View Categories

(11) Surah Al-Israa’: Ayat 40-44

15 min read

Live Kuliah Pagi Ahad 21/06/2026 – 05 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (11) Ayat [40-44]

Full video: https://youtu.be/4xzW2qw34ks?si=r67jj_sT5CjUq8hc

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 40 sehingga ayat 44 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam ayat yang mulia ini Allah s.w.t nyatakan celaan ke atas kafir yang menisbahkan Tuhan ada anak & anak itu ialah anak perempuan!

Mereka telah mengeluarkan perkataan yang sangat buruk kepada Allah dengan buat tuduhan palsu terhadap Allah.

  1. Allah turunkan al-Quran sebagai peringatan & pengajaran kepada manusia untuk dijadikan pedoman fan petunjuk untuk menjadi orang yang baik.
  2. Kemudian Allah nyatakan semua makhluk di bumi & di langit bertasbih kepada Allah Azza wa Jalla.

Yang tidak bertasbih kepada Allah hanya makhluk jin dan manusia yang malas & derhaka.

Kelu lidah untuk menyebut nama Tuhan, tidak mengingati Allah dengan sebenarnya; bukan dengan buat majlis berzikir atau tasbih perdana kemudian reka pula apa yang Nabi s.a.w tak ajar.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah bincangkan 25 tentang taklif (tanggung-jawab larangan & perintah) Allah terhadap manusia- dengan pembukaan & penutupnya Allah pesan jangan sesekali kamu syirik menyekutukan Allah s.w.t.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan kejahatan puak kafir lagi ialah bukan setakat buat sekutu bagi Allah tetapi menisbahkan malaikat sebagai anak perempuan Tuhan.

Ini untuk membenarkan perbuatan mereka yang ada menyembah malaikat- jika benar anak Tuhan betullah perbuatan mereka menyembahnya itu, kononnya!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

أَفَأَصْفَاكُمْ رَبُّكُم بِالْبَنِينَ وَاتَّخَذَ مِنَ الْمَلَائِكَةِ إِنَاثًا ۚ إِنَّكُمْ لَتَقُولُونَ قَوْلًا عَظِيمًا ‎﴿٠٤﴾‏ 

Ayat 40- { (Jika demikian wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.} (Al-Israa’ 17:40)

  1. Allah menegaskan kewajipan mengEsakan Allah s.w.t jangan syirik kepada-Nya.

Tetapi puak kafir bukan setakat mensyirikkan Allah mereka mendakwa Tuhan anak ada pula! Ini jenayah & pendustaan yang besar!

  1. Bukan setakat kata Tuhan ada anak tetapi menisbahkannya kepada anak perempuan- sedangkan mereka sendiri tidak mahu anak perempuan ini, mereka nak anak lelaki.

Sejarah puak Arab jahiliyyah amat benci & takut jika dapat anak perempuan bahkan jika dapat anak perempuan ada yang menanamnya hidup-hidup!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?
    Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.} (An-Najm 53: 21-22)
  2. Kepada Tuhan mereka beri anak perempuan yang mereka tidak mahu & tidak suka- tetapi mereka sendiri mahu anak lelaki.

Inilah yang dikatakan beri kepada orang apa yang kita tidak mahu!

  1. Perbuatan mereka itu adalah satu jenayah yang amat besar!

Dua kali jenayah & kejahatan- dakwa Tuhan ada anak kemudian beri kepada-Nya anak perempuan yang mereka benci & tak mahu pula!

  1. Nota [637] Maha Suci Allah dari dakwaan dusta kaum musyrik, yang mengatakan bahawa malaikat ialah anak-anak perempuan Allah, sedang mereka sendiri memandang rendah kepada anak-anak perempuan dan hanya suka kepada anak-anak lelaki.

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ لِيَذَّكَّرُوا وَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا نُفُورًا ‎﴿١٤﴾

Ayat 41- {Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.} (Al-Israa’ 17:41)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan keji & buruknya perbuatan puak kafir terhadap Allah s.w.t!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan jika kamu nak tahu maklumat yang betul & yang jelas- ambil & terimalah apa yang ada dalam al-Quran!
Tetapi itu yang mereka tolaknya!

