View Categories

(17) Surah Al-Kahfi: Ayat 50-51

16 min read

Iblis Tak Mahu Sujud, Asal Mereka Dari Jin & Sempurna Ilmu Dan Kudrat Allah S.W.T.

Live Kuliah Pagi Isnin 10/08/2026 – 26 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (17) Ayat [50-51]

Full video: https://youtu.be/Uu4D9AcMXWs?si=wQUBlL1erS5bqtYe

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 50 sehingga ayat 51 dalam juzuk kelimabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan penderhakaan awal yang berlaku di kalangan maknanya ini iaitu derhakanya Iblis apabila tak mahu sujud hormat kepada Nabi Adam a.s.
  3. Allah juga nyatakan bahawa iblis ini asal mereka dari jin yang dicipta daripada api, bukan nur atau cahaya seperti malaikat.
  4. Kemudian Allah nyatakan wahai makhluk kamu jangan dakwa yang pelik-pelik- Aku cipta langit & bumi bukan kamu saksikannya pun apatah lagi nak jadi partner atau sekutu.

Ini menunjukkan sempurnanya ilmu dan kudrat Allah S.W.T dalam penciptaan, pentadbiran dan susun atur-Nya, tiada siapa boleh halang, tiada siapa boleh lawan semuanya di bawah ilmu Allah Azza wa Jalla.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang ada persamaan antara perbuatan kafir terdahulu dengan perbuatan Quraisy yang berbangga dengan harta & pengikutnya serta menghina orang Islam yang faqir yang berada dekat Nabi s.a.w. dengan merasakan mereka (orang miskin) tidak layak untuk bersama dalam satu majlis bersama mereka yang dirasakan mulia.

Ada persamaan dengan;
ii- perbuatan iblis yang tak mahu ikut perintah Allah yang memerintahkannya untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s.

Ini kerana dia merasakan dia yang berasal dari api yang lebih mulia daripada Adam yang dicipta daripada tanah!

*Ini adalah gaya iblis sombong takabbur- Allah beri amaran agar jangan ikut sifat & watak puak kafir ini. Jika begitu sifat kamu maka iblislah ikon kamu!

  1. Kelebihan uslub al-Quran:
    i- kisah iblis tidak mahu sujud kepada Nabi Adam ini telah ada disebut dalam surah al-Baqarah sebelum ini dan beberapa tempat lagi.
    Tetapi bukan bermakna ia saja berulang, disebut semula.

ii- ini kerana di setiap ayat yang diulang dalam al-Quran bukan bermakna ia berulang semata-mata tetapi kerana setiap tempat disebut pasti ada tambahan, isu & point utama lain yang disebut yang tiada dalam ayat yang lain.
Seperti dalam ayat ini Allah nyatakan iblis berasal dari golongan jin- fakta ini tidak ada disebut dalam ayat lain sebelum ini!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ ۚ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا ‎﴿٠٥﴾

Ayat 50- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.} (Al-Kahfi 18:50)

  1. Allah peringatkan kisah ini kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang peristiwa awal penderhakaan yang berlaku apabila Allah memerintahkan semua malaikat untuk bersujud sebagai tanda hormat kepada Nabi Adam.

*Memang kita tak boleh sujud sesama makhluk kerana Allah larang tetapi apabila Allah yang perintahkan; maka sujud di sini ialah sujud kemuliaan & memuliakan yang wajib diikuti perintah Allah.

  1. Maka semua malaikat bersujud akur kepada perintah Allah kecuali iblis yang berasal dari golongan jin- ini kerana dia berasa dia lebih baik daripada Nabi Adam a.s.
  2. Ini kerana iblis mempunyai dua sifat buruk ini:
    i- sombong takabbur merasakan dirinya lebih daripada orang lain, lebih baik, lebih mulia dan seumpamanya.

ii- hasad dengki- merasa tidak patut Adam yang dimuliakan lebih daripada dirinya- sepatutnya dia yang dimuliakan!

