Allah S.W.T Muliakan Anak Adam, Di Akhirat Akan Ikut Ketua & Buta Hati Di Dunia Sesatlah Di Akhirat

Live Kuliah Pagi Isnin 29/06/2026 – 13 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (18) Ayat [70-72]
Full video: https://youtu.be/W-2RFFk0cmo?si=cPIgtjrzIUkk6vHZ
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 70 sehingga ayat 72 dalam juzuk kelima-belas.
- Dalam ayat yang mulia ini Allah s.w.t nyatakan Allah S.W.T muliakan anak Adam, dengan rupa yang elok dan akal yang sempurna.
Allah permudahkan rezekinya samada di laut, darat & udara serta melebihkannya dari segala makhluk lain. - Allah nyatakan perjalanan di akhirat kelak seseorang itu apabila dibangkitkan di padang Mahsyar akan ikut ketuanya yang diikuti dan disukainya semasa di dunia dulu!
Suka kepada orang beriman akan bangkit bersama mereka, suka kepada kafir & munafiq begitu juga!
Seseorang itu akan bangkit bersama orang yang disayanginya semasa di dunia.
- Kemudian setiap orang akan diberi kitab amalannya- sesiapa yang baik amalannya semasa di dunia akan menerimanya dengan tangan kanan dan akan gembira dan bahagialah.
Manakala sesiapa yang buta hatinya di dunia akan buta juga di akhirat, akan sesat tak jumpa jalan ke syurga- na’uzubillah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang penggunaan jalan laut yang terbentang luas, berombak dan sentiasa bergerak & laut tak pernah tidur kata orang!
Allah nyatakan jika nak selamat kita mesti berharap & bergantung kepada Allah sepenuhnya!
ii- maka datang ayat ini sekali lagi Allah ingatkan nikmat anugerah-Nya kepada manusia dengan penciptaan mereka yang cukup indah & sempurna.
Allah beri kepada manusia begitu banyak anugerah nikmat-Nya- maka kamu sentiasalah ingat & syukur kepada Allah tak kira waktu susah atau senang!
Ingat hidup kita ini bergerak- makin hari makin dekat dengan mati- kita akan mati & dibangkitkan di hadapan Allah maka buatlah persiapan yang rapi!
*Semoga Allah bimbing kita agar kita hidup atas dunia ini dengan baik & aman, masuk dalam kubur dengan iman, bangkit di Akhirat kelak duduk di bawah syafaat Nabi s.a.w & dipandu ke syurga dengan selamat.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
۞ وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا ﴿٠٧﴾
Ayat 70- {Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.} (Al-Israa’ 17:70)
- Allah menyatakan sesungguhnya Dia telah memuliakan anak-anak Adam; dan telah beri kepada mereka kemudahan untuk menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut juga di udara.
- Kata ulama’ maksud Allah telah muliakan anak Adam ini ialah:
i- dari segi rupa kejadian, Allah telah ciptakan manusia ini dengan elok dan sempurna.
Kejadian fizikal yang sempurna dan akal fikiran yang bijak.
ii- Allah ciptakan rezeki khas untuk manusia dari segi pakaian, makanan & minuman yang khas yang baik-baik dan halal- bukan seperti binatang yang tiada pakaian dan makanannya lain.
*Nikmat Allah tak dapat kita hitung tetapi wajib disyukuri.
- Beberapa pandangan ulama’ lagi tentang maksud kemuliaan ini:
i- Kata Ibnu Jarir pula: Antara kemuliaan anak Adam ini ialah jadikan mereka makan dengan tangan!
ii- ada ulama’ yang mengatakan kelebihan & keistimewaan itu ialah pandai bercakap!
iii- ada ulama’ kata Allah jadikan manusia lelaki ada janggut itu ada satu kelebihan yang indah.
iv- walaupun manusia ini fizikalnya kecil & nampak lemah tetapi boleh menguasai haiwan & benda lain yang lebih besar daripadanya seperti menjinakkan gajah dan pelbagai binatang liar lagi!
