View Categories

(23) Surah Al-Israa’: Ayat 88-89

15 min read

Live Kuliah Pagi Ahad 05/07/2026 – 19 Muharram 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Israa’ (23) Ayat [88-89]

Full video: https://youtu.be/1DJOtz4_8mQ?si=ciI4XYlj0X_mj7Xk

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Israa’ dengan ayat 88 dan ayat 89 dalam juzuk kelima-belas.
  2. Dalam siri ini kita lihat tentang I’jazul Quran (al-Quran melemahkan orang yang mencabarnya).

Allah s.w.t nyatakan kafir dicabar agar cipta seperti al-Qur’an, terdapat lima kali Allah cabar mereka ini di dalam al-Quran.

  1. Allah juga nyatakan jika seluruh manusia & jin berkumpul, bergabung bersama untuk mencabar dan melawan al-Quran tidak akan berjaya juga!
  2. Kemudian Allah nyatakan kebanyakan manusia ini kufur iaitu orang kafir lebih ramai daripada orang Islam- sejak zaman Nabi dulu sehingga kini.

Kerana itu kita kena mempertahankan tauhid, memperkukuhkan aqidah dan kedudukan kita. Tetapi walaupun sedikit kitalah yang akan aman & selamat di dunia & Akhirat kelak!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang antara anugerah nikmat-Nya kepada Nabi s.a.w ialah melantiknya menjadi rasul dan menurunkan kepadanya wahyu al-Quran.

Wahyu al-Quran ini jika Allah kehendaki boleh hilang dari dada Nabi s.a.w, atau dari dada para huffaz atau yang bertulis di atas apa saja medium, bila-bila masa saja.

ii- kemudian datang ayat ini Allah nyatakan bahawa al-Quran yang Aku anugerahkan kepadamua ini merupakan satu mukjizat yang makhluk lain tak akan mampu untuk mencabar al-Quran.

*Ini adalah mukjizat terbesar yang Allah anugerahkan kerana ia kekal sehingga hari Kiamat.

Mukjizat lain kita hanya boleh dengar atau baca saja kerana hanya berlaku pada zaman Nabi s.a.w saja.

Maka al-Quran adalah mukjizat yang terbesar, teragung lagi besar kedudukannya- kerana tidak akan ada manusia boleh mencabarnya bahkan mereka yang akan akan terpelanting dan tersungkur di hadapan al-Quran!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا ‎﴿٨٨﴾‏

Ayat 88- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.} (Al-Israa’ 17:88)

  1. Ayat ini menunjukkan kemuliaan al-Quran. Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyatakan andainya segala jin & manusia atas dunia bergabung dan berkerjasama semuanya untuk menghasilkan satu kitab lain seperti al-Quran ini juga; pastilah mereka sesekali tidak akan mampu untuk mencabarnya untuk membawa sesuatu yang seumpamanya!
  2. Allah tegaskan lagi bahawa mereka pasti tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri!
  3. Kata Ibnu Asyur rhm: Maksud perkataan- sekiranya sepakat {لَّئِنِ ٱجْتَمَعَتِ}-Yakni jika sepakat pemikiran dan usaha serta kerjasama jin & manusia- mereka tetap tak akan mampu untuk membuatnya!
  4. Nota [677] Kaum musyrik Arab, terutama pujangga-pujangga telah dicabar berulang-ulang kali supaya membuat satu “surah” sebanding dengan Al-Qur’an, tetapi mereka tidak dapat membuatnya.

Di sini ditegaskan lagi bahawa jika sekalian manusia dan jin berhimpun dan berkerjasama untuk tujuan itu, mereka juga tidak akan kekal membuatnya.

  1. Ini adalah I’jazul Quran (إعجاز القرآن) yakni al-Quran ini melemahkan orang lain yang mahu melawannya!
  2. Untuk rekod terdapat 5 ayat di mana Tuhan mencabar puak kafir untuk membawa sesuatu yang seperti al-Quran mengikut tertib surah di dalam al-Quran atau tertib Mushaf:

i- {Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.} (Al-Baqarah 2:23)

ii- {(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.} (Yunus 10:38)

iii- {Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.} (Hud 11:13)

iv- Ayat kita ini: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.} (Al-Israa’ 17:88)

v- {(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.} (At-Tuur 52:34)

*Ingat- ini adalah ikut tertib yang bertulis dalam mushaf. Ia tidak teratur dari segi turunnya ayat atau surah Makkiyyah & Madaniyyah.

  1. Kata ar-Razi dalam tafsirnya: Cabaran itu pastilah bermula dengan yang besar dulu- pertama Allah cabar bawa datang 10 surah- tak mampu?
    Maka bawalah satu surah saja- tak mampu juga? Bawalah satu ayat!

*Ini jika ikut tertib urutan cabaran pastilah bermula dengan cabaran 10 surah lain barulah yang lebih kecil darinya- iaitu bermula dengan surah Makkiyyah dlu baru surah Madaniyah.

**Yang kita bawa tadi ikut susunan surah dalam mushaf al-Quran.

  1. Menurut ahli Sirah terdapat beberapa percubaan orang kafir tertentu mereka-cipta sesuatu yang didakwa seperti al-Quran:

i- seorang yang bernama Musailamah al-Kazzab yang mengaku jadi nabi (nabi palsu) diminta untuk bawa al-Quran juga seperti Nabi Muhammad s.a.w- dan kebetulan dia seorang ahli syair.

Lalu dia membawa satu surah tentang gajah- al-Fil- tentang size, belalai ekor & hidung gajah- yakni perihal gajah!

Ini adalah satu cubaan yang gagal dan memalukan kerana gajah semua orang sudah maklum tentangnya!

ii- kata seseorang Quraisy yang bernama an-Nadhar bin al-Haris pula: Jika kami mahu kami juga boleh buatnya- kerana mereka tuduh al-Quran adalah rekaan Nabi s.a.w!

Tetapi mereka tetap tidak mampu membuatnya!

  1. Kita lihat bagaimana Allah cabar dalam firman-Nya ini:

i- {Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.} (Al-Baqarah 2:23)

ii- kemudian Allah juga jawab & tegaskan bahawa sesekali mereka tidak akan mampu melakukannya:

{Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.} (Al-Baqarah 2:24)

  1. Kata Ibnu Kathir rhm: Memang mereka tidak dapat menyahut cabaran itu- tidak mampu nak buatnya walaupun di Makkah ketika itu berkumpul orang Arab yang fasih lidahnya serta para penyair yang pakar bahasa Arab.
  2. Cabaran (التحدي) untuk lawan al-Quran itu dari perlbagai sudut:

i- isi kandungan & balaghah iaitu dari sudut bahasa.

ii- dari sudut fakta sains & maklumat.
Contoh ilmu tentang janin- al-Quran menyebutnya dengan detail dan menepati kajian sains & perubantan.

Ilmu falak astronomi, ilmu tentang laut dan semuanya.

Sedangkan pada waktu itu manusia masih belum ada kemampuan & alatan canggih untuk mengkaji semua hakikat itu.

Datang manusia ini apabila membaca maklumat yang ada dalam al-Quran mereka terpegun dan kagum.

*Terdapat satu badan yang mengkaji mukjizat dan kemukjizatan al-Quran dikenali sebagai:

الهيئة العالمية للإعجاز العلمي في القرآن والسنة

atau dalam Bahasa Melayunya, Pertubuhan Sedunia bagi Mukjizat Saintifik dalam al-Quran dan Sunnah.

Badan ini beribu pejabat di Makkah, Arab Saudi, di bawah naungan Pertubuhan Islam Sedunia (Muslim World League).

iii- dari sudut maklumat & fakta tidak ada satupun yang bercanggah walaupun al-Quran itu turun dalam tempoh 23 tahun secara berperingkat & dalam keadaan berbeza.

Kerana itu Allah cabar jika al-Quran ini bukan dari Tuhan pasti kamu akan temui banyak percanggahan.

Sebagaimana firman Allah:
{Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.} (An-Nisaa’ 4:82)

iv- khabar ghaib- al-Quran menceritakan tentang peristiwa zaman dulu & yang akan datang.

Seperti penciptaan Nabi Adam a.s, kisahnya dengan iblis, nabi-nabi terdahulu dan seumpamanya.

Juga kisah akan datang yang tiada siapa dapat meramalnya seperti Rom akan dijatuhkan dan lain-lain.

  1. Kita sudah cakap- siapa yang nak mencabar al-Quran akan tersungkur kepadanya- jika dapat hidayah akan terus beriman yang tak dapat hidayah kesipuan kebingungan begitulah!
  2. Kisah yang masyhur dan menarik sekali adalah Prof Garry Miller seorang pakar Matematik dari Kanada- yang berusaha mengorek mengkaji mencari kelemahan al-Quran.

Tidak lama selepas itu dari Garry bertukar menjadi Abdul-Ahad Umar.

Dia juga penulis buku The Amazing Quran, para jemaah boleh cari & baca kisahnya yang amat menarik serta menambah keyakinan dan memantapkan lagi keimanan kita!

  1. Kata DDAAM: Siapa yang mencabar al-Quran dia akan tersungkur di hadapan al-Quran;
    i- samada dia rebah masuk Islam alhamdulillah itu yang terbaik;
    ii- atau dia tersungkur makin jahat kerana walaupun dia tahu al-Quran itu benar tetapi dia tetap menolak & melawannya.

*Kita minta perlindungan Allah dari dibiarkan terumbang-ambing tak tahu ke mana nak tuju!! (نعوذ بالله من الخذلان)

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ فَأَبَىٰ أَكْثَرُ النَّاسِ إِلَّا كُفُورًا ‎﴿٩٨﴾‏

Ayat 89- {Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.} (Al-Israa’ 17:89)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- Allah kata manusia & jin semuanya atas dunia ini walaupun berkumpul tidak akan dapat cabar al-Quran.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan walaupun dibawa pelbagai hukum, fakta, kisah & hujjah- mereka yang kafir & tidak ada ada hidayah tetap kufur dan menentang!
Kamu buat apa saja pun tak jadi mereka tetap keras kepala!

*Hanya Allah saja yang dapat membantu kita untuk mendapat hidayah petunjuk- makin kita belajar al-Quran makin takut kita kepada Allah, makin sayang kepada Allah & Rasul-Nya, makin dekat kita dengan Allah!

  1. Allah kata Kami telah nyatakan pelbagai penjelasan dalam al-Quran- ada hukum, ada kisah, pengajaran, ada cerita & maklumat tentang orang dahulu, tentang masa akan datang & Kiamat- semuanya sudah cukup, nasihat sudah disampaikan agar mereka tahu & takut kepada Allah!
  2. Tetapi malangnya orang kafir itu- mereka tetap degil keras kepala menentang dan menolak al-Quran walaupun jelas kebenaran, mantap lagi jelas hujjahnya.

Bukan salah ibu mengandung lagi tetapi salah hati yang tertutup tak mahu terima kebenaran!

Menolak al-Quran menolak hidayah tetapi datang membawa pelbagai cadangan yang mengarut- kita lihat dalam ayat esok insya’ Allah.

  1. Maka kita sebagai orang beriman kita bersyukur dengan anugerah iman & al-Quran yang Allah anugerahkan kepada kita- alhamdulillah.

Jika kita tak syukur rugilah kita hidup atas dunia ini lebih kurang saja dengan lembu hanya hidup untuk makan & minum saja!

  1. Nota [678] Yakni berbagai jenis hujjah dan bukti keterangan, tamsil ibarat dan nasihat pengajaran, berita-berita gembira dan amaran, kisah-kisah dan cerita-cerita panduan, semuanya itu telah dihuraikan dengan berbagai cara di dalam Al-Qur’an; tetapi kebanyakan manusia enggan juga beriman, dan tetap tinggal dalam kekufuran.

*Wal-iyazubillah- kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t dari sifat buruk, perangai huduh, tak reti bahasa & lawan al-Quran.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 88- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini,..}-

Allah kata andaikata manusia & jin bergabung atas satu fikrah & satu usaha gerakkerja yang mantap- nak cabar al-Quran- Tuhan kata mereka tetap tak mungkin melakukannya!

Ulama’ tadabbur kata: Ayat ini Allah bawa sebagai tanda Kenabiannya yang jelas bahawa jika jin & manusia atas dunia ini bergabung sehingga ke hari Kiamat untuk bawa sesuatu yang seperti al-Quran mereka tidak akan mampu untuk mencabar al-Quran!

Sebagaimana telah kita bawa di atas tadi- Allah telah cabar kafir lima kali dalam al-Quran untuk membawa sesuatu seperti al-Quran yang mereka kata mereka boleh buatnya!

Pastilah mereka tidak mampu kerana itu diluar kuasa & kemampuan mereka!

Ayat- ayat itu ialah seperti berikut: dari surah al-Baqarah: 23, Yunus: 38, Hud: 23, al-Isra’: 88 dan at-Thur ayat 33 & 34.

Ini cabaran besar yang Allah buat kepada jin & manusia.

Seperti an-Nadhar kata tadi- jika kami nak buat boleh aje—maka buatlah!!
Tetapi tak boleh buatnya!

  1. Ayat 88- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini,..}-

Allah cabar jin & manusia untuk bergabung dan berkerjasama lawan al-Quran atau buat sesuatu seumpamanya.

Kenapa Allah sebut manusia & jin?
Tidak sebut makhluk lain atau manusia saja???

Jawapan:
Ini kerana jin itu lebih berkuasa dan kuat dari manusia dari kemampuan dan kekuatannya.

Jin ini boleh terbang, boleh menghaib bahkan mereka dulu boleh naik ke langit untuk curi-curi dengar maklumat yang Allah sampaikan kepada malaikat.
Kemudian mereka sampaikan kepada sekutu mereka dari kalangan ahli nujum, ahli sihir manusia lalu mereka dipercayai sedangkan yang benar hanya sedikit yang selebihnya adalah penipuan!

Jadi manusia tak perlu fikir lagi jin ini hebat boleh naik ke langit dan lain-lain- jadi jin ini mungkin pandai dan boleh buat seperti al-Quran.

Maka semua itu jelas jin pun tak mampu juga- sama seperti manusia nak cabar al-Quran!!!

  1. Ayat 88- {… mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.} –

Allah cabar kamu bawalah sesuatu yang seumpama al-Quran- satu al-Quran sebuah, jika tak mampu 10 surah saja, atau jika tak mampu 1 surah saja- tetapi mereka tak tetap mampu.

Allah kata jika mereka betul-betul bergabung bukan pakatan yang main-main tetapi berfabung sungguh pakatan antara jin & manusia; kamu tetap tak mampu untuk buatnya!

Inilah yang kita takut hari ini manusia suka cakap besar tetapi nak buatnya tak boleh.

Jadi jangan berharap kepada orang, walaupun kamu bergabung; tetapi dalam isu nak cabar atau lawan al-Quran tiada siapa boleh lawan & tiada siapa boleh cabarnya!

Yakni walaupun kamu bergabung dalam isu nak meniru al-Quran kamu tak mungkin boleh tirunya!

  1. Ayat 89- {Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini,…}-

Allah kata Kami telah memberi penjelasan & nyatakan kepada manusia dengan pelbagai cara!

Allah sebut khas kepada manusia {لِلنَّاسِ} ini kerana kerana cabaran ini sebenarnya kepada manusia yang menentang dan mencabar Rasulullah s.a.w- cuma Allah sebut jin supaya manusia tidak berfikir lagi- jika jin buat atau tolong mereka; mungkin mereka boleh buatnya, boleh sahut cabaran ini!

Maka dalam ayat ini Allah kata kami telah pelbagaikan penjelasan & kenyataan {وَلَقَدْ صَرَّفْنَا}- ini kerana mukjizat Al-Quran ini ada dari pelbagai dimensi & sudut:

i- dari sudut lafaznya iaitu kalimat ayat sendiri.
ii- susunan ayatnya yang indah & tersusun- lihat saja ayat-ayat kita hari ini.

iii- dari sudut balaghah yakni gaya bahasa yang mendalam.

iv- dari sudut maknanya yang luas- ayat pendek tetapi boleh dihurai dengan panjang.

v- Allah perkenalkan nama-nama-Nya & sifat-Nya dalam al-Quran.

vi- dari sudut kisah & maklumat yang lalu- penciptaan dunia, Nabi Adam a.s dan semuanya ke zaman Nabi Muhammad s.a.w.

vi- cerita tentang akan masa akan datang (future)- tiada siapa yang tahu & boleh cerita tentangnya jika bukan wahyu dari Allah s.w.t.

vii- cerita tentang syurga & neraka serta bangkit semula.
Jelas & detail bagaimana manusia akan hidup balik dan siapa yang perhidupnya.

ix- dari sudut dalil ilmiyah dan-
x-contoh perbandingan yang dibuat dalam al-Quran dengan jelas dan tepat.

Ada 10 perkara yang menyebut pelbagai maklumat dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa al-Quran ini tidak mungkin akan dapat dilawan dicabar, berkumpullah dari mana semenjak dulu sehingga sekarang!

  1. Ayat 89- {… dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.}

Ayat ini menunjukkan bahawa manusia atas dunia ini lebih ramai yang kafir berbanding dengan yang beriman.

Kita lihat faktanya bermula pada zaman Nabi s.a.w.

i- semasa awal Islam di Makkah sedikit sekali orang yang beriman.

ii- selepas hijrah ke Madinah bertambah ramai.
iii- semasa Perang Badar pada tahun ke-2H ada 313 tentera.

iv- dalam Perang Uhud naik 1000 orang kemudian tolak 300 lebih munafiq tinggal 700 orang tentera muslim.

v- dalam Perang Ahzab/Khandak 3000 tentera.
vi- Pembukaan Kota Makkah- 10 ribu orang.

vii- Semasa Perang Tabuk- tahun ke-9H ada 30,000 tentera.

viii- semasa Hajjatul Wada’ ada ulama’ kata terdapat lebih daripada 100 ribu orang Islam bersama Baginda s.a.w.

Yakni sepanjang zaman Nabi s.a.w hidup selama 23 tahun Kenabian itu pengikutnya yakni umat Islam hanya ada 100 ribu orang lebih.

Manakala mengikut maklumat dari internet hari ini pula:

Bilangan umat Islam di seluruh dunia dianggarkan melebihi 2 bilion orang, merangkumi kira-kira 25 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk global.

Ini menjadikan Islam sebagai agama kedua terbesar dan antara yang paling pesat berkembang di dunia.

75% lagi adalah agama lain selain dari Islam- maka jelaslah lebih ramai orang kafir lagi daripada Islam atas dunia ini sejak dari zaman Nabi s.a.w sehingga ke hari ini.

Maka kita orang yang beriman, ini bersyukurlah kepada Allah, mantapkan aqidah kita, perkemaskan iman & tauhid serta anak-cucu keturunan kita- biarlah kita mati dalam husnul-khatimah!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 05/07/2026 – 19 Muharram 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://www.youtube.com/playlist

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=995736083276912

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top