View Categories

SURAH YAASIN : AYAT 37-40

\"\"

DALIL WAHDANIAH DAN QUDRAT ALLAH; MALAM, MATAHARI DAN BULAN BEREDAR DENGAN TERATUR & MATAHARI TIDAK MELANGGAR BULAN DAN SEBALIKNYA.

Full video : https://youtu.be/Hz1jMKMtY-c

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t. berfirman lagi menceritakan tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan-Nya iaitu malam yang bersilih ganti dengan siang.
  2. Untuk adanya siang malam adalah dengan adanya matahari. Matahari & bulan yang berpusing di atas paksi masing-masing serta bergerak mengelilingi, mengikut orbit masing-masing juga.
  3. Dalam siri ini Allah s.w.t angkat pula kita ke atas langit, alam cakerawala untuk melihat kekuasan Allah s.w.t di sebelah atas.
  4. Setelah dibawa kepada kita dalil dibumi sebelum ini iaitu tentang Allah menghidupkan bumi yang mati, tumbuhan yang pelbagai jenis, makhluk yang dicipta secara berpasangan dan seumpamanya.
  5. Kali ini dibawa dalil makhluk ciptaan Allah s.w.t yang besar-besar di atas langit pula. Yang pasti Pentadbir dan Penciptanya adalah Allah s.w.t Yang Maha Berkuasa dan Agung!

AYAT 37- {DAN LAGI DALIL YANG TERANG UNTUK MEREKA (BERFIKIR) IALAH MALAM; KAMI HILANGKAN SIANG DARIPADANYA, MAKA DENGAN SERTA-MERTA MEREKA BERADA DALAM GELAP-GELITA;} (YAA SIIN 36:37)

  1. Sebelum dibawa dalil tentang kekuasaan Allah s.w.t untuk menghidupkan yang mati dan mengumpulkan kita di Padang Mahsyar kelak.
  2. Dalam ayat ini pula Allah s.w.t bawa dalil bukti tentang masa dan mahkluk ciptaan-Nya yang di cakerawala/angkasa, iaitu di atas langit.
  3. Maka Allah jadikan bagi kita manusia MALAM sebagai satu dallil, yang apabila tibanya malam siang pun hilang. (نَسْلَخُ) maksud asalnya seolah ditarik, siang itu hilang seolah ditarik keluar apabila malam tiba.
  4. Manusia pun hidup dalam kegelapan (مُظْلِمُونَ), yang berbeza panjang masanya pada sepanjang bulan.

AYAT 38- {DAN (SEBAHAGIAN DARI DALIL YANG TERSEBUT IALAH) MATAHARI; IA KELIHATAN BEREDAR KE TEMPAT YANG DITETAPKAN BAGINYA; ITU ADALAH TAKDIR TUHAN YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGETAHUI;} (YAA SIIN 36:38)

  1. Dalil besar yang kedua ialah matahari. Yang menyebabkan pertukaran siang dan malam ini ialah matahari.
  2. Matahari ini berpusing di atas paksinya serta ia juga berjalan (تَجْرِي) beredar ke tempat yang telah Allah s.w.t tetapkan baginya iaitu orbit.
  3. Penemuan semasa ahli sains mengatakan matahari itu:
    i- matahari bergerak berputar atas paksinya yang mengambil masa selama 25 hari bagi melengkapkan satu putaran.
    ii- ia juga begerak di atas orbitnya mengelilingi galaksinya yang bernama Bimasakti. Pergerakan kedua ini beredar mengelilingi galaksi selaju 786,000 kilometer sejam dengan mengambil masa 225 juta tahun untuk satu revolusi. والله أعلم
  4. Tempat tetapnya (لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا) itu banyaklah perbahasan ulama\’ tafsir tentangnya.
  5. Ibnu Kathir kata ada 2 pendapat yang masyhur:
    i- tempat itu ialah dibawah Arasy. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w:
    Dari Abu Zar r.a., katanya Nabi saw. bersabda: \”Tahukah kamu semua, ke manakah matahari itu pergi?\”
    Jawab mereka para sahabat, \”Allah dan Rasul-Nya lah yang lebih tahu.\”
    Sabda Nabi s.a.w., \”Dia berjalan sampai ke perhentiannya di bawah \’Arasy, lalu di sana dia sujud. Dia sentiasa sujud sampai datang perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula! Dia pun pergi dan muncul lagi di tempatnya semula. Kemudian dia berjalan hingga sampai pula di tempatnya di bawah \’Arasy, lalu di sana dia sujud sampai datang pula perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula. Dia pun pergi dan terbit di tempatnya semula. Kemudian begitulah rutinnya, tidak pernah tersasar sedikit pun hingga ia sampai pula kembali di tempatnya di bawah \’Arasy. Sehinggalah ia mendapat perintah: Bangkitlah, dan muncullah di tempat engkau biasa tenggelam. Maka terbitlah ia di Barat.\” Sabda Rasulullah saw., \”Tahukah kamu semua, Bilakah itu akan terjadi? Ialah pada hari, di mana iman seseorang tiada berguna lagi, jika sebelumnya dia tidak beriman, atau tidak berbuat suatu kebajikan dengan imannya itu.\” [HR Bukhari].
    Itulah hari Kiamat yang mana matahari akan terbit dari barat dan akan tertutuplah pintu taubat!

ii- Matahari sujud di bawah Arasy di malam hari.
Berkata Abu Zar r.a, Rasulullah s.a.w telah bertanya kepada dia tentang hal tenggelamnya matahari: \”Tahukah kamu ke mana perginya (matahari di malam hari)?\” Saya (Abu Zar) menjawab: \”Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.\” Lalu Rasulullah bersabda:
\”Sesungguhnya ia pergi sehingga sujud di bawah Arasy. Ia meminta izin maka diizinkannya. Lalu ia segera untuk bersujud lagi tetapi tidak diterima darinya, lalu ia meminta izin lagi namun ia tidak diperkenankan. Dikatakan kepada ia: Kembalilah dari mana kamu datang. Maka ia muncul (terbit) dari tempat ia tenggelam (terbenam).
Inilah yang dimaksudkan oleh Allah Ta\’ala dalam firman-Nya: Dan matahari, ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.\” [Yasin 36:38]. [HR Bukhari & Muslim]

  1. Ini adalah taqdir yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t Yang Maha Perkasa untuk mengatur makhluk-makhluk- Nya yang besar-besar. Ketetapan-Nya tidak dapat ditentang dan tidak dapat dihalang.
  2. Dia Maha Mengetahui semua yang bergerak dan semua yang diam, tidak bergerak. Dia telah menetapkan ukuran, tempoh dan waktu sesuai dengan apa yang telah digariskan-Nya, tidak ada penyimpangan dan tidak ada pertembungan.

AYAT 39- {DAN BULAN PULA KAMI TAKDIRKAN DIA BEREDAR MELALUI BEBERAPA PERINGKAT, SEHINGGA DI AKHIR PEREDARANNYA KELIHATAN KEMBALINYA PULA KE PERINGKAT AWALNYA – (BERBENTUK MELENGKUNG) SEPERTI TANDAN YANG KERING.} (YAA SIIN 36:39)

  1. Dalil ketiga adalah melalui bulan. Bulan juga mempunya orbit peredarannya yang tetap, yang telah ditaqdirkan oleh Allah s.w.t.
  2. Ia juga melalui beberapa peringkat (مَنَازِلَ), dikata ada 28 peringkat bermula dari anak bulan yang kecil (hilal-sabit) sehingga penuh purnama (Badr) kemudian mengecil kembali. Dalam sebulan itu (30 malam) ada dua malam yang bulan ghaib dari langit.
  3. Permulaan peringkat (مَنَازِلَ) awal dan akhir bulan ini Allah jelaskan bentuknya yang berbentuk melengkung seperti tandan yang kering. Kita pangilnya bulan sabit (هلال). Bulan purnama pula dipanggil Badr (بدر).
    Allah buat bandingan ini supaya mudah difahami oleh orang Arab dan Badwi yang biasa dengan pokok tamar dalam kehidupan mereka.
  4. Firman Allah s.w.t: {Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (ضِيَاءً) (terang-benderang) dan bulan bercahaya (نُورًا), dan Dia lah yang menentukan perjalanan (مَنَازِلَ) tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).} (Yunus 10:5)
  5. Allah s.w.t. menjadikan bulan mempunyai cahaya yang khusus baginya dan beredar pada garis edar yang lain. Ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya manusia mengetahui bilangan bulan, tahun dan perhitungan (waktu).
  6. Hujan dan Bintang.
    Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a: Rasulullah s.a.w mengimami kami solat subuh di Hudaibiyah, pada malamnya hujan turun. Setelah selesai solat, Nabi s.a.w berpaling menghadap kepada orang ramai, lalu bersabda, \”Tahukan kamu semua, apa yang telah difirmankan oleh Tuhan kamu?\” Jawab mereka, \”Hanya Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.\” Sabda Nabi s.a.w, \”Allah berfirman; Ketika hamba-hamba-Ku bangun pagi-pagi, diantaranya ada yang mukmin ada yang kafir. Siapa yang berkata hari hujan kerana kurnia dan nikmat Allah, maka dia itu mukmin (beriman) dengan-Ku, kafir dengan bintang-bintang. Siapa yang berkata hari hujan kerana bintang ini dan bintang itu, maka dia kafir dengan-Ku, beriman dengan bintang-bintang.\” [HR Muslim].

