View Categories

(19) Surah Al-Israa’: Ayat 73-77

15 min read

Live Kuliah Pagi Selasa 30/06/2026 – 14 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (19) Ayat [73-77]

Full video: https://youtu.be/l3XWZHhqpGM?si=N3LMWcHeD65sj9Z7

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 73 sehingga ayat 77 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan percubaan puak kafir memfitnah (menguji) Nabi s.a.w dengan beberapa fitnah godaan seperti tawaran toleransi, liberal dalam beragama, tawaran pangkat kedudukan dan seumpamanya.

Tetapi Nabi s.a.w yang maksum telah diperintah agar tegas tidak tergoda dengan semua itu & menolaknya.

*Kita jangan terlalu berlembut dan longgar sehingga tercabut plug dalam mempertahankan prinsip Islam sehingga tergadai maruah agama.

Sehingga kita boleh buka pusat tahfiz tapi dalam masa yang sama kita juga boleh pusat hiburan maksiat, judi dan arak yang jelas haram.

**Jika kita ada kemampuan dan kuasa kena sekat maksiat & kemungkaran yang terjadi.

Kita kena ada prinsip- jangan kerana nak jaga kedudukan ikut orang ajak & minta buat kita hadir.

  1. Setelah tidak berjaya memfitnah Nabi s.a.w mereka rancang untuk membunuh atau menghalaunya dari Makkah.

Akhirnyab Nabi s.a.w keluar berhijrah meninggalkan Makkah dengan perintah Allah s.w.t bukan dengan sebab paksaan mereka!

  1. Kemudian Allah s.w.t beri janji-Nya bahawa Tuhan akan binasakan kafir yang menentang dan menyakiti Nabi s.a.w & kaum muslimin.
  2. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang beberapa nikmat-Nya ke atas hamba-Nya khususnya nikmat di lautan- juga daratan & di udara.

Kemudian Allah sebut perbezaan manusia di Akhirat kelak.

Ada mereka mempunyai darjat yang tinggi menerima suratan amalan dengan tangan kanannya.

Allah juga nyatakan bahawa manusia yang buta mata hatinya sesat di dunia – di Akhirat kelak begitulah juga sesat & buta!

ii- kemudian datang ayat ini Allah beri peringatan siapa manusia yang mahu menerima suratan dengan tangan kanan & menjadi manusia yang bahagia di Akhirat kelak- bahawa orang kafir tidak akan duduk diam akan sentiasa berusaha memesongkan mengacau orang Islam agar selesa dengan mereka & terpesong dari Islam.

Allah juga ceritakan tentang bagaimana orang kafir cuba pesongkan Nabi s.a.w dengan tawaran mereka.

Tetapi Nabi s.a.w sebagai seorang yang berprinsip & berintegriti tinggi, seorang Nabi yang ikhlas & amanah tidak sesekali jatuh terpedaya dengan helah & godaan mereka itu!

Semoga Allah bantu kita orang Islam agar istiqomah menjaga prinsip Islam & tidak terkoyak dengan helah perancangan orang kafir!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَإِن كَادُوا لَيَفْتِنُونَكَ عَنِ الَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ لِتَفْتَرِيَ عَلَيْنَا غَيْرَهُ ۖ وَإِذًا لَّاتَّخَذُوكَ خَلِيلًا ‎﴿٣٧﴾

Ayat 73- {Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) baharulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya.} (Al-Israa’ 17:73)

  1. Allah menceritakan tentang percubaan puak kafir cuba memesongkan Nabi s.a.w dari al-Quran, supaya Nabi s.a.w tidak berdakwah dan membaca al-Quran kepada mereka tetapi sibuk dengan perkara lain yang dapat mereka terima, yang selari dengan kehendak mereka! Kalau kita sekarang jadi Islam liberal & seumpamanya.
  2. Tetapi Allah s.w.t menjaga Nabi s.a.w dari semua permaianan & kelicikan puak kafir itu.

Ini adalah peringatan dan pesanan untuk kita semua- jika tiada penjagaan & inayah dari Allah kita akan hanyut & sesat- maka hati-hatilah!

  1. Nota [664] Sepuak dari kaum Arab musyrik telah menyatakan kepada Nabi Muhammad s.a.w bahawa mereka akan masuk Islam dengan syarat supaya mereka dibenarkan melakukan beberapa perkara yang bertentangan dengan hukum-hukum Islam.

Tetapi dengan pertolongan Allah, Baginda terselamat daripada dipengaruhi mereka.

