View Categories

(49) Surah An-Nisa’ : Ayat 127

HUKUM TENTANG WANITA, MENAFIKAN HARTA ANAK YATIM & JAGALAH YATIM DENGAN ADIL.

Full video : https://youtu.be/CYHajr5V6L0?si=W1Ef-_UVY-gZ5xqf

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 127 Surah An-Nisa’ dalam juzu’ yang kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah hukum tentang wanita, di mana para wanita sebelum Islam dianiayai dan di tindas, dikhianati oleh para lelaki yang tidak bertanggungjawab. 
    Maka Allah SWT bawa ayat ini untuk membebas wanita daripada cengkaman lelaki yang rakus lebih-lebih lagi para anak yatim perempuan. 
    Yang menjadi rebutan mungkin kerana harta yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka.
  1. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini peringatan kepada para wali- penjaga anak yatim supaya jangan menafikan harta anak yatim, berikan hak mereka, tunaikan amanah.
  1. Juga jagalah anak yatim dengan adil, jangan sesekali berlaku zalim; akibat amat buruk jika atas dunia ini kamu terlepas, di Akhirat tidak ada pelindung lagi. 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas, pada awal surah Allah SWT nyatakan tentang banyak hukum perundangan Syari’ah; kedudukan kafir & munafiqin.
    Juga tentang cara muamalah sesama manusia, baik lelaki mahupun perempuan. Kemudian Allah bawa ayat yang menunjukkan kepada keagungan Allah & kesempurnaan-Nya. 

    ii- Kemudian dalam ayat ini Allah bawa balik hukum & perundangan tentang wanita untuk mengingatkan kita akan kepentingannya.  
    Allah sendiri yang berhukum & berfatwa tentangnya!

    Kata ar-Razi RHM : Begitulah susunan ayat al-Quran ini cukup menarik indah. 
    Apabila bawa ayat tentang hukum-hakam. Supaya kita tidak jemu; selepas itu Allah bawa pula ayat tentang janji baik & buruk, amaran & galakan juga tentang keagungan & kebesaran Allah SWT kemudian didatangkan pula tentang hukum-hakam.

    Ini kerana akan lebih memberi kesan & menarik kepada jiwa pembaca & pendengar- jika hanya main hukum saja dikhuatiri orang akan rasa berat & mudah bosan.

    Hati ini seperti anak-anak juga, jangan ditengking saja, ada waktu juga diberi kasih-sayang & belaian. 
    Asyik dimanja saja akan jadi besar kepala & degil, asyik dijerkah saja akan mengguris jiwanya. 
    Kena ada waktu untuk kasih-sayang, pendidikan & waktu dibuat tindakan.

    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 127- {DAN MEREKA MEMINTA FATWA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), MENGENAI (HAK DAN KEWAJIPAN) KAUM PEREMPUAN. KATAKANLAH OLEHMU: “ALLAH AKAN MEMBERI KETERANGAN (FATWA) KEPADA KAMU MENGENAI MEREKA DAN JUGA (ADA DIFATWAKAN DALAM) APA YANG SELALU DIBACAKAN KEPADA KAMU DALAM KITAB (AL-QURAN) INI MENGENAI PEREMPUAN-PEREMPUAN YATIM YANG KAMU TIDAK MEMBERI KEPADANYA APA YANG TELAH DITETAPKAN MENJADI HAK MEREKA, DAN YANG KAMU SUKA BERKAHWIN DENGAN MEREKA;} (AN-NISA’ 4:127)

