View Categories

(1) Surah Al-Kahfi: Muqaddimah

12 min read

Surah Al-Kahfi – سورة الكهف

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Muqaddimah Dan Intisari Surah, Fadhilat Surah & Munasabah Dengan Surah Al-Israa’

Live Kuliah Pagi Rabu 15/07/2026 – 29 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (01) Ayat [00]

Full video: https://youtu.be/osKo4yXd0kk?si=Hyvwcre_u8EqdrWa

Muqaddimah Surah Al-Kahfi – سورة الكهف #

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Kahfi – سورة الكهف, surah yang kelapan belas dalam al-Quran & dalam juzuk yang kelima-belas.
  2. Surah ini diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Nabi s.a.w ke Madinah dan ijma’ ulama’ tafsir mengatakan ia adalah surah Makkiyyah, mengandungi 110 ayat.
  3. Ini kerana surah-surah yang mengandungi kisah & cerita nabi dan umat terdahulu biasanya Makkiyyah sebagai contoh pengajaran bagi memberi motivasi & menenangkan hati Rasulullah s.a.w dan menguatkan semangat orang Islam yang menghadapi ancaman dan tekanan pada permulaan Islam.

Nama Surah: #

  1. Dinamakan Surah Al-Kahfi – سورة الكهف (Perihal Gua) kerana perihal penduduk gua disebut dalam surah ini – dari ayat 9 hingga ayat 26.

Hanya surah ini yang menceritakan kisah mengenai Ashabul-Kahfi, tiada dalam surah lain di dalam al-Quran ini.

  1. Dalil nama surah ini:
    i- sebagai surah al-Kahfi telah dikenali pada zaman sahabat ialah hadis dari Nabi s.a.w tentang perlindungan dari dajjal.

ii- surah Ashabul-Kahfi- juga hadis dari Nabi s.a.w tentang perlindungan dajjal juga.

*Kita akan baca hadis-hadis ini di bawah nanti.

  1. Ia adalah salah satu daripada 5 surah yang bermula dengan {Alhamdulillah} iaitu mengakui kebesaran & keagungan Allah Azza wa Jalla iaitu surah Al-Fatihah, al-An’aam, al-Kahfi, Saba’ dan Surah Faathir.

Keistimewaan Surah (Fadhail) #

Yang Diambil Dari Hadis Yang Sahih:

  1. Membacanya membawa ketenangan.

Dalil hadis riwayat daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA, beliau berkata: “Seorang lelaki sedang membaca surah al-Kahfi dan di sisinya terdapat seekor kuda yang diikat dengan dua tali.
Tiba-tiba awan datang menaungi lelaki itu, lalu awan tersebut semakin mendekat.
Kuda itu mula merasa takut dan melarikan diri.

Keesokan paginya, lelaki itu datang berjumpa Nabi S.A.W dan menceritakan peristiwa tersebut.
Baginda bersabda: ‘Itulah sakinah (ketenangan) yang turun bersama bacaan al-Quran.'” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

  1. Siapa menghafaz 10 ayat surah al-Kahfi memahami dan menghayati baik-baik maknanya akan terperlihara dari dajjal.

Dalilnya hadis Riwayat:
i- hadis yang diriwayatkan oleh Nawwas bin Sam’an berkenaan sifat-sifat Dajjal bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Demi Allah, Dajjal merupakan seorang pemuda yang sangat kerinting rambutnya, buta matanya, dia kelihatan seperti Abdul ‘Uzza bin Qatan. Sesiapa daripada kalian menemuinya hendaklah membaca 10 ayat awal surah Al-Kahf.
Sesungguhnya Dajjal akan muncul di antara Syam dan Traq, dan akan melakukan kerosakan di kiri dan kanan,” (HR Muslim, 2937)

ii- Daripada Abu Darda’ r.a, Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

“Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada permulaan surah Al-Kahfi, dia akan dipelihara daripada (fitnah) Dajjal.” (HR Muslim)

iii- Terdapat riwayat yang lain menyebut 10 ayat akhir dari surah al-Kahfi.
Seperti yang diriwayatkan oleh Qatadah, Rasulullah S.A.W bersabda: “Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah al- Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajjal.” [HR Abu Daud].

