Berbincanglah Dengan Cara Baik, Berbeza Darjat Para Nabi & Sembahan Kafir Tidak Berguna

Live Kuliah Pagi Rabu 24/06/2026 – 08 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (14) Ayat [53-57]
Full video: https://youtu.be/hvmp7hqqKU0?si=3YsObbNkGVvxnVRo
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 53 sehingga ayat 57 dalam juzuk kelima-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t arahkan kepada hamba-Nya, kepada orang yang beriman untuk bercakap baik dengan orang.
Jika orang tak dengar dan kita perlu berdebat berhujjah- berhujjahlah dengan baik & benar jangan dengan kata-kata yang menyakiti lawan.
Ini kerana syaitan akan datang menghasut dan memanaskan dan kerjanya supaya orang kafir tidak menerima dakwah Islam.
Yakni Allah ajar kepada kita untuk berkata baik samada ketika tenang, nak marah atau berdebat!
- Allah nyatakan berbeza darjat para nabi- tidak sama walaupun mereka semua adalah bertaraf nabi & rasul a.s tetapi kedudukan dan darjat tidak sama- kita akan bincangkan nanti.
- Kemudian Allah cabar puak kafir bahawa sembahan mereka tidak berguna.
Tidak boleh memberi apa-apa manfaat & faedah bahkan ia sendiripun diukir dan dibuat oleh manusia penyembahnya.
Itulah keburukan yang dibuat oleh puak kafir & segala musyrikin atas muka bumi ini.
Walaupun mereka mendakwa sembahan atau berhala itu sebagai perantaraan dengan Tuhan tetapi semua itu adalah perbuatan syirik yang makin menyesat & menjauhkan mereka dari Allah!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan hujjah yang yakin untuk membatalkan segala kesyirikan.
Serta dibawa hujjah yang yakin bahawa manusia itu akan dibangkitkan hidup semula untuk perhitungan & pembalasan.
ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan bila berhujjah pastilah akan ada perlawanan & perdebatan.
Maka Allah ajar cara & adab ilmu untuk berdebat berhujjah dengan manusia terutama untuk berdakwah kepada orang bukan Islam.
Ini agar Islam tidak persalahkan akibat perbuatan kita umatnya.
Jadi kita kena bercakap dengan baik, guna hujjah yang mantap & fakta yang benar agar orang nak dengar nasihat & dakwah!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا ﴿٣٥﴾
Ayat 53- {Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.} (Al-Israa’ 17:53)
- Allah perintahkan kepada Nabi s.a.w untuk mengajar umatnya supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik walaupun kepada orang-orang yang menentang kebenaran.
Ini kerana kita nak berdakwah kepada mereka agar terbuka hati mereka melihat kebenaran & menerima Islam.
- Hadis riwayat Abu Hurairah R.A, di mana Rasulullah S.A.W bersabda:
الكلمة الطيبة صدقة
“… dan kalimah (ucapan) yang baik itu adalah sedekah.”(Sahih al-Bukhari dan Muslim)
- Allah nyatakan sebab ini ialah kerana Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka iaitu antara orang mukmin dan yang menentang.
Syaitan sentiasa mencari jalan sebagai orang yang berada di tengah untuk melaga-lagakan antara orang mukmin & penentangnya.
- Hadis riwayat Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk disembah oleh orang-orang yang solat di Semenanjung Arab, akan tetapi (dia masih berusaha) melakukan hasutan/mengadu domba di antara mereka.” (HR Muslim).
*Yakni walaupun dia tak berjaya membuat manusia menyembah mereka di Semenanjung Arab (pada waktu itu) tetapi mereka masih berjaya memecah-belahkan manusia. Ini jelas berlaku semasa di Madinah.
- Ingatlah wahai orang yang beriman sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia sejak dari zaman Nabi Adam a.s!
Syaitan ini tak ada kerja lain selain dari sentiasa nak merosakkan orang Islam, melaga-lagakan manusia & menjauhkan manusia daripada Islam & kebenaran.
*Kita hari ini sesama Islam berbalah kerana parti atau musuh politik.
- Hadis- Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya).
Maka datanglah salah satu tenteranya dan melaporkan: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melaporkan: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (HR Muslim). - Nota [644] Yakni hendaklah orang-orang yang beriman sentiasa menggunakan kata-kata yang baik dan lemah-lembut kepada orang-orang lain, samada mereka orang kafir atau musuh atau sesiapa sahaja.
Kerana kata-kata yang kasar dan menyinggung itu menimbulkan permusuhan sesama manusia.
Bertambah pula Syaitan sentiasa menghasut dan menyalakan api permusuhan.
Oleh itu, awaslah akan musuh yang berbahaya itu.
- Sekarang nak tengok bagaimana syaitan melagakan orang kita lihat FB dan lain-lain media sosial!
Maka hati-hatilah kita umat Islam dari menjadi habuan syaitan yang sentiasa nak melaga-laga & memecah-belahkan umat Islam.
رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِكُمْ ۖ إِن يَشَأْ يَرْحَمْكُمْ أَوْ إِن يَشَأْ يُعَذِّبْكُمْ ۚ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ وَكِيلًا ﴿٤٥﴾
Ayat 54- {Tuhan kamu lebih mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada kamu; atau jika Ia kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak mengutusmu kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang menguasai urusan mereka.} (Al-Israa’ 17:54)
- Munasabah ayat ini jelas:
i- apabila Allah ajar kepada kita umat Islam untuk berdebat, berhujjah & bercakap dengan bahasa yang baik;
ii- maka datang ayat ini Allah nak tenangkan hati Nabi s.a.w bahawa kerjanya hanyalah menyampaikan bimbingan- kerja untuk membuka hati manusia menerima hidayah dakwah itu ialah kerja & kuasa Allah s.w.t.
- Ingatlah Nabi s.a.w orang yang paling mulia akhlaknya, paling baik percakapannya paling beretika tetap ditentang dan didustakan oleh musyrikin Makkah.
Kita pun jangan begitu- jika orang yang kita tak suka kita komen buruk-buruk dan mudah buruk sangka kerana tak selera dengan nafsunya.
- Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia maha mengetahui keadaan manusia iaitu siapa yang berhak mendapat rahmat & hidayah dan siapa yang tidak layak!
Yakni jika Allah nak beri hidayah kepada seseorang Dia akan beri rahmat dan aman!
Siapa yang tidak diberi hidayah dia akan derhaka & akan disiksa di neraka!
- [645] Yakni yang sebaik-baiknya, katakanlah kepada orang-orang yang menentang: bahawa soal kamu terserah kepada Allah, samada Ia hendak memberi rahmat kepada kamu dengan melorongkan kamu menerima kebenaran, atau Ia menyeksa kamu dengan mematikan kamu dalam keadaan ingkar.
- Yakni kerja Nabi s.a.w hanya memberi petunjuk, bimbingan, berdakwah kepada manusia.
Bukan kuasa Nabi s.a.w untuk membuatkan manusia membuka hatinya menerima hidayah.
Itu kerja Tuhan & kuasa Allah menentukan.
- Nota [646] Yakni Baginda diutus kepada umat manusia bukanlah sebagai wakil yang berkuasa memaksa mereka menerima kebenaran, tetapi hanya menyampaikan perintah-perintah Allah ‘Azza wa Jalla.
- Sebagaimana yang selalu kita sebut hidayah itu ada dua jenis:
i- hidayah irsyad memberi bimbingan, dakwah & ajaran itu kerja Nabi s.a.w, disambung oleh para sahabat dan semua pendakwah sehingga ke hari Kiamat.
ii- hidayah taufiq- itu di bawah kuasa &kehendak Allah Azza wa Jalla.
وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِمَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ وَلَقَدْ فَضَّلْنَا بَعْضَ النَّبِيِّينَ عَلَىٰ بَعْضٍ ۖ وَآتَيْنَا دَاوُودَ زَبُورًا ﴿٥٥﴾
Ayat 55- {Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.} (Al-Israa’ 17:55)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa Allah tahu siapa yang layak dan siapa yang tidak layak untuk menerima rahmat hidayah!
Itu di bawah kuasa & ilmu Allah.
ii- maka datang ayat ini menyatakan bahawa Allah tahu semuanya bahkan apa yang ada di langit & di bumi itu di bawah ilmu Allah s.w.t!
- Allah juga menyatakan antara para nabi & rasul itu ada kelebihan & kedudukan yang berbeza.
Antara manusia biasa & nabi-nabi satu peringkat, antara nabi & rasul peringkat lain pula, antara sesama para rasul pula ada peringkat & kedudukan yang berbeza.
- Kelebihan & perbezaan yang Allah beri itu samada:
i- mempunyai ilmu yang tinggi;
ii- diberi Kitab Samawi
iii- Syariat & mukjizatnya serta perlbagai cici-ciri khas yang berbeza.
iv- ada Nabi yang digelar Khalilullah (Nabi Ibrahim), ada yang digelar Kalimulah (Nabi Musa) ada yang digelar Abdullah & Habibullah (Muhammad s.a.w).
- Nota [647] Yakni Allah Ta’ala lebih mengetahui akan keadaan sekalian makhluk-Nya, dan Ia memilih di antara mereka yang layak menjadi Rasul-Nya.
Ini ialah sebagai menolak fahaman kaum kafir yang merasa hairan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w terpilih menjadi Nabi dan mendapat wayhu (Al-Qur’an).
Kemudian diterangkan bahawa setengah dari Nabi-nabi itu dilebihkan darjatnya atas sesetengah yang lain, disebabkan beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada mereka.
Misalnya Nabi Daud a.s, keistimewaannya bukan disebabkan kekuasaannya mengendalikan kerajaan sahaja tetapi juga kerana Kitab Zabur yang diturunkan kepadanya.
Demikian pula kelebihan Nabi Muhammad s.a.w menjadi semulia-mulia Nabi ialah dengan Kitab Al-Qur’an’ul-Karim yang diturunkan kepadanya, dan dengan tugasnya sebagai pesuruh Allah kepada umat manusia seluruhnya, serta dengan sifatnya sebagai Nabi Allah yang akhir sekali.
Umatnya pula menjadi sebaik-baik umat yang telah terbentuk di muka bumi, sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Qur’an, ialah kerana mereka menyuruh dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang dari perkara-perkara yang buruk, serta mereka beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu).
Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan.} (Al-Baqarah 2:253)
- Allah juga menyatakan Dia telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.
Allah sebut khas Nabi Daud di sini sebagai keistimewaannya. - Apakah kitab Zabur ini?
Kata al-Qurtubi: Zabur adalah sebuah Kitab yang tidak mempunyai hukum halal-haram, faraidh atau hudud qisas.
Ia adalah sebuah kitab yang mengandungi doa-doa, tasbih & pujian kepada Allah s.w.t.
- Maka Nabi Daud yang mempunyai suara yang merdu ini membaca doa-doa & tasbih itu sehingga terpegun burung dan bukit-bukit, turut bertasbih bersamanya dan lembut besi kerananya.
- Dalilnya firman Allah s.w.t:
{Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya;} (Saba’ 34:10)
قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُم مِّن دُونِهِ فَلَا يَمْلِكُونَ كَشْفَ الضُّرِّ عَنكُمْ وَلَا تَحْوِيلًا ﴿٦٥﴾
Ayat 56- {Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): “Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya”.} (Al-Israa’ 17:56)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan kedudukan para nabi itu berbeza-beza, ada yang yang diberi kitab, ada yang diberi kekuasaan dan sebagainya.
ii- maka datang ayat ini Allah bagitahu kepada kafir bahawa semua kuasa itu di bawah kekuasaan Allah s.w.t!
Berhala & segala sembahan kamu itu tidak mempunyai apa-apa kuasa, mata tidak berkelip, tidak boleh bercakap bergerak apa- apatah lagi nak beri manfaat & mudharat kepada penyembahnya.
- Kita orang Islam yakin bahawa tidak ada kuasa yang lebih besar daripada kuasa Allah s.w.t!
Tidak perlu minta dengan selain daripada Allah apatah lagi orang yang telah mati- mintalah dengan Allah kerana Allah sendiri yang memerintahkan begitu!
- Inilah yang perlu kita sedar dan faham dengan jelas!!!
Ayat 57- {orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.} (Al-Israa’ 17:57)
- Allah nyatakan pelik sekali perangai orang yang mahu mendampingi diri kepada Allah dengan wasilah iaitu menjadikan satu perantaraan antara mereka dengan Tuhan.
Kita tidak mahu jalan yang berliku & bahaya- kita mahu jalan yang selamat minta terus kepada Allah s.w.t.
- Kisah ini diriwayatkan daripada sahabat Abdullah bin Mas’ud R.A. yang menceritakan turunnya wahyu bagi firman Allah S.W.T dalam Surah al-Isra’, ayat 57.
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A., beliau menerangkan tafsir firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka…”
Beliau berkata: “Dahulu terdapat sekumpulan manusia yang menyembah sekumpulan bangsa jin.
Kemudian jin tersebut memeluk Islam, tetapi manusia yang menyembah mereka tetap meneruskan penyembahan mereka kepada jin tersebut.
Maka, turunlah ayat ini bagi menjelaskan bahawa makhluk yang disembah itu (jin) hakikatnya sedang mencari kedekatan diri kepada Allah.” (HR Bukhari dan Muslim, rujuk [Syarh Muslim 9/270]).
- Inilah yang kita bimbang Allah suruh minta dengan Dia tetapi kita pergi minta dengan orang mati pula!
Sedangkan orang mati sudah mati- macamana nak minta tolong dengan dia! - Masing-masing mencari jalan manakah yang lebih dekat kepada Allah.
Pastilah yang lebih dekat kepada Allah ialah orang yang ikut perintah Allah & perintah Nabi s.a.w.
Mereka mengharapakan rahmat dan takut kepada azab Allah s.w.t.
Azab Tuhan kamu itu semestikan kamu kena takut!
- Nota [648] Allah jualah yang berhak disembah dan Dialah yang berkuasa mendatangkan kebaikan dan menghapuskan sebarang bahaya.
Orang-orang yang dipuja oleh kaum musyrik yang diminta pertolongannya, tidak berkuasa dan tidak dapat sama sekali mendatang sesuatu yang baik atau yang buruk, bahkan mereka sendiri berusaha mendampingkan diri kepada Allah yang menguasai mereka, dengan berlaku taat kepada-Nya, serta mengharapkan rahmat-Nya dan takut kepada azab-Nya, sekalipun mereka ialah orang yang lebih dekat kepada Tuhannya.
- Yakni orang yang kamu minta dengannya & bertawasul kepadanyaitu; dia sendiri minta dengan Allah, mengharapkan rahmat-Nya & takut gerun kepada Allah!
Sedangkan dia pula sudah mati- Allahu Akbar!! - Kerana itu kita berhati-hatilah para jemaah sekelian, masalah ini perlu kepada penelitian yang baik.
Walaupun masalah tawasul & wasilah ini hanyalah sebahagian dari masalahnya dan ada khilaf ulama’ tentangnya!
Tetapi kita jangan dok ajarnya kepada masyarakat kerana ia akan pindah dari tawasul pergi kepada istighathah.
- Satu tuduhan jahat terhadap DDAAM ialah mengatakan dia mensyirikkan orang yang bertawasul.
Kita tidak kata begitu; ia adalah benda khilaf- maka jika kita tidak mahu terimanya tak perlu paksalah- orang lain nak terima tak dop arahlah.
Cuma kita nyatakan benda yang jelas ada kenapa kita nak cari yang kurang jelas.
Tetapi apakan daya tuduhan jahat itu telah melekat- atas dunia ini tak dapat selesai masalah, maka kita tunggulah di Akhirat kelak!
Penutup & Faedah #
- Ayat 53- {Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran);…}-
Allah suruh Nabi s.a.w mengajar kepada umatnya supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik hatta kepada orang-orang yang menentang kebenaran.
Kata ulama’ tadabbur dalam ayat ini terdapat banyak pesanan & perinah:
i- Allah suruh kita berbaik sesama orang yang beriman.
Jangan kerana berebut habuan dunia hilang ukhuwwah dan kesatuan ummah.
kata Imam Malik rhm: Jika kamu melihat seseorang itu mempertahanakan kebaikan tetapi menggunakan perkataan yang buruk, cacian makian; maka kamu tahulah bahawa dia mempunyai niat yang tidak baik.
*Samada dia niat nak suruh orang puji dia, niat nak pangkat kedudukan atau apa saja niat yang tidak baik!
Maka setiap ucapan perkataan & dakwah kita hendaklah menggunakan perkataan yang baik termasuk semasa hendak berdebat berdakwah kepada orang bukan Islam.
Kata DDAAM ialah: Ini termasuk dalam nak buat ulasan, tulis komen di media sosial FB, tiktok dan sebagainya; tulislah yang baik-baik, nak tegur- tegurlah dengan berhikmah buatlah secara beradab sebagai seorang Islam, tak perlu caci-maki, maki-hamun & tuduhan jahat!
Sekarang ini jika ada khilaf sedikit saja, label yang senang-senang dilekatkan ke dahi orang yang tidak sama pandangan dengannya, yang dianggap musuh ialah label Wahabi.
Ini tuduhan jahat nak melari dan menjauhkan orang dari individu atau personaliti dakwah tersebut!
- Ayat 53- {Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.}– kerja syaitan menghasut melaga-lagakan kamu!
Allah nyatakan sebab kenapa kita kena cakap baik.
Ini kerana kerja syaitan ialah nak menghasut dan melaga-lagakan kita manusia!
Apabila kita gunakan perkataan buruk, bahasa tak molek; syaitan terus masuk jarum menghasut manusia agar terus berbalah berkelahi lalu berpecah-belah!
Masyarakat kita hari ini pula suka sangat kepada benda-benda pelik, sekali dengar sesuatu yang pelik & baru dari ustaz/uztazah tiktok- terus percaya dan waswas dengan apa yang dipelajari & diamalkan selama ini!
Kerja syaitan ialah nak melaga-lagakan orang beriman maka kita berhati-hatilah dalam segena sudut- nampak saja bibit-bibitnya yang tidak baik terus kita baiki dan berhenti!
Ingat baik-baik jemaah semua, jangan sesekali keluar dari kita ucapan & kata-kata yang tidak baik!
Bahkan kita kena bercakap baik dengan orang bukan Islam, hatta Tuhan larang kita dari memaki tuhan mereka!
Sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
{Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.} (Al-An’aam 6:108)
Maka kita seru kepada semua- pengguna media sosial terutamanya- hati-hatilah dalam berkata-kata atau menulis; ingatlah di Akhirat kelak kita akan bertemu dengan Allah s.w.t.
- Ayat 55- {… dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain;}-
Allah nyatakan berbeza kelebihan antara seorang nabi dengan nabi yang lain.
Maka kelebihan Nabi kita Muhammad s.a.w terlalu banyak & istimewa.
Terdapat sebuah kitab bertajuk: “41 Kelebihan Nabi S.A.W” (atau tajuk asalnya Bidayah as-Sul fi Tafdhil ar-Rasul- ) iaitu sebuah kitab muktabar yang ditulis oleh ulama besar Imam Izzuddin Abdul Aziz bin Abdussalam.
Kitab ini menghimpunkan keistimewaan eksklusif Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbanding nabi-nabi lain, bersandarkan riwayat sahih.
DDAM telah usahakan menterjemahnya ke Bahasa Malaysia.
Boleh cari kitab tersebut yang terbitan Telaga Biru Bhd:
https://abuanasmadani.blogspot.com/…/41-kelebihan-nabi…
Yakni dalam ayat ini Allah nyatakan para nabi itu mempunyai kelebihan yang berbeza-beza; ada yang menjadi Khalilullah, Kalimullah dan Nabi kita Rasulullah s.a.w telah diberi kelebihan yang besar mengatasi segala rasul sebelumnya.
Baginda dikenali sebagai Sayyidul Mursalin bermaksud “Penghulu (Pemimpin) Segala Rasul”, Khatamun Nabiyyin (Meterai Penutup Para Nabi), Rahmatan lil ‘Alamin dan banyak lagi.
- Ayat 55- {… dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.}–
Kenapa Allah sebut khas Nabi Daud a.s & Kitab Zabur.
Ini kerana Nabi Daud mempunyai kelebihan & keistimewaan khusus yang tidak ada pada nabi lain seperti:
i- Nabi Daud sendiri seorang yang mempunyai suara yang merdu, seorang Nabi & Raja yang memerintah Kerajaan yang besar.
ii- Kitab Zabur kepunyaannya penuh dengan doa dan pujian-pujian terhadap Allah s.w.t.
iii- dalam Kitab Zabur ada satu bab khas menyebut Baginda Nabi s.a.w secara khusus.
Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh”.} (Al-Anbiyaa’ 21:105)
Di mana maksudnya ulama’ kata:
i- {Kitab-kitab yang Kami turunkan}- iaitu Kitab Zabur;
ii- {bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh}- ialah Nabi Muhammad s.a.w.
- Ayat 56- {Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): “Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya”.}-
Allah perintahkan kepada Nabi s.a.w untuk memberitahu kepada orang kafir- sentapkan mereka bahawa sembahan mereka itu tiada faedah & kuasa lansung!
Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan:
Ayat 57- {..orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya,..}- puak kafir pun ambil perantaraan dengan Allah.
Maka kita orang Islam ahli Sunnah ini ada juga wasilahnya. Iaitu wasilah yang sepatutnya & yang dibenarkan oleh Syara’ ialah kita mengambil wasilah & bertawasul dengan ibadat dan amal soleh kita sendiri.
Di mana kita bertawasul mendekatkan diri kita kepada Allah dengan ibadat dan amal soleh, dengan perkara yang disukai Allah s.w.t & perkara yang disayangi oleh Rasulullah s.a.w.
Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: “Apabila kamu mendengar muazzin azan, maka ucapkanlah seperti mana yang dia ucapkan. Kemudian berselawatlah ke atasku, kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.
Kemudian mohonlah kepada Allah untukku al-Wasilah, sesungguhnya ia adalah satu kedudukan dalam syurga yang tidak layak melainkan untuk seorang hamba daripada hamba-hamba Allah, dan aku berharap bahawa akulah orang itu.
Maka sesiapa yang memohon al-Wasilah untukku, maka dia akan mendapat syafaatku.” [HR Muslim (384)].
Ini adalah bacaan doa selepas azan:
اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ،
وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Maksud Doa:”Ya Allah, Tuhan yang memiliki seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan, kurniakanlah kepada junjungan kami Nabi Muhammad kedudukan yang tinggi (wasilah) dan kemuliaan, serta bangkitkanlah baginda di tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.”
Jadi kita nak minta syafaat Nabi s.a.w kita minta dengan Allah juga bukan direct terus kepada Baginda Nabi sendiri.
Jadi oleh kerana masalah wasilah & tawasul ini masih perlu kepada pendetailan, huraian & penjelasan yang panjang maka bukan mudah-mudah seperti yang dituduh orang bahawa orang ini mengkafirkan orang dengan sebab ini!
Maka penjelasan itu biarlah jelas, nak tuduh orang biarlah tuduhan itu jelas & benar; jika tidak kamu akan bertanggung-jawab di hadapan Allah s.w.t kelak.
Perbuatan mengeluarakan senarai buruk, menjatuhkan kredibiliti orang, menyekat orang dari berdakwah dari menyampaikan agama- ingatlah kita akan bertemu di hadapan Allah; siapa yang betul siapa yang salah akan terdedah!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 24/06/2026 – 08 Muharram 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=985865880930599
Semoga Bermanfaat!
