View Categories

(9) Surah Al-Israa’: Ayat 32-35

15 min read

Live Kuliah Pagi Khamis 18/06/2026 – 02 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (09) Ayat [32-35]

Full video: https://youtu.be/5ETnD_Er-cM?si=ezsu5ynW2ZUylKoY

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 32 sehingga ayat 35 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan beberapa lagi siri larangan dari terjebak dengan perkara yang mungkar dan maksiat seperti zina dan apa saja lorong membawa kepadanya.
    Juga larangan membunuh orang tanpa hak.
  3. Allah juga bawa larangan dari memakan harta anak yatim, semua ini adalah antara dosa yang berat.
  4. Kemudian Allah menyatakan kewajipan sempurnakan sukatan dan timbangan atau menipu dalam urusan jual-beli.

*Dalam keseluruhan siri ayat larangan ini Allah s.w.t telah membawa 25 larangan dan arahan yang akan kita senaraikan secara ringkas nanti.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan larangan jangan membunuh anak semuanya- samada perempuan atau lelaki kerana takut jatuh miskin.

ii- maka datang ayat hari ini larangan dari sebab-sebab yang boleh mencipta anak melalui jalan yang salah iaitu zina!

Sebelum zina itu ada intronya seperti pergaulan bebas, percampuran lelaki wanita serta anasir luar seperti video porno lucah dan seumpamanya yang boleh membawa kepada perbuatan keji seperti zina atau jenayah rogol.

Juga larangan daripada membunuh jiwa tanpa hak & makan harta anak yatim!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ‎﴿٢٣﴾

Ayat 32- {Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).} (Al-Israa’ 17:32)

  1. Allah membawa larangan kepada zina; bermula dari larangan jangan sesekali mendekatinya, jauhilah segala lorong atau sebab yang boleh membawa kepada zina seperti pergaulan bebas yang tidak terkawal, pergaulan jantina tanpa batas & tabarruj yang berlebihan.

Nak pergi dekat zina pun tak boleh dah apatah lagi melakukan zina itu sendiri!

*Ini adalah isu yang ke17 dalam siri larangan dan arahan ini.

  1. Allah tegaskan bahawa perbuatan zina itu dosa besar, satu perbuatan yang sangat keji dan buruk dari sudut Syara’, akal & fitrah semulajadi manusia.
  2. Jalan palinng buruk ialah zina kerana ia boleh membawa banyak kerosakan; rosak keturunan, rosak maruah & masyarakat.
    Serta di Akhirat kelak akan mendapat azab yang pedih!
  3. Nota [630] Allah Ta’ala melarang daripada menghampiri apa-apa jua jalan yang membawa kepada zina apa lagi perbuatan zina itu sendiri.

Kerana yang demikian bukan sahaja satu perbuatan yang terang kejinya tetapi juga menimbulkan berbagai kerosakan dalam masyarakat.

Di antaranya merosakkan nasab keturunan, mengembangkan penyakit yang berbahaya, menimbulkan pergaduhan dan pembunuhan, kerana suami atau waris sudah tentu akan menyerang lelaki yang berzina dengan isterinya atau dengan perempuan yang menjadi darah dagingnya.

  1. Di samping kita menjaga, mengajar & mendidik anak cucu, keluarga & anak murid kita tentang keburukan & kejahatan perbuatan ini – kita juga kena banyak berdoa agar mereka dilindungi Allah daripada perbuatan keji ini & tidak terbuka hati kepadanya! Ini kerana kehidupan hari ini sangat bebas & tidak terkawal!

 وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا ‎﴿٣٣﴾

Ayat 33- {Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).} (Al-Israa’ 17:33)

  1. Ayat ini membawa larangan kedua iaitu membunuh seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.

*Atas dunia mungkin seseorang boleh lepas dari kesalahan jenayahnya dengan sebab teknikal tetapi ingat di Akhirat tiada tempat berselindung lagi!

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila Allah larang daripada membunuh anak & buat anak melalui jalan yang tidak sah iaitu zina;

ii- maka datang ayat ini Allah melarang daripada membunuh orang secara umum, tidak boleh bunuh sesiapa saja tanpa hak iaitu tanpa izin Syara’.

  1. Siapakah yang dibenarkan oleh Syara’ untuk dibunuh?
    Kita lihat hadis:
    Dari Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ: لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلاَّ بإِحْدَى ثَلاثٍ:
الثَّيِّبُ الزَّانِيْ، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالتَّاركُ لِدِيْنِهِ المُفَارِقُ للجمَاعَةِ

“Tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan bahwa aku adalah utusan Allah, kecuali karena salah satu dari tiga perkara:
(1) pezina yang sudah menikah (atau pernah menikah),
(2) jiwa dibalas jiwa (membunuh orang lain dengan sengaja), dan
(3) orang yang meninggalkan agamanya (murtad) serta memisahkan diri dari jamaah.” (HR Bukhari dan Muslim)

  1. Kata Ibnu Juzai rhhm: Sambungan kepada 3 perkara ini ada lagi iaitu; perompak yang menakutkan manusia dengan ganas & bersenjata (hirabah), orang yang meninggalkan solat setelah dinasihati & orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat.
  2. Nota [631] Yakni haram membunuh seseorang manusia kecuali dengan alasan yang benar yang ditetapkan oleh Syarak iaitu kerana ia membunuh orang, atau kerana ia berzina sesudah beristeri (atau bersuami). Hukuman ini dijalankan oleh pemerintah.
  3. Kemudian Allah beri kuasa kepada wali (bapa, anak, adik beradik dan seumpamanya) mangsa yang dibunuh secara zalim itu (tanpa hak) untuk memilih hukuman yang akan dijatuhkan ke atas pembunuh yang telah terbukti bersalah itu.
    Iaitu ada tiga pilihan:
    i- minta qisas iaitu balas bunuh
    ii- mengambil diyat (pampasan denda) 100 ekor unta sebagai harga nyawa yang hilang itu.
    iii- atau jika dia mahu- memaafkan kesalahan pembunuh itu tanpa kena hukum.

*Tiga pilihan ini untuk pembunuhan yang sengaja atau berniat (الْقَتْلُ الْعَمْدُ).

**Jika pembunuhah tidak sengaja (الْقَتْلُ الْخَطَأُ). hanya dua pilhan saja- tidak termasuk qisas- bunuh balas itu.

  1. Hadis Nabi s.a.w bersabda:
    i- “Barangsiapa yang dibunuh (secara zalim), maka keluarganya (waris) mempunyai dua pilihan.
    Dia boleh memilih salah satu daripada dua perkara: sama ada menuntut qisas terhadap pembunuh atau menuntut diyat.” [HR Bukhari & Muslim].

ii- “Barangsiapa yang membunuh dengan sengaja, maka keputusannya diserahkan kepada wali-wali pihak yang terbunuh.
i- Mereka berhak membunuh;
ii- atau mengambil diyat yakni 30 unta dewasa, 30 unta muda dan 40 unta yang sedang bunting,
iii- atau mereka juga berhak memaafkannya.” [HR at-Tirmizi].

  1. Kemudian Allah peringatkan janganlah keluarga mangsa melampau pula dalam menuntut balas bunuh itu, seperti menuntut bela atau membalas dendam ke atas semua keluarga pembunuh sedangkan yang membunuh hanya seorang.

Contoh pergi serang keluarga atau kampung si pembunuh yang tidak bersalah!

*Kecuali ada yang terlibat juga dengan pembunuhan itu.

Hukuman itu mesti ikut procedure undang-undang dan dijalankan oleh pemerintah bukan pandai-pandai sendiri!

  1. Larangan ini kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan menurut hukum Syarak.

Yakni sudah ada peruntukan hukuman untuknya yang dibela oleh pengadilan & Syara’.

  1. Nota [632] Orang yang dibunuh secara zalim, warisnya berhak menuntut balas atau menuntut “diyah – دية” (denda ganti rugi) melalui pemerintah, dan janganlah dia melampau-lampau dari ketetapan Allah, kerana ia mendapat sepenuh pertolongan dari hukum Syarak yang telah menentukan haknya, dan pemerintah yang akan menjalankannya.

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۚ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا ‎﴿٤٣﴾‏

Ayat 34- {Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.} (Al-Israa’ 17:34)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah larang membunuh orang;

ii- datang aat ini Allah melarang dari merosakkan harta orang lebih-lebih lagi harta anak yatim yang kehilangan bapa tempat bergantung!

  1. Allah melarang daripada menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik dan jujur.

Yakni apatah nak makan gelapkan hartanya- nak hampiri untuk bermain-main dengan hartanya pun Allah larang.

  1. Jika ada anak yatim di bawah jagaan kita yang ada harta- kita uruskan hartanya dengan cara yang baik dan telus:

i- jika miskin terpaksa guna hartanya untuk belanja makan-minum- gunalah dengan secara berhemah dan ikut keperluan.

ii- jika nak buat pelaburan duit cash pastikan ianya di tempat yang halal, kewangan yang patuh Syari’ah dan beri keuntungan bukan merugikannya.

iii- Jika ada kebun atau tanah jaga & uruskan biar memberi hasil dan tidak terbiar rosak.
iv- boleh juga ambil gaji atau elaun.

  1. Kata Ibnu Asyur: Allah menekankan tentang penjagaan anak yatim ini- kerana pada zaman jahiliyyah apabila anak menjadi yatim tiada bapa- penjaganya akan mengambil hartanya dengan zalim, jika anak perempuan akan dinikahi untuk diambil & dikuasai hartanya!
  2. Beberapa ayat al-Quran yang mengingatkan agar jangan memakan harta anak yatim secara zalim dan khianat:

i- {Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.} (An-Nisaa’ 4:2)

ii- Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).} (An-Nisaa’ 4:6)

iii- {Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.} (An-Nisaa’ 4:10)

  1. Hadis dinukilkan kisah di mana Abu Zar R.A pernah meminta supaya beliau dilantik menjadi ketua atau pemimpin.

Kata Abu Zar: “Bolehkah tuan melantik ana sebagai pemimpin, Ya Rasulallah?”
Lalu Rasulullah S.A.W dengan tenang menjawab:
يَا أَبَا ذَرٍّ إِنِّي أَرَاكَ ضَعِيفًا، وَإِنِّي أُحِبُّ لَكَ مَا أُحِبُّ لِنَفْسِي، لاَ تَأَمَّرَنَّ عَلَى اثْنَيْنِ وَلاَ تَوَلَّيَنَّ مَالَ يَتِيمٍ.

Maksudnya: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau sebagai orang yang lemah, dan aku mencintai buatmu apa yang aku cintai buat diriku sendiri.
Janganlah engkau menjadi pemerintah walau untuk dua orang, dan janganlah engkau menguruskan harta anak yatim.” [HR Muslim (1826)].

*Ini kerana Abu Zar seorang yang warak banyak beribadat tetapi dia lemah dalam bab pengurusan- maka Nabi s.a.w berpesan dari awal lagi kepadanya agar jangan terlibat dengan pengurusan harta anak yatim kerana dibimbangi kelak akan menyusahkannya takut membawa kepada kezaliman!

Kita pun begitu juga jika rasa tak mampu untuk amanah, jujur dan kuat hati jangan terlibat dengan harta anak yatim!

  1. Kemudian Allah berpesan lagi; apabila mereka anak yatim cukup umur iaitu baligh dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri, pandai dan mampu menjaga sendiri harta mereka; maka serahkan kembali harta mereka yang kamu jaga itu!
    Ini pentingnya penjaga harta anak yatim yang amanah & jujur.

*KIsah TG Hj Abd Rahman  yang menjaga harta 3 orang anak saudaranya yang yatim kematian bapa sejak kecil dengan amanah dan bijak.

  1. Di akhir ayat Allah mengingatkan untuk sempurnakanlah perjanjian samada janji dengan Allah seperti nazar atau sumpah dan janji dengan manusia seperti dia bersumpah atas nama Allah!
  2. Ingatlah sesungguhnya perjanjian itu akan menjadi satu tanggung-jawab di mana kamu akan dipersoal & ditanya tentangnya di Akhirat kelak!
  3. Nota [633] Setelah Allah Ta’ala melarang dari perbuatan zina, membunuh orang dan memakan harta anak yatim, diperintahkan pula supaya kita menyempurnakan perjanjian, samada perjanjian seorang hamba dengan Tuhannya atau perjanjian sesama manusia. Kerana perbuatan mencabuli perjanjian bukanlah sifat orang Islam.

*Tak tunai janji ialah sifat munafiq dan ia akan dipersoalkan di Akhirat kelak!

وَأَوْفُوا الْكَيْلَ إِذَا كِلْتُمْ وَزِنُوا بِالْقِسْطَاسِ الْمُسْتَقِيمِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ‎﴿٥٣﴾‏

Ayat 35- {Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).} (Al-Israa’ 17:35)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah perintahkan untuk kamu amanah & jujur dalam menjaga & mengurus harta anak yatim;

ii- maka dalam ayat ini Allah perintahkan agar kamu amanah & jujur juga dalam urusan harta orang mukmin.

Tunaikan sukatan & timbangan dalam urusan jual-beli atau perniagaan kamu!

Jangan senget timbangan, periksa sentiasa alat timbangan yang kedua ini menjadi alat kepada jual-beli kita hari ini.

  1. Siapa yang jujur & telus dalam jual beli ini- tidak tipu dan ambil hak orang lain – Allah akan memberkati perniagaan dan urusannya, selamat dari disiksa di Akhirat kelak kerana kamu jujur & tidak tipu.
  2. Celakalah bagi orang yang mengurangi timbangan:
    {Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),} (Al-Mutaffifiin 83:1)

Ini peringatan agar kamu tidak menjadi seperti kaum Nabi Syua’ib yang telah binasa dulu!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 32- {Dan janganlah kamu menghampiri zina,…}-
    Ini kerana perkara buruk itu untuk menghampirinya saja pun sudah dilarang & tak boleh apatah lagi nak buat & terlibat dengannya!

Allah kata jangan hampiri zina, jangan hampiri harta anak yatim, jangan hampiri tempat maksiat- kerana akan terjebak akhirnya.

Awalnya pergi dengan niat mahu lihat saja tetapi syaitan ini bijak- lama kelamaan pasti akan terjerumus sama!

Perkara buruk Allah larang & tutup pintu kepada segala sebab yang boleh membawa kepadanya!

Dedah aurat, percampuran & pergaulan bebas, sosial, pengaruh media, penggunaan gajet tanpa sekatan dan sebagainya!

Malangnya zaman kita hari ini zaman bebas yang terlalu bebas segala benda bercampur.

Sejak dari kecil, sekolah, universiti hatta kelas mengaji al-Quran orang tua pun berlainan jantina dan dok sekali dalam kelas.

Fakta bahasa:
i- Jika benda yang berlaku masyarakat terlibat dengan orangramai; mala arahan & larangan itu datang secara sighah atau dhomir (katanama) jamak (plural) seperti:

{ وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ, وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَـٰدَكُمْ, وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ, وَلَا تَقْرَبُوا۟ مَالَ ٱلْيَتِيمِ…
dan lain-lain.}

ii- Tetapi jika isu peribadi seperti perintah berbuat baik kepada ibu bapa, jangan bakhil kedekut iaitu yang terlibat dengan keluarga kita saja maka digunakan dhomir mufrad (singular) kamu saja- seperti:

{ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا, وَلَا تَنْهَرْهُمَا, وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً, فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ}.

  1. Ayat 33- {Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.}-

Allah kata kamu jangan bunuh jiwa yang Allah haramkan!

Kata ulama’: Apabila Allah kata: Allah yang mengharamkankan- bukan kata ganti lain; ini kerana Allah nak pasakkan ke dalam hati orang yang beriman perasaan takut & gerun kepada Allah.

Maka jika kamu betul takut kepada Allah kamu tidak akan bunuh orang, kamu tidak akan aniayai orang lain!

Selepas ayat larang membunuh anak datang ayat larangan zina kemudian datang pula larangan bunuh manusia secara umum.

Ulama’ bawa persoalan kenapa antara larangan dua pembunuhan ini ada larangan zina??
Jawapan:
ini kerana kebiasaannya hasil zina jika ada anak- pelakunya akan cuba menutup jenayahnya itu dengan melakukan jenayah yang lain pula iaitu membunuh bayi yang tidak berdosa itu!

Punca pembunuhan itu bisanya datang dari zina- atau kalau tak bunuh akan dibuang dicampakkan merata-rata biar mati juga!

Maka Allah sekat dari awal lagi- puncanya disekat!

Jadi kita lihat kepada kesinambungan antara ayat-ayat al-Quran kita akan dapati hikmah dan rahsia yang amat hebat dalam susunan yang Allah buat!

  1. Ayat 33- {Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas.}– dalam Islam Allah berikan hak atau kuasa kepada wali mangsa bunuh untuk memilih hukuman yang akan dikenakan ke atas pembunuh atau untuk memaafkannya!

Bukan seperti undang-undang civil ciptaan manusia di mana kuasa itu diberikan kepada pemerintah atau sultan ataupun lajnah pengampunan khas!

Islam mengambil kira perasaan sedih dan kecewa keluarga mangsa terutama para wali mereka lalu memberikan kepada mereka hak untuk memilih hukuman yang dikenakan kepada penjenayah itu.

Kisah Syeikh Atiyah- di mana dalam satu kes bunuh yang hampir dijalankan hukum qisas (pancung kepala) tiba-tiba wali iaitu bapa kepada si mati mengampunkannya last minit.

  1. Ayat 34- {Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya),…}-

Allah melarang dari memakan (menggunakan) harta anak yatim dengan cara tak jujur dan khianat.

Maka orang yang menjadi wali menjaga harta anak yatim, uruskanlah ia dengan adil dan sempurna, jujur dan amanah dalam harta mereka yang masih kecil & tak tahu menguruskan lagi harta mereka itu!

Di kalangan kita ini betapa ramai anak yatim yang masih kecil telah kehilangan bapa, tidak pandai lagi untuk menguruskan harta peninggalan bapanya.

Makan harta anak yatim adalah satu dosa besar- berhati-hatilah walaupun ambil duit hak mereka untuk buat majlis kenduri menjamu orang besar-besaran pula!!!
Hati-hatilah.

  1. Ayat 34- { dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.}-

Allah berpesan agar kita tunaikan janji samada dengan Allah atau sesama manusia:
i- janji dengan Allah seperti sumpah & nazar.

ii- janji dengan manusia dalam semua urusan seharian kita sesama manusia.

Yakni Allah sebut perjanjian dengan manusia yang menggunakan nama Allah pun berat jika tidak ditunaikan apatah lagi jika janji dengan Allah!

Berdosa besar jika bernazar guna nama Allah tapi tidak tunaikan.

Ayat 35- {Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil.}-

Kemudian Allah menyuruh kita tunaikan janji dan tunaikan sukatan dan timbangan.

Pada hari ini dalam bab sukatan & timbangan pun banyak perkara yang tidak adil seperti tiket kapal- terbang & baggagenya, akaun hand phone dan sebagainya.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 18/06/2026 – 02 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=981150768068777

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top