SURAH MARYAM : AYAT 16-21

\"\"

KENALI KELUARGA (AAL) \’IMRAN, MARYAM DIDATANGI MALAIKAT, MINTA PERLINDUNGAN & MENERIMA BERITA AKAN DAPAT ANAK.

Full video: https://youtu.be/fhjo9lRofzw

MUQADDIMAH :
1. Hari ini kita akan masuk ke dalam kisah tentang Maryam ibu Nabi Isa a. dan tentang Aal-Imran atau keluarga Imran ini.
2. Nama Imran ini ada disebut sebanyak 3 kali dalam al-Quran.

إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى آدَمَ وَنُوحًا وَآلَ إِبْرَاهِيمَ وَآلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِينَ
Maksudnya: {Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).} (A-li\’Imraan 3:33).
3. Siapakah mereka ini? Siapakah Aal-Imran yang disebut dalam Quran ini? Sebenarnya terdapat dua keluarga Imran yang berbeza dalam al-Quran:-
a. Keluarga Imran yang pertama adalah keluarga Nabi Musa yang hidup pada zaman Firaun di Mesir. Imran ini bapa kepada Nabi Musa dan Harun a.s.
Mereka terdiri daripada 5 orang yang diketahui dan disebut dalam al-Quran, iaitu ibu & bapa (Imran) , seorang kakak, Musa dan Harun a.s, dua orang rasul dan nabi.
b. Manakala keluarga Imran yang kedua ini hidup di Palestin. Jaraknya beberapa kurun yang jauh jaraknya. Dia adalah bapa Maryam, ibu Nabi Isa a.s. Bilangan mereka yang diketahui sebagaimana yang disebut dalam Quran juga adalah 5 orang, iaitu- ibu bapa (Imran), Maryam, kakaknya (isteri Nabi Zakaria dan ibu kepada Yahya) seorang abang yang bernama Harun.
Keluarga Imran inilah yang diambil nama sempena surah ke3 dalam al-Quran iaitu Surah Aal-Imran.
Kisah keturunan mereka juga terhenti setakat dua orang cucunya yang menjadi Rasul, iaitu Isa dan Yahya yang keduanya tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak.
4. Kita akan lihat kisah bagaimana Maryam diwahyukan akan mendapat Isa a.s.

AYAT 16- {DAN BACAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) DI DALAM KITAB AL-QURAN INI PERIHAL MARYAM, KETIKA DIA MEMENCILKAN DIRI DARI KELUARGANYA DI SEBUAH TEMPAT SEBELAH TIMUR.} (MARYAM 19:16).
1. Kisah ajaib Maryam, yang menjadi abid, penghuni masjid akibat nazar ibu bapanya yang mahu meletakkan anak mereka sebagai khadam masjid jika dapat anak. Jadi walaupun dapat anak perempuan terpaksa letak juga kerana sudah bernazar dan tidak tentukan jenis anak yang ingin diletak. Ujian Allah s.w.t.
2. Dia dijaga oleh Nabi Zakaria, abang iparnya yang juga salah seorang ahli ibadat di situ.
3. Sepanjang masa menjaga Maryam, Nabi Zakaria melihat banyak keajaiban dan kelebihan yang diberikan kepada Maryam. Sentiasa ada makanan dan buah-buahan yang diluar musim.
4. Apabila ditanya, Maryam menjawab itu semua adalah rezeki dari Allah s.w.t. Ini yang membuatkan Zakaria berani berdoa meminta dikurniakan anak walaupun dia sudah tua.
5. Ada juga ulama’ yang mengatakan Maryam itu Nabi kerana dia diilhamkan wahyu kepadanya, tetapi majoriti ulama\’ kata BUKAN NABI kerana jelas dan sahih tidak ada nabi daripada golongan wanita.
6. Persoalan tempat dia; {..memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.} ulama\’ kata kemungkinan ia adalah:
i- Kawasan khasnya di masjid itu sebagai tempat untuk dia beribadat.
ii- Ada kata ia adalah tempat dia duduk apabila datang haidh, yakni keluar dari masjid.

AYAT 17- {KEMUDIAN MARYAM MEMBUAT DINDING UNTUK MELINDUNGI DIRINYA DARI MEREKA MAKA KAMI HANTARKAN KEPADANYA: ROH DARI KAMI LALU IA MENYAMAR DIRI KEPADANYA SEBAGAI SEORANG LELAKI YANG SEMPURNA BENTUK KEJADIANNYA.} (MARYAM 19:17)
1. Seperti di atas tadi- Kawasan khas baginya di masjid itu sebagai tempat untuk dia beribadat. Sebagai perempuan ia pastilah terpencil tidak bercampur dengan orang lain.
2. Kemudian Allah s.w.t hantar malaikat Jibril kepadanya dengan berupa sebagai seorang lelaki yang sempurna sifatnya.

