View Categories

(11) Surah Al-Kahfi: Ayat 30-31

11 min read

Pahala Orang Mukmin Tidak Putus, 4 Sifat Nikmat Syurga & Tempat Tinggal Mereka

Live Kuliah Pagi Sabtu 01/08/2026 – 17 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (11) Ayat [30-31]

Full video: https://youtu.be/VbC648N_opE?si=5Ey2cgWp13NW9d_B

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 30 sehingga ayat 31 dalam juzuk kelimabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa orang yang beriman dan beramal soleh tidak akan disia-sia hasil titik peluhnya!

Pahala orang mukmin tidak putus, segala kebaikan kita akan dihitung, dihisab dan akan mendapat ganjaran pahala dan balasan yang tidak putus walaupun sedikit.

Amalan kita dikira dengan zarrah (atom) yang paling kecil, sedikit buat tetapi besar pahalanya- masya’ Allah.

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan 4 sifat & nikmat Syurga yang disediakan Allah untuk orang mukmin.
    Banyak lagi nikmat syurga cuma dalam ayat ini Allah bawa 4 nikmat saja dulu.
  2. Di akhir ayat Allah nyatakan pahal yang besar, syurga adalah satu nikmat yang besar, menjadi tempat tinggal mereka yang kekal abadi.

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ أَهْلِهَا

Ya Allah, jadikanlah kami, ibu bapa kami, keluarga kami, orang yang kami sayangi dan semua pelajar kami daripada kalangan ahli syurga yang Engkau sayangi dan Engkau redhai. Amin ya Rabbal ‘alamin.

*Allahu Akbar, apabila mendengar cerita nikmat syurga, hati kita sepatutnya suka dan gembira.

Tawaran istimewa di pasar raya pun orang sanggup beratur awal pagi; tawaran Allah yang kekal ini jangan pula kita buat tidak tahu.

Rugi besar kalau manusia mendengar tetapi tidak mahu bergerak menuju kepadanya.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang janji amaran & ancaman keras terhadap orang yang tidak mahu beriman, melawan Tuhan, menentang hukum Allah tidak mahu beriman;

ii- maka datang ayat ini pula Allah bawa janji yang baik & yang menenangkan hati orang yang beriman & beramal soleh iaitu mereka akan diberi ganjaran pahala yang begitu besar!

*Inilah uslub al-Quran tidak akan datang hanya dengan sebelah sayap- tetapi seimbang sayapnya, sebut yang buruk akan diikuti dengan yang baik pula, akan dibawa yang negatif & positif, amaran & galakan!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا ‎﴿٠٣﴾‏

Ayat 30- {Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.} (Al-Kahfi 18:30)

  1. Allah nyatakan bahawa bagi sesiapa yang beriman & beramal soleh- iman & amal soleh ini kembar siam yang tidak boleh dipisahkan untuk mendapat ganjaran yang Allah janjikan ini!
  2. Maksudnya orang yang beriman ialah:
    i- yang beriman dengan penuh keyakinan iaitu:
    -membenarkan dengan hati التَّصْدِيقُ بِالْقَلْبِ (at-tasdiqu bil-qalb): ini hanya Allah yang tahu.

-mengucapkan dengan lisan الْقَوْلُ بِاللِّسَانِ (al-qaulu bil-lisan): ini secara zahir yang boleh didengar orang;

-dan beramal soleh dengan anggotanya وَالْعَمَلُ بِالْأَرْكَانِ (wal-‘amalu bil-arkan): juga perbuatan zahir.

Tiga komponen iman ini wajib dan seiring & bersama barulah sah imannya.

  1. Soal hati & batin manusia- tiada orang lain yang tahu kecuali pemilik hati itu sendiri & pemilik tuan hati itu iaitu Allah s.w.t Penciptanya.
  2. Prinsip penting: – وَاللَّهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ:
    Kita menghukum perkara yang zahir; urusan rahsia hati diserahkan kepada Allah.

Maka jangan mudah membaca niat orang, menghukum isi dada orang atau mendakwa kita tahu apa yang tersembunyi.

  1. Kemudian beramal soleh- syarat beriman wajib pula beramal soleh- dua ini tidak boleh dipisahkan kerana amal itulah yang menzahirkan watak seseorang.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w- “Tanda perbezaan antara kita orang beriman & orang kafir ialah solat!”

*Kumpulan Murjiah yang tidak diiktiraf oleh ahli Sunnah wal-Jamah- mengatakan bahawa apabila sudah beriman tidak perlu beramal, jika tidak solat pun akan dikira beriman juga!

