View Categories

(27) Surah Al-Israa’: Ayat 101-104

14 min read

Live Kuliah Pagi Khamis 09/07/2026 – 23 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (27) Ayat [101-104]

Full video: https://youtu.be/tBlqeXfTKdk?si=CDiBTfm7AIph-zaq

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 101 sehingga ayat 104 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam ayat yang mulia ini Allah s.w.t nyatakan 9 tanda-tanda mukjizat bagi Nabi Musa A.S.

Allah berikan 16 mukjizat semuanya kepada Nabi Musa a.s & cuma dalam ayat kita ini disebut 9 sahaja.

*Kata ulama’ Usul: Menyebut hanya sedikit tidak bermakna tidak boleh pergi banyak lagi!

  1. Walaupun 9 tanda ini dlihat oleh Fir’aun tetapi tidak memberi kesan apa akhirnya Fir’aun binasa, mati kelemasan dalam laut!

Ketika itu dia mahu beriman tetapi Allah kata tidak lagi sekarang.

  1. Selepas Fir’aun & kuncunya tiada, Allah perintahkan kepada Bani Israil untuk hidup tenang tinggal di bumi ini, kamu berimanlah dan ikut perintah Allah & Nabi Musa sepenuhnya; jika tidak kamu akan dibinasakan juga!
  2. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Quraisy yang datang memberi pelbagai cadangan & cabaran kepada Nabi s.a.w.

Terdapat 6 cadangan yang tak logik yang mereka pinta dari Nabi s.a.w & ditolak oleh Allah s.w.t.

ii- maka datang ayat ini menceritakan sebagai amaran kepada kaum Quraisy tentang mukjizat Nabi Musa a.s yang dilihat oleh Fir’aun sebanyak 9 tanda atau dalil tetapi Fir’aun dan kaumnya tetap keras kepala, degil- tetap menolak, mengingkari tak mahu menerima kebenaran lalu binasa!

*Allah nak tenangkan hati Nabi s.a.w jangan sedih dengan tentangan & penolakan kaum Quraisy terhadapnya.

Ini kerana Nabi Musa yang telah diberikan Allah begitu banyak mukjizat yang jelas nyata tetap ditolak oleh Fir’aun dan kaumnya yang ingkar & sombong!!!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَىٰ تِسْعَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ ۖ فَاسْأَلْ بَنِي إِسْرَائِيلَ إِذْ جَاءَهُمْ فَقَالَ لَهُ فِرْعَوْنُ إِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا مُوسَىٰ مَسْحُورًا ‎﴿١٠١﴾‏

Ayat 101- {Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: “Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir.”} (Al-Israa’ 17:101)

  1. Allah s.w.t menyatakan bahawa sesungguhnya Dia telah memberi 9 tanda-tanda mukjizat yang jelas nyata kepada Nabi Musa a.s bagi membuktikan kebenaran dakwah & kenabiannya.

Maka Nabi s.a.w pun tak perlu layan permintaan kaum Quraisy sama saja- begitu juga perangai mereka mereka.

Kerana nak beriman itu dengan kuasa Allah- bukan dengan sebab lihat dalil mukjizat & seumpamanya!

  1. Mengikut Ibnu Jarir  9 tanda yang ditunjukkan Allah itu ialah: Tongkat menjadi ular, tangan bercahaya, kemarau, laut terbelah, banjir, belalang, kutu, katak & darah.
  2. Kata ulama’ usul: Mengkhususkan kepada 9 tanda yang disebut dalam ayat ini tidak menghalang untuk menambahkan lagi mukjizat lain yang ada.

Ini kerana dari kesimpulan yang dikumpul oleh Syeikh ar-Razi dalam tafsirnya mengatakan terdapat 16 mukjizat Nabi Musa semuanya yang Allah sebut dalam al-Quran.

  1. Kata al-Wahidi ayat ini datang untuk menyatakan persamaan antara kaum Quraisy & bani Israil ini.

Jika Allah layan permintaan & cabaran kaum Quraisy mereka juga akan tetap jadi begitu- tidak beriman & akhirnya akan dibinasakan.