Mereka juga dapat mengemudi kapal yang besar atau kapal terbang pada hari ini.
- Nota [660] Allah Ta’ala muliakan anak-anak Adam dengan menjadikan mereka dalam bentuk yang seelok-eloknya, pandai berkata-kata, berakal fikiran, sehingga dapat menguasai dunia dan isinya.
Diberinya kemudahan bergerak di darat, di laut dan di udara dengan menggunakan berbagai jenis kenderaan.
Diberinya rezeki dari benda-benda yang baik-baik dan lazat, serta diberinya kelebihan yang besar dari kebanyakan makhluk-makhluk yang lain.
Sebab itu, sudah semestinya mereka bersyukur akan nikmat-nikmat Allah yang sebesar itu, dengan beribadat kepada-Nya dan menjauhi perbuatan syirik.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Allah yang menjadikan binatang ternak bagi kamu; sebahagian di antaranya untuk kamu menunggangnya, dan sebahagian lagi untuk kamu makan.
Dan kamu pula beroleh berbagai faedah pada binatang ternak itu, dan supaya kamu dapat memenuhi sesuatu hajat yang ada dalam hati kamu dengan menggunakan binatang itu; dan di atas binatang-binatang ternak itu, serta di atas kapal-kapal, kamu diangkut.} (Ghaafir 40: 79-80) - Antara nikmat anugerah Allah kepada manusia lagi:
i- dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik; makanan kita amat banyak pilihan dan sedap-sedap.
Kita manusia ini dengan pakaian boleh sabar tetapi dengan makanan tidak boleh sabar!
Tidak mengapa yang penting jangan boros & membazir, jangan makan yang syubhah dan buruk apatah lagi yang haram!
*Semoga kita umat Islam peka & sedar semula akan kempen BMF- utamakan perniagaan sesama muslim- jangan kita dok mengkayakan orang yang tak bayar zakat & tak mandi junud dan tak baca Bismillah.
ii- serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
Banyak sudah kita bincangkan tentang ini.
Fizikal kita lebih baik daripada haiwan lain dan otak kita lebih cedik dan berakal daripada segala jenis haiwan lain juga!
يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ ۖ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَٰئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا ﴿١٧﴾
Ayat 71- { (Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.} (Al-Israa’ 17:71)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah sebut pelbagai kelebihan yang Allah telah beri kepada manusia samada di darat, di laut & udara.
ii- datang ayat ini Allah sebut tentang darjat & kelebihan manusia di Akhirat pula!
- Ingatlah pada hari Kiamat kelak Allah akan panggil menyeru manusia lalu dibangkitkan mengikut imam iaitu ketua kumpulan yang diikutinya di dunia dulu.
- Nota [661] Setelah menerangkan perihal anak-anak Adam di dunia, diterangkan pula perihal mereka di akhirat.
“Imamnya” di sini maksudnya “Pemimpinnya” – samada Nabinya, atau Kitab ugamanya, atau kitab amalnya.
- Maksudnya perkataan dengan imam mereka (بِإِمَـٰمِهِمْ) ini ialah:
i- pemimpin atau ketua yang mereka ikut atas dunia ini dulu.
Jika ketua yang mereka ikut ialah pemimpin yang adil & soleh berpegang dengan al-Quran & Sunnah- bahagialah dia!
Jika yang dia ikut itu adalah orang sesat atu kafir malanglah.
Iaitu ketua yang akan bawa kita di Akhirat kelak ialah orang kita ikut atas dunia ini dulu..
ii- maksud imam yang kedua ialah rasul & para pendakwah yang memimpin dan mengajak manusia ke jalan yang benar!
iii- ada ulama’ kata maksudnya yang diikuti ialah Kitab al-Quran.
iv- ada juga ulama’ kata imam ini maksudnyanya kitab amalan yang akan kita terima nanti samada dengan tangan kanan atau tangan kiri.
Maka kita akan tahulah ke mana kita akan pergi!