*Ulama’ kata yang rajihnya ialah hadis 10 awal surah itu.

Tetapi untuk para pencinta ilmu & al-Quran untuk lebih selamat; marilah kita menghayati 10 ayat awal dan 10 ayat akhir surah al-Kahfi agar tidak akan tergugat dengan fitnah Dajjal.

  1. Kenapa 10 ayat dari surah ini terpilih?
    Kata ulama’ 10 ayat ini diberi keistimewaan oleh Allah S.W.T kerana padanya terdapat keajaiban dan tanda-tanda:

i- ia adalah satu surah yang pelik cerita tentang ashabul-Kahfi yang ajaib.

Maka jika kita dapat menerima kisah ashabul-Kahfi yang pelik & ajaib ini- maka kita tidak akan pelik dengan cerita & tidak akan terpedaya dengan dajjal.

ii- jika kita tahu & yakin akan azab neraka Allah yang dahsyat- kita tidak akan terkesan dengan azab & siksaan dajjal.

Jika kita yakin dengan nikmat syurga yang indah- kita tidak akan terpedaya dengan kemewahan yang ditawarkan dajjal yang hanya lakonan & seketika.

iii- surah al-Kahfi adalah termasuk surah yang lama & terawal turun di Makkah di maan para sahabat telah menghafaznya dari awal lagi.

Dalilnya athar dari Ibnu Mas’ud r.a berkata: Surah Bani Israil, surah al-Kahfi, Maryam, Taahaa & al-Anbiyaa ini adalah antara surah terawal turun di Makkah dan antara surah yang aku belajar & hafaznya. [Riwayat Imam Bukhari].

iv- semua ayatnya muhkam- yakni tidak ada yang mansukh atau dibatalkan.

v- siapa baca surah al-Kahfi pada hari Jumaat sebagaimana hadis riwayat dari Abu Said Al-Khudri R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:
“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya (dilapangkan dadanya) di antara dua Jumaat.” (HR al-Hakim dan al-Baihaqi)

*Ada juga hadis kata bacanya pada waktu malam: “Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Ka’bah).” (HR ad-Darimi)

**Maka kita boleh pilih untuk membacanya pada waktu siang atau malam Jumaat ikut kesesuaian kita- yang penting baca jangan tak baca!

Maqasid/Objektif Surah & Isi Utamanya #

(Tafsir Muharrar): سورة الكهف من أهمِّ مقاصدِ

  1. Menyebut pujian kepada Allah s.w.t kerana menurunkan Kitab ini kepada hamba-Nya Nabi Muhammad s.a.w.

Kitab ini Kitab yang benar tiada sebarang penyelewengan padanya, datang untuk memberi khabar gembira kepada orang yang beriman & amaran peringatan untuk yang menentang.

  1. Allah nyatakan segala yang ada di atas muka bumi adalah perhiasan dunia.

Kecantikan harta benda, hidup senang adalah ujian dan cubaan untuk lihat siapa yang berjaya hadapinya!

  1. Allah sebut cerita tentang Ashabul-Kahfi- penghuni gua.
  2. Allah sebut tentang fitnah harta dalam kisah pemilik dua kebun.
  3. Allah buat bandingan kehidupan dunia ini menunjukkan dunia ini akan hilang, kita akan mati, harta benda akan rosak tiada yang kekal atas dunia ini.
  4. Allah sebut sedikit suasana hari Kiamat.
  5. Menyatakan permusuhan iblis kepada Adam dan zuriatnya.
    Betapa jahatnya iblis kerana ingkar kepada perintah Allah.
  6. Menyatakan cara Allah membinasakan orang yang zalim, serta rahmat-Nya bagi tempoh & peluang kepada orang yang berdosa dengan memberi mereka tempoh untuk mereka bertaubat & kembali kepada Allah.
  7. Kisah Nabi Musa & Khadir A.S.
  8. Kisah Zulqarnain- raja yang berkuasa.
  9. Membatalkan syirik & janji-janji azab bagi mereka yang syirik & menyatakan janji syurga bagi orang beriman.
  10. Gambaran luasnya ilmu kepada Allah & al-Quran itu turun sebagai wahyu kepada Nabi s.a.w.

