Kebun Kafir Binasa, Penyesalan Tidak Berguna & Hanya Allah S.W.T Penolong

Live Kuliah Pagi Selasa 04/08/2026 – 20 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (14) Ayat [42-44]
Full video: https://youtu.be/J56gDyST6_I?si=TFw_up2mNV69Tp8V
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 42 sehingga ayat 44 dalam juzuk kelimabelas.
- Siri ini adalah kisah terakhir tentang pemilik kebun.
Allah s.w.t nyatakan bahawa kebun kafir telah binasa, musnah dengan azab Allah. - Setelah melihat kebinasaan kebun & hartanya, dia menyesal dan sedih tetapi penyesalan itu tidak berguna lagi.
- Pada waktu itu tiada lagi sesiapa yang boleh membantunya, hanya Allah s.w.t penolong yang berkuasa.
Kerana itu jangan angkuh & sombong, jika dapat kejayaan, jangan lupa kepada pemberi nikmat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan kisah episod pemilik kebun & kawannya yang beriman.
Selepas melihat pemilik kebun sombong & tak sedar diri- kawannya yang beriman memberi nasihat kepada pemilik kebun; tetapi dia makin sombong dan angkuh dan mengatakan dia tidak fikir kebunnya akan rosak!
Lalu kawannya berdoa kepada Allah jika begitu kesombongannya biarlah kebunnya dibinasakan supaya dia sedar & insaf.
Maka Allah perkenankan doanya orang mukmin itu.
*Begitulah tugas orang beriman untuk sentiasa memberi nasihat & peringatan apabila ada peluang di mana & bila masa saja, tak kira kedudukannya.
ii- maka datang ayat ini diceritakan bahawa apa yang dibimbangi oleh orang beriman terjadi dan apa yang disangka oleh pemilik kebun itu tidak terjadi.
Allah turunkan bala di mana habis kebunnya rosak binasa.
Kerana itu nikmat mesti dijaga dengan mensyukurinya bukan kufur nikmat kerana ia boleh hilang dan musnah bila-bila masa saja!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَا أَنفَقَ فِيهَا وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا ﴿٢٤﴾
Ayat 42- {Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!”} (Al-Kahfi 18:42)
- Selepas kawannya yang beriman berdoa & Allah perkenankan doanya- maka habis segala tanaman serta harta-bendanya itupun dibinasakan.
Segala junjung-junjung pokok anggurnya telah runtuh musnah semuanya.
- Kata ulama’ apabila Allah sebut {وَأُحِيطَ} meliputi maka maksudnya:
i- kata Syeikh as-Sa’adi- semua apa yang ada dalam kebunnya rosak binasa musnah semua. Semua pokok & tumbuhan yang ada, bukan anggur saja tapi semua sekali!
ii- Bahkan ada ulama’ kata bukan setakat kebun yang musnah bahkan segala hartanya yang lain seperti binatang ternakan dan lain-lain juga habis rosak binasa!!!
- Melihat semua itu, si pemilik kebun berasa amat kesal dan menyesal atas apa yang terjadi- dia dalam keadaan sangat kecewa lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya kerana menyesal dan terkilan.
- Dia berasa amat kesal atas kebinasaan itu kerana telah berhabis banyak modal, berasa rugi terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya & dilaburkan kepada kebun-kebunnya.
- Ada ulama’ kata maksudnya {فَأَصْبَحَ} itu adalah:
i- kebun itu telah dibinasakan pada waktu malam dan apabila pagi esoknya dia melihat kebunnya yang telah rosak binasa.
Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{فَأَصْبَحَتْ كَٱلصَّرِيمِ-
Lalu menjadilah ia sebagai kebun yang telah binasa semua buahnya.} [Al-Qalam: 20].
ii- keadaannya sendiri yang penuh kekesalan atas segala kerugian yang menimpanya dengan menepuk-nepuk tangannya.
- Si kafir itu dalam keadaan penuh penyesalan sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!”.
