Bacalah Al-Quran, Sabar Duduk Bersama Fuqara’ & Nyatakan Haq Dari Allah S.W.T.

Live Kuliah Pagi Khamis 30/07/2026 – 15 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (10) Ayat [27-29]
Full video: https://youtu.be/BLnKzp98FH4?si=4mHtHmSMCXlav579
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 27 sehingga ayat 29 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bacalah Al-Quran dengan sepenuhnya, baca, mengaji tafsir & tadabburnya, iaitu baca, faham & amal!
- Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk sabar duduk bersama fuqara’ dari kalangan sahabat.
Jangan dok layan puak pembesar kafir yang cuba menyisihkan mereka ini dari sisi Nabi s.a.w & melayan mereka saja! - Kemudian wajib nyatakan yang haq dari Allah s.w.t, orang nak terima alhamdulillah; orang tak terima alhamdulillah juga kerana kita telah menjalankan tugas.
Ini kerana bukan bidang kuasa kita untuk memberi hidayah taufiq. Ia hanya di bawah kuasa Allah s.w.t semata-mata.
Kita hanya mampu memberi hidayah bimbingan dan berdakwah menyampaikan perintah Allah!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t didik kita jika nak buat apa-apa perkara yang akan datang kita kena kata insya’ Allah- iaitu dengan kehendak & izin Allah! Iaitu samada:
a) Secara (تعليقا) iaitu bergantung kepada kehendak Allah- seperti kita berjanji akan buat atau pergi ke sana-sini tetapi ia bergantung kepada kehendak Allah terjadi atau tidaknya; semua perkara atas dunia ini berlaku dengan kehendak dan kuasa Allah.
b) Atau insya’ Allah (تحقيقا) iaitu merealisasikan kehendak Allah yang sudah ada – perkara yang akan berlaku dengan yakin!
Contoh apabila Nabi s.a.w ajar kepada kita untuk beri salam kepada ahli kubur dan berdoa dengan doa ini:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ
“Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni rumah kaum yang mukmin.
Sesungguhnya kami, insya-Allah akan menyusul kamu.”
Kita semua pasti akan mati dan menyusul ahli kubur- maka insya’ Allah di sini bermaksud ia pasti akan terjadi apabila tiba saatnya yang telah ditetapkan Allah.
Contoh kedua: Janji memasuki Masjid al-Haram sebagaimana firman Allah ini:
{لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ}
Allah sudah janji Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat akan masuk Masjid al-Haram dalam keadaan aman — ada yang cukur kepala, ada yang pendekkan rambut.
Benda tu pasti, jadi إِنْ شَاءَ اللَّهُ di sini membawa makna tahqiq dan tabarruk.
Contoh ketiga:
Doa mustajab setiap nabi dan syafaat Nabi صلى الله عليه وسلم.
لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ، فَتَعَجَّلَ كُلُّ نَبِيٍّ دَعْوَتَهُ، وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ مَنْ مَاتَ مِنْ أُمَّتِي لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا.
Setiap nabi ada satu doa yang mustajab. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم simpan doa baginda sebagai syafaat untuk umat pada hari kiamat.
Dengan izin Allah, syafaat itu sampai kepada orang daripada umat baginda yang mati tanpa mensyirikkan Allah.
Imam al-Nawawi jelaskan, إِنْ شَاءَ اللَّهُ dalam bab ini untuk (tabarruk dan tahqiq)- mengambil berkat & membenarkan.
Janji tu benar, janji tu pasti, tetapi semuanya tetap di bawah kehendak Allah.
*Yakni kaedah mudah, ingat baik-baik:
i- janji dan rancangan kita- kita gantung kepada Allah- تَعْلِيقًا;
ii- perkara pasti berdasarkan kepada janji Allah dan Rasul – تَحْقِيقًا، تَأْكِيدًا وَتَبَرُّكًا.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَاتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِن كِتَابِ رَبِّكَ ۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِ مُلْتَحَدًا ﴿٧٢﴾
Ayat 27- {Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.} (Al-Kahfi 18:27)
- Dalam ayat ini Allah perintahkan Nabi Muhammad s.a.w & untuk kita manusia membaca al-Quran dan ikut- turuti perintah dan hukum-hakamnya- beramal dengan perundangan & isi kandungannya, baca kemudian akur & patuh- bukan baca saja!