AYAT 18- {MARYAM BERKATA: SESUNGGUHNYA AKU BERLINDUNG KEPADA (ALLAH) AR-RAHMAN DARIPADA (GANGGUAN) MU KALAULAH ENGKAU SEORANG YANG BERTAQWA.} (MARYAM 19:18)
1. Maryam tidak panik, sebagai seorang perempuan yang mantap iman terus meminta perlindungan daripada Allah s.w.t agar menjaganya daripada apa-apa gangguan.
2. Serta memberi peringatan dan tazkirah kepada tetamunya itu supaya tidak mengganggunya.

AYAT 19- {IA BERKATA: \”SESUNGGUHNYA AKU PESURUH TUHANMU, UNTUK MENYEBABKANMU DIKURNIAKAN SEORANG ANAK YANG SUCI\”.} (MARYAM 19:19)
1. Malaikat itu juga beradab dan tidak mahu Maryam terus berada dalam ketakutan dan cemas, terus memperkenalkan dirinya.
2. Jangan takut, bahawa dia adalah utusan dari Allah s.w.t, datang untuk memberitahu khabar bahawa Maryam akan dikurniakan seorang anak yang suci.
3. Caranya hanya dengan meniup roh tanpa perlu menyentuhnya.

AYAT 20- {MARYAM BERTANYA (DENGAN CEMAS): BAGAIMANAKAH AKU AKAN BEROLEH SEORANG ANAK LELAKI, PADAHAL AKU TIDAK PERNAH DISENTUH OLEH SEORANG LELAKI PUN, DAN AKU PULA BUKAN PEREMPUAN JAHAT?\”} (MARYAM 19:20)
1. Maryam sangat terkejut mendengarnya. Bagaimana dia akan mendapat seorang anak lelaki sedangkan dia tidak mempunyai suami, dan dia bukan seorang perempuan jahat, yakni tidak pernah disentuh oleh lelaki.
2. Maryam bukan tidak mahu menerima takdir Allah itu, cuma terkejut dan hairan, seperti kisah Nabi Zakaria sebelum ini, bertanya kerana cuba memahami bagaimana hal yang ajaib ini akan berlaku.

AYAT 21- {IA MENJAWAB: \”DEMIKIANLAH KEADAANNYA TAK USAHLAH DIHAIRANKAN; TUHANMU BERFIRMAN: HAL ITU MUDAH BAGIKU; DAN KAMI HENDAK MENJADIKAN PEMBERIAN ANAK ITU SEBAGAI SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN KAMI) UNTUK UMAT MANUSIA DAN SEBAGAI SATU RAHMAT DARI KAMI; DAN HAL ITU ADALAH SATU PERKARA YANG TELAH DITETAPKAN BERLAKUNYA.} (MARYAM 19:21)
1. Allah s.w.t berfirman bahawa perkara ini adalah sesuatu yang mudah baginya. Jadi jangan pelik dan hairan. Pemberian anak itu adalah sebagai satu tanda.
2. Yakni kejadian Nabi isa a.s tanpa bapa itu untuk menunujukkan:
i- Suatu bukti tanda kekuasan Allah s.w.t.
ii- Ia juga sebagai satu rahmat dari Allah s.w.t yang melantiknya sebagai Nabi dan rasul yang menyeru ke arah kebaikan.
iii- Ia adalah satu perkara yang telah ditetapkan untuk berlaku. Allah telah tetapkan untuk Maryam melahirkan Isa tanpa seorang bapa.

BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1. Metod pengajaran dalam al-Quran. Bagaimana cara nak beri kefahaman kepada manusia. Ambil dari peringkat yang mudah dan ringan dulu kemudian baru naik kepada yang lebih berat dan besar.
2. Bagaimana dibawa dulu kisah Nabi Zakaria yang sudah pelik, dapat anak diusia lanjut, kemudiannya dibawa pula kisah Maryam yang lebih pelik dan berat, dapat anak tanpa seorang bapa. Jadi penerimaan manusia sudah agak terbuka mindanya.
Begitu juga jika mahu mengajar dan melatih anak-anak, kena berperingkat dan mula yg ringan dulu.
3. Kaedah mempertahankan diri sebagaimana yang digunakan oleh Maryam ialah:
i- Minta perlindungan dari Allah s.w.t.
ii- Guna pendekatan psikologi, bagi tazkirah dan peringatan, ingatkan kepada Allah s.w.t, sekurang-kurangnya jika masih ada kebaikan dalam hati dia, dia akan memikirkan semula niatnya untuk berbuat jahat itu; dan jika dia membatalkannya terus kerana peringatan itu alhamdulillah!!

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs