Reaksi Kafir Bila Dibacakan al-Quran, Allah Akan Balas Tuduhan Jahat & Penghinaan Kafir

Live Kuliah Pagi Isnin 22/06/2026 – 06 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (12) Ayat [45-48]
Full video: https://youtu.be/LljxerynY0s?si=oAhrbVtFd5GsAcTk
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 45 sehingga ayat 48 dalam juzuk kelima-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan reaksi kafir bila Nabi s.a.w membaca al-Quran, ada kalanya tertutup hijab {حِجَابًۭا مَّسْتُورًۭا} mereka tidak nampaknya & tidak terbuka hati mereka untuk mendengarnya dan apabila diajak kepada tauhid bertempiaran lari (lari berceluda).
- Kemudian Allah kata Allah dengar & tahu semua tuduhan yang mereka buat ke atas Nabi s.a.w & Allah akan balas semua tuduhan jahat itu.
*Antara tuduhan yang dibuat sejak nabi s.a.w terdahulu ialah seperti gila, ahli sihir, kazzab atau penyair.
- Maka sebagai penghinaan ke atas kafir Allah biarkan mereka terumbang-ambing atas dunia ini dan Allah tutup pintu hati mereka {وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً} daripada melihat kebaikan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang beberapa perkara yang berkait dengan tauhid & ketuhanan.
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan pula tentang Kenabian Muhammad s.a.w dan reaksi orang kafir apabila mendengar al-Quran samada mengamuk atau dengar tak faham, tak masuk dalam hati mereka.
- Munasabah kedua:
i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan al-Quran sebagai petunjuk membawa manusia ke jalan yang benar!
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan orang yang mendapat manfaat & petunjuk al-Quran itu hanya orang yang beriman, orang yang mengaji & tadabbur al-Quran, yang ikut petunjuknya.
Manakala puak kafir yang keras kepala degil itu tidak memberi apa-apa faedah manfaat kepada mereka bahkan mereka menentang sekeras-kerasnya!
Satu kerugian besar bagi puak kafir yang begitulah watak & perangainya!
Rugi besar kerana peluang sudah ada tetapi mereka lari.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ حِجَابًا مَّسْتُورًا ﴿٥٤﴾
Ayat 45- {Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.} (Al-Israa’ 17:45)
- Allah nyatakan keadaan puak kafir yang apabila mendengar Nabi s.a.w membaca al-Quran reaksi mereka:
i- pertamanya marah & mengamuk kerana mereka tidak percaya kepada keEsaan Allah, kepada hari Kiamat dan lain-lain.
ii- lalu Allah tutup hijab antara mereka & Nabi s.a.w lalu mereka tidak mendengarnya dan tidak menggangu Nabi s.a.w yang sedang membaca al-Quran itu.
- Ulama’ kata maksudnya perkataan { حِجَابًۭا مَّسْتُورًۭا} ini ialah samada:
i- tertutup hijab terus yakni mereka tak nampak & tak dengarnya. Ini agar mereka tidak boleh mengganggu Nabi s.a.w.
ii- atau tertutup hati mereka lalu mereka dengar saja tetapi tak faham lalu tertutup, terhijab, terdinding hati mereka daripada beriman.
*Kedua tafsir ini layak untuk menyatakan keadaan orang kafir itu.
- Banyak ayat-ayat al-Quran di mana Allah menyatakan keadaan orang kafir yang terhijab ini- ayat kita ini & ayat yang selepasnya.
Allah nyatakan telah tertutup hati, mata tak lihat, telinga mereka tersumbat tak dengar lalu mereka tidak dapat menerima hidayah petunjuk dari Allah s.w.t.
- Firman Allah s.w.t tentang tiga perangai orang kafir:
{Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! “} (Fussilat 41:5) - Maka Allah jadikan hijab yang menyebabkan hati mereka tertutup daripada melihat Nabi s.a.w atau hati mereka tersumbat tertutup daripada melihat Nabi s.a.w lalu mereka tidak mengganggunya!
- Tentang makna perkataan {مَّسْتُورًۭا} kata Syeikh Ibnu Atiyah ia mengandungi dua maksud:
i- Allah jaga Nabi s.a.w dari disakiti kafir Quraisy lalu Allah tutup penglihatan menjadikan mereka tak nampak Nabi s.a.w.
ii- Allah ceritakan kepada Nabi s.a.w bahawa Allah telah jadikan antara hati puak kafir itu hijab, tembok dan dinding yang menyebabkan mereka tak faham al-Quran.
Sedangkan mereka adalah orang Arab- maka rugi besarlah mereka!
وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا ۚ وَإِذَا ذَكَرْتَ رَبَّكَ فِي الْقُرْآنِ وَحْدَهُ وَلَّوْا عَلَىٰ أَدْبَارِهِمْ نُفُورًا ﴿٦٤﴾
Ayat 46- {Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran Al- Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri.} (Al-Israa’ 17:46)
- Allah nyatakan sifat puak kafir apabila mendengar Nabi s.a.w baca al-Quran, samada mereka buat kacau atau tak dengar apa!
Ayat ini bersambung dengan ayat sebelumnya menceritakan tentang respon puak kafir lagi! - Lalu Allah jadikan ke atas hati mereka penutup atau penudung yang berlapis-lapis {عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً} menyebabkan mereka tak boleh faham makna al-Quran.
Ini menyebabkan mereka makin dengar al-Quran makin jahat!
*Walaupun al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka Arab Quraisy.
- Begitulah manusia itu apabila hati sudah tak suka- bacalah ayat-ayat al-Quran atau hadis sahih setara mana pun- dia akan tetap menolak.
Contoh zaman kita pula, tuduhan ustaz ni tak boleh pakai kerana dia sekian sekian, tembak body bukan lihat kepada apa yang dibawa itu!
Sedangkan kita hendaklah lihat kepada apa yang dibawa & diajar. - Manakala kalau orang yang mereka suka taksub & fanatik- mengakulah wali naik kelangit pun, ajar orang meminta di kubur itulah yang diterima dan diberi peluang, yang dipuja sehingga taksub!
Begitulah hati yang tertutup berlakukah kecelaruan. - Kemudian Allah nyatakan telinga puak kafir ini tesumbat {وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًۭا}- tak dengar al-Quran atau dengarnya tapi tak faham apa lalu tak dapat manfaat darinya!
- Manusia hari ini pula ada 2 keadaan juga samada:
i- dia sumbat telinga dia dengan alat gajet dia tu lalu tak dengar & tak dapat respon kepada orang sekeliling;
ii- ataupun dia pasang loud speaker dengan kuat berbual sehingga mengganggu orang sekeliling!
*Satu lagi jenis yang keretanya cermin gelap tapi tak mau buka tingkap- mana kita nampak & kenal tuannya.
Masuk kampung atau kawasan orang- tanpa adab berlalu sekadar angkat tangan atau buat tak tau saja.
- Puak kafir ini juga apabila Nabi s.a.w cuba berdakwah kepada mereka, menyebut nama Tuhan; mereka pun segera berpaling undur melarikan diri.
Ini kerana mereka tahu apa yang Nabi s.a.w sampaikan itu benar lalu mereka takut faham lalu tak mahu mendengarnya!
- Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini- Allah gambarkan keadaan kafir:
{Dan (di antara keburukan orang-orang yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), segan serta liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta riang dan gembira.} (Az-Zumar 39:45) - Maka kita orang beriman jangan buat watak atau gaya kita dengan al-Quran seperti gaya orang kafir dengannya!
نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَسْتَمِعُونَ بِهِ إِذْ يَسْتَمِعُونَ إِلَيْكَ وَإِذْ هُمْ نَجْوَىٰ إِذْ يَقُولُ الظَّالِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلًا مَّسْحُورًا ﴿٧٤﴾
Ayat 47- {Kami lebih mengetahui akan tujuan mereka mendengar Al-Quran semasa mereka mendengar bacaanmu (wahai Muhammad), dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika orang-orang yang zalim itu berkata (sesama sendiri): “Kamu tidak menurut melainkan seorang yang kena sihir”.} (Al-Israa’ 17:47)
- Allah nyatakan juga keadaan puak kafir ini apabila mendengar Nabi s.a.w membaca al-Quran mereka mengganggu dan berbisik menyebarkan tuduhan jahat sesama mereka.
Mereka berbisik sesama sendiri mengatakan Nabi s.a.w adalah seorang yang tak kabar- kena sihir!
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah beritahu mereka tak dengar, tertutup hijab ke atas puak kafir.
ii- dalam ayat ini Allah nyatakan pula mereka yang mendengar itu buat bising & hingar-bingar agar orang lain tidak dapat mendengar juga dan ambil manfaat dari al-Quran.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya –
Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: “Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?”} (Al-Anbiyaa’ 21: 2-3) - Kita ini jika nak dengar al-Quran kena dengar baik-baik & tumpukan perhatian kepadanya.
Kerana itu tidak elok & tidak digalakkan kita pasang bacaan ayat suci al-Quran dalam restoran, majlis kahwin, tempat kenduri atau apa saja; di mana orang sedang sibuk makan, bertemu kawan, berbual bertanya khabar.
Jika majlis yang memang orang tidak berbual tidak bercakap antara satu sama lain atau permulaan majlis boleh dan elok saja.
- Kata Ibnu Atiyah rhm: Mereka berbisik atau berbincang ini {وَإِذْ هُمْ نَجْوَىٰٓ} adalah di Darun-Nadwah- parlimen Quraisy- berbincang apakah tuduhan palsu dan cacian buruk yang akan mereka lemparkan kepada Nabi s.a.w.
*Apabila mereka tak percaya mereka beranilah mencabar & mendustakan.
- Nota [641] Allah Ta’ala mengetahui bahawa tujuan kaum musyrik datang mendengar Nabi Muhammad s.a.w membaca Al-Qur’an hanyalah untuk mengejek-ejek, sambil mereka berbisik-bisik sesama sendiri dengan menuduh bahawa Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang yang kena sihir, dan tidak harus diturut ugama yang diserukannya, kalau ada di antara mereka sesiapa yang mahu menurutnya.
انظُرْ كَيْفَ ضَرَبُوا لَكَ الْأَمْثَالَ فَضَلُّوا فَلَا يَسْتَطِيعُونَ سَبِيلًا ﴿٨٤﴾
Ayat 48- {Lihatlah (wahai Muhammad) bagaimana mereka menyifatkan engkau dengan yang bukan-bukan, maka dengan sebab itu mereka sesat, sehingga mereka tidak dapat mencari jalan kebenaran.} (Al-Israa’ 17:48)
- Munasabah ayat:
i- apabila mereka berbisik dan berbincaang & merancang tuduhan jahat ke atas Nabi s.a.w. Sihir, gila atau ahli syair- hanya inilah yang dapat mereka rekanya!
ii- lalu Allah nyatakan kepada Nabi- kamu lihatlah sifat & perangai mereka yang jahat itu- lalu bagaimana mereka akan menerima kebenaran!
Jika mereka mendengar dengan baik pastilah mereka akan lihat kebenaran lalu mendapat kebaikan & manfaatnya!
- Allah nyatakan pelik dan jahatnya perangai puak kafir itu; mereka membuat tuduhan jahat yang tak masuk akal ke atas Nabi s.a.w.
Tuduhan jahat mereka itu ialah: sihir, gila, ahli syair & penipu! - Dengan sebab kejahatan perbuatan & tuduhan mereka itu; makin sesat dan makin jauhlah mereka dari jalan yang benar & dari menerima kebenaran.
- Nota [642] banyak sekali kaum musyrik membuat misalan mengenai Nabi Muhammad s.a.w, ada yang mensifatkan Baginda seorang yang kena sihir, yang lain mengatakan Baginda seorang penyair, atau seorang pawang, atau seorang gila, dan berbagai tuduhan lagi yang menjadikan mereka bertambah sesat.
Penutup & Faedah #
- Ayat 45- {Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat,…]-
Allah nyatakan salah satu keadaan puak kafir apabila Nabi s.a.w membaca al-Quran.
Satu keadaan mereka ialah mereka jadi tak nampak terus- Allah tutup hijab ke atas mereka.
Apabila tak namapk mereka berlalu begitu saja tanpa boleh mengacau Baginda s.a.w.
Adakalanya mereka nampak tetapi tak boleh nak kacau tak boleh nak buat apa.
Ini adalah kelebihan & jagaan Allah terhadap Nabi s.a.w.
Seorang ulama’, as-Sariyyu as-Saqati berkata: Tentang jagaan Allah ke atas Nabi s.a.w ini apakah kamu tahu maksudnya hijab yang tertutup ini {حِجَابًۭا مَّسْتُورًۭا}? Iaitu Allah s.w.t amat sayang & cemburu kepada Nabi s.a.w lalu dijadikan hijab sehinggakan puak kafir tak nampak Baginda s.a.w. lalau tak dapat mengacaunya!
Ada juga yang mengatakan maksud hijab ini ialah hijab ke atas mereka puak kafir yang dengar al-Quran tetapi tak faham apa kerana mereka kufur lalu tak dapat manfaatnya!
- Ayat 46- {Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka,–..}-
Allah jadikan penutup atas hati pauk kafir iaitu mereka tidak dapat memahami al-Quran.
Ayat ini menjadi galakan, motivasi & semangat supaya kita orang beriman belajar memahami al-Quran.
Sepatutnya bila kita baca al-Quran kita kena tahu & faham maknanya.
Jangan seperti orang kafir yang ditutup hati dari memahaminya!
Kata al-Hasan al-Basri rhm: Allah tak turunkan mana-mana ayat al-Quran kecuali Allah mahu kita memahami, tahu maksudnya dan faham penyampaiannya”.
Manakala jika ada ayat yang mutasyabih yang susah itu perlu kepada huraian ulama’- itu dimaafkan kerana kita tidak boleh buat-buat faham & bermudah-mudah dengan al-Quran.