AYAT 40- {(DENGAN KETENTUAN YANG DEMIKIAN), MATAHARI TIDAK MUDAH BAGINYA MENGEJAR BULAN, DAN MALAM PULA TIDAK DAPAT MENDAHULUI SIANG; KERANA TIAP-TIAP SATUNYA BEREDAR TERAPUNG-APUNG DI TEMPAT EDARANNYA MASING-MASING.} (YAA SIIN 36:40)

  1. Allah s.w.t. sudah menetapkan perjalanan antara matahari dan bulan. Matahari tidak dapat mengejar/menyusul cahaya bulan. Bulan juga tidak dapat menyusul/mengejar matahari. Tidak mungkin matahari dan bulan terbit dan berkumpul bersama dalam satu malam atau siang.
  2. Ini kerana keduanya beredar di atas orbit/landasan masing-masing yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t. Tidak mungkin mereka berdua bertembung berlanggar atau muncul sekali dalam satu masa.
  3. Matahari dan bulan mempunyai batasan tersendiri yang tidak dapat dilintasi atau dikurangi oleh yang lainnya. Apabila masa kemunculan yang satu tiba, maka yang lainnya pergi. Begitu juga apabila yang lainnya datang, maka yang satunya pergi.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 37- sehingga Ayat 40- ini semuanya menunjukkan dalil yang zahir dan bukti yang sangat mengkagumkan tentang keagungan, kekuasaan dan hikmah kebijaksanaan Allah s.w.t dalam menyusun atur perjalanan matahari dan bulan.
  2. Ayat 37- {Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya} – ayat ini menjadi dalil yang terang untuk berfikir adalah malam. Ayat ini menunjukkan dalil sebagaimana kiraan orang Arab, bahawa malam itu datang sebelum siang. Ini kerana yang menarik pasti akan datang sebelum yang ditarik, kerana ini dalam Islam hari itu bermula dari malam.
    Iaitu bermula dari tenggelam matahari sehingga tenggelam matahari esok pula adalah hari baru. Dalilnya tengok ibadat dalam Islam:
    i- hadis Nabi s.a.w tentang tempoh selawat pada hari Jumaat. Bermula dari maghrib pada hari Khamis sehingga maghrib hari Jumaat.

ii- masuk waktu bulan Ramadhan, bermula pada maghrib malam pertama dikira masuk Ramadhan. Lalu kita mula solat tarawih pada malam 1 Ramadhan.

Tetapi ingat semua ibadat dikira dari malam kecuali masuk waktu wuquf pada musim haji, bermula dari masuk waktu zohor pada hari ke-9 Zulhijjah.

  1. Ayat 37- {Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;} – Allah s.w.t mahu peringatkan kita tentang nikmat-Nya ini. Jika tiada pertukaran ini cuba bayangkan jika kita hidup hanya ada malam sahaja atau hanya ada siang sahaja, gelap atau cerah saja, pasti amat menyusah dan memenatkan.
  2. Ayat 38- {Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;} – perjalanan matahari ini Allah s.w.t telah atur dengan rapi dan teliti. Allah sebut bahawa yang mengatur dan menyusun semua perjalanan ini adalah Allah s.w.t Tuhan yang Maha Gagah Kuasa, lagi Maha Mengetahui, maka pasti akan disusunnya dengan cukup teliti.
  3. Ayat 39- {Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya} – maksud peringkat (مَنَازِلَ), ini ialah bulan juga melalui beberapa peringkat dikata ada 28 peringkat bermula dari anak bulan yang kecil (hilal-bulan sabit) bertambah tebal sehingga penuh menjadi bulan purnama (Badr) kemudian mengecil kembali.
    Dalam sebulan itu ada dua malam yang bulan ghaib dari langit, samada malam yang ke 29 & 30 atau malam yang 28 & 29 pada setiap bulan.
    Kemudian akan lahir anak bulan pada 1hb untuk bulan yang baru.
    Permulaan peringkat (مَنَازِلَ) awal dan akhir bulan ini Allah jelaskan bentuknya yang berbentuk melengkung seperti tandan yang kering. Kita panggilnya bulan sabit (هلال). Bulan purnama pula dipanggil Badr (بدر).
  4. Ayat 39- {seperti tandan yang kering.}- maksud yang kering atau lama (الْقَدِيمِ) di sini ialah nisbah kepada lama atau sudah tua sehingga menjadi kering, bukan bermakna kekal. Lama itu nisbah kepada tandan itu yang sudah kering sehingga menjadi melengkung.
  5. Ayat 38 dan Ayat 39- ini adalah tanda kekuasaan Allah s.w.t dan atas sifat-Nya dalam menyusun atur matahari dan bulan yang manusia boleh nampak, matahari itu dekat dengan bulan, serta boleh ilmu, belajar dan tahu akan beberapa proses, peringkat dan pergerakan objek di langit ini. Bahawa matahari, bulan, bintang dan pelbagai planet yang ada ini, ada landasan orbit masing-masing yang khas dan tertentu. Serta tentang hujan yang turun kerana kerana limpah kurnia Allah s.w.t, bukan dengan sebab bintang-bintang seperti kepercayaan Arab Jahiliyah dulu. Seperti hujung tahun ini kita panggil sekarang ini musim tengkujuh, tetapi kita tahu yang menurunkan hujan itu adalah Allah s.w.t!
  6. Ayat 40- {(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan;}- dalam ayat ini Allah s.w.t sebut matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, tetapi kenapa tidak sebut sebaliknya? Ini kerana perjalanan bulan lebih laju kerana lebih kecil orbit pusingannya, sebulan sudah siap pusingannya.
    Manakala matahari itu setahun baru habis pusingan orbitnya. Maka Allah s.w.t hanya sebut yang besar tidak dapat kejar yang kecil maka pastilah juga sebaliknya!
  7. Ayat 40- {kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.}- kenapa disebut lafaz jamak (يَسْبَحُونَ) sedangkan diceritakan tentang dua objek saja iaitu bulan dan matahari, patut diguna lafaz untuk dua (يَسْبَحانَ – مثنى). Ini kerana maksudnya untuk umum, bukan hanya matahari dan bulan tetapi juga untuk semua bintang-bintang dan planet yang ada di atas cakerawala itu, semuanya ada perjalanan orbit masing-masing yang tertentu.
  8. Ayat 37- {Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir)}- setelah Allah s.w.t tunjukkan kepada kita sebelum ini dalil yang ada di bumi dengan terperinci tentang pokok-pokok, buahan, air sungai, bukit-bukau dan bentuk bumi, kali ini Allah bawa dan angkat kita ke atas langit pula.

Langit cakerawala yang penuh dengan matahari yang begitu besar dan terang, bulan yang begitu indah serta bintang-bintang yang bergugus, yang semuanya diatur pentadbirannya dengan rapi dan tersusun, pasti ada kuasa yang begitu Agung dan Maha Bijaksana sebagai pentadbir dan penguasanya.
Peredaran yang disusun atur dengan sebegitu rupa, mustahil segalanya terjadi tanpa PENCIPTA.
Ini supaya bertambah mantap kefahaman dan keimanan kita, bahawa semua ini menjadi bukti kewujudan Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa, Agung dan Maha Bijaksana.

  • Doa awal bulan Hijrah, apabila melihat Hilal (anak bulan):
    Daripada Talhah bin Ubaidillah:
    كَانَ إِذَا رَأَىْ الهِلَالَ قَالَ:
    اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ
    Maksudnya: \”Apabila baginda S.A.W melihat anak bulan, baginda S.A.W akan membaca doa:
    اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ
    Ya Allah keluarkanlah anak bulan ini dengan keberkatan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah S.W.T\”. [HR at-Tirmizi]
  • Segerakan amal ibadat, jangan tangguh waktu dan peluang untuk kita bercucuk tanam kebaikan di atas dunia ini supaya dapat kita menuai pahala kebaikanya di Akhirat kelak!
  • Semoga Allah s.w.t tetapkan keimanan kita, mantapkan aqidah kita dan matikan kita semua dalam husnul-khatimah!

Powered by BetterDocs