View Categories

(26) Surah Al-Israa’: Ayat 97-100

15 min read

Live Kuliah Pagi Rabu 08/07/2026 – 22 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (26) Ayat [97-100]

Full video: https://youtu.be/bSVJxkMrFoc?si=-yHmbDtUAVuz-0g2

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 97 sehingga ayat 100 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kuasa-Nya mutlaq untuk memberi hidayah taufiq kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan tidak memberinya kepada sesiapa yang tidak dikehendaki.
  3. Serta ingatlah hidup manusia atas dunia ini ada tempohnya- ada yang lama ada yang sekejap.

Apabila ada tempoh tak lamalah- pasti semua akan mati. tetapi kafir tetap memilih jalan yang sesat maka sesatlah mereka, terumbang-ambing tanpa hidayah & panduan Allah.

  1. Kemudian Allah nyatakan perangai manusia ini sekiranya diberi khazanah dunia kepada mereka pasti akan dipegang kemas untuknya.

Yakni walaupun kaya tetapi tetap bakhil, kedekut atau kupit.

Maka kita kena belajar untuk lawan sifat bakhil ini- siapa berjaya lawannya dia akan jadi manusia yang bahagia.

Siapa yang tidak dapat lawannya akan kerugian dan penuh penyesalan di Akhirat kelak!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang beberapa keraguan yang ditimbulkan oleh puak kafir akan Nabi s.a.w.

Maka Allah bawa amaran kepada mereka secara umum!

ii- maka datang ayat ini Allah bawa amaran azab secara terperinci iaitu mereka kelak akan dibangkitkan dengan berjalan di atas muka yakni terbalik-kuang!

Kata ulama’ ini kerana semasa di dunia dulu tak mahu sujud kepada Allah lalu dibalikkan di Akhirat dipaksa sujud.

Jelas sesiapa yang sombong & angkuh di dunia dulu akan celaka & hina di Akhirat kelak!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَمَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُمْ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِهِ ۖ ‏

Ayat 97- {Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya.} (Al-Israa’ 17:97)

  1. Allah menegaskan bahawa:
    i- sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah atas dunia ini untuk beriman kepada Allah & Rasulullah s.a.w serta al-Quran yang dibawanya & Sunnah yang ditinggalkannya; itulah orang yang benar-benar akan mendapat kebahagiaan di Akhirat kelak.

ii- sesiapa yang menolak kebenaran akan sesat & tidak akan mendapat hidayah dari Allah. Mereka tidak akan mendapati mana-mana penolong selain daripada Allah- tiada siapa & apa yang akan dapat membantu mereka daripada tersasar dan terus sesat atas dunia ini!

*Kita bergantung kepada Allah semata-mata barulah hati kita mantap & kuat.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. (Al-Kahfi 18:17)
  2. Nota [686] Hanya Allah yang memberi hidayah petunjuk. Sebaliknya orang yang sesat, dengan sebab ia sendiri memilih jalan yang salah, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi petunjuk atau melindunginya dari azab Allah.

وَنَحْشُرُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ عُمْيًا وَبُكْمًا وَصُمًّا ۖ مَّأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ كُلَّمَا خَبَتْ زِدْنَاهُمْ سَعِيرًا ‎﴿٧٩﴾

Ayat 97- {Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.} (Al-Israa’ 17:97)

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa di Akhirat kelak mereka akan dihimpunkan pada hari Kiamat dengan diseret atas mukanya, mereka pula dalam keadaan buta, bisu dan pekak ke tempat kediaman mereka iaitu neraka Jahannam.

*Di Akhirat kelak panjang masanya- maka banyak peringkat & keadaan- ada ketika manusia boleh bercakap & melihat, ada ketika mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak.

  1. Hadis- Daripada Anas bin Malik R.A, seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi SA “Wahai Nabi Allah, bagaimanakah orang kafir dihimpunkan dengan berjalan di atas wajahnya (mukanya) pada Hari Kiamat?”

Baginda S.A.W menjawab: “Bukankah Tuhan yang menjadikannya mampu berjalan di atas dua kakinya di dunia, Maha Berkuasa untuk menjadikannya berjalan di atas wajahnya pada Hari Kiamat?” [HR Sahih al-Bukhari dan Muslim].

