View Categories

(24) Surah Al-Israa’: Ayat 90-93

12 min read

Live Kuliah Pagi Isnin 06/07/2026 – 20 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (24) Ayat [90-93]

Full video: https://youtu.be/ulm8io8HEPM?si=jQrW7jMB9PzwbFMo

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 90 sehingga ayat 93 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kafir minta projek, mereka dengan angkuh kemukakan 6 cadangan, antaranya agar Makkah bertukar dari negeri yang kering kontang kepada negeri yang subur penuh dengan tanaman.
  3. Kemudian cadangkan agar Nabi s.a.w mempunyai mahligai yang tersegam!

Atau jika tak mampu tunaikan permintaan mereka itu segera turunkan azab dengan terbelah langit & jatuh ke atas mereka!

  1. Allah perintah kepada Nabi s.a.w untuk menjawab bahawa Maha Suci Allah, dia hanyalah manusia yang ikut wahyu & perintah Allah.

Yakni tak perlu kita layan soalan provokasi atau cabaran yang tidak memberi faedah.

*Cabar-mencabar ini adalah perangai yang tidak elok, sifat orang yang angkuh & sombong.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang cabaran kepada kaum kafir untuk mengadakan sesuatu yang seumpama al-Quran- tak mampu 10 surah, bawa satu surah- tetapi mereka tak mampu menyahut cabaran itu.

Begitulah orang jahat apabila tiada fakta mereka guna akta atau auta pula seperti selalunya!

ii- maka datang ayat ini- apabila puak kafir kalah- mereka tukar tajuk dengan menuntut pula dari Nabi s.a.w supaya mengadakan 6 perkara yang pelik sebagai membuktikan kebenarannya!

Bila tiada hujjah begitulah mereka melakukan plot twist pula!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَقَالُوا لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنبُوعًا ‎﴿٠٩﴾

Ayat 90- {Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.} (Al-Israa’ 17:90)

  1. Apabila mereka kalah hujjah & tiada fakta- puak kafir segera mencari dalih dan helah dengan menuntut atau mencabar Nabi s.a.w untuk mengadakan beberapa mukjizat yang tak munasabah bagi memuaskan hati mereka- barulah mereka nak percaya & beriman kononnya!
  2. Nota [679] Setelah Allah Ta’ala menegakkan dalil dan hujjah tentang mukjizat Al-Qur’an, dan orang-orang kafir musyrik merasa kalah, mereka pun berdalih lalu meminta Nabi Muhammad s.a.w melakukan salah satu dari enam perkara yang berupa mukjizat atau kejadian-kejadian yang luar biasa seperti yang tersebut dalam ayat ini dan ayat-ayat yang berikutnya.
    Jika tidak maka mereka tidak akan beriman.
  3. Mengikut Tafsir al-Munir: Beberapa pemuka musyrikin seperti Utbah & Syaibah bin Rabi’ah, Abu Sufyan bin Harb, Abu Jahal bin Hisyam, Al-Walid bin Mughirah, an-Nadhar bin Harith, Umayyah bin Khalaf dan Abu Bakhtari– dengan angkuh dan keras kepala mengatakan mereka tidak akan beriman selagi Nabi s.a.w tidak menunaikan beberapa cadangan & permintaan mereka.
  4. Cabaran pertama ialah agar Nabi s.a.w menukar landskap bumi Makkah yang asalnya kering kontang menjadi negeri yang subur dan hijau dengan mata air yang keluar dari bumi!

أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا ‎﴿١٩﴾‏

Ayat 91- {Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.} (Al-Israa’ 17:91)

  1. Cabaran kedua mereka pula ialah:
    i- agar Nabi s.a.w sendiri mempunyai kebun-kebun dari pokok tamar & kebun anggur yang subur berbuah.

ii- yang mengalir di dalamnya aliran sungai yang sentiasa terpancar di dalam kebun itu.

Barulah Baginda seorang yang kaya, hebat & istimewa, yang boleh mereka ikuti sebagai ketua!

  1. Mereka berasa mereka cukup bijak dan sombong dengan cabaran dan permintaan yang mereka fikir yang akan mengalahkan hujjah Nabi s.a.w sebelum ini! Ini adalah cadangan orang yang keras kepala & memang nak berlawan!

أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا ‎﴿٢٩﴾

Ayat 92- {Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.} (Al-Israa’ 17:92)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas mereka minta sesuatu yang baik & memberi faedah kepada mereka & bumi Makkah.

ii- dalam ayat ini mereka cabar minta apa yang selalu Nabi s.a.w beritahu kepada mereka iaitu ancaman & amaran azab.

Mereka minta disegerakan azab itu dengan menjadikan langit pecah & jatuh berkeping-keping ke atas mereka!