  1. Nota [691] Setelah menerangkan perihal kaum kafir musyrik Makkah meminta beberapa perkara yang berupa mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w, sebagai dalihan, bukan kerana mereka hendak beriman, lalu diterangkan bahawa Nabi Musa juga telah diberikan berbagai jenis mukjizat tetapi semuanya itu tidak juga menjadikan Fir’aun dan kaumnya beriman, mereka pun dibinasakan.
  2. Kata Syeikh Ibnu Athiyah  pula tentang 9 tanda yang Allah bawa ini:

a) Telah sepakat ulama’ tafsir & riwayat sejarah bahawa 5 mukjizat telah disebut dalam ayat aal-A’raf saja iaitu sebagaimana firman Allah ini:

i- {(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.} (Al-A’raaf 7:133)

ii- dua lagi dalam ayat ini: {Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.} (Al-A’raaf 7:130)

b) Tetapi ulama’ berbeza pandangan tentang 4 mukjizat lagi di dalam ayat mana.

  1. Kemudian Allah ajar Nabi s.a.w untuk bertanya kepada ulama’ yahudi yang ada di Madinah pada zaman Nabi s.a.w, samada yang telah beriman kepada Baginda iaitu Abdullah bin Salam r.a.

Apakah ada kisah Nabi Musa ini dalam kitab Taurat mereka yang asal- yang jujur akan mengakui kebenarannya.

  1. Nota [692] Yakni sebagai saksi bertanyalah wahai Muhammad kepada Bani Israil yang ada dalam zamanmu yang telah beriman kepadamu, tentang mukjizat-mukjizat Nabi Musa itu.
    Mereka akan menceritakannya dan mengakui kebenarannya.
  2. Apabila Nabi Musa a.s datang kepada Firaun dan kaumnya menunjukkan mukjizatnya seperti yang mereka pinta; berkata pula Firaun kepadanya: “Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir {مَسْحُورًۭا}.”
  3. Nota [693] Yakni nampaknya engkau seorang yang tidak siuman.
  4. Begitulah apabila telah kehabisan hujjah dan fakta untuk berlawan- musuh yang jahat seperti Fir’aun dan lain-lain itu akan menggunakan dakyah pula menyebarkan tuduhan palsu untuk merosakkan nama atau menjatuhkan kredibiliti untuk menjauhkan orang ramai darinya!
  5. Dalam dunia hari ini begitu juga- apabila seseorang pendakwah tidak selari dengan mereka- akan diberi label, dibuat tuduhan bagi menjauhkan orang ramai daripada mendengar kebenaran yang nak disampaikan!

قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا أَنزَلَ هَٰؤُلَاءِ إِلَّا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ بَصَائِرَ وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا ‎﴿٢٠١

Ayat 102- {Nabi Musa menjawab: “Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa”.} (Al-Israa’ 17:102)

  1. Nabi Musa menjawab dan mengatakan kepada Fir’aun bahawa:

i- sesungguhnya dia (Fir’aun) tahu akan kebenaran dakwahnya, bahawa semua mukjizat itu diturunkan oleh Tuhan Pencipta langit & bumi ini dan Pentadbirnya telah disaksikan!

ii- tetapi kerana sombong angkuh & degil keras kepala- Fir’aun dan kaumnya tetap ingkar menolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa walaupun telah datang bukti-bukti yang menerangkan kebenaran dengan jelas.

  1. Nabi Musa a.s lalu mencabar Fir’aun dengan mengatakan: Wahai Firaun sebenarnya aku fikir, engkau,akan binasa.

Mendengar ini Fir’aun menjadi tidak keruan dan membara kemarahannya terhadap Nabi Musa- hilang kewarasan, hanya memikirkan untuk menghalau atau membinasakannya!

فَأَرَادَ أَن يَسْتَفِزَّهُم مِّنَ الْأَرْضِ فَأَغْرَقْنَاهُ وَمَن مَّعَهُ جَمِيعًا ‎﴿٣٠١

Ayat 103- {Maka Firaun pun berkira hendak mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu Kami tenggelamkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.} (Al-Israa’ 17:103)

  1. Fir’aun lalu membuat keputusan untuk membunuh Musa & kaum bani Israil atau mengusir mereka dari bumi Mesir.
  2. Lalu terjadilah peristiwa pengejaran oleh tentera Fir’aun terhadap Nabi Musa dan kaumnya sehingga mereka terperangkap di pinggir Laut Merah.

Bani Israil mula panik & ketkutan- tetapi Nabi Musa sebagai seorang nabi yang begitu mantap iman dan tawakkalnya kepada Allah berkata: Tidak sesekali kita akan diabaikan- Allah ada, akan menunjukkan jalan keluar.

