View Categories

(8) Surah Al-Israa’: Ayat 26-31

14 min read

Live Kuliah Pagi Rabu 17/06/2026 – 01 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (08) Ayat [26-31]

Full video: https://youtu.be/uEWXkBTV48U?si=gZiXldWFx4MkX_wa

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 26 sehingga ayat 31 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan arahan untuk berihsan kepada kaum kerabat, yang dimulai dengan ibu bapa sebagaimana dalam ayat sebelum ini.

Kemudian kepada kaum kerabat, orang miskin, musafir yang terputus bekalan (ibnu as-Sabil) dan seumpamanya.

*Ini adalah Syi’ar agama yang ketiga selepas tauhid ibadat kepada Allah & syi’ar kedua ihsan buat baik kepada kedua ibu bapa.

  1. Kemudian Allah ajar kepada kita cara menggurus ekonomi jangan membazir atau terlalu boros dan jangan juga terlalu bakhil dalam berbelanja kerana membazir itu amalan syaitan!

Jika kamu tak dapat memenuhi permintaan orang tolaklah dengan baik jangan mengherdik & marah.

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa rezeki itu Allah yang beri maka jangan sesekali kamu bunuh anak kerana takut miskin.

Selepas beranak kamu kena jaga dan beri tarbiyah bimbingan anak itu jangan biarkannya begitu saja hanya beri makan minum.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t mewajibkan ke atas kita untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa secara khususnya;

ii- maka datang ayat ini mengajar untuk kita ihsan dan berbuat baik juga kepada kaum kerabat, anak beranak yang terdekat.

Kerana mereka juga datang melalui lorong ibu lorong bapa, mereka yang ada silaturrahim dengan kita.

Juga jika tiada kerabat tetapi mereka orang yang susah seperti orang miskin dan pengembara yang terputus bekalan, kita kena ihsan juga.

  1. Hari ini adalah Ghurrah (الْغرَّة) iaitu hari pertama atau 1hb Muharram.

Antara Sunnahnya Nabi s.a.w ialah membaca doa melihat anak bulan baru, ia dibaca setiap bulan apabila masuk bulan bau:

اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ

Ya Allah jadikanlah anak bulan yang terbit ini membawa keberkatan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah S.W.T”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 3373]

  1. Permulaan tahun Hijrah ini bermula pada zaman Khalifah Umar r.a yang memilih & menetapkan tarikh hijrah Nabi s.a.w ke Madinah sebagai pengiraan awal tahun Hijrah.

Nabi s.a.w berhijrah pada akhir Safar & tiba di Madinah pada awal Rabi’ul Awal Tahun pertama Hijrah.

*Ingat semua bacaan & doa yang disebarkan tanpa sabit dari al-Quran atau dari Nabi s.a.w adalah sesuatu yang tanpa autoriti.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَآتِ ذَا الْقُرْبَىٰ حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ‎﴿٦٢﴾‏

Ayat 26- {Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.} (Al-Israa’ 17:26)

  1. Sekali lagi melalui khitab kepada Nabi s.a.w- Allah mengajar kepada kita untuk meneruskan ihsan & syi’ar agama yang ketiga iaitu berbuat baik kepada kaum kerabat yang ada hubungan keluarga.

Tidak semestinya melalui duit atau harta benda saja, tetapi melalui hubungan yang baik, seperti saling bertanya khabar, bantu-membantu seperti gotong royong & hadir kenduri.

  1. Nota [624] Hak kaum kerabat ialah menguatkan tali silat’-ur-rahim dengan mereka, bergaul mesra dengan mereka dan membantu mana-mana yang memerlukan bantuan.

Orang-orang miskin dan orang-orang musafir juga berhak mendapat bantuan.
Dalam pada itu, membelanjakan harta benda kita pada bukan tempatnya adalah perbuatan boros yang dikeji oleh Syarak.

  1. Syi’ar yang keempat ialah apabila membelanjakan harta kamu janganlah engkau membelanjakannya dengan boros yang melampau.
  2. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah galakkan kepada kita untuk berbeblanja kepada ibu bapa kaum kerabat serta orang miskin & musafir;

ii- Allah beri SOP nya jangan membazir terlalu boros dalam berbelanja menggunakan harta kamu!