  1. Para ulama’ membincangkan apakah maksudnya perkataan- {Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad)- }:

i- dalam sangkaan mereka puak kafir- mereka boleh pesongkan Nabi s.a.w daripada jalan yang benar.

ii- ada terfikir, terdetik dalam hati Nabi s.a.w untuk ikut cadangan kafir ini agar mereka jinak dengan Islam dan akhirnya menerimanya!

*Ini semua tidak berlaku cuma dalam perancangan & sangkaan saja- alhamdulillah.

  1. Allah juga nyatakan jika Nabi s.a.w terpedaya lalu ikut saranan & permintaan mereka itu- pasti mereka akan jadikan Baginda sebagai sahabat karib mereka yang disayangi dan didokong- kerana sudah ikut gaya mereka!
  2. Ingatlah puak kafir ini akan menggunakan anak orang Islam sendiri sebagai proxy, spy atau talibarut yang diletakkan di depan untuk menjatuhkan orang Islam.
    Sedangkan mereka sebenarnya yang menjadi dalang di belakang itu!
  3. Banyak sudah terbukti dalam sejarah, antaranya jatuhnya kerajaan Islam di Baghdad ke tangan tentera Tartar adalah hasil daripada pembelotan orang Islam sendiri sebagai orang dalam istana atau penasihat yang rapat dengan khalifah.

وَلَوْلَا أَن ثَبَّتْنَاكَ لَقَدْ كِدتَّ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْئًا قَلِيلًا ‎﴿٤٧﴾‏

Ayat 74- {Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.} (Al-Israa’ 17:74)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah sebut bahawa Nabi s.a.w seorang yang mulia & cerdik yang tidak akan terperangkap dengan godaan kafir.

ii- kemudian Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa Allah yang jaga & pegang hati Nabi s.a.w sehingga Baginda s.a.w tidak goyah dan terpesong setapak pun!

Kerana itulah Nabi s.a.w diberi gelaran sebagai seorang yang maksum (معصوم) iaitu terjaga dari segala dosa & kesalahan dari Baginda kecil sehingga wafat.

Allah s.w.t juga menjaga kitab al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

  1. Hati anak Adam ini di bawah kuasa Allah- bila-bila masa boleh berbolak-balik.

Jika bukan Allah yang jaganya ia akan boleh bertukar sekejap saja!

  1. Allah nyatakan jika bukan Allah yang jaga Nabi s.a.w dan menetapkan hatinya agar berpegang teguh kepada kebenaran, tentulah Nabi s.a.w sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.

Yakni boleh jadi Nabi s.a.w akan layan permintaan puak kafir dengan harapan agar mereka menerima Islam!

  1. Tetapi alhamdulillah itu semua tidak terjadi- Allah jaga Nabi s.a.w secara fizikal dan maknawi:

i- Allah jaga Baginda secara fizikal seperti dalam peperangan dengan menghantar malaikat sebagai pengawalnya dan;

ii- Allah jaga hati & pegangan aqidah Nabi s.a.w agar sentiasa teguh, istiqomah dan terpelihara daripada segala perasaan buruk & lemah!

  1. Kita sekarang ini jika kita lihat Islam lemah itu adalah kerana kita sendiri yang lemah!

Antara penyebab lemahnya agama ialah membiarkan maksiat & perkara mungkar berleluasa tanpa disekat!

 إِذًا لَّأَذَقْنَاكَ ضِعْفَ الْحَيَاةِ وَضِعْفَ الْمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيرًا ‎﴿٥٧﴾‏

Ayat 75- {Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.} (Al-Israa’ 17:75)

  1. Allah nyatakan lagi jika kamu (Rasulullah s.a.w) – kalaulah ikut pujukan puak kafir itu- azab akan digandakan ke atas orang yang baik- sedangkan Nabi s.a.w adalah ketua kepada semua orang yang baik itu!
  2. Nota [*] Allah Ta’ala menegaskan bahawa jika tidak kerana pertolongan dan perlindungannya tentulah Nabi Muhammad s.a.w akan terpengaruh sedikit kepada tipu-daya kaum kafir musyrik itu; dan akibatnya Baginda akan ditimpa azab berganda-ganda semasa hidup dan semasa mati.

Jika Nabi demikian keadaannya, maka umatnya yang beriman tertuntut merenungkan hal ini dan jangan lalai daripada memohon perlindungan Allah ‘Azza wa Jalla pada setiap masa supaya tidak dipengaruhi oleh tipu-daya Syaitan-syaitan zamannya.

