Kisah Ashab Al-Kahfi Yang Ajaib, Pemuda Berlindung Dalam Gua & Kemudian Sedar Semula

Live Kuliah Pagi Selasa 21/07/2026 – 06 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (04) Ayat [09-12]
Full video: https://youtu.be/1bto7iRmY4s?si=ZpRFDqTqujsCqJs-
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 09 sehingga ayat 12 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah Ashab Al-Kahfi yang ajaib tetapi jangan kamu menyangka ia adalah kisah yang paling pelik & ajaib.
Ia hanya merupakan salah satu kisah yang pelik dan ajaib dalam al-Quran ini.
Kisahnya bermula dari ayat 9 sehingga ayat 26 dalam surah al-Kahfi ini.
- Ia menceritakan beberapa orang pemuda yang pergi berlindung dalam gua untuk menyelamatkan diri & aqidah mereka dari ancaman pemimpin yang kafir & zalim pada masa itu.
- Setelah mereka ditidurkan selama 300 tahun lebih kemudian mereka sedar semula.
Kisah ini untuk menunjukkan kekuasaan Allah & untuk menghidupkan semula orang yang telah mati!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa Allah ciptakan bumi & perhiasan di atas muka bumi ini yang menyebabkan manusia berasa kagum & ajaib- bukit-bukau, manusia haiwan, pokok sungai.
Satu ciptaan yang amat menarik & indah, yang menarik perhatian dan memikat hati.
ii- maka datang ayat ini Allah menyatakan kisah Ashab al-Kahfi bukanlah satu-satunya kisah yang paling pelik dalam al-Quran ini bahkan banyak lagi perkara lain ciptaan Allah yang lebih ajaib & mengagumkan.
Bahkan ia adalah salah satu tanda kekuasaan Allah bukan yang paling ajaib!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا ﴿٩﴾
Ayat 9- {Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?} (Al-Kahfi 18:9)
- Allah s.w.t mulakan kisah ini dengan bertanya kepada Rasulullah s.a.w apakah kamu menyangka bahawa kisah Ashab al-Kahfi {أَصْحَـٰبَ ٱلْكَهْفِ} ini adalah satu kisah yang ajaib di dalam al-Quran?
*Walaupun soalan untuk Nabi s.a.w tetapi peringatan ini sebenarnya untuk kita semua umatnya juga!
- Beberapa pendapat ulama’ tentang makna ar-Raqim {وَٱلرَّقِيمِ} ini:
i- Kata Ibnu Asyur maksudnya ar-Raqim ini ialah Kitab yang ada bersama para pemuda Ashab al-Kahfi di dalam gua itu- iaitu rekod yang mencatat ajaran agama, pegangan aqidah mereka iaitu tauhid kepada Allah Azza wa Jalla agar mereka tidak lupanya.
ii- ada ulama’ kata itu adalah kitab agama yang menjadi pegangan mereka iaitu agama Islam- iaitu selepas kitab Taurat & sebelum kedatangan Nabi Isa.
iii- ada kata selain cerita tentang agama mereka, kitab itu juga ialah rekod tentang perjalanan peristiwa yang mereka lalui itu, agama mereka, tarikhnya, siapakah pemerintahnya pada masa itu dan lain-lain maklumat.
iv- ada juga yang kata ia bermakna bukit yang ada gua mereka itu atau lembah yang terdapat gua mereka itu.
v- ada yang kata nama kampung halaman mereka bahkan ada yang kata ia adalah nama anjing mereka!
*Kita ambil pandangan yang terpilih iaitu ar-Raqim dengan makna Kitab, yang diambil oleh Ibnu Jarir at- Tobari & Imam Ibnu Kathir dan lain-lain ulama’ tafsir.
- Lalu Allah nyatakan bahawa ia hanya SALAH SATU peristiwa & kejadian yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah s.w.t.
Jangan kamu sangka ia saja yang ajaib kerana ada banyak lagi yang lebih ajaib.
Jika tidak salahlah fahaman itu.
- Beza antara perkataan:
i- al-Ghar (الغار)- ia adalah sebuah lubang atau gua yang kecil di bukit seperti gua Thur (غار ثور) & gua Hira’ (غار حراء)- yang di dalam Sirah Nabi s.a.w.
ii- al-Kahfi (الكهف)- pula adalah gua yang besar & luas, yang muat ramai orang.
- Nota [711] “Ashaab’ul-Kahfi – أصحاب الكهف” ertinya: penduduk gua; dan “Ar-Raqiim – الرقيم” itu pula ialah nama anjing Ashaab’ul-Kahfi, atau “batu bertulis” yang dicatat atau dirakamkan padanya nama-nama mereka.
Kisah mereka sebagaimana yang diceritakan dalam ayat-ayat yang berikutnya, sungguh menakjubkan sebagai salah satu dari tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah ‘Azza wa Jalla.
Tetapi janganlah disangka bahawa kisah mereka sahaja yang menakjubkan bahkan kejadian langit dan bumi serta segala isinya, yang telah dicipta oleh Allah Ta’ala itu, lebih menakjubkan lagi.
Kaum Yahudi dan Kristian, dengan perantaraan kaum musyrik Arab telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang kisah Ashaab’ul-Kahfi ini kerana hendak menguji kebenaran baginda, lalu turun firman Allah Ta’ala menerangkannya, mulai ayat ini dan ayat-ayat yang berikutnya.
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا ﴿٠١﴾
Ayat 10- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.} (Al-Kahfi 18:10)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat sebelum ini Allah kecilkan agar tidak ternampak besar kisah Ashab al-Kahfi berbanding dengan keajaiban ilmu Allah yang lain- banyak lagi yang pelik & ajaib di bawah kuasa Allah.
ii- lalu dalam ayat ini mulakan cerita tentang mereka.
Cerita ghaib yang berlaku ribuan tahun dulu yang tidak diketahui oleh manusia kecuali dengan ilmu & kuasa Allah yang Esa.
Ini menunjukkan Wahdaniyyah Allah yang Maha Berkuasa.
- Nota [712] Peristiwa ini berlaku pada zaman dahulu, sebelum zaman nabi Muhammad s.a.w. Siapakah orangnya Ashaab’ul-Kahfi dan di manakah negerinya?
Tidak diterangkan di dalam Al-Qur’an, kerana yang penting ialah pengajaran dan contoh tauladan yang terdapat dalam kisah mereka.
Dalam ayat ini dan ayat-ayat yang berikutnya diterangkan, bahawa mereka ialah beberapa orang anak-anak muda yang beriman, yang telah melarikan diri ke gua itu untuk beribadat kepada Allah yang Maha Esa sambil berdoa semoga mereka beroleh selamat dan diberi hidayah petunjuk.
Mereka berlindung di situ kerana rajanya yang kafir, menindas orang-orang yang beriman.
**Kerana itu ramai yang mendakwa bahawa gua itu berada di negara mereka- yang paling masyhurnya ialah di Jordan & di Turki.
Ini kerana apabila ada sesuatu yang pelik pasti ramai pelancong akan pergi ke negara mereka!
Di manakah dudul gua itu yang sebenarnya wallahu a’lam- kerana Allah & Nabi-Nya tidak ada menyatakannya dengan tepat!
- Allah mulakan kisah mereka dengan menyatakan bahawa terdapat serombongan orang-orang muda yang beriman kepada Allah lari pergi ke gua, mencari perlindungan kerana bimbangkan akan keselamatan diri & agama mereka dari pemerintah kafir yang zalim pada masa itu!
Menjaga iman mereka agar tidak teruji oleh puak kafir yang ada.
- Setibanya di gua mereka terus berdoa kepada Allah meminta:
i- {“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu}- Kata ulama’ yakni makna rahmat dari sisi-Mu {مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ} ialah berikan agar Allah mereka pengampunan, rezeki, keselamatan dari musuh, perlindungan dan rahmat semasa mereka berlindung di dalam gua itu!
ii- {…dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami}- mereka juga meminta Allah memberi kepada mereka kekuatan jiwa dan kemantapan iman agar mereka terus tetap teguh menjaga kebenaran, duduk di atas agama yang benar, selamat dari puak kafir, mendapat ilmu yang bermanfaat serta beramal dengannya.
Iaitu agar urusan agama & dunia kami tepat di atas apa yang dikehendaki Allah s.w.t! Inilah maksudnya {أَمْرِنَا رَشَدًۭا}.
*Ada orang yang terkesan dengan ayat ini lalu menamakan anaknya “Amrina Rasyada”- tak menjadi masalah tetapi jangan dok pergi berdoa dengan namanya pula!
فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١﴾
Ayat 11- {Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.} (Al-Kahfi 18:11)
- Munasabah ayat:
i- apabila mereka masuk dalam gua mereka berdoa kepada Allah minta keselamatan & perlindungan;
ii- maka Allah perkenankan doa mereka itu dan untuk menjaga mereka Allah tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun lamanya tanpa gangguan dan diketahui orang.
- Yakni Allah tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu selama bertahun-tahun yang lama sangat bilangannya tanpa sebarang gangguan!
- Allah jadikan mereka tidur nyenyak itu dengan menyumbat telinga mereka {فَضَرَبْنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمْ} lalu tidurlah mereka beberapa tahun yang lama {سِنِينَ عَدَدًۭا}.
Ini juga untuk menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t! - Allah kata Dia tutup telinganya kerana apabila tiada gangguan yang didengar telinga- tidur kita akan lena tidak akan terganggu.
Banyak lagi yang akan kita huraikan dalam fawaid atau faedah nanti- jangan lorat nak berhenti atau keluar kuliah apabila habis tafsir ayat.
Ayat 12- {Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).} (Al-Kahfi 18:12)
- Kemudian selepas tidur yang lama itu Allah bangkitkan semula mereka setelah beratus-ratus tahun lamanya.
Allah tidak nyatakan berapa lama tempoh yang tepatnya- lalu timbul banyak perbezaan pendapat yang mengatakan berapa-berapa dan di mana- di mana!
- Allah hidupkan semula mereka untuk menunjukkan bahawa:
i- untuk menunjukkan terdapat dari dua golongan yang saling meneka berapa lama Ashab al-Kahfi itu tidur di dalam gua itu!
*Ada kata sesama mereka yang berbeza pendapat tentang berapa lama mereka tertidur itu.
Ada kata orang lain yang selepas mereka!
Yang penting ada khilaf perbezaan pendapat tentang berapa lama tempoh mereka tidur!!!
ii- dan siapakah di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup dalam gua itu.
- Nota [713] Yakni dengan kiraan yang tepat itu, mengetahuilah mereka kadar masa yang demikian lanjutnya – beratus-ratus tahun – yang di dalamnya Allah Ta’ala peliharakan mereka, dengan tidak makan dan minum, dan diselamatkan mereka dari angkara musuh, supaya mereka makin bersyukur dan beribadat dengan ikhlas kepada-Nya.
Penutup & Faedah #
- Ayat 9- {Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?}- wahai manusia apakah kamu sangka kisah Ashab al-Kahfi adalah kisah yang paling ajaib dalam dunia ini?
Bukan begitu- bahkan kamu kena tahu bahawa ia hanyalah salah satu daripada banyak lagi kisah ajaib dalam al-Quran & yang berlaku dalam dunia ini!
Allah nak suruh kita lihat cerita ini dengan dimensi iktibar & ambil pengajaran.
Bukan cerita novel atau hanya maklumat seperti Wikipedia yang memberi fakta tanpa matlamat yang jelas.
Kita kena lihat & kaji kenapa mereka lari ke dalam gua dan apakah kesan-kesan dari peristiwa ini kepada pemuda-pemuda yang beriman itu!
Iaitu pentingnya untuk kita cari pengajaran bahawa betapa mulia & pentingnya untuk menjaga tauhid & aqidah.
Seperti mulianya anjing kepunyaan Ashab al-Kahfi bukan kerana ia anjing tetapi kerana ia bersama kumpulan Ashab al-Kahfi- sedangkan ia adalah binatang yang hina & ikon kejahatan bagi kebanyakan manusia.
Betapa banyak kali Allah sebut anjing itu di dalam al-Quran kerana ia bersama kumpulan orang yang mulia maka ia juga disebut-sebut dan mejadi mulia juga!
- Ayat 10- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua,…}– Allah sebut dalam ayat ini dengan jelas tentang sekumpulan pemuda {ٱلْفِتْيَةُ} yang lari kerana nak menyelamatkan agama & aqidah mereka!
Mereka lari ke dalam kerana agama BUKAN kerana putus cinta, frust atau kecewa kerana sesuatu perkara lain.
Mereka sanggup meninggalkan kampung halaman, keluarga dan segala milik mereka kerana nak jaga agama mereka & diri mereka.
Kerana ancaman pemimpin atau raja mereka yang zalim pada masa itu mereka takut jika mereka ditangkap dan disiksa- iman mereka akan goyah lalu meninggalkan agama.
Begitulah yang terjadi kepada para sahabat pada zaman Nabi s.a.w dulu berhijrah dari Makkah ke Madinah apabila diri & agama mereka terancam!
Kita pun jika ada ancaman terhadap agama & amal ibadat kita maka berpindahlan cari tempat yang selamat demi agama dan kelansungan amalan soleh kita.
Carilah tempat & pondok yang mengajar ilmu yang benar & Sunnah Nabi s.a.w yang sahih!
Ashab al-Kahfi lari demi menyelamatkan agama mereka!
Ulama’ kata Allah sebut dalam ayat ini pemuda-pemuda.
Kerana ini menunjukkan pemuda lebih cepat faham dan menerima kebenaran.
Sebagaimana dapat dilihat pada zaman Rasulullah s.a.w pun sahabat-sahabat yang berada di sekeliling Baginda s.a.w & yang awal menerima Islam adalah para pemuda dan orang muda!
Manakala orang tua di kalangan Quraisy majoritinya kekal kafir, terus melawan Nabi s.a.w & tak ramai yang masuk Islam pada zaman Nabi s.a.w.
Begitulah Allah ceritakan Ashab al-Kahfi ini adalah sekumpulan pemuda yang jaga agama.
Maka para jemaah semua jagalah anak-anak kita, jagalah anak-anak muda kita!
Allah ceritakan bagaimana pemuda yang jaga agama ini akan termasuk dalam salah satu kumpulan yang akan mendapat bayangan arasy Allah pada hari Kiamat nanti!
Iaitu pemuda-pemuda yang membesar dalam keadaan menjaga ibadat kepada Allah!
- Ayat 10- {.. lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.}– ini menunjukkan bahawa kita ini selain daripada berusaha kena banyak berdoa & bertawakkal kepada Allah juga.
Seperti yang dilakukan oleh para pemuda Ashab al-Kahfi ini- setelah berusaha dengan lari membawa diri ke dalam gua; mereka terus berdoa kepada Allah untuk selamatkan agama & aqidah mereka, serta berilah bimbingan kepada mereka:
{رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا}
Inilah yang sepatutnya kita ada & buat- usaha, doa & tawakkal kepada Allah.
Ada apa saja masalah kita kembali kepada Allah, usaha ikhtiar dulu kemudian berdoa minta pertolongan kepada Allah.
Allah perkenankan doa Ashab al-Kahfi dan mereka tidur selama beratus tahun dan ia menjadi mercu tanda kekuasaan Allah s.w.t atas dunia ini- alhamdulillah.
- Ayat 11- {Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.}-
Allah tutupkan telinga mereka agar mereka tidur dengan nyenyaknya dengan lama.
Allah sebut telinga dalam ayat ini kerana telinga adalah sumber gangguan kepada tidur- seperti dengan bunyi bising yang boleh membuat kita tersedar!
Melalui telingalah paling banyak gangguan kepada tidur!
Nabi s.a.w sendiri telah mmebuat bandingan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya:
Diceritakan kepada Rasulullah S.A.W terdapat seorang lelaki yang telah tidur sehingga berlalu waktu Subuh, lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنَيْهِ، أَوْ قَالَ: فِي أُذُنِهِ
Maksudnya: “Lelaki itu telah dikencing oleh syaitan di kedua telinganya.” Atau Baginda SAW bersabda: “Di telinganya.” [Riwayat al-Bukhari (3270) dan Muslim (774)]
*Iaitu orang yang tidur malam tak bangun-bangun untuk solat maka telinganya basah kena kencing dek syaitan!
Atau kemungkinan bangun juga tetapi untuk tengok bola di dalam masjid kerana tok imam ajak!!!!
Ingat baik-baik masjid bukan stadium tempat melaung tengok bola tetapi masjid adalah rumah Allah yang dihormati!
Apabila kita tidur dengan lena tiada lagi rasa takut & bimbang- senyap tak mmikir apa dah.
Maka para pemuda itu tidur lena tanpa rasa takut & bimbang buat beberapa lama- sehinggalah jatuh pemimpin zalim yang mereka takuti itu dan berganti dengan yang lain pula- raja yang beriman juga.
Kata ulama’: Ini menunjukkan manusia itu ada Karamat yang diberi Allah kepada mereka.
Ashab al-Kahfi ini tidur selama 300 tahun tanpa rosak jasadnya dan sakit badannya.
Kita akan lihat penjelasannya bagaimana Allah buat ini dalam ayat yang seterusnya nanti.
Ini adalah keajaiban kekuasaan Allah, yang memberikan kemuliaan karamah kepada Ashab al-Kahfi.
- Ayat 12- {Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).}– setelah itu Allah kata Allah bangkitkan semula mereka
. Allah tak kata sedarkan mereka semula!
Ini kerana tidur adalah seumpama mati kecil sebagaimana firman Allah ini:
{Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.} (Al-An’aam 6:60)
Seperti Nabi Isa a.s yang diangkat ke langit- dia tidak mati tetapi hidup di sana.
Kemudian Allah kata Dia bangkitkan semula mereka, untuk memberitahu manusia bahawa Allah maha berkuasa untuk menghidupkan semula manusia yang sudah tidur atau mati beratus tahun itu.
Maka apakah peliknya wahai manusia untuk Allah bangkitkan semula kamu yang sudah mati semuanya untuk hidup semula di Akhirat kelak!
Ayat ini lebih kepada untuk menunjukkan mukjizat, kekuasaan Allah & bukti bahawa Allah mampu & berkuasa untuk menghidupkan semula manusia pada hari Kiamat kelak!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 21/07/2026 – 06 Safar 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1008650151985505
Semoga Bermanfaat!