- Kemudian Allah nyatakan sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya dengan sukacita dan gembira, mengumumkan kepada semua akan kebahagiaannya!
Menerima kitab dengan tangan kanan itu ialah tanda kejayaannya!
*Sebagaimana yang sering diulang oleh DDAAM: Surat amalan yang akan kita baca kelak di hadapan Allah kelak- kitalah penulisnya!
- Nota [662] Orang-orang yang diberikan kitab amalnya di tangan kanannya ialah orang-orang yang beramal salih, lalu mereka membacanya dengan gembira.
Manakala orang-orang yang beramal jahat diberikan kitab amalnya di tangan kirinya, lalu mereka membacanya dengan dukacita dan menyesal, tetapi sesal kemudian tidak berguna.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!
“Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!”
Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, –
Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), –
Buah-buahannya dekat untuk dipetik.
(Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!”
Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku,
“Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.} (Al-Haaqqah 69: 19-26) - Suratan amalan ini tiada siapa boleh lari darinya- jika kita buat baik gembirah, jika buat buruk celakalah!
Sebagaimana yang sering DDAAM ulang: Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat di hadapan Allah nanti kita sendirilah penulisnya!
Maka kamu pilihlah apa yang kamu nak tulis di dalamnya!
Jika tak mahu menyesal di Akhirat kelak- pilih dan tulislah yang baik-baik!
- Firman Allah juga tentang ini:
{Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.} (Al-Israa’ 17: 13-14)
10 Kemudian Allah tegaskan & beri jaminan yang teguh” {.. dan mereka tidak dikurangkan pahala amal-amalnya yang baik sedikitpun.}
Yakni segalanya akan dicatat tanpa sesiapa dizalimi sedikitpun samada yang baik atau buruk!
*Kita lihatlah CCTV, dashcam dan segala gajet canggih yang kita ada pada hari ini adalah antara tanda & alamat akan apa yang akan berlaku pada hari Kiamat.
وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا ﴿٧٢﴾
Ayat 72- {Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.} (Al-Israa’ 17:72)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan setiap orang akan dipanggil mengikut suratan amalannya samada yang baik atau buruk!
ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan suratan amalan kamu itu samada baik atau buruk adalah berdasarkan amalan kamu semasa di dunia dulu!
- Allah nyatakan sesiapa yang buta mata hatinya di dunia ini tak nampak kebenaran akan buta jugalah matanya di Akhirat kelak- tidak akan jumpa jalan yang benar yang membawa ke syurga, akan sesat selamanya yang membawa mereka ke neraka!
- Nota [663] Yakni sesiapa yang semasa hidupnya di dunia buta hatinya dari memikirkan tanda-tanda kekuasaan Allah dan jalan yang membawa keselamatannya: jalan iman dan amal salih, maka ia juga buta pada hari akhirat dan lebih sesat lagi: kerana ia pada masa itu tidak dapat melakukan sesuatupun yang boleh menyelamatkannya.
- Kata ulama’ maksudnya:
i- buta di dunia { أَعْمَىٰ} – buta kafir, buta munafiq, buta tak tengok hujjah, buta tolak tak terima kebenaran- yang pentingnya buta mata hati- bukan mata secara fizikal!
*Jangan kita hina orang yang cacat fizikalnya seperti buta, pekak atau bisu- itu adalah taqdir & ujian Allah ke atas mereka.
Yang kita marah ialah mereka yang buta mata hatinya daripada melihat kebenaran seperti yang dijelaskan para ulama’!
ii- buta di Akhirat { أَعْمَىٰ} kelak pula ialah sesat tak jumpa jalan yang selamat, tak jumpa jalan ke syurga!
Kerana atas dunia dulu dia pasang GPS atau waze yang salah maka di Akhirat begitulah pengakhirannya akan sampai ke tempat yang salah juga!
Nak pergi ke rumah orang sampai ke kubur pula!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”
Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.} (Taha 20: 124-126)
Penutup & Faedah #
- Ayat 70- {Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam;..}– kita kata alhamdulillah Allah telah muliakan kita manusia.