Yakni kalaulah dia dengar nasihat & peringatan yang diberikan oleh kawannya dulu dan dia beriman dari awal lagi!
- Tentang penyesalan si kafir ini pula:
i- kata setengah ulama’ seperti Ibnu Jarir : Penyesalan di kafir itu adalah di Akhirat kelak!
ii- kata ar-Razi dan lain-lain pula: Penyesalan itu semasa atas dunia lagi iaitu apabila dia melihat kemusnahan kebunnya!
Menyesal kerana tak dengar kata & nasihat sahabatnya yang beriman dulu!
- Hadis:
i- daripada Anas R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada hamba-Nya, Allah akan segerakan hukuman untuknya di dunia.
Dan apabila Allah menginginkan keburukan kepada hamba-Nya, Allah akan menahan azab baginya akibat dosanya di dunia, hingga Allah membalasnya (dengan sempurna) pada hari Kiamat.” (HR Tirmizi No 2396)
*Yakni jika Allah sayang Allah balas terus atas dunia ini iaitu jika dia sombong dengan sebab kebun dia- kebunnya akan musnah, dia sombong angkuh dengan sebab jawatannya- jawatannya akan hilang, dia sombong angkuh dengan sebab hartanya- harta itu akan habis, dia sombong angkuh dengan sebab ramai follower & peminat- follower akan lari!
Maka dia akan sedar dan insaf dengan penuh penyesalan lalu kembali bertaubat kepada Allah, memohon keampunan-Nya.
ii- Sabda Nabi S.A.W: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Dia akan menggunakannya.”
Sahabat bertanya: “Bagaimanakah Dia menggunakannya?”
Baginda menjawab: “Dia memberikannya taufiq untuk beramal soleh sebelum mati.” (HR At-Tirmizi).
- Begitulah kata ulama’ tadabbur: Apabila Allah nak berikan kebaikan kepada hamba-Nya akan disegerakan hukuman atas dunia ini!
- Tetapi jangan sesekali kita minta bala atau balasan hukuman atas dunia ini- kita hendaklan minta kebaikan & afiat!
Nabi s.a.w melarangnya bahkan mengajar kita untuk meminta afiyah, yang baik-baik saja dari Allah s.w.t!
وَلَمْ تَكُن لَّهُ فِئَةٌ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مُنتَصِرًا ﴿٣٤﴾
Ayat 43- {Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.} (Al-Kahfi 18:43)
- Munasabah ayat:
i- apabila si kafir berbangga dengan hartanya yang banyak dan melimpah ruah maka dia menjadi sombong dan angkuh dirinya;
ii- maka Allah nyatakan di sini jika Allah turunkan bala; tiada siapa yang akan dapat menolong dan menyokongnya!
- Begitulah orang yang angkuh dan sombong Allah akan hilangkan nikmatnya! Pada waktu itu tiada siapa yang boleh halang & sekat untuk membela dirinya!
- Tiada orang yang akan dapat menolongnya bahkan dia sendiri juga tidak akan dapat menolong dirinya!!!
- Nota [736] Demikianlah keadaan orang yang tidak mengenang dan tidak bersyukur akan nikmat Allah, dan yang memandang bahawa hidup di dunia ini ialah segala-galanya.
هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّهِ الْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا ﴿٤٤﴾
Ayat 44- {Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).} (Al-Kahfi 18:44)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang sebelumnya Allah nyatakan tiada siapa yang dapat menolong apabila Allah turunkan azab-Nya.
ii- dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa kekuasaan untuk memberi pertolongan hanya khas milik Allah!
- Segala kuasa & kedudukan hanyalah di sisi Allah & Allah akan tolong hamba-Nya yang beriman apabila cukup syaratnya!
Jangan mudah kecewa dan berasa tidak adil. - Kata ulama’ dua sebab orang baik diuji:
i- kerana Allah nak angkat darjatnya kepada yang lebih tinggi-mungkin dengan ibadat kita tak sampai darjat yang tinggi.
Dengan sabar dia akan mendapat pahala yang besar!
ii- Allah nak gugurkan kesalahannya.
Allah nak cuit, nak suruh kita sedar dan insaf atas kelalaian dan kelaghaan jika ada, lalu terus bertaubat memohon ampun kepada Allah.
- Kita orang beriman letakkan pergantungan hati & tawakkal kita kepada Allah sepenuhnya!
Jangan kepada benda lain. - Firman Allah s.w.t:
{Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.} [Al-An’am: 62]. - Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa:
i- Dia lah sebaik-baik pemberi pahala,
ii- dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia kepada hamba-hambaNya yang taat. - Maka pesanan kepada para sahabat kita yang kaya dengan cepat ini agar jangan sombong dan angkuh, bersyukurlah dengan segala nikmat Allah.
Penutup & Faedah #
- Ayat 42- {Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan,…}-
Kta ulama’ tadabbur ini kisah yang besar dalam surah al-kahfi iaitu kisah tentang godaan dunia yang menjadi iktibar kepada orang yang beriman.
Kita dengan dunia ini hanya dua persimpangan iaitu samada dia tinggalkan kita atau kita yang meninggal dulu.
Orang yang kejar dunia akan terlupa Akhirat, orang gila dunia akan derhaka kepada Allah!
Ingatlah harta itu hilang atau kita dulu yang masuk ke dalam tanah.
Sebab itu, fikirkanlah dengan teliti sebelum mencari dan mengambil sesuatu daripada dunia.
Maka lihatlah dulu harta yang kita kejar itu halal atau haram, nak kejar dunia jangan sampai tercicir Akhirat.
Ketika mengejar dunia, jangan sampai akhirat tersisih di pertengahan perjalanan.
Sekiranya harta dunia dapat membantu kita menuju akhirat, maka tidak menjadi kesalahan untuk memilikinya.
Allah S.W.T berfirman:
﴾وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا﴿
“Dan janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia.”
Ayat ini mengajar kita bahawa dunia hanyalah sementara.
Segala yang kita miliki boleh hilang pada bila-bila masa.
- Ayat 42- {Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya,..}-
Ayat ini masih membicarakan tentang kebinasaan harta pemilik dua kebun tersebut di mana kezaliman dan kesombongan menjadi sebab kebinasaan.
Allah S.W.T berfirman:
﴾وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ﴿
Kata ulama’ tadabbur: Hukuman yang dijatuhkan ke atas pemilik kebun ini bukan hanya sebab dia kafir saja, bukan semata-mata kerana kekufurannya.
- kerana ramai lagi kafir lain yang masih diberikan umur panjang dan kekayaan.
Mana-mana orang kaya, pemerintah atau manusia yang memiliki kekuasaan akan lebih cepat menuju kebinasaan apabila mereka berlaku zalim.
Tetapi mana-mana orang kaya & penguasa atas dunia ini- apabila mereka kafir, zalim & sombong takabbur; maka akan cepat tiba kebinasaannya ke atas mereka!
Manakala kafir yang pasif mungkin Allah akan tangguhkan kebinasaannya semoga dia sempat bertaubat di hujung usianya.
Begitulah dunia ini syurga bagi orang kafir & penjara bagi orang mukmin.
سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Begitulah orang kaya atas dunia ini jangan sesekali sombong & angkuh seperti si Qarun yang lupa diri, menyangka dia hebat semata-mata kerana dirinya sendiri.
Adakalanya Allah S.W.T memberi tempoh yang panjang kepada seseorang, mudah-mudahan dia sempat bertaubat sebelum meninggal dunia.
Sekiranya dia tetap tidak bertaubat, maka segala kenikmatan dunia itulah sahaja bahagiannya.
Seseorang mungkin hidup selama 70 atau 80 tahun dengan penuh kemewahan.
Namun, selama mana pun dia menikmati dunia, semuanya tetap akan berakhir.
Oleh itu, sesiapa yang dikurniakan harta hendaklah bersyukur kepada Allah S.W.T.
Qarun merupakan contoh manusia kaya yang bersikap sombong.
Allah SWT merakamkan kata-katanya dalam Surah al-Qasas ayat 78:
﴾إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِنْدِي﴿
“Sesungguhnya aku diberikan harta ini kerana ilmu yang ada padaku.”
Qarun menyangka bahawa dia menjadi kaya kerana kepandaian, ilmu perniagaan dan kebolehannya sendiri.
Inilah contoh kesombongan manusia. Kekayaan boleh membawa kepada kesombongan, manakala kesombongan pula boleh membawa kepada kerugian dan kebinasaan.
Kita memohon kepada Allah S.W.T agar menyelamatkan kita, keluarga kita dan orang-orang yang kita sayangi daripada sifat sombong, angkuh dan takbur.
- Ayat 42- {Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan….}-
Allah kata Dia telah binasakan buah hasil kebun si kafir itu.
Ulama’ tadabbur membincangkan kenapa Allah sebut {وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِۦ}- binasa buah atau hasilnya kenapa Allah tak kata binasa kebunnya terus, sedangkan seluruh kebun itu telah musnah??
Jawapan:
i- ini kerana tujuan kita buat kebun & dusun adalah untuk mendapat hasil buah-buahan itu! Jika ada kebun tak ada buah tak ada faedahnya!
Sebagai contoh: Ladang kelapa sawit dibuka untuk mendapatkan buah kelapa sawit.
Dusun durian dibuka untuk mendapatkan buah durian.
Kebun rambutan dibuka untuk mendapatkan buah rambutan.
Oleh itu, apabila Allah SWT menyebut bahawa hasil kebun itu telah musnah, ia menggambarkan bahawa tujuan utama pemilik kebun tersebut telah gagal sepenuhnya.
Walaupun tanah dan kebun itu masih ada, sekiranya tiada hasil yang dapat diperoleh, maka kebun tersebut tidak lagi memberikan manfaat seperti yang diharapkan.
ii- Allah nak nyatakan bahawa semua sekali hartanya secara umum hancur musnah!
Inilah antara keindahan bahasa al-Quran.
Allah S.W.T memilih perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan kehilangan dan kehancuran yang dialami oleh pemilik kebun itu.
Perkataan ثَمَر juga boleh membawa makna buah, hasil atau kekayaan.
Oleh itu, kebinasaan tersebut bukan sahaja melibatkan buah-buahan, bahkan boleh merangkumi seluruh harta dan hasil usahanya.
- Ayat 42- {… lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya,…}-
Allah S.W.T berfirman:
﴿أَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ﴾
Maka dia membolak-balikkan kedua-dua tangannya.”
Perbuatan membolak-balikkan tangan merupakan gambaran seseorang yang sangat menyesal dan tak keruan lagi, tak dop arah nak fikir!
Dia sekarang dalam keadaan penyesalan yang amat, duduk memikirkan tentang modalnya yang telah habis banyak- sekarang dia tidak memikirkan lagi akan kebunnya yang telah musnah.
Allah kata kerana itu adalah pilihannya untuk membina kebun itu dan sombong menyangka bahawa kebunnya akakn kekal tidak akan binasa sama sekali.
Pemilik kebun itu telah mengeluarkan modal yang banyak.
Mungkin dia telah menjual hartanya, menggadaikan barang, membuat pinjaman atau mengumpulkan modal untuk membangunkan kebun tersebut.
Namun, setelah segala kebun dan hasilnya musnah, dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi selain menyesal.
Dia bukan sahaja kehilangan hasil kebun, bahkan turut kehilangan modal, usaha, masa dan tenaga yang telah dicurahkan.
Segala yang dibanggakan sebelum itu telah hilang dalam sekelip mata.
Kata para ulama’: Allah sentap manusia ini kadang-kadang kerana nak suruh dia sedar & insaf.
Ini kerana manusia sering menyesal setelah sesuatu itu rosak atau hilang.
Ketika itu, penyesalan tidak lagi dapat mengembalikan apa yang telah musnah.
Oleh itu, kita hendaklah sedar dan kembali kepada Allah S.W.T sebelum ditimpa kebinasaan.
Sebagaimana hadis Nabi s.a.w tadi:
i- jika Allah sayang & nak kebaikan kepada seseorang hamba-Nya akan disegerakan balasan semasa di dunia lagi agar dia insaf & bertaubat,
ii- jika Allah nak beri keburukan Allah akan biarkan seseorang itu hanyut tenggelam dalam dosa & maksiat; buat dosa pun segar, buat jahat pun tak mengapa, tipu orang pun tak ada apa- tetapi di Akhirat berat dia akan kena. [HR at-Tirmizi].
Hadis lain juga, sabda Nabi s.a.w:
“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Dia akan menggunakannya.”
Lalu ditanyakanlah pada Baginda, “Bagaimanakah Allah menggunakannya wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Dia akan memberinya taufiq untuk beramal soleh sebelum mati.”
[HR: At-Tirmidzi 2142, Ahmad 12055, Ibnu Hibban 341, dan Al-Hakim 1257, dan dinilai Sahih oleh Al-Albani dalam Sahih At-Tirmizi].
Sabda Nabi s.a.w lagi:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَلَهُ، قِيلَ وَمَا عَسَلُهُ،
قَالَ يَفْتَحُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ عَمَلًا صَالِحًا قَبْلَ مَوْتِهِ ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Apabila Allah Azza wa Jalla menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Dia memberinya ‘madu’ (‘asalahu).”
Para sahabat bertanya, “Apakah maksud memberinya madu?”
Baginda menjawab, “Allah Azza wa Jalla membukakan baginya amal soleh sebelum kematiannya, kemudian Dia mewafatkannya dalam keadaan tersebut.”
[HR Imam Ahmad].
Semoga Allah menjadikan kita semua orang yang sentiasa bersyukur, bersegera taubat kepada Allah dan tidak angkuh sombong serta mati dalam husnul-khatimah!
- Ayat 44- {Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).}-
هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّهِ الْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا
Ayat ini mengajar kita untuk gantungkan hati hanya kepada Allah S.W.T- kerana segala bentuk wilayah (kekuasaan), pertolongan, perlindungan dan pengurusan urusan makhluk seluruhnya berada di bawah kekuasaan Allah S.W.T semata-mata.
Apabila Allah memberikan pertolongan kepada seseorang, maka dia akan terselamat daripada kebinasaan di dunia dan akhirat.
Sebaliknya, sesiapa yang dibiarkan tanpa pertolongan Allah, tiada siapa mampu menyelamatkannya.
Tanda Allah mencintai seorang hamba ialah apabila Dia mengurniakan taufik untuk beriman, beramal soleh, mencintai al-Quran, berpegang teguh dengan sunnah Nabi S.A.W serta istiqamah dalam ketaatan.
Ganjaran yang Allah sediakan di akhirat jauh lebih baik daripada seluruh kesenangan dunia yang sementara. Kesudahan yang baik ialah kejayaan sebenar.
Doa
للَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَّقِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الَّذِينَ تُحِبُّهُمْ، وَارْزُقْنَا الْإِيمَانَ وَحُبَّ الْقُرْآنِ وَالسُّنَّةِ، وَاخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ.
Maksudnya:
“Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.
Jadikanlah kami daripada hamba-hamba-Mu yang Engkau kasihi.
Kurniakanlah kepada kami keimanan, kecintaan kepada al-Quran dan Sunnah, serta akhirilah kehidupan kami dengan husnul khatimah.”
Dengan ayat ini berakhirlah kisah Sohibu al-Jannatain dalam Surah al-Kahfi, esok kita akan sambung dengan kisah lain pula, insya’ Allah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 04/08/2026 – 20 Safar 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1020334774150376
Semoga Bermanfaat!
