View Categories

(29) Surah Al-Israa’: Ayat 110-111

16 min read

Live Kuliah Pagi Selasa 14/07/2026 – 28 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (29) Ayat [110-111]

Full video: https://youtu.be/7sfJERXLIq4?si=IvX0UgXeU4IGoy_L

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita sampai ke penghujung pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 110 sehingga ayat 111, iaitu ayat yang terakhir dalam surah ini dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t ajar untuk kita berdoa & meminta dengan menyeru nama Allah Yang Indah (al-Asma’ Al-Husna) dan sifat Allah yang maha tinggi.
  3. Antara adab berdoa juga jangan tinggikan suara ketika berdoa apatah lagi bertempik melaung kerana kamu berdoa kepada Allah yang maha mendengar.
  4. Juga sentiasalah memuji Allah s.w.t serta bertasbih dan bertakbir mengagungkan Allah S.W.T.

Begitulah sifat orang yang beriman sentiasa bertaqarrub kepada Allah dengan perkataan, perbuatan dan amalan soleh yang diredhai Allah; mudah-mudahan kita layak mendapat keampunan, kasih-sayang & syurga Allah.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat-ayat yang lepas sudah panjang kita berdebat & berdialog dengan puak kafir, golongan yang menentang tak percaya kepada Nabi s.a.w serta menjawab beberapa kekeliruan syubhat yang ditimbulkan mereka.

Allah juga nyatakan sifat orang beriman yang bersujud kepada Allah apabila mendengar ayat al-Quran.

*Alhamdulillah kita juga telah sujud apabila membaca & mendengar ayat al-Quran.

ii- kemudian datang ayat ini Allah ajar kepada kita bagaimana cara nak berdoa & berzikir kepada Allah ketika kita menunaikan ibadat.

Ini agar kita tidak melampaui (ghuluw) juga tidak terlalu cuai, menjadi golongan wasatiyah yang sentiasa tenang & adil!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَٰنَ ۖ أَيًّا مَّا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ

Ayat 110- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama ” Allah” atau nama “Ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia”.} (Al-Israa’ 17:110)

  1. Ini ada arahan & seruan Allah kepada kita agar kita sentiasa berada di atas landasan yang benar. Allah seru & perintahkan kepada Nabi s.a.w.
  2. Pertama Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk ajar kepada orang beriman:

i- menyeru nama Allah atau dengan nama “Ar-Rahman”, apabila kita nak berdoa boleh guna yang mana sahaja kamu serukan dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka;

ii- kata ulama’ ini juga kerana puak kafir Quraisy pada waktu itu menolak nama Allah sebagai ar-Rahman.

Lalu Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk mengajar kepada mereka bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa tetapi mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia.

  1. Kata ulama’ tafsir: Ini adalah doa permintaan (دعاء المسألة) apabila kita nak memohon atau doa permintaan- kita menyeru Ar-Rahman iaitu Tuhan yang Maha Pemurah.

Nama-nama Allah yang menunjukkan kepada sifat-Nya yang sempurna & yang mulia itu adalah yang terbaik.

Kita juga terikat dengan nama yang Allah sendiri sebut-Nya atau dengan apa yang diberitahu oleh Nabi s.a.w- kita tak boleh mereka-rekanya!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-A’raaf 7:180)
  2. Nota [701] Semasa kaum kafir musyrik mendengar Nabi Muhammad s.a.w menyebut dalam doanya “Ya Allah! Ya Rahman!” mereka merasa pelik lalu berkata: “Muhammad mendakwa bahawa dia menyembah satu Tuhan, tetapi sekarang ia menyebut nama dua Tuhan?” – lalu turun firman Allah Ta’ala ini menerangkan bahawa “Allah” dan “Ar-Rahman” ialah nama-nama Tuhan yang Maha Esa.
    Yang mana sahaja disebutkan adalah baik belaka, kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik lagi mulia (Asmaa’ullah Al-Husna).

Sebenarnya nama-nama Allah Ta’ala amatlah banyak sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Qur’an dan hadith-hadith nabi s.a.w.

Tiap-tiap satu dari nama-nama Allah itu mengandungi makna yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya.

Misalnya: Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah), Ar-Rahim (Yang maha Mengasihani), Al-Qudus (Yang Maha Suci), Al-Wahid (Yang Maha Esa), Ar-Razzaq (Yang Melimpahkan Rezeki), Zul Jalaali wa’l-Ikraam (Yang Mempunyai Segala Kebesaran dan Kemuliaan).

  1. Nama Allah yang menunjukkan kepada sifat-Nya itu yang terbaik & paling senpurna.

Kita hanya terikat dengan nama yang Allah namakan Zat-Nya yang mulia dan dengan apa yang disifatkan Nabi s.a.w kepada kita!
Maka jangan reka sendiri nama atau sifat Allah!

  1. Kata al-Qurtubi : Nama & sifat Allah ini adalah taufiqi iaitu hanya tetap apa yang disebut di dalam al-Quran, hadis Nabi s.a.w dan ijma’ ulama’.
    Yakni tak sah kita letak nama atau sifat dengan apa yang ada dalam otak kita!
  2. Ini sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagi-Nyalah segala nama yang baik.} (Taha 20:8)
  3. Antara ayat al-Quran yang banyak mengumpulkan nama Allah dan dikenali sebagai ayat al-Mihrab iaitu ayat yang banyak dibaca oleh imam-iman di dalam solat mereka ialah ayat yang mulia ini:

{Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengan-Nya.

Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada banding-Nya, lagi Maha Bijaksana.}
(Al-Hasy-r 59: 22-24)

  1. Hadis riwayat dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu, siapa yang menghafal (memahami dan mengamalkan) nya maka dia masuk Syurga.” [HR Bukhari & Muslim].
  2. Tetapi kata Imam Nawawi : Bukan sekadar hafal atau hitung saja tetapi jaga semua nama Allah itu jangan langgar dan dia amalkan dengan apa yang terkandung dalam isi kandungannya dan membenarkan maknanya!

*Bukan hanya ingat dan hitung saja terus masuk syurga tanpa memahami dan mengamal ikut maknanya.

  1. Asbabun Nuzul Ayat 110 berdasarkan hadis riwayat dari Ibnu Abbas, ia berkata: “Suatu hari ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم masih di Makkah, Baginda berdoa dan dalam doanya Baginda mengucapkan:

“Ya Allah, Yang Maha Pengasih (Ya Rahman).’
Orang-orang musyrikin berkata, “Lihatlah orang yang murtad ini! Dia melarang kita berdoa kepada dua tuhan, sedangkan dia sendiri berdoa kepada dua tuhan.”

Lantas Allah pun menurunkan firman-Nya, “Katakanlah (Muhammad), “Serulah Allah atau serulah ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu dapat menyeru, kerana Dia mempunyai nama-nama yang terbaik (Asmaul Husna).” [HR Bukhari].

وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا ‎﴿٠١١﴾

Ayat 110- {…Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.} (Al-Israa’ 17:110)

  1. Kemudian Allah juga ajar kepada kita cara untuk berdoa, berzikir kepada Allah, juga bacaan ketika solat- iaitu jangan menyaringkan suara dengan terlalu kuat juga jangan terlalu perlahan sehingga tak tahu apa, orang belakang kamu tak dengar.
  2. Tetapi ambillah jalan tengah & sederhana baca dengan sederhan hatta orang yang berjemaah bersama kamu boleh mendengarnya tetapi tidak terlalu kuat & nyaring hingga sampai dan menganggu orang lain yang tidak bersama kamu!
  3. Ayat ini ada sabab nuzulnya:
    Kata Ibnu Abbas r.a tentang firman Allah s.w.t ini:
    {…dan janganlah engkau mengeraskan suaramu dalam solat dan janganlah (pula) merendahkannya.}
    Dia berkata, “Ayat tersebut turun ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم masih berdakwah secara sembunyi-sembunyi di Makkah.

Ketika itu apabila Baginda mengimami solat para sahabatnya, Baginda mengangkat suaranya dalam membaca Al-Qur’an.
Ketika orang-orang musyrikin mendengarkan al-Qur’an, mereka pun mencela al-Qur’an, mencela Allah yang menurunkannya, dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang membawanya sehingga turunlah ayat tersebut.’ [HR Bukhari].

  1. Sebuah hadis lagi yang diriwayatkan dari UM Aisyah r.a:
    “Ayat ini turun berkenaan dengan adab berdoa.” [HR Bukhari & Muslim].

*Ada juga riwayat kata “dalam tasyahud”.

  1. Kita boleh jamakkan antara dua hadis ini bahawa larangan menyaringakan suara dengan kuat atau membacanya dengan terlalu perlahan adalah untuk kedua keadaan iaitu:

i- bacaan-bacaan di dalam solat;
ii- juga bacaan, doa & zikir di luar solat.

Semuanya kita kena baca dengan sederhana dan tidak terlampau kuat atau perlahan.

  1. Sebagaimana kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: “Hanya saja ada kemungkinan untuk mejamakkan antara kedua hadis itu bahawa ayat tersebut turun mengenai doa (luar solat) juga untuk bacaan di dalam solat.”
  2. Nota [702] Dalam permulaan Islam, semasa Rasulullah s.a.w mengerjakan ibadat di Makkah dengan bersembunyi, baginda dilarang menyaringkan bacaan sembahyangnya kerana mengelakkan gangguan kaum musyrik.
    Baginda juga dilarang membaca dengan perlahan kerana yang demikian tidak dapat didengar oleh sahabat-sahabat Baginda yang turut sembahyang berjemaah.
    Lalu diperintahkan membaca dengan suara yang sederhana.

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا ‎﴿١١١﴾‏

Ayat 111- {Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!”} (Al-Israa’ 17:111)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat sebelumnya Allah suruh berzikir, seru nama Allah dalam doa dengan nama-nama-Nya yang indah dan sifat-Nya yang maha tinggi;

ii- lalu datang ayat ini ajar bagaimana cara kita nak puji Allah s.w.t.

  1. Munasabah kedua:
    i- Allah s.w.t larang kita daripada berdoa atau membaca dalam solat bacaan yang terlalu keras nyaring yang menyebabkan orang kafir marah dan mengutuk kita;

ii- maka datang ayat ini Allah ajar suruh iklankan tauhid iaitu prinsip kita jangan bergoyang serta nyatakan kepada mereka bahawa Allah yang Esa itu mempunyai banyak nama yang indah.

Allah isbatkan untuk diri-Nya nama yang indah dan bersihkan Zat-Nya yang mulia dari sebarang kekurangan.

  1. Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk mengucapkan segala pujian yang elok kepada Allah yang bersifat dengan kesempurnaan, yang bersih daripada segala kekurangan.
  2. Allah juga perkenalkan sifat-Nya yang agung:
    i- Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, Allah juga tidak ada anak kerana Allah tidak perlu kepada anak, tidak bergantung kepada orang lain.

ii- dan tiada bagi-Nya sekutu dalam urusan kerajaanNya- tiada partner sekutu atau pakatan. Allah yang tunggal & Esa.

*Manakala malaikat yang ramai itu adalah pegawai Allah yang menjalankan tugas yang Allah berikan.

  1. Ayat ini boleh juga ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;} (Al-Mulk 67:1)
  2. Allah tegaskan lagi sifat-Nya iaitu tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; Allah yang maha Agung maha Sempurna tidak perlu kepada penolong kerana Dia tidak lemah & Maha berkuasa.
    Bukan seperti manusia yang lemah, maka perlu kepada bantuan & penolong.
  3. Kemudian Allah perintahkan kita agar sentiasa membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa kerana Allah-lah yang maha berkuasa yang ditangan-Nya segala kekuasaan.
  4. Nota [703] Setelah itu lalu diterangkan cara memuji Allah ‘Azza wa Jalla supaya RasulNya dan sekalian hambaNya menyebut “اَلْحَمْدُ لِلَّهِ” (segala puji tertentu bagi Allah), sebagai bersyukur kepadaNya atas segala nikmatNya yang tidak terhingga itu; kerana Dialah Tuhan Yang Maha Esa, tiada mempunyai anak, sebagaimana yang didakwakan oleh kaum kafir, dan tiada sesiapapun yang menjadi sekutuNya dalam mentadbirkan seluruh alam, dan tiada pula memerlukan sebarang penolong, bahkan Dialah sahaja yang wajib dibesarkan dan dimuliakan dengan sepenuh-penuhnya.

*Alhamdulillah tamatlah tafsiran kita tentang surah ini secara ringkasnya!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 110- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama ” Allah” atau nama “Ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka);…}-

Allah ajar untuk kita menyeru nama-nama Allah yang mulia untuk membatalkan fahaman buruk orang kafir bahawa Tuhan Nabi s.a.w itu banyak.

Allah hanya sau tetapi Dia mempunyai banyak nama yang boleh kita seru apabila nak berdoa ikut kesesuaian tempat & doa permohonan kita!

Kata Imam Nawawi: Allah mempunyai banyak nama untuk menunjukkan kemuliaan & ketinggian-Nya.
Allah itu Esa hanya satu tetapi nama & sifat-Nya yang mulia & indah itu banyak.

Banyaknya nama sesuatu itu kerana ketinggiannya sepertimana kota Makkah & Madinah yang mempunyai banyak nama & gelaran.

Boleh lihat nama-nama kedua kota suci ini dalam kitab berikut:

i-Makkah Mukarramah https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah

ii-Madinah Munawwarah. https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah

Begitu juga Nabi s.a.w sendiri mempunya banyak nama & gelaran yang menunjukkan kemuliaan Baginda s.a.w. tetapi tidaklah terlalu banyak seperti nama Allah.

Jika kita lihat dalam hadis yang sahih terdapat beberapa nama & gelaran yang Baginda s.a.w sebut tetapi tidaklah sampai beratus atau beribu sebagaimana yang disebut dalam sesetengah kitab tasauf!

Kata DDAAM: Kita cari yang sahih jangan cari yang pelik!

Nabi s.a.w bersabda:

‏”‏ لِي خَمْسَةُ أَسْمَاءٍ أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ، وَأَنَا الْمَاحِي الَّذِي يَمْحُو اللَّهُ بِي الْكُفْرَ،
وَأَنَا الْحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى قَدَمِي، وَأَنَا الْعَاقِبُ ‏”‏‏.‏

“Aku mempunyai lima nama: Aku ialah Muhammad, dan Ahmad, aku juga al-Mahi (yang menghapuskan) di mana Allah menghapuskan kekufuran keranaku, aku al-Hasyir (yang menghimpunkan) di mana manusia dihimpunkan dl kakiku, dan aku al-‘Aqib (yang terakhir/ penutup)” [HR al-Bukhari, no. 3532].

Kata ulama’ kenapa hanya disebut dua nama Allah & ar-Rahman ini saja?

{قُلِ ٱدْعُوا۟ ٱللَّهَ أَوِ ٱدْعُوا۟ ٱلرَّحْمَـٰنَ}

Jawapan: Kerana dua nama ini menjadi tonggak kepada nama-nama yang lain.

Dua nama ini juga mempunyai kemuliaan yang besar & menunjukkan bahawa nama Tuhan yang paling tinggi sekali ialah Allah kemudian diikuti dengan ar-Rahman!

Kita orang beriman kena faham & yakin akan hal ini.

  1. Ayat 110- {… yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia”.}-

Allah mempunyai banyak nama-nama yang indah bukan hanya dua itu saja.

Allah mempunyai banyak nama-nama yang indah tetapi yang rasmi dan masyhurnya secara sahih disebut dalam al-Quran dan hadis ialah 99 nama.

Tetapi nama Allah tidak terhad setakat ini saja bahkan lebih daripada 99 ini kerana terdapat sebuah hadis yang menunjukkan ada lagi nama lagi nama Allah yang kita tidak tahu & tidak diajari akannya.

Nabi S.A.W berdoa: “Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang menjadi milik-Mu, yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada sesiapa daripada makhluk-Mu, atau yang Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib di sisi-Mu…” [HR Ahmad].

Ada nama yang Allah rahsiakan dan simpan di sisi-Nya.

Tetapi jika kita menghayati 99 nama Allah itu sudah mencukupi untuk memantapkan iman & taqwa kita!

Inilah yang kita sebut nama-nama Allah yang indah al-Asmaul Husna (indah)- dan sifat Allah yang tinggi (al-Ula).

  1. Ayat 110- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama ” Allah” atau nama “Ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia”.}-

Ayat ini juga mengajar kepada kita bahawa banyaknya nama tidak menunjukkan kepada banyaknya benda itu.
Ia hanya satu benda tetapi mempunyai banyak nama.

Sebagaimana ada orang yang namanya panjang sekali- tetapi tuannya hanya seorang itu.

♛Maklumat tambahan:
i- Mengikut rekod JPN, Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra binti Mohd Suffian adalah pemilik nama terpanjang di Malaysia buat masa ini.

ii- Sebagai makluman, JPN membenarkan nama bayi yang ingin didaftarkan hendaklah tidak melebihi 80 aksara (huruf).

iii- Nama paling pendek di Malaysia pula kekal milik seorang pelukis pelan: S Binti Rusli yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Maka nama banyak tidak menunjukkan kepada banyaknya benda itu.

Imam an-Nawawi kata nama yang banyak menunjukkan kemuliaan sesuatu itu!

Ayat ini juga menunjukkan berbezanya doa & seruan kita kepada Allah daripada seruan orang kafir yang menyeru nama berhala mereka satu persatu- berhala yang berlainan setongkol-setongkol.

Kita pula menyeru nama-nama Allah yang mulia ar-Rahman, ar-Rahim, ar-Razzaq kepada Tuhan yang satu saja!

Allah s.w.t itu kemuliaan-Nya ialah namanya yang indah & sifat-Nya yang tinggi.

Ia juga mengajar kepada orang kafir jangan kamu dok ingat bahawa nama Allah yang banyak bukan bererti Tuhan yang banyak seperti berhala mereka itu.

  1. Ayat 110- {Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.}

Ayat ini mengajar kepada kita jangan keraskan suara dalam solat atau juga di luar solat iaitu ketika berdoa & berzikir.

Untuk menjaga keharmonian ikut realiti hari ini- masjid & surau kena lihat keadaan sekeliling, kepada jiran-jiran masjid.
Kita kena merai jangan sampai menyakiti jiran sekeliling kerana speaker kita yang terlalu kuat tanpa keperluan.

Begitulah prinsip Islam – menjaga kemaslahatan & bawa keadilan kepada semua, agar tidak menyakiti orang juga kita tidak mahu ia membawa keburukan.

Mungkin mereka ada anak kecil, orang sakit, orang yang berkerja dari rumah (WFH) ada kelas on9 dan sebagainya.

Iaitu kita mahu orang suka kepada Islam bukan benci kepada Islam!

Kita tak mahu orang kafir marah dan sakit hati kepada kita; ttapi jika mereka tak suka dek kerana kekufuran & kesyirikan mereka kita jangan layan sangat!

Begitu juga apabila berzikir & berdoa selepas solat- jangan terlalu kuat takut mengganggu ada makmum yang masbuq dan sebagainya!

  1. Ayat 111- {Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!”}

Dalam ayat ini Allah mengajar kepada kita bagaimana untuk memuji dan memuja Allah, bagaimana nak mengagungkan Allah s.w.t.

Iaitu dengan kita murnikan aqidah kita semata-mata kepada Allah, jangan dok buat yang pelik-pelik, yakinlah bahawa Allah s.w.t tak perlu kepada wali atau penolong pembantu.

Ayat ini menunjukkan kemuliaan & kesempurnaan Allah yang tidak berhajat kepada yang lain!

Juga kepada ketunggalan Allah dalam kerajaan-Nya, sempurna keagungan & kekuasaan Allah s.w.t.

Apabila kita kenal Allah wajib kita memuja, memuji & mengagungkan Allah pada setiap masa barulah kita menjadi manusia yang sempurna, manusia yang disayangi Allah swt.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Isra’ pada hari ini dengan sebanyak 29 siri kuliah, semoga mendapat faedah & berkatnya.

DOA.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 14/07/2026 – 28 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (tamat 29 siri kuliah) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1003064175877436

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top