Kisah Iblis Dengan Nabi Adam A.S, Kerana Sombong Iblis Binasa & Orang Ikhlas Selamat

Live Kuliah Pagi Sabtu 27/06/2026 – 11 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (16) Ayat [61-65]
Full video: https://youtu.be/y80Wa2QRNhg?si=TtSPt2U3gS8rl4YB
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 61 sehingga ayat 65 dalam juzuk kelima-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang kisah datuk kita Nabi Adam a.s, dengan musuhnya iblis yang sombong angkuh takabbur.
- Kemudian Allah nyatakan iblis berasa dirinya mulia kerana ia dijadikan daripada api, tak mahu ikut perintah Allah sujud kepada Adam yang dijadikan daripada tanah; kerana sombong maka iblis binasa!
- Serta Allah nyatakan hamba-Nya yang ikhlas akan selamat kerana iblis tidak boleh menguasai mereka!
Jangan kita ikut permainan & hasutan syaitan. Maka kita perbetulkan perjalanan hidup kita tetap berpegang dengan ajaran Allah & Nabi s.a.w.agar selamat di dunia & aman di Akhirat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang puak kafir Makkah tak percaya bahawa Nabi s.a.w itu seorang nabi.
Mereka menolak tak percaya apabila Nabi s.a.w ceritakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj & tentang pokok Zaqqum di dalam neraka.
Kemudian mereka cabar minta mukjizat yang pelik dan tak logik, nak tukar lanskap Makkah- dari bukit batu menjadi bukit emas, dari padang pasir kepada taman & sungai-sungai.
Semua itu bukan kerana tak kenal Nabi s.a.w tetapi kerana kekufuran & sombong takabbur.
ii- maka datang ayat ini Allah bawa kisah sejenis lagi makhluk yang berbeza tetapi watak yang sama.
Sombong tak iktiraf kebenaran walaupun jelas ia dari Tuhan.
Iblis sombong tak mahu ikut perintah Allah untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s.
Iblis juga angkuh takabbur minta untuk hidup sehingga hari Kiamat untuk menyesatkan anak Adam!!
- Munasabah kedua:
i- Hikmah Allah susun ayat ini datang cerita Nabi Adam selepas cerita Nabi Muhammad s.a.w menghadapi ujian yang getir & tentangan kaumnya yang kafir & taghut.
Apabila Allah beri amaran mereka tentang azab- mereka tak percaya bahkan makin angkuh & sombong!
ii- maka datang ayat ini tentang iblis yang bersumpah jika dia panjang untuk merosakkan anak Adam a.s hasut goda mereka sehingga binasa.
Maka yang satu lagi sombong angkuh lawan Nabi, iblis ini pula taghut berjanji untuk rosakkan anak Adam supaya ikut dia.
- Fakta: Allah sebut & ulang kisah tentang Nabi Adam dalam al-Quran dalam 7 surah iaitu: al-Baqarah, al-A’raf, al-Hijr, al-Israa’ sekarang, surah al-Kahfi, Taha & as-Saad.
Tujuh kali Allah ulang kisah Nabi Adam sebagai ingatan pengajaran kepada kita bahayanya kerana sombong iblis dilaknat & terkeluar dari syurga dan hilang kasih-sayang Allah s.w.t.!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ قَالَ أَأَسْجُدُ لِمَنْ خَلَقْتَ طِينًا ﴿١٦﴾
Ayat 61- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?”} (Al-Israa’ 17:61)
- Allah s.w.t mengingatkan akan peristiwa ketika Dia berfirman kepada para malaikat untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Para malaikat semuanya bersujud ikut perintah Allah kecuali iblis.
- Iblis enggan sujud kepada Adam kerana dia berasa sombong & takabbur!
Dia merasakan dirinya yang diperbuat daripada api lebih mulia daripada nabi Adam sebagai manusia yang diperbuat daripada tanah yang di adun dari pelbagai jenis tanah.
*Kerana itu warna kulit manusia berbeza, hasil dari tanah liat yang pelbagai jenis yang diadun.
- Nota [653] Setelah Allah Ta’ala menyebutkan perihal Rasulullah s.a.w dan pertentangan keras dari kaumnya, lalu diterangkan bahawa yang demikian sudah biasa berlaku kepada Nabi-nabi Allah yang telah lalu; bahkan Nabi Adam dahulu telah juga menerima tentangan keras dari Iblis, sedang kekufuran Iblis itu adalah hasad dengkinya dan takburnya; kerana ia memandang dirinya yang berasal dari api, lebih mulia dari Adam yang berasal dari tanah.
- Kesimpulannya punca manusia rosak kerana angkuh. sombongg lagi takabbur.
قَالَ أَرَأَيْتَكَ هَٰذَا الَّذِي كَرَّمْتَ عَلَيَّ لَئِنْ أَخَّرْتَنِ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ لَأَحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢٦﴾
Ayat 62- {Ia berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)”.} (Al-Israa’ 17:62)
- Apabila diperintahkan sujud kepada nabi Adam, iblis dengan angkuh dan sombong enggan serta menghina Nabi Adam dengan bertanya kepada Allah: Inikah makhluk yang Engkau suruh aku sembah?
Ceritakan kepada aku apakah kelebihan & keistimewaannya????
2.. Nota [654] Dengan cara biadab, iblis meminta Tuhan menerangkan tentang kelebihan Adam sehingga diperintahkan sujud kepadanya.
- Kemudian iblis meminta kepada Tuhan untuk:
i- beri tempoh kepadanya hingga hari kiamat, jangan matikan dia lagi sehingga hari Kiamat.
ii- kerana dia mahu memancing menyesatkan zuriat keturunan Adam, pesongkan mereka semua dari jalan yang benar!
- [655] Yakni kecuali orang-orang yang beriman dengan ikhlas maka merekalah sahaja yang terselamat dan tidak dapat dipengaruhi oleh hasutan iblis.
- Iblis syaitan berjaya menyesatkan manusia agar lari dari jalan yang benar kecuali sedikit saja manusia yang selamat dari godaannya! Iaitu mereka yang ikhlas beriman kepada Allah s.w.t.
- Kisah ini dijelaskan lagi dengan firman Allah ini:
{Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”} (Al-A’raaf 7:12) - Hari ini terbukti iblis sudah berjaya merosakkan anak Adam sebagaimana sumpahnya kecuali sedikit saja manusia iaitu sebagaimana firman Allah ini lagi;
- Firman Allah s.w.t:
{“Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang “Al-Mukhlasin” dibersihkan dari sebarang syirik”.} (Al-Hijr 15:40) - Maka kita ingat baik-baik jaga semua tindakan kita dalam segenap segi kehidupan pastikan halal-haramnya jelas kerana makan minum semuanya itu ada kesan kepada hati & iman kita!
Jaga aqidah & lisan- ikut iman bukan ikut lidah nak makan saja!
قَالَ اذْهَبْ فَمَن تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَاؤُكُمْ جَزَاءً مَّوْفُورًا ﴿٣٦﴾
Ayat 63- {Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.} (Al-Israa’ 17:63)
- Allah menerima permintaan Iblis itu untuk tangguhkan kematiannya, dia hidup sehingga ke hari Kiamat- tetapi ingat kamu & semua para pengikutmu nerakalah tempat pengakhirannya.
*Maka kita manusia jagalah diri kita jangan terheret sama ke dalam neraka.
- Yakni iblis dapat lesen dari Allah untuk menggoda manusia, untuk buat perancangannya.
Allah suruh pergi tu bukan bermakna Allah redha tetapi penuh dengan kemarahan dan amaran!
Pergilah tetapi ingatlah balasannya akibat perbuatan kamu itu adalah neraka Jahannam!
- Syaitan ini tidak ada kerja lain kecuali untuk menggoda dan menghasut manusia agar rosak binasa bersamanya, nak jatuhkan manusia, nak sekat orang dari jalan Allah & mendapat azab bersamanya di dalam neraka!
وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُم بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِم بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ وَعِدْهُمْ ۚ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا ﴿٤٦﴾
Ayat 64- {Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut – campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)”. Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.} (Al-Israa’ 17:64)
- Munasabah ayat:
i- apabila syaitan dapat lampu hijau bahawa dia akan panjang umur sehingga hari Kiamat;
ii- Allah cabar iblis untuk gunakan segala cara & senjatanya yang dia ada menggoda manusia tetapi dalam masa yang sama Allah tegaskan bahawa Dia didik hamba-Nya yang beriman, iblis tidak akan berjaya hamba Allah yang ikhlas!