  1. Dalam berbelanja melampau ini ada dua keadaan:

i- membazir- menggunakan duit pada tempat yang tidak patuh Syari’ah atau haram!
Contoh derma duit walaupun sedikit kepada tempat atau program yang haram- itu namanya membazir.

ii- boros- atau israf pula ialah menggunakan harta pada jalan yang halal dan patuh Syari’ah tetapi melebihi had, melampaui keperluan yang sepatutnya!

  1. Contoh: Sesuatu perkara itu halal- makan minum kita sekeluarga cukup sahaja kita makan RM100 untuk 4 orang tetapi kita pergi makan di kedai yang mahal sehingga 100 atau 400 seorang!
    Beli baju atau tudung beribu-ribu dan seumpamanya!
    Seseorang itu hanya patut diberi RM10 tetapi kita beri beratus-ratus pulo dan seumpamanya.

*Ini adalah perbuatan boros tetapi jika dia infaq letak di tempat yang baik tidak membazir walaupun sebanyak mana!

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ‎﴿٧٢﴾‏

Ayat 27- {Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.} (Al-Israa’ 17:27)

  1. Maka sesiapa yang menggunakan atau meletak harta bukan pada tempatnya, guna atau berbelanja pada tempat yang haram atau tidak patuh Syari’ah- sedikit atau banyak dikira membazir!
  2. Orang yang membazir ini dikira sebagai saudara-saudara Syaitan, kerana syaitan itu suka sekali kita menjadi pengikutnya yang suka membazir menganjurkan dosa & maksiat!
  3. Kenapa kita nak jadi pengikut syaitan sedangkan Syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya!

Walaupun kita kata kita tidak kufur tetapi dengan ikut atau buat sesuatu yang disukai syaitan- kufurlah itu- samada kufur tidak syukur nikmat Allah atau kufur ingkar larangan Allah!

  1. Kekayaan boleh membawa seseorang menjadi sombong yang merupakan perangai syaitan disamping suka maksiat, mungkar & kejahatan!

Semua sifat itu akan menghumbankannya ke dalam neraka bersama syaitan!

  1. Nota [625] Orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan borosnya pada jalan yang dilarang oleh Allah bermakna mereka kufurkan nikmat Allah, yakni tidak syukur akan nikmat-nikmat pemberianNya itu.

Keadaan mereka yang demikian samalah seperti Syaitan yang sangat kufur kepada Tuhannya kerana ia telah menghabiskan dengan boros segala daya usahanya yang diberikan oleh Allah Ta’ala itu untuk menyesatkan manusia dan menghasut mereka menderhaka kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

وَإِمَّا تُعْرِضَنَّ عَنْهُمُ ابْتِغَاءَ رَحْمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرْجُوهَا فَقُل لَّهُمْ قَوْلًا مَّيْسُورًا ‎﴿٨٢﴾‏ 

Ayat 28- {Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.} (Al-Israa’ 17:28)

  1. Kemudian Allah ajar pula kepada kita perbuatan ihsan yang kelima iaitu:
    i- jika kamu tak mampu memenuhi atau melayan permintaan orang yang meminta sesuatu; nak buat macamana orang yang tak memiliki tak boleh nak memberi!

ii- tolaklah dan nyatakan dengan baik, jangan menyakiti hati mereka dengan kata-kata yang buruk seperti perli, sindir atau menghalau & menghina mereka!
Beri alasan yang munasabah dan tidak mengecilkan hati mereka.

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas galakan untuk untuk berbuat baik dan ihsan kepada yang susah & memerlukan.

ii- maka datang ayat ini mengajar caranya jika kita tidak mampu membantu, tidak ada rezeki untuk dikongsikan kepada mereka.
Tolaklah dan beri alasan yang baik & tidak menyakiti hati mereka.

  1. Nota [626] Yakni jika kita tidak mampu hendak memberikan apa-apa kepada kaum kerabat, atau orang-orang miskin, atau orang-orang musafir yang memerlukan bantuan, lalu kita tidak melayani mereka kerana menunggu kedatangan rezeki dari limpah kurnia Allah yang diharap-harapkan, maka pada saat itu janganlah kita memperkatakan sesuatu yang mengecilkan hati mereka, tetapi hendaklah berkata kepada mereka dengan cara yang baik dan berterus terang seperti dikatakan: maafkanlah, tak dapat saya memberi apa-apa pada masa ini. Insya’Allah, pada kali yang lain jika ada, saya akan beri.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.} (Al-Baqarah 2:263)

ii- {Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;} (Adh-Dhuha 93:10)

  1. Kita perhatikan ada cara orang Arab yang mudah- jika mampu beri dia beri jika tak mampu atau tak mahu beri dia tunjukkan tangan ke atas dan mengatakan: “Allahu Karim”!
    Itu menunjukkan dia tak dapat beri- tak usah dok merayu minta lagi bila dah dikatakan (الله كريم)!

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا ‎﴿٩٢﴾

Ayat 29- {Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.} (Al-Israa’ 17:29)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila Allah larang dalam ayat yang sebelum ini daripada membazir dan boros dalam berbelanja;

ii- maka dalam ayat ini Allah ajar kepada kita cara dan adab-adab berbelanja iaitu hendaklah bersederhana!
Jangan terlalu boros atau terlalu bakhil!

  1. Allah menyatakan dengan jelas caranya:
    i- jangan kamu terlalu bakhil tak mahu infaq walaupun mampu seolah tangan kamu terbelenggu di lehermu, terpulas lekat tangan susah mahu infaq.

ii- dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, iaitu terlalu boros sehingga habis duit keperluan nafkah keluarga!

Terlalu boros ini asal ada duit belanja situ sini sehingga habis simpanan & bekalan yang sepatutnya!

Nak minum kopi dan makan kuih di kedai mahal yang berjenama padahal ada kedai yang sederha harga tapi rasanya lebih kurang juga dengan kedai berjenama.

  1. Kedua perangai ini akibatnya akan menjadikan seseorang itu samada:

i- dalam keadaan yang tercela di sisi Allah juga manusia iaitu dibenci dan dicela orang kerana bakhil kedekut.

ii- atau habis harta kering keputusan akibat terlalu boros & membazir sehingga tiada bekalan untuk masa depan.
Dulu kaya sekarang miskin merempat terpaksa meminta-minta pula!

  1. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.} (Al-Furqaan 25:67)

*Iaitu berbelanja secara berhemah dan sederhana ikut keperluan.

  1. Nota [627] Yakni janganlah engkau bersifat bakhil kedekut, ibarat orang yang telah terikat tangannya di lehernya; dan jangan pula engkau bersifat boros, ibarat orang yang sentiasa menghulurkan tangannya sehabis-habisnya dengan tidak tersekat-sekat.

Kerana sifat-sifat yang demikian, akibatnya akan menjadikan engkau tinggal dalam keadaan tercela di sisi manusia, serta engkau pula akan menyesal tak sudah-sudah.

Ayat ini mengajar umat Islam menjalankan dasar ekonomi yang sebaik-baiknya dengan berjimat-cermat secara sederhana, tidak bersifat bakhil kedekut, dan tidak pula bersifat boros membazir.

إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّهُ كَانَ بِعِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا ‎﴿٠٣﴾‏ 

Ayat 30- {Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.} (Al-Israa’ 17:30)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah larang daripada terlalu boros atau bakhil;

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan rezeki setiap orang itu telah ditetapkan Allah, luas atau sempit Allah yang pilihnya!

  1. Ada orang yang rezekinya mewah kaya raya, ada orang sedikit rezekinya.

Ada orang yang bila dapat kekayaan mula melompat menjadi kufur nikmt, ada orang yang tetap bersyukur berbuat kebaikan, infaq dan sedekah yang banyak dengan hartanya yang banyak itu!

  1. Kata-kata motivasi seorang jutawan Syeikh Ahamd al-Maliki yang sentiasa turun padang sendiri untuk melakukan amal kebaikan, lebih 30 tahun bawa kontena makanan untuk dibahagikan kepada para Jemaah haji di Arafah.

Apabila ditanya kenapa buat sendiri semua itu, jawabnya:

العمل الخيري له لذة

Bagi setiap perbuatan amal kebajikan itu terdapat kelazatan iman padanya!