  1. Kata Syeikh al- Biqa’i: Kenapa Allah jadikan puak kafir berjalan atas muka ini?

Ini kerana Allah nak hinakan mereka di Akhirat kerana semasa atas dunia dulu mereka tidak mahu hinakan diri, tak mahu letak wajah mereka atas lantai tempat orang pijak; untuk sujud kepada Allah!

Maka begitulah balasan yang selayaknya bagi mereka- wal-‘iyazu billah!!!

  1. Bagaimana tak perlu kita fikirkan atau minta nak tengok kerana kita orang beriman nak masuk syurga dengan cepat dengan aman-damai.

Nabi s.a.w telah buat satu analogi- Tuhan yang mampu mencipta manusia berjalan dengan kaki, pastilah Tuhan itu juga mampu buat mereka berjalan dengan muka- bagaimana tak perlu kaji.

Yang penting hinanya orang yang tak mahu hinakan dirinya kepada Allah- amat menakutkan sekali!

  1. Nota [687] Pada hari kiamat, kaum kafir akan dibangkitkan dalam keadaan buta, bisu dan pekak; sebagaimana keadaan mereka di dalam dunia, tidak mahu melihat kebenaran, tidak mahu memperkatakan kebenaran, dan tidak mahu mendengar kebenaran.

Akibatnya mereka akan diseret dan diseksa dalam neraka.

  1. Neraka Jahannamlah tempat kediaman kekal abadi mereka!

Neraka itu pula keadaannya amat mengerikan di mana setiap- kali malap julangan apinya, akan ditambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.

Yakni apinya akan sentiasa marak menyala & tidak akan pernah padam!!

ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُم بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا وَقَالُوا أَإِذَا كُنَّا عِظَامًا وَرُفَاتًا أَإِنَّا لَمَبْعُوثُونَ خَلْقًا جَدِيدًا ‎﴿٨٩﴾

Ayat 98- {Balasan mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka berkata: “Adakah sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah Kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?”} (Al-Israa’ 17:98)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan akan ditimpakan azab ke atas puak kafir;

ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan sebab mereka di azab.

Itulah balasan kepada puak kafir musyrikin yang diseret dengan muka dalam keadaan buta tuli & bisu kemudian dihumban ke dalam neraka Jahannam!

Ini kerana mereka atas dunia dulu bisu, tuli, buta tidak mahu lihat kebenaran maka Allah butakan juga mereka di Akhirat kelak!

  1. Begitulah balasan azab itu mengikut jenis amalannya!

Mereka atas dunia tak mahu sujud menghinakan diri kepada Allah maka di Akhirat kelak mereka akan dihinakan dengan diseret dengan muka mereka.

Atas dunia buta tuli bisu tak mahu terima kebenaran maka di Akhirat kelak begitulan keadaan mereka!

  1. Mereka juga degil keras kepala tak percaya kepada kebangkitan semula bahkan dengan sombong dan angkuh datang bertemu Nabi s.a.w bertanya apakah setelah menajdi tulang yang reput mereka akan hidup & dibangkitkan semula???
    Amat tak percaya mereka!
  2. Nota [688] Kaum kafir menerima balasan buruk yang demikian kerana mereka mendustakan ayat-ayat Al-Qur’an dan tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah, serta tidak percaya bahawa makhluk-makhluk yang telah mati akan dibangkitkan semula untuk menerima balasan pada hari akhirat.

۞ أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ قَادِرٌ عَلَىٰ أَن يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ وَجَعَلَ لَهُمْ أَجَلًا لَّا رَيْبَ فِيهِ فَأَبَى الظَّالِمُونَ إِلَّا كُفُورًا ‎﴿٩٩﴾

Ayat 99- {Tidakkah mereka mahu memikirkan dan meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu), padahal Ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak padanya.? Dalam pada itu, orang orang yang zalim enggan menerima melainkan kekufuran.} (Al-Israa’ 17:99)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang perangai puak kafir yang sombong, menolak & mengingkari kebangkitan semula dan memerli Nabi s.a.w apakah manusia akan hidup dari tulang yang sudah reput!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan sekali hujjah menolak pandangan puak yang menolak kebangkitan semula & hidup balik!