  1. Allah menegaskan bahawa telah dinyatakan, dijelaskan dengan terperinci dan diulang dalam al-Quran ini segala pengajaran, petunjuk, contoh bandingan, hujjah & dalil, supaya mereka ingat, mengambil pengajaran & mendengar nasihat!
  2. Tetapi apa boleh buat- bukan salah ibu mengandung, salah hati tak mahu terima!

Selepas mendengar al-Quran bukan makin insaf tetapi bertambah kejahatan, kebingungan dan makin lari mereka dari al-Quran!

*Begitulah apabila hati sudah benci- orang senyum pun dikata perli!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.} (Taha 20:113)

*Yakni boleh difahami oleh semua puak pembesar Arab penentang Islam.

  1. Yakni makin diberi peringatan makin mereka lompat, makin jahat & jauh dengan kebenaran!

Allah s.w.t-lah yang maha mengetahui lagi maha bijaksana & maha adil dengan hamba-Nya.

Seperti orang yang diberi dalil & hujjah; malangnya bukan cuba mencari kebenaran tetapi mengorek mencari kekurangan & kesalahan lagi untuk melawan!

  1. [638] Kaum kafir itu sungguh degil dan ingkar.

Allah Ta’ala telah menerangkan kebenaran di dalam Al-Qur’an dengan berulang-ulang, disertakan dengan dalil-dalil dan buktinya, dan dijelaskan lagi dengan tamsil ibarat, seruan dan amaran, tetapi mereka makin bertambah liar dan melarikan diri dari kebenaran.

  1. Begitulah manusia selagi tidak mendapat hidayah Allah mereka tidak akan tahu ke mana mahu dituju, akan terumbang-ambing sehingga binasa!

 قُل لَّوْ كَانَ مَعَهُ آلِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لَّابْتَغَوْا إِلَىٰ ذِي الْعَرْشِ سَبِيلًا ‎﴿٢٤﴾

Ayat 42- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).} (Al-Israa’ 17:42)

  1. Ayat ini adalah satu hujjah untuk membatalkan dakwaan puak kafir bahawa Tuhan itu ada banyak & pelbagai!
    Untuk mencabut pegangan & kefahaman ini dari akar umbi lagi!
  2. Secara logik akal pun tidak mungkin ada Tuhan Penguasa Alam ini lebih daripada satu; tuhan ini kata hari ini hujan tetapi tuhan lain mahu kemarau, tuhan itu nak suruh mati, tuhan itu nak suruh hidup!
    Pastilah huru-hara & binasa alam ini!
  3. Sesama manusia pun berbebut kuasa dan pangkat; bak kata kartun Arab:
    Syaitan lari dari ayat Kursi tetapi ahli politik berbalah berebut kursi pula!

Apatah lagi sesama tuhan jika ada ramai pasti akan berebut kuasa di dunia & di langit!

  1. Yakni jika ada Tuhan lain sebagaimana yang didakwa oleh puak kafir itu- pastilah Tuhan-Tuhan itu pun mahu mendekatkan diri & menyembah Allah, beribadat mendekatkan diri kepada Allah.

Ini kerana mereka akan tahu akan kekuasaan & keagungan Allah sebagai Tuhan yang mempunyai kekuasaan yang mutlak!!!

*Hanya puak kafir dari kalangan jin & manusia saja yang tidak tahu akan kekuasaan Allah & tidak mahu sembah Allah!

  1. Sepatutnya semakin kuat kita belajar aqidah & tauhid kepada Allah- semakin kuat kita bertaqwa dan bergantung kepada Allah sepenuhnya.

Tawakkal kita hanya kepada Allah: Jangan mengharapkan makhluk atau manusia kerana mereka lemah.
Letakkan setiap doa, hajat, dan keperluan di tangan Allah.

  1. Sebagaimana yang dipesan oleh Nabi s.a.w kepada Abdullah bin Abbas RA. Maksudnya: “Apabila kamu meminta (sesuatu), mintalah daripada Allah. Dan apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan daripada Allah.” (HR al-Tirmizi).
  2. Bukan mencari perantaraan-perantaran yang tidak pernah diajar oleh Nabi s.a.w.
    Jangan rosakkan tauhid yang suci & murni ini dengan ajaran yang tidak patuh Syari’ah itu! Jangan cari pasal cari perkara yang dilarang Allah!

سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يَقُولُونَ عُلُوًّا كَبِيرًا ‎﴿٣٤﴾‏

Ayat 43- {Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.} (Al-Israa’ 17:43)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah s.w.t telah bawa dalil yang jelas bahawa Allah s.w.t ini tiada sekutu dan tidak ada syirik baginya;

ii- maka datang ayat ini Allah bersihkan Zat-Nya yang mulia dari segala tuduhan jahat puak kafir!

  1. Subhanahu {سُبْحَـٰنَهُ}- Kita sucikan Allah s.w.t daripada segala sifat yang tidak layak dengan keagungan Allah & tidak patut bagi-Nya.

Maha tinggi Allah yang setinggi-tingginya dari segala tuduhan jahat puak kafir yang membuat pendustaan terhadap Allah!

  1. Yakni kita bertasbih dengan membersihkan Allah daripada segala tuduhan & dakwaan jahat puak kafir yang mengatakan Allah ada anak tak kira samada lelaki atau perempuan & Allah ada sekutu!
    Itu adalah satu tuduhan yang amat jahat & satu jenayah yang amat besar!
  2. Nota [639] Amatlah sucinya Allah dan amatlah jauhnya Allah dari segala kata-kata dusta yang dikatakan oleh kaum kafir musyrik itu.

Sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa, dan tiada sesuatu pun yang sebanding denganNya.

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا ‎﴿٤٤﴾

Ayat 44- {Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.} (Al-Israa’ 17:44)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- dalam ayat yang lepas Allah perintahkan kepada kita supaya bertasbih mensucikan Allah s.w.t.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa semua makhluk bertasbih mensucikan Allah s.w.t.

*Tasbih ini pula dua dua jenis;
i- tasbih umum- iaitu semua makhluk bertasbih kepada Allah;

ii- tasbih khusus hanya orang & jin beriman saja yang bertasbih begini kepada Allah serta makhluk lain yang tidak bernyawa.

  1. Allah nyatakan bahawa langit yang tujuh lapis dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya daripada kalangan malaikat, jin, manusia dan semua makhluk semuanya bertasbih memuji Allah, membersihkan Allah daripada perkara yang tidak layak bagi-Nya!
  2. Yakni semua makhluk yang ada di langit dan bumi, bulan dan bintang dan segala cakerawala itu adalah makhluk yang tidak berakal manakala malaikat, jin & manusia adalah makhluk berakal- semuanya:

i- bertasbih memuji Allah mensucikan Allah dari segala tuduhan jahat & kekurangan yang yang dinisbahkan kepada-Nya.

ii- mereka juga amat marah apabila ada yang mendakwa Allah ada anak!

  1. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Asy-Syuura 42:5)

ii- dalam ayat ini juga jelas:
{Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –
Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.
Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.
Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.} (Maryam 19: 90-95)

  1. Ayat-ayat ini seeloknya kita baca di akhir tahun apabila ada manusia yang merayakan kelahiran anak Tuhan!

Kita jangan turut bergembira happy menyambut perayaan mereka yang mendakwa Tuhan ada anak ini walaupun suka-suka- kerana ia perkara yang melibatkan agama & aqidah kita yang tidak boleh dibuat main.

Satu tuduhan jahat & pendustaan yang nyata terhadap Allah Azza wa Jalla!

  1. Allah sebut bertasbih maka bertasbihlah, kita kata segala makhluk itu- jangan dok fikir bagaimana.

Ada ulama’ kata tasbih sungguh dengan memuji Allah s.w.t, ada yang kata dengan maksudnya akur kepada perintah Allah s.w.t!

  1. Banyak ayat-ayat dalam al-Quran yang menceritakan tentang betapa makhluk itu bertasbih kepada Allah sebagaimana firman Allah ini.
  2. Kata ulama’ lagi tasbih itu dalam dua keadaan:
    i- samada dengan lidah kita- bergerak bertasbih memuji Allah.

ii- atau kita tasbih dengan hal- iaitu kita akur dengan segala perintah Allah, dengan keadaan jiwa kita yang menolak segala bentuk syirik terhadap Allah!

  1. Beberapa hadis pula yang menunjukkan segala makhluk bertasbih kepada Allah bukan kita manusia saja:

i- Hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
“Pernah suatu ketika seorang Nabi singgah (berteduh) di bawah sepohon pokok, lalu beliau disengat seekor semut.
Baginda lantas memerintahkan supaya tempat semut (sarang semut) itu dikumpulkan lalu dibakar.

Maka Allah S.W.T mewahyukan kepadanya: ‘Apakah hanya kerana seekor semut yang menyengatmu, engkau membinasakan satu umat (koloni semut) yang sentiasa bertasbih kepada-Ku?'” [HR al-Bukhari & Muslim].

ii- Hadis ketika mana para sahabat RAnhum dan Baginda Nabi S.A.W sedang menjamu selera lalu mendengar makanan sedang bertasbih memuji Allah S.W.T.

Riwayat daripada Abdullah R.A, dia berkata:
لَقَدْ كُنَّا نَأْكُلُ الطَّعَامَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَسْمَعُ تَسْبِيحَ الطَّعَامِ
Maksudnya: Sesungguhnya ketika kami menjamu selera bersama Nabi S.A.W lalu kami mendengar makanan itu sedang bertasbih. [HR al-Tirmizi (3993)]

  1. Terdapat sebuah buku yang dibaca sebagai Kuliah oleh DDAAM dibawah tajuk cinta berbalas antara Nabi s.a.w dan segala makhluk lain, boleh lihat rakaman di sini: https://www.youtube.com/@halaqahabuanasmadani.2046/search?query=cinta%20berbalas
  2. Kerana itu Nabi s.a.w melarang kita daripada memaki ayam yang berkokok pada dinihari kerana dia bertasbih kepada Allah & nak mengejutkan kita untuk bangun subuh. [HR Abu Daud]

*Begitulah semua binatang seperti semut ayam semuanya bertasbih kepada Allah!

  1. Pada akhir ayat Allah nyatakan bahawa sesungguhnya Allah itu:

i- maha Penyabar- Walaupun orang kafir & syirik tetap ada rezeki dan tidak dibinasakan terus atas dunia ini.

Kamu jahat dan kufur setara mana Allah bagi tempoh semoga mereka bertaubat insaf dan kembali kepada Allah!

ii- lagi Maha Pengampun- sebanyak mana dosa kamu pun jika kamu bertaubat- Allah akan terima & ampunkan dosa kamu!

  1. Hadis sabda Nabi s.a.w:
    “Sesungguhnya Allah akan memberi tempoh (tangguh) kepada orang yang zalim. Namun, apabila Allah mengambilnya (mengazab), maka Allah tidak akan melepaskannya.
    Kemudian Baginda s.a.w membaca ayat 102 dari surah Hud ini:
    {Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.}” [HR Bukhari dan Muslim].
  2. [640] Langit dan bumi serta isinya menyatakan dan menunjukkan keesaan Allah dan kekuasaanNya.

Tetapi orang-orang yang mempersekutukan Allah ‘Azza wa Jalla tidak mahu memahami akan bukti-bukti yang terang nyata itu.

Dalam pada itu, Allah Maha Penyabar daripada membalas kekufuran mereka, untuk memberi tempoh supaya mereka kembali ke jalan yang benar.
Allah juga Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 40- {Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.}– kamu memilih-milih- anak lelaki untuk kamu & untuk Allah kamu kata ada anak perempuan!

Sesungguhnya ini adalah satu perkataan & tuduhan yang amat dahsyat, amat buruk & amat keji mengatakan dusta terhadap Allah s.w.t!

Telah hampir terbelah langit & bergoncang bukit akibat ada manusia yang mendakwa Tuhan ada anak!

Maka jangan kita turut bergembira menyambut perayaan mereka ini & jangan ulang perkataan buruk itu!

Kerana itu adalah satu tuduhan yang amat buruk & keji terhadap Allah yang Esa lagi Maha Berkuasa!

Sekarang ini ada juga manusia yang beribadat dengan mengatakan perkataan buruk seperti Tuhan duduk dalam poket baju dia dan seumpamanya!

  1. Ayat 41- {Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Quran ini supaya mereka beringat…}-

Allah kata kami telah beri penjelasan yang sangat jelas dalam al-Quran.

Tetapi manusia yang hatinya buruk & penuh kebencian; makin diberi penerangan makin jauh dengan Tuhan.

Kita ini jika makin banyak belajar al-Quran makin jauh dengan Allah- maka kena semak hati kita; di manakah yang tidak betul- kenapa makin rosak perjalanan & keadaan.

Ini kerana kita hadiri pengajian al-Quran hanya pada namanya saja, hanya acara suka – tidak dari sudut penghayatan! al-Quran juga ada adab & etikanya- hadiri kelas pengajian dengan jaga penampilan, pakaian dan pergaulan.

Sepatutnya semakin banyak mengaji al-Quran; makin mantap iman, makin dekat kepada Allah, makin rajin beribadat & makin baik akhlaknya!

  1. Ayat 44- {Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah;…}
    Allah kata langit & bumi dan sekelian makhluk yang ada di keduanya- semuanya sentiasa bertasbih kepada Allah Azza wa Jalla!

Ayat ini sentap ke atas kepala kita- jika makhluk yang tidak hidup tidak berakal juga boleh bertasbih kepada Allah- kita manusia yang ada akal ini kenapa begitu susah & malas bertasbih kepada Allah!

Guruh yang berdentum di langit pun bertasbih kepada Allah!

Maka setiap kali mendengar sesuatu yang besar teruslah kita bertasbih kepada Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya lah kita hidup atas dunia ini! mengagungkan-Nya kerana dengan limpah kurnia Allah s.w.t kita hidup atas dunia ini.

  1. Ayat 44- {Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah;…}-

Jika makhluk yang tidak bernyawa seperti batu kayu pasir itu pun bertasbih kepada Allah- kita yang hidup dan berakal ini apa lagi.

Bagaimana makhluk tidak berakal & tidak bernyawa ini bertasbih kepada Allah???

Dalilnya terdapat hadis Nabi s.a.w yang mengatakan bahawa semua benda itu bertasbih kepada Allah Azza wa Jalla.

Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ، جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ، وَلَا شَيْءٌ، إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Tidaklah suara laungan azan itu didengari oleh jin, manusia, dan apa sahaja benda (makhluk), melainkan ia akan menjadi saksi baginya (muazzin) pada Hari Kiamat.” (HR al-Bukhari)

Nabi s.a.w juga menyuruh kita bertalbiyah dengan suara yang dapat didengari agar segala makhluk lain yang mendengarnya seperti batu kayu pasir boleh menjadi saksi kepada kita di Akhirat kelak!

Bukan kata kena melaung bertempik ketika bertasbih & bertalbiyah; tetapi tinggikan sedikit suara agar berbunyi dan dapat didengari dan menjadi saksi yang mendengarnya!

  1. Ayat 44- {… dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.}- semua makhluk itu bertasbih cuma kita yang tidak dengar atau tidak fahamnya.

Sebagaimana kisah dalam hadis tadi seorang nabi yang ditegur Allah kerana membakar sarang semut sedangkan mereka adalah makhluk yang bertasbih kepada Allah!

Maka jangan kita saja-saja mengusik, menyakiti atau membunuh makhluk Allah yang tidak melakukan kesalahan atau memberi ancaman & bahaya kepada kita.

Pada akhir ayat Allah bawa dua sifat-Nya yang mulia:

i- {Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar- حَلِيمًا}- orang jahat setara mana pun Allah biarkan dulu- bagi tempoh kalau-klaua nak kembali bertaubat & insaf.

ii- {lagi Maha Pengampun- غَفُورًۭا}- jika sudah bertaubat maka Allah maha Pemaaf lagi Pengampun akan segala dosa & kesalahan kamu.

Ya Allah dengan nama-Mu yang maha indah & sifat-Mu yang maha tinggi- jadikan kami sebagai orang yang sentiasa basah lidahnya bertasbih, bertakbir, bertahlil dan bertahmid kepada-mu, curahkanlah dalam hati kami agar sentiasa ingat, beristighfar dan bertaubat kepada-Mu.

Ampunilah dosa kami, maafkan kesalahan kami- gerakkan lidah kami untuk sentiasa menyebut nama-Mu, berselawat ke atas Nabi-Mu, memberi nasihat & mengeluarkan kata-kata baik- bukan kata-kata buruk, mengumpat, mengeji, mengata orang!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 21/06/2026 – 05 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=983421361175051

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top