  1. Apabila begitu tinggi pergantungan kepada Allah- lalu pertolongan Allah akan segera datang- sekali lagi tongkat Nabi Musa membawa mukjizat yang ajaib- laut terbelah menjadi lebuh-raya yang luas untuk pengikit Nabi musa a.s melintasinya sehingga sampai ke seberang darat dengan selamat semuanya!
  2. Fir’aun & tenteranya mengikut dari belakang- apabila mereka semua berada di tengah-tengah laut itu Allah tutup kembalikan laut itu bercantum semula lalu Allah tenggelamkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya mati tak meninggalkan saksi!
  3. Nota [694] Yakni hendak mengusir Nabi Musa dan Bani Israil dari negeri Mesir, serta hendak membunuh mereka sehingga punah-ranah, maka Fir’aun dan sekalian pengikutnya dibinasakan oleh Allah, dengan menenggelamkan mereka di Laut Merah.

 وَقُلْنَا مِن بَعْدِهِ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ اسْكُنُوا الْأَرْضَ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ جِئْنَا بِكُمْ لَفِيفًا ‎﴿٤٠١﴾‏

Ayat 104- {Dan Kami katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): “Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke Padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk.} (Al-Israa’ 17:104)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila Fir’aun telah binasa;
    ii- maka datang ayat ini Allah kata kepada Bani Israil kamu duduklah atas muka bumi ini.

Yakni Allah perintahkan puak yahudi duduklah atas bumi ini dengan tenang dan damai jangan dok buat huru-hara lagi.

  1. Tentang bumi atau negeri (ٱلْأَرْضَ) itu ulama’ ada beberapa pendapat:

i- bumi Mesir itu yang ditinggalkan oleh Fir’aun dan kaumnya itu.

Itupun jika ada dalil yang sabit jika mereka datang semula ke Mesir dari seberang laut.

ii- ada kata bumi Syam yang mereka menyeberangi pada hari terbelah laut itu! Mereka tidak datang balik dah ke Mesir ramai-ramai selepas itu!

iii- bumi mana-mana saja kerana yahudi atau bani Israil ini bertebaran di atas muka bumi tak tahu hendak ke mana kerana mereka tiada negara dan duduk meraat-rata.

Sehingga penjajah kafir datang dan beri kepada yahudi sebahagian dari bumi Palestin.

4.Ini sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).} (Al-A’raaf 7:168)

  1. Yakni Allah perintahkan puak yahudi duduklah atas bumi ini dengan tenang sehinggalah datang tempoh hari Kiamat, Kami datangkan kamu (ke Padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk segala makhluk dari awal sehingga akhir.

Mereka akan bangkit bersama Fir’aun di Akhirat kelak!

*Tetapi Allah asingkan antara golongan beriman ashabul-Yamin & ashabusy-syimal supaya senang dibuat perhitungan & pembalasan!

  1. Nota [695] Yakni bercampur gaul dengan Fir’aun dan kaumnya untuk dihisab dan menerima balasan masing-masing.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 101- {Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata..}-
    Kata ulama’tafsir: Allah menyebut 9 angka tidak bermakna tidak ada lagi tambahan yang lain.

Dalam al-Quran saja Allah sebut 16 mukjizat.
Sebagaimana kata ar-Razi 16 perkara itu ialah:

1- menghilangkan kelemahan lidah Nabi Musa a.s- dia pada awalnya tergagap dan tidak petah berkata-kata.

2- Allah menjadikan lidahnya fasih & petah berhujjah, hilang gemuruh.

3- tongkat menjadi ular.

4- tongkatnya menjadi ular yang boleh telan ular ahli sihir- sedangkan sihir sebenar tidak boleh makan sihir juga.

5- tangannya menyala menjadi putih bersinar.

6-10- banjir, belalang, kutu, katak & darah.

11- terbelah laut.
12- terbelah batu lalu keluar air.

13- berteduh dengan bayang bukit semasa mereka sesat di padang pasir.

14- turunnya manna (getah macam-macam madu) & salwa (burung)

15 & 16- bala kemarau dan buah-buahan menjadi kurang.

  1. Ayat 101- {… maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu):}– Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk bertanya kepada orang yahudi yang semasa dengan Baginda s.a.w tentang kisah Nabi musa & Fir’aun pada waktu itu!

Ulama’ ambil pengajaran dari ayat ini uslub untuk berdebat dengan ahli kitab yang kufur.

Iaitu dengan cara berdebat untuk pegang kepala lawan agar mereka tidak pusing kelentong (spin kebenaran).

Yakni tanya kepada mereka apakah ada dalam Taurat kisah Nabi Musa & Fir’aun sebagaimana yang disebut dalam al-Quran ini.

Jika mereka akui ada, boleh tanya lagi kenapa mereka sembunyikanya tidak nyatakannya!

Kemudian tanya lagi kepada mereka apakah ada kisah Nabi Muhammad s.a.w dalam kitab Taurat kamu?
Jika ada kenapa kamu tidak mahu menerimanya & beriman????

Maka jika yahudi yang jujur akan mengakui kebenarannya, manakala yang khianat tidak akan mengaku dan menyembunyikannya!

Tetapi yahudi yang kafir pastilah tidak akan mengakuinya- hanya yang baik & beriman seperti Abdullah bin Salam saja yang akan mengakui kebenaran.

Begitulah tugas ulama’ mana-mana ulama’ atas dunia ini- ialah menyampaikan yang benar kepada masyarakat!

Ulama’ kena tegas menghadapi penyakit masyarakat & menanganinya dengan teguran & hukuman yang tegas agar mereka tidak akan mengulanginya lagi!

Maksiat & kemungkaran yang berlaku kena ditegur, dihalang dan disekat jika ada kuasa.

Para penguasa dan pemimpin tunggulah akibat dari Allah jika tidak bertanggung-jawab dalam hal ini!

Ulamak & Pendakwah Mesti Tegas Berprinsip!

Kata-kata hikmah yang menarik dari Syeikhul Islam Mustafa Sobri  mufti besar dari negara Uthmanyiyah dulu:

قال شيخ الإسلام مصطفى صبري:
ليست من وظيفة العلماء محاباة العامة، ومجاراة الدهماء، بل وظيفتهم إطلاع النَّاس على حقائق الأمور.

“Bukanlah tugas para ulama untuk mengambil hati orang ramai dan menurut kehendak masyarakat awam.

Sebaliknya, tugas mereka ialah menjelaskan kepada manusia hakikat sesuatu perkara.”.

Atau: “Tugas ulama bukan memuaskan hati manusia atau mengejar keredaan orang ramai, tetapi membimbing mereka kepada hakikat kebenaran.”

Sampaikanlah kebenaran dengan hikmah, tetapi jangan mengorbankan prinsip semata-mata kerana takut dimarahi, dicela atau ditinggalkan manusia.

Keredaan Allah lebih utama daripada keredaan manusia.”

Pendakwah yang benar bukan mengubah agama agar diterima manusia, tetapi mengajak manusia menerima agama sebagaimana yang diturunkan Allah.

Seorang ulama’ mesti berprinsip- bukanlah tugas ulama’ untuk menyenangkan orang ramai- apa yang masyarakat suka itu yang kita beritahu- tak sebut penyakit masyarakat!

Masyarakat hari ini suka hiburan & muzik kita kena larang & ingatkan!

Jangan sampai kononnya nak tarik orang ramai ke masjid sehingga buat majlis hiburan & tarian di masjid, waktu tahajjud pasang skrin besar tengok bola!

Allah suruh kita beristighfar kita bertempik tengok bola pada waktu mustajab doa itu!

Kerja ulama’ bukan kena ikut arus & memuaskan hati orang yang jahil; tetapi tugas ulama’ menyatakan yang benar kepada masyarakat!

Sekarang atas alasan nama budaya, adat-resam dan semuanya- perkara yang dulu telah dihapuskan suatu masa kerana khurafat dan maksiat- sekarang telah muncul dihidupkan kembali atas alasan telah diluluskan, dihalalkan atau diislamisasikan!

Ustaz pendakwah pun tengok hadir juga dalam majlis.

Pemerintah & penguasa bertanggung-jawablah mereka jika tidak menyekat perkara ini dari awal.

Kita ucapkan jazakallahu khairan untuk sesiapa saja yang telah berusaha untuk mnyekat budaya buruk ini dari terus merebak dalam masyarakat.

Bertanggung-jawablah orang yang menghidupkan kembali budaya & amalan buruk dalam masyarakat ini!

Ingatlah tugas ulama’ bukan nak memuaskan hati pemimpin atau masyarakat tetapi menyatakan kebenaran & menghapuskan kemungkaran.

  1. Ayat 102- {Nabi Musa menjawab: “Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa”.}-

Nabi Musa mengatakan kepada Fir’aun bahawa dia tahu Nabi Musa itu benar tetapi tetapi tetap menolaknya!

Fir’aun telah melihat 9 mukjizat Nabi Musa dengan jelas & nyata tetapi tetap tidak mahu beriman!

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menjelaskan bahawa Fir’aun itu tahu bahawa Nabi Musa itu betul tetapi kerana degil keras kepala dan sombong- Fir’aun buat-buat tak tahu dari melihat kebenaran itu lalu terus sesat dalam kekufurannya- inilah bahayanya!

Kita sekarang inipun begitulah apabila kita kemukakan dalil atau bukti dari al-Quran, hadis dan pendapat ulama’ yang besar- ada orang buat tak tahu dengan alasan soal khilaf!

Sedangkan telah ada dalil yang jelas maka kita pilihlah dalil yang kuat dan jelas kenapa nak pusing-pusing juga ambil pendapat yang lemah. Kita cari yang sahih jangan cari yang pelik!

  1. Ayat 103- {Maka Firaun pun berkira hendak mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu Kami tenggelamkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.}– apabila Fir’aun keras kepala tetap nak halau Nabi Musa & kaum bani Israil dari bumi Mesir; maka ketika Allah kata- kamu yang akan binasanya Fir’aun!!!

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini juga nak menenangkan hati Nabi s.a.w.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Fir’aun & kaumnya yang menentang Nabi Musa a.s; Maka begitulah juga suatu hari nanti kafir Quraisy yang melawan menentang kamu akan mati binasa juga semuanya.

Cuma Fir’aun mati lemas binasa dalam air, Abu Jahal & gengnya mati terbunuh di padang pasir! Mayatnya dicampak di dalam telaga buruk di Badar dan menjadi tempat kebencian dan penghinaan orang ramai!

Begitulah Fir’aun dia nak binasakan Nabi Musa & bani Israil tetapi akhirnya dia yang binasa!

Sama juga Allah kata puak kafir Makkah yang nak sakiti Nabi s.a.w tetapi mereka juga yang akhirnya binasa.

  1. Ayat 104- {Dan Kami katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): “Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke Padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk.}

Ada kata bumi Mesir, ada kata bumi Syam yang mereka lari kepadanya- ada kata bumi mana saja- ini kerana puak yahudi bani Israil ini keras kepala & jahat mereka; Allah tak bagi bumi khas sebagai negara mereka!

Bahkan mereka bertebaran atas muka bumi ini menumpang di sana sini, duduk merata-pinda
Sehingga datang penjajah ambil sebahagian daripada bumi Palestin beri kepada mereka sehingga ke hari ini.

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini khabar gembira kepada Nabi s.a.w bahawa Baginda akan menang, akan dapat ambil balik bumi Makkah, puak kafir akan kalah & binasa.

Bagaimana sekalipun orang Islam akan menang & menguasai bumi ini.

Ini telah terbukti dalam sejarah betapa Islam pernah kuat & mengguasai dunia ini.

Tetapi apabila orang Islam itu lemah, berkelahi sesama sendiri & derhaka kepada Allah- Allah akan ambil balik bumi & kekuasaan yang mereka ada itu dan beri kepada orang kafir semula!

Maka kita umat Islam yang ada hari ini kita berhati-hatilah- kita di Malaysia ini masih ada lagi ruang peluang untuk bersatu hati & berpakat sesama kita!

Jangan terlepas peluang ini sampai sanggup menjadi tali-barut & barua kepada orang kafir.

Orang kafir sekarang sanggup buat apa saja- nak datang majlis berbuka puasa boleh, nak pakai tudung boleh; atau nak bersimpuh duduk tadarus dalam masjid pun boleh; yang penting dapat sokongan orang Islam.

Hati-hati sebelum apa yang terjadi, fikir baik-baik, kita tegakkan kesatuan ummah, fikirkan apa yang terjadi kepada umat Islam- jangan kerana kejar kerusi & sayangkan kuasa kita berpecah sesama agama- maka apa akan terjadi kepada generasi anak cucu kita nanti.

Kita belajar & tadabbur al-Quran- jika al-Quran ini tidak dibumikan untuk dihayati, difikirkan dan diamalkan- maka apa faedahnya kita mengaji al-Quran.

Inilah fiqhul-hayat (feqah kehidupan) walaupun ada orang yang tak suka!!!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 09/07/2026 – 23 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1000746016109252

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top