View Categories

(3) Surah Al-Kahfi: Ayat 07-08

11 min read

Perhiasan Dunia, Sebagai Medan Ujian & Bumi Jadi Rata Di Akhirat Kelak

Live Kuliah Pagi Isnin 20/07/2026 – 05 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (03) Ayat [07-08]

Full video: https://youtu.be/9JexPV1QjqE?si=EnSF8z3Yy4itmuBt

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 07 sehingga ayat 08 dalam juzuk kelimabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan atas muka bumi ini banyak perhiasan dunia yang Allah jadikan.
  3. Ini kerana Allah nak lihat siapa di kalangan hamba-Nya yang baik amalannya maka dunia adalah sebagai medan ujian.

Amalan itu ada dua; amalan yang baik & amalan yang banyak tetapi banyak tidak semestinya baik & sedikit tidak semestinya tidak baik.

  1. Kemudian Allah nyatakan wahai manusia kamu yang beriman atau yang tidak- akan bertemu selepas mati- dihimpunkan berkumpul di satu bumi yang putih, rata & kosong tidak berbukit & tidak berpokok {صَعِيدًۭا جُرُزًا}, tiada laut atau sungai di akhirat kelak.

*Kita tunggulah lihat bagaimana kerana setiap yang mendatang itu akan dekat.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- ayat ini munasabahnya dengan ayat yang lepas ialah Allah s.w.t bawa kisah untuk menenangkan hati Nabi s.a.w;

ii- maka dalam ayat ini juga Allah maklumkan awal-awal lagi apakah tujuan keelokan & keindahan dunia ini- untuk ujian.

Maka sesiapa yang baik amalannya pastilah berbeza nasibnya dengan mereka yang tak baik amalannya!

Begitulah para pengikut Nabi s.a.w tak sama- ada amalannya yang lebih baik, lebih banyak, ada yang kurang; maka kamu jangan sedih & kecewa jika kamu lihat umatmu berbeza dari sudut darjat!

Ini kerana Allah uji mereka- jika diuji pasti berbeza hasilnya!

*Contoh para pelajar di dalam kelas kita tak tahu mana yang cerdik mana yang tidak- maka diadakan ujian dengan peperiksaan.

Apabila ada ujian pasti berbeza hasil peperiksaannya kerana berbeza persediaan & kemampuan.

  1. Munasabah kedua:
    i- ayat ini sekali lagi nak menenangkan hati Nabi s.a.w kenapa puak kafir yang menentang Nabi s.a.w itu tidak terus mati atau binasa bahkan mereka panjang umur dan diberi kemewahan dunia- itu sebagai satu ujian kepada mereka dan mereka diberi tempoh untuk berfikir & akhirnya bertaubat!

ii- Tetapi apa boleh buat mereka tetapi ingkar kufur- akhirnya Allah tarik nikmat yang mereka ada, negara mereka hancur, bumi mereka terbalik, kampung halaman mereka ditenggelami air sebagaimana amaran Allah di awal surah- kepada sesiapa yang keras kepala sombong angkuh & ingkar; dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ‎﴿٧﴾

Ayat 7- {Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.} (Al-Kahfi 18:7)

  1. Allah nyatakan semua keindahan yang Allah cipta & jadikan atas muka bumi ini adalah sebagai satu perhiasan bagi dunia {زِينَةًۭ لَّهَا}.
  2. Kata Syeikh al-Wahidi : Semua benda yang ada atas muka bumi, pokok-kayu, buah-buahan, haiwan, air, bukit bukau dan segala logam galian, batu permata yang indah; termasuk dalam kategori ini samada yang ada nyawa atau tidak termasuk semuanya.
  3. Kata ulama’ lain pula: Termasuk dalam ini semua perhiasan yang dicipta Allah tanpa campur tangan manusia (hutan semulajadi) atau yang ada campur tangan manusia (seperti hiasan lanskap).

Yakni semua perhhiasan yang indah & elok atas dunia ini termsuk semua!

  1. Allah jadikan dunia ini indah kepada para pencintanya, cantik pada pandangan matanya.

Kita ini saling kagum-mengagumi- kita rasa negara orang yang indah & cantik dengan gunung salji dan padang pasirnya; tetapi orang dari negara lain pula merasakan betapa indahnya negara kita dengan hutan rimbun dan bukit-bukau yang menghijau, sungai & air terjun di merata tempat, pantai yang indah terbentang luas!
Alhamdulillah atas segala nikmat Allah menjadikan dunia ini indah!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.} (Al-Kahfi 18:46)

*Naluri manusia itu begitulah sukakan harta perhiasa dan sayangkan anak-cucu sehingga adakalaya terabai amal ibadat.

  1. Hadis dunia adalah perhiasan dan manusia akan terpedaya dengannya:

i- Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku takutkan menimpa kalian adalah sesuatu yang Allah keluarkan untuk kalian dari berkahnya bumi (perhiasan/kemewahan dunia).”
Lalu Baginda ditanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan perhiasan dunia?
“Baginda menjawab: “Iaitu kemewahan dunia.” (HR Bukhari & Muslim)

ii- hadis dunia ini manis & hijau:

الدنيا حلوة خضرة وإنَّ الله مُستخلفكم فيها، فينظر كيف تعملُون؟
فاتقوا الدُّنيا، واتَّقُوا النِّساء؛ فإنَّ أوَّل فِتنة بني إسرائيل كانت في النِّساء) رواه مسلم

Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a dari Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya dunia itu manis dan hijau. Dan sesungguhnya Allah telah menguasakannya kepadamu sekalian.

Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan (di dunia itu).
Kerana itu takutilah dunia dan takutilah wanita, kerana sesungguhnya sumber bencana Bani Isarail adalah wanita.” (HR Muslim)

*Nabi s.a.w samakan dunia ini indah dan hijau kerana bumi hijau ini tenang mata memandangnya!

Juga kerana sayuran hijau itu cepat rosak & cepat hilangnya- begitulah dunia ini!

  1. Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan hikmah kenapa Dia jadikan bumi ini dengan semua keindahan dan perhiasannya itu;

i- kerana nak menguji manusia {لِنَبْلُوَهُمْ};
ii- siapakan yang amalannya lebih baik & elok {أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا}.

Jika amalannya baik dan banyak pula, maka itu sangatlah elok- cahaya di atas cahaya
(نور على نور).

  1. Makna baik amalannya { أَحْسَنُ عَمَلًۭا } itu ialah dia buat amalannya:

i- dengan penuh ikhlas kepada Allah.
ii- bertepatan ikut Sunnah Nabi s.a.w!

*Inilah dua syarat untuk amalan itu menjadi baik!

Jika tidak ikhlas atau tidak ikut Sunnah walaupun dia buat banyak amalan tidak akan jadi amalan soleh.

  1. Kata asy-Syaukani rhm: Maksud Allah uji di sini ialah Allah buat dunia ini seolah satu medan ujian untuk menguji manusia.
  2. Kata Ibnu Atiyah  yang menukilkan kata-kata seorang sahabat Ubay r.a bahawa maksud amalan yang baik itu ialah:
    i- mengatakan yang benar.
    ii- cari harta melalui cara yang halal & infaq dengan cara yang betul.
    iii- dengan penuh keimanan. jika tak beriman tak ada faedah.
    iv- menunaikan amakan yang fardhu, menjauhkan yang haram & memperbanyakkan amalan sunat!
  3. Nota [709] Yakni janganlah engkau Muhammad s.a.w bersusah hati tentang orang-orang yang ingkar itu, sebenarnya Kami telah jadikan segala yang ada di bumi sebagai perhiasan bagi bumi dan penduduknya untuk menguji mereka siapakah di antaranya yang bersyukur lalu beriman dan taat, dan sesiapa pula yang ingkar.

*Ciri-ciri manusia keras kepala- guna nikmat Allah kemudian lawan perintah Allah!
Manusia yang tidak bersyukur & berterima-kasih!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);} (Al-Mulk 67:2)

وَإِنَّا لَجَاعِلُونَ مَا عَلَيْهَا صَعِيدًا جُرُزًا ‎﴿٨﴾

Ayat 8- {Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.} (Al-Kahfi 18:8)

  1. Allah kata Dia akan tukar bumi yang hijau ini pada hari Kiamat kelak menjadi menjadi bumi yang kering tandus tanpa apa-apa pokok atau bukit!
  2. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat sebelum ini Allah nyatakan bahawa bumi itu dijadikan sebagai perhiasan yang indah dan menarik, manis & hijau.

ii- datang ayat ini Allah kata kamu tak perlu ingatlah dunia yang indah dulu jika kamu rebah & terpedaya dengan keindahan dunia itu kerana di Akhirat kelak semua itu musnah belaka & bumi akan menjadi kosong tanpa bayang!

Yang ada hanya amalan kamu yang ada hanya bayang sedekah & infaq kamu serta amalan yang soleh!

  1. Kata ulama’ tafsir: Maksud bumi itu rata sama- yakni pada hari Kiamat kelak; Allah akan jadikan semua yang ada atas muka bumi ini daripada perhiasannya- hancur menjadi tanah yang rata kosong dan kering tanpa laut & sungai, rata tanpa pokok tumbuhan & bukit bukau apatah lagi bangunan ciptaan manusia.
  2. Nota [710] Yakni semuanya itu, pada ketika hampir kiamat kelak akan punah-ranah.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 7- {Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya,..}– yakni atas bumi ini banyak sekali Allah jadi perhiasan di atasnya!

Maka kata para ulama’: Beringatlah baik-baik!
Semua yang ada di depan mata kamu, apa yang kamu dengar, tengok & dapat adalah anugerah Allah dan setiap orang dapatnya tidak sama ada yang banyak ada yang sedikit- ada yang sakit ada yang sihat!

Tetapi semua itu hanyalah perhiasan dan kosmetik!

Maka jangan sesekali kamu terpedaya mengejarnya kerana sebagaimana kata Nabi s.a.w dunia atau harta itu manis & hijau:

Hadis riwayat daripada Hakim bin Hizam r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya harta ini adalah sesuatu yang hijau dan manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang baik (tanpa tamak), maka ia akan diberkati. Sesiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang tamak, ia tidak akan diberkati.” [HR Bukhari].

Kita ingat kata-kata hikmah orang tua:
Semut mati kerana gula.
Maka kitapun jangan sampai mati kediri- habis masa & tenaga dok kejar dunia!

Kerana dunia itu hanya sementara & seumpama bayang-bayang yang akan semakin menjauh apabila kamu mengejarnya!

Maka apabila kamu tahu tentang hakikat ini; kenapa kita nak terpedaya lagi dengannya, jangan habis masa & umur mengejar sesuatu yang sementara & tidak akan kekal itu!

*Seperti apabila kita tahu sesuatu barang perhiasan itu tiruan atau fake kita tidak akan sanggup berhabis duit membelinya!

Dunia ini umpama fatamorgana- dari jauh nampak seperti air yang sejuk tetapi apabila kita mendekati hanya kering & kosong!

  1. Ayat 7- {… kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.}

Allah nyatakan sebabnya Dia menjadikan dunia itu sebagai perhiasan!

Ini adalah hikmah kenapa Allah jadikan perhiasan dunia itu!

Untuk menguji manusia, Allah nak lihat siapakan yang terbaik & banyak amalannya, siapakah yang soleh ikut kata Tuhan, siapakah yang mantap perjalanan agamanya berpegang dengan Sunnah Nabi s.a.w!

Maka dunia adalah medan ujian!
Kamu sudah tahu dunia itu hanyalah perhiasan yang menjadi batu ujian untuk kita- maka kenapa kita nak kejar & hanyut dalam dunia ini lagi!

Maka apabila kita tahu kita sedang berada dalam ujian- maka kita kena cuba buat yang terbaik agar kita dapat menjawab atau melepasinya kerana di depan kita ada hasil keputusan ujian ini sedemikian kita berjaya atau tidak!

  1. Ayat 7- {… kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.}-

Allah s.w.t sudah tahu dengan ilmu-Nya yang azali lagi bahawa dan ini akan berlaku sekian-sekian!

Apa yang berlaku ke atas hamba-Nya; baik buruk, comel molek, untung rugi- semuanya Allah tahu!

Tetapi manusia ini jika dia tak tahu apa yang dia tak tahu; maka dia akan berada dalam keadaan keliru kerana dia tak tahu! ingat baik-baik!

Maka Allah telah letakkan dua lorong di hadapan kita ini; iaitu di hadapan kita hanya ada dua jalan- samada kita beriman atau kufur.
Ini supaya:

i- orang yang beriman apabila dia dapat syurga- dia akan tahu kenapa dia dapat syurga itu!

ii- orang kafir juga apabila dia dapat neraka- dia akan tahu kenapa dia dapat neraka itu!

Maka di sinilah Allah zahirkan kepada kita apa yang sebenarnya tersembunyi: Siapa yang ikut jalan ini akan selamat dan siapa yang ikut jalan lain akan celaka.

Atas dunia ini masing-masing mengaku mereka berada di atas jalan yang berani dan selamat samada orang kafir atau Islam.

Maka datanglah ujian ini untuk menzahirkan kepada manusia akan perkara yang Allah sudah tahu & tetapkan iaitu; Siapa yang berjaya & siapa yang gagal!

Atas dunia ini semua perkara yang berada di bawah ilmu Allah tetapi apabila Allah nak suruh manusia tahu maka dibawanya malaikat untuk bertanya kepada manusia- malaikat tanya kemudian malaikat bawa jawapan itu kepada Allah!
Bukan Allah tak tahu tetapi Allah nak suruh malaikat juga tahu!

Panjang perbahasan ulama’ tentang hikmah di sebalik ujian perhiasan ini- Allah nak lihat siapa yang baik amalannya!

Contoh seperti guru dengan pelajar- tak boleh beri markah saja-saja begitu- maka kita beri kertas ujian untuk melihat prestasi tahap kefahamanya baru boleh diberi markah!

Allah jadikan dunia ini sebagai medan ujian, jangan terpedaya dengannya jika tidak kita akan terperangkap!

  1. Ayat 7- {… kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.}– ayat ini dan beberapa ayat yang lain menyebut bahawa Allah nak lihat siapakah yang buat amalan yang baik, yang elok.

Ulama’ tafsir membawa kata-kata seorang ulama’ Salaf- Syeikh al-Fudhail bin ‘Iyadh yang menghurai akan maksudnya {أَحْسَنُ عَمَلًۭا}: Amalan yang paling baik itu ialah yang paling bersih (ikhlas) & yang paling betul!

Yakni amalan kita ini jika hanya betul tetapi tidak ikhlas tidak akan diterima begitu jika hanya ikhlas saja tetapi tidak betul tidak akan terima juga.

Maka apakah ikhlas & betul itu? iaitu:

i- ikhlas itu jika dia buat kerana Allah.
ii- yang betul itu jika dia buat ikut Sunnah Nabi s.a.w!

Inilah dua tonggak kita dalam perjalanan menuju Allah iaitu:

i- jangan kita sembah kecuali Allah kita & menyembah Allah dengan benar.

ii- jangan kita beribadat kepada kecuali dengan apa yang disyariatkan Allah melalui lidah Nabi-Nya Muhammad s.a.w. Jangan ikut ibadat yang direka oleh manusia!

Kerana itu juga dikatakan:
i- siapa yang ikhlas dia telah merealisasikan kalimah syahadah ini:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

ii- siapa dia ikut apa yang diajar oleh Nabi s.a.w dia telah merealisasikan syahadah yang kedua ini pula: وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ

  1. Ayat 8- {Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.}-

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini nak mengajar kepada kita supaya zuhud atas dunia ini.

Tak usahlah kamu terlalu mengejarnya, kamu buat rumah sebesar mana pun kamu akan tinggalkannya, kamu ada kereta atau harta sebanyak manapun; kamu akan pergi tinggalkannya!

Kerana dunia ini ibarat bayang fatamorgana semakin kamu kejarnya semakin jauh dia lari!
Dari jauh nampak indah bila dekat hanya kering tandus!

Dunia yang kita ada ini kita letak di tangan, kekayaan yang ada kita infaq fi-sabilillah, ilmu yang kita ada kita kongsi dan sebarkan dengan ajar kepada orang, kuasa & tenaga yang kita ada kita guna untuk membantu menegakkan agama Allah & orang Islam!

Inilah yang sangat penting dalam hidup kita ini!

Mudah-mudahan kita tidak terpedaya dengan godaan dunia yang fana ini.

Semoga Allah selamatkan kita di dunia dengan berpegang dengan al-Quran & Sunnah, dengan amalan yang ikhlas dan ikut Sunnah Nabi s.a.w.

Semoga Allah jauhkan juga kita daripada sifat riya’, takabbur, terpedaya dengan dunia atau kagum dengan diri sendiri kerana itu adalah simpton-simpton kerosakan!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Isra’ pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 20/07/2026 – 05 Safar 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1007880388729148

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top