View Categories

(20) Surah Al-Kahfi: Ayat 57-59

14 min read

2 Sifat Yang Membinasakan, Allah S.W.T Maha Pengampun & Hikmah Ditangguhkan Azab

Live Kuliah Pagi Ahad 16/08/2026 – 03 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (20) Ayat [57-59]

Full video: https://youtu.be/lBPfGINrl_o?si=PJIIh5cgkQQPRDVM

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 57 sehingga ayat 59 dalam juzuk kelimabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan sikap orang yang zalim iaitu mereka yang syirik & kafir kepada Allah.
    Terdapat 2 sifat yang membinasakan manusia:

i- mereka lari berpaling dari kebenaran;
ii- dan lupa apa yang telah mereka lakukan dari kezaliman dan dosa!

Lalu Allah buat satu tutupan ke atas hati mereka yang menyebabkan mereka tidak dapat mendengar & menerima kebenaran.

Mereka dengar al-Quran tidak dapat faedah apa, seperti lembu dengar saja atau seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Inilah satu kedahsyatan apabila Allah tak beri petunjuk tiada lagi lorong untuk masuknya!

  1. Allah s.w.t maha pengampun- tetapi ada orang yang diberi peluang & umur yang panjang- tetapi dia tetap tak ambil peluang itu akhirnya dia mati dalam kafir.
  2. Adapun hikmah ditangguhkan azab kerana dua sebab:

i- untuk beri dia tempoh dan peluang untuk bertaubat dihujung usia;

ii- menambahkan dosa & kejahatannya maka di Akhirat kelak apabila diambil tindakan; dia akan mendapat azab siksaan yang dahsyat!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang sifat puak kafir yang suka berdebat dengan bantahan yang batil & karut;

ii- maka dalam ayat ini Allah bawa dua lagi sifat yang akan membawa kebinasaan & keburukan kepada mereka.

  1. Munasabah kedua:
    i- Allah nyatakan orang kafir ini suka berbantah berdebat dengan para Nabi a.s- ada sebahagian mereka yang memperli dan menghina para nabi, lawan dengan kebodohan bukan dengan hujjah.

ii- maka Allah nyatakan orang yang paling zalim (walaupun mungkin dia baik sesama manusia); ialah orang yang tak mahu terima ayat Allah- bahkan apabila disebut ayat-ayat Allah mereka lari berpaling darinya dan lupa apa yang telah mereka lakukan!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ ۚ إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا ۖ

Ayat 57- {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya;…} (Al-Kahfi 18:57)

  1. Allah nyatakan bahawa tiadalah orang yang paling zalim kecuali mereka yang telah didedahkan, diberi nasihat bimbingan dengan al-Quran untuk menyelamatkannya daripada kebinasaan- tetapi dia berpaling lari tidak mahu terimanya.
    Dia tidak tadabbur & tidak berfikir dengan baik, tak ambil nasihat pengajaran darinya.

ii- mereka juga telah lupa dengan apa yang telah mereka lakukan dari kejahatan & kezaliman lalu mereka tidak insaf & bertaubat kepada Allah!

  1. Sebagaimana firman Allah ini:
    {لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌۭ –
    Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.} [Luqman: 13].
  2. Orang beri nasihat peringatan semua tak dengar.
    Peringatan itu samada melalui ayat-ayat al-Quran yang Allah turunkan atau ayat-ayat kauniyyah seperti bencana alam, banjir, kemarau dan lain-lain- semuanya tidak memberi kesan kepada mereka ini- maka merekalah orang yang rugi!
  • Na’uzubillah, kita minta berlindung dengan Allah dari sifat yang buruk ini!
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:

{يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا ۚ أَحْصَاهُ اللَّهُ وَنَسُوهُ ۚ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَاهِدٌ }

{“Pada hari ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah menghitungnya (semua amal perbuatan itu), meskipun mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.”