*Inilah punca kerosakan makhluk atas dunia ini- sejak dari dulu sehingga kini: Sombong apabila merasakan dia lebih & hasad pula tak boleh tengok orang lebih daripada dia!

  1. Kisah iblis & Adam ini telah disebut dalam beberapa ayat dalam al-Quran:

i- {Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.} (Al-Baqarah 2:34)

ii- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?”} (Al-Israa’ 17:61)

iii- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.} (Al-Kahfi 18:50)

*Dalam setiap ayat mengandungi fakta & ibrahnya yang tersendiri.

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa iblis itu berasal dari golongan jin!
    Iaitu spesis jin- jelas iblis bukan malaikat dan ini pandangan pertama majoriti ulama’ seperti ulama’ salaf al-Hasan al-Basri dan lain-lain yang berpegang dengan zahir ayat ini.
  2. Seorang pengkaji Ibnu Hazm r.h.m berkata:
    i- Ada sekumpulan manusia yang mengatakan iblis ini berasal dari golongan malaikat yang derhaka- jauh sekali kita nak menerima pendapat ini! Kerana jelas dalam ayat ini Allah mengatakan: {ia adalah berasal dari golongan jin}.

ii- Dalilnya juga malaikat tidak beranak tidak ada keturunan, sedangkan iblis ini ada kabilah dan keturunan sebagaimana firman Allah ini:
{Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.} (Al-A’raaf 7:27)

iii- Hadis- Nabi s.a.w bersabda:

خُلِقَتِ المَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ

Maksudnya: “Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyala api yang panas, dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disifatkan (diceritakan) kepada kamu (iaitu tanah).” [HR Muslim].

iv- Maka di sini kita katakan jin bukan malaikat serta malaikat itu makhluk yang elok mulia dengan nas dari al-Quran.
Manakala manusia & jin pula ada yang baik ada yang buruk, ada yang soleh beriman & ada yang kafir!

  1. Ada juga yang berpendapat bahawa Iblis itu asalnya dari kalangan malaikat:

i- tetapi kerana dia derhaka, tidak mahu sujud kepada nabi Adam sebagaimana yang diperintahkan Allah maka kafirlah ia!

ii- dalilnya berkata Muhammad bin Ishak: Ini kerana malaikat & jin ini spesis tak nampak dilihat manusia keduanya.
Maka mereka adalah spesis yang sama. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan mereka mengadakan (hubungan) nasab (keluarga) antara Dia (Allah) dan jin.} (As-Saaffaat 37:158)

iii- kerana itu juga kaum musyrikin Quraisy mengatakan malaikat itu anak perempuan Tuhan!
Allahu al-Musta’an.

*Kesimpulannya, tak perlu kita nak berdebat, kita kembali kepada pandangan majoriti ulama’ sebagaimana nas al-Quran tadi bahawa iblis adalah dari golongan jin.
Kemudian kita minta perlindungan Allah daripada semua keburukan ini!

  1. Yang beratnya iblis telah derhaka kerana tak sujud kepada Nabi Adam sebagaimana yang diperintahkan Allah maka dia keluar dari ketaatan kepada Allah menjadi orang yang ingkar dan derhaka kepada Allah!
    Itulah puncanya tak taat & keras kepala- inilah punca kerosakan.
  2. Kemudian Allah bertanya:
    i- Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku?

ii- Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu- jangan cari pasal!

  1. Nota [743] setelah menerangkan keadaan orang-orang kafir dan balasan yang akan mereka terima pada hari akhirat kelak, lalu diterangkan dalam ayat ini bahawa kekufuran dan maksiat yang dilakukan oleh manusia adalah disebabkan mereka menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat karib yang dipatuhi selain Allah. Pilihan yang demikian amatlah buruk lagi zalim.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
    “Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.
    “Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?} (Yaa Siin 36: 60-62)

*Allah telah buat perjanjian dengan manusia ini agar jangan menyembah syaitan tetapi sembahlah Allah dengan ikut dengan jalan yang lurus!

  1. Di akhir ayat Allah kata perbuatan orang kafir amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim- pengganti yang mereka pilih itu- ambil iblis tinggal Allah!

۞ مَّا أَشْهَدتُّهُمْ خَلْقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَا خَلْقَ أَنفُسِهِمْ وَمَا كُنتُ مُتَّخِذَ الْمُضِلِّينَ عَضُدًا ‎﴿١٥﴾‏

Ayat 51- {Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.} (Al-Kahfi 18:51)

  1. Munasabah ayat:
    i- apa yang kamu kata sekutu Tuhan, anak perempuan Tuhan dan sebagainya semua itu tiadapun yang bersekutu dengan Allah!

ii- maka dalam ayat ini Allah cabar mereka itu dengan bertanya apakah kamu lihat Tuhan panggil mereka itu (syaitan iblis) untuk menolong mencipta bumi & langit serta alam ini!

*Menunjukan sekutu yang orang kafir jadikan itu terlalu hina & tak layak untuk dibandingkan atau dijadikan sekutu-Nya.

  1. Nota [744] Yakni iblis dan keturunannya.
  2. Yakni Allah ciptakan semua alam ini- langit dan bumi tanpa pembantu atau partner bahkan Allah cipta semuanya dengan semata-mata Kudrat-Nya Yang Maha berkuasa lagi Maha Esa!
  3. Ayat ini tafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): “Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka”.} (Saba’ 34:22)
  4. Allah juga tak panggil atau minta tolong iblis & syaitan ketika nak mencipta langit dan bumi, atau ketika nak mencipa mereka para makhluk- mereka tak lihat juga penciptaan antara satu sama lain bahkan tiba-tiba nak mengaku jadi partner, jadi sekutu Tuhan- jauh pangang dari api!!!
  5. Yakni Allah tegaskan bahawa dengan kuasa-Nya yang mutlak, Dia cipta makhluk ini tanpa pembantu, penasihat, tanpa partner & sekutu!
  6. Di akhir ayat Allah tegaskan bahawa tidak sepatutnya Allah ambil orang yang menyebabkan makhluk lain sesat sebagai pembantu & sekutu-Nya! Yakni Allah menafikan dengan tegasnya bahawa tiada sekutu & parter bagi-Nya dalam segala penciptaan & pentadbiran alam ini!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 50- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis;..}-

Allah ceritakan tentang kisah iblis yang enggan sujud kepada nabi Adam a.s.

Ulama’ tadabbur kata kisah Nabi Adam AS ini telah berulang beberapa kali dalam al-Quran.
Seperti yang sudah disebut, antaranya dalam Surah al-Baqarah, Surah al-Isra’ dan juga di sini.

Tetapi ia tidak berulang saja-saja, pada setiap tempat, ada point tertentu yang tidak disebut di tempat yang lain.

Pada setiap tempat kisah itu disebut, terdapat point tersendiri dan ibrah yang berbeza daripada ibrah di tempat yang lain.

Dalam Surah al-Baqarah ayat 31, contohnya, Allah s.w.t menceritakan tentang permulaan penciptaan Nabi Adam A.S.

Dalam surah al-Isra’ ayat 61 iblis menyatakan Adam adalah makhluk yang dicipta daripada tanah yang diadun (tanah liat).

Allah s.w.t mengulangi kisah tersebut supaya daripada setiap pengulangan itu kita memperoleh faedah, pengajaran dan ibrah yang baharu.

Di sini, dalam ayat kita ini keadaannya nak ceritakan bahawa malaikat bukan jin tetapi iblis adalah dari keturunan jin!

Dalam surah al-Hijr & As-Saad- perintah ini sujud ini berlaku sebelum Allah cipta Nabi Adam lagi.

Sebagaimana ayat ini:
i- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.
“Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.} (Al-Hijr 15: 28-29)

ii- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: ” Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah;
“Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”.} (Saad 38:72)

Ulama’ menyatakan tentang susunan penciptaan Nabi Adam A.S, arahan yang terdahulu dan yang kemudian.
Ini menunjukkan betapa detailnya al-Quran, dan betapa telitinya para ulama’ dalam memperincikan perkara yang disebut dalam al-Quran dan dalam menafsirkan ayat-ayatnya. Masya-Allah.

  1. Ayat 50- {اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا- Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”;}– apabila kata sujud iaitu sujud atas dahi.

Ini menimbulkan masalah pula bukankah Nabi s.a.w melarang kita sujud kepada makhluk.
Jadi, bagaimana pula di sini Allah memerintahkan untuk sujud? Nampak seperti ada kontranya.

Para ulama mengatakan tidak ada kontra atau percanggahan dalam ayat-ayat ini.

Apabila perkara itu dilakukan kerana melaksanakan perintah Allah, maka ia menjadi suatu ketaatan.
Apabila Allah memerintahkan untuk sujud, maka mereka bersujud. Itu satu pandangan.
Ia juga merupakan syariat umat terdahulu.

Apabila sampai pada zaman Nabi S.A.W, Nabi kita melarang perbuatan tersebut.

Maka para ulama mengatakan, apabila Allah memerintahkan kita sujud dan kita melakukannya kerana perintah Allah, maka ia tidak menjadi dosa.

Sebagaimana membunuh manusia adalah dosa dan dilarang keras. Tetapi kenapa Nabi Ibrahim a.s diperintahkan untuk menyembelih anaknya?
Nabi Ibrahim a.s diuji dengan perintah tersebut.

Baginda akur dan patuh kepada perintah Allah.
Baginda pun mula melakukan persiapan untuk menyembelih anaknya.
Kemudian Allah s.w.t menggantikannya dengan sembelihan yang besar.
Allah s.w.t hanya mahu menguji kekentalan, ketaatan dan ketulusan Nabi Ibrahim A.S.

Maka apabila perintah Allah- nak suruh bunuh anak atau orang pun boleh, sebagaimana Ibrahim a.s dipuji sedangkan dia nak bunuh anaknya. Ini kerana dia taat nak menjalankan perintah Allah.

Dalam kisah Nabi Ibrahim A.S dan juga Nabi Musa A.S & Khidir, semuanya berlaku berdasarkan perintah daripada Allah.

*Adapun membunuh orang tanpa perintah dan alasan yang dibenarkan, maka ia adalah dosa.
Kita jangan pula hendak mencubanya dengan menyembelih anak. Tidak ada lagi perkara seperti itu. Itu merupakan perintah khusus daripada Allah.

  1. Ayat 50- {… lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin,}– berdalilkan ayat ini majoriti ulama’ tafsir ahli Sunnah mengatakan Iblis bukan daripada malaikat.

Iblis bukan daripada malaikat berdasarkan nas al-Quran ini:

كَانَ مِنَ الْجِنِّ﴿

“Ia adalah daripada golongan jin.”

Makhluk ini ada manusia, jin dan syaitan.
Syaitan pula boleh terdiri daripada jin ataupun manusia.
Manusia boleh menjadi syaitan dan jin juga boleh menjadi syaitan.

Jadi, syaitan itu bukanlah satu jenis makhluk yang lain- ia adalah makhluk yang derhaka & jahat, tak dengar kata.
Bahkan dari kalangan haiwan juga ada syaitan- iaitu haiwan yang nakal & jahat.

Kita sudah bahas panjang berkenaan syaitan dahulu. Tuan-tuan boleh lihat kembali dalam YouTube syarah kitab Hakikat Syaitan.

Di sini juga terdapat perbezaan dari sudut asal kejadian.
Malaikat diciptakan daripada cahaya, manakala Iblis & jin daripada api.

Maka kita pegang yang ini supaya tidak pening untuk memperbahaskannya iaitu:

  • كَانَ مِنَ الْجِنِّ- Iblis adalah daripada golongan jin.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa malaikat tidak pernah menderhakai Allah.

Yang menderhakai Allah ialah Iblis kerana dia daripada golongan jin.
Malaikat sentiasa taat kepada Allah dengan ketaatan yang mutlak. Mereka taat yang sangat-sangat taat kepada Allah.

Para ulama juga mengatakan bahawa jin bernikah sesama mereka & mempunyai zuriat, sedangkan malaikat tidak mempunyai zuriat.

Cukuplah kita membincangkan hal syaitan-
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

  1. Ayat 50- {… lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.}- mereka jahat tak dengar kata, keras kepala.

Perkataan فَفَسَقَ, menunjukkan iblis dia fasiq maka kefasikan di sini sampai kepada darjat yang paling tinggi, iaitu kufur dan keluar daripada agama.

Jadi, perkataan dalam ayat ini menunjukkan bahawa Iblis telah fasik, lalu menjadi kafir dan kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Perkataan fasik pula ada kalanya bermaksud keluar daripada agama, dan ada kalanya bermaksud keluar daripada ketaatan atau ketentuan syarak.

Fasiq itu ada dua keadaan:
i- fasiq yang kufur seperti iblis;
ii- fasiq orang beriman tetapi dia derhaka.

Sebagaimana firman Allah:
{Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Baqarah 2:282)

Dalam ayat ini, Allah pesan saksi-saksi ini jangan menipu, jangan tukar fakta kerana perbuatan tersebut disebut sebagai fusuq atau jahat.

Jadi, fasik juga boleh bermaksud derhaka.
Seseorang itu masih beriman, tetapi melakukan maksiat dan menderhakai Allah, maka dia disebut sebagai orang fasik.

Seperti orang yang meninggalkan solat; ada mazhab yang menghukumnya kafir, manakala mazhab yang lain tidak menghukumnya kafir selagi dia tidak mengingkari kewajipan solat, tetapi dia dianggap fasik. Itulah perbezaannya.

Maka oleh kerana itu iblis syaitan bukanlah makhluk yang baik maka jangan sesekali kita jadikan dia sebagai kawan, teman atau partner!

  1. Ayat 51- {Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi…}-
    Allah kata tidak ada sesiapa pun yang menjadi saksi ketika Allah menciptakan langit dan bumi.

Tiba-tiba hari ini ada yang mengaku hendak menjadi “partner” Tuhan.
Tidak ada sesiapa yang menyaksikan penciptaan langit dan bumi.

Maka sesiapa yang bercakap tentang perkara-perkara yang ada di langit tanpa dalil Syar’ie- maka pandangannya tidak diterima.

Sebab tidak ada sesiapa yang menjadi saksi ketika Allah menciptakan langit dan bumi.

Kita hanya boleh memahami dan mengetahuinya melalui wahyu daripada Allah S.W.T.

Tiada siapa yang tahu dengan tepat langit ada berapa lapis, ada berapa bintang, berapa cakerawala atau planet di atas langit!

Tetapi bagi orang yang memang belajar ilmu falak dan astronomi, maka bolehlah melalui ilmu yang Allah s.w.t buka kepada manusia untuk dia menceritakan perkara itu kepada manusia lain- ini tidak menyalahi!

Akhir sekali Allah berfirman:

وَمَا كُنْتُ مُتَّخِذَ الْمُضِلِّينَ عَضُدًا﴿

{Bahawa Aku tidak sekali-kali mengambil orang-orang yang menyesatkan sebagai pembantu.}

Ayat ini mengajar kepada kita supaya jangan menjadikan orang yang sesat sebagai teman, kawan & ikutan.
Ini tidak- yang pelik itulah yang masyhur & menjadi ikutan.

Manakala kalau mengajar perkara yang elok-elok, membaca hukum yang bersumberkan Quran & Sunnah- ini tidak jadi!

Tetapi yang merapu dan pelik-pelik itulah yang diikuti.
Sehari dua ini akan timbullah pula cerita kononnya Nabi akan datang ke tempat kita.

Kita jangan cari perkara yang pelik dan merapu dalam agama- ambillah yang sahih dari al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

Tamatlah kuliah kita untuk hari ini semoga mendapat manfaatnya & insya-Allah, kita sambung lagi esok dengan ayat 52.

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ،
وَصَلَّى اللهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 10/08/2026 – 26 Safar 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1025326456984541

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top