View Categories

(16) Surah Al-Kahfi: Ayat 47-49

15 min read

Bumi Mahsyar Rata, Surat Amalan Dibentangkan & Semua Amalan Tercatat

Live Kuliah Pagi Khamis 06/08/2026 – 22 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (16) Ayat [47-49]

Full video: https://youtu.be/8IR3awRI1So?si=2J_Ser5KfvStrTKb

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 47 sehingga ayat 49 dalam juzuk kelimabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan pada hari Kiamat bumi menjadi rata, tiada bukit tiada pokok hanya kosong!

Ketika itu Allah akan kumpulkan semua manusia dari awal kejadian sehingga ke hari Kiamat. Ia dipanggil bumi Mahsyar yang kosong.

  1. Apabila manusia yang dibangkitkan berkumpul semuanya, pada ketika itulah rekod amalan dibentangkan dan diserahkan kepada tuannya masing-masing.

Pada hari itu kita tahulah apa yang kita buat atas dunia dulu betul atau tidak, baik atau tidak- tetapi tak boleh buat apa dah masa tu!

  1. Di dalam rekod itu ada semuanya, amalan yang besar atau kecil- tercatat semuanya.

Pada hari itu Allah beri jaminan- tiada orang yang dizalimi kecuali orang yang menzalimi dirinya sendiri dengan kufur, maksiat, mungkar dan segala perkara yang dibenci Allah!

أَللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ

“Ya Allah, lindungilah kami dari api neraka.”

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang dunia ini yang hina & tak bernilai serta hari Kiamat pasti datang & kekal.

Pada hari Kiamat kita bukan berbangga dengan harta yang banyak tetapi kita berbangga dengan iman & amal soleh.

ii- dalam ayat ini Allah nyatakan mercu tanda hari Kiamat itu ialah bukit-bukau tercabut, tiada pokok & bumi menjadi rata.

  1. Dalam 3 ayat yang kita baca hari ini terdapat lima perkara berkaitan iaitu:

i- bukit terbang
ii- bumi menjadi rata- ini lokasi tempat perhimpunan- bumi ini juga cuma berubah lanskapnya.

iii- Allah kata Dia akan kumpulkan semua manusia, sorang pun tak tertinggal.

iv- semua manusia akan berkumpul berjujuk beratur di hadapan Tuhan- Saf-saf.
Kamu akan datang dalam keadaan seperti kamu awal dilahirkan dulu iaitu tidak bersunat, tidak berbaju & berselipar.

v- selepas berkumpul- dibentangkan suratan amalan setiap manusia.

Allah bagi jaminan semua tulisan ada, tidak tertinggal satupun dan tidak akan ada orang yang dizalimi!

Ya Allah jadikan kami orang yang menerima suratan amalannya dengan tangan kanan!

*Ini adalah 5 point atau Ma’alim Yaum al-Qiyamah (keadaan-keadaan pada Hari Kiamat) dalam ayat-ayat ini.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ وَتَرَى الْأَرْضَ بَارِزَةً وَحَشَرْنَاهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا ‎﴿٧٤﴾

Ayat 47- {Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.} (Al-Kahfi 18:47)

  1. Allah ingatkan bahawa pada hari Kiamat kelak- Allah akan cabut bukit daripada tempatnya, bukit akan tercabut, terbang lalu hancur lebur tiada meninggalkan kesan!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan banyak firman Allah tentang bukit terbang, antaranya:

i- {Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap – tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.} (An-Naml 27:88)

ii- {Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);} (At-Takwiir 81:3)

  1. Tanda hari Kiamat yang kedua ialah kamu akan lihat bumi itu rata & terdedah semuanya!

Apabila kita bangkit kelak seolah kita bangkit d bumi lain- tiada lagi bumi seperti dunia yang kita diami dulu!

  1. Nota [739] Yakni pada hari hampir kiamat dan sampai saat kebinasaan alam, segala gunung-ganang akan hancur-lebur dan berterbangan ke udara sebagai debu, sehingga seluruh muka bumi, yang telah kosong dari gunung-ganangnya, kelihatan rata dengan nyatanya.
  2. Kemudian Allah kata Dia kumpulkan semua manusia, berhimpun pada satu tempat untuk dihisab & pembalasan!

Pada hari itu tidak ada seorangpun yang terlepas; semua manusia sejak dari Nabi Adam sehingga yang terakhir hidup pada hari Kiamat akan bangkit hidup semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar itu!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,} (Al-Waaqi’ah 56:49)
  2. Nota [740] Sesudah itu, sekalian makhluk akan dibangkitkan dari kuburnya dan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk dihitung amalnya dan menerima balasan.