  1. Kerana sifat & bawaan mereka yang buruk itu Allah jadikan tutupan yang berlapis-lapis dia atas hati mereka & Allah jadikan telinga mereka pula pekak dari menerima kebenaran.
    Ini menyebabkan mereka tidak mendapat apa-apa manfaat daripada al-Quran.
  2. Kata ulama’ tadabbur: Ayat in imenunjukkan bahawa sebab manusia ini ditutup hati & telinganya kerana mereka tidak mahu beriman kepada Allah Azza wa Jalla & tidak mahu terima ayat-ayat Allah.
  3. Hari ini kita lihat alhamdulillah para pelajar kita ini suka sangat belajar al-Quran & tafsir- untuk memahami Kalamullah.
    Kerana al-Quran ini diturunkan untuk kita- kenapa kita tidak mahu baca, belajar dan fahaminya- maka kita tidak akan tahu apa- lalu rugilah!
  4. Maksudnya firman Allah:
    {وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًۭا-
    dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak).}: ialah Allah jadikan telinga mereka berat, tak dengar sesuatu yang memberi kefahaman & manfaat.

Fizikalnya mereka tidak pekak atau tuli- tetapi walaupun mereka dengar tak memberi faedah apa seperti lembu atau orang kafir yang mendengar al-Quran- tak faham dan tidak dapat manfaat!

  1. Allah kata walaupun kamu Nabi Muhammad s.a.w ajak seru pujuk puak kafir itu kepada kebenaran; tidak ada faedahnya kerana mereka pasti akan tetap menolaknya kerana mereka telah setkan bahawa Nabi s.a.w itu dusta, telah tertutup pintu hati mereka, telinga mereka telah tersumbat tak dapat manfaat dari kebenaran!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.
    (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.} [ al-Baqarah: ayat 6-7].

وَإِن تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَىٰ فَلَن يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا ‎﴿٧٥﴾

Ayat 57- {… sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.} (Al-Kahfi 18:57)

  1. Ini adalah sifat buruk yang kedua iaitu kerana sifat mereka yang lari berpaling tak mahu kepada al-Quran lalu Allah jadikan:

i- penutup yang berlapis-lapis atas hati mereka;
ii- pada telinga mereka penyumbat yang menyebabkan mereka pekak dari mendengar & menerima petunjuk hidayah.

  1. Kata ulama’ tadabbur sebab yang menyebabkan manusia kena tutup hati & telinga mereka adalah kerana: Mereka tidak mahu beriman.
  2. Maksudnya Allah jadikan telinga mereka pekak (bukan tuli seperti tak dengar semua) tetapi tak dengar kebaikan, nasihat peringatan yang diberikan- hanya suka dengar keburukan & kejahatan!
  3. Bahkan mereka ini walaupun Rasulullah s.a.w merayu memujuk mereka, untuk menyeru mereka kepada petunjuk; mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya!

Yakni mereka tetap dalam keadaan kufur & terbiar tanpa iman begitulah!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.
    (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.} [Al-Baqarah: 6-7].

وَرَبُّكَ الْغَفُورُ ذُو الرَّحْمَةِ ۖ لَوْ يُؤَاخِذُهُم بِمَا كَسَبُوا لَعَجَّلَ لَهُمُ الْعَذَابَ ۚ بَل لَّهُم مَّوْعِدٌ لَّن يَجِدُوا مِن دُونِهِ مَوْئِلًا ‎﴿٨٥﴾

Ayat 58- {Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang lain daripadanya.} (Al-Kahfi 18:58)

  1. Munasabah ayat:
    i- begitulah uslub al-Quran- pasti seimbang akan ada positif dan negatif, baik & buruk, ancaman dan galakan!

Maka dalam ayat sebelum ini Allah bawa ayat ancaman akan azab siksa & nerakanya;

ii- maka dalam ayat ini Allah bawa pula ayat galakan bagi hamba-Nya yang beriman dengan memberi jaminan bahawa Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmat-Nya!!!

  1. Jika Allah nak ambil tindakan ke atas puak kafir yang zalim itu- pastilah Allah akan timpakan azab ke atas mereka atas dunia ini lagi!
    Tetapi tidak begitu, Allah biarkan dan beri mereka tempoh.
  2. Yakni sebab orang kafir itu diberi tempoh tidak disegerakan azabnya atas dunia ini kerana:

i- untuk beri dia tempoh dan peluang agar bertaubat dihujung usia;

ii- menambahkan dosa & kejahatannya maka di Akhirat kelak apabila diambil tindakan; dia akan mendapat azab siksaan yang dahsyat!

  1. Tempoh yang Allah berikan itu supaya mereka bertaubat kepada Allah Tuhan Yang Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya.
    Tetapi apabila ditimpa bencana- tiada siapa yang mampu selamat, tiada siapa dapat menolong & menghalang dari azab Allah!

وَتِلْكَ الْقُرَىٰ أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِم مَّوْعِدًا ‎﴿٩٥﴾

Ayat 59- {Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.} (Al-Kahfi 18:59)

  1. Munasabah ayat:
    i- wahai puak kafir kamu hidup senang atas dunia ini- dapat pangkat, dapat harta dan anak cucu yang ramai- jangan kamu sangka Allah sayang & redha kepada kamu!

ii- maka datang ayat ini Allah buat bandingan & misal dengan penduduk negeri yang lepas- Allah tangguhkan azab kepada mereka sehingga Nabi s.a.w datang- apabila mereka derhaka tak dengar kata maka tibalah azab.

  1. Munasabah kedua:
    i- inilah sunnatullah atau ketetapan Allah kepada orang terdahulu- Allah beri kepada mereka tempoh; Allah telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.

ii- maka datanglah ayat ini Allah nyatakan kamu lihat sendirilah wahai Quraisy kesan kebinasaan umat terdahulu dengan mata kepala kamu sendiri dalam rehlah kamu!

  1. Allah nyatakan juga tentang kampung nabi Nuh, Hud, Soleh, Syuai’b, Lut dan lain-lain daripada umat terdahulu yang Allah telah binasakan penduduknya apabila mereka menzalimi diri mereka dengan kufur & maksiat kepada Allah s.w.t dan menentang nabi-nabi mereka.
  2. Allah sudah ada tempoh tertentu yang tidak akan diawalkan atau diakhirkan.

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.} [Al-A’raaf: 34].

  1. Nota [747] Yakni kaum ‘Aad, Thamud, dan lain-lainnya yang kufur ingkar, yang telah hidup dalam zaman yang lalu, mereka dibinasakan ketika sampai masanya.

Demikian juga halnya umat-umat yang lain, yang datang sesudah itu, akan dibinasakan pada masa yang tertentu jika mereka kufur ingkar.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 57- {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya…}-

Allah nyatakan tiada yang lebih zalim kecuali manusia yang apabila dibaca ayat-ayat Allah kepadanya dia berpaling & lari.

Dia juga telah lupa apa yang dikerjakan hasil tangannya sebelum ini!

Ayat ini adalah amaran kepada sesiapa yang tahu kebenaran tetapi dia lari- maka dia akan terima padahnya, akan dibinasakan Allah s.w.t! Jangan kamu main-main!

Ayat ini juga menyatakan bahawa kezaliman yang paling besar & Jenayah yang paling berat dari sudut dosa ialah dosa syirik!

Mereka apabila diberi peringatan melalui ayat Allah mereka lari, tak mahu terima kebenaran, derhaka terhadap Nabi s.a.w- inilah orang yang zalim & akan binasa.

*Dari sudut perbuatan jahat seperti bunuh atau pukul orang semuanya buruk & berdosa.

Tetapi dosa syirik dianggap paling besar & paling zalim terhadap diri sendiri!

  1. Ayat 57- {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya…}-

Allah nyatakan dalam ayat ini sesiapa yang lari daripada ayat-ayat Allah itulah orang yang paling zalim!

Sedikit perbandingan supaya kita nampak- kita lihat pula kepada beberapa firman Allah s.w.t tentang siapakah yang paling zalim

…فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ

i- {Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?} [al-Baqarah: 114].

ii- {Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan?
Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.} [Al-An’am: 144].

*iaitu dakwa Allah ada anak dan seumpamanya.
iii- {(Apabila berlaku yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya.} [Az-Zumar: 32].

Jadi bagaimana kita nak pastikan siapakah sebenarnya yang paling zalim ini?

Kenapa dalam setiap ayat ini berbeza sifat atau cici-ciri orang yang paling zalim?

Jawapannya:
Ulama’ tadabbur kata kita jamakkan ayat ini:
i- setiap ayat ini mengikut isu yang dibincangkannya.
Seperti ayat kita ini- lari dari kebenaran itu zalim, ayat lain pula sesiapa sekat orang ke masjid itu zalim dan seterusnya.
Jadi setiap kezaliman itu mengikut tempat masing-masing & setiap kezaliman itu melawan Tuhan.

ii- kemudian ulama’ kata kejahatan itu lihat kepada apa yang datang dulu, jika dia kafir maka kafir dulu jahat, jika dia sekat orang- sekat orang itu zalim!

iii- menafikan yang mana lebih kuat atau zalim- tidak bermakna menafikan persamaan.
Semua sifat-sifat dalam beberapa ayat itu semua kafir & jahat.

Iaitu Allah nyatakan kepelbagaian kezaliman; semua kafir yang lari daripada kebenaran, kafir yang sekat orang, orang yang kafir berdusta ke atas Allah- semua jahat, zalim & kafir!

  1. Ayat 57- {… sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya…}- ini adalah sikap buruk yang kedua, Allah Ta‘ala letakkan atas hati yang tertutup dengan tudung.

Jadi ulama kata,

حُصُولٌ عَلَى فِقْهِ الْقُرْآنِ

Ayat ini, kita kena usaha supaya faham al-Quran, seolah-olah kita membuang tudung daripada hati kita yang menyekat kita daripada memahami al-Quran.

Kita kena buang dan keluarkan kejahilan. Dengan apa?
Dengan usaha kita belajar al-Quran.

Fiqh al-Quran, kita kena baca al-Quran, kita kena belajar makna al-Quran, kita kena tahu apa yang al-Quran nak beritahu kepada kita.

Sebagaimana para sahabat رضي الله عنهمٍ: Mereka baca sepuluh ayat, mereka faham, mereka amal, kemudian barulah mereka berpindah kepada ayat yang lain.

Allah Ta‘ala suruh kita faham, suruh kita fikir.
Kata Imam Hasan al-Basri:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ آيَةً إِلَّا وَهُوَ يُحِبُّ أَنْ يُعْلَمَ مَا فِيهَا، وَمَاذَا عُنِيَ بِهَا

Allah Ta‘ala tidak menurunkan mana-mana ayat kecuali Allah mahu supaya diketahui apa yang terkandung di dalamnya dan apa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut.

Ayat manapun Allah nak suruh kita faham semuanya.

Sebab itulah kata ulama tafsir dan ulama tadabbur, tidak ada ayat yang tidak difahami oleh para ulama’.
Kalau kita tak faham, kita tanya kepada orang yang faham.

Kata Mujahid, ulama tafsir:
Aku membaca al-Quran daripada awal sampai akhir beberapa kali bersama Ibnu Abbas r.a. Setiap ayat yang aku tak faham, aku berhenti, aku tanya syeikh, apa makna, apa maksudnya.

Sepatutnya begitulah kita ini. Tapi apa boleh buat- nak mengaji al-Quran malas, nak pergi kelas al-Quran tak tahu di mana?
Nak mengaji kelas online pula tak ada data pula!!
Akhir sekali hanya senyap begitu saja- Allahu Akbar.