  1. Sentiasalah kita perbanyakkan, jangan tinggalkan doa-doa ini agar kita tidak terpengaruh dengan tipu-daya syaitan yang bekerja sepanjang zaman:

i- Doa minta tetapkan hati:
اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ وَعَلى طَاعَتِكَ
“Wahai Zat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.”

ii- doa akhir solat sebelum salam:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ وَعَذَابِ الْقَبْرِ،
وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada kekufuran, kefakiran dan juga azab kubur.
Juga daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan al-Masih al-Dajjal.”
[HR Muslim].

  1. Allah nyatakan lagi sesiapa yang terpedaya dan terpesong dengan tipu-daya syaitan ini Allah tak akan tolong mereka lagi & mereka akan mendapat kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati!!
    Wal ‘iyazu billah.

وَإِن كَادُوا لَيَسْتَفِزُّونَكَ مِنَ الْأَرْضِ لِيُخْرِجُوكَ مِنْهَا ۖ وَإِذًا لَّا يَلْبَثُونَ خِلَافَكَ إِلَّا قَلِيلًا ‎﴿٦٧﴾

Ayat 76- {Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi (Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan sedikit masa sahaja.} (Al-Israa’ 17:76)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat lepas diceritakan bagaimana puak kafir cuba menggoda dan memesongkan (mengecek) Nabi s.a.w agar menerima syarat & permintaan mereka untuk toleransi dalam beragama!

ii- maka datang ayat ini menyatakan setelah mereka tak berjaya secara halus- mereka nak guna kekerasan pula ke atas Nabi s.a.w.

*Inilah uslub yang syaitan ajar- jika kamu tak boleh berdamai dan berbaik maka berbalah & berlawanlah!

  1. Allah nyatakan hampir-hampir puak kafir itu berjaya menangkap Nabi s.a.w.
    Iaitu itu hasil keputusan setelah mereka bermesyuarat di parlimen mereka Darun-Nadwah untuk membunuh atau menghalau Nabi s.a.w mereka pun terus melakukan tindakan untuk menjayakan keputusan mereka itu!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini!
    {Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.} (Al-Anfaal 8:30)
  3. Allah beri amaran kepada puak kafir jika mereka berjaya buat kejahatan ke atas Nabi s.a.w itu mereka tidak akan lama tinggal di Makkah & akan mati dibunuh semuanya!
  4. Lalu sebelum perancangan jahat mereka itu berlaku- Allah s.w.t memerintahkan Nabi s.a.w untuk segera keluar berhijrah meninggalkan Makkah.
    Lalu Nabi s.a.w keluar berhijrah ke Madinah pada akhir Safar pada tahun pertama Hijrah.
  5. Kata: merekalah yang menyebabkan Nabi s.a.w keluar dari Makkah.

Walaupun Nabi s.a.w berhijrah dengan perintah Allah – tetapi itu adalah kesan & hasil dari keputusan dan perancangan jahat mereka untuk membunuh Baginda.

  1. Nota [665] Allah Ta’ala menerangkan bahawa kaum musyrik Makkah sedang merancangkan rancangan jahat untuk menyusahkan Baginda dengan tujuan supaya Baginda keluar meninggalkan tanahairnya.

Lalu diberi amaran, jika mereka melakukan yang demikian, tentunya mereka akan ditewaskan sesudah itu.

  1. Yakni Allah beri amaran kepada kaum kafir jika berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan sedikit masa sahaja.

Ini jelas terjadi dalam peperangan Badar pada tahun ke-2 selepas hijrah di mana ramai penyangak Quraisy yang jahat seperti Abu Jahal dan lain-lain yang menentang Nabi s.a.w sebelum ini telah terbunuh dengan hinanya!

*Perang Badar juga terkenal dengan nama sebagai hari Yang memisahkan antara yang haq & batil!

  1. Ada juga yang mati selepas peperangan Badar seperti Abu Lahab, Ubai bin Khalaf dan beberapa orang lagi.

Yang penting tak lama balasan Allah ke atas mereka menimpa!

Ayat 77- { (Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu.} (Al-Israa’ 17:77)

  1. Telah menjadi ketetapan Sunnatullah sebelum ini lagi bahawa semua mereka yang menentang nabi, halau nabi atau bunuh nabi akan mati dibinasakan oleh Allah.
  2. Maka begitu juga mereka kaum musyrikin Quraisy yang halau Nabi s.a.w juga akan Allah binasakan!

Allah kata sudah menjadi ketetapan Allah begitu kamu tak boleh ubahnya lagi wahai Muhammad s.a.w ia akan tetap berlaku!

  1. Nota [666] Peraturan Allah yang tetap terhadap kaum kafir yang mendustakan dan menyakiti Rasul-rasul-Nya ialah mereka akan dibinasakan setelah Rasul-rasul-Nya keluar meninggalkan mereka.

Dalam pada itu, kerana Nabi Muhammad s.a.w, Nabi yang membawa rahmat, maka kaum musyrik Makkah menentang Baginda dan menyakitinya, tidak dibinasakan punah-ranah seperti yang terjadi kepada kaum-kaum kafir yang telah lalu, tetapi mereka telah menderita kesengsaraan dan kehinaan, kerana banyak di antaranya terutama ketua-ketuanya telah dibunuh dan ditawan seperti yang telah berlaku di medan perang Badar dan di medan-medan perang yang lain.

  1. Jelas kepada kita sekali tentang perbezaan umat dahulu dengan umat kita sekarang ini:

i- orang dulu binasa secara keseluruhan, mati total semuanya!

ii- umat sekarang sebahagian saja atau jika mati sikit-sikit saja.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 73- {Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu,…}-

Allah nyatakan bahawa puak kafir hampir berjaya untuk goda & pesongkan Nabi s.a.w dengan permintaan mereka yang penuh tipu-daya.

*Mereka tak mampu dan tak berjaya cuma hampir saja.

Mereka buat permintaan yang tak logik seperti bukit bertukar jadi emas, minta Nabi s.a.w bertoleransi dengan agama berhala mereka dan lain-lain permintaan yang bersifat memesongkan Nabi s.a.w daripada agamanya!

Mereka cuba pesongkan Nabi s.a.w terutamanya dari wahyu Allah s.w.t!

Setelah tak berjaya dengan hasutan & pujukan- apabila sudah kalah mereka pun tukar dengan guna akta kekerasan pula untuk melawan Nabi s.a.w.

Ini terbukti dengan keputusan mereka untuk membunuh atau menghalau Nabi s.a.w keluar dari Makkah.

Itulah sifat kafir apabila kalah tak berjaya & tiada fakta mereka akan guna akta kekerasan untuk menyekat dakwah Nabi s.a.w.

Lalu mereka berjaya juga hasil keputusan mesyuarat mereka di Darun-Nadwah- keluar akta untuk menghalau atau membunuh Nabi s.a.w.

Baginda s.a.w keluar berhijrah ke Madinah walaupun dengan perintah Allah s.w.t tetapi hasil dari perancangan jahat mereka juga!

  1. Ayat 74- {Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.}-

Jika tidak kerana Allah tetapkan hati & pendirian Nabi s.a.w- dia akan cenderung untuk bertoleransi & menerima permintaan golongan kafir!

Ulama’ tafsir kata: tiada siapa yang boleh terlepas dari maksiat & benda mungkar kecuali dengan taufiq hidayah dari Allah:

i- jika Allah tak jaga Nabi s.a.w- Nabi akan terpesong dengan godaan kafir!

ii- kita hari ini pula jika bukan dengan jagaan sunnah Nabi s.a.w kita akan terpesong daripada landasan agama!

Maka kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah untuk sentiasa berpegang dengan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w, tidak tergoda dengan godaan dunia, tidak terpesong dengan kelicikan puak kafir, sentiasa menyatakan apa yang benar yang kita nampak- menegur apa yang patut, memberi nasihat dengan penuh kasih-sayang!

Kemudian jika kita tegur jangan anggap kita benci, nak menghina keluarga atau nak menjatuhkan kawan, tetapi apa yang dinyatakan untuk menyelamatkan kita semua dari kemurkaan Allah s.w.t!

Kita sekarang tidak terasa bahawa kita sebenarnya selamat kerana jagaan Allah s.w.t!

Maka jangan sesekali lalai & lupa untuk membaca zikir pagi petang sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w setiap hari agar kita sentiasa di dalam jagaan & perlindungan Allah s.w.t.

Juga bacaan doa-doa lain sebagaimana yang ada dalam kitab ini:

Zikir Pagi & Petang.
https://dartaibah.com/…/Zikir-Pagi-Petang-dan-Selepas

Ingatlah kita selamat dengan taufiq & jagaan dari Allah!

  1. Ayat 74- {Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.}– kena sentiasa mencari jalan untuk istiqomah!

Ada satu risalah yang kita usahakan; Istiqomah selepas ibadat yang besar.

Iaitu setiap kali selepas Ramadhan & balik Haji kita kena baca doa ini sebagai peringatan untuk diri kita.

Supaya kita boleh jaga maintain istiqomah kita agar tidak lari.
Jika Allah tak jaga kita- kita akan terpelanting!

Ini menunjukkan bahawa kita sangat berhajat kepada Allah- sentiasa berdoa dan minta petunjuk Allah!

Ada 10 perkara yang DDAAM senaraikan dalam risalah ini- seperti bersahabat dengan orang soleh, membaca al-Quran dan seumpamanya!

Tadabbur al-Quran dengan penuh penghayatan bukan sekadar majlis khatam suka-suka berbaju sedondon berbagi bunga telur!

Jika kamu orang baik terpedaya dengan orang kafir- Allah akan gandakan kesalahan dan dosa kamu.

Kata ulama’ tadabbur: Ini menunjukkan besarnya dosa & kesalahan apabila orang yang baik bukan kesalahan kerana orang akan ikutnya dan menyangka itu kebenaran bukan kesalahan.

Apabila pak haji buat, pak imam buat, pak ustaz buat (yakni orang yang ada agama); maka perkara itu akan menjadi satu normalisasi dan masyarakat akan meniru membuatnya juga dengan alasan mereka itu buat!

*DDAAM antara agenda yang pertama menegur budaya mekap pengantin perempuan oleh jurumekap lelaki atau pondan semasa awal balik ke Malaysia.

  1. Ayat 76- {Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi (Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu;..}– hampir-hampir mereka nak halau Nabi s.a.w dari Makkah!

Kata ulama’ ayat ini menunjukkan Quraisy menghalau Nabi s.a.w & kafir selepas itu menghalau para pendakwah yang lain!

Sekarang ini jika tiada orang kafir pun kita ada orang jahil yang akan sentiasa menentang dakwah yang berpegang dengan Sunnah Nabi s.a.w.

Samada sekat dengan pertembungan atau menghalang sekat dengan tak beri peluang untuk menyampaikan dakwah kebenaran.

Tak padan dengan tak beri slot, siap dengan memanggil penceramah lain – tak cukup dari dalam negeri dari luar negara juga!

Kerana itulah kata para ulama’: Puak kafir ini akan cuba menyekat para pendakwah dengan apa cara sekalipun!

Maka para pendakwah kena sabar dalam menghadapi ujian & sebarang kemungkinan.

  1. Ayat 77- {(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami;..}

Allah kata ketetapan Allah telah berlaku!
Ulama’ kata Allah kata kafir keluarkan Nabi s.a.w dari bumi Makkah.
Ini adalah satu isyarat bahawa Baginda Nabi s.a.w akan keluar dari bumi Makkah.

Ini sebagaimana yang telah dibayangkan oleh seorang ahli Kitab Waraqah bin Naufal- yang dijumpai oleh Nabi s.a.w setelah menerima wahyu pertamanya!

Hari pertama menerima wahyu lagi Nabi s.a.w telah dimaklumkan akan perkara ini oleh Waraqah yang berkata jika dia masih muda & hidup pada waktu itu dia akan meolong Nabi s.a.w.

Maka sekali lagi dalam ayat ini Allah memberi gambarannya.

Tetapi Allah kata kamu jangan bimbang- itulah gaya hidup para nabi & rasul sebelum ini lagi!

Tetapi Allah kata jangan bimbang mereka semua ini yang buat perancangan jahat ke atas Nabi s.a.w akan binasa semuanya dan ini terbukti dalam peperangan Badar-ramai pembesar dan penjahat Quraisy yang binasa kecuali beberapa orang sahaja yang tak mati!

Seperti Abu Sufyan yang akhirnya menjadi seorang sahabat r.anhu.

Ikrimah anak Abu Jahal yang akhirnya menjadi seorang yang beriman juga!

Demikianlah Sunnah yang ditetapkan Allah s.w.t- orang baik akan diuji dan adakalanya akan dipuji.

Kita berdoa kepada Allah s.w.t untuk menetapkan pendirian kita- menyampaikan al-Quran & Sunnah nb s.a.w mengikut pemahaman yang dipilih oleh para ulama’ yang muktabar!

Kita bercakap menyampaikan selagi ada peluang jika disekat kita berhenti sekejap sebagaimana kata almarhum TGNA- jika lampu merah di trafik light kita berhentikanlah kereta sekejap tunggu lampu hijau- tetapi enjin jangan sesekali dimatikan!

Begitulah tugas para pendakwah sepanjang zaman!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 30/06/2026 – 14 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=991101803740340

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top