View Categories

(8) Surah Al-Kahfi: Ayat 21-22

16 min read

Masyarakat Dah Jumpa Pemuda Al-Kahfi, Khilaf Bilangan Mereka & Jangan Dok Berbalah Tentangnya

Live Kuliah Pagi Selasa 28/07/2026 – 13 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (08) Ayat [21-22]

Full video: https://youtu.be/wiMh6xaWxwA?si=e1FF24KksITpnK7U

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 21 sehingga ayat 22 dalam juzuk kelimabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang Ashab al-Kahfi yang sedar dari tidur mereka kemudian mati semula dan masyarakat dah tahu gua tempat mereka tinggal itu.
  3. Mereka menjadi viral di kalangan masyarakat negeri itu dan mereka berbeza pendapat apa yang perlu dilakukan terhadap gua itu.

Ada yang nak tutup untuk menjaganya, ada pemerintah yang nak dirikan masjid sebagai tempat ibadat.

  1. Kemudian pula timbul khilaf tentang bilangan mereka- Allah sebut dua pandangan kemudian menyatakan ia hanyalah sangkaan dalam gelap; kemudian sebut satu lagi pandangan dan hanya diam.
  2. Kemudian Allah pesan jangan dok berbalah tentang bilangannya- semua itu tak perlu yang pentingnya kita fokus kepada kesan ibrah & pengajaran yang besar kita boleh ambil dari kisah mereka ini!

Jangan sampai hilang fokus, hilang punca kerana dok tumpu kepada perkara kecil atau juz’iyyat bukan kepada tujuan asalnya!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang keadaan Ashab al-Kahfi yang bangun dari tidur mereka yang panjang, meneka-neka sesama mereka tentang berapa lama mereka tidur dan akhirnya hantar wakil untuk pergi cari makanan untuk mereka.

ii- dalam ayat ini kita berpindah kepada juzuk selepas pemuda Ashab al-Kahfi itu dijumpai oleh penduduk bandar yang ada pada zaman itu.

Ia adalah episod yang menjadi iktibar dan pengajaran kepada masyarakat yang kebetulan pada masa itu mereka- orang dalam negeri itu sedang berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati.

Jadi mereka menjadi satu dalil akan bukti kekuasaan & kemampuan Allah untuk menghidupkan semula orang mati!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ ۖ

Ayat 21- {Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati.} (Al-Kahfi 18:21)

  1. Allah nyatakan bahawa Ashab al-Kahfi telah didedahkan keadaan mereka kepada orang ramai penduduk bandar yang ada pada masa mereka dihidupkan semula itu.

Pada waktu raja sudah bertukar dan keadaan negeri mereka juga sudah berubah!

Mereka pula tidak berubah jisim dan keadaan badan mereka tetap seperti mereka mula tidur dulu!

  1. Allah datangkan peristiwa ini sebagai satu tanda ayat-ayat Allah atau dalil supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar:

i- kata Ibnu al-Jauzi r.h tentang firman Allah ini- iaitu keadaan orang kampung itu apabila mereka berbincang tentang hari Kiamat mereka menjadi keliru apakah benar Allah boleh menghidupkan semula orang yang telah mati??

Maka Allah datangkan satu bahan bukti yang tepat pada masanya (on time) Allah tunjukkan Ashab al-Kahfi yang mati (tidur) kemudian hidup balik kemudian mati semula di depan mata mereka!

ii- pendapat kedua kata yang bercakap sesama sendiri itu adalah para pemuda kumpulan Ashab al-Kahfi itu sendiri- setelah mereka sedar apa yang berlaku bahawa mereka telah tertidur selama beratus tahun- ini menambahkan keyakinan & keimanan mereka kepada Allah!

*Yakni jika Allah menghidupkan semula manusia yang telah tidur beratus tahun maka itu adalah satu bukti yang jelas lagi nyata!

  1. Beberapa pandangan ulama’ lagi tentang keadaan penduduk negeri itu:

i- kata Ibnu Kathir yang menukilkan ramai pandangan ulama’ Salaf:

Bahawa keadaan penduduk negeri Ashab al-Kahfi pada masa itu mereka beriman kepada Allah tetapi syak akan hari Kiamat iaitu kurang yakin lagi tentang kebangkitan semula atau hidup selepas mati.

ii- kata Ikirimah pula- mereka percaya kepada Hari Kiamat tetapi berpendapat bahawa hanya roh manusia yang dibangkitkan bukan dengan jasad mereka!