Jadi melalui ayat ini, Allah Ta‘ala nak kita faham al-Quran- jangan tak faham.

Ulama cuba bincangkan lagi: Kalau Tuhan tutup hati, sumbat telinga dia, kenapa Tuhan nak azabkan dia pula kalau dia tak beriman?

Jawabnya:
Allah Ta‘ala dah buka mata dia, buka hati dia, buka telinga dia.
Dia dah dengar al-Quran. Tapi dia lawan juga, lawan juga, lawan juga.
Barulah ditutup hati dia itu.
Maknanya, dah digazet oleh Allah Ta‘ala pada azali lagi orang ini tak akan beriman, maka ditutup hatinya.
Wallahu a‘lam.

  1. Ayat 57- {… Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.}– mana-mana orang yang melawan Allah dan Rasul, ingkar perintah Allah & Rasul- maka dia tak akan dapat hidayah.

Ayat ini menenangkan hati Nabi S.A.W.
Bila Nabi berdakwah, Nabi sampaikan, orang tak dengar juga.
Jadi, Muhammad S.A.W, biarlah- kamu dah jalankan tugas. Yang penting, mereka lawan, mereka akan menerima kesannya.

Kemudian Allah Ta‘ala bawa mari kepada kita ayat 58: {وَرَبُّكَ الْغَفُورُ ذُو الرَّحْمَةِ}
{Allah Ta‘ala itu Maha Pengampun, mempunyai rahmat.}
Jadi ayat ini menjadi penenang kepada hati Nabi S.A.W bahawa Allah tahu Nabi dah buat kerja, dah berdakwah.

Tapi oleh kerana orang yang menentang itu melawan juga, Allah tetap bagi tempoh supaya dia bertaubat.
Tuhan bagi tempoh kepada dia untuk insaf & sedar.

Nikmat yang Allah beri jangan dijadikan niqmat yang boleh membawa bala- tetapi menjadi sebab beriman kepada Allah!

Maka kata ulama’: Zahir ayat ini menunjukkan Allah beri rahmat kepada semua manusia.
Manakala rahmat kepada orang kafir dengan maksud nikmat yang Tuhan beri.

Nikmat itu Tuhan beri kepada orang kafir dan orang Islam.
Tapi rahmat juga Allah Ta‘ala beri kepada orang kafir. Untuk apa?
Supaya mereka boleh enjoy sekejap di dunia ini, lepas itu nerakalah tempat kembali mereka.
Ataupun rahmat ditangguhkan azab itu untuk memberi peluang kepada mereka bertaubat.

  1. Ayat 59- {Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman
  • وَتِلْكَ الْقُرَىٰ أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا
    Allah kata kampung itu binasa sebab dia zalim.
    Allah sebut kampung sedangkan kampug itu adalah tanah, pokok, batu, kayu, semua itu zalimkah?
    Ulama kata bukan begitu
  • تِلْكَ الْقُرَىٰ
    maksudnya أهل تلك القرى,
    orang yang duduk di kampung itu.

Oleh kerana orang kampung yang buat maksiat ataupun mungkar, maka bumi itu binasa juga.

Bahayanya kita bersekongkol dengan maksiat, dengan mungkar, kita akan dibinasakan.

Dalam cerita Ashabul Kahfi- ingat cerita anjing? Anjing pun Allah sebut dalam al-Quran sebab dia berkawan dengan orang soleh.

Para jemaah sekalian, hari ini kita tukar channel kita, cukup-cukuplah kita berkawan dengan kawan-kawan yang tak soleh.

Pagi petang cari maksiat ataupun pagi petang dok hentam orang.

Kita cari & berkawan dengan orang-orang yang soleh; mudah-mudahan kita selamat di dunia dan di akhirat.

Tamatlah perbincangan kita. Insya-Allah, esok ayat 60 bermulalah episod cerita Nabi Musa mengembara mencari ilmu.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 16/08/2026 – 03 R. Awwal 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1030434816473705

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top