View Categories

(13) Surah Al-Kahfi: Ayat 35-41

14 min read

Pemilik Kebun Masuk Dengan Sombong, Nasihat Tidak Dipedulikan & Ucaplah “Masya’ Allah, La Quwwata Illa Billah”

Live Kuliah Pagi Isnin 03/08/2026 – 19 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (13) Ayat [35-41]

Full video: https://youtu.be/qtD7ZIFFrUg?si=h3ZPjE4X4yUSM57x

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 35 sehingga ayat 41 dalam juzuk kelima belas.
  2. Dalam siri ini kita masih dalam kisah pemilik dua kebun.
    Allah s.w.t nyatakan pemilik kebun masuk ke dalam kebunnya dengan sombong, berbangga dengan kekayaan miliknya. Kawannya yang beriman terus menasihatinya walaupun dia lebih miskin dan susah.
  3. Tetapi orang kaya yang takabbur sangat angkuh merasakan kebunnya tidak akan musnah, lalu nasihat tidak dipedulikan dan merasakan teguran seperti kutukan pula!
  4. Allah juga ajar apabila kita melihat sesuatu yang membuat kita rasa kagum & takjub- maka ucaplah “Masya’ Allah, Tabarakallah”. Iaitu kita letakkan bahawa segala nikmat itu milik Allah bukan yang kita.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut tentang seorang pemilik dua kebun yang angkuh dan sombong.
Allah tidak ceritakan siapakah mereka & di mana peristiwa ini berlaku.

ii- datang ayat ini memperjelaskan dengan detail bagaimana sifat sombong & angkuhnya itu.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَٰذِهِ أَبَدًا ‎﴿٥٣﴾‏

Ayat 35- {Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.} (Al-Kahfi 18:35)

  1. Pemilik kebun itu membawa rakannya yang mukmin sambil memegang tangannya (mengikut beberapa kitab tafsir), melawat kebunnya untuk melihat keindahan dan kesuburan kebunnya.
  2. Tetapi malangnya dia seorang yang kufur nikmat Allah, tidak percaya kepada hari Kiamat- maka dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri.
    Jika tidak percaya kerana jahil itu satu penyakit; tetapi jika tahu tetap tolak itu ingkar yang lebih berat!
  3. Sambil melawat itu dia berkata kepada kawannya itu bahawa dia menyangka kebunnya tidak akan binasa dan rosak selamanya! Yakni kerana cukup lengkap kawalan & penjagaannya!

 وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا ‎﴿٦٣﴾

Ayat 36- {Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.} (Al-Kahfi 18:36)

  1. Dia juga berkata lagi menunjukkan kekufurannya: Aku fikir hari Kiamat tidak akan berlaku!

Kita akan hidup beginilah siapa senang atas dunia akan senanglah hidupnya; siapa susah begitulah juga!

  1. Dia juga mengatakan andainya jika ditaqdirkan dia hidup semula kelak; pastilah Tuhan akan memberinya sesuatu yang lebih baik lagi!

Ini kerana atas dunia sekarang inipun Tuhan sayang dan melebihkannya dengan segala kesenangan & kekayaan- pastilah di Akhirat kelak lebih lagi Tuhan akan beri kepadanya!

*Ini adalah satu andaian dan angan-angan yang sesat & tidak benar sama sekali!

  1. Ulama’ tafsir seperti as- Saadi kata dialog ini boleh memberi dua kefahaman:

i- boleh jadi dia tahu kerana dengar kawannya itu selalu menyebut tentang Kiamat & bangkit semula– maka ayat ini adalah perli dan nak menjatuhkan fahaman kawannya itu (istihza’)!
Ini adalah dua kali kafir- double- kafir & perli.

ii- atau boleh jadi dia memang tak tahu & jahil- maka ayatnya itu hanya andaian dan sangkaan saja; maka itulah sejahil-jahil manusia atas dunia, paling tak berakal kerana menyangka senang di dunia akan senang juga di Akhirat.

  1. Inilah yang sering diungkit oleh musyrikin Quraisy di Makkah- jika kamu orang Islam pilihan Tuhan kenapa Tuhan tak bagi kesenangan harta & pangkat kedudukan kepada kamu?

Tetapi kami semua yang tidak beriman ini mempunyai segalanya, harta & jawatan!
Maka pastilah kamu yang Tuhan tak suka, kami ini yang Tuhan sayang!

قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا ‎﴿٧٣﴾

Ayat 37- {berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?} (Al-Kahfi 18:37)

  1. Mendengar percakapannya yang angkuh dan sombong itu rakannya yang beriman terus memberi teguran dan nasihat kepada pemilik kebun itu!
  2. Dia memberi nasihat dengan mengingatkan akan asal usul mereka sebagai manusia: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?
  3. Orang beriman kena beri nasihat tazkirah & peringatan kepada orang kafir tak kira samada mereka miskin atau kaya, berpangkat atau mempunyai kedudukan tinggi.

Kita kena usaha untuk menyampaikan yang benar ke telinga orang yang kufur, ingkar dan maksiat.
Inilah kerja pendakwah kena sentiasa cuit!

لَّٰكِنَّا هُوَ اللَّهُ رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِرَبِّي أَحَدًا ‎﴿٨٣﴾

Ayat 38- {Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.} (Al-Kahfi 18:38)

  1. Selain memberi nasihat kita juga kena zahirkan pegangan & keyakinan kita dengan tegasnya!

Kita orang Islam kena zahirkan keimanan, kena ada kemuliaan diri & kental jiwa- jangan hanya toleransi, lemah dan ikut saja telunjuk kafir, apa yang mereka nak tuntut kita akur!

  1. Rakannya yang beriman menyatakan keimanannya bahawa dia sendiri: Percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ إِن تَرَنِ أَنَا أَقَلَّ مِنكَ مَالًا وَوَلَدًا ‎﴿٩٣﴾

Ayat 39- {Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu.} (Al-Kahfi 18:39)

  1. Si mukmin terus menasihati kawannya dengan mengatakan bahawa sepatutnya apabila kamu masuk ke kebunmu dan berasa kagum dan bangga dengannya, maka berkatalah:
    مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ
    Maksudnya: Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah!
    Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.
  2. Kita pun sebagai orang beriman inilah sepatutnya yang dilakukan atau dibaca apabila kita melihat sesuatu atau seseorang yang mengagumkan.

Bukan hanya dok wow-wow atau cubit pipi jika seorang bayi yang comel.
Sangat penting kata-kata ini kerana kita sandarkan semuanya kepada Allah!

  1. Hadis Nabi s.a.w bersabda:

عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ
“Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya?
Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”
[HR Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)]

  1. Maka kita ucapkan agar Allah memberkati semua itu dan agar ia terhindar dari penyakit ain.
    Kerana sebagaimana sebuah hadis:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ الْعَيْنُ حَقٌّ ‏”‏‏.‏ وَنَهَى عَنِ الْوَشْمِ‏
Maksudnya: Dari Abu Hurairah R.A, dari Nabi S.A.W telah berkata:
Al-‘Ain (penyakit panahan mata jahat) itu adalah benar dan Nabi S.A.W melarang dari melakukan tattoo. [HR Muslim].

  1. Begitulah seharusnya apabila kita melihat sesuatu yang mengagumkan kita hatta diri sendiri, anak cucu atau harta kita sendiri juga.

Kita mengatakan Masya’ Allah
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ-
tiada daya & tiada upaya kecuali dengan pertolongan Allah untuk kita memiliki semua yang indah, baik dan comel ini.

Jika bayi atau anak kecil kita baca pula doa perlindungan untuk mereka.

Boleh rujuk Kitab Perisai Muslim untuk pelvagai doa & ucapan yang munasabah. Sila dapatkannya di: https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan

  1. Hadis riwayat dari Abdullah bin Qais r.a (Abu Musa al-Asya’ari):
    Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu satu kalimah daripada perbendaharaan syurga, atau baginda bersabda: satu perbendaharaan daripada perbendaharaan syurga?”
    Maka aku menjawab: “Sudah tentu.”
    Lalu baginda bersabda:
    لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
    “Laa hawla wa laa quwwata illaa billaah (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah).” [HR Muslim].
  2. Sahabat yang mukmin itu berkata lagi: Jika kamu berasa aku tidak layak untuk menasihati kamu kerana mungkin engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu- tidak mengapa kerana aku yakin akan kekuasaan Allah.
  3. Munasabah ayat ini kata ulama’:
    i- Yakni apabila si mukmin itu menasihati si kafir yang kaya itu, dia tahu dan sedar pasti si kafir akan berkata: Siapalah kamu untuk menasihat aku yang lebih kaya-raya dan mempunyai pengikut yang ramai berbanding dengan kamu yang miskin???
    Siapa kamu nak ajar aku?!

ii- maka dia juga terus menasihatinya lagi: Janganlah kamu memandang rendah kepada aku disebabkan aku miskin dan kurang harta, anak kuturunan & pengikut daripada kamu!

Janganlah kamu memperlekehkan aku disebabkan perkara ini.

**Lalu dia terus berdoa sebagaimana ayat berikut.

فَعَسَىٰ رَبِّي أَن يُؤْتِيَنِ خَيْرًا مِّن جَنَّتِكَ وَيُرْسِلَ عَلَيْهَا حُسْبَانًا مِّنَ السَّمَاءِ فَتُصْبِحَ صَعِيدًا زَلَقًا ‎﴿٠٤﴾

Ayat 40- {Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.} (Al-Kahfi 18:40)

  1. Si miskin yang beriman terus berdoa: Mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu!
  2. Kamu pula jangan sombong jangan angkuh kerana aku bimbang Allah akan menimpakan kebunmu ini dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.
  3. Maka jangan hina aku kerana tiada harta- kerana suatu hari Tuhan boleh tukar saja aku yang jadi kaya & kamu akan jadi miskin—Allah hantar bala musnahkan kebun kamu itu tidak tertinggal apa- maka janganlah sesekali kamu sombong atau angkuh!

 أَوْ يُصْبِحَ مَاؤُهَا غَوْرًا فَلَن تَسْتَطِيعَ لَهُ طَلَبًا ‎﴿١٤﴾

Ayat 41- {Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”.} (Al-Kahfi 18:41)

  1. Atau boleh saja jika Allah nak menjadikan air kebun itu menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi!!!
  2. Maka janganlah kita sebagai manusia sombong dan angkuh kerana Allah boleh tarik & tukar semuanya dalam sekelip mata saja!

Allah nak keringkan air kebun kamu mudah, nak musnahkan semua itu mudah juga bahkan Allah nak matikan kamu pun mudah!
Nasihat orang beriman ini amat cantik sekali!

  1. Kita yang berada di bawah kekuasaan Allah ini jangan sesekali kita sombong angkuh takabbur bila ada sedikit harta & kuasa terus nak tekan dan zalim kepada orang bawahan!
    Jangan sombong & buat perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah s.w.t.
  2. Bilakah kita boleh berdoa untuk kebinasaan bagi orang yang sombong ini??
    Jika mereka terlalu sombong dan melampaui keangkuhannya boleh kita cuit sikit- tegur agar mereka sedar dan insaf.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 35- {Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya),…}-

Orang yang angkuh dan sombong ini tidak terfikir bahawa nyawanya di bawah kuasa Allah s.w.t!

Bila-bila masa saja Allah boleh ambilnya, senarainya sudah berada di tangan malaikat maut.

Apatah lagi harta miliknya atas dunia ini- bila-bila masa saja Allah boleh musnahkan.

Begitulah orang angkuh itu tidak ingat akan Tuhan, tidak sedar dirinya penuh kelemahan, kerana dia berasa dirinya hebat!
Inilah punca kerosakan manusia apabila berasa dirinya hebat!

Kata ulama’: Inilah penyakit al-Ghurur- iaitu terpedaya dengan kedudukannya sendiri.

Ia biasanya menimpa orang yang mempunyai jawatan tinggi, ahli korporat yang kaya, mereka (influencer) mempunyai pengikut (followers) yang ramai, berasa dirinya hebat & berpengaruh!

Kita orang beriman makin kaya makin syukur & taat bukan sebaliknya makin kaya makin sombong makin tak dengar kata!

Kita kaya Allah yang beri rezeki, kita senang Allah yang tentukan, kita sihat begitu juga- maka sentiasa ingatlah kepada Allah yang Maha Berkuasa, jangan angkuh, jangan sombong & tak dengar kata.

  1. Ayat 35- {Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya),…}- dalam ayat ini Allah kata dia masuk ke dalam kebunnya {جَنَّتَهُ}, iaitu hanya sebuah.

Kenapa begitu, sedangkan dalam ayat sebelum ini diceritakan bahawa dia mempunyai dua kebun {جَنَّتَيْنِ}!

Allah hanya sebut satu kebun {جَنَّة} saja dalam ayat ini menurut ulama’ kerana beberapa sebab & ada lima jawapan di sini:

i- yang dikehendaki adalah kebunnya sebagai satu jenis saja, iaitu kebun; walaupun ada dua kebun atau lebih.

ii- dia ada dua kebun tetapi yang dimasukinya kebun pertama dulu!

iii- walaupun disebut 1 kebun tetapi telah diketahui dia ada dua kebun.

iv- semua kebun itu adalah miliknya, maka tidak mengapa disebut satu saja pun.

v- dia masuk ke dalam kebunnya- semua itu kebunnya lalu tidak menjadi masalah disebut berapapun!

Begitulah para ulama’ tafsir & tadabbur ini tidak akan meninggalkan sedikit atau satu pun persoalan atau isu yang dibangkitkan kecuali akan dibincangkan dan dijelaskan!

Mudah-mudahan kita dapat buka telinga, celik mata dan boleh faham apa yang dibincangkan ulama’ kita!

  1. Ayat 39- {Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)?}– sepatutnya apabila kamu masuk ke dalam kebun yang kamu kagumi & bangga itu, jangan sombong & angkuh tetapi ucapkanlah:
    مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ –

Yakni semua perkara ini ialah barang yang dikehendaki Allah.
Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Kita kena balik kepada kuasa & pertolongan dari Allah kepada semua benda yang terjadi & kita miliki.

Sebagaimana hadis Nabi s.a.w tadi apabila kamu melihat sesuatu yang kamu kagum dan pelik ucapkanlah:

مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ

Kata ulama’ bilakah kita nak ucapkan doa ini:
i- Masya’ Allah- apabila kita kagum dan bangga dengan milik kita sendiri maka ucapkanlah:
مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ

ii- apabila kita melihat sesuatu milik orang yang kita kagumi dan hebat ucapkanlah:
ما شاءَ الله تَبارَك الله
yakni kita minta Allah berkati mereka dengan apa yang mereka mililkinya!

Sebenarnya jika kita nak campur sekali pun boleh dua ucapan ini- tetapi ulama’ membincangkan di mana nak pisahkannya dan bilakah waktu yang sesuai untuk setiap ucapan itu!

Maka itulah hasilnya- untuk diri sendiri ucapan yang pertama itu manakala untuk milik orang, ucapan yang kedua!

Ini kerana sebagaimana hadis Nabi s.a.w-

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا “.

Dari Ibnu Abbas R.Anhuma dari Nabi S.A.W telah berkata:
Penyakit Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya).
Jika di minta kepada kalian untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah kalian. [HR Muslim].

Kata ulama’ Al-Wazir Ibnu Hubairah- seorang menteri yang adil, dan ulama besar pada zaman Khalifah Abbasiyah- ucapan
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ini:
i- bermakna kita telah berlepas diri daripada mengaku kita ini kuat!

ii- kita hanya akan jadi kuat apabila Allah tolong- sebagaimana apabila kita mendengar azan –
حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ
kita jawab- لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ-
kerana kita hanya akan jadi kuat dan mampu ke masjid apabila Allah tolong!

Manakala orang yang tak dapat pertolongan Allah- walaupun dengar azan & duduk dekat saja masjid- akan jadi lembu kenyang, badak tuli dan seumpamanya yang tak reti bahasa- dengar azan tak bangun untuk ke masjid!

ii- kita nak tolak pegangan puak falsafah yang menyandarkan semua kejadian atas dunia ini kepada tabi’I (nature)- kita kata tidak kita sandarkan semuanya kepada Allah & kuasa-Nya!

  1. Ayat 39- {Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)!
    (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)?}- nasihat sahabat yang beriman: Apabila kamu masuk kebun kamu, berasa kagum dengannya- maka jangan lupa baca doa ini supaya kamu tidak terperangkap dengan mainan syaitan jadi takjub & ghurur kepada diri sendiri.

Kata ulama’ tadabbur seperti Imam Sayuti:
Ini menunjukkan sunat untuk kita mengucapkan kata-kata ini apabila kita kagum akan sesuatu!

Sekiranya apa yang kita lihat itu berkait dengan diri kita, seperti nikmat anak, keluarga atau harta, maka kita ucapkanlah:

ما شاءَ الله لا قوّةَ إلا بالله

Yakni inilah bacaan yang sunat sebagaimana yang diajar oleh Allah & Nabi s.a.w. untuk mengelakkan penyakin ain iaitu penyakit yang datang dari pandangan mata!
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.”
Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi S.A.W, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.”
Baginda S.A.W bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?”
Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.”
Baginda S.A.W bersabda:

عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ

“Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”

Kemudian Baginda S.A.W meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu’.

Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya.
Nabi S.A.W memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl.

Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.” [HR Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)]

  1. Ayat 39- Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu.} (Al-Kahfi 18:39)
    Ayat 40- {Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.}-

Ulama’ tadabbur kata ayat ini membawa dalil bahawa boleh kita mendoakan agar Allah beri peringatan (kebinasaan yang tidak mutlak) ke atas seseorang yang amat sombong angkuh takabbur, yang amat melampaui maksiat & langgar perintah Allah, tak dengar nasihat & teguran apa lagi!

Contohnya jika angkuh takabbur seperti Qarun itu!

Maka boleh kita berdoa kepada Allah agar tahan hartanya supaya dia tidak semakin angkuh dan besar kepala!

Sebagaimana Nabi Musa berdoa ke atas Fir’aun serta banyaklah doa-doa lain.

Tetapi jika orang itu baik-baik saja tidak angkuh atau sombong- haram untuk kita mendoakan kebinasaan kepada orang lain!

Ini adalah sebab hasad dengki pula- maka jika kita nak kaya juga pergilah bekerja berusaha keras seperti dia juga!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 03/08/2026 – 19 Safar 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1019448364239017

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top