Begitulah percakapan orang yang tidak percaya- berani melawan!

  1. Cabaran ini adalah sama sebagaimana Allah ceritakan cabaran kaum terdahulu seperti Thamud dan lain-lain kepada nabi mereka dulu:

i- {Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib) hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir.
“Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini dari orang-orang yang dusta.} (Asy-Syu’araa’ 26: 185-186)

ii- {(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti).} (Saba’ 34:9)

iii- {Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.} (Al-Anfaal 8:32)

  1. Nota [680] Yakni sebagaimana yang tersebut dalam ayat 9 surah Saba’, bahawa jika Allah kehendaki nescaya yang kafir itu akan ditimbuskan ke dalam bumi (dengan gempa) atau ditimpakan atas mereka keping-keping dari langit untuk menghancurkan mereka.
  2. Cabaran seterusnya iaitu yang keempat mereka mencabar minta Tuhan sendiri atau malaikat datang memberitahu mereka, menjadi saksi bahawa betul Nabi Muhammad s.a.w itu seorang nabi & rasul yang diutus Tuhan.
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?” Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.} (Al-Furqaan 25:21)
  4. Nota [681] Yakni kalau engkau tidak dapat melakukan perkara yang baik seperti mengadakan mataair yang terpancar dan sungai-sungai yang mengalir di negeri Makkah yang kering kontang, maka datangkanlah azab dari langit atau bawalah Allah dan malaikat supaya kami dapat melihatnya.
  5. Kerana itu jangan sesekali kita suka cabar-mencabar orang.

Kita bersikap tawadhuk dan tenang itu lebih baik daripada sombong & angkuh!

 أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِّن زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِي السَّمَاءِ وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَّقْرَؤُهُ ۗ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا ‎﴿٣٩﴾

Ayat 93- {Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?} (Al-Israa’ 17:93)

  1. Cabaran kelima: Mereka juga meminta agar Nabi s.a.w sendiri mempunyai istana atau mahligai yang mempunyai perhiasan yang lengkap yang diperbuat daripada emas yang berkilauan memancar!
  2. Cabaran keenam: Mereka mahu Nabi s.a.w naik ke langit di depan mata mereka kemudian cari Tuhan kamu dan bawa mari sebuah kitab dari Tuhan yang dapat kami terus membacanya sendiri!

*Begitulah betapa kuat & bahayanya penentangan dan cabaran mereka yang degil keras kepala ini!

  1. Selesai 6 cadangan ini Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk menjawab cabaran puak kafir itu dengan berkata: Maha Suci Tuhanku!
    {سُبْحَانَ رَبِّى}.
    Maha Suci Tuhanku, Maha Mulia Tuhanku daripada segala kekarutan yang kamu buat itu!

Aku hanyalah seorang manusia, rasul utusan Tuhanku untuk berdakwah menyampaikan risalahnya kepada kamu semua.

  1. Yakni Maha Suci Tuhan daripada segala perkara yang kamu anggap lemah untuk mengadakan semua itu!

Allah tidak akan melayan permintaan kamu yang penuh helah, yang tidak memberi faedah dan sia-sia!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.} (Al-Kahfi 18:110)
  2. Nota [682] Yang Maha Suci Allah dari menurut kehendak kamu yang sia-sia dan hanya berupa dalihan itu.

Aku hanya seorang manusia yang menjadi Rasul seperti Rasul-rasul yang lain yang bertugas menyampaikan perintahNya.

Soal mukjizat terserah kepada-Nya dan Dialah yang berkuasa melakukannya.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 90- {Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.}– puak kafir mencabar nabi s.a.w bahawa mereka tidak akan beriman sehingga Baginda s.a.w memenuhi segala permintaan dan cadangan mereka yang tidak munasabah atau logik itu!

Kata ulama’ tadabbur: Para rasul a.s itu hanya rasul yang tidak memiliki kuasa untuk membawa tanda-tanda dan ayat-ayat yang pelik-pelik yang orang kafir minta itu!

Mereka hanya terima wahyu yang Allah turunkan.

Nabi s.a.w apabila diminta pelbagai pemintaan yang pelik-pelik- Allah suruh Nabi s.a.w nyatakan bahawa bukan kerja dia untuk membawa projek-projek seperti yang mereka minta itu!

Nabi s.a.w mengatakan bahawa dia hanya seorang rasul yang bertugas menyampaikan apa yang Allah sampaikan!

  1. Kenapa Allah tak layan permintaan mereka itu- seperti tukar landskap bumi Makkah kepada bumi yang subur.

Telah terlaksana hikmah Allah tidak memenuhi permintaan kafir itu.