Kita hari ini ada juga- iaitu mereka yang sekular yang tidak mahu beramal.

  1. Sedangkan jelas bahawa amal pula menjadi bukti zahir keimanan.

Seseorang boleh berkata dia beriman, tetapi solat, puasa, aurat, akhlak dan ketaatanlah yang menampakkan kesan iman itu.

Sebab itu ibu bapa perlu mengambil berat solat anak-anak.

Kadang-kadang sudah tiga kali kejut, belum bangun juga.
Maka sabar—tiga kali tidak jalan, cuba lagi.

  1. Perintah solat kepada keluarga datang bersama perintah supaya bersabar melaksanakannya- sebagaimana firman Allah s.w.t:
    { وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا}.
  2. Hadis riwayat daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah S.A.W bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.” [HR at-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68) Sanadnya Lemah “Dhaif”].
شعيب الأرنؤوط، تخريج المسند لشعيب (١١٦٥١) • إسناده ضعيف • أخرجه الترمذي (٣٠٩٣)، وابن ماجه (٨٠٢)، وأحمد (١١٦٥١) واللفظ

  1. Orang munafiq hanya akan ke masjid untuk tunjuk muka bahawa dia orang beiman bukan kerana nak beribadat kepada Allah!
  2. Allah tegaskan sesiapa yang beriman & beramal soleh itu- Allah tidak akan sia-siakan atau menghilangkan amalan yang telah dibuatnya itu.
  3. Apakah maksud “Amalan yang Terbaik”? Syeikh al-Fudhail ibn ‘Iyadh r.h.m ketika menerangkan maksud أَحْسَنَ عَمَلًا (ahsana ‘amala).
    Beliau menghuraikannya sebagai:
    أَخْلَصُهَا وَأَصْوَبُهَا :
    Iaitu amalan yang paling ikhlas dan paling betul.
    Ini kerana:
    i- Ikhlas sahaja tidak memadai kalau caranya tidak betul;

ii- cara yang betul pula tidak memberi makna kalau niatnya untuk menunjuk-nunjuk.

*Iaitu kamu buat ikhlas kerana Allah & bertepatan dengan ajaran (Sunnah) Nabi s.a.w- dua-dua mesti ada, mesti serentak jika tidak, tak menjadi.

  1. Sebagaimana firman Allah juga:
    {(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.} (Al-Kahfi 18:104)

*Orang kafir menyangka dia betul & amalannya adalah benar!

Sebagaimana yang sering kita ulang & ingatkan- syarat sah amalan itu agar tidak menjadi sia-sia dan rugi saja ialah:
i- ikhlas kerana Allah;
ii- bertepatan dengan Sunnah Nabi s.a.w.

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain;} (A-li’Imraan 3:195)

*Bila kita berdoa minta kebaikan- Allah kata Dia akan terima, tidak akan sia-siakan amalan orang yang beriman & soleh, samada lelaki atau perempuan.

أُولَٰئِكَ لَهُمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّن سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُّتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ ۚ نِعْمَ الثَّوَابُ وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا ‎﴿١٣﴾

Ayat 31- {Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.} (Al-Kahfi 18:31)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa Dia beri pahala & balasan yang baik bagi orang yang beriman, taat & beramal soleh;

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan akan disediakan balasan & detailkan 3 perkara; tempat tinggal mereka iaitu syurga, pakaian mereka & bagaimana cara mereka duduk di dalam syurga itu!

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan beberapa sifat & nikmat yang ada di dalam syurga yang kekal abadi itu:

i- istana dan kebun-kebun indah yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn” serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.} (At-Taubah 9:72)

ii- mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas; Allah hiaskan ahli syurga lelaki & perempuan dengan perhiasan emas seperti gelang dan seumpamanya.
Tiada larangan di dalam syurga hatta bagi lelaki yang di atas dunia di larang.

iii- dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; pakain mereka ahli syurga adalah sutera hijau yang lembut dan menenangkan mata.

Sutera itu banyak jenis, ada yang nipis {سُندُسٍۢ} ada juga yang tebal {وَإِسْتَبْرَقٍۢ}- semuanya ada di dalam syurga.

iv- mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias) {ٱلْأَرَآئِكِ}.

Iaitu di atas singgahsana atau pelamin yang berhias indah penuh dengan aneka perhiasan dan sebagainya.

Keadaan mereka pula berteleku atau bersandar di atasnya dengan penuh selesa dan kerehatan.

