View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 95-97

IKUTI AGAMA NABI IBRAHIM AS, KEAGUNGAN MAKKAH & KEFARDHUAN HAJI BAGI YANG MAMPU.

Full video : https://youtu.be/9476o2GOSJQ?si=fzfBNWInjDQNNZe1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 95 sehingga 97, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Dalam siri ini Allah SWT perintahkan kepada orang Arab & yahudi yang mendakwa mereka adalah anak cucu nabi Ibrahim dari keturunan Israil ataupun Nabi Yaakub supaya ikuti agama Nabi Ibrahim AS, agama yang hanif (دين الحنيفية) iaitu agama tauhid yang menyembah Allah SWT semata-mata.
  1. Allah juga nyatakan bahawa rumah ibadat yang pertama dibina adalah Ka’bah yang berada di Makkah. 
    Allah sebut juga beberapa keajaiban Makkah yang salah satunya ialah Maqam Ibrahim.
  1. Kemudian Allah sebut tentang kefardhuan Haji bagi yang mampu dari sudut mental, fizikal, harta, keselamatan, undang-undang dan lain-lain.
  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT khabarkan bahawa Tuhan tidak haramkan apa-apapun pada asalnya ke atas bani Israil kecuali apa yang diharamkan oleh nabi Yaakub ke atas dirinya sendiri dan sehingga turunnya Taurat.
    Dalam kitab Taurat bertepatan dengan apa yang Nabi SAW baca dalam Al-Quran. Mereka yahudi mendustakannya.

    ii- Maka dalam ayat ini pula Allah perintahkan untuk Rasulullah SAW mengisytiharkan bahawa Allah SWT itu benar, apa yang turunkan dalam Al-Quran itu semuanya benar! {قُلْ صَدَقَ ٱللَّهُ}. Apa yang tak betul & apa yang tak tau adalah dalam kepala kamu! 
    Apa yang Allah nyatakan dalam Al-Quran adalah sama dengan ajaran nabi Ibrahim AS. 
    Maka Allah cabar lagi jika mereka sandarkan diri mereka kepada Nabi Ibrahim AS, maka ikutlah dia yang agamanya tauhid kepada Allah, bukan syirik seperti kamu!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 95- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “BENARLAH (APA YANG DIFIRMANKAN OLEH) ALLAH, MAKA IKUTILAH KAMU AKAN AGAMA NABI IBRAHIM YANG IKHLAS (BERDASARKAN TAUHID), DAN BUKANLAH IA DARI ORANG-ORANG MUSYRIK.} (ALI-‘IMRAN 3:95)

  1. Katakanlah wahai Muhammad SAW, benarlah semua apa yang Allah SWT firmankan dalam Al-Quran.
  1. Yakni Allah perintahkan supaya Rasulullah SAW membuat perisytiharan kepada yahudi yang ada pada zaman Baginda itu bahawa apa yang Allah bawakan dalam Al-Quran adalah benar dan elok semuanya sama ada dari segi : Ceritanya & hukum-hakam perundangannya. Sesiapa yang lawan itulah mereka yang keras kepala & degil.  
  1. Kemudian Allah perintahkan untuk Rasulullah SAW katakan lagi kepada mereka jika benar kamu dakwa bahawa kamu adalah pengikut Nabi Ibrahim AS, maka ikutlah ajarannya yang berpaksikan tauhid kepada Allah bukan syirik seperti kamu kaum yahudi!
  1. Firman Allah SWT juga tentang hal ini:
    i- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik”.} (Al-An’aam 6:161)

    ii- {Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.} (Al-Nahl 16:123)

AYAT 96- {SESUNGGUHNYA RUMAH IBADAT YANG MULA-MULA DIBINA UNTUK MANUSIA (BERIBADAT KEPADA TUHANNYA) IALAH BAITULLAH YANG DI MAKKAH YANG BERKAT DAN (DIJADIKAN) PETUNJUK HIDAYAH BAGI UMAT MANUSIA.} (ALI-‘IMRAN 3:96)

  1. Allah nyatakan bahawa rumah ibadat pertama yang di bina oleh manusia di atas muka bumi ini ialah Baitullah (Ka’bah) yang berada di Bakkah (Makkah) yang berkat {بِبَكَّةَ مُبَارَكًۭا}.
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat 95, Allah arahkan kita ikut agama yang dibawa oleh nabi Ibrahim AS berdasarkan wahyu daripada Allah. 
    Ajarannya ialah agar tauhid kepada Allah & meninggalkan syirik terhadap Allah.

