Kisah Kedua, Nabi Musa A.S Mulakan Rehlah Menjejak Khadir, Ditemani Pembantunya & Ikan Hut Menjadi Tanda

Live Kuliah Pagi Isnin 17/08/2026 – 04 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (21) Ayat [60-64]
Full video: https://youtu.be/KqgW1PQi4L8?si=hkP7SM4BfvsxS63b
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 60 sehingga ayat 64 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini adalah kisah yang kedua dalam surah ini selepas kisah Ashab al-Kahfi.
Ia adalah kisah pengembaraan Nabi Musa a.s setelah ditegur oleh Allah s.w.t kerana suatu jawapan yang tidak sesuai dengan sifatnya sebagai seorang nabi Allah.
- Lalu Nabi Musa a.s pun mulakan rehlahnya menjejak seorang hamba Allah yang istimewa- Khadir (خَضِرٌ) dan dia ditemani seorang pembantunya yang bernama Yusya’.
- Mereka diberi alamat tanda tempat pertemuan dengan Khadir iaitu ikan hut yang mereka bawa akan menjadi hidup semula.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas, pada awal kisah Allah s.w.t ceritakan tentang kisah Ashab al-Kahfi iaitu menyatakan kuasa-Nya untuk menghidupkan balik.
Kemudian Allah bawa beberapa bandingan untuk menyatakan hakikat hidup kita yang sebenar hanya bergantung kepada Allah semata-mata.
Iaitu tentang cerita orang kaya yang habis hartanya binasa kerana angkuh.
Ini juga untuk menegur Quraisy yang sombong tidak mahu duduk sekali dengan orang Islam yang miskin & mahu menghalau mereka dari majlis Nabi s.a.w.
Maka Allah sebut bahawa harta tidak menunjukkan kemuliaan, pangkat tidak menunjukkan kehebatan tetapi mulianya seorang manusia dengan beriman kepada Allah.
ii- maka datang ayat ini kisah Nabi Musa a.s mengembara untuk belajar ilmu dengan seorang hamba Allah yang soleh.
Juga untuk menjawab soalan ujian yang diajar oleh yahudi kepada kaum Quraisy.
Musa tawadhuk walaupun sudah jadi seorang nabi tetapi apabila Allah nyatakan ada orang yang lebih alim darinya- dia terus menyahut seruan untuk menambah ilmunya!
Kerana itu jika datang ulama’ yang besar tidak hilang kemuliaan kita untuk turut duduk berguru juga.
- Kronologi macamana boleh terjadi kisah Nabi Musa a.s keluar mencari Khadir untuk mencari ilmu sebagaimana dalam ayat ini- diceritakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis sahih.
Daripada Ubai bin Ka‘b R.A: Ya, aku pernah mendengar Nabi S.A.W bersabda:
بَيْنَمَا مُوسَى فِي مَلَإٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: هَلْ تَعْلَمُ أَحَدًا أَعْلَمَ مِنْكَ؟ قَالَ مُوسَى: لاَ، فَأَوْحَى اللهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى مُوسَى: بَلَى، عَبْدُنَا خَضِرٌ، فَسَأَلَ مُوسَى السَّبِيلَ إِلَيْهِ، فَجَعَلَ اللهُ لَهُ الحُوتَ آيَةً، وَقِيلَ لَهُ: إِذَا فَقَدْتَ الحُوتَ فَارْجِعْ، فَإِنَّكَ سَتَلْقَاهُ، وَكَانَ يَتَّبِعُ أَثَرَ الحُوتِ فِي البَحْرِ، فَقَالَ لِمُوسَى فَتَاهُ: {أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ}، قَالَ: {ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِي فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا}، فَوَجَدَا خَضِرًا، فَكَانَ مِنْ شَأْنِهِمَا مَا قَصَّ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي كِتَابِهِ».
Maksudnya: Ketika Musa A.S sedang berada dalam satu kumpulan Bani Israil, tiba-tiba datang seorang lelaki kepadanya, lalu bertanya: Adakah engkau tahu ada seseorang yang lebih alim daripada dirimu?
Musa menjawab: Tidak ada.
*(Jawapan ini tidak salah tetapi ia tidak kena dengan tarafnya sebagai seorang nabi- lalu Allah menegurnya.)
Maka Allah S.W.T telah mewahyukan kepada Musa dengan mengatakan: Bahkan ada, iaitu hamba Kami Khadhir.
Musa pun meminta petunjuk jalan untuk sampai kepadanya.
Lalu Allah S.W.T telah menjadikan (memberikan) kepadanya ikan sebagai tanda dan dikatakan kepadanya: Apabila engkau kehilangan ikan itu, kembalilah semula (ke tempat hilangnya ikan tersebut) kerana engkau akan menemuinya di sana.
Lalu Musa mengikuti kesan ikan yang menggelunsur ke dalam laut.
Maka murid Musa (Nabi Yusya’ bin Nun A.S) berkata kepadanya:
“Tahukah kamu saat kita mencari tempat berlindung di batu besar tadi, sebenarnya aku lupa mengenai ikan tersebut dan tidak ada yang menyebabkan aku lupa menceritakan mengenai ikan itu melainkan syaitan.”
Lalu Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki”.
Mereka pun kembali semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.
Kemudian, mereka berdua menemui Khadhir. Setelah itu, berlakulah kisah sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah S.W.T mengenai mereka berdua di dalam kitab-Nya (al-Qur’an).
[HR al-Bukhari (74) dan Muslim (2380)].
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا ﴿٠٦﴾
Ayat 60- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.} (Al-Kahfi 18:60)
- Dalam ayat ini Allah menceritakan kepada Nabi s.a.w akan kisah Nabi Musa a.s yang mahu keluar mencari seorang hamba Allah yang soleh lagi alim- ulama’ kata bernama Khadir.
Dia keluar ditemani seorang muridnya {فَتَىٰهُ} yang disepakati ulama’ juga bernama Yusya’ bin Nun. - Nota [748] Mulai dari ayat ini, Allah Ta’ala menceritakan kisah Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir a.s (Al-Khadir a.s)
Menurut hadith (Bukhari), semasa nabi Musa a.s berucap kepada kaumnya, seorang bertanya: “Adakah sesiapa di muka bumi yang lebih ilmunya daripada tuan?”
Nabi Musa a.s. menjawab: “Tidak ada”.
Lalu ditegur oleh Allah Ta’ala kerana ia tidak mengembalikan soal ilmu kepadaNya, dan diterangkan bahawa: “Ada seorang hambaKu yang lebih ilmunya daripadamu”, dan bahawa orang itu dapat ditemui di tepi pantai, berhampiran dengan tempat pertemuan dua laut.
Kemudian diperintahkan supaya Nabi Musa a.s membawa bekalan ikan dalam sebuah bakul, dan manakala ikan itu hidup semula dan masuk laut, maka di situlah tempat pertemuan itu.
Teman nabi Musa dalam perjalanan itu ialah Yusya’ bin Nun, yang kemudian menjadi khalifahnya sesudah ia wafat.
- Nabi Musa menyatakan kepada temannya itu bahawa dia berazam tidak akan berhenti berjalan sehingga mereka sampai di tempat pertemuan dua laut itu walaupun terpaksa berjalan terus bertahun-tahun- yakni sehingga berjaya menemui Khadir yang dicari!
- [749] Tidak diterangkan di dalam Al-Qur’an nama tempat kedua-dua laut itu.
Tetapi oleh kerana Nabi Musa a.s yang tinggal di Mesir telah keluar bersama-sama kaumnya ke semenanjung Sinai, maka setengah Ahli Tafsir memahamkan bahawa kedua-dua laut itu ialah cabang dari Laut Merah, iaitu Teluk ‘Aqabah dan teluk Suwais (Suez).
*Kata para ulama’ tidak ada faedah besar untuk kita carinya kerana Allah tak sebut- apa yang kita nak ialah faedah ilmu & memahami ibrah pengajarannya.
- Maka tiada khilaf di kalangan ulama’ bahawa dalam kisah ini:
i- Musa {مُوسَىٰ} di sini ialah Nabi Musa a.s.
ii- temannya itu {فَتَىٰهُ} ialah anak muridnya Yusya’ bin Nun.
فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا ﴿١٦﴾
Ayat 61- {Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.} (Al-Kahfi 18:61)
- Akhirnya Musa & pembantunya tiba di tempat yang dicari iaitu di antara pertemuan dua laut, tetapi kerana mereka keletihan, mereka berhenti berehat dan ketika itulah ikan mereka menggelunsur masuk ke laut yang merupakan jalan di bawah tanah. Iaitu tanda tempat pertemuan itu tetapi mereka tidak menyedarinya!
- Pembantunya lihat ikan itu sudah tiada tetapi dia lupa untuk memaklumkan kepada Nabi Musa akan hal itu sebelum mereka meneruskan perjalan seterusnya!
Yang penting Musa lupa nak tanya & Yusya’ lupa nak beritahu! - Nota [750] Menurut hadith (Bukhari): berjalanlah Nabi Musa a.s dan temannya, dan sesudah sampai ke sebuah batu besar, tidurlah mereka.
Pada ketika itu, menggeleparlah ikan dalam bakulnya lalu menggelunsur masuk ke laut.
Setelah mereka bangun, lupalah temannya mengingatkan tentang ikan itu (dan Nabi Musa a.s juga lupa bertanyakan halnya).
Mereka pun meneruskan perjalanan sepanjang hari itu dan malamnya.
- Sedangkan itulah tempatnya yang Allah nyatakan Khadir yang dicari mereka berada- iaitu tempat ikan itu hidup dan masuk semula ke laut!
Ikan itu menggelunsur masuk ke dalam laut dan membuat lorong yang sepatutnya diikuti Musa untuk tiba ke tempat Khadir berada.
- Kisah macamana ikan itu hidup & “ʿAyn al-Ḥayah” (عين الحياة) dalam Ṣaḥiḥ al-Bukhari, dalam hadis kisah Nabi Musa عليه السلام dan al-Khaḍir.
Kisah tentang “ʿAyn al-Ḥayah” itu disebut oleh Sufyan bin ʿUyaynah sebagai tambahan daripada riwayat selain ʿAmr bin Dinar.
قال سفيان بن عيينة: وَفِي حَدِيثِ غَيْرِ عَمْرٍو قَالَ:
وَفِي أَصْلِ الصَّخْرَةِ عَيْنٌ يُقَالُ لَهَا الْحَيَاةُ، لَا يُصِيبُ مِنْ مَائِهَا شَيْءٌ إِلَّا حَيِيَ، فَأَصَابَ الْحُوتَ مِنْ مَاءِ تِلْكَ الْعَيْنِ، قَالَ: فَتَحَرَّكَ وَانْسَلَّ مِنَ الْمِكْتَلِ فَدَخَلَ الْبَحْرَ.
Sufyan bin ʿUyaynah berkata: “Dalam hadis daripada perawi selain ʿAmr disebutkan:
Di bahagian bawah batu itu terdapat sebuah mata air yang dinamakan al-Ḥayah (kehidupan). Tidak ada sesuatu pun yang terkena airnya melainkan ia hidup.
Lalu ikan itu terkena air daripada mata air tersebut. Maka ikan itu bergerak, terlepas keluar daripada bakul lalu masuk ke dalam laut.”
Sumber: Ṣaḥiḥ al-Bukhari, Kitab al-Tafsir, tafsir Surah al-Kahf, hadis no. 4727, daripada Ubay bin Kaʿb رضي الله عنه mengenai kisah Nabi Musa عليه السلام bersama al-Khaḍir.
*Yakni dengan kuasa Allah- ikan Nabi Musa terkena air “ʿAyn al-Ḥayah”, lalu bergerak/hidup dan keluar daripada bakul menuju ke laut.
فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا ﴿٢٦﴾
Ayat 62- {Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.} (Al-Kahfi 18:62)
- Mereka pun meneruskan lagi perjalanan sehingga sehari semalam!
Apabila terasa lapar & letih- Musa lalu meminta pembantunya membawa belakan mereka untuk dimakan.
Bekalan itu ialah ikan yang dikatakan sudah siap untuk dimakan atau sudah dimasak dan dibubuh dalam raga.
*Bahkan setengah cerita kata ikan itu sudah dimakan sebelahnya, tinggal isinya sebelah lagi saja- kerana itu ada ikan sebelah yang dinamakan ikan Nabi Musa.
