Perbandingan Dalam Al-Quran, Manusia Suka Berbantah & Tugas Rasul Menyampaikan

Live Kuliah Pagi Sabtu 15/08/2026 – 02 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (19) Ayat [54-56]
Full video: https://youtu.be/prp1bqFDmmc?si=37HboZ_5beuCUtD1
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 54 sehingga ayat 56 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa Allah buat banyak perbandingan dalam al-Quran, untuk kita manusia merenung dan bertadabbur, berfikir dan buka hati kita untuk beriman dengan Allah sebenarnya, menerima apa yang benar dan sahih dari Allah & Rasulullah s.a.w.
- Kemudian Allah nyatakan perangai manusia suka berbantah (jidal).
Maka kita tinggalkanlah yang buruk, ambil yang baik. - Allah nyatakan sebab orang kafir tidak beriman, iaitu apa yang menghalangnya seperti persekitaran dan sifat angkuh mereka serta ketetapan Allah s.w.t.
- Akhirnya Allah nyatakan tugas para rasul adalah menyampaikan wahyu Allah samada memberi khabar gembira atau memberi amaran.
Tetapi puak kafir ini suka bantah dengan hujjah yang tak cerdik & melampaui.
*Kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t daripada segala perkara yang tidak baik!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang puak kafir yang suka berbangga dengan kekayaan mereka kerana nak menghina orang Islam yang miskin dan lemah.
Dengan mengatakan mereka adalah orang yang Tuhan sayang kerana banyak harta, anak pinak & pengikut serta jawatan kedudukan yang tinggi!
Kemudian Allah batalkan dakwaan & syubhah yang mereka bawa itu dengan membawa contoh perbandingan tentang pemilik dua kebun dan lain-lain kisah.
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa telah banyak dibawa misal perbandingan dalam al-Quran ini supaya manusia itu berfikir lalu mengambil pengajaran dan iktibar! Kita orang beriman kena berfikir baik-baiklah!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا ﴿٤٥﴾
Ayat 54- {Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.} (Al-Kahfi 18:54)
- Allah nyatakan sesungguhnya:
i- Kami {وَلَقَدْ صَرَّفْنَا} iaitu Kami telah pelbagaikan, ulang-ulangkan dan jelaskan segala kisah & cerita di dalam al-Quran ini;
ii- dengan dibawa banyak perbandingan & perumpamaan;
iii- dengan ibarat & susunan ayat yang berbeza dan gaya penceritaan yang perlbagai dengan pelbagai jenis kisah & genre!
- Semua itu agar manusia mendapat petunjuk, hidayah dan bimbingan yang membawa mereka kepada kebaikan & keselamatan!
- Tetapi walaupun dah jelas & lengkap penerangan & penjelasan itu- manusia masih degil berkelahi tentangnya kerana manusia itu suka berdebat berbantah banyak dalil dan helah { أَكْثَرَ شَىْءٍۢ جَدَلًۭا}, lalu kebenaran yang dibawa oleh al-Quran ini diputar ikut apa yang ada dalam otak mereka!
*Yakni manusia suka bbaloh!
- Lalu mereka tidak ambil pengajaran, menjadi terus sesat tidak beriman, segala nasihat tak masuk ke dalam telinga mereka apatah lagi ke dalam hati!
- Nota [746] Berbagai-bagai contoh tauladan yang memberi pengajaran untuk kebaikan dunia dan akhirat, telah dihuraikan di dalam Al-Qur’an dengan pelbagai cara; tetapi masih banyak manusia yang tidak mahu insaf.
Ini ialah kerana manusia, menurut tabiat semula jadinya, banyak sekali bantahannya dan dalihannya.
- Yakni setiap manusia itu perangainya suka nak bagi hujjah agar lawannya itu kalah.
Ayat ini menunjukkan jidal (perbalahan) yang batil. - Kata ulama’ maksudnya {ٱلنَّاسَ} manusia dalam ayat ini ialah:
i- bukan orang kafir saja bahkan orang beriman termasuk juga.
Suka berbantah itu memang sifat feel manusia secara umumnya.
Ini pendapat pilihan ramai ulama’- kita lihat kepada susunan dan kedudukan ayat itu.
ii- ada juga ulama’ yang kata khas bagi orang kafir!
Iaitu jika pada zaman Nabi s.a.w ada seorang kafir Quraisy yang sangat suka berbantah iaitu an-Nadhar bin al-Harith.
*Tetapi secara umumnya untuk semua manusia yang bersifat begitu!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
{Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.} [An-Nahl: 4]. - Hadis Nabi s.a.w kejut Ali & Fatimah r.a untuk bangun solat:
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَرَقَهُ وَفَاطِمَةَ بِنْتَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم لَيْلَةً فَقَالَ: أَلَا تُصَلِّيَانِ؟
فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّمَا أَنْفُسُنَا بِيَدِ اللَّهِ، فَإِذَا شَاءَ أَنْ يَبْعَثَنَا بَعَثَنَا
.فَانْصَرَفَ حِينَ قُلْتُ ذَلِكَ وَلَمْ يَرْجِعْ إِلَيَّ شَيْئًا، ثُمَّ سَمِعْتُهُ وَهُوَ مُوَلٍّ يَضْرِبُ فَخِذَهُ وَهُوَ يَقُولُ: {وَكَانَ الإِنْسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلاً}
Daripada Ali bin Abi Talib:
Bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم datang mengetuk pintu rumahku dan rumah Fatimah pada satu malam, lalu baginda bersabda: “Tidakkah kamu berdua bangun solat?”
Maka aku menjawab: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya jiwa kami di tangan Allah.
Jika Dia berkehendak membangunkan kami, nescaya Dia akan membangunkan kami.”
Lalu baginda berpaling pergi ketika aku berkata begitu dan tidak berkata apa-apa lagi kepadaku. Kemudian aku mendengar baginda sambil berlalu memukul pahanya dan membaca ayat: “Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah” [Surah Al-Kahfi: 54] [HR Bukhari]
- Hadis ini juga menolak hujjah untuk menyandar kepada taqdir atas perkara yang kita tak mahu buat atau untuk nak elak/menolak satu urusan!
Memang betul segalanya atas taqdir dan kehendak Allah- tetapi bukan untuk kita guna berhujjah dalam perkara begini! - Kita hanya boleh sandarkan kepada taqdir selepas kita melakukan segala usaha dan ikhtiar untuk mencapai atau menolak sesuatu dengan usaha yang benar.
Jika ia tetap berlaku maka baru boleh kita kata; itulah taqdir Allah!
*Seseorang jaga keselamatan, berhati-hati memandu dengan berhemah; tiba-tiba datang pemandu mabuk melanggar keretanya!
Itu baru boleh kita kata sudah taqdir dia akan kemalangan!
وَمَا مَنَعَ النَّاسَ أَن يُؤْمِنُوا إِذْ جَاءَهُمُ الْهُدَىٰ وَيَسْتَغْفِرُوا رَبَّهُمْ إِلَّا أَن تَأْتِيَهُمْ سُنَّةُ الْأَوَّلِينَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ الْعَذَابُ قُبُلًا ﴿٥٥﴾
Ayat 55- {Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.} (Al-Kahfi 18:55)
- Jelas dalam ayat ini bahawa siafat manusia ini suka berbantah & apabila mereka suka berbantah- maka banyaklah kerugian yang akan menimpa mereka!
- Dalam ayat ini Allah nyatakan apa sebab manusia itu terhalang dari beriman kepada Allah, terhalang daripada menerima kebenaran apabila al-Quran datang membawa petunjuk kepada mereka & terhalang dari memohon ampun kepada Tuhan!
- Sebab itu ada dua dalam ayat ini:
i- degil, tak dengar kata, keras kepala dan mereka secara main-main menunggu azab sebagaimana kaum terdahulu sebelum mereka!
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan tiadalah seseorang Rasul pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.
(Sebagaimana hati kaum-kaum yang telah lalu dimasuki perasaan mempersendakan Rasul-rasul) demikianlah pula Kami masukkan perasaan yang seperti itu ke dalam hati orang-orang yang berdosa (yang menentangmu).
Mereka tidak percaya kepada Al-Quran yang engkau bawa, padahal telahpun berlaku undang-undang membinasakan orang-orang yang telah lalu (yang mendustakan Rasul-rasulnya).} [Al-Hijri: 11-13].
ii- sebab kedua atau apabila datang azab di depan mata mereka – maka pada waktu itu mereka binasa musnah semuanya tak ada yang beriman lagi!
وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ۚ وَيُجَادِلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالْبَاطِلِ لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ ۖ وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَمَا أُنذِرُوا هُزُوًا ﴿٦٥﴾
Ayat 56- {Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.} (Al-Kahfi 18:56)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang sebelum ini Allah nyatakan manusia ini suka berjidal- iaitu orang kafir tak mahu terima al-Quran semata-mata kerana degil keras kepala serta Allah nyatakan dua sebab kenapa manusia tak mahu beriman!
ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan tugas seorang rasul itu hanya membawa wahyu; menyampaikan apa yang datang dari Allah, apa yang Allah perintahkan!
- Tugas seorang rasul itu ialah:
i- membawa khabar gembira {مُبَشِّرِينَ} bagi orang yang beriman dengan pahala & nikmat di Akhirat kelak.
ii- amaran dan ancaman { وَمُنذِرِينَ ۚ} kepada orang kafir & derhaka dengan azab siksa dan neraka!
- Banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa orang kafir itu ada yang sudah diazab atas dunia ini- sedikit demi sedikit dengan pelbagai bala & bencana yang datang.
- Azab atas dunia ini pula tak semesti ditelan bumi, kena tsunami atau jatuh batu dari langit- tetapi segala kesusahan yang dialami & masalah yang menimpa itulah azab yang Allah hantar sedikit demi sedikit!
Kena saman, kena turun naik mahkamah dan seumpamanya semua kesusahan itu adalah azab kesusahan! - Allah tegaskan bahawa Rasul tidak diutus untuk berbalah dan berdebat; tetapi apa boleh buat puak kafir itu suka membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran yang Allah hantar dengan bantahan itu.
- Firman Allah s.w.t juga:
{Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).} [At-Taubah: 32].
*Yakni pertama kafir menolak dengan bantahan dan halangan!
- Allah juga nyatakan puak kafir ini menjadikan hujjah Nabi s.a.w, jadikan ayat-ayat-Nya, mukjizat Nabi s.a.w dan amaran yang diberikan kepada mereka; sebagai ejek-ejekan, perlian dan maianan dan tidak ambil pengajaran!
*Ini cara yang kedua pula!
Penutup & Faedah #
- Ayat 54- {Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia,..}-
Allah bawa dalam al-Quran ini banyak perbandingan dan misalan supaya manusia berfikir!
Kata ulama’ tadabbur: Dalam ayat ini Allah Ta‘ala menyatakan keagungan al-Quran.
Seterusnya, Allah Ta‘ala memberi panduan supaya mereka berfikir dan membuat perbandingan tentang jalan untuk menyampaikan kepada kebenaran.
Juga dengan mendapat ilmu yang bermanfaat, agar mereka akan terselamat daripada kejahatan dan kebinasaan.
Allah Ta‘ala membuat perbandingan antara yang halal dan yang haram.
Allah Ta‘ala juga menyebut tentang cerita pemilik kebun yang tak beriman dengan kawannya yang beriman.
Allah Ta‘ala juga menerangkan tentang balasan amalan, sama ada galakan untuk amalan yang soleh atau sebaliknya ancaman untuk dosa maksiat.
Al-Quran mengandungi banyak kisah-kisah yang benar.
Itulah al-Quran, supaya tak jemu ia bawa juga ayat-ayat dan cerita yang mengandungi hikmah. Walaupun ia adalah cerita, ia mengandungi hikmah yang cukup.
Alhamdulillah.
- Ayat 54- {كَانَ الْإِنْسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا… dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.}-
Manusia ini memang mempunyai sifat suka berbantah.
Kadang-kadang dia berbantah tentang perkara yang benar walaupun dia sudah mengetahui bahawa perkara tersebut adalah benar.
Inilah antara kecelakaan manusia, iaitu dia mengetahui perkara yang hak tetapi masih mahu berbantah.
Maka kita yang sudah mengetahui kebenaran janganlah suka berbantah hanya kerana seseorang itu tidak memihak kepada kita atau tak belaga angin dengan kita.
Kadang-kadang seseorang membantah bukan kerana perkara itu salah, tetapi kerana dia tidak suka kepada orang tersebut atau orang itu tidak sehaluan dengannya.
Allah S.W.T menyebut bahawa manusia ialah makhluk yang sangat banyak berbantah.
Kadang-kadang perkara yang kecil pun hendak dibantah.
Orang bertanya dengan baik, tetapi dia menjawab dengan cara yang tidak baik.
Itulah yang dinamakan suka berbantah.
Kalau seseorang menjawab dengan sopan dan baik, tidak menjadi masalah.
Tetapi ada orang yang suka membangkang, membalas dan bermasam muka dengan orang lain. Hal ini berlaku kerana dia tidak menghiraukan apa yang telah diajarkan oleh Allah عز وجل.
Maka manusia yang suka berbantah termasuk dalam kalangan manusia yang rugi.
Nabi S.A.W juga melarang kita daripada suka berbantah.
Nabi SAW menyebut bahawa Allah S.W.T akan memberikan rumah di tempat yang tinggi dalam syurga kepada orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia berada di pihak yang benar.
Adakah semua bentuk perdebatan dan bantahan itu salah?
Tidak, hal ini dapat dilihat dalam ayat yang berikutnya dan faedah yang ketiga.
- Ayat 56- {… dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu;}-
Allah nyatakan orang kafir itu dia berdebat dan berjidal kerana nak tolak kebenaran!
Ini adalah perdebatan atau pebalahan yang merosakkan itu!
Kata ulama’: Ada orang yang berjidal atau berdebat dengan tujuan untuk menolak kebenaran.
Oleh sebab itu, jidal atau perdebatan dicela dan dilarang oleh syarak apabila seseorang membantah perkara yang benar.
Begitu juga berjidal dalam perkara yang tidak perlu atau berdebat semata-mata untuk menang, bukan untuk mencari kebenaran. Inilah bentuk perdebatan yang dicela oleh Allah S.W.T.
Ada manusia yang berjidal dan berdebat untuk menolak kebenaran.
Walaupun sudah mengetahui perkara yang benar berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W, dia masih mencari pelbagai pendapat dan alasan untuk mempertahankan kepentingan dirinya.
Dia takut kehilangan pekerjaan atau pendapatannya, lalu mencari jalan ke sana dan ke sini walaupun mengetahui perkara yang sebenarnya benar.
Ini merupakan perangai yang buruk dan dinamakan jidal mazmum, iaitu perdebatan yang tercela.
Adapun berjidal dengan orang kafir untuk membetulkan kefahamannya, maka perkara tersebut dibenarkan dan diperintahkan.
Allah S.W.T berfirman:
وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Maksudnya: Berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik”.
Yakni berikan hujah, dalil dan penjelasan yang baik supaya mereka dapat memahami dan menerima kebenaran Islam.
Oleh itu, bukan semua jidal itu salah.
Orang yang hendak berjidal mestilah:
i- bertujuan untuk menegakkan kebenaran.
ii- Selain itu, dia hendaklah mencari perkara yang hak dengan penuh keikhlasan, bukan kerana mahu mencari kemasyhuran.
Insya-Allah, sekiranya kita mempertahankan kebenaran dengan ikhlas untuk mempertahankan agama Allah S.W.T, Allah akan membantu kita dengan izin-Nya.
Namun, jika seseorang berdebat semata-mata untuk mencari glamor kemasyhuran, maka perbuatan tersebut hanya akan mendatangkan keburukan.
- Ayat 55- {Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka)…}– tiada sebab manusia tidak beriman itu tidak mahu meminta ampun kecuali:
Mereka tidak mahu memohon keampunan kecuali setelah menunggu datangnya azab sebagaimana azab yang telah menimpa umat-umat terdahulu, ataupun azab itu datang kepada mereka secara nyata.
Ayat ini boleh dibandingkan dengan firman Allah S.W.T:
{وَمَا مَنَعَ النَّاسَ أَنْ يُؤْمِنُوا إِذْ جَاءَهُمُ الْهُدَىٰ إِلَّا أَنْ قَالُوا أَبَعَثَ اللَّهُ بَشَرًا رَسُولًا}
{Tidak ada yang menghalang manusia daripada beriman ketika datang kepada mereka petunjuk melainkan kerana mereka berkata, “Adakah Allah mengutuskan seorang manusia sebagai rasul?”} [Al-Isra’ ayat: 94].
Yakni mereka berasa pelik apabila Allah S.W.T mengutuskan seorang manusia sebagai rasul.
Mereka menganggap sepatutnya malaikat yang diutuskan sebagai rasul.
Apakah perbezaan antara ayat ini dengan ayat yang sedang kita bincangkan?
Menurut ulama tadabbur:
i- sekatan atau halangan yang disebutkan dalam Surah al-Isra’ merupakan halangan yang masih boleh berubah.
Mereka tidak mahu beriman kerana mempersoalkan mengapa seorang nabi itu daripada kalangan manusia.
Namun, boleh jadi pada kemudian hari mereka akan berfikir semula dan menyedari bahawa Nabi Muhammad S.A.W bukanlah manusia biasa, tetapi manusia pilihan Allah S.W.T yang menerima wahyu- lalu mereka beriman!
ii- Namun, dalam ayat yang sedang kita bincangkan, keadaannya lebih berat.
Manusia tidak mahu beriman dan tidak mahu memohon keampunan sehingga datang kepada mereka ketetapan sebagaimana yang berlaku kepada umat terdahulu atau datang kepada mereka azab secara nyata.
Apabila Allah S.W.T menetapkan seseorang itu terhalang daripada menerima iman, maka dia tidak akan beriman.
Walaupun didatangkan kepadanya pelbagai ceramah, nasihat, orang alim, pakar motivasi atau orang yang bijaksana, dia tetap tidak akan beriman jika Allah S.W.T tidak memberikan hidayah kepadanya.
Inilah bahayanya. Kita tidak mengetahui apakah ketetapan Allah S.W.T terhadap diri kita.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha melakukan kebaikan dan berdoa kepada Allah S.W.T agar diberikan perkara yang terbaik.
Sentiasalah berdoa:
اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
“Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
- Ayat 56- {Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.}-
Allah S.W.T menjelaskan bahawa para rasul diutuskan untuk memberikan khabar gembira {مُبَشِّرِينَ} dan memberikan peringatan {وَمُنذِرِينَ}.
Kemudian Allah S.W.T berfirman:
وَيُجَادِلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالْبَاطِلِ
“Dan orang-orang kafir berdebat dengan menggunakan kebatilan.”
Tujuan mereka berdebat dengan Nabi s.a.w ialah untuk:
i- Menolak kebenaran.
ii- Menghina para nabi.
iii- Mempermain-mainkan ayat-ayat Allah S.W.T.
Inilah bahayanya kerana mereka mengetahui perkara itu benar, tetapi masih mahu menolaknya- akhirnya, mereka akan dibinasakan oleh Allah عز وجل.
Pada zaman kita juga ada istilah “menunggang agama”.
Apabila tidak bersetuju dengan pihak tertentu, terus kata orang itu menunggang agama!
Sedang mereka tidak sedar mereka itu pula adalah orang yang mempermainkan agama.
Akhirnya agama dijadikan bahan permainan dan ejekan.
Allah S.W.T berfirman:
وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَمَا أُنْذِرُوا هُزُوًا
“Dan mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan peringatan-peringatan yang diberikan kepada mereka sebagai bahan ejekan.”
Ayat-ayat Allah, hujah-hujah dan mukjizat yang dibawa Nabi صلى الله عليه وسلم telah dijadikan bahan permainan oleh orang kafir. Itulah kebinasaan yang Allah letakkan ke atas orang kafir.
نَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الخذلان
Kita berlindung kepada Allah daripada dibiarkan tanpa bimbingan-Nya.
Sempena bulan Rabiul-Awwal ini boleh dapatkan buku Sirah Nabi s.a.w ini:
Tahzib Sirah
https://dartaibah.com/…/Cetakan-Baru-2024-Edisi…
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 15/08/2026 – 02 R. Awwal 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1029633933220460
Semoga Bermanfaat!