  1. Wahai puak kafir- apakah kamu tidak memikirkan tentang kejadian langit & bumi yang begitu besar yang Allah cipta dari tiada kepada ada, tanpa contoh-contoh yang terdahulu, design penuh dari Allah!
    Tuhan ini jugalah yang berkuasa untuk menghidupkan kamu semula setelah kamu mati!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.
    Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!” Maka ia terus menjadi.
    Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.} (Yaa Siin 36: 81-83)
  3. Kemudian Allah nyatakan bahawa manusia hidup atas dunia ini ada tempohnya.

Tempoh ini samada kematian bagi setiap individu atau hari Kiamat kelak yang berakhirnya dunia ini.

Semua manusia tahu tentang ini samada yang beriman atau yang kafir kerana mereka telah lihat kematian orang sekeliling mereka satu demi satu- maka berakhir kehidupannya!
Mereka sendiri juga pasti akan mati!

  1. Nota [689] Yakni kalau mereka menggunakan akalnya, akan mengetahuilah bahawa Allah yang telah menciptakan alam langit dan bumi yang demikian besarnya, tentulah Ia berkuasa pula menghidupkan mereka semula pada hari kiamat yang telah ditentukan itu.
  2. Tetapi apa boleh buat manusia yang kufur tetapi ingkar menolaknya bahkan terus menentang dan melawannya maka tetaplah mereka kafir & sesat!

قُل لَّوْ أَنتُمْ تَمْلِكُونَ خَزَائِنَ رَحْمَةِ رَبِّي إِذًا لَّأَمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ الْإِنفَاقِ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ قَتُورًا ‎﴿٠٠١

Ayat 100- {Katakanlah (wahai muhammad): “jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut”.} (Al-Israa’ 17:100)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas puak kafir datang menuntut kepada Nabi s.a.w enam tuntutan yang tidak logik- minta tukar landskap Makkah menjadi hijau & Nabi s.a.w sendiri menjadi orang kaya & mewah.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan wahai puak kafir jika Allah beri mereka kekayaan setara manapun atas dunia ini- mereka tetap akan bakhil kedekut tidak mahu infaq.

  1. Allah suruh Nabi s.a.w katakan kepada puak kafir itu: Jika Allah beri kepada kamu perbendaharaan rezeki atas dunia ini, kamu yang jaga rezeki ini- nescaya kamu akan simpan rezeki itu tidak membahagikan atau mengagihnya kepada orang lain!

Kamu pasti mahu menyimpannya untuk kamu seorang dengan penuh perasaan tamak & bakhil.
Kamu tidak akan sedekah bahagikannya!

  1. Nota [690] Yakni perbendaharaan rezeki dan segala jenis nikmat yang sentiasa dilimpahkanNya kepada makhluk-makhlukNya, yang tidak akan habis selama-lamanya.

*Kerana Allah yang jaga, Allah yang membahagikannya!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan ayat:
    {Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia.} (An-Nisaa’ 4:53)
  2. Di akhir ayat Allah kata memang Allah jadikan manusia itu bersifat bakhil.

Ini kerana Allah nak lihat siapa di antara manusia yang boleh mengekang sifat bakhilnya itu untuk menjadi pemurah.

  1. Kata al-Biqa’i: Orang bakhil ini nak nafkah hatta ke atas dirinya sendiri sayang & kedekut untuk berbelanja.

Bakhil juga dengan keluarga iaitu isteri anak. Orang yang bakhil ini hidup dalam kebakhilan suka dengan pujian, hidup di awang-awangan bukan di alam nyata- akhirnya duitnya menjadi milik orang tanpa sempat dinikmati dengan sepenuhnya!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 97- {Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka,..}– siapa yang Allah beri hidayah akan dapatlah hidayah manakala sesiapa yang sesat tidak akan dapatlah dia hidayah.