- Kata al-Biqa’i: Yang menyebabkan mereka tidak menyedarinya ialah kerana tempat pertemuan laut itu panjang!
Nabi Musa menyangka di hujung pertemuan laut itu baru ada Khadir atau mereka menyangka ia adalah di tempat lain!
*Ini kerana nak jadi ujian bagi mereka dengan banyak cabaran!
- Kata Ubai bin Ka’ab dalam hadis sahih yang panjang tadi: Musa meminta bekalan dari pembantunya itu setelah mereka melewati tempat itu.
Ini kerana Musa tidak berasa lapar sehinggalah terlepas tempat yang yang dijanjikan Allah!
Ini kerana sebelum itu mereka semangat & gagah, tetapi apabila terlepas baru terasa lapar & lemah!
- Kata asy-Syaukani pula: Tadi semasa awal berjalan tidak berasa lapar tetapi selepas terlepas tempat itu baru terasa lapar!
- Kata al-Alusi: Hikmahnya Musa terasa lapar & letih, lalu dia meminta makanan- menyebabkan mereka tahu ikan itu telah hilang- menunjukkan mereka telah terlepasnya!
- Nota [751] Bekalan makan dalam perjalanan itu ialah ikan yang dibawa bersama.
Tetapi ikan itu juga apabila ia hidup semula dan masuk ke laut, menjadi alamat yang menunjukkan bahawa di situlah tempat pertemuan dengan Nabi Khidir a.s.
قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ ۚ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا ﴿٣٦﴾
Ayat 63- {Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.} (Al-Kahfi 18:63)
- Pembantunya baru teringat akan ikan mereka yang telah hilang itu apabila dia mahu mengambilnya untuk Nabi Musa a.s.
- Dia pun menceritakan apa yang terjadi iaitu ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan.
Iaitu tempat ikan itu lalu- laut menjadi terbelah! - Tetapi apabila hal ajaib itu terjadi, Yusya’ tidak mengejutkan Nabi Musa yang sedar tidur kerana tidak mahu mengganggunya yang sedang berehat.
Niatnya mahu memberitahu Nabi Musa selepas dia bangun nanti! - Tetapi nak jadi cerita- apabila Nabi Musa bangun dan mereka mahu meneruskan perjalanannya- Yusya’ lupakan hal ikan itu dan tidak memberitahunya kepada Musa!
- Yusya’ memberi alasan kepada Nabi Musa bahawa: {..tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan.}
*Yakni dia tidak sengaja lupa tetapi syaitanlah yang membuatkan dia lupa!
قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَارْتَدَّا عَلَىٰ آثَارِهِمَا قَصَصًا ﴿٤٦﴾
Ayat 64- {Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.} (Al-Kahfi 18:64)
- Mendengar kisah itu Nabi Musa pun tahulah- di situlah tempat yang Allah janjikan kepada mereka, tempat yang mereka cari-cari!
- Lalu merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka semula!
Yakni undur balik mencari batu tempat hilang ikan itu selepas terlepasnya dan berjalan jauh!
- Nota [752] Yakni perihal ikan hidup semula dan masuk ke laut itulah yang dikehendaki, dan sekarang mengetahuilah kita bahawa tempat berlakunya kejadian itu ialah tempat pertemuan yang dicari-cari.
Lalu mereka balik semula ke situ.
*Besok kita sambung pertemuannya dengan Khadir yang dicari!
Penutup & Faedah #
Ayat 60- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya:..}– Nabi Musa a.s membawa seorang pembantu yang dipangil temannya (فتاه).
Ayat ini menjadi dalil bahawa boleh seorang guru atau ketua meminta bantuan dan pertolongan dari pelajarnya.
Kata as-Suyuti ; Dalam sudut fiqhnya seorang alim apabila mahu musafir samada untuk berdakwah atau menuntut ilmu, sangat penting untuk membawa pembantu atau anak muridnya sebagai pengiring atau untuk berkhidmat kepadanya!
Nabi Musa juga seorang yang sabar dan tidak mudah marah atau merajuk kepada pembantunya walaupun Yusya’ lupa!
- Ayat 60- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya…}-
Ayat ini menceritakan kepada kita betapa Nabi Musa a.s seorang nabi yang ada kitab, ada ilmu; tetapi masih lagi tawadhuk.
Apabila Allah nyatakan ada lagi hamba Allah yang lebih alim daripadanya dia segera pergi mencarinya, sanggup mengembara jauh perjalanan dan menempuh kesusahan!
Ini menunjukkan kelebihan menuntut ilmu dan kita digalakan untuk rehlah menuntut ilmu atau menambahnya!
Apabila kita tahu ada orang alim datang- kita kena pergi belajar, mendengar darinya!
*Zaman kita hari ini tapis dulu orang alim yang datang ilmu apa yang diajarnya agar kita tidak tersasar dari ajaran al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.
Kisah Jabir mengembara dari Madinah ke Syam selama sebulan perjalan untuk mencari Abdullah bin Unais bagi mendengar sebuah hadis sendiri darinya [Riwayat Bukhari].
Nabi Musa sanggup meninggalkan kaumnya, bani Israil buat sementara demi untuk menuntut ilmu!
Menambahkan ilmu itu lebih baik daripada kita duduk diam saja.
Kita hari ini berapa banyak sudah kita berjalan untuk mencari ilmu????
Kerana itu kata ulama’: musafir mencari ilmu itu satu jihad yang dituntut.
- Ayat 61- {Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka…}-
Allah nyatakan apabila sampai di tempat itu, dia lupa pula- Allahu Akbar.
Adakah Nabi boleh lupa?
Jawabnya:
Ya, para Nabi boleh lupa dalam perkara kehidupan.
Tetapi lupa dalam perkara risalah dan agama, tidak mungkin!
Tetapi jika berlaku Allah Taala tidak akan membiarkannya begitu sahaja, akan ditegur dan diperingatkan.
Ada kuliah DDAAM minggu lepas dalam kitab Bahr al-Mazii dalam bab berkenaan Nabi S.A.W lupa.
Panjang perbahasan dia, jadi tak perlu kita nak ulang di sini- para jemaah boleh lihat di sini:
Bahrul Mazi;
https://www.youtube.com/playlist…
Adakah Nabi boleh lupa?
Jawabnya, boleh lupa dalam perkara kehidupan.
Tetapi dalam perkara agama, kalau berlaku lupa, Allah Taala akan betulkan kembali.
Contohnya macam Nabi S.A.W lupa dalam solat, selepas dua rakaat beri salam.
Bukan bermakna Nabi bersalah, bahkan Allah Taala membiarkan perkara itu berlaku untuk mengajar kepada kita apa yang perlu dilakukan apabila terlupa.
Jadi, dalam kisah ini Allah Taala sandarkan lupa itu kepada kedua-duanya, Yusya‘ dan Musa, sedangkan yang sebenarnya terlupa ialah Yusya‘.
Dia yang menjaga ikan itu, tetapi dia terlupa hendak memberitahu Nabi Musa.
Semuanya ini hendak memberitahu kepada kita bahawa kadang-kadang kita sudah merancang elok-elok, sudah susun elok-elok, tetapi boleh juga terlupa.
Tetapi Yusya‘ kata:
{وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ}-
“Dan tidak ada yang menyebabkan aku melupakannya melainkan syaitan.”
*Syaitan juga yang bersalah menjadikan dia lupa!
Jadi syaitan juga menjadi sebab manusia terlupa dan terhalang daripada perkara yang sepatutnya dilakukan.
- Ayat 62- {Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.}- nabi Musa minta Yusya’ membawa makanan untuk mereka makan bersama!
Ini menunjukkan apabila kita nak makan kena makan bersama dengan pembantu atau pekerja kita.
Kalau pergi restoran, tak apalah duduk di meja lain, tetapi menu biarlah sama.
Kena bersifat tawadhuk- seperti Nabi Musa ini yang makan bersama pembantunya Yusya’.
Juga menunjukkan tidak salah untuk meminta bantuan orang. Ia juga menunjukkan pentingnya dalam perjalanan kena ada teman & pembantu.
Kata ulama’ tadabbur: Sewaktu memulakan perjalanan tadi Nabi Musa tidak berasa lapar kerana dia berjalan kerana Allah, berjalan untuk mencari ilmu.
Tetapi sekarang kerana telah terlepas- perjalanan mereka tiada tujuan lagi hanya kosong- maka dia terasa lapar lalu berkata:
آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا
“Bawalah makanan kita; sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini.”
Ini satu analogi- ketika Nabi Musa a.s bermunajat dengan Allah selama tiga puluh malam, kemudian disempurnakan menjadi empat puluh malam, dia tidak makan kerana dia tidak rasa apa-apa, sebab dia sedang bersama dengan Allah.
Tetapi kali ini adalah musafir mencari orang- maka apabila terlepas tempat itu dia mudah berasa lapar!
Sebab itu kata ulama, سفر القلب إلى الله — pengembaraan hati menuju kepada Allah.
Apabila hati kita benar-benar terikat dengan Allah, kita tidak akan rasa lama berdiri bertahajud, tidak rasa lama membaca al-Quran, tidak rasa lama berzikir, sebab kita sedang bermunajat dengan Allah.
Tetapi kalau kita tunggu manusia, lima minit pun rasa lama.
Namun orang yang sedang bermunajat dengan Allah, dia tidak akan rasa begitu.
Sebab itulah ada sebahagian ulama’ yang mampu membaca al-Quran sehingga khatam dalam satu malam.
Nabi S.A.W sendiri berdiri dalam solat malam sehingga bengkak kedua-dua kaki Baginda.
Sebab Baginda sedang berdiri di hadapan Allah.
Jadi kita pun, kalau kita belajar atau beribadat kerana Allah, kita tidak akan terasa lamanya ibadah, tidak terasa letihnya, kerana hati kita sedang berjalan menuju Allah.
Kerana itu ada ungkapan:
سِرْ إِلَى اللهِ بِقَلْبِكَ، وَسِرْ إِلَى النَّاسِ بِقَدَمِكَ
“Berjalan menuju Allah dengan hatimu, tetapi berjalan menuju manusia dengan kakimu.”
- Ayat 63- {… dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan;}-
Yusya’ kata syaitan yang menyebabkan dia lupa!
Ingat- mana-mana kelupaan yang kita lupa benda baik- kita menyalahkan syaitan apabila kita lupakannya.
Kerana itu Yusya’ kata:
{وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ}!
Dalam ayat ini disebut bahawa syaitan menyebabkan manusia terlupa.
i- Dalam Surah al-An‘am, ayat 68, Allah Taala berfirman:
وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Kalau syaitan menyebabkan kita terlupa, apabila kita sudah teringat kembali, jangan lagi kita duduk bersama dengan kaum yang zalim.
ii- Begitu juga dalam Surah Yusuf, ayat 42:
فَأَنْسَاهُ الشَّيْطَانُ ذِكْرَ رَبِّهِ
Syaitan menyebabkan orang yang keluar dari penjara itu terlupa untuk menyebut tentang Nabi Yusuf A.S kepada tuannya.
Maka Nabi Yusuf A.S terus berada di dalam penjara beberapa tahun lagi.
Jadi, antara kerja syaitan ialah menyebabkan manusia lupa.
Dan mana-mana orang yang lupa kepada Allah Taala, akhirnya syaitan akan semakin menguasainya.
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ ذَلِكَ,
kita minta perlindungan daripada Allah.
Kemudian firman Allah:
وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ
Ini juga disebut sebagai حُسْنُ أَدَبٍ — suatu bentuk adab yang baik.
Perkara yang tidak baik itu disandarkan kepada syaitan.
Jadi syaitan sentiasa berada di sekitar kita dan berusaha menyibukkan kita.
Kadang-kadang kita disibukkan dengan perkara yang asalnya baik — sibuk belajar, sibuk bekerja, sibuk dengan urusan harian — tetapi akhirnya kita terlupa berzikir dan mengingati Allah Taala. والله أعلم
Ayat 64- {Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.}-
Musa kata itulah yang kita kehendaki maka marilah kita berpatah balik- tak perlu kita berbalah di sini.
Esok kita tengok kisah seterusnya insya’ Allah!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 17/08/2026 – 04 R. Awwal 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1031290069721513&type=3
Semoga Bermanfaat!
