Mula Kisah Ashab Al-Kahfi, Allah S.W.T Teguhkan Hati Pemuda Beriman & Pegangan Kafir Rekaan Semata

Live Kuliah Pagi Rabu 22/07/2026 – 07 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (05) Ayat [13-15]
Full video: https://youtu.be/f39I9FNLO2I?si=CDT27KNDkSv3vtdW
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 13 sehingga ayat 15 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t mulakan kisah Ashab al-Kahfi yang sebenar.
Yang sebenar kerana hanya Allah s.w.t yang mengetahui tentangnya.
Tidak ada manusia yang tahu tentangnya yang telah berlaku ratusan atau ribuan tahun dahulu, tiada siapa boleh cerita kecuali dengan wahyu dari Allah!
- Allah s.w.t nyatakan mereka adalah pemuda yang beriman, lalu Allah teguhkan hati kuatkan semangat mereka, tambah keimanan mereka sehingga mereka sanggup melarikan diri untuk menyelamatkan agama mereka ke dalam gua yang jauh.
- Kemudian Allah nyatakan pegangan agama puak kafir hanyalah rekaan semata berdasarkan dongeng-dongeng orang terdahulu & ajaran tok-nenek.
Kita tidak begitu, perjalanan agama Islam kita ini berdasarkan wahyu dari Allah melalui lisan Nabi-Nya Muhammad s.a.w.
Amalan kita adalah berdasakan apa yang ditinggalkan oleh Baginda s.a.w.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t bawa sebagai intro atau muqaddimah tentang kisah Ashab al-Kahfi, yang menyebabkan kita nak tahu lebih lanjut lagi tentangnya!
Allah menyatakan jangan kamu sangka ia kisah yang paling pelik & ajaib atas dunia ini; tetapi ia adalah salah satu kisah ajaib yang banyak.
Pengenalan untuk menarik minat orang.
ii- maka apabila datang ayat ini Allah mulai detailkan kisahnya & sebagai kata pemutus tentang pelbagai riwayat, sangkaan dan andaian tentangnya!
Allah kata sekarang Aku ceritakan kisah sebenarnya dengan benar & yakin maka tak perlu kamu ambil dari sumber lain!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿٣١﴾
Ayat 13- {Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.} (Al-Kahfi 18:13)
- Allah kata sekarang Kami ceritakan kepada kamu kisah sebenarnya dengan terperinci tentang Ashab al-Kahfi iaitu sekumpulan pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka yang berlindung di dalam gua.
- Nota [714] Mulai ayat ini, Allah Ta’ala ceritakan perihal “Ashaab’ul-Kahfi” dengan lebih lanjut, untuk menjelaskan kisah mereka yang diterangkan secara ringkas pada ayat-ayat yang lalu.
[715] Yakni bukan seperti yang dikatakan atau yang difaham oleh kaum-kaum Yahudi, Kristian, dan Musyrik, yang tidak berasas.
- Mereka adalah pemuda yang beriman, mengesakan Allah & tidak syirik kepada-Nya sama sekali!
Mereka melarikan diri ke dalam gua untuk menyelamatkan iman & diri mereka daripada penjahat yang menentang agama Islam ketika itu!
*Yakni mereka orang muda yang baik & soleh, menjalankan tugasnya ketika itu!
- Bilakah peristiwa ini berlaku atau waktunya? Kata pakar sejarah Imam Ibnu Kathir :
i- ada orang kata Ashab al-Kahfi ini adalah pengikut Nabi Isa a.s Tetapi kenyataannya tidak begitu- mereka ini adalah lebih awal lagi- iaitu sebelum kedatangan Nabi Isa & turunnya Injil.
*Dia bawa maklumat kemudian komen dan bawa pendapat yang dipilihnya.
ii- hujjahnya kerana jika mereka ini adalah pengikut nasrani pastilah orang yahudi tidak akan mengambil berat & kisahkan tentangnya!
Buktinya apabila Quraisy cuba menjatuhkan Nabi s.a.w dan minta nasihat yahudi ahli kitab- mereka suruh bertanya kepada Nabi s.a.w tentang kisah pemuda yang tidur lama iaitu Ashab al-Kahfi ini!
- Kerana Allah & Nabi s.a.w tidak menyebutnya bila berlaku & di mana tidak perlulah kita mencari mengorek maklumat & fakta yang tidak memberi manfaatnya.
Jika ikut Israiliyyat akan dikorek semua seperti apa nama & jenis anjing mereka, berapa umur mereka, setara mana panjang kuku mereka sebagainya yang boleh menenggelamkan tujuan asal kisah ini- yang dibawa sebagai ibrah & pengajaran!
- Nota [716] Menurut keadaan manusia turun-temurun anak-anak muda lebih mudah menerima kebenaran berbanding dengan orang tua-tua yang telah tenggelam di dalam kesesatan.
Hakikat ini bertambah jelas apabila diketahui bahawa semasa nabi Muhammad s.a.w menyiarkan Islam, orang-orang mudalah yang mula-mula beriman dan menyokongnya, sedang yang tua tetap berdegil dan terus menentangnya- sehingga masuk tanah!
- Kemudian Allah kata: {yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.}- kerana mereka pemuda yang beriman maka Allah tambah kepada mereka:
i- keimanan,
ii- ilmu mengetahui perkara yang benar,
iii- amalan soleh.
- Yakni jika kita beramal dengan apa yang diajar oleh Allah & apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w; Allah akan tambah lagi banyak lagi ilmu & keberkatan hidup yang kita pun tidak terasanya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.} (Muhammad 47:17)
*Inilah pentingnya dalam hidup kita ini untuk sentiasa beriman kepada Allah s.w.t.
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿٤١﴾
Ayat 14- {Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”} (Al-Kahfi 18:14)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas apabila Allah tingkatkan petunjuk kepada mereka;
ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan Dia telah simpulkan pula dalam hati mereka keyakinan yang tidak berbelah bagi, keimanan yang sentiasa kukuh & pegangan yang sentiasa teguh.
- Yakni Allah nyatakan betapa Allah kukuhkan & mantapkan iman mereka; maka kuatlah keazaman & kesabaran mereka!
*Kita akan jadi kuat apabila Allah kuatkan hati kita!
- Kisah ini sama seperti yang Allah ceritakan tentang kegawatan hati ibu Nabi Musa apabila Allah perintahkannya untuk meletakkan anaknya Musa di dalam bekas & hanyutkannya di dalam sungai- tetapi apabila Allah kuatkan hatinya dia pasrah & redha dan yakin kepada janji Allah:
{Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).} (Al-Qasas 28:10)
- Nak ceritakan agar kita jangan besar kepala & bangga dengan ilmu yang terbatas!
Ilmu yang kita ada tidak seberapa berbanding dengan ilmu Allah yang meliputi segala sesuatu.
- Allah kuatkan hati mereka apabila mereka sanggup bangun untuk berdakwah menegakkan agama Allah & sanggup bangun menegakkan kebenaran di hadapan raja mereka yang kafir pada masa itu!
- Mereka dengan yakin & berani berkata:
i- “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; hanya Allah Tuhan Pencipta & Pemilik alam ini!
ii- kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; Allah yang Esa yang tunggal yang tidak syirik bagi-Nya!
Mereka tidak mahu sembah selain Allah seperti orang ramai pada masa itu di negeri mereka.
iii- jika kami syirik menyembah yang lain daripada Allah bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.
- Nota [717] Kerana iman mereka yang mendalam, Allah Ta’ala kuatkan hati mereka mempertahankan Tauhid dan berterus-terang menolak penyembahan berhala yang dipaksakan oleh rajanya.
هَٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ آلِهَةً ۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا ﴿٥١﴾
Ayat 15- {(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.} (Al-Kahfi 18:15)
- Munasabah ayat:
i- apabila para pemuda tadi mengEsakan Allah s.w.t & mereka tolak segala bentuk syirik lalu Allah beri kepada mereka keimanan & taqwa;
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa pendirian mereka jelas iaitu jika ambil jalan yang lain pasti akan syirik dan sesat.
- Tentang ayat ini ada beberapa pendapat:
i- ada ulama’ tafsir kata kenyataan ini adalah perbualan sesama mereka sendiri.
ii- ada ulama’ seperti Ibnu Atiyah pula kata ini adalah sambungan kata-kata atau dakwah mereka di depan raja mereka!
Wallahu a’lam.
*Yang penting samada mereka bercakap sesama mereka atau berkata kepada raja mereka- itu adalah pendirian Ashab al-Kahfi!
- Mereka minta kaum mereka yang syirik juga bawa hujjah yang menunjukkan benar dakwaaan & pegangan mereka!
Tetapi tiada apa hujjah dalil yang boleh kafir bawa kerana semua dakwaan mereka itu adalah batil & tiada asas hujjah.
- Tidak ada perkataan yang lebih zalim selain daripada orang yang membuat tuduhan palsu terhadap Allah seperti mengatakan Tuhan ada anak, isteri dan seumpamanya!
Semua itu adalah satu pembohongan & kejahatan yang wajib dihapuskan & dibanteras!
Penutup & Faedah #
- Ayat 13- {Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar;}- Allah kata cerita yang dibawanya ini adalah cerita yang benar, bukan cerita rekaan dan buatan manusia!
Maka janganlah kamu ambil cerita lain yang penuh dengan rekaan & tokok-tambah untuk menjadikan cerita itu menarik seperti cerita Israiliyyat!
*Banyak kerosakan yang datang melalui Israiliyyat ini kerana ia membawa kita lari dari tujuan asal Allah bawa sesuatu kisah sebagai pengajaran & ibrah!
Bilangan mereka adalah sedikit saja, tidak sampai 10 orang kerana Allah kata mereka adalah {فِتْيَةٌ} iaitu sekumpulan kecil pemuda.
Allah bawa secara detail kisah mereka ini untuk kita mengambil pengajaran & iktibar- bukan untuk ambil gambar atau nama-nama mereka untuk dibuat tangkal, pelaris dan seumpamanya yang karut-marut!
Diakhir ayat Allah kata: {… dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk- وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى}– yakni sesiapa yang beriman akan diberi petunjuk oleh Allah s.w.t.
Besarnya peranan keimanan kepada Allah, keteguhan jiwa & istiqomah.
- Ayat 13- {… dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.}
Ibnu Kathir r.h membuat analisa dari ayat ini {وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى}:
Ayat ini menjadi dalil bahawa iman itu bertambah & berkurangan.
Sebagaimana firman Allah dalam ayat-ayat berikut:
i- {Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.} (Muhammad 47:17)
ii- {Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).} (At-Taubah 9:124)
iii- {(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada;} (Al-Fath 48:4)
Serta banyak lagi ayat-ayat yang menunjukkan iman manusia ini boleh bertambah & berkurang- maka hati-hatilah kita!
Maka apakah yang boleh menambahkan iman?
Jawapannya:
i- melakukan ketaatan akan menambah iman;
ii- sesiapa yang buat maksiat imannya akan turun & berkurangan.
- Ayat 14- {Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian),…}- iaitu sesiapa yang taat kepada Allah- Allah akan kuatkan hatinya, teguhkan pegangannya & mantapkan aqidahnya.
Ini akan menyebabkan segala masalah & kesusahan yang berlaku adalah kecil bagi mereka.
Mereka juga mempunyai sifat sabar yang amat tinggi.
Kerana itu kita orang beriman sangat berhajat agar Allah simpulkan hati kita dengan keimanan & kekuatan yang jitu.
Ini kerana tanpa keyakinan & kekuatan jiwa yang tinggi- kita akan mudah jatuh & lemah apabila berhadapan dengan musuh Islam!
- Ayat 14- {… semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi;..}– Apabila para pemuda itu bangun bangkit- Allah beri hidayah kepada mereka & mereka bersyukur atas anugrah yang Allah beri kepada mereka!
Yakni apabila mereka bangkit mereka berkata: {“Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi.} iaitu mereka bersyukur dengan nikmat anugerah yang Allah berikan kepada mereka!
Ia juga menunjukan tauhid ar-Rububiyyah- iaitu Tuhan yang mencipta langit.
Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini-
﴿رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ﴾
“Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi;} ini ialah Tauhid Rububiyyah.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Wahbah dalam Tafsirnya al-Munir: Tauhid Rububiyyah ini adalah sesuatu yang dikenali & diterima oleh penyembah berhala yang mengakui adanya Tuhan pencipta alam ini & berhala mereka sebagai pedamping kepada Allah.
*Tetapi tauhid Uluhiyyah (hanya Allah Tuhan yang berhak disembah) mereka tak mahu terima kerana mereka nak sembah juga berhala mereka itu!
Sebagaimana firman Allah ini:
{Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).} (Luqman 31:25)
Kata ahli sejarah raja zalim yang memerintah pada waktu Ashab al-Kahfi itu bernama Daqyanus (دقيانوس).
*Raja Daqyanus (dikenal dalam sejarah sebagai Decius) adalah seorang penguasa zalim di wilayah Efesus (kini Turki modern) yang hidup sekitar tahun 249–251 M.
Ia terkenal dalam sejarah Islam kerana kekejamannya yang memaksa rakyat menyembah berhala, yang menjadi latar belakang kisah Ashab al-Kahfi. (Wikipedia)
Walaupun terdapat banyak cerita sekitar kisah Ashab al-Kahfi ini- tetapi kita mahu para jemaah kita mengambil ibrah pengajaran lebih daripada mendengar cerita saja!
Ini adalah istinbat kepada ayat-ayat ini.
Ayat 15- {(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu?}-
Ashab al-Kahfi ini bercakap sesama mereka atau mereka berkata di depan raja bahawa:
Kaum mereka ini menyembah sesuatu selain dari Allah tanpa dalil dan bukti atau hujjah keterangan yang nyata, semata-mata atas dasar ikut perbuatan datuk-nenek.
Ini adalah satu perbuatan yang dianggap sangat teruk & pembohongan terhadap Allah!
Hadis arahan untuk keluar berhijrah jika kita rasa tak selamat agama & aqidah untuk terus berada di sesuatu tempatn itu:
i- Hadis untuk keluar menjauh ke gunung ketika fitnah.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Hampir tiba suatu masa di mana sebaik-baik harta seorang Muslim ialah kambing yang digembalakannya di puncak gunung dan di tempat-tempat turunnya hujan, dia lari membawa agamanya daripada fitnah.” (HR al-Bukhari).
Yakni apabila keadaan masyarakat penuh fitnah & maksiat, pemerintah syirik yang zalim, halal-haram tak tahu apa- sehingga agama seseorang terancam, mengasingkan diri boleh menjadi jalan untuk menjaga iman.
ii- Dalam masa sama Nabi s.a.w juga menyatakan bahawa mukmin yang bergaul dengan masyarakat serta bersabar atas kerenah dan gangguan mereka adalah lebih baik dan mendapat ganjaran lebih besar, berbanding mereka yang menyisihkan diri daripada orang ramai tanpa kesabaran.
Hadis daripada Ibnu Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Seorang mukmin yang bercampur (bergaul) dengan manusia dan bersabar atas perlakuan buruk mereka, lebih besar ganjaran pahalanya daripada mukmin yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar atas perlakuan buruk mereka.” [HR Ibnu Majah, No. 4022. Dinilai Sahih]
Yakni jika kamu mampu untuk menjaga agama kamu & berdakwah kepada masyarakat itu duduklah bersama masyarakat, tetapi jika pergaulan tersebut membawa kepada maksiat atau menjejaskan iman, Islam membenarkan penjarakan sosial demi menjaga keselamatan rohani.
Kata DDAAM:
Kesimpulan dari dua hadis ini:
Zaman kita ini masih zaman aman, tak perlu keluar pergi hidup berseorangan ke bukit, di tempat yang tak dengar azan, tak dengar nasihat, jangan terlalu extreme.
Masih banyak pilihan, boleh cari pondok atau tempat yang boleh solat jemaah dengar kuliah dan bercampur dengan orang ramai!
Wallahu a’lam.
Maka sekumpulan pemuda yang beriman ini mengambil langkah yang baik- untuk menyelamatkan agama mereka lari pergi bersembunyi di dalam gua!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 22/07/2026 – 07 Safar 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1009424158574771
Semoga Bermanfaat!
