View Categories

(25) Surah Al-Israa’: Ayat 94-96

14 min read

Live Kuliah Pagi Selasa 07/07/2026 – 21 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (25) Ayat [94-96]

Full video: https://youtu.be/GrxWJOeKGv0?si=gdEtwW-UzrwRERx8

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 94 sehingga ayat 96 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan beberapa syubhat keraguan yang ditimbulkan oleh puak kafir untuk menyekat orang dari Islam.
    Iaitu mereka pertikai kenapa rasul seorang manusia!
  3. Jadi kenapa nak ikut Muhammad sedangkan dia adalah manusia biasa seperti mereka juga. Mereka nak malaikat yang dihantar kepada mereka; barulah mereka percaya & nak beriman!
  4. Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk menyatakan kepada mereka cukuplah Allah s.w.t sebagai saksi kita.

Allah Maha Mengetahui segalanya dan semua akan menerima balasan di Akhirat kelak.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang orang kafir mengingkari ayat-ayat yang ada dalam al-Quran & mereka membawa beberapa cadangan & cabaran yang sia-sia dan tidak logik bahkan minta azab turun ke atas mereka jika Nabi s.a.w benar seorang rasul!

ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan alasan mereka yang cukup lemah dan tidak bermaya sebab kenapa mereka tidak beriman; iaitu mereka pertikai & kononnya berasa pelik kenapa Allah hantar rasul seorang manusia.

Manusia pula orang biasa, anak si Gembala kambing yang tidak mempunyai harta & kedudukan yang tinggi di kalangan mereka.

Ini adalah keraguan syubhat yang mereka timbulkan agar orang ramai menolak dakwah Nabi s.a.w kerana Baginda tidak ada kelayakan untuk menjadi rasul mereka!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَمَا مَنَعَ النَّاسَ أَن يُؤْمِنُوا إِذْ جَاءَهُمُ الْهُدَىٰ إِلَّا أَن قَالُوا أَبَعَثَ اللَّهُ بَشَرًا رَّسُولًا ‎﴿٤٩﴾

Ayat 94- {Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?”} (Al-Israa’ 17:94)

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan sebab kenapa orang kafir tidak mahu beriman- iaitu mereka sendiri menimbulkan keraguan syubhat.

Iaitu mereka mempertikaikan kenapa rasul itu hanya seorang manusia biasa seperti mereka!

  1. Nota [683] Kaum kafir enggan beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w kerana Baginda seorang manusia seperti mereka.

Padahal sepatutnya, kata mereka, hendaklah Rasul itu dari malaikat.

  1. Begitulah manusia atas dunia ini apabila mereka tak mahu terima mereka akan cari pelbagai dalil & seribu alasan, pusing sana pusing sini untuk menolaknya!
  2. Kata ulama’: Tiada sebab yang menghalang puak kafir itu untuk menerima kebenaran dakwah Nabi s.a.w ketika datang kepada mereka petunjuk dari sisi Allah kecuali:

i- kerana kata-kata orang jahil yang berasa pelik & ajaib; Allah yang maha kuasa & agung- tak munasabah hantar rasul kepada kita dari kalangan manusia seperti kita juga, orang kampung kita yang makan minum seperti kita juga!

ii- mereka kata sepatutnya Tuhan hantar malaikat yang ajaib kepada mereka.
Mereka mempertikaikan kelayakan orang yang dilantik.

  1. Kata ulama’ lagi maksud manusia dalam ayat ini {وَمَا مَنَعَ ٱلنَّاسَ}:
    i- kafir musyrikin Quraisy, ahli Makkah pada waktu Nabi s.a.w itu.

ii- manusia semuanya samada kafir atau beriman.

iii- semua jenis kafir, mulhid (atheis), munafiq & semuanya.