Tetapi selepas menerima dan mendengar huraian & penjelasan dari ulama’ kita boleh fahamlah kerana kita adalah manusia yang berakal!
- Ayat 47- {Kami lebih mengetahui akan tujuan mereka mendengar Al-Quran semasa mereka mendengar bacaanmu (wahai Muhammad),…}-
Allah nyatakan bahawa Dia mengetahui tujuan puak kafir itu apabila mendengar bacaan al-Quran.
Tadi tak dengar sekarang sudah dengar- tetapi apabila dengar mereka buat bising, hingar-bingar dengan bersiul & bertepuk tangan dan berborak secara lantang sesama mereka!
Ayat ini penting sekali- kata Syeikh Qassab dalam Kitabnya, Nukat al-Qur’an:
“Ayat ini menjadi dalil apabila orang bagi nasihat, bagi tazkirah atau ceramah; kita kena dengar dan perhati baik-baik, jangan berbual buat kerja lain!”
Apabila khatib sedang berkhutbah, tuan guru sedang mengajar, ustaz sedang kuliah; kita pula dok berbual bising di belakang- maka kita adalah orang yang tidak beradab!
Jika nak berbual bangun pergi keluar masjid atau ke tandas!
Bahaya sekali tidak beradab & tidak berakhlak dalam majlis ilmu begini!
Sudahlah tak dapat ilmu & mengganggu orang lain juga yang nak dengar!
- Ayat 47- {… dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika orang-orang yang zalim itu berkata (sesama sendiri): “Kamu tidak menurut melainkan seorang yang kena sihir”.}
Kerja puak kafir ini adalah mencipta naratif buruk & tuduhan jahat ke atas Nabi s.a.w.
Tetapi apa yang mereka boleh lemparkan hanya empat tadi: sihir atau kena sihir, gila, bohong & ahli syair.
Antara nama jahat yang disebut dalam kitab tafsir yang sentiasa mereka fitnah & tuduhan jahat ke atas Nabi s.a.w ialah seperti Abu Jahal, Al-Walid bin Mughirah dan gengnya.
Kata ahli motivasi: Fitnah itu dicipta oleh orang jahat, dipercayai oleh orang bodoh dan disebarkan pula oleh orang yang hasad, tak betul juga!
- Ayat 48- {Lihatlah (wahai Muhammad) bagaimana mereka menyifatkan engkau dengan yang bukan-bukan, maka dengan sebab itu mereka sesat,…}-
Allah kata punca sesat puak kafir ini ialah mereka tidak mendengarnya dengan hati yang baik & terbuka.
Mereka mendengarnya untuk mencari peluru atau hujjah untuk mengata memfitnah Nabi s.a.w dan membuat misal perbandingan yang buruk & karut!
Semua itu menyebabkan mereka sesat dan mereka tidak jumpa jalan keluar dari lorong kesesatan kepada lorong beriman lalu tidak jumpa kebenaran & tidak akan beriman!
Mereka buat bandingan buruk kepada Nabi s.a.w sedangkan Baginda adalah seorang yang begitu elok dan indah rupa & akhlak perangainya!
Mereka juga tahu tentang ini tetapi masih lemparkan tuduhan & naratif buruk terhadapnya.
Begitulah bahaya & jahatnya mencipta naratif buruk terhadap orang.
Manusia hari ini begitulah mereka membuat tuduhan & gelaran buruk tehadap segelintir ustaz yang dianggap tidak sekepala dengan mereka.
Jangan mengaji dengan ustaz sekian-sekian nanti sesat atau bahaya kamu!
Yang bahaya sebenarnya adalah otak jahat mereka & hati mereka yang sakit yang mencipta naratif buruk ini!
Nak membunuh karakter para pendakwah ini adalah cerita lama yang telah dimainkan oleh Abu Jahal dan gengnya ke atas Nabi s.a.w. di mana akhirnya Allah matikan mereka semua dalam kehinaan.
Kita berdoa kepada Allah agar Allah cerahkan hati kita, lapangkan dada kita.
Biar kita sayangkan Nabi s.a.w dengan mengikut landasan & ajaran yang ditinggalkannya dengan al-Quran & Sunnahnya.
Semoga kita tetap istiqomah atas jalan yang kita yakin benar ini, biarlah apa orang nak kata, makin banyak orang kata makin banyak kita dapat pahalanya insya’ Allah.
Kita berdoa juga semoga Allah memberi manfaat & faedah kepada semua pelajar yang rajin belajar al-Quran & Sunnah yang benar.
بارك الله فيكم
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 22/06/2026 – 06 Muharram 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=984121777771676&type=3
Semoga Bermanfaat!
