Dirikan Solat 5 Waktu, Solat Tahajjud, Berdoalah Kepada Allah & Kebenaran Pasti Datang

Live Kuliah Pagi Rabu 01/07/2026 – 15 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (20) Ayat [78-81]
Full video: https://youtu.be/hP-e5BWCwKU?si=zyUmjW57hjKlj8P
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 78 sehingga ayat 81 dalam juzuk kelima-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan perintah untuk dirikan solat 5 waktu, juga menyatakan waktu solat bermula dari zohor sehingga malam dan solat subuh yang besar cabaran & pahalanya.
Allah juga wajibkan solat tahajjud ke atas Nabi s.a.w & sunat ke atas kita umatnya.
- Allah s.w.t juga memerintahkan Nabi s.a.w agar sentiasa berdoa kepada Allah setiap masa untuk masuk ke tempat yang benar, keluar pada tempat yang benar dan beri kemenangan kepadanya.
- Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan kebenaran pasti datang & yang batil akan hilang dengan menangnya kebenaran.
Cuma untuk mendapat pertolongan Allah kena ada syarat & SOPnya.
Allah kata kamu tolong agama-Ku, Aku akan tolong kamu!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang tipu-daya dan strategi jahat puak kafir cuba nak pesongkan Nabi s.a.w- tetapi mereka tidak akan berjaya kerana Nabi s.a.w duduk di bawah jagaan Allah s.w.t.
ii- maka datang ayat ini Allah perintahkan Nabi s.a.w agar jangan hiraukan lagi puak kafir & karenah mereka itu.
Yang terima dakwah kita ajar dan murnikan aqidah mereka serta kamu tumpukan kepada ibadatmu iaitu solat 5 waktu.
- Munasabah kedua:
i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan nikmat-Nya kepada Nabi s.a.w dengan penjagaan dan pertolongan-Nya kepada Nabi s.a.w.
ii- maka datang ayat ini sebagai tanda bersyukur hendaklah kamu solat kepada Allah yang wajibnya 5 waktu & solat tahajjud pada waktu malam agar kamu mendapat tempat yang tinggi & kuasa syafaat yang tidak diberi kepada nabi-nabi lain!
*Maka jelaslah antara tanda syukur kepada Allah ialah solat.
Sebagaimana ibadat yang khas disebut solat dhuha sebagai tanda syukur 360 sendi kita kepada Allah- maka jagalah ia bersama dengan solat rawatib lain & witir,.
Insya’ Allah jika istiqomah kita akan termasuk dalam golongan auliya’ Allah (para wali Allah).
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا ﴿٨٧﴾
Ayat 78- {Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).} (Al-Israa’ 17:78)
- Allah perintahkan kepada Nabi s.a.w (dan umatnya semua) agar menjaga solat fardhu dengan cara yang sempurna, jaga waktunya, rukun & sunatnya.
*Jangan malas nak buat yang sunatnya kerana kita akan kerugian banyak pahalanya.
- Waktu solat yang Allah nyatakan dalam ayat ini bermula dari:
i- gelincir matahari di langit dari timur senget ke barat iaitu solat zohor & asar, apabila tenggelam matahari bermula gelap masuk waktu maghrib sehingga sempurna gelap malam iaitu waktu solat isya.
*Maka jika ikut tertib al-Quran setiap hari itu bermula dengan solat zohor sebagai solat yang pertama- kemudian asar, mghrib & isya kemudian terputus sekejap.
ii- Kemudian datang solat subuh apabila masuk waktu fajar.
*Tetapi antara waktu malam selepas isya sebelum subuh itu ada pula solat khas yang Allah perintahkan kepada Nabi s.a.w iaitu solat tahajjud dan ia sunat ke atas kita.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.} (Hud 11:114) - Nota [667] Allah Ta’ala perintahkan Rasulullah s.a.w dan umatnya supaya mendirikan sembahyang yang lima waktu meliputi siang dan malam untuk mendapat keredhaan dan perlindungannya.
- Kenapa solat subuh disebut sebagai
{إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ}
lain dari solat yang lain itu?
Ini kerana menurut satu hadis- solat subuh biasanya Nabi s.a.w membaca ayat al-Quran yang panjang:
i- Daripada Abu Barzah r.a berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلَاةِ الْغَدَاةِ بِالسِّتِّينَ إِلَى الْمِائَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W membaca di dalam solat Subuh sebanyak enam puluh ke seratus ayat.” [HR Al-Nasaie (939)]
ii- Kadang-kadang pada waktu solat Subuh, Nabi akan membaca keseluruhan surah.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Samurah r.a:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ: فِي الصُّبْحِ بِـ {ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ
قَالَ: وَكَانَتْ صَلَاتُهُ بَعْدُ تَخْفِيفًا
Maksudnya :”Sesungguhnya Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh dengan
ق والقرآن المجيد (iaitu Surah Qaf).
Kata Jabir: Solat Nabi selepas itu adalah ringkas.” [HR Ibnu Hibban (1816)].
- Nota [668] Dalam ayat ini Allah Ta’ala menegaskan tentang keistimewaan sembahyang subuh secara khusus; kerana dengan bersinarnya fajar pada waktu itu, maka hilanglah gelap dan timbullah terang untuk menyaksikan tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah Ta’ala dalam alam yang terbentang luas sesudah manusia bangkit dari tidurnya, sambil memulakan harinya dengan ibadat pada saat yang berkat itu, sebagai bersyukur kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
Bertambah pula sembahyang subuh itu disaksikan oleh “Malaikat Hafazah” – malaikat malam dan malaikat siang, – yang bergilir-gilir menjaga dan mengawalnya.
Menurut hadith-hadith Nabi, pada saat itulah berhimpunnya malaikat malam dengan malaikat siang yang tersebut, dan pada saat itulah mereka berpisah.
Malaikat-malaikat akan naik semula, dan malaikat siang yang baharu turun, tinggal menjaga dan mengawalnya.
- Kelebihan solat subuh:
i- Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Malaikat malam dan malaikat siang silih berganti mengawasi kamu.
Dan mereka berkumpul pada waktu solat Subuh dan solat Asar.
Kemudian malaikat yang mengawasi kamu semalaman naik (ke langit) dan Allah S.W.T bertanya kepada mereka — padahal Allah lebih mengetahui tentang mereka —:
‘Bagaimanakah keadaan hamba-hamba-Ku ketika kamu tinggalkan?’
Malaikat menjawab: ‘Kami meninggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang mendirikan solat, dan kami mendatangi mereka ketika mereka sedang mendirikan solat’. “(HR Bukhari & Muslim)
ii- Jundub bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ صَلَّى صَلَاةَ الصُّبْحِ فَهُوَ فِي ذِمَّةِ اللهِ، فَلَا يَطْلُبَنَّكُمُ اللهُ مِنْ ذِمَّتِهِ بِشَيْءٍ،
فَإِنَّهُ مَنْ يَطْلُبْهُ مِنْ ذِمَّتِهِ بِشَيْءٍ يُدْرِكْهُ، ثُمَّ يَكُبَّهُ عَلَى وَجْهِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia berada dalam jaminan Allah.
Allah tidak sesekali menggugurkan daripada jaminan-Nya dengan sesuatu.
Oleh yang demikian, sesiapa yang menggugurkan daripada dirinya jaminan Allah, pasti dia akan mendapatkannya (balasan). Kemudian wajahnya akan ditelangkupkan dalam Neraka.” [HR Muslim (657)].
- Kelebihan solat sunat fajar iaitu sunat rawatib 2 rakaat sebelum subuh:
Hadis riwayat Sayyidah Aisyah R.A, Nabi S.A.W bersabda mengenai dua rakaat sunat Subuh:
“Dua rakaat fajar (solat sunat Subuh) adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.”(HR Muslim).
*Maka jika solat sunatnya sahaja sebesar ini ganjarannya, apatah lagi solat fardhu Subuh itu sendiri secara berjemaah.
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا ﴿٩٧﴾
Ayat 79- {Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.} (Al-Israa’ 17:79)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang solat fardhu 5 waktu.
ii- kemudian datang ayat ini sebut pula tentang solat tahajjud.
Solat ini wajib (bukan fardhu) bagi Nabi s.a.w & sunat untuk kita umatnya.
Ini untuk menguatkan jiwa & semangat Nabi s.a.w dalam berdakwah.
*Kerana itu para pejuang pendakwah yang nak berdakwah mesti bangun bertahajjud.
- Yakni pada waktu malam Allah perintahkan untuk kita bangun menunaikan ibadat iaitu solat tahajjud sebagai tambahan kepada solat 5 waktu tadi.
Solat ini dinamakan solat tahajjud kerana kita bangun solat lepas tidur sekejap.
Jika tak tidur pun tak mengapa kita namakan Qiyamullail secara umum.
- Allah kata ibadat ini, perintah untuk Nabi s.a.w bangun malam; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji {مَقَامًۭا مَّحْمُودًۭا}.
*Kata ulama’: Jika perkataan semoga {عَسَىٰٓ} ini bagi Allah adalah wajib – maka ia adalah janji yang pasti dari Allah!
- Nota [669] Yakni pangkat yang setinggi-tinggi dan semulia-mulianya (Al-Maqaam al-Mahmud) yang telah dijanjikan, untuk memohon syafaat bagi sekalian makhluk di padang Mahsyar setelah mereka lama menderita kerana menunggu dibicarakan dan dihisab.
Sesudah Baginda memohon syafaat ke hadrat Allah Ta’ala untuk mereka, baharulah mereka sekaliannya dibicarakan dan menerima balasan; yang baik dibalas baik (Syurga) dan yang jahat dibalas jahat (Neraka).
“Al-Maqaam al-Mahmud ” {مَقَامًۭا مَّحْمُودًۭا} inilah yang tersebut di dalam doa yang dibaca selepas azan memohon semoga Baginda dikurniakan pangkat yang semulia-mulianya itu sebagai satu dari tanda-tanda cinta kita kepada baginda yang dikasihi.
- Maka Nabi s.a.w sentiasa melakukan solat tahajjud ini sepanjang hayatnya dengan bersungguh-sungguh sebagaimana hadis riwayat UM Saidatina Aisyah R.A, ia berkata:
“Nabi S.A.W menunaikan solat malam hingga bengkak kedua-dua telapak kaki baginda, lalu aku katakan kepada baginda, ‘Mengapakah tuan melakukan seperti ini, ya Rasulullah, padahal dosamu yang lalu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah?
‘Baginda menjawab, Adakah aku tidak boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?” (HR Bukhari dan Muslim)
- Rasulullah S.A.W menjelaskan dalam sebuah hadis sahih yang panjang:
Bahawa manusia akan menunggu dengan penuh ketakutan dan kesengsaraan.
Baginda bersabda:
“Pada hari kiamat, manusia akan berdiri dalam waktu yang sangat panjang sehingga ada yang berkata: ‘Marilah kita pergi mencari seseorang yang dapat memberi syafaat kepada kita kepada Tuhan kita.’” (HR Bukhari dan Muslim).
Ketika itu, manusia akan merasakan waktu berlalu begitu lama, seperti ribuan tahun.
Mereka akan bergerak mencari syafaat, bermula dengan mendatangi Nabi Adam a.s, bapa manusia.
Namun, Nabi Adam akan menyatakan bahawa beliau juga pernah melakukan kesalahan, yakni memakan buah larangan.
Maka beliau akan meminta mereka pergi kepada Nabi Nuh a.s.
Nabi Nuh, yang juga dikenal sebagai rasul pertama kepada umat manusia, akan menyatakan bahawa beliau tidak layak kerana pernah memohon sesuatu kepada Allah tanpa pengetahuan penuh (iaitu memohon keselamatan anaknya yang kafir).
Baginda akan meminta mereka pergi kepada Nabi Ibrahim a.s.
Nabi Ibrahim a.s, yang digelar Khalilullah (kekasih Allah), juga akan menolak dengan alasan bahawa beliau pernah menyatakan sesuatu yang samar kebenarannya ketika menyebut tentang berhala kaumnya (Surah Al-Anbiya: 63).
Maka manusia akan diarahkan kepada Nabi Musa a.s.
Nabi Musa, yang berbicara langsung dengan Allah, akan menyatakan bahawa beliau juga tidak layak kerana pernah membunuh seorang lelaki secara tidak sengaja (Surah Al-Qasas: 15).
Beliau akan meminta mereka pergi kepada Nabi Isa a.s.
Nabi Isa a.s yang terkenal dengan kesuciannya, juga tidak akan memberikan syafaat.
Beliau akan menyatakan bahawa syafaat itu bukan haknya.
Akhirnya, manusia akan diarahkan kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Ketika manusia mendatangi Nabi Muhammad S.A.W, baginda akan berkata, “Aku yang akan memberikan syafaat itu.”
Lalu baginda sujud kepada Allah, memohon izin untuk memberikan syafaat.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Kemudian aku akan pergi ke bawah Arasy dan bersujud kepada Allah.
Allah akan membukakan untukku pujian-pujian yang indah, yang tidak aku ketahui sebelumnya. Maka aku akan memuji-Nya dengan pujian itu, lalu Allah berfirman: ‘Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu, mintalah, akan Aku kabulkan. Berilah syafaat, maka syafaatmu diterima.’” [HR Imam Bukhari dan Muslim].
- Maka siapa yang nak syafaat Nabi s.a.w di Akhirat- selain dari melakuakan amal soleh & kebaikan yang lain, maka bukalah telinga & jangan lupa baca berselawat kepada Nabi s.a.w & membaca doa selepas azan.
- Hadis bacaan selepas azan- Daripada Abdillah bin ‘Amr bin ‘Asr R.A, sesunguhyna dia mendengar Nabi S.A.W bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: “Apabila kamu mendengar muazzin, maka ucapkanlah sepertimana yang sedang diucapkan oleh muazzin.
Kemudian berselawatlah kamu ke atasku kerana barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh (10 kali selawat).
Setelah itu, mohonlah (berdoalah) kepada Allah terhadapku sebagai wasilah kerana ia merupakan salah satu tempat (kedudukan di dalam Syurga) yang mana ia tidak layak untuk sesiapapun melainkan buat hamba-hamba Allah.
Aku mengharapkan agar aku adalah orang tersebut (yang layak di kedudukan tersebut di dalam Syurga kelak).
Maka barangsiapa yang memohon kepadaku wasilah maka layaklah baginya untuk mendapatkan syafaat (syafaat Nabi S.A.W).” [HR Muslim (384)]
- Doa Selepas Azan, Bacaan doa yang sahih diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah R.A, di mana Rasulullah S.A.W bersabda bahawa sesiapa yang membaca doa ini akan mendapat syafaat baginda:
اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ،
وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ
Maksudnya:Ya Allah, Tuhan yang memiliki seruan yang sempurna ini (azan) dan solat yang didirikan. Kurniakanlah kepada Nabi Muhammad kedudukan yang tinggi (di dalam syurga) dan kelebihan. Bangkitkanlah baginda di tempat yang terpuji sebagaimana yang telah Engkau janjikan. [HR Bukhari].
وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا ﴿٠٨﴾
Ayat 80- {Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”,} (Al-Israa’ 17:80)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah suruh Nabi s.a.w mendirikan solat sebagai tanda syukur dengan tubuh secara fizikal.
ii- maka dalam ayat ini Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk berdoa dan berzikir, bertasbih memuji Allah.
Ini adalah tanda syukur secara lisan.
- Dalam ayat ini Allah ajar satu doa yang khas kepada Nabi s.a.w:
{ وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِى مُدْخَلَ صِدْقٍۢ وَأَخْرِجْنِى مُخْرَجَ صِدْقٍۢ وَٱجْعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلْطَـٰنًۭا نَّصِيرًۭا}
- Kata ulama’ maksudnya ayat-ayat ini:
i- {Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia}- ada yang kata masuk ke dalam Madinah dan menjalankan dakwah di situ kerana di situ ada kuasa & pemerintahan untuk menegakkan agama.
ii- manakala {serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia}- ialah keluar dari Makkah. Jadikan aku keluar dari Makkah kerana benar untuk menyelamatkan agama & menegakkan kebenaran.
Maka berilah taufiq kepadaku untuk mendapat ketaatan & keredhaan-Mu ya Allah.
iii- ada ulama’ kata bukan khusus untuk masuk & keluar dari Makkah & Madinah saja; tetapi untuk semua tempat kita yang kita keluar & masuk; hendaklah berdoa untuk masuk atau keluar darinya dengan penuh kebenaran & kebaikan!
- Kemudian Nabi s.a.w juga berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan dan kekuasaan, hujjah yang mantap & pertolongan-Nya untuk berlawan dengan puak kafir!
- Nota [670] Mulai dari ayat 76 yang lalu, Allah Ta’ala membayangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya bersedia untuk berhijrah dari Makkah ke Madinah, lalu diperintahkan kepada Baginda supaya beribadat dan berdoa semoga ia selamat berhijrah ke negeri yang baharu itu dan mendapat pertolongan Allah ‘Azza wa Jalla dalam menyiarkan Islam dengan mengalahkan musuh-musuh Islam yang menentangnya.
وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا ﴿١٨﴾
Ayat 81- {Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.} (Al-Israa’ 17:81)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah suruh Nabi s.a.w berdoa;
ii- maka datang ayat ini menyatakan kemenangan telah datang kepada Nabi s.a.w!
- Yakni Allah nyatakan bahawa Nabi s.a.w & Islam telah menang, iaitu kebenaran akan terserlah & kebatilan yang menyalahi Syari’ah Allah akan kalah & hilang!
- Nota [671] Dengan ini Allah Ta’ala memberikan berita yang menggembirakan kepada Nabi Muhammad s.a.w bahawa ugama Islam yang disiarkannya tetap berjaya dan Baginda akan mengalahkan golongan yang menentangnya.
Menurut hadith-hadith Nabi, tatkala Baginda berjaya menguasai negeri Makkah dan memanfaatkan penduduknya, maka Baginda perintahkan supaya segala berhala yang ada di sekeliling Kaabah dibinasakan, lalu Baginda mencucuk berhala-berhala itu dengan sebatang kayu di tangannya sambil membaca ayat 81 yang lalu yang menegaskan kemenangan Islam dan kehancuran kufur dan syirik.
- Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Yusuf R.A bahawa Ibn ‘Abbas R.A berkata kepadanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَزَا غَزْوَةَ الْفَتْحِ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah berperang dalam peperangan Pembukaan Kota Makkah (Fath Makkah) pada bulan Ramadhan. [HR al-Bukhari: (4275)].
- Selepas Rasulullah S.A.W berjaya membuka kota Makkah, Baginda S.A.W meneruskan usaha untuk membersihkan dan memuliakan Kaabah daripada segala perbuatan kekufuran dan syirik kepada Allah S.W.T.
Rasulullah S.A.W menghancurkan berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah. Jumlah berhala yang ada di sekitar Kaabah itu dianggarkan lebih kurang 360 buah.
Nabi Muhammad S.A.W memukul setiap daripada berhala tersebut dengan tongkat yang berada di tangan Baginda S.A.W sambil membacakan ayat 81, Surah al-Isra’ dan ayat 49, Surah al-Saba’ (Rujuk Zad al-Ma’ad fi Hady Khair al-‘Ibad: 358).
- Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah R.A, beliau berkata:
دَخَلَ النَّبِيُّ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ مَكَّةَ يَوْمَ الْفَتْحِ وَحَوْلَ الْبَيْتِ سِتُّونَ وَثَلاَثُمِائَةِ نُصُبٍ، فَجَعَلَ يَطْعُنُهَا بِعُودٍ فِي يَدِهِ وَيَقُولُ : جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ، جَاءَ الْحَقُّ، وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ
Maksudnya: Nabi SAW memasuki kota Makkah pada hari pembukaan kota Makkah (Fath Makkah) dan di sekeliling Kaabah terdapat 360 buah berhala. Baginda kemudiannya menghancurkannya dengan tongkat yang berada di tangannya seraya mengucapkan firman Allah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat. [HR al-Bukhari: (4287)].
*Maka bolehlah kita membaca ayat ini apabila kita meruntuhkan perkara yang buruk.
Penutup & Faedah #
- Ayat 78- {Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam,…}– ayat ini menunjukkan waktu solat 5 waktu bermula dari waktu zohor apabila matahari gelincir atau condong ke barat.
Maka kata ulama’: Berdasarkan ayat ini zohor merupakan waktu solat yang pertama bagi satu hari itu dan subuh nantinya melengkapkan tempoh untuk hari itu.
Ayat ini menjadi dalil bahawa wajib kita solat apabila masuk waktunya.
Jika belum masuk waktu tidak boleh solat & tidak sah solat.
Jika seseorang meninggal sebelum masuk waktu satu solat ia tidak dikira tidak solat!
Solat subuh pula disebut khas kerana ia mempunyai keitimewaannya yang tersendiri kerana disaksikan oleh para malaikat petugas malam & siang sebagaimana dalam hadis di atas.
Dikatakan {وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ} kerana bacaan surah al-Fatihah itu juga satu rukun dalam solat.
Jelaslah kepada kita bahawa solat menjadi satu fardhu yang besar dalam hidup kita!
- Ayat 78- {… dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).}-
Kenapa solat subuh saja disebut al-Quran {وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ} tetapi dalam solat lain tidak disebut?
Jawapan: Kerana disunatkan membaca bacaan ayat al-Quran yang panjang dalam solat Subuh.
Ia menunjukkan kita kena baca panjang & secara kuat (jahr) dalam solat subuh kerana ia disaksikan malaikat siang & malam!
Yakni sunat membaca panjang dalam solat subuh berbanding dengan solat lain!
Ia juga menunjukkan kelebihan yang besar dalam solat subuh.
Sebagaimana yang kita bincangkan solat sunat fajar sahaja begitu besar kelebihan apatah lagi solat fardhu subuh itu sendiri!
Beberapa lagi hadis tentang kelebihan solat subuh berjemaah:
i- Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ، صَلاةُ الْعِشَاءِ الآخِرَةِ،
وَصَلاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا، لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
Maksudnya: Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. [HR Ahmad]
ii- Daripada Usman bin ‘Affan R.A, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda:
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ،
وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah, maka seolah-olah dia telah mendirikan solat (qiamullail) selama separuh malam.
Dan barangsiapa yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah, maka seolah-olah dia telah mendirikan solat (qiamullail) sepanjang malam.” (Sahih Muslim, No. 656)
- Ayat 79- {Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu;..}- Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w supaya solat tahajjud.
Tahajjud ini wajib ke atas Nabi s.a.w & sunat ke atas kita umatnya.
Maka kita yang ada kemampuan cubalah sedaya upaya untuk bangun melakukannya.
Jangan berat kepala berat tulang untuk bangun meninggalkan tilam!
Kata ulama’: Solat malam ini menjadi satu sifat kepada orang-orang soleh sejak zaman dulu lagi sehinggalah sekarang.
Maka kita jadikan ia juga sebagai budaya & kelaziman kita setiap malam kerana kelebihannya yang amat besar.
Allah kata kamu kena solat malam banyak maka Nabi s.a.w menyahut perintah Allah ini dan Baginda solat sehingga bengkak kakinya.
Allah juga berfirman kepada kita:
{Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),} (Al-Muzzammil 73:2)
Kata ulama’: Orang yang nak menjadi dakwah kena banyak tahajjud kerana dakwah itu satu kerja berat & bila tahajjud seolah kita cas bateri tenaga & semangat.
Siapa yang bangun solat malam- orang ini akan mendapat darjat tempat yang tinggi di syurga kelak (maqam mahmud- مَقَامًۭا مَّحْمُودًۭا)!
Solat malam kepada pendakwah untuk memberi kekuatan jiwa kepada mereka & lorong jalan ke syurga!
- Ayat 80- {Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia;}-
Para ulama’ telah mengumpulkan beberapa ayat yang mengandungi perkataan {صِدْقٍۢ}:
i- {… dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia {قَدَمَ صِدْقٍ} di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan).} (Yunus 10:2)
ii- {“Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik {لِسَانَ صِدْقٍۢ} (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;} (Asy-Syu’araa’ 26:84)
iii- {Di tempat yang sungguh bahagia {مَقْعَدِ صِدْقٍ}, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.} (Al-Qamar 54:55)
Maka kata ulama’ lagi: Hakikat benar dalam perkara ini ialah apabila kita berada di atas landasan yang benar, kita sentiasa berhubung dengan Allah, kita melalui jalan yang benar dengan perkataan, perbuatan & ibadat kita; maka kita akan sampai kepada Allah.
Kerana itu kita minta jalan masuk yang benar & jalan keluar yang benar.
Ini adalah doa yang diajar oleh Allah s.w.t kepada Nabi s.a.w.
Maka kita pun sentiasalah bedoa minta yang benar dalam segala urusan keluar masuk kita!
Kita jagalah apa yang nak masuk dalam diri kita melalui anggota kita seperti mata telinga mulut kita biarlah semua yang benar & halal seperti makan minum.
Dalam hati kita pun kita biar masuk yang benar saja dan keluar pun yang benar juga!
Ini adalah doa yang kita sentiasa berdoa minta kepada Allah!
Nabi s.a.w juga minta hujjah yang mantap untuk berlawan dengan puak kafir dan kuasa yang kuat untuk melaksanakan Syari’at, Baginda s.a.w juga minta kuasa syafaat untuk menyelesaikan masalah ummat di Akhirat kelak.
Begitulah sangat prihatinya Nabi s.a.w kepada kita umatnya!
- Ayat 81- {Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik);}– bila datang yang benar maka yang batil akan hilang!
Bila hidupnya Sunnah yang bid’ah akan tercabut.
Kita ini hanya dua saja- Sunnah kuat bid’ah lemah, kebenaran kuat yang batil hilang!
Dalam ayat ini Allah perintahkan kepada kita untuk sentiasa bekerja mencari yang benar jangan ikut yang salah.
Serta ingatlah ramai tak semestinya betul & sedikit tak semestinya salah!
Ayat ini juga boleh kita baca apabila kita ingkar mungkar seperti nak meruntuhkan sesuatu tempat yang mungkar (pusat judi, rumah pelacuran dan sebagainya).sebagaimana yang dibuat oleh Nabi s.a.w ketika Pembukaan Kota Makkah dalam hadis di atas.
Boleh dibaca juga ayat ini:
قُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ ٱلْبَٰطِلُ وَمَا يُعِيدُ ﴿٩٤﴾
{Katakanlah lagi: “Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat”.} (Saba’ 34:49)
Alhamdulillah dengan pertolongan Allah Islam akan menang, dapat kekuatan untuk laksanakan Islam atas dunia ini.
Sekarang ini bukan Islam yang lemah tetapi umat Islam yang lemah, selain ditindas kafir kita juga berpecah tidak bersatu, berkelahi sesama sendiri- sehingga lupa akan musuh sebenar yang sepatutnya dilawan bersama!!!.
Marilah kita satukan “Wehdatul Ummah” untuk sama-sama menentang apa saja dari kalangan bukan Islam yang agenda mereka nak menjatuhkan Islam walaupun mungkin mereka berselindung disebalik proxy yang anak orang Islam juga!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 01/07/2026 – 15 Muharram 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=992296640287523
Semoga Bermanfaat!
