View Categories

(22) Surah Al-Israa’: Ayat 85-87

14 min read

Live Kuliah Pagi Sabtu 04/07/2026 – 18 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (22) Ayat [85-87]

Full video: https://youtu.be/ynONjNp33Tk?si=Lq8koY-M9bvCeg4s

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 85 sehingga ayat 87 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan puak kafir Quraisy bergabung dengan yahudi bertanya Nabi s.a.w tentang hakikat roh.

Allah jawab Dia beri ilmu hanya sedikit kepada manusia & ilmu tentang roh hanya milik Allah dan di bawah kuasa-Nya.

  1. Allah nyatakan Dia ajarkan al-Qur’an kepada Nabi s.a.w serta berkuasa untuk menjaga & menghilangkannya daripada dada Nabi atau hantar balik.

Serta yang pasti apabila tiba waktu dekat Kiamat al-Quran akan hilang dari dalam semua mashaf yang bercetak ini juga dari dada manusia.

  1. Kemudian Allah nyatakan rahmat & kurniaan Allah s.w.t kepada Nabi s.a.w sangat besar dan kita umatnya turut mendapat tempias nikmat yang agung itu.
  2. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang perangai manusia ini akan buat apa yang dia suka & minat, tidak terasa susah & sanggup hadapi hujan panas & segala halangan.

ii- kemudian datang ayat ini Allah ceritakan tentang soalan kafir Quraisy kepada Nabi s.a.w tentang roh.

Soalan ini diajar oleh puak yahudi kepada mereka untuk menguji & menjatuhkan kredibiliti Nabi s.a.w.

  1. Sabab nuzul ayat ini:

i- Pertama riwayat dari Abdullah (bin Mas’ud) r.a yang bercerita:

“Aku berjalan bersama Rasulullah s.a.w di sebuah kebun kurma di Madinah.
Baginda berjalan sambil memegang tongkat dari pelepah kurma.
Ketika Baginda melewati dengan sekelompok orang Yahudi, segera saja sebahagian dari mereka saling berbisik, ‘Tanyailah dia tentang roh!’.
Sebahagian yang lain berkata, ‘Janganlah kalian menanyainya tentang roh!

Setelah berdebat sejenak, pada akhirnya mereka memberanikan diri menanyakan hal itu kepada Nabi s.a.w.

Baginda lalu berdiri sambil bersandar pada tongkat dari pelepah kurma itu, sedangkan aku berdiri di belakang Baginda.

Aku mengira pada waktu itu Baginda sedang menerima wahyu, lalu Baginda pun membacakan ayat ini:

﴾‏وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًۭا‎﴿

{Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.}

Mereka lantas saling menyalahkan, ‘Bukankah kami sudah melarang kalian menanyakan tentang roh?’” [HR Bukhari & Muslim].

ii- riwayat dari Ibnu Abbas, ia berkata, Orang-orang Quraisy berkata kepada orang-orang Yahudi, “Berikanlah kepada kamu satu pertanyaan untuk kami tanyakan kepada orang ini.”

Orang-orang Yahudi berkata, “Tanyakan kepadanya mengenai ruh.”

Lantas orang-orang Quraisy menanyakannya kepada beliau.
Ketika itu juga Allah pun menurunkan firman-Nya, “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ruh.
Katakanlah, Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit.” [HR at-Tirmizi].

  1. Mengikut analisa yang dibuat oleh Ibnu Kathir  berdasarkan persoalan yang ditimbulkan:

Surah Israa’ ini adalah surah Makkiyah sepenuhnya tetapi cerita dalam hadis pertama jelas berlaku di Madinah- jadi bagaimana kita nak taufiqkan antara keduanya:

i- boleh jadi ayat tersebut diturunkan berulang dua kali.

Pertama di Makkah apabila musyrikin Quraisy bertnya kepada Nabi s.a.w kemudian turun pula di Madinah apabila orang yahudi bertanya kepada Nabi s.a.w.

Ini berlaku dan ada beberapa ayat yang turun lebih daripada sekali!

ii- ataupun turun wahyu Allah s.w.t ajar kepada Nabi s.a.w untuk menjawab dengan ayat yang sudah ada itu!

Mudahnya kita jamakkan antara dua pendapat ini berdasarkan dua hadis ini!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا ‎﴿٥٨﴾

Ayat 85- {Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.} (Al-Israa’ 17:85)

  1. Orang kafir Quraisy bertanya kepada Nabi s.a.w tentang roh dan Allah suruh Nabi s.a.w menjawabnya bahawa roh itu urusan Tuhan dan Allah tidak berikan ilmu kepada manusia kecuali sedikit saja!
  2. Nota [675] Nabi Muhammad s.a.w telah ditanya oleh kaum Yahudi tentang roh kerana hendak mengujinya, lalu turun firman Allah Ta’ala ini mendedahkan kebodohan mereka bertanyakan sesuatu yang sememangnya tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali Allah ‘Azza wa Jalla.

Allah jualah yang mengetahui akan hakikat “roh” itu, sedang manusia hanya diberikan sedikit ilmu pengetahuan, itupun tentang benda-benda yang dapat dilihat, atau yang dapat di dengar, atau yang dapat dipegang, atau yang dapat dikecap rasanya, atau yang dapat dicium baunya.

  1. Tentang Roh (ٱلرُّوحِ) yang ditanya ini ulama’ berpendapat ia adalah:

i- tentang hakikat roh nyawa manusia yang kita hidup dengannya.

ii- ada ulama’ seperti Ibnu Abbas r.a dalil berkata Ruh di sini bererti malaikat yang besar.

iii- manakala al-Hasan al-Basri berkata ia bermaksud kepada Jibril a.s.
Ini berdasarkan firman Allah ini:
i- Ayat pertama:

﴿يَوْمَ يَقُومُ ٱلرُّوحُ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ صَفًّۭا ۖ﴾

{(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan)} (An-Naba’ 78:38)

ii- ayat kedua:

﴿تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍۢ﴾

{Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);} (Al-Qadr 97:4)

iii- ayat ketiga:

﴿تَعْرُجُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ إِلَيْهِ ﴾

{Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya…} (Al-Ma’aarij 70:4)

  1. Namun pendapat yang masyhur- apabila disebut roh ia bermaksud nyawa manusia!
  2. Kisah TG Haji Abdur Rahman dengan seorang guru bukan Islam yang cuba bawa soalan perovokasi kepada beliau.

i- soalan guru itu: Jika benar orang Islam kata Tuhan ada, maka di mana dia?
Kenapa kita tak nampak Tuhan?
Kalau ada mesti kena nampak.

ii- baik kata TG- cikgu ni hidup ke mati? Hiduplah jawab dia sebab masih bernyawa ni!

iii- maka kata TG jika benar ada nyawa mana nyawa cikgu kenapa kita tak nampak????

Maka tersipu kebingunganlah orang kafir!
Padan kita putar balik saja soalan mereka!

  1. Wahai manusia jangan sombong & engkuh kerana hanya sedikit ilmu yang Allah berikan kepada kamu!

Jika kamu pakar dalam sesuatu bidang- banyak lagi bidang lain yang kamu tidak tahu & tidak ada ilmu tentangnya!

  1. Hadis- kisah semasa Nabi Musa dan Nabi Khadir berada di dalam kapal dalam perjalanan mereka, seekor burung kecil hinggap di tepi kapal. Burung itu mematuk dan meminum sedikit air laut.

Nabi Khadir kemudian berkata kepada Nabi Musa, “Demi Allah, tidaklah ilmuku dan ilmumu di sisi Allah melainkan seperti air laut yang diambil oleh burung ini dengan paruhnya.” [HR Bukhrai & Muslim].

  1. Ini merupakan perumpamaan yang disampaikan oleh Nabi Khadir kepada Nabi Musa untuk menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah S.W.T berbanding ilmu makhluk.

Kemudian Rasulullah s.a.w menyampaikannya pula kepada kita agar kita sedar diri dan belajar tawadhuk.

 وَلَئِن شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِ عَلَيْنَا وَكِيلًا ‎﴿٦٨﴾‏

Ayat 86- {Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya.} (Al-Israa’ 17:86)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- dalam ayat yang lepas Allah kata Dia beri sedikit saja ilmu kepada manusia!

ii- dalam ayat ini Allah kata yang sedikit Allah beri itu pun bila-bila masa saja Allah boleh hapuskan & tarik-balik.