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;
Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;} (Yaa Siin 36: 55-56)

*Masing-masing sibuk dalam syurga- bukan sibuk berkerja tetapi sibuk menikmati segala anugerah & nikmat yang Allah sediakan!

Di syurga, nikmatnya bersih dan sempurna. Allahu akbar!

  1. Allah nyatakan semua itu adalah:
    i- balasan yang sebaik-baiknya;
    ii- dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,
    Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.} (Al-Furqaan 25: 75-76)
  3. Ayat ini membawa empat gambaran utama tentang nikmat ahli syurga.

Nikmat syurga tentu jauh lebih banyak, tetapi empat perkara ini sudah cukup membuat hati orang beriman rindu dan bersemangat.

*Ya Allah jadikan kami dari ahli syurga.

Penutup & Faeda #

  1. Ayat 30- {Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh…}– iman & amal mengikut ahli Sunnah tidak boleh dipisahkan!

Allah kata Dia akan balas amalan yang kita buat dengan ikhlas & betul bertepatan dengan ajaran & Sunnah Nabi s.a.w.

Begitulah uslub al-Quran- bila sebut azab ada sebut nikmat, sebut neraka ada pula syurga, itulah uslub menggalakan (الترغيب) dan menakutkan (الترهيب).

Jika hanya ancaman menakutkan saja manusia akan lemah & hilang semangat manakala jika galakan & dorongan saja manusia akan menjadi cuai & lagha!

Begitu juga kaedah dakwah dan pendidikan Islam yang menggabungkan unsur galakan pahala (targhib) serta amaran azab (tarhib).

Maka jangan sesekali kita berani langgar hukum yang Allah telah tetapkan kepada kita!

Jika tidak kita akan kerugian kerana cari pasal dengan Allah s.w.t.

  1. Ayat 30- {… Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.}-

Allah kata Kami tidak sia-siakan, hampakan amalan orang yang soleh.

Sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Sheikh al-Fudhail bin Iyyadh tadi, syarat amalan untuk menjadi soleh ialah- ikhlas & mutaba’ah Nabi s.a.w.

Inilah yang kita nak ajar & kempen masyarakat untuk berpegang dengan Sunnah Nabi s.a.w.

Kita kena ibadat ikut yang Nabi s.a.w ajar bukan ikut yang orang ajar semata!

Masalahnya manusia ini suka yang pelik bukan yang sahih!

Sanggup tinggalkan yang diajar oleh Nabi s.a.w ikut yang tok ayah atau tok Syeikh ajar!

Jika amalan ikhlas & ikut Nabi s.a.w barulah kita selamat, insya’ Allah!

  1. Ayat 31- {Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas,…}-

Allah kata Aku sediakan bagi kamu dalam syurga ini 4 nikmat!

Pertama tempat tinggal iaitu syurga, yang penuh nikmat & kekal abadi.

Kemudian perhiasannya dari emas untuk semua lelaki & perempuan.

Jika atas dunia haram bagi lelaki tetapi di dalam syurga tidak ada lagi pengharaman itu, ia menjadi perhiasan dan pakaian untuk semua ahlinya.

  1. Ayat 31– {… dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam;}– kemudian Allah ceritakan juga tentang pakaian ahli syurga iaitu sutera yang indah.

Ada sutera yang nipis ada sutera yang tebal- dengan bermacam perhiasan & keindahannya.

Di dalam syurga- lelaki juga boleh pakai sutera yang diharamkan ke atas mereka di atas dunia ini- sama seperti emas tadi.

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.} (Al-Hajj 22:23)

  1. Ayat 31- {… mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias).}-

Allah juga ceritakan keadaan ahli syurga, gaya duduk mereka di dalam syurga.

Ada kata duduk menyandar, berteleku, bersila dan seumpamanya tak perlu kita fikirkan macamana pun;

Yang penting gaya hidup di dalam syurga penuh relax & rehat, hanya bersenang-lenang menikmati segala nikmat & anugerah syurga!

Jadi untuk hari ini Allah sebut 4 nikmat baru- yang Allah tak sebut lagi ialah nikmat bidadari di dalam syurga yang begitu cantik jelita.

Doa Penutup:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا وَأَهْلِينَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Ya Allah dengan nama-Mu yang indah & sifat-Mu yang tinggi– jadikan kami, ibu bapa kami, keluarga yang kami sayangi dan dan para penuntut ilmu daripada ahli syurga yang Engkau sayangi dan Engkau redhai.

Kurniakan kepada kami amalan yang ikhlas, benar dan diterima.
Amin ya Rabbal ‘alamin.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 01/08/2026 – 17 Safar 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1017795311070989

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top