  1. Allah ceritakan tentang para sahabat yang datang berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta fatwa & hukum yang berkait tentang wanita iaitu hak & kewajipan kaum perempuan. Isu ini amat besar dalam Islam. Islam amat menjaga hak perempuan & anak yatim!
  1. Allah ajar Rasulullah SAW untuk mengatakan bahawa Allah akan memberi fatwa {وَيَسْتَفْتُونَكَ فِى ٱلنِّسَآءِ} keterangan & menjawabnya sendiri tentang masalah ini! 
    Ini menunjukkan betapa wanita amat berharga & bernilai dalam Islam! 
    Penjagaan akan wanita & anak yatim amat diambil berat dalam al-Quran ini, Allah sayang kepada wanita dan anak yatim!
    Betapa Islam itu indah, lagi kita faham lagi jelas keindahannya!
  1. Allah telah menurunkan hukum-hakam tentangnya (perempuan & anak yatim) seperti apa yang kamu baca pada awal surah lagi (ayat 2 & 3) dan akan dijelaskan lagi dalam ayat ini & seterusnya.
    Akan dibincang hal perempuan & wanita secara khusus sesuai dengan nama Surah An-Nisa’ ini!
  1. Sabab nuzul ayat : Bersumber dari UM Sayyidah Aisyah RA bahawa: 
    Seorang lelaki ahli waris dan wali (penjaga) seorang anak perempuan yatim menggabungkan seluruh harta si yatim itu dengan hartanya sehingga kepada barang yang sekecil-kecilnya, bahkan sehingga ia mahu mengawininya dan tidak mahu menikahkannya kepada orang lain, kerana takut harta bendanya keluar dari tangannya. Perempuan itu dilarang menikah sama sekali. Maka turunlah ayat ini (An-Nisa’ ayat 127) yang menjelaskan bagaimana seharusnya mengurus anak yatim & jika nak kahwin dengan mereka berlaku adil kepadanya iaitu dengan diberikan maskahwin seperti anak perempuan lain. [HR Bukhari].
  1. Apabila orang ramai bertanya tentang wanita & anak yatim lagi maka Allah nyatakan bahawa Dia telah turunkan hukum tentang cara untuk menjaga anak yatim perempuan pada awal surah; jangan khianat & berlaku kezaliman sedikitpun kepada mereka. 

    Sebagai wali (penjaga mereka), berikan hak mereka & harta mereka dengan telus. 
    Jika nak kahwini mereka berikan maskahwin yang sepatutnya. Atau jika nak kahwinkan mereka dengan lelaki lain carilah yang sekufu & sesuai serta maskahwin yang sepatutnya juga!
  1. Ayat ini juga untuk memberi pengajaran kepada umat Islam untuk membatalkan saki baki amalan & perangai jahiliyah yang masih berlegar dalam masyarakat; yang mana jika anak yatim itu kaya pakat berebut nak jaganya dan bila besar mahu dikahwini pula. 
    Tetapi jika yang miskin dan jelek- pakat berebut untuk melepaskan diri dari tanggungjawab terhadap mereka pula!
  1. Maka Allah didik kita agar jangan ada sifat jahiliyah. Dalam Islam ini sama saja yang kaya atau miskin, yang cantik atau huduh. Bahkan yang miskin dan susah itulah yang perlu kita tolong jagan & bantunya!
  1. Betapa Allah perintah dan ajar untuk melayan perempuan & anak yatim dengan adil jangan menzalimi mereka! 
    Jika anak yatim perempuan yang kaya; janganlah kamu kahwini mereka semata-mata kerana nak kaut & control harta mereka; kerana tidak mahu ia jatuh ke angan orang lain!
  1. Maka jika kamu nak kahwini mereka berilah kepada mereka maskahwin sebagaimana yang selayaknya, yang akan diberikan kepada perempuan lain yang bukan yatim. 
  1. Juga jika kamu mahu mengahwinkan mereka dengan lelaki lain, carilah yang sekufu & sesuai dengan mereka. 
    Mintalah juga maskahwin dari lelaki itu untuk mereka yang selayak & sesuai dengannya sebagaimana perempuan lain juga. 
    Jangan menganiayai mereka atau jadikan mereka seolah bahan dagangan untuk keuntungan kamu pula!
  1. Kamu adalah wali penjaga bagi mereka sebagai pengganti kepada bapa mereka yang telah tiada, maka berikanlah kepada kasih-sayang, jagaan & layanan yang baik dan adil! 
  1. Penyakit masyarakat dalam negara kita hari ini ini juga satu fenomena yang menakutkan, di mana para wanita dibunuh dengan berleluasa, anak gadis, isteri orang, yang muda atau tua dibunuh dengan kejamnya!
  1. Para pendakwah, ustaz & pengkuliah : Tumpukanlah usaha untuk mendidik jiwa masyarakat, bukan asyik berbalah sesama sendiri untuk menegakkan fahaman atau pegangan masing-masing dalam bab cabang!
    Inilah yang dikatakan menghunus senjata kepada kawan sendiri bukan kepada musuh yang sepatutnya!
  1. Kisah : Seorang pemuda datang mengadu kepada Syeikhnya tentang masyarakat atau mengutuk orang Islam di sekelilingnya. lalu Syeikh bertanya: Sudahkah kamu pergi berperang dengan Rom, dengan Turki dan Parsi? 
    Jawabnya tidak! 
    Syeikh berkata lagi: Masya Alllah semua musuh Islam Rom Parsi Turki yang kafir selamat dari mu tetapi yang tidak selamatnya saudara kamu yang Islam! 

    Begitulah kita hari ini : Saudara seislam tidak selamat dari kita tetapi kafir & munafiqin selamat! 
  1. Sedihnya ada pendakwah, pejuang agama kita yang berjalan sana sini, yang mengajar berkuliah semata-mata nak beri kefahaman kepada masyarakat, nak ajak balik beramal kepada Sunnah Nabi SAW!
    Tetapi penganjur yang menjemputnya dihentam dikutuk seolah dia bawa Taurat atau Injil untuk diajar di masjid! 
    Sedangkan dia bawa al-Quran & hadis, hadis pun pilih yang sahih saja! 
    Tetapi mereka itulah yang difitnahkan & dimomokkan dengan pelbagai tuduhan jahat & palsu! 
  1. Inilah penyakit masyarakat, kita nampak & hentam keburukan yang jauh tetapi kita terlupa yang didepan mata kita. Allahu al-Musta’an.

AYAT 127- {DAN JUGA MENGENAI ANAK-ANAK YANG LEMAH (YANG MASIH KECIL LAGI). DAN (KAMU JUGA DIWAJIBKAN) SUPAYA MENGURUSKAN (HAK DAN KEPERLUAN) ANAK-ANAK YATIM DENGAN ADIL. DAN (INGATLAH) APA JUA KEBAIKAN YANG KAMU LAKUKAN (KEPADA MEREKA), MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUINYA.”} (AN-NISA’ 4:127)

  1. Allah WT juga memberi kamu jawapan tentang anak-anak kecil yang lemah! 
    Yakni memberi hukum agar kamu menguruskan anak yatim dengan adil & telus. 
  1. Berikan hak & serahkan harta mereka bila tiba waktunya; jangan makan harta anak yatim tanpa hak sama-sekali! 
    Jika kita tolong jaga- jaga dengan sungguh-sungguh. apabila mereka sudah besar & layak menerima harta pusakanya serahkan balik- dan kamu akan mendapat pahala yang besar dari sisi Allah SWT. 
  1. Ingatlah wahai orang yang beriman; apa saja yang kamu buat sama ada kamu berlaku adil & baik kepada anak yatim atau kamu zalim khianat kepada mereka- sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengetahuinya! 
    Kamu buat baik dapat pahala jika buta ayat ia akan memakan diri kamu sendiri!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 127- {Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan.}-

    Mereka para sahabat datang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wanita!
    Ayat ini suatu pendidikan, perhatian & nilai yang tinggi, menunjukkan betapa Allah amat cakna & ambil perhatian, penuh kasih sayang, lemah-lembut & penjagaan yang tinggi terhadap kaum perempuan dan anak-anak yatim! 
    Allah kata dia sendiri yang jawab soalan itu; Allah tidak serahkannya kepada malaikat, tidak juga kepada rasul apatah lagi kepada manusia lain yang kononnya memperjuangkan human’s right & women’s right!

    Ini menunjukkan Islam amat menjaga akan hak & kebajikan wanita; maka kita yakin & percayalah. 
    Banyak ayat-ayat al-Quran & hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan akan ketinggian kedudukan wanita dalam Islam.
    Allah tidak mahu wanita menjadi bahan mainan, bahan eksploitasi atau diambil kesempatan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab! Ini adalah permainan & helah syaitan.
    Tiada penjagaan hak asasi rekaan manusia yang dapat menandingi penjagaan hak wanita dalam Islam!
  1. Ayat 127- {Katakanlah olehmu: “Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Quran)}-

    Para sahabat datang bertanya kepada Nabi SAW. tentang hukum.
    Ayat ini menunjukkan bahawa para sahabat sangat suka menuntut ilmu dan amat semangat ingin mengetahui tentang sesuatu hukum. Sebelum buat sesuatu mereka akan bertanya dan belajar dulu tentang hukumnya!

    Kita pun begitulah sepatutnya sebelum buat sesuatu; periksa & tanya dulu tentang hukumnya seperti nak beli saham, nak melabur dan seumpamanya.
    Hatta nak beramalpun semak dulu dalil dan sandarannya.
    Ayat ini menunjukkan bahawa para sahabat amat semangat dalam menuntut ilmu & sangat mengambil berat tentang hak wanita! 

    Allah juga berfirman bahawa dia sendiri yang akan menjawab persoalan tentang wanita ini. Cukup untuk menunjukkan betapa kedudukan wanita amat tinggi & begitu diambil berat dalam al-Quran & Islam.
    Bergembiralah kamu wahai para wanita Muslimah & mukminah!
  1. Ayat 127- {Katakanlah olehmu: “Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Quran) ini}-

    Allah kata Aku sudah berfatwa tentangnya sebelum ini dalam al-Quran, kamu saja yang tidak perasan tentangnya!
    Para ulama’ & para pendakwah mengatakan : Kembali kita kepada kitab Allah Azza wa Jalla dan hukum dalam al-Quran ini bukan hakim mufti atau qadhi yang jawab tetapi Allah SWT sendiri yang menjawabnya! 

    Al-Quran ini turun dari Allah, dan Allah SWT sendiri yang berkata-kata dalam al-Quran. Dia turunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW & perintahkan Nabi SAW untuk menyampaikan kepada umat dan perintah untuk beramal dengannya! 
    Semua ini Allah yang jawab sendiri!

    Al-Quran diturunkan untuk diamal dan dilaksanakan dalam kehidupan! 
    Bukan sekadar untuk dibaca, ditaranum, dipertandingkan & stop di situ saja! 
    Untuk amal & hukum kita tidak mahu terimanya! 
    Apabila bab hukum mengapa kita lebih percayakan kepada undang-undang ciptaan manusia???
    Maka di mana keyakinan & keimana kita kepada al-Quran yang diturunkan oleh Allah Azza wa Jalla??? 
  1. Ayat ini menunjukkan penjagaan kepada wanita secara umum kemudian khusus kepada anak yatim perempuan! 

    Iaitu wanita secara umum kemudian point besar yang ditekankan adalah tentang anak yatim perempuan!
    Ini kerana mereka dua kali lemah, sudahlah perempuan, yatim pula, tiada bapa yang akan menjaga & membela nasib mereka!

    Allah SWT nyatakan dalam al-Quran ini kejahatan puak jahiliyyah dahulu & sekarang; iaitu kezaliman mereka yang paling dahsyat ialah mereka tidak berikan apa yang telah Allah SWT tetapkan! 
    Mereka makan harta yatim dengan zalim dan tanpa hak!

    Maka Allah telah membatalkan semua amalan jahiliyyah yang zalim terhadap perempuan, anak yatim, juga anak lelaki yang lemah & dhaif! Sama ada anak yatim lelaki juga atau OKU yang lemah.

    Hak wanita dijaga jangan dizalimi begitu juga kanak-kanak lelaki yang lemah Allah sebut juga. Allah tidak lupa kepada semuanya tetapi kerana ayat ini adalah membicarakan tentang wanita maka difokuskan kepadanya dulu!
  1. Ayat 127- {Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”}-

    Allah beri peringatan & amaran bahawa maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui segala perbuatan kamu!
    Yakni apabila kita tahu Allah tahu; maka buatlah yang terbaik! Jangan zalim, khianat terhadap orang yang di bawah tanggungjawab kita, buat baiklah terhadap orang yang miskin, dhaif & lemah.
    Apabila kita kaya, ada rezeki banyak & kita adalah penjaga anak yatim, maka janganlah kamu ambil guna lagi harta anak yatim itu. Simpan & jagalah hartanya untuk kegunaan masa depannya- panjang lagi masanya! 

    Allah bagi galakan bahawa apa-apa kebaikan yang kamu buat kepada wanita, anak yatim & kepada orang-orang yang lemah, kamu jangan bimbang Allah akan membalasnya.
    Jika ini dalam kepala otak kita; apahal, kasih sayang & rahmat Allah maka kita akan sentiasa buat kebaikan dalam hidup ini.
    Infaq & buat baik, tolong orang susah & miskin, jaga anak yatim, dan adil sesama manusia.

    Hadis : Nabi SAW yang bersabda:
    مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ
    Maksudnya: “Siapa yang membebaskan seseorang muslim dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya….” (HR Muslim)

    Maka kita ambil & berpeganglah kepada ayat ini dengan kita buat kebaikan sebanyak mungkin selagi hayat dikandung badan, selagi harta masih di tangan, buatlah kebaikan kerana itulah yang akan menjadi hak kita!

    Kuliah DDAAM semalam yang sesuai dengan tajuk kita hari ini juga:
    10 Kebaikan Yang Pahalanya Terus Mengalir Selepas Kematian : https://youtu.be/lwdZ8DxA2Ns?si=90kOwihcmlADhR3z

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs