SURAH AL-QASAS : AYAT 43-46

\"\"

NABI MUSA MENERIMA TAURAT SELEPAS FIR\’AUN BINASA, BUKTI BENAR DAKWAH NABI S.A.W IALAH MAKLUMAT YANG DISAMPAIKAN & AL-QURAN SEMUA FAKTANYA JELAS.

Full video : https://youtu.be/rjeYDU36DM4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah kisah pengakhiran tentang episod Nabi Musa a.s dan Firaun yang telah berhujjah di dalam istananya. Episod ini fokus kepada perbahasan antara Musa a.s dan Harun a.s dengan Firaun dan para pembesarnya.
  2. Firaun telah angkuh sombong dan memandang hina kepada Musa a.s yang dianggap sebagai anak pungutnya, membawa ajaran baru seruan kepada Tuhan lain sedangkan selama ini Firaun mengaku tuhan kepada kaumnya di Mesir.
  3. Lalu Firaun menghina nabi Musa a.s di depan para pembesarnya. Menyuruh Haman, pembantunya untuk membina bangunan tinggi untuk dia naik melihat tuhan yang didakwa wujud oleh Musa .
  4. Inilah asam-garam perjuangan para nabi dan rasul, yang terpaksa berhadapan dengan penentangnya, amat berat lebih-lebih lagi jika menghadapi penguasa kuku besi atau jika keluarga sendiri yang menentang.
  5. Dalam siri ini bermula dari ayat 43-46 yang menggambarkan tentang penerimaan Kitab taurat, kitab hidayah dan bimbingan kepada nabi Musa a.s yang menerimanya setelah Firaun binasa tenggelam dalam Laut Qalzum.
  6. Kemudian Allah s.w.t nyatakan bukti fakta maklumat yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w itu sesuatu yang benar dan jelas, melalui wahyu dari Allah s.w.t, termaktub dalam mushaf, al-Quran yang mulia, yang boleh kita baca sehingga ke hari Kiamat.

AYAT 43- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI BERIKAN KEPADA NABI MUSA KITAB TAURAT SESUDAH KAMI BINASAKAN KAUM-KAUM YANG TELAH LALU, UNTUK MEMBUKA HATI DAN MENJADI HIDAYAH PETUNJUK SERTA MEMBAWA RAHMAT, SEMOGA MEREKA BERINGAT.} (AL-QASAS 28:43)

  1. Ayat ini menceritakan kepada kita penurunan kitab Taurat ke atas nabi Musa a.s.
  2. Dalam siri lepas Allah s.w.t telah ceritakan tentang Firaun yang telah binasa dengan tenggelam dalam Laut Qalzum kerana kezalimannya.
  3. Ada yang tertanya kenapa tidak disebut lagi tentang nabi Harun selepas ini? Kata ulama\’: Allah s.w.t sebut nama nabi Harun bersekali dengan Musa a.s, kitab yang diturunkan kepada Musa a.s iaitu Taurat juga diguna-pakai ke atas Harun sebagai seorang nabi dan rasul. Tetapi Taurat itu diturunkan kepada nabi Musa a.s yang berkata-kata dengan Allah s.w.t, Harun sebagai pambantunya. Begitulah darjat dan kedudukan yang berbeza antara seorang rasul itu dengan yang lain.
  4. Inilah yang maksudkan dengan firman Allah s.w.t: {Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan.} (Al-Baqarah 2:253)
  5. Gambaran besarnya begini:
    i- Peringkat pertama- bilangan Nabi yang terpilih adalah seramai 124 ribu orang.
    ii- Peringkat kedua- dari bilangan di atas, seramai 313 atau 315 orang dipilih dan dilantik sebagai rasul.
    iii- Peringkat ketiga- hanya 25 orang rasul disebut dalam Al-Quran, yang wajib kita ketahui dan beriman dengannya.
    iv- Peringkat keempat- 5 orang rasul yang istimewa iaitu rasul Ulul-Azmi.
    v- Peringkat kelima- yang terbaik antara yang terbaik iaitu Nabi Muhamad, Rasulullah s.a.w, nabi dan rasul yang terakhir, penutup kepada semuanya.
  6. Maka ada yang ceritanya panjang dan detail, ada yang disebut secara ringkas, ada yang disebut bersama, mengikut cerita rasul yang lain, seperti Harun a.s. Ulama\’ kata apa yang disebut dan diceritakan tentang nabi Musa a.s adalah sama dengan apa yang dialami dan dilalui oleh nabi Harun a.s, dia juga seorang nabi dan rasul yang terpilih. Cuma dia tiada mukijizat khas seperti nabi Musa a.s.
  7. Allah s.w.t juga sebutkan kisah kaum terdahulu yang telah binasa kerana mendustakan rasul mereka. Begitu juga yang terjadi kepada Firaun.
  8. Selepas mereka selamat menyeberangi Laut Qalzum, nabi Musa a.s dipanggil oleh Allah s.w.t untuk menerima Kitab Taurat.
  9. Kitab Taurat itu menjadi panduan hidup manusia, juga sebagai hidayah petunjuk dan membawa rahmat untuk orang yang beriman dan membenarkannya. Itulah objektif bagi semua kitab-kitab yang diturunkan Allah s.w.t.
  10. Semoga kamu mengambil iktibar atas peristiwa yang berlaku, bukan hanya lihat dan tengok sahaja.
  11. Tamatlah episod turunnya Taurat. Bagaimana cara nabi Musa a.s menerimanya, kisah nabi Harun dan kaumnya semasa peninggalan nabi Musa a.s itu, sudah diceritakan dalam siri-siri yang lepas. Boleh didapati dalam rakaman dan youtube.
    Halaqah Abu Anas Madani:
    https://www.youtube.com/channel/UCGT4PFIcawWxaBcjH8JY4Vw