Sebab Allah tak layan adalah kerana:
i- mengikut ketetapan Allah s.w.t apabila mana-mana kaum minta dalil & tanda, kemudian mereka tidak beriman- mereka akan dibinasakan dengan azab secara total (azab al-isti’sol) maka ini tidak sesuai dengan sifat Rasulullah s.a.w. sebagai rahmatan lil-Alamin, umatnya dibinasakan kerana tidak ada projek!

ii- Allah telah tetapkan hikmahnya, dalam qadha’ qadar-Nya bahawa bumi Makkah sebagai sebuah wadi yang kering tanpa tumbuhan (وَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ)!

Orang pergi ke Makkah kerana Allah, kerana nak beribadat bukan kerana keindahan buminya- siapa nak healing nak suka-suka pergi ke tempat lain, negara lain bukan ke Makkah. Makkah dibina untuk beribadat.

*Ini yang kita khuatiri sekarang fenomena ke Makkah telah berubah, ramai yang up di media sosial ke Makkah untuk healing & melancong telah berleluasa- tunjuk duduk hotel mewah, cari restoran atau minum kopi mahal, naik bot dan seumpamanya!

Kata ulama’ Salaf: Kerana itu Allah tidak sediakan di Makkah tali air, kebun yang subur- kerana sudah ada Ka’bah di Makkah- Allah mahu orang ke Makkah untuk beribadat semata-mata kerana Allah bukan kerana nak view nak panaroma!

Marilah kita perbetulkan niat kita apabila ke Makkah.

Ada orang kata Makkah tak ada apa nothing hanya ada Ka’bah kalau tidak dia tidak pergi!

Memangpun begitu hikmah dan tujuannya orang Islam ke Makkah.

Alhamdulillah sekarang ini walaupun kerajaan Arab Saudi berbelanja besar untuk memajukan Makkah tetapi suasana kering kontang masih ada.

Walaupun banyak hotel besar & mewah- jika kita pergi dengan niat nak beribadat, rehlatul-Qulub semua itu tidak akan mengganggu atau membuat kita terpesong-
insya’ Allah hanya menambah-baik keselesaaan untuk kita beribadat dengan lebih khusyuk.

  1. Ayat 90- {Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau….}– cadangan puak kafir itu ada dalam pelbagai bentuk samada cadangan yang lunak atau cadangan yang mencabar seperti minta runtuh langit ke atas mereka.

Semua cadangan puak kafir ini lebih kepada keras kepala tak reti bahasa- bawa cadangan yang pelik & tak munasabah dengan tujuan nak cabar & menjatuhkan Nabi s.a.w!

Telah terpahat dalam fikiran hanya nak berlawan dan mengalahkan Nabi s.a.w.

Sebagaimana firman Allah lagi yang menunjukkan keras kepala puak kafir-:

i- {Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: “Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.} (Al-An’aam 6:7)

ii- {Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).} (Al-An’aam 6:111)

Serta banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan puak kafir ini mencabar Nabi s.a.w; mereka cadang kemudian mereka lawannya.

Ini menunjukkan bahawa sifat degil, keras kepala, permusuhan & penentangan telah sinonim dalam diri dan perangai mereka.

  1. Ayat 91- {Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur,…}– setelah cadangan umum untuk Kota Makkah sekarang mereka minta cadangan khas kepada Nabi s.a.w sendiri pula
    Iaitu agar Nabi s.a.w itu sendiri menjadi seorang yang kaya raya, mempunyai kedudukan dengan memiliki kebun-kebun yang subur, dengan air sungai yang mengalir terus-menerus di dalamnya!

Begitulah cadangan puak kafir itu samada faedah umum, untuk peribadi Nabi s.a.w sendiri kemudian cabaran yang memudharatkan ke atas diri mereka sendiri dengan meminta azab yang dijanjikan turun segera!

  1. Ayat 93- {Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?}– yakni maha suci Allah yang maha mengetahui akan segala niat & maksudnya perkataan kafir!

Yakni begitu sekali (ginemo nah) betapa degil & keras kepala puak kafir minta pelik-pelik- berlawan mati-matian semata-mata nak mencabar, menentang, ingkar tak mahu terima!

Kita pun jika ada orang nak berlawan, nak provoke, mencabar kita dengan sesuatu yang tidak memberi faedah dan sia-sia kita katakanlah kepada mereka: (سُبْحَانَ ٱللَّٰهِ)-
Maha Suci Allah tak perlu nak jawab layan mereka!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.


Sedekah kita minggu ini:
Acc CIMB: 8603601168-
Atas nama: Dakwah Unlimited
Ref: Dakwah Selatan Thai

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 06/07/2026 – 20 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=996607089856478

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top