Kata ulama’ tadabbur: Kusa untuk memberi hidayah & kuasa untuk menyesatkan ini hanya milik Allah & di bawah kuasa-Nya semata-mata.
Sebagaimana yang sering kita nyata hidayah ini ada dua:

i- hidayah Irsyad- untuk memberi bimbingan tunjuk-ajar itu kerja Nabi dan pendakwah sepanjang zaman.

ii- hidayah taufiq itu pula di bawah kuasa Allah- siapa yang Allah nak berikan hidayah Allah permudahkan kepadanya jalan kebaikan & kebajikan.

Sesiapa yang disesatkan Allah s.w.t tidak ada siapa yang dapat menyelamatkannya.

Ayat ini digunakna sebagai hujjah oleh puak muktazilah & qadariyah- bahawa semua ketetapan itu di bawah kuasa Allah semata.

Maka kita kena usaha agar kita mendapat hidayah dari Allah, setiap kali kita baca al-Fatihah dalam solat kita ingat bahawa kita berdoa kepada Allah mohon hidayah!

  1. Ayat 97- {Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka,..}-

Ayat ini menunjukkan bahawa kita semua para pendakwah, ketua-ketua masyarakat, ibu bapa- kena bergantung sepenuhnya kepada Allah dalam menjaga masyarakat, memimpin rakyat, mendidik anak-anak!
Kerana kuasa Allah untuk memberi hidayah!

Maka kita kena berusaha dari awal dengan banyak berdoa dan mendidik dengan asas agama & aqidah yang mantap kepada anak-anak terutamanya! Nak suruh anak baik & soleh- ibu bapa tu dulu yang kena baik & soleh!

Begitu juga pemimpin yang akan jadi ikutan orang bawahannya maka mestilah menjadi contoh tauladan yang baik kepada mereka!

Sentiasa kita berdoa agar Allah menjaga melindungi anak cucu kita- minta agar mereka membesar dalam golongan yang baik dan mendapat hidayah & jagaan Allah selalu.

  1. Ayat 97- { Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam;}– dalam ayat ini Allah nyatakan orang kafir itu akan dikumpulkan dan dibangkitkan dalam keadaan buta, bisu dan pekak serta menungging-nyur- iaitu kaki ke atas kepala ke bawah!

Ulama’ tadabbur mengadakan perbincangan isu dalam ayat lain Allah nyatakan mereka dapat melihat & mendengar:-

i- {Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata.} (Maryam 19:38)

ii- {Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.} (Al-Kahfi 18:53)

iii- {Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.} (As-Sajdah 32:12)

Ulama’ kata keadaan ini dapat dijelaskan bahawa:
i- Itu semua berlaku pada permulaan hari Kiamat- mereka dibangkitkan dalam keadaan buta, bisu dan pekak serta diseret atas muka!

ii- kemudian apabila mereka berada di depan mereka Allah buka balik penglihatan mereka lalu mereka dapat melihat neraka!

Ketika itulah mereka dapat bercakap, menangis, berteriak minta dihidupkan balik ke dunia kerana mereka nak beriman!

Wajah tafsiran kedua maksudnya mereka dalam dalam keadaan buta, bisu dan pekak adalah:
Tidak ada benda yang mereka lihat boleh mengembirakan mereka, tidak ada benda yang mereka bercakap boleh mengembirakan mereka, tidak ada benda yang mereka dengar boleh mengembirakan mereka.

Tafsiran ketiga: Mereka pada awalnya celik boleh melihat dan bercakap- buat alasan & helah minta nak balik ke dunia bising bingit- lalu Allah mengherdik mereka agar diam jangan bercakap!

Oleh kerana terkejut & takut dengan jerkahan itu mereka pun menjadi buta, bisu dan pekak kerana terlalu dahsyat huru-haranya keadaan hari Kiamat- wallahu a’lam.

Para ulama’ tafsir panjang perbincangannya & huraiannya- ini semua untuk menolak kemungkinan timbul salah-faham & tuduhan bahawa ayat-ayat al-Quran ini tidak stabil & bercanggah antara satu sama lain.