AYAT 44- {DAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) TIDAK ADA DI SEBELAH BARAT (TEMPAT NABI MUSA MENERIMA WAHYU) KETIKA KAMI SEMPURNAKAN PENYERAHAN KITAB TAURAT KEPADANYA, DAN ENGKAU JUGA TIDAK TERMASUK DALAM GOLONGAN YANG MENYAKSIKAN PERISTIWA ITU.} (AL-QASAS 28:44)

  1. Ayat ini menunjukkan mukjizat yang menunjukkan benarnya maklumat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. tentang kisah nabi dan kaum-kaum terdahulu.
  2. Ini kerana hakikatnya Baginda tiada dan tidak hadir di sebelah barat (Tursina) tempat nabi Musa a.s menerima wahyu, menerima Taurat. Baginda juga tidak menyaksikan peristiwa itu!
  3. Jarak antara Rasulullah s.a.w dan Musa a.s ialah ribuan tahun, Rasulullah s.a.w pula bukan seorang yang membaca atau mengembara ke luar ke tanah asing, atau berkawan dengan para rahib atau pendeta yahudi atau Nasrani, para ahli kitab.
  4. Dalam ayat ini dan ayat-ayat berikutnya Allah s.w.t menerangkan bahawa Baginda s.a.w dengan nikmat Allah s.w.t dapat menceritakan peristiwa nabi Musa a.s itu dengan tepat dan jelas sekali. Satu mukjizat yang amat besar, kerana wahyu dari Allah s.w.t.
  5. Setakat ini tidak ada ahli sejarah atau pakar apa dari agama mana sekali pun yang berani dan dapat mendakwa fakta dan maklumat yang ada dalam al-Quran adalah palsu dan tidak benar! Apa yang mereka mampu hanya menjauhkan kita dari al-Quran!!

AYAT 45- {AKAN TETAPI (ENGKAU HANYA MENGETAHUI KISAH ITU DENGAN JALAN KAMI MEMBERI WAHYU KENABIAN KEPADAMU DISEBABKAN) KAMI TELAH MENGADAKAN BEBERAPA UMAT (DARI ZAMAN NABI MUSA HINGGA KE ZAMANMU) SAMPAI BERLANJUTANLAH MASA YANG MEREKA LALUI (SERTA KUCAR-KACIRLAH AGAMA YANG MEREKA ANUTI). DAN ENGKAU PULA TIDAK PERNAH TINGGAL BERSAMA-SAMA PENDUDUK NEGERI MADYAN MEMBACA DAN MEMPELAJARI DARI MEREKA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI (TENTANG HAL NABI MUSA DI SANA), TETAPI KAMILAH YANG MENGUTUSMU (MENJADI RASUL DAN MEMBERI WAHYU KEPADAMU MENGENAI HAL ITU).} (AL-QASAS 28:45)

  1. Maklumat dan fakta ini semuanya Rasulullah s.a.w mendapatnya hanya dengan sebab Allah s.w.t memberi wahyu kenabian kepadanya.
  2. Selepas nabi Musa a.s itu pula banyak lagi umat-umat lain yang panjang tempohnya, maka mulalah mereka meninggalkan ajaran nabi Musa a.s, kitab Taurat diubah atau diputar-belit, lalu manusia hilang ilmu agamanya dan telah lupa kepada Allah s.w.t.
  3. Lalu Allah s.w.t menghantar para rasul pula untuk memperbaharui ajaran dan agama ini. Mereka lalu menolaknya, mengatakan tidak pernah mendengarnya, kerana terlalu lama jaraknya, juga kerana angkara syaitan yang sentiasa menyesatkan ajarannnya.
  4. Allah s.w.t juga menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah tinggal di Madyan bersama penduduknya untuk mendengar atau mendapat cerita dari mereka tentang kisah Musa a.s di Madyan yang menarik dan pelik itu.
  5. Al-Quran ini adalah satu fakta dan wahyu kerana itulah Allah s.w.t mengungkit dengan berkata: {Tidaklah engkau ada wahai Muhammad…}

