Surah Al-Baqarah : Ayat 224-227

JANGAN BERMAIN DENGAN SUMPAH, JENIS SUMPAH & HUKUM ILA’, SUAMI BERSUMPAH TAK MAHU SENTUH ISTERINYA.

Full video : https://youtu.be/BFv-szY74IQ?si=VfL3w8uaZ0cLoYQb

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 224 sehingga ayat 227 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini membincangkan tentang sumpah & Allah SWT memberi amaran agar jangan bermain dengan sumpah.
  3. Terdapat tiga jenis sumpah iaitu:
    i- Betul-betul bersumpah- dengan nama Allah. Wajib menjaga & bertanggung-jawab atasnya (اليمين المنعقدة).

    ii- Bersumpah tetapi bukan niat bersumpah (يمين اللغو).

    iii- Sumpah yang menjerumuskan ke dalam neraka iaitu sumpah palsu (اليمين الغموس).
  4. Tambah satu lagi jenis sumpah iaitu sumpah ila’ ((ایلاء)), di mana seorang suami bersumpah tak mahu sentuh isterinya.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat siri yang lepas Allah SWT perintahkan kita untuk bertaqwa kepada Allah. Jangan buat dosa maksiat, bergaul dengan perempuan dengan baik & sepatutnya.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT beri peringatan melarang dari bersumpah palsu & sumpah yang boleh menghalang kebaikan.
    Antara kebaikan yang kita kena buat ialah tunaikan hak & tanggung-jawab kepada para wanita yang kamu diberi amanah untuk menjaga mereka.
    Tiba-tiba kamu buat macam-macam karenah menganiayai wanita; Allah-lah yang membantu para wanita yang dizalimi suami sendiri ini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 224- {(DAN JANGANLAH KAMU JADIKAN NAMA) ALLAH DALAM SUMPAH KAMU SEBAGAI BENTENG YANG MENGHALANGI KAMU DARIPADA BERBUAT BAIK DAN BERTAQWA, SERTA MENDAMAIKAN PERBALAHAN ANTARA SESAMA MANUSIA. DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MENDENGAR, LAGI SENTIASA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:224)

  1. Allah SWT melarang daripada bersumpah atas nama Allah dengan sesuatu yang akan menghalang kamu dari berbuat kebaikan.
  2. Antara contoh menggunakan sumpah untuk menghalang berbuat baik:
    i- Bersumpah tak mahu berbuat perkara takwa seperti pergi masjid atau dengar kuliah agama.

    ii- Bersumpah tak mahu berbuat baik kepada ibubapa, pergi ziarah ibu bapa atau kaum kerabat yang lain.

    iii- Bersumpah tak mahu lagi menolong orang miskin dan lain-lain sumpah yang karut seumpamanya!
  3. Firman Allah SWT ini juga ditafsirkan dengan ayat ini:
    {Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.} (An-Nuur 24:22)
  4. Ayat ini berkaitan dengan hadis al-Ifki:
    i- Peristiwa Al-Ifki ini berlaku pada tahun ke-6H, setelah tamatnya perang Bani Mustoliq.
    Kebiasaan Rasulullah SAW bawa salah seorang isterinya dan ia adalah giliran UM Aisyah RA.
    Berlaku satu insiden di mana Um Aisyah tertinggal seorang diri dalam perjalanan pulang kerana orang ramai menyangka dia sudah berada di dalam sekedup untanya.
    Beliau kemudian dijumpai oleh seorang sahabat yang bernama Safwan Bin Mu’attol RA. yang memang tugasanya menggutip barang yang tercicir.
    Ianya merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh UM Sayyidah Aisyah RAnha melakukan perbuatan buruk dengan Safwan.


    ii- Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu.
    Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut.
    Di antara sahabat yang mempercayai berita ini dan terlibat dalam penyebaran ialah Mistoh Bin Uthathah, Hamnah Binti Jahsyi dan Hassan Bin Thabit dan lain-lain.
    Mistoh adalah salah seorang kaum keluarga terdekat Saidina Abu Bakar RA yang sering diberi bantuan kewangan olehnya.