  1. Allah ceritakan juga plot & cara penolakan sama oleh puak kafir sebelum ini juga yang menolak rasul dengan alasan dia seorang manusia:

i- {Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): “Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: “Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata.”} (Yunus 10:2)

ii- {Bukankah telah sampai kepada kamu berita orang-orang kafir yang telah lalu? Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan kufur mereka; dan mereka (pada hari akhirat kelak) beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Balasan) yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka pernah didatangi Rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, maka mereka berkata:” Patutkah manusia (yang seperti kami – menjadi Rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami?” Lalu mereka kufur ingkar serta berpaling (dari kebenaran); dan Allah pun menyatakan tidak berhajatNya (kepada iman dan ketaatan mereka lalu membinasakan mereka); dan Allah sememangnya Maha Kaya, lagi tetap Terpuji.} (At-Taghaabun 64: 5-6)

قُل لَّوْ كَانَ فِي الْأَرْضِ مَلَائِكَةٌ يَمْشُونَ مُطْمَئِنِّينَ لَنَزَّلْنَا عَلَيْهِم مِّنَ السَّمَاءِ مَلَكًا رَّسُولًا ‎﴿٥٩﴾

Ayat 95- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul”.} (Al-Israa’ 17:95)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas puak kafir pertikaikan kenapa Allah hantar manusia bukan malaikat sebagai rasul kepada mereka.

ii- maka datang ayat ini Allah menjawab- jika ada malaikat yang tinggal di atas muka bumi ini (penghuni kekal bumi seperti manusia juga) tak naik ke langit dah- nescaya pasti Allah akan hantar malaikat juga dari langit untuk menjadi rasul kepada mereka!

*Bukan malaikat yang turun datang bertugas dihantar Allah seperti malaikat penjaga manusia, pencatat amalan, pembawa rezeki dan lain-lain.

  1. Yakni rasul itu mengikut jenis umat yang diutuskan mereka kepadanya- yakni jika kepada manusia maka rasul mereka manusia juga.

Jika nak diutuskan rasul kepada kumpulan malaikat maka pastilah malaikat juga yang Allah akan hantar kepada mereka.

  1. Ini kerana hanya manusia yang boleh ikut manusia & mengalami kehidupan yang sama, manusia cara manusia, malaikat dengan caranya:

i- Jika Nabi boleh solat, boleh puasa, berjihad dan buat lain-lain amal ibadat maka kenapa kita manusia yang sepertinya juga tidak boleh buat????

ii- manakala malaikat pula bukan seperti manusia, malaikat tak lelaki atau perempuan, tak makan tak minum, tak ada pasangan, tak ada anak- macamana kita nak ikut & buat contoh kehidupan mereka!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).
    Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).} (Al-An’aam 6: 8-9)
  2. Fakta: Malaikat Jibril boleh berupa apa saja- dan jika dia berupa manusia untuk datang berjumpa Nabi s.a.w biasany dia akan berupa seperti seorang sahabat yang bernama Dihyah al-Kalbi.
  3. Kesimpulannya Allah tolak hujjah manusia yang meminta malaikat, dihantar malaikat sebagai rasul kepada mereka!

Itu adalah sesuatu yang tak munasabah & tidak logik sama-sekali.

  1. Nota [684] Yakni kalaulah malaikat yang menjadi penduduk dunia ini, tentulah Rasul yang diutus oleh Allah kepada mereka ialah malaikat juga.

 قُلْ كَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ بِعِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا ‎﴿٦٩﴾‏

Ayat 96- {Katakanlah lagi: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu; sesungguhnya adalah Ia Amat Mendalam pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”.} (Al-Israa’ 17:96)

  1. Munasabah ayat:
    i- setelah Nabi s.a.w memanggil berdakwah orang kafir untuk beriman mencabar orang kafir dengan mukjizat-mukjizat yang jelas, mereka pula dengan meminta & mencabar perkara yang pleik-pelik!

ii- maka datang ayat ini Allah ajar Nabi s.a.w untuk mengatakan kepada kaum kafir itu bahawa cukuplah Allah menjadi saksi bahawa aku ini benar & kamu itu salah.

Sudah penat Nabi s.a.w melayan dan menghadap karenah mereka.

  1. Yakni Nabi s.a.w mengatakan: Allah tahu aku ini benar, Allah telah utuskan aku sebagai seorang rasul dan diberikan kepadaku beberapa mukjizat sebagai bantuan.

Kamu nak percaya, percayalah, nak ikut atau tak nak ikut terserahlah!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan beberapa firman Allah ini:
    i- {Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).} (An-Nisaa’ 4:79)

ii {Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah”.} (Ar-Ra’d 13:43)

  1. Di akhir ayat Allah kata:
    ii- Sesungguhnya adalah Ia Amat Mendalam pengetahuanNya,
    ii- lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-hambaNya.
  2. Yakni kerana ilmu Allah mendalam & menyeluruh, Dia Maha melihat & Maha mengetahui keadaan hamba-Nya, cukuplah Allah itu:

i- menjadi saksi akan benarnya Nabi s.a.w.
ii- saksi akan keadaan puak kafir itu.
iii- siapa yang berhak mendapat hidayah & siapa yang dalam kesesatan- Allah tahu & susun semuanya!
Siapa nak kebaikan dia ikut yang benar!

  1. Nota [685] Yakni cukuplah Allah menjadi saksi bahawa Baginda adalah seorang Rasul yang telah menyampaikan dengan sempurna apa yang telah ditugaskan kepadanya, dan bahawa Allah Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya yang mendapat petunjuk dan yang sesat.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 94- {Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga)…}-

Kata ulama’ tafsir: Ayat ini menjadi dalil bahawa puak kafir umat terdahulu tahu & mereka iqrar bahawa adanya Allah sebagai Tuhan & adanya malaikat.

Begitu juga puak musyrikin Makkah- bahkan mereka kata pula malaikat itu anak perempuan Tuhan!

*Yang tidak mengaku ada Tuhan dan menolak segalanya itu adalah puak mulhid atau atheis. Yang menolaknya hanya puak atheis yang tak percaya semuanya!

Tetapi mereka tidak beriman kerana mereka tolak dengan sebab degil & keras kepala, tak dapat terima kerana rasulnya adalah seorang manusia dari kalangan mereka juga!

  1. Ayat 94- {Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga)….}- ayat ini menyatakan apa yang menghalang puak kafir dari beriman ialah keingkaran mereka tentang hakikat manusia menjadi rasul!

Yakni Allah nyatakan sebab manusia tidak mahu beriman itu kerana mereka menolak seorang manusia yang dihantar sebagai seorang rasul kepada mereka.

Terdapat satu ayat yang berdekatan iaitu:
{Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.} (Al-Kahfi 18:55)

Apakah dua ayat ini seolah ada pertentangan iaitu:
i- dalam ayat pertama Allah nyatakan sebab manusia tidak mahu beriman itu kerana mereka menolak seorang manusia yang dihantar sebagai seorang rasul.

ii- tapi kenapa dalam ayat kedua ini Allah kata manusia tidak mahu beriman kerana Allah telah tetapkan mereka puak kafir itu untuk binasa.

Jadi para ulama’ buat kesimpulan dua ayat ini tidak bertembung kerana:

i- ayat kita dari surah Isra’ ini puak kafir tidak beriman kerana mereka degil keras kepala tak mahu terima rasul sesama manusia.

ii- manakala dalam surah Kahfi itu orang kafir tidak beriman kerana mereka menolak sehingga dibinasakan Allah s.w.t. Yakni dua keadaan yang berbeza.

Begitulah jika ada mana-mana ayat yang nampak seolah bertembung tetapi sebenarnya tidak kerana ia adalah dalam situasi atau keadaan yang berbeza.

  1. Ayat 95- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul”.}-

Ini adalah respon kepada cadangan puak kafir yang minta Tuhan hantar kepada mereka seorang rasul dari kalangan malaikat!

Yakni Allah kata jika ada dua syarat ini jika cukup- Allah akan hantar malaikat sebagai rasul di bumi ini:

i- jika malaikat hidup atas muka bumi ini sebagai penduduk tetap bumi seperti kita manusia.
Bukan sekadar turun menjalankan tugas seperti sekarang.

ii- malaikat berjalan dengan kaki seperti manusia juga bukan terbang atau menghaib.

Maka ini tidak akan berlaku kerana malaikat bukan begitu, bukan seperti manusia!

Malaikat adalah makhluk lain, Allah cipta khas jenis atau spesis lain daripada manusia!