    ii- Kemudian Allah memerintahkan untuk ikut perbuatan Ibrahim yang menghormati & mengagungkan Ka’bah dengan cara tawaf dan mengerjakan haji ke Baitullah al-Haram.
  1. Haji ini adalah salah satu ciri keisteimewaan ajaran Nabi Ibrahim AS.
    Yahudi menginginkan agar Baitul-Maqdis yang lebih istimewa tetapi Rasulullah SAW mahukan Ka’bah kerana ia berada di Makkah.
    Maka Allah SWT jawab dalam ayat ini bahawa Ka’bah dulu yang dibina sebelum daripada Baitul-Maqdis.
  1. Maksudnya Ka’bah ialah rumah yang pertama dibina untuk beribadat kepadanya; dengan menghadap solat kepadanya, tawaf disekelilingnya, beriktikaf di situ iaitu rumah yang berada di Bakkah.
    Boleh baca buku Makkah : Kelebihan & Sejarah untuk melihat nama-nama lain bagi Makkah yang disebut dalam Al-Quran.
    Link: https://dartaibah.com/…/Makkah-al-Mukarramah-Kelebihan…
  1. Bakkah ialah salah satu nama Makkah. 
    i- Dinamakan Makkah yang bererti membinasakan atau mengurangkan. 
    Iaitu kerana Makkah mengurangkan dosa & kesalahan mereka yang datang beribadat kepadanya. 
    Juga bermakna menghapuskan pemerintah yang zalim & menundukkan kesombongan mereka seperti yang berlaku kepada Abrahah. 

    ii- Bakkah pula bermakna; sibuk atau memecah, mencarik dan menundukkan. 
    Kerana orang sombong yang datang ke Makkah Allah akan tundukkannya. 
    Juga kerana ramainya orang datang menyebabkan dia menjadi sesak & sempit, bersesak-sesak.
    Untuk nama-nama lain boleh baca buku.
  1. Allah juga kata bahawa bumi Makkah itu diberkati dengan banyaknya manfaat dunia & Akhirat.
  1. Antara manfaat Akhiratnya:
    i- Pahala yang berganda- sekali solat di dalam Tanah Haram Makkah pahalanya adalah 100, 000 kali ganda daripada solat di tempat lain. Hatta di Madinah yang pahalanya adalah 1000 kali ganda.

    ii- Ia menjadi pedoman petunjuk kepada manusia sebagai tempat menghadap solat! 

    iii- Ia menjadi tempat tumpuan manusia & rasa cinta rindu kepadanya dalam hati mereka. 
    Manfaat dunia pula- antaranya rezeki yang mudah & banyak di Makkah.
  1. Hadis tentang pembinaan Ka’bah & Masjidil Haram:
    i- Hadis riwayat Abu Zar RA – nama asalnya Jundub bin Junadah RA: Abu Zar RA berkata; “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang masjid yang pertama kali dibangun, lalu Baginda SAW menjawab: “Masjidil Haram.” Aku bertanya lagi: “Kemudian masjid mana lagi?” Baginda menjawab: “Masjidil Aqsa.” Aku bertanya lagi: “Berapa lama jarak antara keduanya?” Rasulullah menjawab: “Empat puluh tahun. Bumi bagimu adalah masjid, maka di mana sahaja kamu dikehendaki mengerjakan solat maka solatlah.” [HR Bukhari].

    Maksud “jarak masa 40 tahun” ialah jarak di antara pembinaan tapak asas kedua-duanya. Ini menunjukkan bahawa orang yang mula-mula meletakkan asas pembinaan Kaabah bukan Nabi Ibrahim AS. dan orang yang mula-mula meletakkan asas pembinaan Baitul Maqdis bukan Nabi Sulaiman AS.
    Ini kerana jarak masa antara kedua-duanya adalah lebih daripada seribu tahun. Mereka berdua ialah orang yang memperbaharui binaan kedua-duanya, wallahu a’lam.

    ii- Hadis riwayat Ali bin Abi Talib RA : Sebelum Ka’bah telah ada rumah-rumah lain. Tetapi rumah yang pertama sekali dibina untuk beribadat adalah Ka’bah. [HR Ibnu Abi Hatim]. 
    Untuk maklumat lanjut sila baca buku Makkah : Kelebihan & Sejarah.

