dua ibu bapanya yang mencurahkan segala kasih sayang dan jagaan kepada anaknnya tanpa syarat dan mengharapkan balasan.
  2. Pada ketika kita kecil ini kedua ibu bapa kita masih muda dan gagah, kemudian peringkat sederhana apabila kita makin besar ibu bapa makin lemah dan akhirnya apabila mereka sudah tua tibalah peringkat yang Allah sebut dalam ayat ini!
  3. Dalam ayat ini sekali lagi khitabnya (percakapannya) kepada Nabi s.a.w. sedangkan Nabi s.a.w sudah tidak ada ibu bapa, seorang anak yatim dari kecil lagi.

Ini kerana seruan & perintah itu adalah kepada semua manusia. Agar Nabi s.a.w menyampaikan ajaran & perintah ini untuk umatnya!
Yakni Allah perintahkan kepada nabi s.a.w untuk umatnya.

  1. Hadis dosa besar syirik kepada Allah, derhaka ibu bapa & saksi palsu:

i- yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah R.A, di mana Rasulullah S.A.W bersabda:

“Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang sebesar-besar dosa besar?” (Baginda mengulanginya tiga kali).
Para sahabat menjawab: “Mahu, ya Rasulullah.”
Sabda Baginda: “Menyekutukan Allah (syirik), dan derhaka kepada kedua ibu bapa.”
Baginda kemudian duduk daripada keadaan berbaring (kerana terlalu mengambil berat) lalu bersabda:
“Ketahuilah, termasuk juga perkataan dusta (kesaksian palsu).” [HR Bukhari No. 2459]

ii- Hadis kedua dari al-Miqdam bin Ma’dikarib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Sesungguhnya Allah mewasiatkan kalian supaya berbakti kepada ibu-ibu kalian (Baginda mengulanginya tiga kali), kemudian bapa-bapa kalian, seterusnya kaum kerabat terdekat” (HR Ibnu Majah, No. 3661).

  1. Dalam ayat ini Allah ajar 5 kewajipan ihsan atau tugasan yang Allah letakkan atas kepala atau tanggung-jawab seorang anak pada ibu bapa yang ada bersama sudah tua keduanya atau salah seorangnya:

i- ihsan yang pertama jaga perkataan atau ucapan terhadap mereka.
Jangan sesekali menunjukkan tidak senang atau merengus terhadap mereka.

{فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ}- hatta berkata- {Uf-Oh..}- yang menunjukkan perasaan tidak senang hati kepada mereka oun tidak boleh.

ii- jangan berkata kasar atau menengking mereka {وَلَا تَنْهَرْهُمَا}- jangan keraskan suara & perkataan kamu kepada ibu bapa.

Kata-kata yang tidak baik yang boleh mengguriskan perasaan mereka tidak boleh sama-sekali.

Kata ulama’: Buatlah baik kepada kedua ibu bapa kamu- insya’ Allah anak kamu akan berbuat baik kepada kamu pula!

iii- bercakaplah baik dengan mereka
{وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا}, dengan kata-kata yang baik!

Apabila Allah larang perkataan kasar- Allah suruh bercakap dengan perkataan yang baik. Bukan tak boleh tegur dan nasihat tetapi nasihatlah dengan perkataan yang baik & lembut- jangan kasar & hina! Kena bersabar dalam melayani dan menghadapi karenah mereka.

  1. Jika ada perbuatan yang tak kena & mereka tak mahu terima teguran atau nasihat kita- kita cubalah cari orang yang mereka hormati dan minat seperti ustaz atau ustazah yang dapat memberi nasihat yang baik kepada mereka!

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا ‎﴿٤٢﴾‏

Ayat 24- {Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”} (Al-Israa’ 17:24)

  1. Dalam ayat ini disambung lagi akan perbuatan ihsan yang Allah ajar:

iv- hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu {وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ}, seorang anak itu tidak kira setua mana atau setinggi mana pangkat kedudukannya- masih lagi dirasakan dan sentiasa nampak kecil di mata ibunya!

Kata-kata hikmah:
يقال “يظل الرجل طفلا حتى تموت أمه فإذا ماتت شاخ فجأة”.
Sentiasa seorang lelaki itu dianggap seorang seorang kanak-kanak selagi ibunya masih ada.
Apabila ibunya meninggal jadi tualah secara automatik”.

Hadis- Daripada Muaz bin Jabal R.A, beliau berkata: Rasulullah S.A.W telah berpesan kepadaku:
“Janganlah kamu mensyirikkan Allah walau sedikit pun, walaupun kamu dipotong atau dibakar.
Janganlah kamu menderhaka kepada kedua ibu bapa kamu walaupun mereka menyuruh kamu keluar daripada keluarga dan harta benda kamu.” (HR Ibnu Majah dan dinilai sahih oleh ramai ulama hadis).

*Contoh jika ibu bapa panggil dan perlukan bantuan kita- tinggalkan dulu perkerjaan dunia yang sedang kita buat untuk menyahut panggilan mereka.

v- tanda anak soleh juga hendaklah sentiasa mendoakan untuk mereka, tidak kira ibu bapa masih hidup atau mati!
Ini sebagai balasan untuk jasa mereka yang cukup banyak & besar kepada kita!

  1. Doa yang diajar disini ialah dengan berkata: رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًۭا
    “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
  2. Nota [622] Allah Ta’ala perintahkan supaya beribadat kepadaNya semata-mata, dan diperintahkan supaya masing-masing berbuat baik kepada ibu-bapa, taat kepada kedua-duanya, menghormatinya, memeliharanya semasa tua dengan sebaik-baiknya, dan mendoakan semoga Allah memberi rahmat kepada mereka kerana merekalah yang telah bersusah payah memelihara dan mendidik kita semasa kecil.

Kesimpulannya: hak ibu-bapa terhadap anak-anaknya amatlah besar, sebagaimana yang diterangkan di dalam Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi.

Bukan sahaja wajib dibalas dengan berbuat baik kepada mereka semasa mereka hidup, bahkan semasa mereka kembali ke rahmat Allah, dengan berdoa dan meminta ampun baginya, menunaikan amanatnya atau pesannya, dan menghubungkan silatur-rahim serta berbuat baik kepada kaum kerabat dan sahabat handainya.

رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا فِي نُفُوسِكُمْ ۚ إِن تَكُونُوا صَالِحِينَ فَإِنَّهُ كَانَ لِلْأَوَّابِينَ غَفُورًا ‎﴿٥٢﴾‏

Ayat 25- {Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.} (Al-Israa’ 17:25)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- setelah Allah perintahkan kepada Nabi s.a.w untuk berbuat 5 ihsan kepada kedua ibu bapa;
    ii- maka datang ayat ini Allah menyatakan bahawa apa yang ada dalam hati kamu Allah tahu segalanya!
  2. Yakni kata ulama’ Allah mahu menyatakan bahawa Dia tahu apakah kita ikhlas dalam berkhidmat & buat baik kepada ibu bapa.

Kita sudah berusaha untuk baik, niat dengan molek maka jika tersilap tersalah Allah tahu semuanya.

Atau jika kita tidak ikhlas dalam berbuat baik kepada mereka- ada niat yang tersembunyi atau tak baik; Allah tahu juga semua itu!

*Anak sudah berniat baik menjaga & merawat ibu bapanya; tetapi orang tua yang sakit atau terlantar itu kadang-kadang menjadi cerewet dan jahat mulutnya maka kita pun kadang-kadang terlanggar sabar juga maka Allah tahu semua itu- bukan kita sengaja atau berniat buruk!

  1. Nota [623] Yakni kalau kamu orang-orang yang baik, yang mematuhi perintah Allah mengenai ibu-bapa kamu, lalu kamu terlanjur melakukan sesuatu yang kasar terhadap ibu-bapa kamu, kemudian kamu menyesal dan bertaubat, maka Allah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 22- {Janganlah engkau adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau akan….}– kamu jangan ambili Tuhan selain daripada Allah nanti kamu hina & kecewa.

Dalam ayat ini Allah nyatakan kewajipan tauhid kepada Allah, semua gerak kerja kita, kerja buat kita bermula dengan tauhid, murnikan aqidah kita kepada Allah semata-mata.

Jangan ajar yang pelik- jangan biarkan jemaah meminta mencari-cari kubur, tunggul kayu, batu atau kayu- ajar minta dengan Allah s.w.t.

Jangan cuba membetulkan sesuatu yang jelas salah, mempertahankan hujjah dengan cari hadis yang pelik berkeras lengan untuk membela sesuatu yang tidak perlupun bagi umat ini!

Allah bagi dua amaran tentang kehinaan bagi orang syirik kepada Allah s.w.t dalam ayat ini:
i- duduk dalam keadaan tercela;
ii- duduk dalam keadaan kecewa kerana tiada siapa yang akan menolongnya!

Maka kita jangan buat perkara yang Tuhan marah barulah akan selamat & sempurna iman.

  1. Ayat 23- {Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.}-

Dalam ayat ini adalah dua syiar agama yang besar yang mesti dijaga & selari:
i- Syi’ar tauhid kepada Allah.
ii- hubungan antara kita sesama manusia.

Yakni kena jaga dua-dua hak iaitu:
i- hak Allah s.w.t
ii- hak sesama manusia yang bermula dengan ibu bapa yang menjadi sebab kita lahir di dunia ini.

Ini dua Syi’ar agama yang menjadi tuntutan kepada kita untuk berusaha bekerja melakukannya agar kita menjadi manusia yang soleh & baik.

Itulah maksudnya firman Allah (وَقَضَىٰ رَبُّكَ) di sini iaitu arahan agama atau hukuman yang kamu wajib kena buat- iaitu wajib kamu kena buat baik & khidmat kepada dua ibu bapa.

  1. Ayat 23- {… dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.}– ini adalah perintah tanggung-jawab kita kepada kedua ibu bapa- kita kena buat baik kepada mereka dengan 5 perkara ihsan yang telah ajar tadi.

Ulama’ berbahas pula kenapa Allah tujukkan perintah ini kepada Nabi s.a.w.

Macamana selepas 40 tahun baru datang arahan ini kepada Nabi s.a.w?
Sedangkan Baginda telah tiada ibu bapa, anak yatim sejak dalam kandungan, ibunya pula meninggal ketika Nabi masih s.a.w kecil.

Kata ulama’ tafsir: Ayat ini tanbih (peringatan) kepada semua walaupun khitab kepada Nabi s.a.w tetapi arahan dan hukumnya adalah untuk umatnya semua.

Allah suruh Nabi s.a.w arahkan & ajar kepada kita semua agar dua perkara ini iaitu tauhid kepada Allah & ihsan kepada kedua ibu bapa wajib ada!

  1. Ayat 23- {Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu..}– jika kita diberi rezeki sempat bersama ibu bapa sehingga mereka berusia tua dalam jagaan kita samada keduanya atau salah seorangnya.

Ini kerana manusia ini ada macam-macam nasibnya; ada yang tak sempat lihat ibu bapanya, ada yang sempat lihat dan bersama buat sementara, ada yang sempat bersama ke penghujung usia, ada yang sempat berkhidmat kepada mereka ada yang tidak.

Begitulah nasib dan keadaan manusia itu berbeza dan tak sama.
Kita melalui fasa hidup yang berbeza-beza.

Maka bagi sesiapa yang ada rezeki bersama salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaannya maka Allah perintahkan 5 kewajipan ihsan ini:

i- ihsan yang pertama Allah kata {فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ}- jaga perkataan atau ucapan terhadap mereka hatta berkata- {Uf-Oh..}- yang menunjukkan perasaan tidak senang hati kepada mereka pun tidak boleh.

ii- jangan berkata kasar atau menengking mereka {وَلَا تَنْهَرْهُمَا}- Kata-kata yang tidak baik yang boleh mengguriskan perasaan mereka tidak boleh sama-sekali.

iii- bercakaplah baik dengan mereka {وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا}, dengan kata-kata yang baik!

Apabila Allah larang perkataan kasar- Allah suruh bercakap dengan perkataan yang baik.

iv- hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu {وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ}, seorang anak itu tidak kira setua mana atau setinggi mana pangkat kedudukannya- masih lagi dirasakan muda dan sentiasa nampak kecil di mata ibunya!

v- sentiasa mendoakan kepada ibu bapa kita dengan doa yang baik- samada mereka semasa masih hidup atau mati.

Antara doanya ialah:
*Tetapi bagaimana pula mereka yang ibu bapa mati awal- mereka tak sempat jaga & berkhidmat?
Jawapan:
Kita ambil umumnya manusia begitulah keadaannya sempat bersama ibu bapa mereka.

Kata ulama’ tafsir lagi: Kenapa Allah kata apabila kedua ibu bapa kamu mencapai usia tua di sisi kamu {يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا}?
Ini kerana sebagai ujian terhadap kamu, apabila ibu bapa kamu duduk bersama kamu di rumah kamu, ketika itulah kamu akan berasa berat, terasa seperti ujian.

Maka ketika itulah Allah ajar agar kamu mengamalkan 5 ihsan itu, cara bermuamalah dan melayani mereka.

Kata hikmah: Jangan kamu jadikan kedua ibu bapa seperti bola golf yang dipukul jauh-jauh tetapi jadikan ibu bapa seperti orang main bola ragbi yang sentiasa menjadi rebutan dan didakap kemas tidak mahu dilepaskan!

  1. Ayat 25- {Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu;..}- yakni jika kamu ikhlas jaga ibu bapa sungguh tetapi ada kesilapan.

Yakni jika kita ada tersalah terlepas cakap kerana tekanan atau tidak sabar- bukan kerana tidak ikhlas atau benci tidak mahu jaga mereka; maka teruslah kita istighfar banyak-banyak kepada Allah!

Allah maha mengetahui segalanya apa yang di dalam hati kita & Allah ampunkan orang yang banyak bertaubat.

Kita banyak berdoa agar Allah beri kepada kita & kedua ibu bapa kita kebaikan dunia & Akhirat.

Doa: Ya Allah kami memohon dengan nama-Mu yang maha indah, dengan sifat-Mu yang maha tinggi agar memberi rahmat & keampunan kepada kami & kedua ibu kami samada yang masih hidup atau telah mati.

Setelah kami belajar hak ibu bapa ke atas kami yang begitu besar; curahkan keampunan & jadikan kubur mereka yang telah mati sebagai taman-taman syurga, berikan kepada ibu bapa kami yang masih hidup kesihatan yang baik, rajin beribadat & mati dalam husnul-khatimah!

Kami mohon ampun kepada-Mu jika selama mereka masih hidup kami telah tersalah dalam melayani mereka, menyakit hati mereka, tidak kena dengan kehendak mereka, perkataan & perbuatan kami yang tidak baik, yang mengguris perasaan mereka!

Jangan Kamu jadikan kesalahan kami itu sebagai satu hutang yang akan dibalas pula oleh anak-anak kami apabila kami tua.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 16/06/2026 – 30 Zulhijjah 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=979482911568896&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top