Kisah Pemilik Dua Kebun, Kafir Sombong & Mukmin Beri Nasihat

Live Kuliah Pagi Ahad 02/08/2026 – 18 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (12) Ayat [32-34]
Full video: https://youtu.be/7Rhy3vZv0NU?si=hjBZFrwL9vo3JqYL
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 32 sehingga ayat 34 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah seorang pemilik dua kebun dari bani Israil, Allah gambarkan kebunnya indah & subur, penuh dengan hasil.
Tuan kebun ini seorang kafir yang kaya-raya & mempunyai seorang kawan dari kalangan mukmin yang miskin.
- Allah nyatakan bahawa si kafir pemilik kebun itu seorang yang sombong dan berbangga dengan hartanya yang banyak itu.
- Kawan atau saudaranya yang mukmin itu beri nasihat kepadanya tetapi tidak dihiraukanya.
Dia terus sombong dan menyangka bahawa segala harta miliknya itu akan kekal selamanya! - Semoga ayat-ayat Allah yang kita baca ini menyedarkan kita bahawa harta benda ini hanya sementara sahaja, seumpama bayang yang dikejar tak dapat.
Cerita tentang pemilik kebun ini datang dari ayat 32 sehingga ayat 44, kemudian akan datang cerita lain pula.
Kita baca dan tilik apa pengajaran yang Allah nak sampaikan kepada kita melalui cerita-cerita ini!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang teguran kepada Nabi s.a.w agar jangan halau para fuqara’ dari kalangan sahabat, sebagaimana cadangan para pembesar Quraisy untuk halau para faqir itu sebelum mereka masuk dalam majlis Nabi s.a.w.
ii- maka datang ayat ini Allah bandingkan antara orang kafir & mukmin.
Di mana orang kafir sombong berbangga dan hartanya manakala orang mukmin menasihatinya agar jangan lupa diri & lupa Tuhan.
*Bagaimana saja keadaan kita kaya atau miskin; kena ambil tanggung-jawab untuk sentiasa beri nasihat peringatan kepada orang sekeliling kita, mereka dengar alhamdulillah, mereka tak dengar kita sudah menegur!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
۞ وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَابٍ وَحَفَفْنَاهُمَا بِنَخْلٍ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا ﴿٢٣﴾
Ayat 32- {Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.} (Al-Kahfi 18:32)
- Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk memberitahu bandingan dan misalan ini kepada para pembesar kafir Quraisy yang angkuh (nak halau orang miskin yang beriman); tentang kisah dua orang lelaki ini, yang mana salah seorangnya adalah seorang kafir pemilik dua kebun!
- Nota [735] Mulai ayat ini, Allah Ta’ala memberikan misal perbandingan, antara orang kafir dengan orang yang beriman.
- Kata para ulama’ seperti al-Mawardi & al- Qurtubi serta analisa yang dikemukakan oleh Syeikh Asy-Syaukani contohnya: Ulama’ tafsir berbeza pendapat apakah ini- kisah yang hakiki berlaku atau hanyalah contoh perbandingan yang Allah bawa saja???
i- maka ada yang kata ia hanyalah contoh perbandingan yang Allah bawa bukan kisah sebenar yang berlaku.
Hanya analogi perbandingan, buat cerita supaya orang mudah faham!
ii- ada juga ulama’ yang berpendapat ini adalah kisah benar yang berlaku- tetapi tidak diketahui di mana ia berlaku, Allah tak sebutkan tempatnya.
- Tetapi itu semua tak penting kerana tujuan sebenar perbandingan ini adalah untuk memberi nasihat dan pengajaran dan ibrah kepada kita!
Ia akan menyusahkan diri mencari sesuatu yang tidak ada, dan hilang punca tujuan asal perbandingan yang Allah buat supaya kita berfikir.
*Sudah timbul perbezaan pendapat- ada yang kata dari kalangan bani Israil, ada yang kata lelaki dari bani Makhzum- sudah mula hilang puncanya!
- Allah nyatakan dijadikan kebun bagi salah seorang lelaki itu:
i- dua buah kebun anggur; anggur sinonim kerana air perahannya dibuat minuman yang masyhur iaitu arak.
ii- dikelilingi pula kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, iaitu pokok berbatang besar yang meneduhkan.
iii- serta dijadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain pula.
Yakni dicelah-celahnya mungkin ada sayuran pula!
- Kata Ibnu Asyur: Kebun anggur itu mempunya kebun tanaman lain pula antara keduanya.
*Cara penceritaan yang dibawa al-Quran ini amat menarik sehingga terbayang keindahan kebun itu kepada kita!
كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ آتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْئًا ۚ وَفَجَّرْنَا خِلَالَهُمَا نَهَرًا ﴿٣٣﴾
Ayat 33- {Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.} (Al-Kahfi 18:33)
- Allah gambarkan lagi keadaan dua kebun yang indah itu:
i- mengeluarkan hasil buah-buahan yang banyak & tidak berkurangan sedikitpun, yakni menjadi molek hasilnya.
ii- di dalam kebun itu pula, di celah-celah pokoknya, mengalir sebatang anak sungai atau tali air yang indah lagi jernih airnya.
- Inilah keindahan dua kebun milik lelaki itu atas dunia ini yang Allah gambarkan!
وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا ﴿٤٣﴾
Ayat 34- {Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.} (Al-Kahfi 18:34)
- Tuan kebun itu juga mempunyai pelbagai harta lain atau kebun buah-buahan {ثَمَرٌۭ} lain yang banyak selain daripada dua kebun itu.
- Para ulama’ berbincang pula tentang apakah makna perkataan {ثَمَرٌۭ} ini, kata Ibnu Atiyah r.h.m jika bacaannya:
i- ada kata jika dibaca dengan baris hadapan- thumur {ثُمُرٌۭ} ia bermaksud semua jenis harta.
Sebagaimana kata Ibnu Abbas & Qatadah: Semua jenis harta seperti emas, perak, ladang haiwan dan seumpamanya.
ii- atau jika {ثَمَرٌۭ} dengan makna buah-buahan yakni kebun buah yang lain pula!
- Maka dia berasa sombong dan berbangga-bangga akan keadaannya, maka kawannya yang Islam dan miskin itu menasihatinya agar jangan sombong serta bersykurlah akan nikmat Tuhan ini.
- Tetapi apa boleh buat bukannya dia nak dengar nasihat itu & insaf tetapi bertambah sombong & angkuh dengan berkata tak perlu kamu nak nasihati aku, kerana siapalah kamu, sedangkan:
i- Aku lebih banyak harta daripadamu;
ii- dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai.
Seperti influencer yang ramai followersnya!
- Hanya Allah saja yang dapat membantu kita menghadapi ujian dunia yang fana & sedikit ini tetapi ramai manusia yang terpedaya dengannya!
Tak usah sombong dan angkuh kerana kita semua pasti akan mati dan pergi ke Akhirat.
Penutup & Faedah #
- Ayat 32- {Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur;}-
Allah buat bandingan tentang dua orang lelaki- seorang kafir yang kaya ada dua buah kebun, manakala seorang lagi, seorang mukmin yang miskin.
Allah tak sebut siapakah mereka & di manakah kisah ini berlaku.
Pengkaji mencarinya dan keluar beberapa pendapat- ada yang kata dari kalangan bani Israil, ada kata dari kalangan kabilah Makhzum di Makkah dan seumpamanya!
Yang pentingnya fakta yang nyata ada dua watak dalam kisah ini:
i- salah seorang mereka yang kaya & pemilik kebun itu adalah seorang kafir yang sombong & tidak percaya kepada hari Kiamat.
ii- manakala seorang lagi yang menasihatinya ialah mukmin yang beriman.
Tetapi suka memberi nasihat apabila melihat kawannya terpedaya & sombong dengan kekayaannya.
Allah nak ajar kepada kita apabila kita berdepan dengan kisah yang tidak ada fakta & maklumat jelas dari Allah sebegini;
i- kita tidak perlu menyusahkan diri, rugi masa & tenaga mencari maklumat yang tidak ada faedahnya, yang Allah tidak sebut.
ii- apa yang kita kena cari ambilnya ialah pengajaran dan faedah yang Allah mahu kita fikirkan dan ambil contoh!
Begitulah fenomena manusia ini suka cari cerita misteri yang pelik-pelik, bukan yang sahih!
- Ayat 32- {Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur;….}-
Cuba kamu perhatikan kepada ayat yang kita baca ini bagaimana Allah gambarkan bentuk dua kebun ini!
Kamu perhatikan & buka minda akan suasana gambaran sifat kebun yang Allah gambarkan ini!
Allah ceritakan sifat kebun secara detail di sini kerana naluri manusia begitulah- ada yang suka berkebun dan sukakan harta yang indah.
Lalu Allah gambrakan sebuah kebun anggur ini.
Ini satu gambaran untuk kita nampak dalam kepala kita betapa lengkap & besarnya anugerah yang Allah berikan kepadanya!
Ini untuk menunjukkan bahawa manusia itu apabila diberi nikmat yang banyak dan rezeki besar- akan mudah sombong, lupa diri & terpedaya dengan kilauan dunia ini!
- Ayat 33- {Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu..}– Allah kata dua kebun itu telah mengeluarkan hasil yang banyak!
Iaitu hasil kebunnya itu tidak berkurangan & tiada apa yang terhalang dari nikmat kebunnya itu. Kenapa Allah guna perkataan: Allah tidak menzalimi darinya sedikitpun??
{وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْـًۭٔا}
Ini kerana tuannya pula zalim terhadap dirinya sendiri dengan kufur, sombong tidak mahu bersedekah dan seumpamanya.
Kerana itu Allah kata Allah tidak menzaliminya sedikitpun {وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْـًۭٔا} iaitu seperti dengan menggurangkan hasil kebun & hartanya itu- tetapi dia sendiri pula yang menzalimi dirinya!
- Ayat 34- {Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya:..}– ayat ini menunjukkan kepada dia (kawan yang beriman dan miskin itu) berbincang, di mana:
Kawan yang telah beriman menegur dan memberi nasihat kepada kawannya si pemilik 2 kebun agar beriman, jangan syirik, jangan sombong & angkuh!
Dalilnya bahawa tugas seorang pendakwah itu tidak kira orang kaya atau miskin, orang kampung atau orang bandar; mesti memainkan peranan memberi nasihat!
Tetapi pemilik kebun yang kafir itu bukannya nak dengar kata & terima nasihat; tetapi semakin sombong dengan merendahkan pula kawannya sebagai seorang yang miskin & tidak mempunyai pengikut yang ramai sepertinya!
Maka kita ambil iktibar pengajaran; apabila orang nasihat- kita jangan sombong keras kepala, tak dengar teguran kerana ini adalah sifat & watak orang yang akan dibinasakan Allah s.w.t!
Kita ambil iktibar akan perangai buruk ini agar tidak termasuk dalam golongan yang mendapat kemurkaan Allah!!
- Sebagai Kesimpulan dari apa yang kita bincangkan dalam ayat-ayat ini- para ulama’ berkata: Ini adalah perbandingan yang jelas bagi orang mukmin & kafir!
Atas dunia ini hanya ada dua golongan saja samada orang yang beriman percaya kepada Tuhan atau orang yang kafir & syirik kepada Tuhan.
Jadi di sini Allah buat perbandingan supaya kita sentiasa berhati-hati;
i- Jika kita miskin kita kena sabar atas ujian Allah.
ii- jika kita kaya kita bersyukur atas nikmat yang Allah anugerahkan.
Rosaknya pemilik kebun itu kerana:
i- kufur nikmat, kufur aqidah lalu syirik;
ii- serta sombong dan takabbur & keras kepala.
Di mana dua mekanisma ini adalah sebab yang menjadi ketetapan Allah atas dunia ini- orang yang syirik & angkuh semuanya akan dibinasakan oleh s.w.t!
Peranan pendakwah pula adalah untuk memberi teguran & nasihat.
Jangan kata kita orang miskin, orang tiada harta kita tidak layak untuk menegur orang kaya.
Kerana mungkin sepatah teguran atau satu kalimah dari kita akan mnyedarkan mereka, menampakkan kepada mereka apa yang salah itu, yang tidak disedarinya selama ini- betapa besarnya pahala kita!
Tetapi jangan pula dengan sebab kata-kata ampuan kita- orang sudah nak insaf tetapi kerana kata-kata kita kembali sombong angkuh!
Ingat baik-baik- dua kalimah yang berbeza tetapi kesannya sangat besar:
i- Kalimah pertama kata-kata nasihat yang menyebabkan Allah masukkannya ke dalam syurga tanpa disangka;
ii- kalimah kedua ucapan mengampu yang menyebabkan orang tak jadi nak bertaubat kerananya!
Semoga Allah jadikan kita termasuk dalam golongan yang bersyukur dan bersabar sentiasa.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 02/08/2026 – 18 Safar 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1018721304311723
Semoga Bermanfaat!