 وَعُرِضُوا عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّا لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّن نَّجْعَلَ لَكُم مَّوْعِدًا ‎﴿٨٤﴾

Ayat 48- {Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu sekarang telah datang kepada Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)”.} (Al-Kahfi 18:48)

  1. Ini adalah peristiwa keempat dalam urutan pada hari Kiamat.
    Pada hari itu setiap manusia akan bangkit dan datang seorang diri tanpa anak, isteri, kawan atau keluarga, tiada pengiring mahupun pengawal!

Datang seorang diri sebagaimana kamu lahir ke dunia dulu- tanpa ada harta & pengikut yang dibangga-banggakan dulu!

  1. Nota [741] Ini menjadi amaran kepada orang-orang kafir musyrik yang tidak percaya kepada hari akhirat, dan yang bermegah-megah dengan harta kekayaannya dan penyokong-penyokongnya yang ramai terhadap orang-orang yang beriman.
  2. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat 40 yang lepas Allah nyatakan Dia kumpulkan semua manusia pada hari Kiamat.

ii- maka datang ayat ini nyatakan pula bagaimana Dia kumpulkan manusia berdiri di hadapan Allah pada hari itu!

  1. Iaitu manusia akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur
    {وَعُرِضُوا۟ عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّۭا}
    di hadapan Allah tiada siapa yang tersembunyi.
  2. Kata Ibnu Kathir  ini boleh jadi:
    i- manusia berkumpul dalam satu saf saja supaya tidak terhalang & nampak semua- sebagaimana firman Allah:
    {Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan),} (An-Naba’ 78:38)

ii- atau boleh jadi dalam banyak saf barisan sebagaimana firman Allah ini pula: {Dan Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah),} (Al-Fajr 89:22)

*Tidak kira berapa saf kita ada yang penting jangan dok bawa maksiat & mungkar.

  1. Keadaan manusia pada waktu dibangkit & dikumpulkan itu dalam keadaan seorang diri & seperti baru dilahirkan ibunya dulu, bertelanjang bulat, tidak berkhitan & berkaki-ayam.
  2. Ayat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya;…} (Al-An’aam 6:94) |
  3. Hadis riwayat daripada Ibnu Abbas r.a., di mana Nabi s.a.w bersabda bahawa manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar dalam keadaan tidak beralas kaki (kaki ayam), telanjang, dan belum berkhitan (tidak bersunat), lalu Baginda membaca Surah Al-Anbiya ayat 104: {Sebagaimana Kami telah memulakan penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya…}. [HR Bukhari].
  4. Allah kata sedangkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan.

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا ‎﴿٩٤﴾

Ayat 49- {Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila manusia dikumpulkan semuanya;
    ii- Kemudian pada hari itu juga “Kitab-kitab Amal” akan dibentangkan.

Ingatlah suratan amalan yang kita nak baca kelak itu- kitalah penulisnya!

  1. Pada hari itu manusia bangkit sendiri keseorangan, tiada orang yang dapat menolong membela kita-masing-masing nak melepaskan diri.

Atas dunia ini ada peguam, pembela yang boleh diupah dibayar untuk membela walaupun orang yang salah!

  1. Nota [742] Pada hari akhirat, masing-masing akan dapat melihat dan membaca surat amalnya yang mengandungi segala yang mereka kerjakan.

Pada saat itu, orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat semasa mereka hidup di dunia, akan menyesal.

*Bahkan yang percaya pun akan menyesal juga! Orang beriman percaya tetapi tidak buat persediaan!

  1. Ini kerana walaupun percaya, tidak bersedia! Tahu nak mati, tahu akan pergi ke Akhirat- tetapi mana amalan kita, mana persiapan kita untuknya!
    Di hadapan kita adalah satu hari yang semuanya akan dibentangkan ditayangkan!
  2. Apabila dibentangkan suratan amalan manusia pada hari itu:

i- orang yang beriman akan menerimanya dengan tangan kanan.

Ya Allah jadikan kami dari golongan yang ashabul-Yamin ini!

ii- ada yang akan menerima dengan tangan kiri bahkan melalui belakang mereka- na’uzu billah!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    { Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
    (Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”. (Al-Israa’ 17: 13-14)

*Ini adalah ayat yang menjadi tangisan para solehin-kita pun baca dan hayatilah selalu ayat ini pada waktu bangun malam, sunyi & bersendirian.

  1. Orang yang menerima dengan kanannya akan bergembira sambil memanggil dan menunjuk-nunjuk suratannya sebagaimana firman Allah:

{Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!} (Al-Haaqqah 69:19)

  1. Manakala orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya?
    Ini kerana semua amalan jahat & dosa mereka ada semua di dalamnya!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku,} (Al-Haaqqah 69:25)

*Tak adalah pecah rahsia, tak adalah malu kepada orang!

