View Categories

(2) Surah Al-Kahfi: Ayat 01-06

14 min read

Kaifiyat Puji Allah S.W.T, Peranan Al-Quran & Menolak Pembohongan Kafir

Live Kuliah Pagi Khamis 16/07/2026 – 01 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (02) Ayat [01-06]

Full video: https://youtu.be/mphd72y7GXw?si=GN8wzWlv0gdJa5TD

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Kahfi dengan ayat 01 sehingga ayat 06 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam ayat ini Allah nyatakan bagaimana cara kaifiyat untuk kita memuja & memuji Allah s.w.t, Tuhan yang Maha sempurna yang hanya Dia layak untuk kita puja-pujinya.
  3. Kemudian Allah nyatakan peranan al-Quran iaitu pemberi khabar gembira (basyir) bagi orang yang beriman & beramal soleh & pemberi amaran (nazir) bagi orang yang kafir & derhaka kepada Allah.
  4. Allah juga nyatakan betapa buruknya kata-kata fitnah orang kafir terhadap Allah seperti ada anak dalil pembohongan kafir.
  5. Kemudian Allah tenangkan hati Nabi s.a.w agar jangan sedih dengan penolakan & penentangan puak kafir terhadap dakwahnya. PAstilah Nabi s.a.w rasa sedih kerana tujuannya mahu menyelamatkan mereka yang kafir itu. Begitulah setiap dakwah itu pasti ada penyokong & penentangnya.
  6. Begitulah ketetapan Allah ada orang yang menerimanya dhn hato yang tenang ada yang menolaknya dengan hati keras. Kita minta perlindungan Allah dari dibiarkan terumbang-ambing tanpa pedoman!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا ۜ ‎﴿١﴾

Ayat 1- {Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):} (Al-Kahfi 18:1)

  1. Kita mengagungkan & membesarkan dengan memuji Allah dengan semua sifat-Nya yang Maha tinggi dengan penuh kecintaan. Semua sifat Allah itu sempurna, baik belaka, kita puji juga dengan nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita yang zahir & batin, nikmat agama Islam & nikmat dunia.
  2. Serta nikmat yang terbesar Allah hantar Nabi s.a.w & turunkan al-Quran yang menjadi panduan hidup kita untuk selamat dunia Akhirat. Maka siapa nak selamat berpeganglah kepada al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.
    *Terdapat 5 surah dalam al-Quran ini yang dimulai dengan Segala puji bagi Allah {الحمد}.
  3. Segala puji bagi Allah juga yang menjadikan al-Quran itu sifatnya lurus, tanpa belot, bengkok & seleweng. Iaitu al-Quran yang diturunkan ini hukum-hakamnya adil, maklumatnya tepat & cerita & faktanya betul. Tiada sedikitpun kebengkokannya!
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.} (Az-Zumar 39:28)
  5. Jika kita perhatikan dalam tulisan ayatnya ini terdapat huruf sin kecil (س) atas perkataan ini: {عِوَجَاۜ}- kata ulama’ tafsir ini menunjukkan:
    i- kita kena berhenti sekejap tanpa menarik nafas (السكتة) kemudian teruskan dalam nafas yang sama. Bukan berhenti atau waqaf terus.
    ii- ini kerana jika disambung terus maksudnya seoalah akan bertentangan antara dua perkataan itu {عِوَجَاۜ- sesuatu yang bengkok (terpesong)} &
    {قَيِّمًۭا- tetap benar}.
  6. Nota [704] Allah Ta’ala mulakan surah ini dengan mengajar kita supaya memujiNya dan bersyukur kepadaNya kerana nikmat Islam yang besar dengan menurunkan Kitab Suci Al-Qur’an kepada hambaNya dan pesuruhNya Muhammad s.a.w, dalam keadaan bersih kandungannya dari sesuatu yang menyeleweng atau bertentangan.

قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا ‎﴿٢﴾

Ayat 2- {(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.} (Al-Kahfi 18:2)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah nyatakan sifat al-Quran yang benar lagi lurus tanpa seleweng;
    ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan tugas & fungsi al-Quran.
  2. Iaitu Allah nyatakan keadaan & sifat al-Quran itu sebagai sesuatu yang teguh, tetap benar {قَيِّمًۭا}, menjadi pembimbing kepada manusia dan pengawas {مهيمن} kepada kitab yang terdahulu.
  3. Kemudian Allah nyatakan fungsi & tugas al-Quran iaitu:
    i- untuk memberi amaran {لِّيُنذِرَ} (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dunia & Akhirat.
    ii- dan memberi berita gembira {وَيُبَشِّرَ} kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh
    *Fungsi al-Quran ini sudah banyak didatangkan dalam ayat-ayat lain.
  4. Nota [705] Al-Qur’an tetap benar dan tepat segala yang terkandung di dalamnya. Al-Qur’an juga menjadi pengawas dan penjaga segala kebaikan dan kepentingan dunia dan akhirat yang diperlukan oleh umat manusia. Ia juga menjadi pengawas dan penjaga Kitab-kitab Suci yang diturunkan dahulu, dengan jalan menetapkan kebenarannya dan menerangkan perkara-perkara salah yang timbulnya dari pindaan dan tokok-tambah yang dilakukan oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian itu).

مَّاكِثِينَ فِيهِ أَبَدًا ‎﴿٣﴾‏

Ayat 3- {Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.} (Al-Kahfi 18:3)

Iaitu orang yang beriman Allah akan sediakan mereka syurga yang akan mereka huni dan kekal berada di dalamnya selama-lama.

Mereka akan kekal di dalam nikmat yang Allah sediakan selama-lamanya {أَبَدًۭا} tak putus & tak akan hilang selamanya!

وَيُنذِرَ الَّذِينَ قَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ‎﴿٤﴾‏

Ayat 4- {Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.} (Al-Kahfi 18:4)

Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas dinyatakan amaran umum untuk semua orang yang ingkar derhaka!
ii- datang ayat ini datang menyatakan dosa & kesalahan khas segolongan manusia yang mendakwa Tuhan itu anak!

Nota [706] Yakni sebagaimana yang didakwakan oleh kaum musyrik Arab yang mengatakan bahawa malaikat: anak Tuhan; dan kaum Kristian yang mengatakan bahwa Nabi Isa a.s.: anak Tuhan; serta kaum Yahudi yang mengatakan bahawa ‘Uzair: anak Tuhan.

Kita orang Islam yang beriman kita katakan Allah itu: {“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;} (Al-Ikhlaas 112:3).

Maka jangan tersalah kita turut bergembira merai perayaan golongan yang mendakwa Tuhan itu ada anak dan menyambut hari kelahiran anak tuhan!

Begitu juga apabila ada agama lain mahu neggunakan nama Allah untuk tuhan mereka kita kata; tidak! Kerana Allah itu adalah Tuhan yang tidak ada anak & tidak diperanakkan!

مَّا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ وَلَا لِآبَائِهِمْ ۚ كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ ۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا ‎﴿٥﴾

Ayat 5- {(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.} (Al-Kahfi 18:5)

  1. Allah katakan semua mereka yang mendakwa Tuhan ada itu mereka, tok nenek mereka semua sesat kerana mereka mendakwa sesuatu yang mereka tidak ketahui, yang mereka tiada ilmu tentangnya! Hanya tuduhan & sangkaan yang buruk saja!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.} (An-Nisaa’ 4:157)
  3. Allah amat murka dengan perbuatan & perkataan mereka itu dengan mengatakan:
    i- besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka;
    ii- mereka hanya mengatakan perkara yang dusta- terhadap Tuhan bukan terhadap sesama makhluk!
  4. Nota [707] Dakwaan kaum kafir yang mempersekutukan Allah dengan anak-pinak itu sebenarnya tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, hanyalah rekaan dusta yang berlanjutan dalam kalangan mereka turun-temurun.
  5. Kita orang beriman kena kembali kepada wahyu baru kiat selamat jangan dok main ikut apa yang tok nenek kata begitu, buat begini!

 فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَّفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا ‎﴿٦﴾

Ayat 6- {Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.} (Al-Kahfi 18:6)

Allah s.w.t menasihat memberi semangat kepada Nabi s.a.w agar jangan menyakiti dirinya kerana amat kecewa & dukacita akibat penolakan & penentangan puak kafir!

Allah tenangkan hati Nabi s.a.w bahawa bukan salah atau kelemahannya jika puak kafir tidak mahu beriman! Ini kerana:
i- kerja Baginda hanya menyampaikan bimbingan (هداية الإرشد) ajaran apa yang diwahyukan Allah;
ii- manakala hidayah petunjuk (هداية التوفيق) untuk membuka hati mereka untuk beriman itu adalah di bawah kuasa Allah!

Nota [708] Yakni kaum engkau wahai Muhammad enggan juga beriman kepada Al-Qur’an dan enggan memeluk Islam sebagaimana yang engkau harap-harapkan, jangan engkau membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita terhadap mereka. Tugasmu hanya menyampaikan perintah Allah, dan Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Yakni kuasa kita hanya setakat berdakwah memberi ilmu, maklumat dan bimbingan kepada sesama manusia- manakala untuk memberi hidayah petunjuk itu di bawah kuasa Allah.

Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
i- {Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.} (Asy-Syu’araa’ 26:3)
ii- {Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.} (Faatir 35:8)

Penutup & Faedah #

Ayat 1- {Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran,…}– dalam ayat ini Allah s.w.t puji diri-Nya sendiri untuk mengajar hamba-Nya supaya memuji Allah juga!

Kerana Allah telah beri kebaikan & nikmat yang amat besar kepada kita dengan mengutuskan seorang rasul & menurunkan kitab al-Quran yang menyebabkan kita aman & iman di dunia & selamat di Akhirat.
Allah telah beri kepada kita agama Islam maka kita puji Allah selama-lamanya atas segala-galanya! Allah telah anugerahkan kepada kita nikmat yang besar iaitu Allah telah turunkan kitab al-Quran ke atas kita hamba-Nya.
Maka kita kena belajar al-Quran & beramal dengannya. Jika tidak tak ada faedah, ada nikmat, tahu kelebihan tetapi tidak beramal dengannya maka itu adalah manusia yang rugi!

Ayat 1- {… dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):}– Allah tidak menjadi al-Quran itu bengkok bahkan ia adalah sesuatu yang tetap lagi benar.
Ini adalah kaedah penyucian sebelum pengisian Takhliyah qabla al-Tahliyah (التخلية قبل التحلية) yang digunakan oleh ulama’ iaitu:
i- kita bersihkan sesuatu bekas atau tempat daripada kekotoran dulu;
ii- sebelum kita masukkan sesuatu yang baik ke dalamnya.
Dalam ilmu penyucian jiwa (Tazkiyatun Nafs), konsep ini bermaksud “Mengosongkan atau membersihkan diri daripada sifat buruk, barulah menghiasinya dengan sifat yang baik”.
Maka Allah nafikan al-Quran itu bengok {عِوَجَاۜ} & terseleweng tetapi ia adalah sesuatu yang {قَيِّمًۭا} tetap lagi benar.

Ayat 2- {.. turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh,..}- dalam ayat ini Allah nyatakan fungsi al-Quran.
Ini adalah dua perkara yang wajib selari:
i- untuk memberi amaran kepada orang-orang yang ingkar dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah (inzar);
ii- dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh (basyir).
Begitulah uslub kita pengikut al-Quran dalam berdakwah- wajib ada khabar gembira & peringatan ibarat burung yang terbang dengan dua sayap.
Jika tidak pincanglah dakwah kita kerana:
i- jika basyir saja tiada inzar orang akan gembira dan lagha tak takut!
ii- jika nazir saja orang akan jadi sentiasa kecewa & takut!

Ayat 2- {… dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh,}– dalam ayat ini Allah nyatakan siapa yang layak untuk menerima khabar gembira ini.
Ini menunjukkan bahawa iman & amal wajib selari dan bersama.
Jika iman saja tanpa amal itu sekular dan menjadi pegangan puak murjiah dulu yang mengatakan cukup dengan beriman saja.
Sedangkan dalam ayat ini Allah nyatakan wajib ada amal apabila sudah beriman. Begitulah pegangan kita ahli Sunnah wal Jamaah.

Tiga syarat amalan untuk menjadi soleh:
A) Mesti bertepatan & selari dengan apa yang diajar oleh Nabi s.a.w. Jika bercanggah dengan apa yang diajar oleh Nabi s.a.w walaupun nampak baik ia bukan amalan soleh.
Jangan kita berani-berani menyatakan sesiapa yang hafaz qasidah atau zikir tertentu atau apa-apa saja; akan dijamin syurga!!! Sedangkan kita tiada dalil dari al-Quran atau hadis Nabi s.a.w yang sahih. Siapa yang ada authority untuk jamin kamu syurga selain Allah s.w.t????
Jangan kita ajar yang pelik tetapi ajar yang sahih!

Ayat-ayat ini menunjukkan kita wajib ikut Nabi s.a.w:
i- {Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).} (Al-Hasy-r 59:7)
ii- {Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).} (An-Nisaa’ 4:80)
iii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (A-li’Imraan 3:31)
iv- {Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?} (Asy-Syuura 42:21)

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa kita wajib mengikut Rasulullah s.a.w.
B) Syarat kedua orang yang beramal itu wajib ikhlas kepada Allah s.w.t jika tidak rosak dan sia-sia amalan itu.
C) Syarat ketiga- amalan itu mestilah dibina di atas tapak & asas yang kukuh iaitu iman! Jika tidak tiada pahala- jika tidak beriman buatlah amal baik sebanyak mana pun tiada pahala!

Kerana itu kata ulama’:
i- tidakkah bagi syurga itu ada kunci iaitu kalimah syahadah:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ – tetapi tidak kata mengucap saja terus dpty masuk syurga- kerana:
ii- bagi setiap kunci itu ada bentuk giginya yang tertentunya pula- maka gigi bagi kunci syurga itu tiga syarat untuk amalan diterima ini!

Ayat 4- {Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.}- dalam ayat ini sebut khas dosa & kesalahan orang kafir yang kata Tuhan ada anak.
Kerana itulah kita pesan selalu kepada umat Islam setiap kali datang hujung agar jangan sesekali turut merai perayaan krismas puak kafir yang menyambut kelahiran anak Tuhan bagi mereka! Kerana jika kita suka atau sokong mereka- kita juga akan bermasalah!
Allah amat marah dan mengecamnya dengankeras sekali di sini dengan mengatakan besar sungguh perbuatan syirik & besar jenayah orang yang tiada ilmu mengatakan tuduhan yang pelik-pelik kepada Allah.
Kata ulama’ tadabbur: Ini juga peringatan kepada kita jangan pandai-pandai mengatakan perkara ini halal, itu haram,itu boleh atau tidak kecuali ada wahyu dari Allah melalui al-Quran atau hadis Nabi s.a.w yang sahih.
Maka sesiapa yang kata kepada Allah tanpa ilmu maka- besar juga kesalahannya walaupun tidak sampai syirik- maka jangan berani buat perkara yang Allah larang!
Kata ulama’ juga: Semua cerita yang tak sama dengan yang diceritakan itu adalah bohong!
Maka jangan berani dok baca hadis-hadis palsu semata-mata untuk mempertahankan doktrin yang dibawa- jangan sama sekali!

Ayat 6- {Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.}– kamu jangan sedih jika orang tak terima dakwah kamu!
Allah ajar kepada Nabi s.a.w- jangan bersedih & kecewa, jalankan tugas, teruskan dakwah kamu- hasilnya serahkan kepada Allah!
Sama seperti kita hari ini- setiap masa sok ajar pelajar tua pelajar muda tentang- contoh seperti kebaikan saf depan,samakan saf jangan dok mula tepi dinding dulu, ajar baca zikir selepas solat seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w; tetapi tetap degil buat apa yang dia amal itu juga.
Maka nak kata apa lagi- kita telah menjalankan tugas menyampaikan; orang terima alhamdulillah, orang tak terima diapunya pasal!
Ayat ini Allah bagi penenang kepada hati Nabi s.a.w bahawa kamu telah menjalankan tugas, tetapi bukan kuasa kamu untuk memberi hidayah; orang tak terima tak beriman itu bukan salah kamu!
Sebagaimana firman Allah ini:
{Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).} (Al-Qasas 28:56)
Kita pun begitulah kita menjalankan tugas menyampaikan; orang terima alhamdulillah, orang tak terima pun alhamdulillah kerana kita telah menjalankan tugas dengan menyampaikan kebenaran.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Isra’ pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Untuk mendapatkan buku-buku seperti yang dinyatakan DDAAM sila ke: www.dartaibah.com

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 16/07/2026 – 01 Safar 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1005121639005023

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top