    iii- Apabila berlaku peristiwa ini, Saidina Abu Bakar membuat keputusan & bersumpah untuk tidak mahu lagi membantu dan bersedekah kepada Mistoh kerana dia terlibat dalam menyebarkan fitnah terhadap puterinya UM Aisyah.

    iv- Kemudian Allah SWT menurunkan ayat ini (An-Nuur 24:22) yang ditujukan kepada Abu Bakar al-Siddiq ketika dia bersumpah untuk tidak memberi nafkah dan bantuan lagi buat selama-lamanya kepada Mistoh bin Uthathah.

    v- Apabila mendengar ayat ini, Saidina Abu Bakar RA. terus memaafkan Mistoh.
    Menarik balik sumpahnya dan berjanji untuk meneruskan bantuan kewangan tersebut.
    Ini kerana Mistoh telah bertaubat & dikenakan hukuman qazaf oleh Rasulullah SAW.
    [HR Imam al-Bukhari].
    Yakni Saidina Abu Bakar telah menarik balik sumpahnya yang tidak kena di sisi Islam itu.
  5. Ia juga menunjukkan bahawa sikap yang disuruh oleh Allah SWT adalah العفو dan الصفح iaitu memberi kemaafan dan melupakannya kerana Allah SWT telah mengampun orang-orang yang bertaubat.
  6. Untuk membaca kisah penuh tentang hadis ini boleh baca di: https://abuanasmadani.com/hadith-al-ifki-tuduhan-palsu…/
  7. Hadis: Kisah seorang sahabat bersumpah tidak mahu makan kerana anak telah dia tidur apabila dia bawa balik makanan untuk mereka. Kemudian dia berasa lapar lalu makan juga makanan itu. Keesokan hari dia pergi berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang hukum dia melanggar sumpah itu! Rasulullah SAW lalu bersabda: “Sesiapa yang membuat sesuatu sumpah, kemudian dia melihat sesuatu yang lain lebih baik daripada sumpah itu, maka hendaklah dia melakukannya (melanggar sumpah) dan hendaklah membayar kaffarah sumpahnya.” (HR Muslim)
  8. Yakni jika kamu bersumpah untuk tidak berbuat kebaktian, tidak bertakwa dan tidak berlaku islah kepada orang ramai, maka kamu lebih baik tidak berpegang dengan sumpah itu, sebaliknya bayarlah kaffarah sumpah dan berbuatlah kebaikan.
  9. Di akhir ayat Allah menegaskan lagi bahawa {Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.} yakni Allah SWT mendengar segala percakapan kamu, segala sumpah kamu, apakah kamu benar-benar ikhlas bersumpah atau dengan niat menipu orang lain!
  10. Kata ulama’: Orang yang suka bersumpah ini ialah orang munafiq, kerana mereka tidak percaya kepada Allah SWT!
    Orang beriman tidak begitu kerana kita tahu Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita buat, maka kita tidak berani bermain-main dengannya!

AYAT 225- {ALLAH TIDAK MENGIRA KAMU BERSALAH TENTANG SUMPAH KAMU YANG TIDAK DIMAKSUDKAN (UNTUK BERSUMPAH), TETAPI IA MENGIRA KAMU BERSALAH (DAN AKAN MENGENAKAN HUKUMAN) DENGAN SEBAB SUMPAH YANG DIUSAHAKAN (DISENGAJAKAN) OLEH HATI KAMU (DENGAN NIAT BERSUMPAH). DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA PENYABAR.} (AL-BAQARAH 2:225)

  1. Allah SWT tidak akan ambil tindakan ke atas hamba-Nya, tak kena kaffarah atas dunia & tidak kena azab di Akhirat:
    i- Jika mereka hanya bersumpah dengan lidah dengan sebab kebiasaan & budaya; tetapi tidak berniat bersumpah menipu orang atau bertanggungjawab atasnya. Hanya kata selingan, bunga percakapan sahaja.
    La Wallah, Bala Wallah dan seumpamanya yang diucapkan oleh orang Arab.
    (Sumpah laghwu- يمين اللغو) Sebagaimana kebiasaan percakapan & budaya orang Arab.

    ii- Atau orang yang bersumpah sungguh kerana dia ingat betul sungguh apa yang dia sumpahkan itu.
    Selepas dia tahu perkara itu tidak benar dia pun tarik balik & bayar kaffarahnya!
  2. Tetapi Allah akan ambil tindakan & hukuman ke atas orang yang memang niat bersumpah palsu, untuk mengaburi mata atau menipu orang menggunakan nama Allah!
    Inilah (sumpah ghamus- اليمين الغموس iaitu sumpah palsu/bohong.) Ini akan menjerumuskannya ke dalam neraka.
  3. Di akhir ayat Allah menegaskan lagi bahawa {Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.} yakni Allah tidak akan ambil tindakan jika kamu tersalah tetapi istighfarlah memohon keampunan dari Allah SWT serta benar-benar menyesal akannya!
  4. Tetapi perbuatan sumpah-sumpah main-main itu juga tidak baik & jangan dijadikan kebiasaan.
    Kerana seseorang itu dikira telah bermain-main dan nama Allah tanpa keperluan.

Ayat 226- {Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Baqarah 2:226)

  1. Jika seseorang itu bersumpah tidak mahu menyentuh isterinya selama 4 bulan, maka dia diberi tempoh selama 4 bulan itu.
    Si isteri kena sabarlah, tanda bilangan hari baik-baik dan tunggu lihat apakah kesudahannya!
  2. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah SWT sebut tentang sumpah biasa & umum dalam ayat sebelumnya;

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT bawa pula hukum tentang sumpah khas (sumpah muqayyad- المقيد) yang terikat antara suami & isteri saja.
    Ia dinamakan sumpah al-Ila’ (ایلاء)- sumpah seorang suami untuk tidak mahu bersetubuh dengan isterinya selama-lamanya atau melebihi empat bulan.
  3. Apabila tiba penghujung tempoh sumpah ila’ itu, suami ada 2 pilihan:
    i- Dia mahu berbaik sebelum tamat tempohnya atau genap 4 bulan- kena buat keputusan baik-baik, mahu berbaik semula dengan isterinya maka kembali bersama, terbatallah sumpah itu.

    ii- Jika suami memang sudah tidak mahu kembali & berbaik dengan isterinya- qadhi boleh jatuhkan hukuman supaya mereka bercerai dengan baik.
  4. Inilah keadilan Islam. Seorang suami tidak boleh menggantung isterinyna lebih daripada 4 bulan.
    Tempoh maksima hanya 4 bulan, selepas itu isteri berhak mengadu kepada Qadhi.
    Si isteri kena tahu haknya dan ambillah tindakan; jangan diam & biarkan saja hak kamu terabai!
  5. Qadhi panggil suami minta keputusan, jika nak bercerai- jatuhkan talaq atau Qadhi putuskannya!
    Islam mengangkat darjat wanita & menjaga haknya!
  6. Setelah tamat tempoh 4 bulan timbul pula persolaan apakah talaq itu jatuh secara automatik atau kena jatuhkan talaq secara rasmi.
    Ulama’ kata tidak, suami kena lafazakan talaq secara rasmi.
  7. Untuk mendengar kuliah penuh tentang bab nikah & talaq ini dalam Kuliah Kitab Fiqh Manhaji: https://www.youtube.com/playlist…

AYAT 227- {DAN JIKA MEREKA BERAZAM HENDAK MENJATUHKAN TALAK (MENCERAIKAN ISTERI), MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:227)

  1. Munasabah ayat:
    i- Maka jika tidak mahu berbaik kembali { فَإِن فَآءُو} sebagaimana cadangan pertama yang juga di sukai Allah dalam ayat sebelumnya, maka:

    ii- Allah bawa ayat ini’ jika kamu sudah buat keputusan untuk menceraikan si isteri, tidak mahu kembali berbaik lagi maka ceraikanlah dengan cara yang baik!
  2. Yakni jika sudah tidak suka kepada si isteri, ceraikanlah dengan baik.
    Ada juga hikmah dalam penceraian ini mengikut Islam.
    Bila tanah tidak subur, letak air dan baja pun tidak jadi lagi, maka bolehlah cuba usaha yang lain pula semoga ada kebaikan & kebahagiaan dengan pasangan lain pula.
  3. Nasihat kepada para suami di luar sana yang ada kes di mahkamah, selesaikan segera.
    Janganlah kamu zalimi seorang perempuan yang lemah itu: Gantung isteri kamu tidak bertali, siksa mereka tanpa keputusan, tanpa nafkah.
  4. Ingatlah bagaimana kamu buat kepada orang; itulah yang akan kembali kepada kamu!
    Kamu siksa anak perempuan orang- kita tidak mahu ia berlaku juga kepada anak cucu perempuan kita nanti!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 224- {(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa,}-

    Allah larang dari menggunakan nama Allah untuk bersumpah yang tidak membawa kepada kebaikan. Apatah lagi sumpah palsu!
    Kita wajib membesarkan nama Allah (تعظيم الله) & jangan buat main-main dengan-Nya.
    Maka orang yang suka bersumpah guna nama Allah adalah orang yang tidak membesarkan Allah sebagaimana sepatutya!
    Sesumpah- iaitu orang yang suka bersumpah palsu tidak boleh dipercayai sehingga bila-bila kerana mereka menjual nama Allah untuk kepentingan tertentu dan diri sendiri!
    Kita juga jangan suka bersumpah kerana orang yang suka bersumpah ialah sifat orang munafiq!
  2. Ayat 225- {Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah),}-

    Allah tak ambil tindakan kepada kata-kata kita yang keluar dari mulut tetapi tanpa niat bersumpah, tidak berniat untuk menipu orang, menzalimi isteri atau sesiapa saja.
    Ini menunjukkan rahmat & kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya, apa yang kamu tidak sengaja & tanpa niat tidak diambil kira!
  3. Ayat 225- { tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah).}-

    Allah mengambil kira sesuatu perbuatan itu berdasarkan apa yang diniatkan dalam hati.
    Yang diambil-kira ialah apa yang kamu berazam & berniat dengannya!
    Yang tidak sengaja & tanpa niat ianya tidak di ambil kira.
    Maka kata ulama’ ini menunjukan bagi hati kamu juga ada tanggung-jawab berkaitan dosa-pahala sebagaimana juga tanggung-jawab annggota badan kita yang lain!
    Semuanya ada peranan & tanggungjawab.
    Kasbul qulub- amalan hati juga akan memberi pahala kepada kamu!
    Jika kamu sudah berniat untuk melakukan kebaikan; kemudian kalu menunaikannya- pastilah perbuatan itu akan memberi pahala.
    Bahkan jika kamu sudah berniat untuk berbuat baik tetapi terhalang daripada melakukannya kerana sebab yang memang tidak disengajakan & tidak dapat dielakkan; maka Allah akan beri juga pahala atas niat itu!
  4. Ayat 226- {Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}-

    Jika si suami mahu kembali rujuk berbaik dengan isterinya, maka itulah yang terbaik dan disukai.
    Yakni sesiapa yang telah berbuat dosa & maksiat, kemudian dia insaf, menyesal dengan bertaubat & kembali kepada Allah; menjadi sebab kepada keampunan yang akan diberi oleh Allah SWT!
    Ini kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!
  5. Ayat 227- {Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.}-

    Dan jika dia sudah tidak mahu berbaik kembali tetapi mahu menceraikan isterinya itu, maka ceraikanlah mereka dengan baik!
    Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui, maka hati-hatilah dengan kata-kata kita, jangan mudah bersumpah, kerana Allah SWT mendengar segala kata-kata & sumpah kita.
    Dan selepas bersumpah & berjanji jangan buat tak tahu pula, kena ambil tanggung-jawab
    Talaq bagi yang bersumpah Ila’ ini tidak akan jatuh secara automatik selepas tamat tempohnya.
    Tetapi dengan pilahan:
    i- Sama ada kamu ceraikan, lepaskan mereka dengan cara baik

    ii- Atau kembali bersama isteri, dengan cara baik juga!
    Islam tidak sekali-kali menyokong kezaliman dan penganiayaan ke atas sesama makhluk.
    Perbuatan menggantung isteri tidak bertali adalah satu sifat yang amat buruk & dikeji dalam Islam.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs