View Categories

(17) Surah Al-Israa’: Ayat 66-69

11 min read

Live Kuliah Pagi Ahad 28/06/2026 – 12 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (17) Ayat [66-69]

Full video: https://youtu.be/taIxUfRdoKU?si=BN3PYtOQKBGqSlMq

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 66 sehingga ayat 69 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan sebahagian daripada nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada manusia iaitu nikmat di lautan, di mana bahtera yang kecil dan besar dapat belayar di atas air laut yang luas dan berombak dengan selamat & tanpa tenggelam.
  3. Kemudian Allah uji manusia di lautan iaitu manusia apabila tersepit & diuji baru ingat kepada Allah sebagai penyelamat.

Kita orang beriman kena sentiasa ingat kepada Allah samada ketika susah atau senang.
Jika tidak kita akan menjadi orang tak betul perjalanannya!

  1. Akhirnya Allah nyatakan sebagaimana Sunnatullah, ketetapan Allah yang pasti di atas muka bumi ini; penderhaka yang lawan Allah akan binasa.
  2. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang sifat puak kafir terhadap berhala sembahan mereka yang tiada apa-apa kuasa untuk memberi manfaat & darurat kepada manusia.

Juga tentang kisah iblis yang diberi kuasa tidak mati sehingga hari Kiamat untuk menyesatkan manusia sehingga hari Kiamat.

ii- kemudian datang ayat ini Allah nyatakan wahai manusia, kamu hidup atas muka bumi ini Allah yang beri rezeki, keselamatan, nikmat kepada kamu!

Tiba-tiba kamu pergi balas dengan melakukan syirik kepada Allah?
Inilah manusia yang tidak kenang jasa, tak kenal budi & tak reti bahasa!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

رَّبُّكُمُ الَّذِي يُزْجِي لَكُمُ الْفُلْكَ فِي الْبَحْرِ لِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ ۚ إِنَّهُ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ‎﴿٦٦﴾‏

Ayat 66- {Tuhan kamulah yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada kamu.} (Al-Israa’ 17:66)

  1. Allah nyatakan Allah Tuhan yang berkuasa menggerakkan kapal di atas lautan belayar membawa manusia, barang dagangan dan makanan mereka bagi mereka mencari rezeki dan bergerak bertukar barang dagangan.
  2. Ibrahnya dapat kita lihat Allah jadikan lautan sebagai lebuhraya bagi kapal-kapal besar membawa muatan seperti minyak beratus ribu tan dari satu negara ke satu negara.

Apabila jalan ini tersekat betapa susah dan kalutnya manusia- seperti yang berlaku dalam perang teluk dulu dan yang terbaru ini!

  1. Kita kena kaitkan isu yang ada dalam al-Quran & tafsir dengan apa yang berlaku dalam kehidupan kita hari ini sebagai pengajaran untuk kita ambil contoh dan menjauhkan apa yang tidak baik & membawa darurat.

Bukan kata baca tafsir saja jangan kaitkan dengan hal dunia ini- bila orang tegur & nasihat kata orang cerca & hina dia pula!

  1. Kita lihat betapa kapal yang besar terapung tidak tenggelam di atas air laut, manakala perahu kecil para nelayan pula terolang-aling dilambung ombak tidak terbalik dengan mudah, mereka selamat mencari rezeki.
  2. Maka kita kena teguhkan pergantungan kita kepada Allah dalam semua aspek kehidupan kita serta menambahkan keimanan!

Serta objektif Allah beri rezeki ini supaya kita bersyukur kepada Allah yang memberi segala nikmat ini!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.} (Al-Jaathiyah 45:12)
  2. Di akhir ayat Allah kata: {Sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada kamu!}.
    Maka jangan Allah beri rezeki kamu syirik kepada Allah, Allah beri nikmat kamu derhaka & maksiat kepada Allah!
    Ini adalah manusia yang tidak bersyukur tidak reti bahasa!

وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَن تَدْعُونَ إِلَّا إِيَّاهُ ۖ فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ كَفُورًا ‎﴿٧٦﴾

Ayat 67- {Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).} (Al-Israa’ 17:67)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah ingatkan manusia agar jangan kufur & derhaka- syukurlah dengan nikmat & rezeki yang Allah berikan kepada kamu!

ii- datang ayat ini Allah nyatakan manusia itu hanya ingat kepada Allah ketika susah tetapi ketika senang lari & lupa kepada Allah!

  1. Allah nyatakan keadaan manusia di lautan apabila dilanda ombak yang mengganas di lautan mereka pun takut tenggelam- terus mereka ingat kepada Allah meminta pertolong kepada Allah untuk menyelamatkan mereka.
    Tidak ada lagi ingatan & seruan kepada berhala & sembahan mereka yang lain!!!
  2. Hadis kisah Ikrimah lari ke laut selepas Pembukaan Kota Makkah:

Selepas Pembukaan Kota Makkah (Fath Makkah), Rasulullah S.A.W memberikan pengampunan umum kepada Quraisy yang biasa dengan sabdanya:
“Pergilah kamu semua, kamu semua bebas (tidak dihukum).”
Namun, baginda mengecualikan empat orang lelaki dan dua orang wanita yang terlalu jahat dan keras permusuhannya terhadap Islam. Mereka ini walaupun berlindung di kelambu Kaabah sekalipun, tetap diperintahkan supaya dihukum.

Antara mereka ialah: Ikrimah bin Abu Jahal, Abdullah bin Khatal, Maqis bin Subabah dan Abdullah bin Sa‘d bin Abi Sarh.

Apabila mendengar dirinya termasuk dalam senarai itu, Ikrimah bin Abu Jahal segera melarikan diri dari Makkah menuju ke Jeddah. Kebetulan ada sebuah kapal hendak belayar, lalu dia segera menaikinya.

Namun, dalam perjalanan di tengah laut, datang ribut taufan besar. Kapal hampir karam.

Ketua kapal menjerit: “Ikhlaskan doa kamu kepada Tuhan Yang Sebenar!
Berhala tidak akan dapat menolong kamu!”

Saat genting itu, Ikrimah tersentak. Lalu dia berdoa dengan penuh ikhlas:
“Ya Allah, jika Engkau selamatkan aku daripada musibah ini, aku berjanji akan pergi menemui Muhammad dan memeluk Islam.”

Sejurus selepas itu, ribut reda dan laut kembali tenang. Kapal selamat mendarat.
Ikrimah pun menunaikan janjinya kembali menuju kepada Rasulullah S.A.W.

Apabila bertemu dengan Nabi SAW, baginda menyambutnya dengan penuh kasih:
مرحباً بالراكب المهاجر
“Marhaban birrakibil muhajir.” (Selamat datang wahai musafir yang berhijrah!) [Dari Tafsir Ibnu Kathir rhm.]

Ibnu Al-Atsir berkata di dalam kitabnya Usud Al-Ghabah,” Ketika Ikrimah bin Abu Jahal masuk Islam, ada orang yang berkata, ‘Wah! Ini adalah anak musuh Allah, Abu Jahal.’
Ucapan tersebut menyakiti Ikrimah.

Kerananya, ia mengadukan perihal tersebut kepada Rasulullah S.A.W, lantas baginda bersabda” ‘janganlah kalian mencela ayahnya kerana mencela orang yang sudah mati, akan menyakiti orang yang masih hidup (keluarganya).’”.

  1. Pengakhiran Hidup: Ikrimah akhirnya memeluk Islam dengan ikhlas.
    Keislamannya bukan biasa-biasa, beliau menjadi seorang panglima Islam yang gagah berani, berjuang di medan jihad bersama sahabat lain.

Bayangkan, ayahnya ialah Abu Jahal, musuh besar Islam. Tetapi anaknya, setelah mendapat hidayah, menjadi pembela Islam.

  1. Manakala keadaan kafir dalam ayat ini selepas diselamatkan mereka kafir balik.
    Allah sifatkan mereka sebagai tidak mengenang jasa Allah & nikmat-Nya ke atas kerana: {Maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).}
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.} (Al-‘Ankabuut 29:65)

*Yakni manusia ini mudah lupa daratan, mudah kufur nikmat, tidak kenang jasa dan kembali berpaling syirik! Ingat kepada Allah hanya pada waktu susah saja.

  1. Nota [658] Di antara rahmat Allah kepada manusia ialah diberinya kemudahan belayar di laut untuk mencari rezeki.

Apabila mereka ditimpa bahaya, maka pada saat itu mereka hanya teringat kepada Allah dan berharapkan pertolonganNya.
Tetapi setelah mereka sampai di darat dengan selamatnya maka merekapun mempersekutukan Allah dengan makhluk-makhluk yang mereka puja dengan sesatnya.

أَفَأَمِنتُمْ أَن يَخْسِفَ بِكُمْ جَانِبَ الْبَرِّ أَوْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ثُمَّ لَا تَجِدُوا لَكُمْ وَكِيلًا ‎﴿٨٦﴾

Ayat 68- {Adakah kamu – (sesudah diselamatkan ke darat) – merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?} (Al-Israa’ 17:68)

  1. Allah lalu memberi amaran peringatan kepada mereka- apakah mereka berasa selamat apabila tiba di daratan sedangkan semua langit dan bumi ini milik Allah!
  2. Jangan kamu rasa aman apabila keluar dari Laut lalu kembali syirik kepada Allah!
    Jangan kamu rasa boleh lari dari kuasa Allah!

Allah boleh menimpakan balanya ke atas kamu dengan pelbagai cara; samada dengan gempa bumi- terbelah bumi menelan kamu atau Allah hantar angin ribut kencang yang akan menghujani kamu dengan batu atau air banjir yang akan menenggelami kamu!

  1. Tak perlu rasa selamat di mana saja kamu berada.
    Ingatlah- bala itu apabila Allah nak timpakan ke atas kamu ia tidak akan lepas & jika tidak ditaqdirkan ke atas kamu- tidak akan kena!
  2. Tetapi kita kena usahakan untuk mencari langkah berjaga-jaga sebagai ikhtiar untuk selamat dan terlindung dari bencana!

 أَمْ أَمِنتُمْ أَن يُعِيدَكُمْ فِيهِ تَارَةً أُخْرَىٰ فَيُرْسِلَ عَلَيْكُمْ قَاصِفًا مِّنَ الرِّيحِ فَيُغْرِقَكُم بِمَا كَفَرْتُمْ ۙ ثُمَّ لَا تَجِدُوا لَكُمْ عَلَيْنَا بِهِ تَبِيعًا ‎﴿٩٦﴾‏

Ayat 69- {Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh menuntut bela tentang itu terhadap Kami?} (Al-Israa’ 17:69)

  1. Selepas kamu selamat & lupa akan Allah menjadi syirik & buat maksiat derhaka kembali kepada Allah; apakah kamu tidak terfikir apabila kamu kembali semula ke laut apa yang akan terjadi???
  2. Wahai manusia jangan kamu rasa aman dan selamat selamanya, selamat telah lepas, pada masa depan apa yang terjadi kamu tidak tahu lagi apakah akan selamat atau tidak!
  3. Allah boleh hantarkan pula bila-bila masa kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab kekufuran kamu!
  4. Maka pada waktu itu tiada sesiapapun yang boleh menyelamatkan kamu atau menuntut bela tentang kebinasaan kamu itu terhadap Allah. Maka jangan sesekali kita sombong buat maksiat kepada Allah!
  5. Nota [659] Yakni sedarlah! Hanya Allah yang menyelamatkan manusia semasa mereka berada di darat atau di laut (dan juga udara); maka sudah sewajarnya manusia bersyukur akan nikmat Allah.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 66- {Tuhan kamulah yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya;}– Allah ajar kepada kamu beri kepada kamu ilmu untuk buat kapal buat bahtera kemudian kamu belayar mencari rezeki di lautan.

Kata ulama’: Ayat ini untuk kita memikirkan akan rezeki & nikmat yang diberikan Allah kepada manusia dari pelbagai sumber.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa kita boleh naik bahtera belayar di lautan untuk mencari rezeki, berniaga, melihat keindahan alam dan mencari segala kebaikan & pengajaran.
Yang tak bolehnya belayar di lautan untuk buat maksiat mungkar.

Ayat ini menunjukkan kepada rezeki Allah yang wajib disyukuri, jangan sesekali kita ingkarinya dengan buat maksiat derhaka pula kepada Allah dengan nikmat yang diberi-Nya ini!
Tak kiralah samada rezekinya dari darat, laut atau udara.

Jangan kita sombong kerana ia sifat iblis yang dilaknat!

  1. Ayat 67- {Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah;…}- manusia ketika susah hatinya bergantung dan berharap kepada Allah dengan ikhlas & sepenuhnya!

Maka Allah akan dengar permohonan:
i- doa orang yang benar-benar berhajat dan mengharapkan kepada Allah sepenuhnya tidak kira orang kafir atau orang beriman.

Kafir dulu kenal Allah ketika susah walaupun tidak ketika senang- tetapi pengikut ajaran sesat zaman kita ini tidak kenal Allah walaupun ketika senang & susah.

ii- doa orang yang dizalimi- kafir atau mukmin. Maka jangan sesekali kita menzalimi orang walaupun dia kafir kerana Allah akan mendengar doanya!

Orang zalim tidak akan kekal berkuasa selamanya, ingatlah dunia ini ada tinggi rendahnya, pasang surutnya!

  1. Ayat 67- {… maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).}-

Allah nyatakan manusia ini ketika susah ingat & berdoa kepada Allah.

Tetapi apabila selamat dan senang kembali kufur lupa kepada Allah.

Jangan kita rasa aman bahkan kena sentiasa ingat kepada Allah, sentiasa takut kepada Allah- kerana walaupun selamat di laut mungkin akan kena bencana di atas darat pula!

Jangan kita rasa boleh lari dari kemurkaan Allah, perancangan Allah sedemikian di laut, darat atau bumi.
Jangan nanti selamat di laut mati di darat pula!

  1. Ayat 67- {… maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).}-

Kata ulama’: Ayat ini menjadi dalil bahawa orang yang hanya mencari Allah ketika susah, lupakan Tuhan ketika adalah perangai orang kafir!

Kita orang beriman wajib sentiasa menjaga haq Allah ke atas kita; tidak kira waktu senang atau susah!

Ulama’ kata: Orang yang ketika senang ingat kepada Allah- maka pada waktu susahnya Allah akan ingat untuk membantunya!

Jangan kita jadi seperti orang kafir yang hanya ingat Tuhan ketika waktu susah!
Waktu senang tak pernah pergi masjid tak kenal pun imam kampungnya; tetapi apabila sakit dan ditimpa masalah baru nak knal tangga masjid cari imam bilal untuk berdoa & solat hajat kepadanya!

  1. Ayat 69- {Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut,…}-
    Allah kata kamu lepas & selamat sekali tidak bererti akan sentiasa lepas & selamat!

Kamu selamat di lautan tidak semestinya kamu akan selamat di daratan juga!

Jadi kita kena minta kepada Allah agar Allah jaga kita dan beri keselamatan di mana saja kita berada!

Maka kita sentiasalah berdoa kepada Allah minta keselamatan dan keamanan di dunia & Akhirat, selamat di mana saja!

Doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ،
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي،
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي،
اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي،
وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya:”Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (kesejahteraan) di dunia & Akhirat.
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (kesejahteraan) pada agama, dunia, keluarga dan hartaku.

Ya Allah, tutupilah aib-aibku dan berilah keamanan dari ketakutanku.

Ya Allah, peliharalah aku dari arah depan, dari belakang, dari kanan, dari kiri dan dari atasku.
Aku berlindung dengan keagungan-Mu, agar aku tidak disambar (dibenamkan) dari bawahku.”

Boleh lihat Kitab Perisai Muslim ini untuk doa-doa yang baik & indah bagi semua keadaan dan waktu sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w:

Perisai Muslim
https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan

Kita mintalah keselamatan dari Allah di mana saja kita berada dan bila-bila masa saja kerana bala ini tidak tahu datang dari mana, datang tidak kira masa & tidak tahu akan datang dari arah mana!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 28/06/2026 – 12 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=989448943905626

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top