View Categories

(7) Surah Al-Kahfi: Ayat 19-20

12 min read

Pemuda Ashab Al-Kahfi Sedar, Mereka Mencari Makanan & Pesan Rahsiakan Tempat

Live Kuliah Pagi Isnin 27/07/2026 – 12 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (07) Ayat [19-20]

Full video: https://youtu.be/UdSZ7KY_IFw?si=tIP80Dx0C9iZ6rfj

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 19 sehingga ayat 20 dalam juzuk kelimabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan pemuda Ashab Al-Kahfi sedar dari tidur mereka yang panjang itu, kemudian mereka saling bertanya sesama sendiri berapa lama mereka sudah tertidur.
  3. Mereka kemudian berasa lapar lalu mereka berusaha mencari makanan dengan hantar seorang wakil untuk keluar dari gua turun ke bandar asal mereka dulu.
  4. Mereka juga berpesan agar bercakap baik-baik dengan orang ramai, cari makanan yang halal dan jaga rahsia gua tempat perlindungan mereka itu.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang keadaan mereka di dalam gua & jagaan Allah ke atas mereka; dengan matahari yang naik turun dalam gua mereka pada waktu pagi & petang, Allah balik-balikkan tubuh mereka agar tidak rosak serta Allah jaga dari pencerobohan.

ii- kemudian datang ayat ini Allah nyatakan mereka sudah sedar dan bangun dari tidur mereka yang lama itu.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۚ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ‏

Ayat 19- {Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur;…} (Al-Kahfi 18:19)

  1. Akhirnya Allah jadikan pemuda Ashab Al-Kahfi sedar dari tidur mereka kemudian saling bertanya sesama mereka berapa lama mereka sudah tertidur.

Mereka menyangka mereka hanya tidur sehari atau setengah hari saja
{قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۢ}!

*Kata ulama’: Ini menjadi dalil tiada perubahan pada tubuh mereka- yang dijaga Allah.

  1. Nota [722] Yakni sebagaimana Allah Ta’ala menidurkan mereka beratus-ratus tahun lamanya dalam keadaan sihat dan selamat, demikian juga mereka dibangkitkan dalam keadaan tidak jejas sedikitpun, sehingga mereka sendiri tidak menyedari apa yang terjadi kepada mereka, bahkan ada di antaranya yang menyangka bahawa mereka tidur hanya selama sehari atau kurang dari itu.
  2. Tujuan Allah sedarkan mereka itu untuk menunjukkan kekuasaan Allah.

Ini kerana apabila mereka bangun mereka tidak melihat apa-apa perubahan yang pelik pada fizikal mereka!

Rambut & kuku mereka tetap seperti dalam keadaan mereka mula-mula masuk ke dalam gua mereka itu!

  1. Allah ceritakan dialog antara mereka:
    i- Salah seorang di antaranya bertanya kepada sesama mereka: “Berapa lama kamu tidur?”

ii- sebahagian dari mereka yang lain menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”.

*Kata ibnu Kathir  ini kerana masuk dalam gua dan tidur di awal pagi kemudian mereka bangun di akhir atau petang hari pula!

  1. Setelah berteka-teki & berdebat tanpa jawapan yang tepat (tak pecah beras- Kelate kata) tentang berapa lama telah mereka tidur; akhirnya mereka menyerahkan urusan itu kepada Allah iaitu sebahagian lagi dari mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; {قَالُوا۟ رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ}.

*Begitulah juga kita – apabila tak ada ilmu & pengetahuan tentang sesuatu, apabila sedang buntu- kita serahkan urusan & jawapannya kepada Allah.

فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا ‎﴿٩١﴾

Ayat 19- {… sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.} (Al-Kahfi 18:19)

  1. Kemudian apabila bangun mereka terasa lapar lalu mereka mengutus salah seorang daripada mereka untuk keluar dari gua dan pergi mencari makanan yang baik untuk mereka makan.
  2. Mereka berpesan kepada wakil kawan mereka yang akan pergi mencari makanan itu beberapa pesanan- pertamanya cari makanan yang baik {أَزْكَىٰ طَعَامًۭا}.
  3. Kata ulama’ maksudnya perkataan makanan yang baik {أَزْكَىٰ طَعَامًۭا} itu ialah:
    i- makanan yang baik, yang murah dan mencukupi dengan duit mereka;
    ii- pastikan ia halal & bersih;
    iii- pekedainya muslim dan pastikan ia disembelih ikut Syari’ah;
    iv- makanan yang baik & banyak.
  4. Mereka berpesan lagi kepada utusan yang akan pergi membeli makanan untuk:

i- kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; bawa makanan itu balik ke gua untuk mereka makannya bersama, jangan dok makan seorang pula!

ii- dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); agar tidak menimbulkan masalah dan menyebabkan mereka disedari orang;

iii- dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

Sama saja tujuannya agar tidak menimbulkan syak & perhatian orang ramai terhadap mereka!

iv- kemudian kembalilah ke gua secara rahsia dengan hati-hati- agar jangan terbongkar tempat persembunyian mereka itu!

  1. Begitu sekali mereka beringat dan mengambil langkah berhati-hati agar selamat & tidak terbongkar kedudukan & tempat persembunyian mereka!
  2. Itulah pentingnya untuk kita merancang strategi & mengambil langkah yang tersusun dalam dakwah.

Untuk menyelamatkan agama, akhlak & dakwah kita kena ada strategi.
Bukan kata hanya hentam atau rempuh begitu saja.

إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا ‎﴿٠٢﴾‏

Ayat 20- {“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.} (Al-Kahfi 18:20)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas mereka berpesan kepada kawan mereka yang akan turun membeli makanan dengan pesanan yang sangat berhati-hati dan terperinci.

ii- semua langkah berjaga-jaga itu kerana mereka takut akan tertangkap dan disiksa oleh kaum mereka yang kafir itu, memaksa agar mereka kembali murtad kepada agama asal.

  1. Dalam ayat ini Ashab al-Kahfi sangat berhati-hati dan berpesan-pesan dengan terperinci kepada kawan yang akan turun semula ke bandar kerana mereka takut & tidak mahu rahsia mereka terbongkar dan akibatnya yang buruk iaitu:

i- tentulah mereka (kaum mereka yang kafir) akan merejam dengan membunuh kamu (Ashab al-Kahfi),

ii- atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka secara paksa;

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada agama kami”. Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?} (Al-A’raaf 7:88)

*Ayat ini sama- betapa Allah gambarkan betapa jahatnya puak kafir itu memberi tekanan kepada orang Islam- kerana mahu mereka murtad meninggalkan Islam!

  1. Di akhir ayat mereka berkata lagi:
    i- Jika berlaku demikian- iaitu jika mereka tertangkap dan terpaksa murtad kembali kepada agama asal;

ii- maka rugi sekali kerana orang kufur tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya- jika kita tidak mendapat penjagaan & inayah dari Allah pasti kita akan kembali murtad!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 19- {Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri..}– kata ulama’ tadabbur- ayat ini menggalakkan kita untuk menuntu ilmu & berbincang!

Allah sedarkan Ashab al-Kahfi untuk mereka berbincang dan Allah sedarkan kita dari kealpaan supaya kita juga berbincang!

Kita berfikir merenung untuk apa Allah jadikan kita, kenapa Allah berikan kita sesuatu itu, begitu & begini!

Kita kata Allah yang Maha mengetahui buat dan beri kepada kita begitu-begini- maka kita kena menuntut ilmu & buat kajian- bukan hanya menerima saja tanpa soal-siasat dan dalil.

Jangan malas buat siasatan dan kajian, terima saja saja apa yang sampai kepada kita tanpa menapis dan menyiasatnya.

Inilah bahayanya pakcik-makcik yang suka main hp ini, aktif media sosial terdedah kepada video-video dari ustaz-ustazah segera tik-tok yang bawa pelbagai hukum atau amalan yang tidak pasti kesahihannya.

Kita kena buat kajian, muhasabah untuk memahami sesuatu isu, bukan hanya pakai terima, kena ada maklumat untuk perbetulkan pemahaman dan persepsi.

Apabila kita tiada ilmu, kita tak tahu & tak pandai nak tapis apa yang benar & apa yang tidak benar!

Inilah kepentingan ilmu & kajian- kena ada maklumat yang tepat bukan hanya tangkap-muat!

Kebetulan dengan isu Rohingya sekarang ini- sebuah buku yang menarik untuk kita baca bagi lebih memahami suasana dan keadaan sebenarnya, bertajuk-
“Rohingya, Bangsa Yang Terjajah”,
boleh didapati di:
https://dartaibah.com/…/Rohingya-Bangsa-Yang-Terjajah

  1. Ayat 19- {(Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur;}– seorang yang cerdik dari mereka terus berkata hanya Tuhan yang mengetahui tentang berapa lamanya mereka tidur itu.

Ini selepas mereka bangun dari tidur dan saling bertanya dan berbincang tentang berapa lama mereka telah tidur setelah masuk ke dalam gua itu!

Ada yang kata sehari ada kata setengah hari dan bermacam lagi- tetapi tak dapat kepastian kerana tiada siapa yang tahu yang sebenarnya.

Maka jalan yang mudahnya tak perlu berkelahi dan berdebat sesama kita- kerana tak akan tahu juga; maka kita serahkannya kepada Allah!

Begitulah orang beriman tak perlu cakap banyak terus kembali kepada Allah!

Ini kerana ada perkara kita tak boleh nak dapat jawapan segera, perlu kepada kajian dan siasatan baru keluar jawapannya!

Kata ulama’ tadabbur: Inilah adabnya apabila kita telah habis usaha & kaji- tetapi tetap tak dapat maklumat- maka kita serahkan kepada Allah- ilmu kita hanya setakat itu.

Tak perlu rempuh masuk dalam kawasan yang bahaya & berisiko- tak ada ilmu & maklumat jangan rempuh masuk sehingga boleh menimbulkan salah faham, buat andaian atau terperangkap dalam fahaman sesat & salah pula!

  1. Ayat 19- {… sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar;}-
    Ashab al-Kahfi melantik salah seorang daripada mereka sebagai wakil untuk keluar dari gua & mencari makanan dengan membawa duit yang mereka ada.

Kata ulama’: Ayat ini menunjukkan kepada beberapa hukum dalam Syari’ah dan membawa kepada perbahasan yang panjang.

Pertama: Bahawa jika kita nak bermusafir atau berjalan ke mana-mana kita kena ada persediaaan dan bekalan dulu baru tawakkal kepada Allah.

Mengambil langkah yang sepatutnya secara normal kemudian barulah bertawakkal kepada Allah.

Ikatlah unta dulu kemudian tawakkal kepada Allah, kunci rumah atau kereta dulu kemudian barulah bertawakkal kepada Allah, bawa bekalan kepada tawakkal kepada Allah.

Yakni wajib ambil langkah berjaga-jaga & usaha keselamatan atau bekalan dulu baru serahkan urusan kita, tawakkal kepada Allah!

Kedua- Allah nyatakan kuasa-Nya boleh Dia menjaga mereka ini tidak mati hancur walaupun tidak makan & panjang masa.

Gua tempat mereka bersembunyi itu pula tidak jauh dari bandar asal mereka.

Ashab al-Kahfi ini telah melakukan sebagaimana hadis Nabi s.a.w supaya kita lari menyendiri ke bukit-bukit apabila fitnah terhadap agama tidak dapat dibendung & dilawan lagi; boleh mengancam nyawa dan aqidah kita!

Ketiga: Ayat ini menjadi asas kepada harusnya kita melantik wakil untuk menjalankan kerja & urusan kita.

Macam dalam kisah Ashab al-Kahfi ini mereka hantar seorang wakil untuk pergi cari makanan yang baik dan bawa pulang ke gua.
Apabila ada wakil tak perlu kita pergi sendiri.

Keempat: Boleh kita satukan duit jemaah atau ahli rombongan sebagai perbelanjaan dan kongsi bersama dalam perjalanan.

Yakni buka tabung khas yang dikutip dan dijaga oleh seseorang yang dilantik sebagai bendahari & wakil untuk berbelanja dan membayar perbelanjaan.

  1. Ayat 19- {… kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ);}– wakil itu diminta untuk keluar mencari makanan yang baik lagi halal.

Ini kerana mereka orang Islam lari kerana nak jaga agama maka mereka perlu menjaga juga hukum makan-minum juga!

*Seperti dalam negara kita hari ini- sokonglah kempen BMF- beli dari peniaga muslim- jika ada pilihan jangan sesekali pilih yang bukan Islam.

Ayat ini menunjukkan kepada beberapa hukum:
i- Pertama kita kena usaha cari makanan baik & halal untuk perut kita!

ii- kedua kena bersifat tenang & berlemah lembut dengan orang jangan bercakap kasar.

iii- ketiga kena jaga rahsia tempat persembunyian agar kita selamat dari ancaman musuh!!

Ini langkah strategi jaga keselamatan
Yakni dalam ayat ini Allah mengajar kepada kita agar:
i- dari sudut makanan- pilih yang terbaik.
ii- dari sudut perkataan- cakap dengan baik & lemah-lembut.
iii- ambil langkah berjaga-jaga, berhati sebagai strategi jaga keselamatan diri!

  1. Ayat 20- {“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa);}– dalam ayat ini Allah nyatakan sebab kenapa mereka begitu berhati-hati mengambil langkah untuk menjaga rahsia mereka itu!

Ini kerana agar mereka selamat, tidak ditangkap dan dibunuh oleh raja atau penduduk negara yang zalim dan kafir itu!

Atau jika tertangkap- mereka akan dipaksa untuk kembali murtad dan kembali kepada agama asal mereka!

Kerana itu para pendakwah jangan mudah-mudah nak mati- kerana siapa yang akan menyambung perjuangan dakwah kita ini.

Dalam ayat ini Ashab al-Kahfi nyatakan kenapa mereka takut:
i- jika orang kafir dapat menangkap mereka dan mengembalikan mereka kepada agama mereka (secara paksa);

ii- dan jika berlaku demikian, mereka tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.

Kenapa begitu sedangkan dalam Islam orang yang dipaksa melakuakan sesuatu dosa atau kesalahan tidak akan dikira dosanya???

Kata ulama’ ayat ini mungkin bermaksud:
i- kerana mereka takut apabila mereka ditangkap oleh kafir; mereka tidak mampu untuk mempertahankan aqidah mereka jika disiksa, diazab diancam oleh puak kafir- lalu jadi murtad sungguh!

ii- pendapat kedua- keuzuran orang yang dipaksa murtad lalu dimaafkan hanya keistimewaan dalam kalangan ummat Nabi Muhammad s.a.w ini saja!

Maka Ashab al-Kahfi itu takut jika mereka murtad mereka akan menjadi orang yang berdosa dan rugilah segala usaha mereka untuk mempertahankan & menjaga agama mereka selama ini!

Maka kita kata alhamdulillah atas keuzuran yang Allah berikan khas untuk kita ini!

Boleh saja jika kita dipaksa, di dalam keadaan mudharat untuk mengakui dengan lidah saja- jangan masuk ke dalam hati!

Seperti kisah seorang sahabat Ammar bin Yasir r.a yang disiksa dan terpaksa mengaku murtad untuk menyelamatkan nyawanya.
Nabi s.a.w memberi akuan perbuatannya tidak salah!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Isra’ pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 27/07/2026 – 12 Safar 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1013552128161974

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top