- Tahap hubungan dengan al-Quran — ingat empat benda ini:
i- Tahap pertama: mampu membaca.
ii- tahap kedua: memahami terjemahan dan tafsir.
iii- tahap ketiga: mengambil faedah dan petunjuk.
iv- tahap keempat: amal.
Hak amal tu hak berat sekali.
- Ramai orang boleh baca al-Quran, alhamdulillah kita suka.
Tapi yang faham tak ramai sangat; yang amal lagi kurang.
Sebab tu kelas tafsir ni kita usaha supaya kita naik taraf- orang muda kata “upgrade”= daripada baca sahaja kepada faham maksud ayat, tadabbur dan akhirnya amal.
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas, Allah turunkan kepada Nabi s.a.w ayat-ayat yang menyebut kisah Ashab al-Kahfi- satu kisah yang ajaib dan pelik;
ii- maka dalam ayat ini Allah perintahkan kepada Baginda s.a.w untuk bacakannya kepada seluruh manusia yang Islam atau tidak agar mereka mendengar dan mengetahui bahawa kisah Ashab al-Kahf bukan dongeng yang Nabi dengar daripada orang, lepas tu balik cerita ke kampung.
Ia adalah wahyu dari Allah Yang Maha Benar, satu kisah yang benar melalui Jibril yang jujur dan amanah kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, yang al-Amin.
- Kemudian Allah tegaskan tiada siapa yang mampu tukar kalimah-kalimah Allah- nak tukar ayat al-Quran, nak tambah atau kurangkannya- tidak akan berlaku sama-sekali kerana Allah jamin Dia yang turunkan al-Quran akan menjaganya!
- Ini sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.} (Al-Hijr 15:9) - Penjajah atau orang kafir tak mampu nak ubah al-Quran tetapi mereka boleh menjauhkan orang Islam dari al-Quran- mereka boleh hadkan al-Quran sekadar untuk tilawah, taranum sahaja- nak tatbiq beramal dengan pandangan al-Quran- NO- tidak sama sekali kerana kononnya bercanggah dengan perlembagaan yang mereka buat!
- Nota [731] Yakni bacalah Al-Qur’an dan amalkan segala perintahnya.
Tiada sesiapapun yang dapat mengubah apa yang telah ditetapkan dan dijanjikannya.
Jika ada yang ingkar, maka orang itu tidak akan terlepas dari hukuman Allah yang menguasai segala-galanya.
- Tetapi jangan bimbang- sesiapa yang berpegang dengan perintah Allah, dengan ayat-ayat Allah- jika ada orang cuba menyekat dan menghalangnya- Allah akan jaganya dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya;
- Apabila orang yang beramal dengan al-Quran boleh jadi dimarah, dihentam, diganyang, dipenjara, disekat atau dihalang dakwahnya.
Tapi ujian tu tak bererti Allah tinggal dia; boleh jadi ujian untuk angkat darjat.
Kita ada Allah yang melindungi. Orang yang pegang kitab Allah dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Allah jaga.
Kalau datang ujian, itu ujian untuk angkat darjat.
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ
Ayat 28- {Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata;…} (Al-Kahfi 18:28)
- Munasabah ayat:
i- apabila Allah suruh baca al-Quran & mempertahankan al-Quran;
ii- datang ayat ini Allah suruh bersabar bersama ahli al-Quran yang susah dan dizalimi.
Bukan hanya bersama orang kaya dan besar saja!
- Dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w untuk terus bersabar, kekal bersama sahabat dari kaum faqir & golongan yang lemah- mereka ini golongan yang beirman, yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang semata-mata mengharapkan keredaan Allah semata-mata;
- Maksud وَاصْبِرْ نَفْسَكَ: tahan diri mu dan kekal duduk bersama sahabat yang berdoa, beristighfar dan bermunajat pagi petang, semata-mata mencari reda Allah.