Imam Asy-Syafei rhm, berkata: Dalilnya ialah kita manusia tidak menjadi bangkai (najis) apabila kita mati.
Tetapi mayat kita dimandikan, dikafan & dikebumikan dengan elok.
Yakni Allah telah muliakan anak Adam mengatasi banyak makhluk yang lain dengan kelebihan rupa fizikal yang cantik, dengan akal yang boleh digunakan untuk berfikir- inilah kelebihan manusia, alhamdulillah.
Maka kita kena jagalah kemuliaan yang Allah berikan ini!
Jika tidak dengan pertolongan Allah yang beri kepada kita jalan selamat maka kita tidak akan selamat!
Hanya dua itu saja samada jalan yang selamat atau jalan sesat yang membawa binasa!
- Ayat 71- { (Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya;…}– setiap orang akan dipanggil di Akhirat kelak dengan apa yang diikutinya atas dunia ini!
Atas dunia ini kamu ikut siapa??
Jika ikut nasionalis, komunis, kapitalis, sosialis, dan yang besar sekali ialah iblis- maka bersama mereka itulah kamu akan dibangkitkan di Akhirat kelak!
Yakni setiap orang akan dibangkitakn dengan perjalan yang diikutinya atas dunia dulu.
Ada juga ulama’ kata ikut kaum seperti kaum Nuh, kaum Ad, kaum Thamud dan lain-lainnya.
Ada kata ikut imam kita- jika orang mukmin yang baik ikut Nabi kita Muhammad s.a.w!
Ada juga yang kata ikutan di sini ialah suratan amalan kelak!
Maka sesiapa yang dapat suratan amalannya dengan tangan kanan maka bahagialah dia di Akhirat kelak manakala yang terimanya dengan tangan kiri atau melalui belakang maka itu adalah mereka yang binasa!
Ya Allah jadikan kami dari golongan yang menerima suratan amalan dengan tangan kanannya!
- Ayat 71- {..kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya,}– setelah dinyatakan bahawa setiap orang akan ikut ketua atau kumpulannya; kenapa ayat ini sebut dipanggil orang yang menerima suratan amalan dengan tangan kanan?
Jawapan:
Ini kerana setiap orang akan ikut dengan ketuanya yang dipanggil- maka sesiapa yang ikut Rasulullah s.a.w dan kumpulan sahabatnya yang mulia pastilah akan selamat & itulah kumpulan yang mulia yang akan menerima kitab amalannya dengan tangan kanan.
Maka mereka inilah yang pertamanya selesai urusan dan disebut dalam ayat ini.
Kenapa dalam ayat ini Allah hanya sebut bahawa mereka yang menerima suratan amalan dengan tangan kanan akan membaca kitabnya sahaja?
Tak sebut yang terima dengan tangan kiri membaca kitabnya.
Jawapan:
i- Kata ulama’ ini kerana hanya mereka yang menerima suratan amalannya dengan tangan akan membaca kitabnya dan menghebahkannya dengan gembira kepada semua yang disayanginya!
ii- Manakala orang yang menerima suratan amalannya dengan tangan kiri tidak akan membaca suratannya lagi!
Jika tidak akan terbuka segala rahsianya, akan terdedah segala kejahatan keburukannya- membunuh, berzina, merogol, menyamun orang dan sebagainya!
Mereka hanya bertempik dengan penuh kekesalan dan penuh ketakutan!
Masya’ Allah ulama’-ulama’ tafsir kita tidak akan tinggalkan satu persoalan pun kecuali akan dikaji dan dihuraikan untuk pemahaman masyarakat awam.
- Ayat 72- {Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya),…}- sesiapa yang buta atas dunia ini maka akan buta juga di Akhirat!
Ingatlah buta di sini ialah buta mata hatinya- tidak beriman kepada Allah, tidak menerima kebenaran- bukan yang buta secara fizikal atau OKU.