Intisari Kandungannya (Pimpinan ar-Rahman): #

  1. Menerangkan kebenaran Al-Qur’an.
    Menegaskan dasar tauhid serta mendedahkan kesesatan kaum kafir yang mendakwa secara dusta bahawa Allah s.w.t beranak-pinak.
  2. Bagi menjawab pertanyaan kaum kafir kepada Nabi Muhammad s.a.w yang hendak menguji kebenarannya, Allah Ta’ala menceritakan perihal “Ashaab’ul-Kahfi– أصحاب الكهف‎” yang sebenar-benarnya.

Mereka ialah serombongan anak-anak muda yang beriman yang telah melarikan diri ke sebuah gua untuk beribadah kepada Allah Ta’ala dengan bebasnya kerana rajanya – yang kafir – menindas orang-orang yang beriman.

  1. Kemudian diterangkan: sungguhpun kisah mereka menakjubkan kerana mereka telah ditidurkan di situ selama 309 tahun lalu dibangkitkan dalam keadaannya yang asal, sebagai salah satu tanda yang membuktikan kekuasaan Allah ‘Azza wa Jalla, tetapi kejadian langit dan bumi dan segala isinya yang telah dijadikan oleh Allah Ta’ala itu lebih menakjubkan lagi.
  2. Selepas itu Allah Ta’ala perintahkan Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya supaya sentiasa membaca Al-Qur’an dan menurut ajarannya.
  3. Tiada sesiapapun yang dapat mengubah apa yang telah ditetapkan dan dijanjikannya.

Jika ada yang ingkar, maka orang itu tidak akan terlepas dari hukuman Allah Yang Menguasai Segala-galanya.

  1. Setelah mengemukakan misal perbandingan mengenai orang kafir dan orang yang beriman, dan mengenai kehidupan dunia yang pada mulanya kembang membiak tetapi akhirnya akan lenyap, lalu ditegaskan bahawa hartabenda dan anak-pinak ialah perhiasan di dunia, dan bahawa amal-amal salih yang kekal faedahnya lebih baik di sisi Allah Ta’ala sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
  2. Yakni kekayaan dan anak-pinak yang ramai memanglah baik, bahkan menjadi perhiasan dunia yang sangat-sangat diperlukan.

Tetapi janganlah dijadikan anak-pinak dan harta benda itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata, bahkan hendaklah kita berusaha menjadikannya sebagai jalan dan alat bagi menerbitkan amal-amal yang salih yang kekal faedahnya untuk kesenangan dan kebahagiaan kita di akhirat sama.

Oleh itu, sungguh beruntung orang-orang yang dapat berusaha untuk kebaikan dunianya dan akhiratnya.

  1. Diceritakan pula kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Khadir a.s, sebagai membuktikan bahawa Allah jualah yang berkuasa mengurniakan ilmu pengetahuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
  2. Kemudian diceritakan perihal “Zu’l-Qarnain – ذو القرنين” – seorang raja yang beriman lagi salih, bijaksana dan memerintah dengan adil.

Untuk menyekat langgaran kaum Ya’juj dan Ma’juj yang kejam ganas, ia telah mendirikan tembok besi yang kukuh.

  1. Surah “Al-Kahfi – الكهف” ini diakhiri dengan menerangkan tentang luasnya ilmu Allah ‘Azza wa Jalla yang tidak terhingga itu, dan memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w supaya menegaskan kepada umat manusia seluruhnya, bahawa ia seorang manusia, dan bahawa ia diutuskan untuk menegakkan dasar tauhid dan mencegah perbuatan syirik.

Fakta- Tiga Kisah Utama Dalam Surah al-Kahfi ini #

  1. Kisah Ashabul-Kahfi bermula dari ayat 9 sehingga ayat 26.

Gambaran pengorbanan pemuda-pemuda yang menjaga aqidah- bukan hanya dok lepak atau merempit menghabiskan masa & merosakkan harta negara.

Mereka berpegang dengan prinsip, menjaga aqidah sanggup membawa diri ke dalam gua.

  1. Kisah Nabi Musa a.s & Khadir bermula dari ayat 60 sehingga ayat 78.

Ini bandingan kepada para ulama’- orang yang ada ilmu jangan terasa pandai & sombong.

Allah tegur Nabi Musa bahawa ada lagi orang yang lebih alim daripadanya iaitu Khadir.
Maka penuntut ilmu kena tawadhuk jangan bersikap sombong.

Lalu Nabi Musa mencari Khadir untuk belajar darinya dan ketika mereka berada di atas kapal, datang seekor burung pipit (burung kecil), lalu hinggap di tepi kapal.
Burung itu mencedok sedikit air laut dengan paruhnya.

Lalu Khadir berkata kepada Nabi Musa:
Sedikitnya ilmu saya dan ilmu kamu jika dibandingkan dengan ilmu Allah adalah seperti air yang diambil oleh burung itu dari laut ini.” [HR al-Bukhari (122) dan Muslim (2380)]

  1. Kisah Zul-Qarnain bermula dari ayat 83 sehingga ayat 99- gambaran kepada sultan penguasa-penguasa atas dunia.

Zul-Qarnain seorang raja yang hebat kerajaannya dari timur sehingga ke barat tetapi dia seorang yang soleh lagi adil- kita harap lebih ramai penguasa begini yang lahir atas dunia ini.

Terdapat Juga Tiga Bandingan & Perumpamaan:

  1. Kisah orang cintakan dunia iaitu pemilik dua kebun bermula dari ayat 32 sehingga ayat 44.
    Jika ada harta jangan terpedaya dengan harta jangan sombong dengan faqir mskin.
  2. Kisah bandingan kehidupan dunia bermula dari ayat 45 sehingga ayat 46 dunia ini akan hilang samada dia hilang dulu atau kita yang pergi dulu.

Jangan terlalu kejar dunia sehingga lupa akhirat, jangan bakhil dengan harta dunia sehingga tiada bekalan di Akhirat.
Jangan berkelahi kerana dunia kerana kita semua akan pergi ke Akhirat.

  1. Kisah iblis yang sombong tak mahu sujud kepada Nabi Adam bermula dari ayat 50 sehingga ayat 53. Ini bahayanya sifat takabbur yang merosakkan!
  2. Allah nyatakan dalam ayat 54 sehingga ayat 57 bahawa semua bandingan ini Allah buat untuk memberi peringatan kepada kamu wahai manusia.
  3. Di akhir surah iaitu bermula dari ayat 100 sehingga ayat 110- Allah bawa kisah orang kafir yang menyangka mereka benar sedangkan tidak.

Maka ayat 100 sehingga 110 ini kita kena hafal sebagaimana kita hafal ayat 1-10.

  1. Pembahagian tafsiran 10 ayat terakhir ini ialah:

i- Dalam ayat 100-106 Allah nyatakan ruginya puak kafir kerana buat amalan yang tidak diterima Allah s.w.t.

ii- Dalam ayat 107-108 Allah beri khabar gembira kepada orang beriman yang beramal soleh bagi mereka nikmat abadi di Akhirat.

iii- Manakala dari ayat 109 sehingga ayat 110- Allah nyatakan ilmu Allah s.w.t itu tidak ada nihayah atau penghujungnya sekalipun kamu kamu kumpulkan tujuh lautan atas dunia ini tidak akan cukup untuk mencatatnya!

Munasabah Antara Surah Al-Kahfi ini Dengan Surah Al-Israa’ Sebelumnya:

Ini untuk menunjukkan kepada kita bahawa semua surah dalam al-Quran ini datang dari sumber yang satu.

Terserlah dari beberapa sudut:

1- Pembukaan surah Isra’ dengan Tasbih manakala al-Kahfi dimulakan dengan pujian.

Memang kebiasaannya pujian & tasbih ini sinonim & berkembar dalam al-Quran.
Sebagaimana firman Allah:

{Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu (فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ), serta jadilah dari orang-orang yang sujud.} (Al-Hijr 15:98)

Hadis- sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa mengucapkan: سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ
(Maha suci Allah dan segala pujian hanya untuk-Nya) sehari 100 kali, maka kesalahan-kesalahannya akan terampuni walaupun sebanyak buih di lautan.” (HR. Bukhari: 5926)

Boleh rujuk kitab:
Perisai Muslim https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan

  1. Akhir surah Isra’ ditutup dengan pujian Allah kemudian datang surah al-Kahfi terus bermula dengan pujian kepada Allah!
  2. Munasabah kedua:
    i- kafir Quraisy dari Makkah pergi berjumpa yahudi di Madinah untuk belajar bagaimana nak menjatuhkan Nabi s.a.w. kerana mereka adalah ahli Kitab yang mempunyai kitab!

Seorang pendeta Yahudi menjawab:
“Cubalah kamu tanyakan tiga perkara kepadanya:

*Tanyakanlah tentang sekumpulan pemuda yang hidup pada zaman dahulu dan memiliki kisah yang menakjubkan.

*Lalu, tanyakan kepadanya tentang lelaki gagah perkasa yang mengembara ke timur dan ke barat.

*Tanyakan juga kepadanya tentang roh, apakah roh itu?

Jika dia dapat menjelaskan yang pertama dan yang kedua, serta tidak menjelaskan yang ketiga, bererti dia benar-benar adalah seorang Nabi.”

Utusan Quraisy itu pun kembali ke Makkah. Apabila sampai, mereka mengkabarkan ucapan pendeta Yahudi pada pemuka kaum kafir Quraisy.

Kemudian mereka sama-sama menguji Rasulullah saw dengan tiga pertanyaan itu.

Soalan pertama dijawab dengan cerita tentang Ashabul Kahfi dengan pajang lebar dari surah al-Kahfi ini.

Soalan kedua dijawab dengan kisah Zulqarnain. Seorang raja perkasa yang menundukkan ramai raja dan mengelilingi dunia timur dan barat- dari surah al-Kahfi ini.

Soalan Ketiga pertanyaan mereka yang ketiga iaitu tentang Roh, maka Rasulullah s.a.w menjawabnya dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ (17) ayat 85: {Dan mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang Roh. Katakanlah, Roh itu termasuk urusan Tuhanku dan aku tidak diberi ilmu kecuali sedikit.}

Maka Allah beri jawapan tentang roh dalam surah Isra’ & dua lagi kisah Allah jawab dalam surah al-Kahfi ini.
Maka munasabahlah duia surah ini duduk berdekatan.

  1. Munasabah ketiga:
    i- Dalam surah Isra’ Allah kata dalam ayat 85- sedikit saja ilmu yang Allah beri kepada manusia.

ii- maka datang dalam surah Kahfi ini kisah Nabi Musa & Khadir-sebagai dalil amali bahawa kita tak perlu besar kepala kerana ilmu kita hanya sedikit berbanding dengan ilmu Allah.
Allah juga telah berfirman:

{Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.} (Al-Kahfi 18:109)

  1. Munasabah keempat:
    i- dalam surah Isra’ Allah kata: {… kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke Padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk.} (Al-Israa’ 17:104)

ii- maka datang surah ini Allah detailkan cerita tentang hari Kiamat dalam ayat 98 sehingga ayat 100.

  1. Munasabah kelima:
    i- penutup surah Isra’ Allah nyatakan bahawa al-Quran itu turun dengan penuh kebenaran dan isi kandungannya membawa kebenaran juga!

ii- maka datang surah ini Allah nyatakan tentang al-Quran yang diturunkan kepada orang beriman maka tak perlulah kamu layan orang kafir itu.

Penutup #

  1. Alhamdulillah inilah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada surah Al-Kahfi ini.
  2. Insya’ Allah besok dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya bermula dari ayat 1.
  3. Terdapat beberapa Kitab yang dapat membantu untuk kita belajar tafsir surah ini:

i- nota Surah al-Kahfi yang pertama yang telah dibukukan:

Tafsir Surah Al-Kahfi
https://dartaibah.com/…/NEW-Tafsir-Surah-al-Kahfi

ii- buku dajjal:
Dajjal
https://dartaibah.com/…/*Buku-Baru-Dajjal-Hakikat

Tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 15/07/2026 – 29 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1004033315780522&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top