Allah boleh padamkan apa yang ada dalam memori kamu, hapuskan apa yang ada dalam hati kamu dengan sekelip mata saja atau hapuskan apa yang tertulis pada lembaran kertas atau dalam apa memori saja yang kamu simpan!

*Jadi kita kena sentiasa bersyukur dengan apa saja nikmat anugerah dari Allah- jangan kufur nikmat semoga Allah menambahnya!

  1. Allah bersumpah dengan nama Nabi s.a.w- bahawa jika Allah nak hilangkan apa telah Allah wahyukan kepadanya iaitu al-Quran pasti ia akan terpadam & terhapus segalanya.

Maka kita jangan sombong angkuh dengan segala ilmu dan kedudukan yang kita ada.

  1. Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; “Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah.
    Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat.

Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan.

Mereka hanya mampu berkata, “Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat:
“La ilaha illallah”, lalu kami pun mengatakannya juga”.
(Yakni itu saja yang mereka pandai- lain-lain ibadat tak tahu dah).

Maka berkata Silah (perawi hadis daripada Huzaifah), “Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah”?

Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Silah yang bertanya).

Kemudian Silah mengulangi pertanyaan itu tiga kali.
Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Silah itu.

Kemudian Silah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, “Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka”
(Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali).” (HR Ibnu Majah).

*Maka kita kena ajar kepada anak-anak kita kalimah yang besar ini!

  1. Yakni al-Quran, iman & ilmu pengetahuan akan hilang dari dada & hati manusia sedikit demi sedikit.
    Manakala al-Quran hilang diangkat terus itu akan berlaku pada hari Kiamat kelak.

*Begitu juga hari ini betapa ramai yang graduasi maahad tahfiz, yang ada sijil khatam al-Quran tetapi jarang yang ingat & hafaz al-Quran sepenuhnya.

Maka anak-anak semua tak perlulah tulis di belakang nama kamu (al-Hafiz) kecuali jika kamu betul-betul hafaz & ingat al-Quran sepenuhnya 30 juzuk itu jika tidak malu kepada Tuhan & al-Quran saja!

  1. Kemudian Allah nyatakan pada hari itu apabila kehilangan ini berlaku manusia tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya.

ا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّ فَضْلَهُ كَانَ عَلَيْكَ كَبِيرًا ‎﴿٧٨﴾‏ 

Ayat 87- { (Tetapi kekalnya Al-Quran itu) hanyalah sebagai rahmat dari tuhanmu; sesungguhnya limpah kurnianya kepadamu (wahai Muhammad) amatlah besar.} (Al-Israa’ 17:87)

  1. Sesungguhnya limpah kurnia Allah terhadap Nabi s.a.w amat banyak; Allah pilih & lantik dia sebagai seorang rasul, manusia yang paling mulia sebagai rahmatan lil-‘Alamin.
    Allah turunkan kepadanya al-Quran serta di Akhirat kelak Baginda mempunyai darjat yang tertinggi (maqam mahmud) yang tak sampai orang lain!
  2. Kita sebagai umat Baginda s.a.w di belakang Baginda juga mendapat tempias daripada rahmat & limpah kurnia Allah yang amat besar ini – alhamdulillah!
  3. Allah tak hilangkan al-Quran dari dada Nabi, dari dada para sahabat & daripada dada para penghuffaz al-Quran.

Al-Quran hanya hilang apabila dekat dengan hari Kiamat- pada waktu itu manusia tak tahu apa lagi tentang agama, tentang ibadat solat dan lain-lain. Mereka hanya tahu kalimah (La ilaha illaLlah).

  1. Ini pentingnya kita ajar anak-anak kita kalimah tauhid ini, jika apa-apa terjadi dia berpegang dengan kalimah syahadah ini.

Kerana kata Nabi s.a.w dengan kalimah inilah mereka akan selamat daripada neraka Jahannam di Akhirat kelak!

  1. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.} (An-Nisaa’ 4:113)
  2. Nota [676] Yakni kekalnya Al-Qur’an itu di dalam hati Nabi dan umatnya dan di dalam Mushaf-mushaf (kitab-kitab) Al-Qur’an adalah semata-mata dengan rahmat Allah dan belas kasihanNya.

Oleh itu, sewajibnya kita semua bersyukur akan kedua-dua nikmat yang besar itu – nikmat turunnya Al-Qur’an dan nikmat kekalnya terpelihara dengan sebaik-baik di dalam hati (yang menghafaznya) dan di dalam kitab-kitab yang ditulis dengan sahnya hinggalah ke saat hampir kiamat; kerana pada saat itu, sebagaimana yang diterangkan di dalam hadith-hadith Nabi, akan terangkatlah dan hilang lenyaplah Al-Qur’an dari hati dan tulisan, dan tinggallah manusia meraba-raba dalam kesesatan.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 85- {Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.}– musyrikin Quraisy Makkah bergabung dengan ajaran yahudi datang bertanya kepada Nabi s.a.w untuk menjatuhkan Baginda s.a.w.

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini satu celaan kepada sesiapa saja yang datang bertanya dengan tujuan provokasi & menjatuhkan orang!

Ini kerana mereka sudah tahu masalah roh ini adalah satu ilmu di bawah kuasa Allah- tetapi mereka bertanya juga untuk menampakkan kelemahan dan nak menjatuhkan Nabi s.a.w.

Maka ketika itu juga Allah tegur kepada mereka dan memberi jawapan yang membuatkan mereka terdiam!

Soalan kepada ustaz itu ada beberapa jenis:
i- soalan provokasi- ini kita jangan layan.

ii- soalan Jibril- dia sudah tahu tetapi tanya juga samada nak mengajar agar orang ramai tahu juga!

iii- soalan yang orang betul-betul nak tahu jawapan- ini kita kena layan dan jawab semampunya!

iv- yang paling tak baik ialah soalan nak pelaga orang!
Tak perlu suruh react dan seumpamanya.

Ayat ini satu kritikan keras kepada orang suka bermain soalan lebih-lebih lagi dengan tujuan provokasi nak menjatuhkan orang seperti yang diajar yahudi ini!

  1. Ayat 85- {… dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.}-
    Allah tegaskan bahawa Dia tidak memberi ilmu kepada manusia kecuali sedikit sahaja.

Maka kamu jangan berasa pandai & nak tunjuk pandailah!

Kata ulama’ tadabbur: Bukan bermakna ayat ni nak memperlekehkan akal manusia- tidak sesekali.

Tetapi nak bagitahu bahawa akal manusia itu terhad. Bijak dalam sesuatu bab ini tidak semestinya dia pandai & tahu juga dalam bab lain.

Dalam hidup kita ini jangan kita rasa kita pandai hebat & bijak, tinggi mana darjat seseorang itu, seluas mana kepakarannya pasti ada ilmu dia yang dia tidak tahu!

Nostalgia DDAAM bertemu dengan TGNA r.h dulu pada awal dakwahnya sekembali ke Malaysia dari Madinah.

Ini beberapa pesanan nasihatnya Tok Guru kepada Abu Anas Madani:

i- apa-apa istilah Arab mesti diterjemahkan kerana bukan semua orang tahu & faham bahasa Arab.

ii- ⁠jangan laju sangat bercakap semata-mata nak habiskan tajuk, yang penting faham.

iii- ⁠kita mengajar ni kena anggap orang-orang yang di hadapan (khayalak) kita ni tak tahu semuanya.

Kena yakin diri jika tidak kita akan teragak-agak dan tidak yakin dalam menyampaikan ilmu dan maklumat.

Nasihat itu kita pegang sehingga ke hari ini- tinggi mana ilmu seseorang itu pasti ada ilmu yang dia tidak tahu!

Kita sendiri pun begitu juga jangan rasa kita pandai kita bijak kerana banyak lagi ilmu yang kita tidak tahu!

  1. Ayat 85- {Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku;..}– tentang roh yang dimaksudkan di sini ialah roh atau nyawa manusia.

Kita bincangkan tentang pandangan roh itu adalah nyawa manusia!

Tubuh kita manusia ini terdiri daripada dua bahagian:
i- badan fizikal kita.

ii- roh atau nyawa kita- yang ini kita tak tahu bagaimana dan dari apa ianya.

Cuma ada Nabi s.a.w cerita apabila seseorang mukmin itu nak mati malaikat cabut nyawanya- rohnya akan keluar dengan tenang seperti titisan air yang menitis.

Allah nak nyatakan betapa lemahnya manusia- isu tentang roh adalah di bawah ilmu dan kuasa Allah- maka kamu jangan rempuh masuk.

Ulama’ berbahas tentang roh ini banyak sekali antaranya sebagaimana kata asy-Syaukani:

i- ulama’ pengkaji tentang roh telah berpecah kepada 118 pendapat!

ii- ini adalah perbuatan yang sia-sia tidak ada kerja!

Allah sudah kata roh adalah urusan Allah maka apa faedahnya kamu dok gali cari kaji apa yang tidak ada jawapan & memberi faedah yang besar.

Akhirnya hanya letih & habis masa akhirnya wallahu a’lam!

Tak perlu kita kejar perkara yang tidak memberi pulangan & faedah kepada kita.

Buang masa saja seperti orang yang panjang ekor tetapi pendek tubuhnya!

Kerana itu dalam tafsir & tadabbur kita; kita ambil pendekatan yang sederhana & ringkas yang dapat difahami oleh semua golongan yang mendengarnya.

  1. Ayat 86- {Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan kepadamu,…}-

Allah kata jika Dia mahu boleh saja Allah hilangkan al-Quran yang Allah berikan kepada kamu itu!

Allah nak nyatakan betapa lemahnya kita, betapa memori & ingatan kita ini terhad dan akan mudah tersumbat, rosak & akan hilang begitu saja!

Begitu juga pengalaman dalam hidup seharian kita- ilmu itu begitulah jika Allah beri dan lekat alhamdulillah.

Jika Allah nak hilangkannya tiada siapa yang dapat menolong kita untuk mengembalikannya!

Betapa banyak memori dalam hp gajet-gajet, laptop computer yang kita simpan boleh hilang begitu saja!

Simpan dalam hard disk internal external, memory itu memory ini, apps itu ini, akhirnya boleh hilang begitu saja!

Begitulah ilmu itu Allah beri & Allah hilangkan! Ilmu kita itu ialah apa yang berikan kepada kita & ada dengan kita.

Kita bersyukur dengan kita mengamalkannya dengan mengajar dan berdakwah menyampaikannnya kepada orang ramai, semoga Allah angkat darjat kita.

Jika ia hilang pun begitulah atas dunia ini samada kita meninggalkannya atau ia meninggalkan kita.

Tiada siapa boleh tolong jika Allah hilangkannya!

Pengalaman DDAAM banyak kehilangan kitab-kitab, sijil & dokumen serta memori yang disimpan dalam gajet-gajet akibat banjir besar tahun 2014 dulu. Allahu al-Musta’an.

  1. Ayat 87- {(Tetapi kekalnya Al-Quran itu) hanyalah sebagai rahmat dari tuhanmu; sesungguhnya limpah kurnianya kepadamu (wahai Muhammad) amatlah besar.}

Allah tak hilangkan ilmu Nabi s.a.w, Sunnahnya terpelihara sehingga ke hari ini!

Hadis-hadis Nabi s.a.w dihafaz oleh para sahabat kemudian oleh para tabien & imam-imam selepasnya, para ulama’ hadis mengumpulkannya.

Imam Bukhari yang mengambil pendekatan yang paling ketat tak cukup syarat tidak diterimanya!

Kemudian datang Imam Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmizi dan lain-lain.

Sehingga ke hari ini orang masih mengumpul hadis mengikut bab & susunan tertentu.

Ulama’ hadis telah menjaga Sunnah Nabi s.a.w dan mengumpulkannya dengan bersungguh.

Pada zaman kita pula ada orang yang nak beramal dan menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w yang sahih, ada juga orang yang mencari yang pelik, mimpi-mimpi, nur Muhammad dan apa yang kabur tidak jelas!

Kita pilih jalan yang selamat, mencari yang sahih, beramal dengan yang jelas; lebih baik
daripada mencari yang kabus dan beramal dengan yang tidak jelas.

Semoga Allah memberi keberkatan kepada kita, jemaah yang mencintai Sunnah Nabi s.a.w, beramal dengan Sunnah yang sahih, mati dalam husnul khatimah, insya’ Allah.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 04/07/2026 – 18 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=994924803358040

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top