  1. Apabila mereka melihat dalam suratan amalan itu semuanya tercatat samada dosa besar atau kecil, mereka puak kafir & ahli maksiat bertempik melaung ketakutan:
    {Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!}

*Maka biarlah kita menangis atas dunia ini sekarang jangan menangis penuh penyesalan di Akhirat kelak!

  1. Allah tutup ayat ini dengan jaminan bahawa Allah s.w.t tidak mezalimi hamba-Nya, kerana itulah Allah suruh malaikat catat tulis semuanya, tidak tertinggal satu pun amalan manusia yang besar atau kecil, yang kecil atau yang buruk! Setelah dibentang & diserah kitab itu Allah beri peluang jika mahu membantah atau takut malaikat salah tulis!
  2. Pastilah tidak kerana malaikat tidak makan rasuah dan catat dengan tepat sekali!
    Allah tidak zalim walaupun sedikit kepada hamba-Nya.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 47- {Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata;..]– inilah aqidah kita orang beriman kita yakin & percaya bahawa Kiamat itu akan berlau & kita semua akan dibangkitkan Allah s.w.tdi atas bumi yang lain!

Bumi ini juga tetapi telah ditukar lanskapnya tiada apa rata & kosong menjadi tempat perhimpunan.

Bumi yang kita diami hari ini akan berubah keadaannya, bertukar landskapnya, keadaan manusia juga berubah sama sekali.

﴿وَنَحْشُرُهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا﴾

Allah mengumpulkan seluruh manusia tanpa tertinggal seorang pun.
Semua manusia dihimpunkan di satu tempat.

  1. Ayat 48- {Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur,…}- dalam ayat ini Allah nyatakan bagaimana susunan manusia pada hari akhirat nanti.

Ibnu Kathir mengatakan manusia akan berada dalam satu saf atau beberapa saf- wallahu a’lam.

Apa yang penting kita nak dalam ayat ini ialah kedatangan kita bertemu dengan Allah dalam keadaan sorang diri dan dalam keadaan berbaris-

﴿وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا﴾

Inilah susunan di akhirat nanti, sama ada satu saf ataupun saf demi saf.

Kita tidak perlu terlalu memikirkan berapa saf yang ada.
Yang penting, kita datang bertemu Allah dalam keadaan Allah meredai kita.

Semua makhluk yang diciptakan Allah di dunia dahulu, sama ada orang yang beriman ataupun orang yang kafir, semuanya akan dihimpunkan di satu tempat.
Itulah yang kita yakini.

Tadi kita sebut ada lima episod, sekarang kita masuk episod yang ketiga & yang seterusnya.

  1. Ayat 48- { “Kamu sekarang telah datang kepada Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya;}-
    ﴿وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ﴾
    Kamu datang bertemu Allah seorang diri.
    Tadi kita telah membaca tafsir ayat ini daripada Surah al-An‘am.
    Kita datang bertemu Allah seorang diri, tanpa membawa apa-apa.

Baju pun tiada, seluar pun tiada, selipar pun tiada, dan lelaki dibangkitkan dalam keadaan belum bersunat. Tidak ada apa-apa bersama kita.

Yang ada hanyalah amalan kita- yang baik kita bawa yang buruk pun kita bawa juga.
Maka pilih sendirilah kamu nak bawa amalan baik atau buruk!

Di dunia inilah kita perlu berfikir, “Kalau aku melakukan begini, bagaimana keadaanku di akhirat nanti?”

Ayat ini ditafsirkan dengan satu hadis yang panjang:

Daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنه, beliau berkata:
“Telah sampai kepadaku satu hadis daripada seorang lelaki yang mendengarnya secara langsung daripada Rasulullah S.A.W.
Maka aku pun membeli seekor unta, mengikat pelanaku, lalu bermusafir menuju kepadanya selama sebulan sehinggalah aku tiba di Syam.
Rupa-rupanya lelaki itu ialah Abdullah bin Unais.”

Aku (Jabir) berkata: “Telah sampai kepadaku satu hadis daripadamu bahawa engkau mendengarnya daripada Rasulullah S.A.W mengenai qisas (tuntutan hak/balasan kezaliman)…”

Maka Abdullah bin Unais berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:”Manusia – atau Baginda bersabda: para hamba – akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang, belum berkhatan, dan buhman.

“Kami bertanya: “Apakah itu buhman?”
Baginda S.A.W menjawab:”Iaitu tidak ada sesuatu pun bersama-sama mereka.

Kemudian Allah menyeru mereka dengan satu suara yang dapat didengari oleh orang yang jauh sepertimana orang yang dekat mendengarnya:

‘Akulah Al-Malik (Raja Pemilik Dunia ini), Akulah Ad-Dayan (Yang Maha Membalas).

”Dan tidak layak bagi seorang pun ahli neraka masuk ke dalam neraka, manakala dia masih mempunyai hak (kezaliman yang belum selesai) yang dituntut oleh seorang ahli syurga, sehinggalah Aku selesaikan qisas (tuntutan) itu daripadanya.

Dan tidak layak bagi seorang pun ahli syurga masuk ke dalam syurga, manakala dia masih mempunyai hak yang dituntut oleh seorang ahli neraka, sehinggalah Aku selesaikan qisas itu daripadanya, hinggakan (urusan) satu tamparan sekalipun.’

“Kami bertanya lagi: “Bagaimanakah perkara itu (pembayaran hak) boleh berlaku, sedangkan kita datang menemui Allah ‘Azza wa Jalla dalam keadaan telanjang, tidak berkhatan, dan tidak membawa apa-apa (buhman)?”
Baginda S.A.W menjawab:”(Pembayaran atau tuntutan itu diselesaikan) dengan kebaikan (hasanat) dan kejahatan (sayyiat).”
[HR Bukhari & Imam Ahmad].

Jabir bin Abdullah mengembara selama sebulan mencari maklunat yang ada pada Abdullah bin Unais ke Syam.
Selepas mendapat hadis tersebut dia terus kembali pulang ke Madinah.

Inilah contoh seorang sahabat yang sanggup mengembara bermusafir semata-mata untuk mendapatkan hadis- untuk menuntut ilmu.

Nak dapatkan ilmu tu bukan mudah- serta jangan kita bermudah-mudah dengan hadis palsu apatah lagi dengan hadis dari mimpi-mimpi tok Syeikh!

  1. Ayat 49- {Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!”}– apabila dapat suratan amalan- apabila dibuka dia dapati ada semua dosa besar dosa kecil di dalamnya!

Ya Allah terimalah taubat kami, tutuplah keaiban kami, berilah keampuanan kepada kami, janganlah Engkau malukan kami pada hari kami dibangkitkan!

Amalan-amalan yang akan kita bawa pada akhir hayat kelak, suratan amalan yang akan dibentangkan di hadapan Allah S.W.T pada hari akhirat nanti, kitalah sebenarnya penulisnya.

Kitalah yang menulis lembaran amalan kita sendiri dengan setiap perkataan, perbuatan dan tindakan yang dilakukan di dunia ini.

Maka tulislah dengan sebaik-baiknya.
Biar apabila kita membacanya di hadapan Allah S.W.T nanti, kita membacanya dalam keadaan tenang, gembira, selesa dan aman.

Namun, jika kita sendiri menulisnya dengan amalan yang buruk, maka kitalah yang akan menerima akibatnya.
Orang kata, kalau sudah rosak, rosaklah jadinya.
Kitalah yang mencari masalah untuk diri sendiri. Na’uzubillahi min zalik.

اللَّهُمَّ اسْتُرْ عُيُوبَنَا

Ya Allah, tutuplah segala keaiban kami. Janganlah Engkau malukan kami pada hari kami dibangkitkan.

Mudah-mudahan ayat-ayat ini memberi kesedaran kepada kita, lelaki dan perempuan, supaya kita insaf dan tidak berani melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.

  1. Ayat 49- { Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.}-

Kemudian Allah beri jaminan- kamu tidak akan dizalimi sedikitpun tetapi kamu sendiri yang menzalimi dirimu dengan kufur kepada Allah, buat maksiat, buat mungkar, tinggal Sunnah ambil bid’ah, tinggal yang baik ambil yang buruk- maka kamu terimalah akibatnya pada hari Kiamat kelak!

﴿وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا﴾

Kemudian Mereka akan mendapati segala amalan yang telah mereka lakukan hadir di hadapan mereka. Tidak ada satu pun yang tertinggal.

Allah S.W.T berfirman:

﴿وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا﴾

para ulama tafsir mengatakan apabila lafaz

﴿أَحَدًا﴾

datang dalam bentuk nakirah & dalam bab penafian, menunjukkan bahawa Allah S.W.T tidak menzalimi sesiapa pun walaupun seorang- semua orang tidak akan dizalimi!

Setiap amalan akan dipersoalkan dan akan diperlihatkan di hadapan Allah Azza wa Jalla.

اللَّهُمَّ يَمِّنْ كِتَابَنَا-
Ya Allah, jadikanlah kami menerima suratan amalan dengan tangan kanan.

وَيَسِّرْ حِسَابَنَا، اللَّهُمَّ حَاسِبْنَا حِسَاباً يَسِيراً-
Ya Allah, permudahkanlah hisab kami.

Mudah-mudahan kita semua hidup di atas dunia ini di bawah panduan al-Quran, berpegang teguh dengan sunnah Nabi S.A.W, dan mati dalam husnul khatimah.

Semoga di akhirat nanti kita mendapat keampunan daripada Allah Azza wa Jalla, layaklah kita ke syurga dan diselamatkan daripada azab neraka. Amin.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 06/08/2026 – 22 Safar 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1022187097298477

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top