Bahkan orang yang buta matanya sungguh lebih selamat dan aman daripada orang yang nampak matanya atas dunia ini.
Ini kerana mereka telah selamat dari dosa mata seperti melihat kemungkaran dan maksiat!
Ayat ini lebih kepada penceritaan kepada kita tentang bahayanya sifat orang yang tak mahu terima kebenaran- itulah dipnggil orang yang buta!
Setiap orang yang tak tengok kebenaran- butalah dia!
Setiap orang yang tak dengar kebenaran maka itu dikira orang yang tuli!
- Ayat 72- {.. maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.}– maka Allah kata akan sesatlah ia!
Ini kerana pahala & dosa kita duduk di amalan kita!
Apabila jalan kita betul kita akan selamat- kerana itulah kita sentiasa berdoa minta diberi petunjuk oleh Allah agar sentiasa berada di atas jalan yang lurus: {ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ}
Allah gariskan jalan yang sesat itu kepada dua kumpulan iaitu:
i- mereka yang dimurkai Allah {ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ} iaitu dipelopori oleh yahudi
ii- mereka yang sesat {ٱلضَّآلِّينَ} iaitu kumpulan yang dipelopori oleh Nasrani.
Jangan hina orang buta!
Ramai sekarang atas dunia ini orang yang suka body-shaming- menghina fizikal manusia- sekarang ada undang-undang kita boleh saman mereka ini!
Terdapat ramai alim ulama’ yang buta mata secara fizikal tetapi hati mereka celik dan tinggi ilmunya!
Bahkan ada yang telah menjadi mufti besar negara di Arab Saudi dan mereka ini tidak suka mentakwilkan ayat-ayat al-Quran dan hanya menyebut apa yang disebut oleh Allah.
Telah berlaku satu hantaran di FB: kononnya berlaku satu peristiwa ada orang yang membacakan ayat ini kepada ulama’-ulama’ yang buta matanya secara fizikal ini dan mengatakan kepada mereka: Kerana kamu (Syeikh yang buta itu) tidak suka takwil ayat al-Quran maka macamana kita nak tafsirkan ayat ini?
Iaitu orang buta sekarang akan buta juga di Akhirat.
Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak patut kerana mereka mahu memerlikan dan merendahkan Syeikh yang berbeza manhajnya dengan mereka.
Jangan kita pukul hina orang dengan kekurangan fizikalnya yang dijadikan Allah!
Sedangkan jelas ayat ini, sesiapa saja boleh faham bahawa Allah tidak maksudkan orang yang buta mata secara fizikal tetapi orang yang buta mata hatinya daripada menerima kebenaran!
Ingatlah nak bercakap tengok kiri kanan dulu, fikir dulu, guna akal jangan nanti naik atas kepala kita sendiri:
Kerana pulut santan binasa; kerana mulut badan binasa!
Ingatlah dunia ini kecil saja, sekali Tuhan lipat kembali kepada kita kerana itu jangan sombong.
Maaflah jika ada dalam kuliah & tafsir sesekali kita menegur apa yang terjadi & isu semasa yang berlaku atas dunia ini.
Ini kerana kita nak menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan ini salah perbuatan itu tak betul.
Kita akan tegur tak kira dari pihak mana sekalipun jika kita rasa ada yang tak kena.
Orang lain juga berhak untuk tegur kita dengan baik jika terdapat kesalahan untuk kita muhasabah diri agar jangan sombong!
Jangan terus terasa apa yang ditegur dalam ceramah & kuliah itu adalah teguran atau serangan peribadi.
Bahkan ia adalah tanggung-jawab semua pendakwah dan ustaz untuk menyampaikan kebenaran kepada masyarakat seluruhnya apa yang tidak kena dan selari dengan Syari’ah.
Semua kita ada keburukan tetapi keburukan itu boleh diperbetulkan jika kita benar-benar ikhlas.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 29/06/2026 – 13 Muharram 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=990206123829908
Semoga Bermanfaat!