Begitulah bahayanya kafir yang degil keras kepala ini meminta yang bukan-bukan, menolak segala kebenaran.

  1. Ayat 95- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul”.}– jika malaikat adalah seperti komuniti manusia; maka sudah pastilah Allah akan hantar malaikat juga kepada mereka sebagai rasul.

Para ulama’ berkata: Hikmah Allah pilih setiap jenis makhluk ada rasulnya masing-masing agar manusia mudah berurusan dan buat kira-kira!

Nak berinteraksi mudah, nak berkomunikasi mudah- jika tidak mana kita nampak jin atau malaikat- susah nak ikut rasul perbuatan & ibadat yang berlainan jenis!

Bahkan setiap rasul diutus kepada kaum mereka sendiri yang mempunyai bangsa & bahasa yang sama supaya tidak timbul juga alasan dan pertikaian tak faham bahasa, tak faham keperluan hidup, adat & budaya dan lain-lain lagi alasan & masalah akan timbul!

Setiap umat itu diutuskan rasul dari kalangan mereka sendiri; Nabi Nuh untuk kaumnya, Nabi Syua’ib untuk kaumnya, Nabi Musa untuk kaumnya begitulah semuanya!

Kecuali Nabi kita Muhammad s.a.w diutuskan kepada seluruh bangsa manusia sejak dari zamannya sehinggalah ke hari Kiamat kelak! Itulah yang dipanggil sebagai Rahmatan Lil-‘Alamin!

Kata ulama’: Allah hantar rasul dari kalangan manusia mempunyai nikmat, hikmat & minhah, anugerah yang amat besar Allah kepada kita manusia- maka jangan pertikaikannya!!

Firman Allah s.w.t:
i- {(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.} (Al-Baqarah 2:151)

ii- {Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah…} (A-li’Imraan 3:164)

Inilah hikmah kebijaksanaan Allah s.w.t.
Allah anugerahkan kepada kita rasul dari kalangan kita- kenapa nak pertikai dan nak berlawan laginya!

Itulah perangai huduh kafir tak mahu terima yang ada, dok minta yang tiada.

  1. Ayat 96- {Katakanlah lagi: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu;}-

Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk menjawab begini kepada orang kafir- penat sudah aku berhujjah dengan kamu, letih sudah berbalah dengan kamu semua- maka cukuplah Allah sebagai saksi antara kita!

Yakni Allah ajar kepada Nabi s.a.w- cukuplah tak perlu lagi kamu penat-penat berbalah dengan puak kafir yang degil keras kepala itu.

“Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu;”; kita kadang-kadang perlu kepada ayat begini sebagai motivasi apabila kita sudah kepenatan dalam dakwah, kita sampaikan orang tak dengar, cakap baik-baik orang tuduh macam-macam, bawa al-Quran dengan Sunnah dilabel dengan bermacam label atas dahi sehingga terhalangnya dakwah kita tak boleh nak pergi ke situ sini!

Sekarang dengarnya ada enakmen baru digubalkan pula nak bercakap di alam maya (online) pun tidak boleh jika kita berada di negeri yang tidak ada surat kebenaran di situ!

Allahu al-Musta’an- begitu sekali mereka nak sekat penyebaran dakwah yang mereka tidak suka.

Kita kata tak mengapa Allah sebagai saksi, Allah tahu kita nak menyampaikan kebenaran tetapi kita telah dihalang disekat dengan pelbagai cara & akta.

Sekarang ini bercakap seacara online boleh lagi. Tetapi jika nak bercakap seorang di rumah tak boleh dah sekarang- jangan sampai kena keluar dari bumi cari planet lain pula!

Begitulah Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk menjawab kepada orang kafir {“Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu;}

Sesungguhnya Allah tahu semua apa yang berlaku antara aku & kamu kerana: {Allah Amat Mendalam pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”.}

Maka buatlah apa yang kamu nak buat- kita akan bertemu di hadapan Allah dan semua perbuatan itu akan dihimpunkan dan dibentangkan kembali di hadapan Allah kelak!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 07/07/2026 – 21 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=997521623098358

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top