SURAH AL-\’ANKABUT : AYAT 45-47

\"\"

PERANAN SOLAT MENCEGAH MUNKAR, CARA BERHUJJAH DENGAN AHLI KITAB & PUJIAN BUAT AHLI KITAB YANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/2xbHKct5t8M

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah membuat (mathal- مثل) contoh perbandingan bahawa rosaknya kepercayaan orang musyrikin berbanding dengan keimanan dan iktikad kepercayaan orang mukmin.
  2. Bagaimana Allah s.w.t bandingkan dengan perkara yang nampak kecil tetapi amat besar iaitu pegangan dan kepercayaa mereka itu seumpama sarang/rumah labah-labah yang rapuh dan tidak dapat memberi perlindungan dan faedah kepada penghuninya dari hujan dan panas.
    Kata ulama\’ sarang labah-labah ini adalah: Sekuat-kuat tali tetapi serapuh-rapuh rumah. (أقوى الخيوط لكن أوهن البيوت )
  3. Para ulama\’ juga telah membuat kajian tentang labah-labah dan sarangnya ini kenapa Allah s.w.t mengambilnya sebagai bandingan, telah kita bincangkan dalam siri yang lepas.
  4. Jadi untuk menambahkan keimanan dan integriti kita Allah s.w.t telah mengajar dan menunjuk caranya.
  5. Dalam siri ini Allah s.w.t mengarahkan kepada Rasulullah s.a.w agar membaca al-Quran dan mendirikan solat. Kita lihat dalam ayat-ayatnya.

AYAT 45- {BACALAH SERTA IKUTLAH (WAHAI MUHAMMAD) AKAN APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAMU DARI AL-QURAN, AYAT 45- {SESUNGGUHNYA SOLAT ITU MENCEGAH DARI PERBUATAN YANG KEJI DAN MUNGKAR; DAN SESUNGGUHNYA MENGINGATI ALLAH ADALAH LEBIH BESAR (FAEDAHNYA DAN KESANNYA); DAN (INGATLAH) ALLAH MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-\’ANKABUUT 29:45)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w:
    i- untuk membaca dan ikuti apa yang diwahyukan kepadanya iaitu al-Quran dan
    ii- mendirikan solat serta diterangkan matlamat dan objektifnya.
    iii- mengingati Allah s.w.t adalah lebih besar faedah dan kesannya.
  2. Maka untuk meningkatkan integriti kita dan ketahanan daya iman kita Allah s.w.t telah memerintah dan mengajar kita untuk membaca al-Quran dan mendirikan solat.
  3. Ulama\’ kata membaca al-Quran tidak akan lengkap tanpa 3 tahap ini:
    i- baca dengan mulut.
    ii- fahami dengan hati, tadabbur
    iii- beramal dengan isi kandungannya.
  4. Hakikat baca al-Quran itu bukan saja baca dengan mulut tetapi ikut dengan hati dan anggota juga segala apa yang dibaca itu.
  5. Kenapa baca al-Quran itu disebut tilawah – تلاوة ?
    i- kerana kita baca al-Quran itu ikut susunan, huruf demi huruf, kalimah demi kalimah, kemudian ayat demi ayat. Yakni ianya ikut (Yatlu -يتلو) antara satu sama lain mengikut tertibnya.
    ii- ikut pula (yatlu) semua apa yang dibaca dengan amal dan perbuatan itu selepas tadabbur dan faham isi kandungannya.
    inilah hakikat tilawah al-Quran yang sebenarnya!
  6. Kemudian Rasulullah s.a.w dan kita semua diperintahkan pula untuk mendirikan solat yang sempurna.