- Allah kemudian berfirman lagi kepada iblis untuk menggunakan segala alat senjatanya yang dia ada untuk mengoda manusia iaitu samada dengan mengerahkan penyokong-penyokongnya yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan manusia!
- Nota [656] Ini hanya tamsil ibarat sahaja. Yakni gunakanlah semua penyokongmu dan segala apa jua kekuatanmu untuk menyesatkan mereka.
- Allah kata kepada iblis gunalah apa saja tentera & alat yang kamu ada, alat media sebaran, media sosial, melalui muzik-nyanyian, guna semuanya!
- Kemudian kamu turut campurlah manusia itu dalam pengurusan harta benda & anak-anak mereka!
- Nota [657] Yakni turut campurlah dengan menghasut mereka mengumpul atau membelanjakan hartanya pada jalan yang haram, dan menyesatkan anak-anak mereka ke jalan yang salah, dengan didikan yang salah.
- Kemudian Allah kata lagi tipulah manusia dengan janji tipu-daya kamu, janjikanlah mereka dengan janji-janjimu yang palsu. Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata {إِلَّا غُرُورًا}.
- Terdapat lima uslub yang disebut Allah s.w.t tentang cara syaitan nak menggoda manusia.
Maka kita kena lawan syaitan dengan murnikan tauhid, ikhlas dalam beriman insya’ Allah kita akan menang! - Uslub syaitan untuk menyesatkan anak Adam itu:
i- Pertama dengan suaranya { بِصَوْتِكَ};
*Kata Ibnu Jauzi semua pendakwah (pendakyah, promoter, influencer dan seumpamanya) yang mengajak manusia ke arah maksiat itu suara syaitan.
Samada melalui radio tv, internet, media sosial dan sebagainya.
Ini adalah dari tafsir Ibnu Abbas r.a.
*Ada ulama’ kata suara syaitan itu ialah nyanyian & alat-alat muzik.
Sekarang ini orang guna atas nama budaya atau kesenian Islam- orang bawa masuk gendang muzik nyanyian, tak padan luar masjid di bawa masuk dalam masjid atas cinta Nabi kononnya.
Hatta menjadi fenomena di sekolah tahfiz sekarang kumpulan nasyid dan gendang tumbuh bak cendawan!
ibu bapa hantar anak nak suruh hafaz al-Quran- dia dok hafaz nasyid & qasidah.
Ini adalah tafsiran ulama’ salaf tentang suara syaitan tadi.
*Suara ratapan (النياحة) seperti apabila orang mati dio dok bertempik melaung carikkan baju, tampar muka apa.
Suara ratapan ketika berlaku kematian & musibah itu juga suara syaitan!
Semua ini dikira suara syaitan kerana ia mengajak manusia ke arah maksiat dan lagha dari Allah!
ii- kedua melalui tentera- Allah kata kumpulkan tenteramu samada yang berjalan kaki atau naik kuda untuk sesatkan anak Adam.
Sebagaimana kisah dalam hadis riwayat oleh Jabir r.a sebelum ini:
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya).
Maka datanglah salah satu tenteranya dan melaporkan: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melaporkan: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya.
Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (HR Imam Muslim).
*Sama seperti manusia hari ini apabila nak meeting cari tempat percutian seperti resort atau atas cruise- tapi hati-hati jangan sehingga dikosmetikkan benda buruk!
iii- Ketiga- ikut masuk dalam hartanya- harta banyak tetapi buat maksiat & majlis karut- harta banyak tak keluarkan zakat & tak infaq fi-sabilillah.
iv- Keempat melalui anak-anak manusia- kita lihat anak-anak orang Islam hari ini ramai yang rosak- mat rempit, mat dadah, gejala sosial yang melampau.
Yang sedihnya ibu bapanya orang baik, ahli masjid dan sebagainya tidak dapat mengawal mendidik anaknya!
Kerana itu Nabi s.a.w ajar kepada kita agar harta kita, makan minum kita, pakaian kita tidak boleh diguna oleh syaitan, rumah kita tak boleh dimasuki syaitan hatta ketika nak bersama suami isteri pun masa nak proses agar tidak diganggu syaitan & mendapat zuriat yang baik insya’ Allah tidak akan berjaya dihasut atau dirosakkan oleh syaitan secara total.
Daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya maka bacalah:
بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
Maksdudnya: (Dengan nama Allah, ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami.)
Sesungguhnya jika ditakdirkan (Allah) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudharatkan oleh syaitan selamanya.” [HR al-Bukhari (6388)]
Yakni bukan kata tak nakal lansung seperti kanak-kanak biasa tetapi insya’ Allah tak menjadi rosak atau jahat terus.
Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.Anhuma, di mana Rasulullah S.A.W bersabda:”Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, lalu dia mengingati Allah (menyebut nama Allah / membaca Bismillah) ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan akan berkata kepada kaumnya: ‘Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.’
Namun, apabila dia masuk dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata: ‘Kamu semua mendapat tempat bermalam.’
Dan jika dia tidak mengingati Allah ketika makan, syaitan berkata: ‘Kamu semua mendapat tempat bermalam dan makan malam.'” (HR Muslim)
Sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Huzaifar r.a:
Dahulu apabila kami menghadiri jamuan bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم, kami tidak meletakkan tangan kami pada hidangan sebelum Rasulullah صلى الله عليه وسلم meletakkan tangannya.
Suatu ketika, kami bersama Baginda menghadiri hidangan makanan, tiba-tiba seorang anak perempuan datang seolah didorong dan bermaksud meletakkan tangannya pada makanan lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم memegang tangannya.
Kemudian datang seorang Arab badwi seolah-olah didorong, maka Baginda pun memegang tangannya.
Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Sesungguhnya syaitan akan dapat ikut makan makanan bila tidak disebut nama Allah Ta’ala padanya.
Sungguh, ia datang bersama anak perempuan ini supaya dapat ikut makan, sehingga aku memegang tangannya.
Lalu ia datang dengan orang badwi ini supaya dapat ikut makan, maka aku pun memegang tangannya.
Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya! Sungguh, tangan syaitan itu ada dalam genggaman tanganku beserta tangan keduanya.” [HR Muslim: 2017]
v- Kelima melalui syaitan buat janji dengan manusia.
Buat manifesto yang indah-indah untuk menipu manusia, ini kerana semua itu adalah tipu daya syaitan!
Janji syaitan adalah memang janji untuk tipu tak akan ditunaikan kerana apa yang dijanjikan syaitan itu semuanya adalah tipu-daya maka jangan sesekali kamu percayainya!
إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ ۚ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ وَكِيلًا ﴿٥٦﴾
Ayat 65- {Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).} (Al-Israa’ 17:65)
- Munasabah ayat:
i- apabila Allah nyatakan tentang 5 uslub syaitan untuk menyesatkan manusia, maka;
ii- datang ayat Allah bawa satu kata putus bahawa bukan semua manusia kamu boleh sesatkan!
Hambaku yang beriman, hamba-Ku yang ikhlas- kamu tidak boleh kacau, tak boleh sesatkan mereka!
- Kita mantapkan aqidah kita, murnikan tauhid kita jangan dok buat perkara yang pelik!
Ahli Sunnah itu ialah mereka yang berpegang dengan ajaran dan amalan Nabi s.a.w.
Kita minta berlindung dari Allah dari segala ganguan syaitan.
- Yang penting Allah jamin siapa yang taat akan selamat syaitan tak boleh kacau.
Insya’ Allah kita termasuk dalam golongan hamba Allah yang mukhlasin yang dibebaskan daripada gangguan syaitan.
Maka kita murnikan tauhid kita kepada Allah dan ikhlaskan ibadat kita kepada Allah juga segala amalan kita berdasarkan kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.
Penutup & Faedah #
- Ayat 61- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”;…}– Allah perintahkan kepada Malaikat untuk beri penghormatan kepada Nabi Adam a.s.
Kata ulama’ tadabbur: Ini menunjukkannya mulianya Nabi Adam sehingga Allah perintahkan malaikat sujud hormat kepadanya.
Kemudian Allah nyatakan permusuhan yang nyata antara manusia & iblis bermula dari sejak zaman Nabi Adam a.s lagi sehingga ke hari Kiamat.
Punca rosaknya iblis ialah kerana takabbur, sombong, angkuh, keras kepala & tak dengar kata!
Kerana sombong iblis binasa; kerana sombong juga anak Adam binasa!
- Ayat 62- {Ia berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?}– ayat ini menunjukkan betapa angkuh sombongnya iblis melawan Tuhan!
Dia cabar dengan bertanya kepada Tuhan kenapa dia diminta sujud kepada Adam yang hanya dicipta dari tanah yang hina!!
Kemudian apabila pasti sudah kesalahannya dan kena hukum; Iblis minta kepada Allah agar tangguhkan kematiannya sehingga ke hari Kiamat.
Apabila Allah perkenankan permintaannya ini dia terus bersumpah pula- sumpah syaitan sumpah keramat untuk merosakkan anak Adam dengan pelbagai cara sehingga ke hari Kiamat.
Menakutkan sekali sepertimana hadis Jabir tadi- iblis setiap hari dok buat perancangan di singgahsananya yang terletak di atas air- untuk merosakkan anak Adam.
- Ayat 63- {Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!…}– kerana kamu sudah bersumpah untuk buat jahat & goda anak Adam; maka pergilah kamu iblis!
Kemudian Allah tegaskan bahawa buatlah apa yang kamu mahu itu tetapi ingat baik-baik: Kamu dan siapa yang berjaya kamu goda & menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup {جَزَآءًۭ مَّوْفُورًۭا}.
Kata ulama’ tadabbur ayat ini lebih kepada ayat perli & amaran dari Allah s.w.t kepada iblis- kamu buatlah apa yang kamu nak buat itu tetapi ingat kamu akan dihumbankan ke dalam neraka Jahannam sebagai akibatnya!!!
- Ayat 64- {Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu….}-
Allah nyatakan beberapa strategi syaitan untuk menyesatkan anak Adam.
*Yang pertama ialah dengan suara syaitan seperti:
i- semua penyeru, pendakyah, pendakwah pendi’ayah yang mengajak orang kepada maksiat dan mungkar itu adalah suara syaitan!
ii- kata ulama’ Salaf: suara nyanyian & muzik-muzik itu semua suara syaitan.
Sekarang ini mengharuskan muzik sehingga melampaui berdoa & bacaan al-Quran pun diiringi dengan suara muzik.
Kena ada SOP-nya bukan semua muzik itu halal seperti yang dibuat sebahagian pendakwah selebriti juga mengadakan majlis cinta Nabi dengan dimainkan muzik!
iii- suara ratapan- ini adalah suara syaitan juga!
*Uslub kedua Allah juga sebut uslub syaitan ini guna melalui harta, jadi ramai orang kaya tetapi guna harta untuk syaitan iaitu guna harta untuk dosa maksiat, penganjur majlis maksiat dan guna harta untuk kemungkaran!
*Uslub ketiga- Syaitan juga merosakkan manusia melalui anak-anak – menjadi ujian kepada manusia.
Yang pertamanya seperti anak zina yang lahir hasil perbuatan keji manusia, juga anak halal tetapi terbiar kerana tiada didikan ibu bapa & pendidikan Islam yang baik menyebabkan mereka terpelanting dari ajaran & pegangan agama Islam.
Yang tidak solat tidak tutup aurat yang merempit itu satu penyakit!
Yang datang ke masjid terbiar bising mengganggu orang solat itu juga satu penyakit, ibu bapa tak jaga anak mereka.
- Ayat 65- {Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).}
Allah kata wahai iblis bukan semua hamba Aku kamu boleh goda, boleh khianat, bukan semua hamba Aku akan jadi pengikutmu!
Ada hamba Allah yang betul-betul ikhlas beribadat kepada Allah, yang menjaga aqidah yang murni, tauhid murni, insya’ Allah mereka ini akan selamat.
Maka kita berusalah cari yang sahih bukan yang Senang.
Jangan berlindung disebalik kosmetik berselindung disebalik nama ahli Sunnah wal Jamaah lalu boleh buat apa saja- dakwa Tuhan dalam poket dia pun tak mengapa, seru dan minta dengan orang mati pun boleh & seru kubur pun tak mengapa!
Tetapi orang yang berpegang dengan al-Quran dengan Sunnah, yang mengajar Sunnah Nabi yang sahih; itu pula yang dilabel dituduh dengan label yang buruk untuk menjauhkan orang ramai darinya!
Itulah keburukan yang terjadi- na’uzubillah min zalik!
Ya Allah jadikan kami semua orang yang bebas daripada gangguan iblis syaitan yang dilaknat!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis Sabtu 27/06/2026 – 11 Muharram 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=988842397299614
Semoga Bermanfaat!