*Maka peristiwa Ashab al-Kahfi menjadi bukti yang jelas bahawa kuasa Allah mampu untuk orang mati boleh hidup dengan roh dan jasadnya sekali!

Ini menunjukkan perkara tauhid & ghaib kena ada bukti yang mantap!

  1. Firman Allah: {dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya}- Kiamat itu benar pasti akan berlaku tiada sebarang keraguan tentangnya!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu).} (Ghaafir 40:59)
  3. Berlakunya peristiwa ini iaitu Allah bangkitkan Ashab al-Kahfi itu di saat manusia negeri itu yang sudah beriman tetapi masih sedang mencari bukti kekuasaan Tuhan, nak percaya atau tidak bahawa manusia yang mati boleh dihidupkan, dibangkitkan semula & tentang adanya hari Akhirat.

*Kata ulama’ inilah pentingnya kita bawa dalil & bukti ikut zaman & keadaan semasa agar lebih mudah manusia faham dan menerimanya!

Jika zaman kita ini orang nak kepada sains & teknologi kita bawa jenisnya!

  1. Nota [723] Yakni dengan cara yang demikian, Allah Ta’ala dedahkan hal mereka kepada orang ramai, dengan tujuan supaya manusia yang ingkar, terutama penduduk negeri itu, yang tidak percaya kepada hari akhirat, akan insaf, sesudah mereka mengetahui perihal “Ashaab’ul-Kahfi” yang menakjubkan itu.

فَقَالُوا ابْنُواعَلَيْهِم بُنْيَانًا ۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ ۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا ‎﴿١٢﴾

Ayat 21- {Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.} (Al-Kahfi 18:21)

  1. Nota [724] Allah Ta’ala mendedahkan hal keadaan “Ashaab’ul-Kahfi” itu semasa utusan mereka datang ke bandar hendak membeli makanan.

Ia merasa hairan melihat keadaan bandar dan penduduknya berubah sama sekali.

Penduduk bandar itu pula hairan melihat keadaan orang itu dan makin merasa syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi.

Ia dituduh mendapat harta terpendam lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat dalam hal ugama.

Setelah mendengar kisahnya raja dan orang-orangnya berangkat ke gua “Ashaab’ul-Kahfi” bersama orang itu lalu berjumpa dengan mereka dan mendengar kisah mereka.

Sejurus kemudian mereka mati sesudah memberi selamat tinggal kepada raja dan orang-orangnya.

Pihak raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu.

Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan sebagai kenangan.

  1. Setelah menyaksikan keadaan itu, Ashab al-Kahfi yang ditidurkan hidup semula, kemudian Allah matikan semula mereka di depan mata mereka- yakinlah mereka akan kekuasaan Allah untuk membangkitkan semula manusia pada hari Kiamat kelak!
  2. Setelah itu peristiwa ini menjadikan mereka teruja dan mula nak ghuluw- memuja kepada orang soleh!

Mereka terbahagi kepada dua golongan yang berpendapat:

i- golongan pertama mahu menutup pintu gua itu dengan mendirikan sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka.

*Ini supaya mereka selamat dari permainan dan pujaan melampau manusia terhadap mayat mereka atau gua tempat mereka tidur itu!

Itu untuk menjaga aqidah manusia agar tidak terpesong, menjadi viral di kalangan manusia pula sebagai satu tempat keramat, berkat, mustajab dan seumpamanya!

ii- manakala orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka.” Yakni untuk orang datang beribadat ambil berkat atas kubur mereka!

  1. Kata Ibnu Kathir: Maksudnya {orang yang berkuasa..} itu adalah raja atau pemerintah negeri itu pada zaman itu.

Kata Ibnu Kathir juga: Perbuatan membina masjid atas kubur itu nampak elok tetapi sebenar sesuatu yang amat buruk & tak elok.

  1. Dalilnya sebagaimana sabda Nabi s.a.w: “Allah melaknat kaum Yahudi dan Nasrani kerana mereka menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadat)”. [HR Bukhari & Muslim].
  2. Nabi s.a.w melarang umat Islam daripada mengulangi perbuatan tersebut bagi menjaga kesucian tauhid kerana perbuatan itu dikhuatiri boleh membawa kepada perbuatan syirik atau beribadah kepada selain Allah.
  3. Maka kita jangan cari pasal dilaknat oleh Allah & Rasul s.a.w dengan membuat binaan di atas kubur.
    Tajuk ini panjang pula perbincangannya!

سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ

Ayat 22- {(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”.} (Al-Kahfi 18:22)

  1. Setelah itu orang ramai dan ulama’ juga khilaf pula tentang bilang pemuda Ashab al-Kahfi itu.
    Setiap golongan mengeluarkan pendapat mereka masing-masing.
  2. Allah nyatakan ada dua pendapat pertama:
    i- “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “;

ii- dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” –

*Ulama’ buat kesimpulan bahawa dua pendapat ini adalah salah & tidak tepat kerana selepas itu Allah kata sangkaan mereka itu adalah:
رجما بالغيب
{… secara meraba-raba dalam gelap akan
sesuatu yang tidak diketahui;}.

  1. Kemudian Allah nyatakan pula mereka berpendapat:
    { “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”.}

*Ulama’ kata inilah pendapat yang benar kerana selepas menyebut pendapat ini Allah diam, tidak kata ia benar atau tidak benar!

Masya Allah begitu hebat dan penuh maksudnya bahasa al-Quran ini!

  1. Kata Ibnu Abbar r.a: Aku terdiri daripada golongan yang sedikit iaitu mereka yang memilih pendapat ini bahawa mereka terdiri daripada 7 orang pemuda dan yang kelapannya seekor anjing!
  2. Nota [725] Yakni orang-orang yang datang kemudian, terutama Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang ada dalam zaman Nabi Muhammad s.a.w, mengatakan secara meraba-raba tentang jumlah bilangan “Ashaab’ul-Kahfi” itu.

Ada yang mengatakan jumlahnya tiga orang, ada yang mengatakan lima orang, ada pula yang mengatakan tujuh orang.

Menurut Ibnu ‘Abbas, qaul yang akhir inilah yang benar.
Kerana tatkala Allah Ta’ala menceritakan qaul puak pertama dan yang kedua, lalu dihukumkan bahawa apa yang mereka katakan itu, hanyalah berdasarkan sangkaan semata-mata.

Dengan ini dapat difahami bahawa qaul puak ketiga itulah yang benar.

فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا ‎﴿٢٢﴾‏

Ayat 22- {…Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).} (Al-Kahfi 18:22)

  1. Kemudian Allah s.w.t melarang Nabi s.a.w: Maka cukuplah tak perlu lagi kamu meraba-meraba, mengorek mencari maklumat yang tidak ada dalam al-Quran.

Allah nyatatakan dengan jelas:”Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”.

  1. Allah telah membawa perintah yang jelas:
    i- Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata kerana keterangannya di dalam Al-Quran sudah ada!

ii- dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan yang membincangkannya- yakni tak perlu lagi kamu pergi tanya atau rujuk kepada orang lain seperti para ahli Kitab yahudi atau nasrani!

  1. Yakni apabila kita tahu Allah telah nyatakan bilangan mereka yang benar tak perlu lagi kita cari yang lain atau berbalah lagi tentangnya, tak kerja lebih baik kita selesaikan masalah yang lain.

Maka tak perlu lagi pergi bertanya kepada orang lain seperti ahli Kitab atau sesiapa saja kerana Allah telah nyatakan bilangan mereka, alhamdulillah.

  1. Kunci dalam kepala kita pemuda itu adalah 7 orang bersama seekor anjing.
    Kenapa Allah tak sebut mereka semuanya berlapan?
    Tunggu penjelasannya dalam fawaidh nanti. Kerana itu kita sentiasa pesan jangan terus berhenti atau lari apabila habis tafsir ayat kerana masih ada lagi faedah & pengajaran dari ayat-ayat yang kita akan sampaikan kemudiannya agar tidak berulang!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 21- {Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya;}– demikian Allah dedahkan kisah Ashab al-Kahfi itu kepada masyarakat untuk menjadi satu bahan bukti yang jelas tentang keagungan & kekuasaan Allah s.w.t; maka kamu jangan syak & ragu lagi tentangnya.

Kata ulama’ tafsir:
i- kisah ini menjadi dalil bahawa siapa yang lari menyelamatkan dirinya daripada fitnah; Allah akan selamatkannya!