Walaupun baju dia lusuh dan tak “smart”, jangan kamu layan dan ikut karenah cadangan puak kafir yang mahu mereka dihalau keluar dari majlis Nabi s.a.w dan disisihkan.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.} (Al-An’aam 6:52)
*Jangan hambat tubik orang yang sedang beribadat kepada Tuhan pagi dan petang hanya kerana orang VIP nak masuk, mari duduk sekali.
- Nota [732] Allah Ta’ala mengingatkan Baginda supaya sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang Islam, sekalipun mereka miskin; dan janganlah Baginda menurut kehendak orang-orang musyrik dari golongan bangsawan yang mengatakan mereka akan beriman kalau Baginda menjauhkan diri dari sahabat-sahabat Baginda yang miskin; kerana orang-orang musyrik itu yang telah lalai hatinya dengan kekufuran, tidak diharap untuk beriman.
- Hadis Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas r.a, beliau menceritakan:
“Kami pernah berada di sisi Nabi S.A.W seramai enam orang. Lalu orang-orang musyrik berkata kepada Nabi S.A.W:
‘Halaulah orang-orang ini, supaya mereka tidak bersikap biadap (berani/setaraf) dengan kami.'”
Sa’ad menyambung: “Enam orang itu adalah aku sendiri (Sa’ad), Ibnu Mas’ud, seorang lelaki daripada kabilah Huzail, Bilal, dan dua orang lelaki lagi yang tidak aku sebutkan namanya.”
“Maka sempat terlintas di dalam hati Rasulullah S.A.W apa yang dikehendaki Allah untuk terlintas (baginda berfikir tentang kemasukan Islam pembesar tersebut).
Baginda berbicara dengan dirinya sendiri, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan ayat: ‘Dan janganlah engkau menghalau orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharap keredaan-Nya…’ (Surah al-An’am: 52).” — [HR Muslim]
*Tengoklah kemuliaan sahabat miskin yang sentiasa mengingati Allah pada waktu pagi & patung sehinggakan Allah sendiri pertahankan mereka.
- Ulama ambil faedah daripada ayat ni bahawa Allah puji orang yang berdoa dan berzikir pada waktu pagi dan petang.
فِيهِ دَلَالَةٌ عَلَى أَنَّ الدُّعَاءَ وَالذِّكْرَ بِالْغَدَوَاتِ وَالْعَشِيَّاتِ مِنْ أَفْضَلِ الْأَعْمَالِ.
DDAAM ingatkan jemaah jangan tinggal zikir pagi petang.
Di PSD buku zikir diberi kepada tetamu dan warga pondok.
Siapa datang PSD boleh minta dengan admin; versi PDF pun ada.
“Kita sebar dan kempen zikir pagi petang sebab kita sayang muslimin dan muslimat.
Biarlah kita masuk kumpulan yang Allah puji — orang yang berzikir pagi dan petang.”.
Sila ambil buku percuma (Waqaf)
1- Zikir Sebelum Salam & Selepas Solat.
2- Perisai Muslim.
Link:
https://abuanasmadani.com/download-category/buku-zikir/
Semoga Bermanfaat!
وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ
Ayat 28- {… dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia;…} (Al-Kahfi 18:28)
- Allah juga mengingatkan Nabi s.a.w agar jangan sesekali berpaling mata daripada orang beriman yang miskin semata-mata nak dekat dengan orang kaya dan berpengaruh.
Baju lusuh, selipar putus, tak smart tak apa. Nilai dia di sisi Allah bukan pada penampilan. - Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
{Janganlah engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu) dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin).} (Al-Hijr 15:88)
وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا ﴿٨٢﴾
Ayat 28- {… dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.} (Al-Kahfi 18:28)
- Kemudian Allah juga mengingatkan Nabi s.a.w agar jangan ikut orang yang hatinya lalai daripada Allah dan menolak al-Quran.
Kesibukan dunia boleh ubah orang daripada “ahli korporat” jadi “keparat”, iaitu apabila halal haram, dosa pahala, syurga neraka semua tak peduli lagi kerana mengejar dunia. - Kerana mereka itu perangai dan tingkah-laku mereka amat jahat dan hanya inginkan dunia serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran!
- Yakni bila hati lalai, hawa nafsu jadi ketua. Mereka pilih kufur, syirik dan maksiat daripada iman, tauhid dan taat.
Orang beriman jangan duk ikut jalan puak ni.
وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ
Ayat 29- {Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.} (Al-Kahfi 18:29)
- Munasabah ayat:
i- apabila Allah ingatkan Nabi s.a.w agar jangan layan karenah para pembesar puak kafir itu samada cadangan atau permintaan mereka;
ii- datang ayat ini Allah nyatakan kerja Nabi s.a.w hanyalah menyampaikan apa yang benar dari Allah!
Maka jika mereka nak terima dakwah Nabi s.a.w terimalah, jika mereka tak nak terima tidak mengapa kerana Allah telah siapkan api neraka untuk mereka di Akhirat kelak!!
- Ayat ini adalah amaran kepada puak kafir Quraisy yang telah membaca dan faham apa yang disampaikan di dalam al-Quran.
Ayat ini: {.. siapa mahu beriman, berimanlah; siapa mahu kufur, kufurlah.}- bukan ayat suruh atau pilihan tetapi ayat amaran- kamu beriman alhamdulillah, kamu nak kufur maka tunggulah balasannya di Akhirat kelak!!!!
- Ayat ini bukan lesen bahawa kufur tetapi ia adalah ayat تَهْدِيدٌ — amaran, ancaman dan cabaran — sebab ayat selepas tu terus sebut neraka.
Macam kita cakap kepada anak: “Mu nak buat, buat; tak mahu buat, ikut mu.. tetapi akibatnya sekian, sekian.” Ini adalah amaran bahawa setiap keputusan ada akibatnya.
- Maka jika kamu pilih untuk terus kufur & ingkar- maka terimalah Allah telah sediakan untuk orang kafir yang zalim; api neraka untuk membakar kamu yang akan melitupi kamu sepenuhnya tanpa ada ruang!
- Nota [733] Setelah diterangkan bahawa apa yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w itulah kebenaran yang datangnya dari Allah s.w.t, lalu ditegaskan supaya masing-masing memilih, samada mereka mahu beriman atau kufur.
Jika mereka tetap kufur maka mereka disediakan azab neraka yang tidak terperi.
- Kemudian Allah perintahkan Nabi صلى الله عليه وسلم agar isytihar terang-terang bahawa al-Quran yang dibawanya ialah kebenaran daripada Allah. Bukan dakwaan sembunyi, bukan reka cipta manusia.
Pembesar Quraisy reti bahasa Arab dan tahu keagungan al-Quran tetapi tetap menolak.
Ini kerana masalah mereka bukan tak tahu, tapi degil tak mahu tunduk.
إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِن يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا ﴿٢٩﴾
Ayat 29- {Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.} (Al-Kahfi 18:29)
- Allah nyatakan bahawa Dia sudah sediakan api neraka untuk orang zalim dan kafir.
Api tu meliputi mereka macam khemah atau dinding dari semua arah. Tak ada jalan keluar, tak ada pintu nak lari, tak ada jalan keluar.
- Allah bawa gambaran azab siksa neraka sebagai amaran:
i- api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah;
ii- dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; seperti al-muhl {كَٱلْمُهْلِ}- logam atau minyak mendidih yang sangat panas — sampai membakar muka.
Setitik air panas dunia pun kita dah melompat; bagaimana kalau air neraka dicurah ke mulut?
وَالْعِيَاذُ بِاللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ.
iii- amatlah buruknya minuman itu,
iv- dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.
*Nota [734] “Tempat bersenang-senang”, ialah sebagai ejekan bagi orang-orang kafir itu, yang akan menderita azab neraka yang seburuk-buruknya.
- Maka jangan duk berlagak berani, jangan “tunjuk gedebe” dengan Allah.
Marilah kita tunduk, beriman dan taat. - Manakala tugas Rasul dan pendakwah ialah sampaikan kebenaran daripada Allah.
Manusia boleh pilih perbuatan, tapi tak boleh lari daripada akibat: iman menuju rahmat dan syurga; kufur menuju azab.