  7. Iaitu mendirikan solat dengan tekun dan ikhlas, dengan zahir dan batinnya. Bukan setakat rukun fizikalnya sahaja, kena ikhlas dan khusyuk, jika tidak, tidak akan memberi kesan sebagaimana yang dikehendaki ini;
  8. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) yakni bukan setakat fizikal!
  9. Semua perbuatan keji الْفَحْشَاءِ- itu adalah mungkar الْمُنْكَرِ, tetapi kenapa Allah s.w.t sebut keduanya bersama? Ini kerana ada sedikit perbezaan dan penjelasan masing-masing:
    i- benda keji الْفَحْشَاءِ – fahsya\’ ini setiap orang yang akalnya sempuran akan tahu dan nampak buruk benda ini seperti zina, liwat, rogol, rasuah dan lain-lain.
    ii- manakala benda mungkar الْمُنْكَرِ pula – orang yang akal dan fitrahnya sempurna tahu benda ini buruk dan keji tetapi kadang mereka tidak tahu ia benda keji kerana sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Contoh riba, tidak menutup aurat, percampuran antara lelaki dan perempuan dan seumpamanya. Jika tidak diberitahu dan diingatkan mereka akan biarkannya.
  10. Apa maksudnya: Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar?
    i- kata ulama\’ apabila seseorang itu mula solat, akan menghalangnya dari berbuat benda keji dan mungkar itu. Yakni dalam solat tidak boleh buat.
    ii- siapa yang solat yang khusyuk zahir dan batin, ikut batasan dan syaratnya, sentiasa jaga solat, ia akan mendidik jiwanya daripada berbuat benda mungkar.
    iii- betapa ramai orang yang solat tetapi tidak memberi kesan kepada jiwanya? Kerana solat itu hanya seperti satu acara sahaja baginya.
    iv- bila kita solat kita akan terhalang dari melakukan segalanya.
  11. Sejarah diturunkan solat dulu, pada awalnya Rasulullah s.a.w diberikan 50 waktu solat tetapi akhirnya berkurang sehingga 5 waktu sahaja, tetapi yang 5 ini insya\’ Allah menyamai yang 50 itu. Jika 50 waktu dalam sehari semalam bermakna setiap 28 minit kita akan kena solat. Maka, insya\’ Allah semoga kita sentiasa terjaga dan seolah sentiasa berada dalam solat setiap 28 minit dan tidak sempat untuk berbuat benda keji dan mungkar ini.
  12. Hadis;
    جاءَ رجلٌ إلى النَّبيِّ – صلَّى اللَّه عليهِ وعلَى آلِهِ وسلَّمَ – فقالَ : إنَّ فلانًا يصلِّي باللَّيلِ ، فإذا أصبحَ سرقَ قالَ : إنَّهُ سيَنهاهُ ما يقولُ .
    Seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah s.a.w lalu menceritakan tentang seseorang itu solat pada malam harinya tetapi mencuri pada siangnya. Rasulullah lalu bersabda: \”Dia akan dicegah oleh amalannya itu (daripada melakukan kemungkaran) jika dia benar-benar melakukannya (roh & fizikal).\” [HR: Ahmad – Sanad Sahih]
  13. Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedahnya dan kesannya jika kita lakukan dengan sempurna dan khusyuk, hadir anggota dan hati secara zahir dan batin.
  14. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan firman-Nya: {Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.} cukuplah ianya sebagai peringatan yang menyeluruh untuk kita semua.

AYAT 46- {DAN JANGANLAH KAMU BERBAHAS DENGAN AHLI KITAB MELAINKAN DENGAN CARA YANG LEBIH BAIK, KECUALI ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM DI ANTARA MEREKA; DAN KATAKANLAH (KEPADA MEREKA): \”KAMI BERIMAN KEPADA (AL-QURAN) YANG DITURUNKAN KEPADA KAMI DAN KEPADA (TAURAT DAN INJIL) YANG DITURUNKAN KEPADA KAMU; DAN TUHAN KAMI, JUGA TUHAN KAMU, ADALAH SATU; DAN KEPADANYALAH, KAMI PATUH DENGAN BERSERAH DIRI.\”} (AL-\’ANKABUUT 29:46)

  1. Jika kita peluang untuk berdebat dan berhujjah dengan ahli Kitab atau mana-mana orang kafir, maka berlawanlah dengan cara baik, hujjah yang mantap dan logik. Kena fokus jangan hina peribadi atau fizikalnya, fokuskan untuk berdakwah memberi petunjuk dan kebenaran.
  2. Tetapi jika dia orang kafir yang agresif dan tidak beradab, kita kena tegas dan patahkan hujjah mereka, jangan terus berlembut sehingga dipijak atau dihina agama. Jika nampak dia nak spin atau tukar tajuk, zalim dan menghina, tidak perlu layan lagi kerana tiada faedahnya.
  3. Allah s.w.t juga ajar lagi caranya semasa berbahas: \”Katakan kepada mereka: \”Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Isa;\”.
  4. Yakni Kita beriman dengan semua kitab Yang Allah s.w.t turunkan, yang asal tetapi bukan yang ada di tangan mereka sekarang ini. Yakni kita ragui tentang ketulenan kitab yang ada di tangan mereka, yang telah diubah dan ditukar ganti oleh para pendeta yang menurut hawa nafsu.
  5. Ini sebagaimana yang telah didedahkan oleh Allah s.w.t dalam ayat-ayat ini:
    i- Ayat-ayat 42, 79, 140 dari surah al-Baqarah.
    ii- ayat 46 dari surah an-Nisa\’,
    ii- ayat 15 & 41 dari surah al-Ma\’idah.
  6. Juga katakan kepada mereka: \”Dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.\”
    AYAT 47- {DAN (SEBAGAIMANA KAMI TELAH MENURUNKAN KITAB-KITAB AGAMA KEPADA RASUL-RASUL YANG TELAH LALU) DEMIKIANLAH KAMI TURUNKAN PULA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) KITAB AL-QURAN INI. MAKA ORANG-ORANG YANG KAMI BERIKAN KITAB (TAURAT DAN INJIL) ADA YANG BERIMAN KEPADA AL-QURAN, DAN JUGA SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG (MAKKAH) BERIMAN KEPADANYA; DAN TIADALAH YANG MENGINGKARI AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI MELAINKAN ORANG-ORANG YANG BERDEGIL DALAM KEKUFURANNYA.} (AL-\’ANKABUUT 29:47)
  7. Allah s.w.t. menurunkan kitab kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana Dia menurunkan kitab-kitab kepada rasul-rasul sebelumnya.
  8. Al-Quran membenarkan kitab-kitab sebelumnya dan dikhabarkan oleh para nabi sebelumnya.
  9. Terdapat ahli Kitab yang benar, iaitu orang-orang yang beriman dengan Taurat dan Injil yang sebenarnya dan mereka juga beriman kepada Al Qur\’an. Mereka terdiri dari para cendekiawan dan ulama Ahli Kitab, seperti Abdullah ibnu Salam, Salman Al Farisi dan lain-lainnya yang sepertinya.
  10. Tetapi ada juga yang tetap ingkar dan terus kufur sebagaimana sebahagian dari kaum musyrikin Makkah. Sesungguhnya mereka yang terus ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah s.w.t adalah yang tetap berdegil walaupun telah lihat dan nampak kebenaran sebenarnya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 45- {Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar;} – solat yang khusyuk zahir dan batin akan dapat mencapai matlamat ini.
  2. Ayat 45- {Dan dirikanlah solat (dengan tekun); walaupun ditujukan kepada Nabi tetapi perintah ini sebenarnya untuk kita semua umatnya.
  3. Ayat 45- {Sesungguhnya solat itu mencegah.. إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ } – ia mencegah dari kemungkaran- mencegah itu lebih kuat daripada terus melarang dan menyekat, dapat memberi impak yang lebih besar.
  4. Ayat 45- {Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya);} – inilah yang sebenarnya, asas yang dapat memberi kesan yang dikehendaki, mencegah segala keburukan dan mungkar, dengan sentiasa mengingati Allah s.w.t. Maka kita tidak berani melanggar perintah-Nya.
  5. Ayat 46- { kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka;} – Allah s.w.t beri panduan jika mereka jelas nampak tidak mahu kebenaran maka tidak perlu berhujjah dengan baik lagi dengan mereka. Orang yang keras kepala dan tutup terus mindanya kita tinggalkan, kerana hanya perbalahan yang akan dapat! Hanya dengan mereka yang mahu dengar dan mencari kebenaran boleh kita teruskan hujjah dengan baik dan berhikmah. Begitu juga orang yang suka membuat tuduhan tanpa menyiasat dan mendengar sendiri apa yang didakwa dan dikatakan orang!
  6. Ayat 46- {Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik} – kena ada ilmu, kefahaman yang tinggi dan hujjah yang mantap serta kerana Allah s.w.t bukan semata-mata mahu berdebat & tunjuk pandai!
  7. Ayat 46- { dan katakanlah (kepada mereka): \”Kami beriman…} – kita kena nyatakan pegangan dan keimanan kita. Bahawa kita berhujjah dengan keimanan dan keyakinan kita yang mantap dan jitu.
  8. Ayat 46- {.. dengan cara yang lebih baik}- ulama\’ kata maksudnya kena ada hujjah & dengan pandai cara untuk berdebat. Yakni kena berhujjah dan pandai serta hebat cara menyampaikannya. Jika tiada hujjah dan tidak pandai berdebat jangan pergi, takut akan menjatuhkan agama Islam pula. Untuk mewakili Islam atas nama hujjah dan fakta serta hikmah, kena ada kepakaran modal & bakat.
  9. Ayat 45- {dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.} – menunjukkan kita hendaklah terus sentiasa melakukan solat dan tingkatkan nilai amalan kita selalu. Kena usaha tambah dan tingkatkan amal ibadat, samada cara solat dan semuanya.
  10. Ayat 47- {Dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang berdegil dalam kekufurannya.} – jika masih berdegil walaupun segala jalan sudah ditunjuk, al-Quran sudah diberi, Sunnah Nabi s.a.w sudah ditunjukkan; maka itu adalah orang yang kafir! Na\’uzibullah. Kita minta perlindungan dari kemurkaan Allah s.w.t.

Powered by BetterDocs