Dalam keadaan gawat maka kita larilah kepada Allah bukan kepada orang!

ii- siapa yang nak selamat & kesejahteraan- Allah akan lindungi & beri kepadanya kesejahteraan.

iii- siapa yang tidak bergantung kepada Allah, keras kepala, yang over confident; akan jatuh rebah, kecewa dan kerugian nanti jika Allah biarkannya!
Akan terpelanting jauh jika over-confident!

Kita dengan Allah kena banyak pergantungan & tawakkal kita kepada Allah, kena tingkatkan taqwa kepada Allah- barulah kita akan dijaga oleh Allah!

Kesimpulannya kata ulama’ dari kisah Ashab al-Kahfi ini- sesiapa yang bergantung & bertawakkal sepenuhnya kepada Allah- Allah akan lindungi dan jaga mereka dengan cara dan sebab yang hanya Allah ketahui!

  1. Ayat 21- {Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya;…}– kisah Ashab al-Kahfi ini adalah salah satu kisah ajaib yang menunjukkan tanda keagungan & kekuasaan Allah.

Allah buat pelbagai tanda agar manusia dapat berfikir dan melihat akan tanda kekuasaan Allah & keagungan-Nya.

Ayat ini menjadi dalil bahawa manusia kelak akan bangkit dengan roh & jasadnya bersama sebagaimana Ashab al-Kahfi- Allah celik bangunkan mereka dengan dua-dua masih utuh iaitu jasad & roh sekali!

Ashab al-Kahfi adalah antara tanda-tanda, ayat-ayat dalil bukti tentang kekuasaan & keagungan Allah!

  1. Ayat 21- {Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.}- manusia ini apabila mereka teruja atau terlalu kagum akan sesuatu- mulalah mereka akan menjadi ghuluw atau melampau dalam menghormati & memuliakan.

Kata ulama’ tadabbur: Dari ayat ini dapat kita lihat orang yang suka membuat binaan atas kubur untuk mengambil berkat dan menarik perhatian orang ramai ini adalah penguasan dan pemimpin pada setiap masa itu.

Sebagaimana boleh kita lihat contoh di sebuah negara Uzbekistan di mana kubur para imam atau raja mereka pasti akan dibuat binaan yang besar indah lagi megah, menjadi pusat lawatan dan pelancongan dari seluruh dunia.

Hampir setiap masjid yang besar itu rupanya berasal dari kubur orang yang dimuliakan!

Ironisnya- Imam Bukhari r.h- dialah yang meriwayatkan hadis Nabi s.a.w tadi- bahawa Allah melaknat orang yahudi & Nasrani kerana membuat binaan di atas kubur.

Tetapi sedihnya jika kita lihatnya kuburnya hari ini; pemerintah negaranya membina satu bangunan yang amat besar, mewah dan megah di kubur beliau!

Kata Ibnu Rajab: Perbuatan para penguasa ini samada mereka nak ambil berkat atau nak tarik pelancongan, kedatangan orang ramai ke tempat mereka!

Walaupun mungkin ada yang berniat baik pada awalnya- tetapi kita kena ingat baik-baik- punca berlaku sembahan kepada patung & berhala adalah kerana terlalu mencintai orang soleh yang telah tiada dan terlampau dalam memuliakan mereka!

Kita baca tafsir Ibnu Abbas tentang ayat yang menyebut nama-nama berhala: {“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.} [Surah Nuh: 23].

Nama-nama berhala ini asalnya adalah nama kepada orang-orang soleh pada zaman Nabi Nuh itu.

Setelah orang soleh itu meninggal dunia, mereka buat binaan di atas kuburnya, kemudian buat patung yang pada awalnya hanya dihormati & dimuliakan dengan tunduk sedikit demi sedikit akhirnya menjadi patung sembahan! Wal-‘iyazu billah.

Maka punca berlakunya sembahan berhala atas dunia ini adalah kerana terlampau dalam menyayangi dan memuliakan orang soleh yang telah mati- akhirnya mereka disembah & dipuja!

Ini yang kita bimbangkan kerana pada hari ini pun terdapat binaan di atas kubur-kubur yang besar, kubur para wali yang dianggap keramat & berkat lalu menjadi tempat tumpuan orang ramai, pakat pergi bawa bunga, gosok ambil berkat, minta permintaan dan sebagainya!

Jika kita tegur menyatakan ia salah; kita akan dilabel macam-macam, jika kita tak tegur kita akan menjadi syaitan bisu dan dikekang mulut di Akhirat kelak kerana tidak menyatakan kesalahan!

Maka kita buat kesimpulan bahawa membuat binaan di atas kubur ini adalah satu perbuatan yang buruk & dilarang oleh Syara’ kerana Allah laknat mereka dari golongan yahudi & nasrani yang buat binaan ke atas kubur ini!

Jika benda itu baik pastilah Allah tidak akan melaknatnya!
Maka jangan kiat buat perkara yang tidak baik!

  1. Ayat 22- {(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”.}– dalam ayat ini Allah menyatakan beberapa pendapat manusia yang bertelingkah tentang bilangan Ashab al-Kahfi.

Pertama Allah sebut dua pendapat yang dikatakan dibuat hanya secara sangkaan saja seperti secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui.

Yakni ia tidak tepat dan hanya tekaan semata-mata.
Iaitu mereka yang mengatakan:
i- bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka”;

ii- dan yang kata bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka”.

*Ini menunjukkan dua pendapat ini tidak sahih.

Manakala apabila menyebut pendapat yang ketiga iaitu: {.. dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”.}

Allah senyap tidak mengatakannya salah atau benar.

Tetapi Allah suruh Nabi s.a.w- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”.}

Maka Ibnu Abbas berkata dia termasuk dalam golongan yang sedikit ini iaitu yang memilih pandangan bahawa bilangan mereka adalah tujuh & yang kelapannya adalah anjing mereka!

Allah sebut mereka tujuh orang semuanya bersama seeekor anjing sebagai ahli kumpulan yang kelapan.

Yakni anjing disebut sebagai bilangan yang luar dari kumpulan mereka- bukan kata mereka berlapan semuanya.

Sebabnya Allah tidak sebut mereka semua lapan kerana anjing bukan dari jenis manusia, ia adalah spesis makhluk lain- maka ia tak masuk di dalam bilangan tetapi disebut selepas itu sebagai bilangan yang berasingan, tidak masuk sekali.

Contoh kita kata ahli rumah kita ada enam serta seekor kucing- orang tak kata kita ada 7 orang ahli rumah termasuk kucing.

Ia tidak dikira kerana spesis makhluk lain bukan manusia.

Ini sebagaimana dalam firman Allah ini:
{Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada.} (Al-Mujaadalah 58:7)

*Dalam ayat ini Allah menyatakan sekiranya 3 orang berbisik- maka Allah-lah yang keempatnya; dan sekiranya 5 orang berbisik- maka Allah-lah yang keenamnya.

Allah tak kata mereka berempat atau berenam bersama berbisik- ini kerana Allah bukan makhluk seperti manusia.

Begitulah anjing & manusia bukan dari jenis makhluk yang sama.

Akhirnya Allah kata: {{(Sebahagian dari) mereka akan berkata:…}- ini menunjukkan manusia itu akan berbalah bertelingkah tentang bilangan Ashab al-Kahfi.

Kita orang beriman tak mahu berbalah dah, kita terima pendapat Ibnu Abbas yang mengatakan Allah puji pendapat yang ketiga dan membenarkannya.

  1. Ayat 22- {Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).} –

Allah kata kamu tak perlu pergi bertanya kepada ahli kitab dan sesiapa yang tiada pun ilmu yang sebenar tentangnya!

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menjadi dalil tak boleh bertanya fatwa kepada orang yang tidak boleh memberi fatwa.

Ini samada kerana dia tiada kelayakan atau memang tidak pandai, tidak ada ilmu!

Ingatlah orang yang diberi jawatan yang tinggi tidak menunjukkan kepada ketinggian ilmu!

Kerana kadang-kadang ada orang yang tidak layak pun dilantik atas dasar kroni, kabel dan seumpamanya!

Kata as-Sayuti r.h: Ayat ini juga menunjukkan bahawa haram untuk kita pergi berdebat berhujjah dengan puak kafir tanpa ilmu & persediaan yang rapi dan teliti!

Kita jangan terlalu kagum & taksub dengan para pendakwah instant seperti mereka lahir hasil dari program realiti TV atau artis yang baru berhijrah.

Jika pasti mereka benar-benar ada ilmu baru boleh kita ambil ilmu atau ajaran dari mereka.

Berpadalah jika sekadar mengikuti dan mengambil contoh tauladan yang baik tidak mengapa.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Isra’ pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 28/07/2026 – 13 Safar 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1014324648084722

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top