AYAT 97- {DI SITU ADA TANDA-TANDA KETERANGAN YANG NYATA (YANG MENUNJUKKAN KEMULIAANNYA; DI ANTARANYA IALAH) MAKAM NABI IBRAHIM. DAN SESIAPA YANG MASUK KE DALAMNYA AMAN TENTERAMLAH DIA. DAN ALLAH MEWAJIBKAN MANUSIA MENGERJAKAN IBADAT HAJI DENGAN MENGUNJUNGI BAITULLAH IAITU SESIAPA YANG MAMPU SAMPAI KEPADANYA. DAN SESIAPA YANG KUFUR (INGKARKAN KEWAJIPAN IBADAT HAJI ITU), MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KAYA (TIDAK BERHAJATKAN SESUATU PUN) DARI SEKALIAN MAKHLUK.} (ALI’IMRAN 3:97)

  1. Antara tanda-tanda yang menunjukkan keEsaan Allah SWT & kemuliaan Ka’bah ialah terdapat sebuah batu yang dinamakan Maqam Ibrahim. Iaitu batu tempat Nabi Ibrahim berpijak lalu berbekas kesan tapak kakinya.
  1. Batu ini digunakan oleh nabi Ibrahim AS untuk berpijak ketika membina Ka’bah dulu. Batu itu Allah lembutkannya untuk tempat berpijak kakinya yang tidak beralas.
  1. Untuk penjelasan lanjut boleh baca buku Makkah: Kelebihan & Sejarah atau dengar kuliah khas tentang Makkah atau Ka’bah.
  1. Antara tanda-tanda keagungan & kekuasaan Allah SWT serta kehebatan bumi Makkah juga:
    i- Telaga Zamzam : Yang sentiasa ditimba 24 jam sehari sepanjang masa, diminum jutaan orang, dibawa balik ke seluruh dunia; tidak pernah kering atau susut. 
    Kecuali beberapa waktu ia kering atau tesembunyi akibat kejahatan/perbuatan manusia.

    ii- Batu hitam : Hajaral Aswad : Yang sunat untuk kita pergi gogok atau kucupnya jika mampu dan keadaan sesuai. Ini kerana mengikut perbuatan Rasulullah SAW dan menjadi satu ibadat.
    Manakala Maqam Ibrahim tidak sunat untuk digosok atau sentuh! Hanya untuk dilihat bagi menjadi pengajaran & ibrah.

    iii- Serta banyak lagilah tempat-tempat istimewa seperti manasik haji; Arafah, Mina Muzdalifah dan lain-lain.
  1. Antara tanda jelas yang menunjukkan keagungan Allah SWT & kemuliaan Tanah Haram juga ialah keamanannya! 
    Sesiapa yang masuk dalam Masjidil Haram atau Tanah Haram seluruhnya akan selamat- hatta orang kafir Quraisy semasa zaman jahiliyyah juga tidak akan membunuh musuh mereka di dalam Tanah Haram. 
    Mereka akan halau keluar dulu baru bunuhnya.
    Seperti kisah seorang sahabat Nabi, Khubaib bin Adi RA yang ditawan kafir Quraisy.
  1. Dalilnya firman Allah SWT juga:
    i- {Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?} (Al-‘Ankabut 29:67) 

    ii- {Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.} (Quraisy 106: 3-4)
  1. Hadis riwayat Ibnu Abbas RA – Rasulullah SAW telah bersabda: 
    “Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi ada jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah menyahutnya!”  Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah telah menahan gajah dari Ka’bah, dan Allah menguasakan Ka’bah kepada rasul-Nya serta orang-orang mukmin. Sesungguhnya hal itu dihalalkan bagiku sesaat pada waktu siang, kemudian haram hingga hari Kiamat. Tidak boleh pohonnya ditebang, tidak boleh haiwan buruannya diusir, dan tidak halal barang temuannya kecuali bagi orang yang hendak mengumumkan.”  Kemudian Abbas berkata; wahai Rasulullah, kecuali izkhir, kerana tanaman tersebut untuk kuburan dan rumah kami. Kemudian Rasulullah SAW berkata: “Kecuali izkhir.” (HR Bukhari dan Muslim)
    Izkir- nama sejenis rumput.
  1. Allah SWT juga mewajibkan haji bagi sesiapa yang ada kemampuan dari segi fizikal (kesihatan tubuh badan), kewangan.
    Dan dari segi perundangan zaman kita sekarang seperti kuota haji (kerana bilangan tempat tak cukup) dan seumpamanya.
  1. Maka sesiapa yang sudah cukup syarat jangan main-main & tangguh lagi. 
    Segeralah daftar untuk naik haji dengan Tabung Haji yang berdekatan. 
    Jika mati barulah ada hujjah kita sudah ada niat & usaha untuk naik haji cuma belum terpilih lagi.
  1. Allah mengingatkan di akhir ayat bahawa sesiapa yang ingkar akan kewajipan haji ini, dia yang berdosa jika tidak mahu pergi & menjadi kafir jika ingkar terus. 
    Sedangkan Allah tidak berhajat kepada amalan atau perbuatan mana-mana makhluk-Nya. 
    Sesiapa yang sudah mampu tetapi masih tidak mahu mengerjakan haji maka dia telah ingkar perintah Allah.
    Banyak hadis-hadis tentang haji ini.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 95- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah,}-

    Apabila disebut terus jawab- benarlah janji Allah & benar Rasul-Nya SAW. {صَدَقَ ٱللَّهُ}.
    Maka kita pun jika ada orang ingkar akan Al-Quran & perintah Allah kita pun kata juga {صَدَقَ ٱللَّهُ}.
    Dalam ayat ini juga Allah perintahkan {فَٱتَّبِعُوا۟}- untuk ikut agama & ajaran yang dibawa oleh nabi Ibrahim- yakni wajib bagi manusia untuk menerima kebenaran walaupun ia dibawa oleh siapapun.
  1. Ayat 96- {Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat}-

    Rumah pertama yang dibina untuk ibadat ialah Ka’bah yang berada di Makkah.
    Kenapa kita kena membesarkan Baitullah al-Haram ini:
    i- Pertama kerana Allah sebut Makkah itu berkat. Yakni Allah berkatinya maka ia membawa banyak kebaikan- sama ada dari sudut dunia pun senang untuk hidup di Makkah.
    Berkat juga dengan maksud pahala yang berganda & ibadat yang baik.

    ii- Ia menjadi mercu tanda bagi kesatuan seluruh kaum muslimin. Semua orang menghadapnya pada waktu solat & tawaf.

    iii- Ia mempunyai banyak keajaiban & keistimewaan yang jelas, yang boleh dilihat dengan mata seperti: Ka’bah itu sendiri, Hajaral Aswad, Maqam Ibrahim dan telaga Zamzam.

    iv- Sesiapa yang masuk ke dalam Makkah akan aman. Walaupun ada kes terpencil berlaku beberapa insiden.

    v- Allah jadikan di Makkah muktamar sanawi- perhimpunan tahunan bagi sluruh umat manusia iaitu HAJI.
  1. Ayat 97- {Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya;}-

    Allah nyatakan tanda-tanda kekuasaan-Nya yang jelas melalui dua dimensi iaitu:
    i- Secara hissi : Fizikal yang boleh dilihat oleh mata kasar seperti: Ka’bah, telaga Zamzam dan lain-lain.

    ii- Secara maknawi : Allah jadikan semua orang sayang akan Ka’bah & Makkah walaupun mungkin mereka tidak suka akan pengurusannya.
    Allah sebut dalam Al-Quran ini beberapa tanda keagungan Makkah seperti yang telah disebut di atas tadi seperti Maqam Ibrahim dan lain-lain.
  1. Ayat 97- {Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.}-

    Ayat ini satu galakan supaya kita mengerjakan haji, jangan tidak pergi, sesiapa yang tidak pergi maka ia akan rugi!
    Dalam ayat ini ada tiga perkara yang tertib susunannya sangat menarik:
    i- Allah yang mewajibkan! {وَلِلَّهِ }

    ii- Ke atas manusia { عَلَى ٱلنَّاس} bukan selainnya.

    iii- Untuk mengerjakan haji {حِجُّ ٱلْبَيْتِ }.
    Maka kita wajib mengerjakan haji kerana Allah yang perintahkannya- bukan bapa kita, bukan pemerintah atau manusia lain!
    Allah juga gunakan kalimah (nakirah- umum- إِلَيْهِ سَبِيلًۭا ۚ) sebagai isyarat mengerjakan haji untuk menunjukan ia adalah mudah & senang untuk mengerjakan haji asalnya.
    Zaman kita ini payahnya jika tidak ada duit & tidak ada kuota!
  1. Ayat 97- {Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.}-

    Allah kata siapa yang ingkar, tidak mahu pergi maka Allah tidak perlukan kepada ibadatnya! 
    Allah itu Maha Kaya & berkuasa ke ats setiap makhluk-Nya.
    Kita semua ini berhajat kepada Allah, maka jangan sombong & agah- Allah SWT amat berkuasa- jika kamu tak mahu pergi ramai lagi orang lain nak pergi.
    Begitu juga pemerintahan Tanah Haram, jika ada yang zalim dan menyeleweng Allah akan tukarnya, jangan bimbang!
    Alhamdulillah setakat ini kita lihat keamanan & kemudahan yang disediakan di dua Tanah Haram amat banyak dan selesa walaupun pasti ada juga kekurangan dan kelemahannya sebagai makhluk.
    Kita ucapkan terimakasih kepada penjaga dua Tanah Haram ini- Khadimul-Haramain.
    Tak perlu kita mengata kepada orang kerana di mana-mana saja pasti ada kekurangan & kelemahannya!
    Jangan lupa untuk baca dua buku Makkah & Madinah.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs