Keadaan Ashab Al-Kahfi Dalam Gua, Hidayah Milik Allah S.W.T & Anjing Di Pintu Gua

Live Kuliah Pagi Khamis 23/07/2026 – 08 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (06) Ayat [16-18]
Full video: https://youtu.be/5jG5ejYP6uc?si=aOyW5ny2MJWQ5DGJ
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 16 sehingga ayat 18 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang pemuda Ashab Al-Kahfi di mana mereka berbincang bahawa perjuangan mereka semua membawa diri ke dalam gua itu untuk mejaga agama dan untuk menyembah Allah Yang Esa & tidak mahu terjebak dengan syirik dan mungkar yang lain.
- Kemudian Allah nyatakan keadaan mereka dalam gua, iaitu matahari yang naik sebelah kanan & turunnya sebelah kiri mereka.
Allah pusing mereka ke kanan & kiri serta mata mereka dalam keadaan celik seolah tak tidur. Ini antara perkara ajaib, penjagaan Allah kepada mereka!
- Kemudian Allah ceritakan anjing mereka tidur sambil berkawal di muka pintu gua.
Keadaan mereka itu seolah tidak tidur menyebabkan orang takut & tidak kacau mereka semua.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan puak pemuda itu menyatakan aqidah mereka dan menyatakan tidak betulnya pegangan agama penduduk negeri mereka tetapi mereka tidak mampu dan tidak ada kuasa membaikinya kerana mereka adalah golongan tua & berkuasa.
Mereka lalu berbincang sesama mereka apakah strategi yang perlu diambil.
ii- lalu mereka mengambil jalan untuk berundur menyelamatkan diri & agama mereka dari diancam dengan pergi lari menyembunyikan diri mereka di dalam sebuah gua!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا ﴿٦١﴾
Ayat 16- {Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.} (Al-Kahfi 18:16)
- Hasil dari perbincangan pemuda itu sesama mereka- oleh kerana agama mereka berbeza dengan agama kaum mereka yang zalim; lalu untuk menjaga diri & aqidah mereka- mereka ambil keputusan untuk mengasingkan diri dari kaum mereka dan dari apa yang disembah yang lain dari Allah.
*Kata Ibnu Kathir ini adalah percakapan sesama mereka.
- Yakni mereka memilih untuk pergi berlindung di gua itu {ٱلْكَهْفِ}- yakni sebuah gua yang dikenali di kalangan mereka.
Untuk berlindung dan bebas beribadat di dalam gua serta mereka yakin dengan tindakan mereka itu Allah akan menjaga & membantu mereka.
- Mereka ada sekumpulan pemuda yang tinggi keimanan & tawakkalnya kepada Allah.
Mereka yakin dengan pertolongan Allah dan bahawa:
i- Allah akan melimpahkan dari rahmatnya kepada mereka,
Sebagaimana firman Allah ini:
{Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.} (Al-Hajj 22:38) |
ii- dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan mereka dengan memberikan bantuan yang berguna- iaitu Allah akan permudahkan irusan mereka & beri apa yang mereka perlukan lalu mereka akan berada di dalam gua dalam keadaan selamat!
- Begitulah orang yang bertaqwa Allah akan menolongnya & tidak akan membiarkannya.
Sebagaimana firman Allah ini:
{Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.} (At-Talaaq 65: 2 & 3) - Nota [718] Anak-anak muda yang beriman itu berkata demikian sesudah mereka berazam hendak melarikan diri dari penindasan rajanya dan kaum yang kafir supaya mereka bebas menjalankan ugamanya dari sebarang gangguan.
*Semalam kita kata raja itu bernama Daqyanus.
۞ وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ۗ
Ayat 17- {Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. (Al-Kahfi 18:17)
- Munasabah ayat:
i- apabila mereka buat keputusan untuk pergi berlindung di dalam gua untuk menjaga iman mereka & mereka yakin Allah akan menolong mereka;
ii- Allah ceritakan dalam ayat ini keadaan gua itu yang begitu strategik- memberi perlindungan & selesa.
Ini semua menunjukkan jagaan dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang beriman!
- Allah ceritakan keadaan matahari yang turun naik setiap hari di dalam gua di dalam keadaan yang berbeza- memberikan mereka cahaya & zatnya yang mencukupi tanpa memudharatkan mereka dengan cahayanya secara lansung!
- Iaitu keadaan matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu.
- Nota [719] Allah Ta’ala menceritakan keadaan mereka sesudah mereka berada dalam gua itu, dan keadaan letaknya gua mereka, sehingga mereka terselamat dari panas matahari sepanjang masa.
Dengan itu Terpeliharalah mereka dalam keadaan yang sebaik-baiknya dengan kuasa Allah s.w.t, disebabkan iman dan keikhlasan mereka.
- Kata ar-Razi apabila pengkaji membuat analisa tentang keadaan gua itu berdasarkan ayat ini:
i- pendapat pertama: pintu gua itu terbuka ke arah utara.
Lalu cahaya matahari ada masuk tetapi tidak memancar secara lansung ke atas mereka lalu tidak membakar & memudharatkan mereka.
ii- pendapat kedua kata cahaya matahari itu ada masuk kena mereka tetapi Allah jaga mereka dengan kuasa-Nya!
Ini kerana kisah Ashab al-Kahfi adalah kisah pelik tanda kekuasaan Allah.
- Kata Ibnu Kathir rhm:
i- Allah ceritakan tentang cahaya matahari ini untuk kita faham akan kekuasaan & keagungan-Nya.
Kamu tadabburlah ayat-ayat Allah untuk memahami kekuasaan Allah.
ii- tetapi Allah tidak menceritakan tentang berapa orang bilangan mereka, di manakah negeri mereka itu kerana ia tidak memberi faedah & kepentingan dalam agama!
Bukan itu tujuan Allah bawa cerita mereka ini!
ii- para ahli tafsir telah berpenat otak & membuang masa mengkaji hal ini- sedangkan ia tidak perlu & tidak memberi apa-apa faedah.
iii- jika maklumat ini boleh memberi kebaikan & faedah dalam agama pastilah Allah akan terus memberitahunya & mewahyukan kepada Nabi s.a.w secara jelas!
Maka tak perlu kita menggali dan mencarinya lagi- cukuplah apa yang Allah & Rasul-Nya jelaskan!
Kerana itu manusia tak jumpa yang tepat kerana Allah bukan mahu kita mengetahui & menjumpainya!
- Semua kisah mereka ini adalah Yang demikian ialah dari tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah- Tuhan jaga mereka, tidak reput & selamat, hidup kembali semuanya kuasa Allah.
مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا ﴿٧١﴾
Ayat 17- {Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.} (Al-Kahfi 18:17)
- Munasabah ayat ini:
i- oleh kerana para pemuda ini dalam keadaan baik, dapat petunjuk Allah s.w.t sedangkan kaum mereka dalam keadaan kafir;
ii- maka datang ayat ini Allah kata kamu jangan pelik macamana mereka boleh beriman sedangkan kaumnya kafir kerana hidayah itu milik Allah Dia akan memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya!
*Kita berdoalah agar sentiasa mendapat hidayah petunjuk dari Allah!
- Ingat & sedarlah bahawa:
i- Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan;
ii- dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan jalan yang benar kepadanya.
Tiada siapa dapat menolongnya lagi untuk membawanya ke jalan yang benar!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.
Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong;} (An-Nisaa’ 4: 88-89)
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ ۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿٨١﴾
Ayat 18- {Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.} (Al-Kahfi 18:18)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah ceritakan tentang matahari yang turun naik dari dua arah yang berlainan- yang memberi manfaat kepada badan mereka;
ii- datang ayat ini Allah ceritakan bahawa tubuh badan merekapun Allah bolak-balikkan untuk menjaganya dari rosak & dimakan tanah!
*Ini menyebabkan fizikal dan umur mereka tidak berubah- kerana itu apabila mereka sedar selepas itu mereka menyangka mereka hanya tidur sekejap- sehari atau setengah hari sahaja.
- Kemudian Allah nyatakan keadaan mereka yang seperti tidur biasa itu- membuatkan orang yang melihatnya tidak pelik kerana sangka mereka tidur & mereka tidak berubah.
- Ulama’ tafsir kata ini maksud ayat ini {Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur;}- kerana mata mereka celik seolah tidak tidur tetapi sebenarnya mereka tidur.
Lalu orang tidak berani mengusik mereka! - Allah juga balik-balikkan badan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri- maka tidak rosaklah badan mereka kerana kena udara & tidak tertutup.
*Nota [720] Supaya badan mereka tidak dimakan tanah.
- Manakala anjing mereka pula tidur atau berehat dengan menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; seolah-olah sedang berkawal menjaga tuannya.
*Tak perlu, tiada keperluan faedah untuk mencari jenis, warna dan sebagainya tentang anjing itu!
Cukup dengan apa yang Allah sebut tentangnya.
- Allah katakan: Jika engkau melihat mereka ketika sedang tidur itu, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka.
- Yakni ini kerana peliknya keadaan mereka- tidur seperti tidak tidur, mata celik, badan berbolak-balik, ada anjing pengawal- semua ini menyebabkan orang yang melihat akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
Lalu selamatlah Ashab al-Kahfi. - Nota [721] Dengan demikian, tidak ada sesiapapun yang berani rapat apa lagi menyentuh mereka, supaya mereka kekal dalam keadaan itu sehingga sampai masa yang dikehendaki Allah membangkitkan mereka.
- Ini adalah dengan kehendak dan kuasa Allah yang mahu menjaga mereka!
Kita jangan cari yang pelik tetapi terimalah apa yang sahih yang telah Allah ceritakan ini!
Jangan dok korek cari lagi nanti kita akan bertemu dengan yang karut & tidak sahih!
Kita hanya nak cari ibrah pengajaran dari kisah mereka ini & melihat kepada tanda-tanda kekuasaan Allah!
Penutup & Faedah #
- Ayat 16- {Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu,..}– sekumpulan pemuda beriman ini berbincang sesama mereka untuk mencari tempat selamat untuk menjaga agama & aqidah mereka daripada kaum mereka yang kafir.
Begitulah juga kita orang beriman kena cari tempat selamat untuk menjauhkan diri daripada puak syirik kafir, puak penyembah berhala & ahli maksiat untuk menyelamatkan aqidah kita.
Ayat ini ditafsirkan dengan hadis Nabi s.a.w semalam iaitu pada suatu masa apabila fitnah dalam agama ini kuat sangat- orang ramai akan membawa kambing mereka lari berlindung di dalam gua-gua & bukit- untuk jaga agama dari kena fitnah!
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Hampir tiba suatu masa di mana sebaik-baik harta seorang Muslim ialah kambing yang digembalakannya di puncak gunung dan di tempat-tempat turunnya hujan, dia lari membawa agamanya daripada fitnah.”
[HR Bukhari].
Ashab al-Kahfi ini betul-betul mengambil tindakan seperti dalam hadis itu.
Mereka mengambil tindakan yang tepat untuk menjaga diri & agama lalu mereka beruzlah melarikan diri untuk menyelamatkan agama & Allah memuji mereka dan mengatakan perbuatan itu baik!
Tetapi kita jangan salah-guna ayat ini melarikan di duduk di tempat yang yang tidak ada solat jemaah, tidak ada pengajian agama.
Tidak boleh lari beruzlah duduk seorang diri kecuali fitnah terlalu dahsyat!
Ini kerana dalam hadis kedua Nabi s.a.w mengatakan jika keadaan tidak darurat masih lagi boleh bertahan; maka bergaul dengan masyarakat serta bersabar atas karenah dan gangguan mereka adalah lebih baik dan mendapat ganjaran lebih besar, berbanding mereka yang menyisihkan diri daripada orang ramai tanpa kesabaran.
Hadis daripada Ibnu Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Seorang mukmin yang bercampur (bergaul) dengan manusia dan bersabar atas perlakuan buruk mereka, lebih besar ganjaran pahalanya daripada mukmin yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar atas perlakuan buruk mereka.” [HR Ibnu Majah, No. 4022. Dinilai Sahih]
Menyebarkan Islam & Sunnah kepada masyarakat adalah lebih baik daripada lari meninggalkan mereka- jangan salah guna kisah Ashab al-Kahfi ini!
Bawa Sunnah kepada masyarakat biarlah walaupun ditentang, dihina atau disekat orang- tidak mengapa kerana kita telah menjalankan tugas!
- Ayat 16- {… supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.}-
Allah akan beri kepada kamu rahmat & Allah akan mudahkan urusan kamu!
Ayat ini selari dengan doa Ashab al-Kahfi dalam ayat 10 sebelum ini:
{“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.}
Ingat baik-baik- Allah akan beri kamu rahmat & permudahkan urusan kamu jika kamu beriman & bertaqwa kepada Allah.
Ashab al-Kahfi lari ke dalam gua- mereka serahkan diri & urusan mereka kepada Allah dengan yakin & tawakkal kepada Allah- maka Allah akan jaga mereka!
Apa yang kita dapat pelajari ialah hati orang beriman akan sentiasa terikat kepada Allah, sentiasa tinggi tawakkal & pergantungannya kepada Allah!
Kita kena usaha agar hati kita sentiasa bergantung kepada Allah, jangan sombong & degil kepada Allah, sekali Allah biarkan hati- kita akan terumbang-ambing tidak tahu nak pergi ke mana!
- Ayat 17- {Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri…} dan
Ayat 18- {… dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri;}– dalam dua ayat ini Allah sebut tentang dua arah atau sisi iaitu dua sisi kanan & dua sisi kiri.
Ini menunjukkan bahawa pintu gua itu terbuka di sebelah timur- kerana itu cahaya pagi masuk dan cahaya petang juga masuk.
Jadi kedudukan gua ini amat strategik yang Allah berikan kepada pemuda yang mereka pilih.
Gua itu luas, pencahayaannya cukup, udara bertukar ganti, bau tidak busuk, selesa selamat.
Allah buat semua ini secara manual yakni balik-balikkan mereka ke kiri & kanan, cahaya keluar masuk kiri kanan; sedangkan boleh saja Allah setnya secara auto atau kun fayakun- buat gua yang sempit jadi luas, gua yang gelap jadi cerah, sejuk seolah ada aircond dan seumpamanya.
Tetapi tidak, Allah jadikan semua proses itu secara manual supaya kita berfikir bahawa semua itu adalah perancangan & di bawah kuasa Allah semata-mata.
- Ayat 17- {… Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong.}-
Sekali lagi kita lihat akan kuasa Allah dalam bab taufiq & hidayah, sebagaimana yang sering kita pelajari bahawa:
i- taufiq irsyad- berdakwah, mengajar, memberi kuliah & nasihat itu kerja para nabi dan semua pendakwah lain.
ii- taufiq hidayah- untuk buka hati manusia untuk terima petunjuk itu di bawah kuasa Allah secara mutlak!
Maka untuk mencari kasih sayang & taufiq Allah ini kita kena – belajar ilmu yang sahih & benar, banyak beribadat, duduk dalam kelompok orang yang soleh dan seumpamanya!
Jangan dok cari ilmu dan amalan yang pelik & tidak sahih, bukan dari wahyu Allah & Sunnah Nabi, ini mengaji tetapi sesat!
Bahaya tu, maka jagalah diri kita semua.
- Ayat 18– {Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur;…}- satu lagi kuasa Allah yang pelik; Allah jadikan keadaan mereka itu membuatkan orang takut, tidak berani nak usik & kacau mereka- menjadikan mereka selamat & tidak diganggu!
Ayat 18- {… sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua;}– dalam surah ini Allah sebut anjing ini beberapa kali- sedangkan kebiasaannya anjing sesuatu yang dibenci & menjadi lambang keburukan bagi orang Islam.
Tetapi dalam al-Quran, dalam surah ini anjing disebut beberapa kali kerana ia duduk bersama dengan orang baik- iaitu pemuda yang soleh itu.
Kata ulama’: Sesiapa yang sayang kepada orang yang baik & soleh, orang yang mulia- kita juga akan mendapat kemuliaan.
Anjing ini mendapat kemuliaan disebut beberapa kali di dalam al-Quran, menjadi baik & mulia kerana duduk & berkawan dengan orang soleh & mulia!
Ayat ini menjadi penenang jiwa kepada kita kerana:
i- kita ini tak banyak amalan ibadatnya, ilmu pun tiada, tetapi:
ii- kita sayang kepada Rasulullah s.a.w, kepada para sahabat Nabi s.a.w, sayang kepada parta ulama’ yang jujur & benar dengan ilmunya, kepada para pendakwah yang mengajar orang kepada Kitab & Sunnah- insya’ Allah kita akan jadi orang yang mulia juga!
Marilah kita sayang kepada para ulama’, kepada para orang soleh, insya’ Allah kita akan termasuk juga dalam kalangan orang yang mulia seperti mereka!
Adapun hukum bela anjing ada dua:
i- harus jika ada keperluan seperti untuk menjaga kebun di pedalaman atau penjaga binatang ternakan;
ii- tetapi jika untuk perhiasan atau sekadar untuk menjadi (pet) seperti kucing adalah haram untuk orang Islam.
Sabda Nabi s.a.w:
مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا لَيْسَ بِكَلْبِ صَيْدٍ، وَلَا مَاشِيَةٍ وَلَا أرْضٍ، فَإنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ قِيرَاطَانِ كُلَّ يَوْمٍ
“Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk tujuan pemburuan, sebagai penjaga binatang ternakan, atau penjaga tanaman/kebun, maka pahalanya akan berkurang sebanyak dua qirat pada setiap hari.” (HR Muslim)
*Yakni Allah akan kurangkan pahalanya setiap hari sedikit demi sedikit!
Maka tak usah kita berlagak moden tiru orang kafir pelihara anjing kemudian dok bawa dalam kereta, pergi berjalan dan seumpamanya.
Pengecualian Keperluan yang Dibenarkan Syarak:
i- Anjing Pemburu: Untuk kegunaan memburu binatang halal.
ii- Anjing Ternakan: Untuk mengawal keselamatan haiwan ternakan daripada ancaman.
iii- Anjing Pertanian/Kebun: Untuk menjaga kawasan tanaman atau keselamatan harta.
Nota tambahan: Keperluan darurat lain sesuai zaman ini seperti anjing pengesan pihak berkuasa, keselamatan sempadan, atau panduan keselamatan atas hajat mendesak juga dibenarkan.
Memelihara semata-mata untuk hobi atau suka-suka adalah dilarang.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Khamis 23/07/2026 – 08 Safar 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1010368868480300
Semoga Bermanfaat!