Terdapat sebuah kitab untuk menolak sangkaan bahawa ayat al-Quran itu bercanggah dengan tajuk: (دفع إيهام الاضطراب عن آيات الكتاب- Daf’u Ihamil Idhtirab ‘an Ayatil Kitab)

Menolak Sangkaan Percanggahan Terhadap Ayat-ayat Al-Quran- tulisan ulama tafsir terkenal, Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqithi r.h (wafat 1393H).

Dari apa yang dibincangkan oleh ulama’ ini timbul tiga keadaan orang kafir: Pada awal mereka celik & boleh bercakap, kena jerkah jadi buta, tuli & bisu kemudian boleh bercakap pula ikut keadaan yang Allah tetapkan & kehendaki!

Kenapa disebut berjalan atas muka adalah kerana atas dunia dulu muka sombong tidak mahu sujud kepada Allah! Maka balasan itu mengikut jenis amalan- atas dunia kamu sombong & keras kepala maka terimalah balasannya yang amat menghinakan.

  1. Ayat 97- {… tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.}– dalam ayat ini Allah kata apabila api itu malap seolah-olah nak berhenti maka malaikat tambah lagi bahan bakarnya sehingga api tu menjulang semula!

Yakni nampak seolah azab itu naik turun- ada ketika api kuat & ada ketika api malap.

Tetapi kenapa dalam ayat ini Allah kata:
{… maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.} (Al-Baqarah 2:86)

Jawapannya mengikut beberapa pandangan ulama’:

i- Bukan azab diringankan tetapi api itu seolah slow perlahan sekejap- maka malaikat terus datang untuk memarakkannya!

ii- kafir itu sendiri menjadi bahan bakar kepada api maka apabila mereka dah nak musnah api seolah-olah perlahan sekejap- kemudian apabila mereka tumbuh balik- marak semula api!

iii- ada juga ulama’ kata ayat ini untuk perli orang kafir- apabila kamu rasa agak ringan & nak relax Allah tambah semula azab itu!

Maka jangan sesekali kita berani-berani nak lawan Allah s.w.t kerana akibatnya di Akhirat kelak amat menakutkan!

  1. Ayat 100- {Katakanlah (wahai muhammad): “jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut”.}-
    Allah kata beginilah sifat manusia ini bakhil kedekut.

Allah telah sebut dalam al-Quran beberapa ayat tentang sifat buruk manusia ini, antaranya:
i- {.. dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.} (Al-Israa’ 17:11)

ii- {Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.} (Al-‘Aadiyaat 100:6)

iii- {(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.} (Al-Ahzaab 33:72)

Kata ulama’ tadabbur: Manusia ini asal perangainya pelik & buruk- bakhil, jahil, gopoh, kedekut dan lain-lain semuanya ada pada manusia!

Tetapi apabila mereka diberi hidayah oleh Allah s.w.t- mereka seolah dibaiki dan sifat itu hilang.

Jadi jika kita ada sifat buruk kita boleh berubah & baiki dengan izin pertolongan Allah s.w.t jika ada keinginan & semangat yang ikhlas nak berubah.

Manusia itu boleh berubah ke arah kebaikan atau ke arah kejahatan!

Kita berdoalah kepada Allah untuk menjadi orang yang baik- sifat pemurah manusi ada sifat bakhil juga!

Kerana itu Allah nyatakan bahawa sifat Allah pula adalah pemurah sentiasa tidak ada sifat bakhil!

Hadis riwayat Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Tangan Allah sentiasa penuh, ia tidak dikurangkan oleh nafkah (pemberian) yang diberikan pada siang dan malam hari. Tidakkah kalian melihat apa yang diinfakkan oleh Allah sejak Dia menciptakan langit dan bumi? Sesungguhnya apa yang ada di tangan-Nya tidak sedikit pun berkurang…” (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).

Maka kita kena yakin bahawa rezeki setiap orang itu ada & kita buanglah sifat & perasaan bakhil dari diri kita kerana Allah telah nyatakan bahawa sesiapa yang berjaya lawan sifat bakhil dari dirinya maka dialah orang yang bahagia!

Ya Allah jadikan kami orang yang bahagia, orang yang berjaya melawan & hilangkan sifat bakhilnya!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 08/07/2026 – 22 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Lihk Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=998518459665341

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top