*Inilah yang menjadi motovasi dan qudawah untuk kita melakukan kebaikan.

  1. Hadis Nabi s.a.w yang mengatakan bahawa manusia berbagai jenis keadaannya; ada yang kemewahan menjadikannya baik ada yang kemiskinannya menjadikannya jahat!

Ada pula yang kaya menjadikannya sombong dan miskin pula menjadikannya baik!

  1. Kemudian Allah tutup ayat ini dengan mengatakan bahawa Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.
  2. Nota [628] Yakni kalau engkau tidak mampu memberi bantuan kepada orang-orang yang memerlukannya, maka janganlah engkau bersedih hati, kerana Allah jualah yang memurahkan rezeki seseorang dan Dialah juga yang menyempitkan rezeki seseorang yang lain.

Semuanya itu ada hikmatnya, kerana Allah jua yang lebih mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya yang dimewahkan rezekinya dan yang disempitkannya.

Menurut kajian keadaan manusia itu berbagai jenis keadaannya.

Adakalanya kemewahan hidup menjadikan seseorang itu baik, dan kemiskinan pula menjadikan ia jahat. Ada pula sebaliknya.

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا ‎﴿١٣﴾

Ayat 31- {Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.} (Al-Israa’ 17:31)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila Allah ceritakan tentang infaq harta jangan boros dan bakhil;

ii- maka datang ayat ini nyatakan ada manusia yang takut miskin sehingga sanggup membunuh anak mereka!
Ini adalah perbuatan tercela dan berdosa besar.

  1. Peringatan orang sekarang ini tak mahu anak ramai apabila dapat beberapa orang anak seperti bilangan yang mereka nak- mereka lakukan procedure ikat rahim tak mahu beranak lagi!
    Ini adalah seolah membunuh anak juga dari dalam jika tak ada sebab yang munasabah!

*Tetapi jika kita merancang menjarakkan sedikit kelahiran kerana masalah kesihatan ibu atau atas nasihat doktor untuk membesarkan dulu anak-anak yang masih kecil dan terlalu rapat-rapat tidak mengapa.

  1. Nota [629] Allah jualah yang memberi rezeki kepada sekelian makhluk-Nya.

Orang-orang yang banyak anak tidak sepatutnya bertindak liar membunuh anak-anaknya dengan apa cara sekalipun, kerana takutkan kepapaan.
Dosa perbuatan yang kejam itu amatlah besar.

  1. Hadis Nabi s.a.w:
    عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ؟ قَالَ: أَنْ تَجْعَلَ لِلهِ نِدًّا، وَهُوَ خَلَقَكَ. قُلْتُ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: ثُمَّ أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ خَشْيَةَ أَنْ يَأْكُلَ مَعَكَ. قُلْتُ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: ثُمَّ أَنْ تُزَانِيَ حَلِيلَةَ جَارِكَ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a ia berkata:
“Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: ‘Dosa apakah yang paling besar?’
Baginda s.a.w menjawab: “Engkau menyekutukan Allah padahal Dia yang telah menciptakanmu.”
Kemudian aku bertanya lagi: ‘Kemudian dosa apa lagi?’
Baginda s.a.w menjawab: “Engkau membunuh anakmu kerana takut ia makan bersamamu.”
Aku bertanya lagi: ‘Kemudian dosa apa lagi?’
Baginda s.a.w pun menjawab, “Engkau berzina dengan isteri jiranmu.” [HR Bukhari].

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 26- {Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing;…}- ayat ini adalah arahan untuk menghubungkan silaturrahim, memuliakan orang miskin dan pengembara yang terputus bekalan.

Ini adalah syi’ar agama yang ketiga selepas mentauhidkan Allah & berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Terdapat tiga kategori manusia yang Allah suruh kita bantu dalam ayat ini iaitu:

i- kerabatmu, iaitu semua keluarga terdekat, orang yang ada hubungan keluarga dengan kita.

ii- dan orang miskin orang kampung kita kenal walaupun tiada hubungan kerabat.

iii- serta orang musafir- orang asing yang bukan kerabat dan bukan juga orang dari kampung kita.

Keindahan Islam di sini mengajar kita untuk berbuat baik kepada semua orang, bukan hanya kepada kaum keluarga, bukan hanya kepada orang yang kita kenal atau sekampung, tetapi juga kepada orang asing yang kita tidak kenal, asalkan dia muslim & memerlukan bantuan kita bantulah setakat kemampuan kita!

  1. Ayat 27- {Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan,…}– ingat ini kerana setiap duit atau kewangan, meletakkan harta pada tempat haram & tidak patuh Syari’ah- adalah membazir walaupun sedikit!

Sesiapa yang membazir Allah kata seperti saudara syaitan.
Ini kerana sedikit atau banyak perbuatan membazir itu adalah haram dan seolah perangai atau pengikut syaitan.
Ini kerana syaitan pekerjaannya nak mengajak membawa manusia ke neraka- orang yang membazir ini begitu juga!

*Sekali lagi beza maksud membazir & boros:
i- Boros menggunakan harta pada tempat atau perbuatan yang halal & harus- seperti pergi makan-makan dengan keluarganya di tempat yang amat mahal dan melampaui.
Boleh tetapi itu adalah perbuatan boros kerana kita boleh kita makan yang sederhana & belanja secara berhemah duit boleh digunakan untuk perkara kebaikan lain.

  1. Ayat 29- {Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya…}-

Allah ajar acara berbelanja secara hemah & gunakannya dengan baik.

Iaitu jangan kamu boros berbelanja & membazir harta kamu- tetapi gunakannya dengan baik & ikut keperluan!

Jangan terlalu bakhil kupit hangit juga jangan terlalu boros walaupun menggunakan harta kamu secara halal- berbelanjalah dengan berhemah dan ikut keperluan.

Orang bakhil terlalu kedekut atas dirinya sendiri walaupun untuk makan minum diri & keluarganya! Hidupnya sendiri susah, orang yang hidup bersamanya pun susah juga!

Orang boros pula berbelanja melebihi keperluan yang sepatutnya, boleh je beli nasi RM10 sebungkus tetapi dibelinya yang RM100 sebungkus!

Maka SOP belanja yang berhemah ialah sederhana iaitu jangan terlalu boros & jangan terlalu bakhil.

  1. Ayat 28- {Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.}

Apabila orang datang meminta derma atau sedekah; kita pula tak mampu atau tak mahu beri- tolaklah dengan baik, beri perkataan yang baik, jangan menyakiti hati mereka dengan jerkah tengking atau perbuatan yang tidak sepatutnya.

Ini kerana bukan semua kita sempat atau mampu layan permintaannya!
Kita usahakan setakat kita mampu & jika tidak ada kemampuan membantunya cakap baik-baik!

  1. Ayat 31- {Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.}- perbuatan membunuh anak kerana takut miskin & tidak ada rezeki adalah satu dosa yang amat besar.

Maka Allah beri jaminan kamu jangan bimbang seramai mana anak kamu pun mereka akan boleh makan kerana Allah yang beri rezeki kepada mereka bukan kamu!

Kata ulama’: Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah lebih kasihankan akan nasib seseorang anak itu daripada ibu bapanya sendiri!

Allah kata dia jamin rezeki seorang anak itu, Allah akan berinya makan.

Begitu juga dalam pembahagian harta pusaka, apabila kamu mati Allah sendiri yang uruskan & tetapkan bahagiannya!

Dalam bab Faraidh Allah tak suruh malaikat atau Nabi s.a.w membahagikanya atau kamu sendiri!

Maka kamu carilah harta setakat yang kamu mampu kerana Allah yang beri rezeki.

Kemudian apabila ada harta kamu berbelanjalah dengan berhemah dan bijak.

Jangan boros berbelanja tak tentu pasal tanpa keperluan, jangan membazir letakkanya di tempat maksiat atau terlalu bakhil sehingga susah nak makan!

Kita berdoa semoga Allah jadikan tahun baru 1448H ini menjadi tahun yang baik & berkat kepada kita semua dengan tingkatkan iman & ibadat.

Berhijrah meninggalkan maksiat kepada ibadat kepada Allah, berhijrah dari amlan yang tidak sahih kepada amalan sahih yang diajar oleh Rasulullah s.a.w, berhijrah dari malas beribadat kepada rajin beribadat.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 17/06/2026 – 01 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=980134844837036&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top