Bandingan Dunia Dengan Hujan Dan Tumbuhan, Akhirnya Kering & Harta Dan Anak Perhiasan Hidup

Live Kuliah Pagi Rabu 05/08/2026 – 21 Safar 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (15) Ayat [45-46]
Full video: https://youtu.be/mXrI6IUQdoI?si=Mp-I4ISK_Dd-ebtL
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 45 sehingga ayat 46 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bandingan dunia dengan hujan yang turun dari langit dan menumbuhkan tumbuhan.
Selepas hujan turun, kita melihat bumi menghijau, pokok-pokok tumbuh dengan subur dan semuanya kelihatan indah.
Namun tidak lama kemudian, ia menjadi kering & apabila angin bertiup, semuanya pun hancur dan musnah.
3. Maka Allah Taala berfirman:
﴿وَكَانَ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرًا﴾
Allah Taala Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Dia mampu menjadikan bumi menghijau, dan Dia juga mampu menjadikannya kering kontang.
4. Kemudian Allah nyatakan bahawa harta dan anak-cucu adalah perhiasan hidup dunia
﴿الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا﴾
Sunyi kita tanpa anak-cucu, tanpa harta pula kita susah nak hidup atas dunia ini.
Itulah bandingan kehidupan dunia dan janganlah kita terpesona dan janganlah kita terpedaya dengannya.
5. Akhirnya Allah nyatakan yang kekalnya adalah amalan yang baik iaitu amalan-amalan soleh
﴿وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ﴾
perbuatan yang diredhai Allah s.w.t dan perkataan yang Allah sukai.
Itulah yang kekal, itulah yang mempunyai pahala di sisi Allah Azza wa Jalla, dan itulah sebaik-baik bekalan yang kita persiapkan untuk menuju ke akhirat.
6. Munasabah dengan ayat sebelumnya Allah nak tunjukkan hina & fana’nya dunia ini:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bandingan antara orang kafir yang kaya & orang mukmin yang biasa.
Serta bagaimana si kafir itu berbangga-bangga dengan hartanya, bersikap sombong, angkuh dan megah.
Namun akhirnya Allah s.w.t membinasakannya.
ii- maka dalam ayat ini Allah buat pula bandingan keindahan dunia yang ada di hadapan mata kita ini seperti hujan yang turun lalu menjadikan bumi subur.
Namun kesuburan itu hanya sementara. Pokok-pokok berbunga dan menghijau seketika, kemudian apabila tiba musim panas, semuanya menjadi kecut, kering dan ditiup angin sehingga habis.
7. Allah s.w.t menjelaskan hakikat dunia ini supaya kita tidak terpedaya & supaya kita berfikir tentang hakikat dunia.
Maka kita hendaklah berfikir, apakah yang patut kita lakukan dan apakah yang tidak patut kita lakukan.
Mengapa Allah Taala membandingkan kehidupan dunia dengan air?
Banyak pengajaran yang terdapat dalam ayat yang kita baca ini, insya-Allah.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُّقْتَدِرًا ﴿٥٤﴾
Ayat 45- {Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Kahfi 18:45)
- Kita ambil contoh air kalau dibandingkan dengan dunia ini, apabila turun dengan kadar yang sesuai, maka bumi menjadi subur.
Tetapi kalau terlebih, ia akan menenggelamkan dan menghanyutkan. - Begitulah bandingan kita dengan dunia. Kalau kita mengambil dunia sekadar keperluan, kita selamat.
Tetapi apabila dunia masuk ke dalam kepala, telinga dan hati, kita akan binasa.
- Ada juga ulama membuat bandingan seperti kapal. Kapal berada di atas air, tidak mengapa. Tetapi apabila air masuk ke dalam kapal, ia akan tenggelam.
Kita berada di atas dunia, tidak mengapa.
Tetapi apabila dunia menguasai kita, di situlah bermulanya masalah.
- Allah perintahkan Nabi s.a.w bawa perbandingan ini kepada mereka bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara, sedikit & fana (tak kekal) seperti air hujan yang turun ke bumi.
Allah buat perbandingan ini untuk kita berfikir. - Mereka ini menurut:
i- Ibnu Jarir & al-Qurtubi: puak kafir Quraisy yang sombong dan angkuh yang dulu minta Nabi s.a.w halau keluar para fuqara’ Islam dari masjlis Baginda s.a.w.
ii- kata Ibnu Kathir- semua manusia yang angkuh sombong sebagai peringatan.
Ini supaya mereka tahu hakikat dunia yang sifatnya seperti air- sifatnya yang indah, cepat hilang dan mudah rosak.
Bandingannya seperti tumbuh-tumbuhan yang disiram air, subur seketika, kemudian menjadi kering.
Tujuannya supaya manusia mengenal hakikat dunia yang sifatnya sementara.
Kata Ibn ‘Asyur r.h maksudnya:
مَثَلُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
Iaitu tempoh kehidupan semua benda di atas dunia ini; manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Seluruh kehidupan di dunia ini akan sampai kepada penghujungnya.
Sebagaimana pokok yang akhirnya kering, demikian juga manusia yang akhirnya mati.
- Allah buat bandingan hidup kita ini:
Allah membuat bandingan dengan hujan:
فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ
– iaitu apabila hujan turun, tumbuhlah tumbuh-tumbuhan.
Pokok menjadi cantik, daunnya menghijau, bunga berkembang, buah-buahan keluar dengan lebat, semuanya berpunca daripada air hujan.
6. Dengan sebab air, bumi menjadi subur.
i- seperti pokok yang tumbuh selepas hujan; cantik tumbuhnya, subur daunnya, dahannya bersambung gagah, merimbun menghijau.
ii- kemudian tidak lama kemudian selepas air hujan kering, pokoknya juga kering layu, kemudian mati kelayuan. Begitulah keadaan dunia sekejap saja.
7. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
i- {Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).} [Yunus: 24].
ii- {Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} [Al-Hadid: 20].
Sesungguhnya Allah mencipta dam menjadikan, merosakkan atau menghidupkan balik sesuatu benda itu; semua itu adalah di bawah kuasa Allah!
8. Nota [737] Demikianlah misal perbandingan kehidupan makhluk dalam dunia ini, yang pada mulanya kembang biak, tetapi akhirnya akan lenyap, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Kuasa.
Oleh itu, janganlah hendaknya melupakan akhirat kerana dilalaikan oleh kesenangan dan kemewahan dunia yang tidak kekal itu.
*Dulu ada sekarang arwah- dulu hidup sekarang tiada sudah mati- samada manusia, pokok atau apa saja benda yang ada atas dunia ini.
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا ﴿٦٤﴾
Ayat 46- {Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.} (Al-Kahfi 18:46)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat sebelum ini Allah nyatakan kedudukan dunia yang kecil dan semetara- datang hujan hidup subur sekejap- kemudian kering mati ditiup angin hilang begitu saja.
ii- datang ayat ini melengkapkannya; bahawa semua harta-benda & anak-pinak itu hanya perhiasan hidup yang sementara yang akan musnah dan hilang juga, kamu sendiri akan mati.
Maka kamu ambilah setakat keperluan jangan dok kejar lebih-lebih sehingga halal haram tak peduli- jika tidak kita akan dibinasakan Allah s.w.t!
- Nota [738] Kekayaan dan anak-anak yang ramai memanglah baik, bahkan menjadi perhiasan dunia yang sangat-sangat diperlukan.
Tetapi janganlah dijadikan anak-pinak dan harta-benda itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata, bahkan hendaklah kita berjaga-jaga menjadikannya sebagai jalan dan alat bagi menerbitkan amal-amal salih yang kekal faedahnya untuk kesenangan dan kebahagiaan kita di akhirat sama.
Oleh itu, sungguh beruntung orang-orang yang dapat berusaha untuk kebaikan dunianya dan akhiratnya.
- Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa:
i- harta-benda {ٱلْمَالُ} semua sekali, samada emas-perak, kebun-tanah, rumah bangunan, haiwan ternakan semuanya adalah harta kesayangan manusia.
ii- Serta anak-pinak yang lelaki {وَٱلْبَنُونَ}-
Allah sebut khas anak lelaki di sini- bukan anak secara umum iaitu {}.
Ini kerana bagi orang kafir pada zaman al-Quran ini diturunkan anak lelaki adalah satu kebanggan yang ditunggu-tunggu.
Jika anak perempuan mereka tak suka bahkan dianggap sial bagi mereka; bahasa al-Quran cukup teliti mengambil kira keadaan masyarakat pada waktu itu!
- Allah juga sebut harta dulu sebelum anak- kerana harta menjadi keperluan utama manusia & harta datang dulu sebelum datang anak lagi. Hatta anak kecil pun memerlukan harta untuk hidup & membesar!
*Keduanya adalah perhiasan dunia yang sementara- orang buat perhiasan dan kesukaan dengannya!
Tetapi jangan melampaui kerana semuanya akan hilang samada kita pergi dulu atau ia pergi dulu.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;} [Aal-Imraan 3: 14-15]. - Walaupun pun harta dan anak pinak menjadi dambaan manusia atas dunia ini- tetapi Allah mengingatkan bahawa:
i- amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan,
ii- dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan!
Amalan-amalan soleh ialah amalan yang kekal pahalanya, besar manfaatnya dan balasannya telah disediakan oleh Allah Azza wa Jalla.
Adapun orang yang hanya mengumpulkan harta dunia, tidak berinfak, tidak bersedekah dan tidak memanfaatkannya, sebaliknya hanya mengumpulkannya semata-mata, maka dia akan rugi.
- Ulama’ tafsir membincangkan apakah maksudnya
{ٱلْبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ-
al-Baqiyat as-Solihat} dan terdapat beberapa pendapat mengenainya.
Dalam Tafsir asy-Syanqiti, beliau menyatakan bahawa al-Baqiyat as-Solihat ialah:
i- pertamanya solat 5 waktu- Pendapat ini dinukilkan dari Ibnu Abbas.
ii- kalimah zikir yang kita ucapkan iaitu 5 zikir ini:
سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.
Iaitu amalan-amalan yang kekal pahalanya.
Mudah untuk diucapkan, tetapi pahalanya sangat besar.
Ini berdasarkan pandangan majoriti ulama’ berdasarkan hadis Abu Said al-Khudri r.a seperti Abu al-Darda’, Abu Hurairah, al-Nu’man bin Basyir dan UM Sayyidah Aisyah radhiyallahu ‘anhum.
Itulah yang terbaik dan sepatutnya kita miliki, insya-Allah.
Dengan itu kita akan selamat di dunia dan aman di akhirat.
*Alhamdulillah, YPSD telah terbitkan risalah yang bertajuk Zikir Lima Kalimah.
Kata asy- Syanqiti rhm.: Selepas kita teliti hadis-hadis & dalil-dalil- kesimpulannya semua amalan yang baik & soleh itu temasuk dalam {ٱلْبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ} yang menjanjikan pahala yang besar & kekal di sisi Allah.
Yang utama ialah solat lima waktu, kemudian merangkumi ucapan lima kalimah zikir tersebut dan setiap perkataan, perbuatan dan niat yang baik.
Semuanya termasuk dalam amalan yang kekal pahalanya dan disediakan oleh Allah Taala dengan ganjaran yang begitu besar.
8. Hadis tentang amalan soleh
ٱلْبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ
al-Baqiyat as-Solihat ini:
i- Daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Perbanyakkanlah oleh kamu daripada al-Baqiyat as-Solihat.”
Baginda ditanya: “Apakah itu, wahai Rasulullah?”
Jawab baginda: “Al-Takbir, al-Tahlil, al-Tasbih, al-Tahmid, dan La hawla wala quwwata illa billah.”
{لَا إِلَهَ إِلَّا اَللَّهُ وَسُبْحَانَ اَللَّهِ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاَللَّهِ}
(HR al-Nasa’i, Ibn Hibban, dan al-Hakim; disahihkan oleh al-Albani)
ii- hadis tanah syurga itu kosong maka hiasinya lah dengan zikir –
Daripada Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Aku telah berjumpa dengan Nabi Ibrahim A.S pada malam Isra’, dia berkata kepadaku:
Wahai Muhammad sampaikan salamku kepada umatmu dan beritakan kepada mereka bahawa syurga itu memiliki tanah terbaik dan air yang paling segar.
Syurga itu dataran kosong (Qi’aan) dan tumbuhannya adalah (zikir) Subhanallahi {سُبْحَانَ اَللَّهِ} Walaa Ilaaha Illallaah Wallaahu Akbar- { لَا إِلَهَ إِلَّا اَللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ }.” (HR Tirmizi)
Penutup & Faedah #
- Ayat 45- {Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit,…}-
Allah S.W.T mengumpamakan kehidupan dunia seperti air hujan yang turun dari langit.
Air itu menyuburkan tumbuh-tumbuhan sehingga bumi kelihatan indah dan menghijau.
Namun, tidak lama kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering, hancur dan diterbangkan angin.
Ayat ini menunjukkan hakikat kehidupan dunia (أحوال الدنيا).
Dunia kelihatan cantik dan mempesonakan, tetapi semua keindahan itu bersifat sementara.
Lihatlah emas, perak, bangunan, manusia dan tumbuh-tumbuhan.
Semuanya akan berubah dan akhirnya binasa.
Orang yang cantik akan tua dan meninggal dunia.
Pokok yang subur akan layu. Bangunan yang gah akhirnya akan rosak.
Oleh itu, janganlah kita terlalu mengejar dunia. Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai matlamat hidupnya, akhirnya dunia itu sendiri akan meninggalkannya.
- Ayat 45- {Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit,…}-
Dunia menjadi penghalang dalam dua keadaan:
i- Dunia ini menyebabkan terhalangnya orang bukan Islam nak masuk Islam.
Ia menjadi penghalang orang bukan Islam daripada menerima hidayah.
ii- Dunia ini penyekat orang beriman- iaitu menyekat kita orang Islam daripada beramal.
Pertama: Orang kafir bangga dengan kemajuan material negara-negara bukan Islam lalu menyangka bahawa kemajuan itu menjadi bukti kebenaran mereka.
Mereka merasa tidak berhajat kepada Islam kerana melihat negara Islam & orang Islam lemah, mundur dan tidak maju!
Inilah hijab dunia yang menghalang seseorang daripada menerima kebenaran.
Kedua: Dunia juga menjadi penghalang orang Islam daripada beramal dengan agama.
Apabila seseorang terlalu mencintai dunia, dia mula mengabaikan solat, ibadah, dakwah dan amal soleh kerana sibuk mengejar harta, pangkat dan kemewahan.
Inilah antara bahaya terbesar cinta dunia.
- Ayat 45- {Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air….}-
Mengapa Allah bandingkan dunia dengan air?
Imam al-Qurṭubi رحمه الله menyebut 5 sebab kenapa Allah buat perbandingan dunia ini dengan air:
i- kerana air ini ia mengalir berjalan- tidak akan diam duduk setempat.
Begitu juga dunia ini- sentiasa bergerak dan berputar- kita dulu muda sekarang tua, ada orang dulu susah sekarang senang atau sebaliknya!
ii- air ini sentiasa berubah- lihat kepada mana tempat jatuhnya- ia cepat berubah keadaan.
Kadang-kadang jernih, kadang-kadang keruh.
Demikian juga dunia, sentiasa berubah.
Begitu juga manusia atas dunia ini jatuh di mana, jika berada di dalam bi’ah- suasana atau keadaan yang soleh dan baik maka baiklah dia, jika sebaliknya- buruklah dia, berada dalam kumpulan dadah dan sebagainya.
iii- air ini tidak kekal di satu tempat, akan segera diserap dan hilang- dunia pun begitu jugalah tidak pernah kekal!
iv- air ini sesiapa yang masuk ke dalamnya mesti basah- demikian juga dunia- siapa yang terjun ke dalam dunia pasti tidak akan selamat- dia akan terpedaya & tenggelam dalam fitnah dunia.
v- air kita boleh ambilnya sebanyak yang kita nak & perlu.
Tetapi apabila sudah ditimpa pelbagai penyakit- air kena sukat dan tak boleh ambil lebih lagi.
Air jika berlebihan boleh memusnahkan- begitu juga dunia jika melampaui batas dalam mencintainya, ia akan membinasakan manusia.
Allah buat perbandingan dunia ini dengan air yang semuanya kena atas kepala kita!
Oleh sebab itu, ambillah dunia sekadar keperluan.
Carilah rezeki yang halal dan jadikan dunia sebagai jambatan menuju akhirat, bukan matlamat kehidupan.
4. Ayat 46- {Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia;
… الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا﴾
ayat ini menjadi dalil bahawa kita boleh ambil perhiasan dunia ini daripada harta & anak.
Islam tidak menghalangnya, Allah tidak melarang kita memiliki harta dan anak-anak. Bahkan kedua-duanya merupakan nikmat Allah.
Tetapi pastilah ada SOP dan peraturannya, harta & anak itu akan mejadi perhiasan yang baik apabila kita gunakannya pada tempatnya.
Harta hendaklah digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan sehingga melalaikan kita daripada akhirat.
Sebab itu Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda bahawa apabila seseorang meninggal dunia, terputus segala amalannya kecuali tiga perkara:
Sedekah jariah (ilmu), ilmu yang dimanfaatkan & anak soleh yang mendoakannya.
Maka harta dan anak akan menjadi kebaikan apabila digunakan di jalan Allah.
Jika tidak diletakkan pada tempat yang betul, kedua-duanya boleh menjadi sebab seseorang lalai dan rugi.
Kita tidak mahu harta menjadi sebab kita hilang punca & petunjuk!
Kenapa di dalam al-Quran Allah selalu menyebut harta dulu sebelum anak?
Firman Allah juga:
﴾وَأَمْدَدْنَـٰكُم بِأَمْوَٰلٍۢ وَبَنِينَ﴿
{…dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak.} [Al-Israa’: 6],
Jawapan: Ini kerana harta adalah keperluan manusia sejak dari lahir lagi, setiap manusia memerlukan harta untuk hidup atas dunia ini bermula dari bayi, remaja, dewasa & tua pun!
Kita juga kena mencari & ada harta dulu sebelum kahwin dan dapat anak.
Allah mendahulukan perkataan harta sebelum anak-anak kerana kebiasaannya manusia lebih dahulu diuji dengan kecintaan kepada harta sebelum anak-anak.
5. Ayat 46- {… dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, –
﴾وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا﴿
Allah kata amalan-amalan soleh yang kekal pahalanya itulah sebaik-baik bekalan di sisi Allah.
Maka jangan kita leka & lagha dengan dunia sebagaimana kata orang kapal di atas air tidak menjadi masalah- tetapi jangan sampai air masuk ke dalam kapal itu boleh menjadi bala!
Kita duduk atas dunia ini untuk bercucuk tanam sebagai bekalan ke Akhirat- Jika dunia sudah masuk dalam kepala & hati kita- kita akan menjadi keldai dunia yang lebih dahsyat daripada keldai dadah!
Oleh itu, janganlah kita hanya sibuk menghimpunkan perhiasan dunia, sebaliknya bersungguh-sungguhlah melakukan al-Baqiyat as-Soliḥat, samada amalan wajib mahupun amalan sunat.
Semoga Allah menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang mengutamakan akhirat daripada dunia.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 05/08/2026 – 21 Safar 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1021249960725524
Semoga Bermanfaat!