Penutup & Faedah #
- Ayat 27- {Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya;..}-
Allah perintahkan kepada Nabi s.a.w untuk sentiasa membaca al-Quran- kerana Nabi s.a.w sudah sentiasa membaca al-Quran maka ini adalah sebagai perintah untuk kita umat Nabi s.a.w juga.
Walaupun Nabi صلى الله عليه وسلم sentiasa baca al-Quran, Allah tetap suruh baginda baca dan sampaikan. Maknanya kita pun kena sentiasa baca kitab Tuhan yang penuh hidayah dan garis panduan.
Allah perintahkan untuk kita membaca kitab al-Quran.
Apabila kita telah membacanya wajib kita beramal dengannya.
DDAAM sangat galakkan & kempen untuk membaca al-Quran.
Bila mushaf sudah ada depan mata, jangan setakat simpan atas almari.
Kita kena baca, cari peluang faham dan usaha amal.
Kemudian bagi yang tak pandai- wajib belajar untuk mengaji membaca al-Quran biar pandai.
Pada zaman pen pun pandai baca al-Quran- malulah kepada Allah jika kita manusia tak tahu pula baca al-Quran.
Zaman sekarang kelas banyak, kemudahan banyak; pelik sungguh kalau orang sihat akal tapi langsung tak mahu belajar mengaji.
Hari ini juga banyak sekali kelas-kelas al-Quran yang percuma di masjid-masjid apatah lagi yang berbayar!
Kalau ada duit, bayar pun apa salahnya — kita bayar untuk ilmu.
Kalau tak ada duit pula cari hak free di masjid.
Kadang-kadang kelas ada, guru ada; orang hak nak datang belajar tu yang tak ada; kelas banyak yang nak belajarnya tak ada pula!!!
- Ayat 28- {Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang,..}– dalam ayat ini Allah memuji, bagi kredit kepada orang yang sentiasa berzikir kepada Allah.
Ia juga menunjukkan pentingnya untuk kita sentiasa membaca zikir pagi & petang setiap hari tanpa berhenti!
Jangan lupa buku zikir pagi petang yang diusahakan ilh DDAAM.
Siapa belum ada, boleh minta dengan admin; naskhah bercetak diberi percuma setakat kemampuan, PDF pun ada dalam talian.
Zikir bukan lidah bergerak sahaja. Hati kena hadir, anggota kena taat.
Orang yang berzikir dengan ikhlas berada dalam majlis yang Allah puji.
Majilis zikir ialah majlis belajar ilmu dan melakukan amal ibadat kepada Allah!
Kata ulama salaf:
مَجَالِسُ الذِّكْرِ مَجَالِسُ الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ.
Majlis zikir termasuk majlis ilmu — tempat kita belajar halal haram, faham maknaal-Quran, nak belajar sunnah.
Jadi kuliah lepas Subuh ni pun majlis zikir, sebab kita duduk belajar ilmu Allah.
Syaratnya, ingat molek :يُُرِيدُونَ وَجْهَهُ — semata-mata kerana Allah.
Jangan mengaji dan berzikir kerana nama, pujian atau kepentingan lain.
Mesti Ikhlas kerana Allah.
Semoga kita semua menjadi ahli yang berzikir pagi petang siang malam & menjadi orang yang diredhai Allah!
- Ayat 28- {Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang,}– ayat ini suruh kita bersahabat dengan orang baik dan soleh walaupun dia tak kaya, baju lusuh, selipar pun cabut tali.
Ayat ini menjadi dalil untuk kita bersahabat dengan orang yang soleh dan rajin beribadat.
Kita bersahabat dengan dia sebab iman, ilmu dan akhlaknya, bukan sebab penampilan.
Ingatlah betapa anjing Ashab al-Kahfi disebut beberapa kali di dalam al-Quran- ini kerana ia bersahabat dan menemani orang yang soleh dan mulia!
Jika anjing yang duduk dengan Ashab al-Kahf pun disebut dalam al-Quran, macamana dengan kita yang benar-benar berkawan dan duduk bersama orang soleh yang kuat ibadat, kuat mengaji?
Jadi kita bersahabatlah dengan orang soleh- cari mereka berada di mana saja di masjid, di pusat-pengajian, di pondok, di dalam kelas-kelas ilmu dan lain-lain.
Jaga diri daripada melakukan perbuatan tak baik dan membawa kemurkaan Allah!
Satu bait syair yang amat menaraik:
وَخَمْسَةٌ عِلَاجُ ضَعْفِ الْهِمَّةِ، مِنْهَا: قِرَاءَةُ سِيَرِ الْأَئِمَّةِ، وَصُحْبَةُ الصَّالِحِينَ..
5 perkara untuk menaikkan semangat & iman, menghilangkan sifat malas dalam ibadat antaranya ialah:
i- membaca sejarah kisah-kisah imam & orang soleh terdahulu —قِرَاءَةُ سِيَرِ الْأَئِمَّةِ.
ii- bersahabat dengan orang yang soleh & kuat semangat—صُحْبَةُ الصَّالِحِينَ.
Baca sejarah ulama besar boleh naikkan cita-cita.
Duduk bersama orang soleh yang kuat semangat pula boleh tarik kita jadi kuat.
Baki faedah daripada bait tu, insya-Allah dihuraikan dalam siri lain.
- Ayat 28- {… dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran.}– dalam ayat ini Allah memberi peringatan lagi kepada Nabi s.a.w untuk disampaikan kepada kita umatnya.
Jangan kamu duduk dalam majlis orang yang lagha walaupun orang besar.
Kalau sembang hanya projek, duit, jawatan dan kerusi — mati dan akhirat tak sebut — lama-lama hati kita pun rosak.
Kita panggil “geng أَصْحَابُ الْكَرَاسِيِّ” — iaitu mereka yang asyik berebut kerusi (jawatan & kedudukan).
Kita tak mahu berebut kerusi kuasa; kita nak berebut tikar sejadah, saf depan dan bawah dagu ustaz untuk menimba ilmu.
Yakni Allah larang daripada bersama mereka yang kejar dunia lupa Akhirat.
Mereka tak ingat kepada mati, mereka hanya ingat projek sana projek sini; akhir sekali mati, tak tahu ke mana.
Mereka adalah pengikut hawa nafsu yang kerjanya hanya kejar dunia.
Jangan biar hati kita hidup untuk pamer dunia sahaja.
Ayat ini melarang kita daripada bersahabat dengan orang yang tidak baik sekaligus isyarat jika kita nak zikir kena berzikir dengan lidah, hati dan anggota.
Allah cela hati yang lalai, bukan setakat lidah yang diam.
Zikir pula kena ikut sunnah. Tak payahlah duk bertempik, melalak kuat tengah malam buta sampai ganggu orang; begitu bukan ukuran zikir. Kita nak ingat Allah mengikut cara yang Allah dan Rasul ajar.
- Ayat 29- {Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman;}- katakanlah kebenaran yang datang itu dari Allah.
كُنْ مَعَ اللَّهِ، وَالْزَمْ كِتَابَ اللَّهِ، وَاتَّبِعْ سُنَّةَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.
Jika kita nak jadi manusia yang benar- jadilah كُنْ مَعَ اللَّهِ — bersamalah dengan Allah, berpegang dengan kitab Allah dan ikut sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم: maka kita akan jadi manusia yang baik, manusia yang benar!
Ayat ini pula: { فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ}- :
i- jangan dipusing oleh geng liberal seolah-olah iman dan kufur sama sahaja.
Bukan begitu- jika kamu pilih iman dan taat, menuju syurga.
Jika kamu pilih kufur, neraka menunggu. Betulkan prinsip kefahaman ini.
ii- betulkan juga kefahaman: ayat ni bukan pilihan untuk kamu nak jadi kafir atau mukmin.
Ini adalah ayat: تَهْدِيدٌ وَوَعِيدٌ — amaran dan ancaman. Jika kamu pilih iman, ada balasan iman; kamu pilih kufur, ada akibatnya.
Sekali lagi ingatlah bahawa ayat ini bukan pilihan- ia adalah ayat amaran & ancaman; siapa nak beriman silakan, siapa yang tak kafir- biarkan dia menuju neraka.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 30/07/2026 – 15 Safar 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1017025764481277&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
