View Categories

(10) Surah Al-Israa’: Ayat 36-39

16 min read

Live Kuliah Pagi Sabtu 20/06/2026 – 04 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (10) Ayat [36-39]

Full video: https://youtu.be/iNa2A49hpJ0?si=uCxGwZT1t-SZGpmq

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 36 sehingga ayat 39 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan larangan bercakap, mengeluarkan hukum, membuat tuduhan & menjadi saksi dalam perkara yang kita tiada ilmu tentangnya.

Ini kerana semua pendengaran kita, penglihatan & hati kita akan dipersoal oleh Allah & menjadi saksi di Akhirat kelak.

Mudah-mudahan kita selamat dari perbuatan buruk ini & selamat di Akhirat kelak, insya’ Allah!

  1. Allah s.w.t juga larang kita dari bersikap angkuh, sombong dan bangga diri; jangan lupa diri kita manusia terlalu kerdil berbanding makhluk Allah yang lain, pun tak terlawan apatah lagi dengan Allah Tuhan sekelian alam!
  2. Kemudian Allah nyatakan bahawa hukum-hakam yang Allah wahyukan kepada Nabi s.a.w itu penuh dengan hikmah & kebijaksanaan Syariah.

Siapa yang ambil sekutu selain daripada Allah tunggulah tempatnya akan dihumban ke dalam neraka kelak!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa manusia diperintahkan untuk tunaikan janji & sempurnakan sukatan & timbangan, berjanji biar benar, nak jadi saksi biar betul.

Kenapa?
ii- kerana datang ayat ini Allah nyatakan bahawa semua perbuatan & perkataan kamu akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t.

Allah tahu semua perbuatan kamu juga yang di dalam hati kamu apa kamu niat.

Allah tahu niat & perangai buruk kamu maka jangan sesekali kamu buat perangai yang akan menyusahkan kamu di Akhirat kelak!

*Ini adalah daripada 25 taklif (tanggung-jawab) Syara’ samada yang berbentuk arahan atau larangan.

Hari ini adalah arahan yang ke-24 & ke-25 iaitu jangan kamu buat sesuatu ikut sangkaan saja tanpa ilmu yang sahih serta larangan agar jangan sombong & takabbur bangga diri.

*Kemudian diakhir Allah ulang larangan yang pertama dulu iaitu jangan sesekali kamu syirik, menjadikan sekutu bagi Allah!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا ‎﴿٣٦﴾

Ayat 36- {Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.} (Al-Israa’ 17:36)

  1. Ayat ini ialah larangan daripada berucap & melakukan perkara yang kita tiada keyakinan, hanya berdasarkan sangkaan semata-mata, yang kamu tiada ilmu, bukti atau dalil tentangnya!
  2. Antara senarai contoh yang dibuat oleh ulama’ ialah:

i- membuat tuduhan jahat kepada orang yang baik!
Seperti qazaf, tuduh orang yang memang dikenali baik- berzina atau liwat tanpa bukti!

ii- buat tuduhan atau senarai buruk terhadap orang sedangkan kamu tak tahupun bagaimana pegangan dia sebenar.

iii- bercakap tentang hukum feqah & agama dengan sangkaan semata-mata tanpa dalil.

iv- jangan bercakap dalam perkara yang kamu tiada haq untuk bercakap.

v- Kata Syeikh Asy-Syanqiti rhm, ini termasuk: Dia kata dia tengok tetapi sebenarnya tak tengokpun, mengaku dengar sedangkan tak dengar pun, atau mengaku bermimpi sekian-sekian sebenarnya tidak!

  1. Kata ar-Razi:
    iv- Larangan ini juga kepada orang kafir yang duduk ikut mazhab tok nenek!
    Tok nenek sembah berhala maka mereka nak sembah berhala juga!

Kita orang Islam jangan ikut begini- kita wajib ikut al-Quran & Sunnah bukan kata molek dah apa yang orang tua buat ini jika ianya tak betul!

vii- saksi palsu
viii- dusta atau bohong dalam percakapan.
ix- termasuk juga membuat zalim terhadap orang ialah-
x- mengumpat mengeji orang.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.} (Al-Nahl 16:116)

ii- {Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;} (Al-Hujuraat 49:12)

  1. Kemudian Allah nyatakan- sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya; yakni semua pancaindera yang utama ini, yang tinggi manfaatnya, cantik susunannya; akan ditanya apakah yang kamu guna & lakukan dengannya!
  2. Apakah kamu gunakannya untuk:
    i- kebaikan yang membawa manfaat dan Akhirat seperti mencari ilmu yang berguna, hati penuh kasih sayang dan kebaikan, dengar & baca al-Quran.

ii- atau kamu gunakannya untuk melihat & dengar maksiat, hiburan, muzik yang melaghakan, mendengar tuduhan umpatan kejian dan seumpamanya, hati pula penuh dendam hasad dengki kebencian; maka tunggulah tanggung-jawabnya di Akhirat kelak!

*Semua akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t.

*Allah mulakan dengan pendengaran dulu kerana ia yang dicipta dulu sebelum mata & yang digunakan terlebih dahulu daripada penglihatan.

  1. Ayat ini di ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {… dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.} (Al-Nahl 16: 93)

ii- {Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.} (Fussilat 41:20)

  1. Hadis doa Nabi s.a.w untuk minta perlindungan daripada keburukan atau salah guna anggota badan yang diajar oleh Nabi s.a.w. kepada sahabat Baginda Syakl bin Humaid r.a:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ سَمْعِي، وَمِنْ شَرِّ بَصَرِي، وَمِنْ شَرِّ لِسَانِي، وَمِنْ شَرِّ قَلْبِي، وَمِنْ شَرِّ مَنِيِّي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan (keburukan) pendengaranku, kejahatan penglihatanku, kejahatan lisanku, kejahatan hatiku, dan kejahatan air maniku.” [HR Abu Daud dan at-Tirmizi].

  1. Ringkasan Anggota Yang Kita Minta Dilindungi:

i- Pendengaran (سمع): Perlindungan daripada mendengar perkara maksiat, fitnah, atau yang melalaikan.

ii- Penglihatan (بصر): Perlindungan daripada melihat perkara haram atau yang boleh mengundang dosa.
Biarlah mata kita menjadi seperti mata lebah yang sentiasa cari yang baik bukan mata lalat!

iii- Lisan (لسان): Perlindungan daripada mengumpat, berkata bohong, memfitnah, atau menyakiti hati orang lain.

iv- Hati (قلب): Perlindungan daripada sifat mazmumah (buruk) seperti riyak, hasad dengki, sombong, dan niat jahat.

v- Kemaluan atau mani (مني): Perlindungan daripada terjebak dalam perzinaan atau maksiat seksual.

*Kita minta perlindungan Allah s.w.t daripada semua kejahatan ini!

  1. Nota [634] Larangan Allah ini adalah menjadi undang-undang yang meliputi segala soal dalam alam kehidupan ini.

Kita tidak boleh memperkatakan atau melakukan sesuatu yang kita tidak mengetahuinya.

Kita tidak boleh menjadi saksi melainkan terhadap perkara yang telah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan diketahui oleh hati.

Dalam soal iktiqad, kita tidak boleh mempercayainya melainkan dengan dalil yang membuktikan kebenarannya.

Larangan Allah ini hendaklah dipatuhi, kerana mata, telinga dan hati akan ditanya oleh Allah Ta’ala pada hari kiamat tentang apa yang telah dilakukannya.

وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا ‎﴿٧٣﴾‏

Ayat 37- {Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.} (Al-Israa’ 17:37)

  1. Ini adalah larangan yang terakhir atau yang ke-25- iaitu janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, berlagak seperti orang yang jabbar- sombong & angkuh!
  2. Sebab manusia itu menjadi sombong takabbur ialah kerana bangga diri, berasa dirinya hebat, kagum dengan diri sendiri berasa lebih tinggi daripada orang lain!
  3. Kata ulama’ al-Qurtubi: Ini adalah larangan daripada sifat sombong dan perintah agar kita bersifat tawadhuk!
    Ketahuilah kamu itu lemah jangan dok berasa diri kamu itu besar!
  4. Ini kerana Allah kata orang yang sombong atau angkuh itu- kamu pijak & hentak setara mana pun kakimu- bumi tidak akan tembus, kamu hanya manusia yang kecil & lemah- tidak akan menggapai bukit atau gunung yang tinggi!
  5. Hadis daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Ketika seorang lelaki berjalan dalam keadaan rambutnya disisir rapi dan pakaiannya yang diheret (kerana sombong), tiba-tiba Allah menenggelamkannya ke dalam bumi. Maka dia terus meronta-ronta di dalamnya sampai hari Kiamat.” (HR Muslim dan al-Bukhari).

*Zaman kita sekarang ini ada pemilik kenderaan besar & mahal maka berjalan dengan sombong di hadapan orang.

  1. Nota [635] Berjalan dengan berlagak sombong adalah dilarang, kerana manusia yang bersifat demikian tidak akan dapat menembusi bumi dengan hentak kakinya, dan tidak akan dapat menandingi tinggi gunung-ganang dengan mengangkat kepalanya.

‏ كُلُّ ذَٰلِكَ كَانَ سَيِّئُهُ عِندَ رَبِّكَ مَكْرُوهًا ‎﴿٨٣﴾‏

Ayat 38- {Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu.} (Al-Israa’ 17:38)

  1. Setiap perintah atau larangan yang sebanyak 25 perkara bermula dari arahan untuk mentauhidkan Allah ini adalah jika kamu menyalahinya- kamu akan pincang dalam hidup ini.
  2. Iaitu jika larangan Allah kamu langgar, perintah Allah kamu tak buat; maka menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu dan kamu akan menjadi orang yang celaka dunia Akhirat.

ذَٰلِكَ مِمَّا أَوْحَىٰ إِلَيْكَ رَبُّكَ مِنَ الْحِكْمَةِ ۗ وَلَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ فَتُلْقَىٰ فِي جَهَنَّمَ مَلُومًا مَّدْحُورًا ‎﴿٩٣﴾

Ayat 39- {Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah).} (Al-Israa’ 17:39)

  1. Munasabah: Semua 25 larangan & perintah ini; semuanya mempunyai hikmah kebijaksaan Allah s.w.t kerana Allah tidak akan buat sesuatu perkara kecuali dengan ilmu-Nya yang meliputi segala perkara!

ii- maka datang ayat ini menyatakan semua yang Allah wahyukan kepada Nabi s.a.w daripada hikmah tentang segalanya supaya Baginda s.a.w beramal dengannya dan berdakwah mengajak orang beramal dengannya!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.} (Al-Baqarah 2:269)
  2. Maka ajaran Nabi s.a.w ini penuh dengan hikmah & mengajak manusia kepada akhlak mulia.
  3. Hadis sabda Nabi s.a.w:
    إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan semata-mata untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Al-Bukhari & Ahmad)

  1. Di akhir ayat sekali lagi walaupun ditujukan kepada Nabi s.a.w tetapi untuk disampaikan kepada seluruh umatnya- janganlah sesekali kamu menyekutukan Allah dengan syirik kepadanya kerana kelak kamu akan dihumban ke dalam api neraka yang mana malaikat para penjaganya semakin hari semakin bengis!!!
  2. [636] Sebagaimana ayat-ayat yang telah lalu, yang mengandungi perintah-perintah dan larangan itu dimulai dengan menegaskan dasar tauhid, maka ayat ini juga disudahi dengan dasar tauhid, yang menjadi ruh dan asas ugama Islam.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 36- {Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;..}-
    Allah melarang kamu dari bercakap dalam perkara yang kamu tiada ilmu.

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini adalah untuk mendidik adab yang mulia; jaga mata, telinga kamu juga akal pemikiran kamu!

Jangan kamu memikirkan yang tidak tentu, belajar sesuatu yang tidak betul yang boleh merosakkan semua anggota itu!

Ayat ini juga hujjah atau dalil larangan daripada mengeluarkan fatwa hukum Syara’ tanpa ilmu!

Sekarang orang seronok dilantik & diberi jawatan tinggi- apa hukum semuanya beres tanpa ilmu dan dalil yang benar!

Nak bercakap tentang hukum kena tahu halal-haram, nak bercakap tentang fatwa kena ada maklumat.

Orang yang ada ilmu kena jaga penampilan dan adab perangainya, kena ada kemuliaan diri!

Ayat ini menjadi dalil juga Allah mencela bercakap tanpa ilmu, menjadi saksi palsu, tak boleh jadi qadhi tanpa ilmu, keluar fatwa tanpa dalil dan seumpamanya sebagai yang telah disenaraikan tadi.

  1. Ayat 36- {sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati…}-
    Allah sebut tiga alat pancaindera untuk menerima ilmu ini!

Jika seseorang itu tengok, dengar & fikir; maka inilah cara yang mantap untuk menerima ilmu dengan sempurna!

Jika seseorang itu buta tetapi masih ada pendengaran dan akal- dia masih boleh menerima ilmu melalui telinganya bahkan betapa ramai ulama’ besar yang buta, hafal Al-Qur’an, hafal Sunnah menjadi ulama’ & mufti.

Cuma orang buta tak boleh menjadi Qadhi yang menjatuhkan hukuman kerana Qadhi kena lihat wajah tertuduh & bukti yang dikemukakan dalam pengadilan.

Tiga anggota ini kita kena jaga dengan betul:
i- telinga jangan dengar kecuali perkara baik;
ii- mata jangan lihat kecuali perkara baik
iii- hati jangan dok fikirkan tentang perkara tak baik.

Kita kena bertanggung-jawab untuk menjaganya dengan baik kerana 3 alat ini adalah lorong atau cara untuk kita menerima ilmu!

Kata ulama’:
i- Keracunan fikiran lebih bahaya daripada keracunan perut (makanan) yang boleh diubat di hospital!

ii- Keracunan fikiran akibat dakyah yang masuk ke dalam otak melalui telinga; akan melahirkan akibat yang zalim, sangkaan buruk & maklumat yang tidak sahih!

Walaupun sudah bersama belajar mendengar kuliah seseorang ustaz itu selama bertahun- sekali datang bisikan dan tuduhan jahat- terus membuang dan memangkahnya, masuk dalam blackl list tanpa penjelasan yang telus & adil!
Allahu al-Musta’an!

  1. Ayat 36- {…. semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.}– ingat semua apa yang kamu buat, cakap dengar & lihat atas dunia ini akan dipertanggung-jawab di Akhirat kelak.

Mata tengok benda maksiat, telinga dengar caci maki & umpatan yang haram, hati penuh dengan sombong, takabbur, dendam & hasad; semua kita akan dipersoalkan di hadapan Allah!

Sebagaimana yang selalu disebut oleh DDAAM: Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah kelak; kita sendirilah penulisnya!

Kerana Allah telah kata kita akan dipertanggung-jawabkan dengan semua perbuatan kita atas dunia ini.

Tak boleh lagi beri alasan bahawa kita hanya share, forward & like saja- bukan yang buat asalnya!

Maka marilah kita buat yang baik agar suratan amal yang kita nak baca di Akhirat kelak adalah yang baik semuanya!

  1. Ayat 37- {Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong,….}- maka di sini Allah larang sifat sombong, takabbur, degil, keras kepala & tak dengar kata!

Maka kita orang yang baik-baik ini, jangan kita buat semua perkara tak baik yang Allah larang ini.

Ayat 39- {Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu.}- Allah nyatakan semua ajaran Islam ini penuh dengan hikmah & kebijaksaan.

Ada sebuah buku yang diterjemahkan oleh DDAAM yang sangat menarik tentang hikmah di sebalik hukum-hakam Syari’ah ini:

Keindahan Islam
https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…

  1. Ayat 39- {Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya…}– di akhir ayat kata kamu jangan jadikan sekutu bagi Allah s.w.t.

Allah tutup ayat ini dengan larangan syirik sebagaimana bermula
Semua perkara 25 isu yang dibahaskan dalam ayat ini ialah perkara buruk yang akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t:

  1. Larangan Syirik dan menolak segala bentuknya:
    (وَلَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ)
    “Dan janganlah engkau menjadikan bersama Allah tuhan yang lain.” [Al-Isra’ (17): 22].
  2. Perintah Beribadah kepada Allah dan Larangan Menyembah selain-Nya. (وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ):
    “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya.” [Al-Isra’ (17): 23].
  3. Berbuat Baik kepada Kedua-dua Ibu Bapa: (وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا)
    “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” [al-Isra’ (17): 23]

4–8. Bentuk-Bentuk Ihsan Berbuat Baik kepada Ibu Bapa (Lima Perkara)

  1. Tidak berkata kasar kepada mereka: (فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ)
    “Maka janganlah engkau berkata kepada mereka berdua: ‘Ah’.” [al-Isra’ (17): 23].
  2. Tidak menengking mereka: وَلَا تَنْهَرْهُمَا
    “Dan janganlah engkau menengking mereka.” [al-Isra’ (17): 23].
  3. Berkata dengan perkataan yang mulia: وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
    “Dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” [al-Isra’ (17): 23].
  4. Merendahkan diri dengan penuh kasih sayang:
    وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ
    “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang.” [al-Isra’ (17): 24]
  5. Mendoakan kedua-dua ibu bapa: وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
    “Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidikku ketika kecil.” [al-Isra’ (17): 24].

9–11. Memberikan Hak kepada Tiga Golongan manusia ini:
وَآتِ ذَا الْقُرْبَىٰ حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ
“Dan berikanlah kepada kaum kerabat akan haknya, demikian juga kepada orang miskin dan musafir.” [al-Isra’ (17): 26]

  1. Memberikan hak kepada kaum kerabat.
  2. Memberikan hak kepada orang miskin.
  3. Memberikan hak kepada musafir yang memerlukan bantuan.
  4. Larangan Membazir: وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا
    “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros.” [al-Isra’ (17): 26].
  5. Menolak dengan Lemah Lembut dan Menyenangkan:
    فَقُلْ لَهُمْ قَوْلًا مَيْسُورًا
    “Maka katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan menyenangkan.” [al-Isra’ (17): 28].
  6. Larangan Bakhil dan Terlalu Kedekut:
    وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ
    “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu.” [al-Isra’ (17): 29]
    Maksudnya: Jangan terlalu kedekut dan enggan mengeluarkan harta pada jalan yang benar.)
  7. Larangan menanam anak perempuan hidup-hidup- Islam mengharamkan amalan jahiliah menanam bayi perempuan hidup-hidup kerana menganggapnya sebagai aib dan kehinaan.

Juga larangan membunuh anak lelaki & perempuan kerana takut miskin: وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan.” [al-Isra’ (17): 31].

  1. Larangan Zina: وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ
    “Dan janganlah kamu mendekati zina.” [al-Isra’ (17): 32].
  2. Larangan membunuh tanpa hak secara umum:
    وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ
    “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan yang benar.” [al-Isra’ (17): 33]
  3. Serta larangan menghampiri atau mengambil harta anak yatim kecuali dengan cara yang baik: وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ [al-Isra’ (17): 34]
  4. Hak wali untuk menuntut qisas terhadap pembunuh:
    وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا
    “Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberikan kepada walinya suatu kuasa (untuk menuntut qisas).” al-Isra’ (17): 33]
  5. Haram melampaui batas dalam pelaksanaan qisas: فَلَا يُسْرِفْ فِي
    الْقَتْلِ
    “Maka janganlah dia melampaui batas dalam pembunuhan.” [al-Isra’ (17): 33]
  6. Perintah menunaikan janji dan amanah: وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ
    “Dan penuhilah janji.” [al-Isra’ (17): 34]
  7. Menyempurnakan sukatan: وَأَوْفُوا الْكَيْلَ إِذَا كِلْتُمْ
    “Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat.” [al-Isra’ (17): 35]
  8. Menimbang & buat penilaian dengan adil: وزِنُوا بِالْقِسْطَاسِ الْمُسْتَقِيمِ “Dan timbanglah dengan neraca yang betul dan adil.” [al-Isra’ (17): 35]
  9. Larangan mengikut sangkaan tanpa ilmu, buat tuduhan & syak wasangka: وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ
    “Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.” [al-Isra’ (17): 36].
  10. Haram bersikap sombong dan angkuh: وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا
    “Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong.” [al-Isra’ (17): 37].

Di akhir ayat Allah tutup dengan penegasan semula larangan syirik (sebagaimana pada permulaan wasiat): وَلَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ
“Dan janganlah engkau menjadikan bersama Allah tuhan yang lain.” [al-Isra’ (17): 39]

Kesimpulan:
Keseluruhan ayat Surah al-Isra’ ayat 22–39 menghimpunkan 25 pengajaran dan wasiat Ilahi yang merangkumi:
Tauhid dan larangan syirik, berbakti kepada ibu bapa, menjaga hak masyarakat, akhlak dan adab bermuamalah, keadilan dalam ekonomi, pemeliharaan nyawa, maruah dan harta, larangan zina, pembunuhan, kezaliman dan kesombongan.

Kemudian Allah tutup sekali lagi dengan larangan jangan jadikan sekutu bagi Allah- mantapkan tauhid dan jauhi syirik. Inilah 25 taklif Syara’ dalam ayat-ayat kita ini!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 20/06/2026 – 04 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=982720121245175&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top