AYAT 46- {DAN ENGKAU JUGA TIDAK BERADA DEKAT GUNUNG TURSINA KETIKA KAMI MENYERU (NABI MUSA DAN MEMBERI WAHYU KEPADANYA DAHULU), TETAPI (DITURUNKAN) RAHMAT (AL-QURAN) DARI TUHANMU (MENERANGKAN KISAH ITU) SUPAYA ENGKAU MEMBERI AMARAN KEPADA KAUM (MU) YANG TELAH LAMA TIDAK DIDATANGI SEBARANG RASUL PEMBERI AMARAN SEBELUMMU, SEMOGA MEREKA BEROLEH PENGAJARAN (SERTA INSAF MEMATUHINYA).} (AL-QASAS 28:46)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w juga tidak berada di gunung Tursina ketika Allah s.w.t memanggil nabi Musa a.s untuk pergi bermunajat kepada-Nya selama 40 hari, untuk menerima kitab Taurat.
  2. Ayat 46 ini adalah untuk panggilan yang kedua. Panggilan pertama adalah ketika dia keluar dari Madyan untuk kembali ke Mesir (ayat 44 tadi).
  3. Tetapi diturunkan wahyu al-Quran sebagai rahmat dari Tuhan supaya Rasulullah s.a.w dapat memberi peringatan amaran kepada kaumnya yang telah lama tidak dihantarkan seorang rasul, terputus maklumat dan wahyu itu.
  4. Yang ada hanyalah beberapa kerat ahli fitrah, yang berpegang dengan kitab dulu, tidak ramai, antara mereka yang disebut namanya adalah Waraqah bin Naufal, sepupu UM Khadijah r.anha, yang telah membenarkan wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah s.a.w.
  5. Di Madinah pula adalah pendeta Yahudi yang ikhlas seperti Abdullah bin Salam r.a dan Salman al-Farisi dari Persia, yang mendalami agama Nasrani, lalu melalui pengembaraan mencari agama yang panjang, sehingga tiba di Madinah dan menemui kebenaran yang dicari selama ini.
  6. Peringatan ini adalah agar mereka beroleh pengajaran serta insaf mematuhi ajaran Rasulullah s.a.w.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 43- {Dan demi sesungguhnya, Kami berikan kepada Nabi Musa Kitab} – ayat ini menjadi dalil sebelum itu nabi Musa a.s tidak ada lagi Kitab. Hanya selepas Firaun tenggelam binasa barulah Musa a.s dipanggil untuk menerima Kitab Taurat.
  2. Ayat 43- {Kami berikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat sesudah Kami binasakan kaum-kaum yang telah lalu..} ini pula menjadi dalil bahawa selepas turunnya Taurat tiada lagi kebinasaan umat nabi Musa a.s secara besar-besaran. Yang ada hanyalah dakwahnya serta menghadapi kerenah bani Israel.
  3. Ayat 43- { untuk membuka hati dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat} – al-Quran ini adalah menjadi cahaya petunjuk, pemandu manusia kepada jalan yang diredhai Allah s.w.t. jangan lagi cari kitab-kitab yang lain seperti Taurat atau Injil, ini kerana semuanya telah terbatal dengan turunnya al-Quran.
  4. Ayat 46- {semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya)} – mudah-mudahan mereka insaf dan beroleh pengajaran. Kata ulama\’: ayat ini mensabitkan hikmah dalam semua yang diturunkan oleh Allah s.w.t., ada yang kita faham ada yang kita tidak faham, tetapi para ulama\’ memahaminya. Semua kejadian ini ada faedah dan asbabnya.
  5. Ayat 46- {Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika..} – ayat ini mengajar kepada kita, bahawa cerita/maklumat yang kita terima daripada orang kena ada dua sebab untuk menjadi berita yang benar (Thiqah):
    i- dia sendiri hadir atau menyaksikannya maka itu thiqah.
    ii- dia terima dari orang yang menyaksikannya, yang boleh dipercayai sumber beritanya.
  6. Apabila Allah s.w.t nafikan dalam ayat 44 & 46 ini bahawa Rasulullah s.a.w tiada dan tidak hadir di situ, tetapi ceritanya bertepatan dengan fakta, maka ia menunjukkan risalah Rasulullah s.a.w itu adalah wahyu daripada Allah s.w.t. Sehingga ke hari ini kita lihat, tidak pernah ada sesiapa yang mencabar dan menafikan segala maklumat dan cerita yang dibawa dalam al-Quran.
    Contoh seorang pakar agama barat Dr Garry Miller yang diberi mandat untuk mengkaji al-Quran untuk mencari kepincangannya, akhirnya mendapat hidayah dan memeluk Islam. Garry Miller bertukar menjadi Abdul-Ahad, alhamdulillah.
    Kerana itulah pentingnya ilmu tadabbur al-Quran dengan guru yang muktabar.
  7. Ayat 43- { untuk membuka hati dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat} – dalam ayat ini Allah s.w.t sebut sifat kitab ini, hidayah, petunjuk dan rahmat – ulama\’ kata semua ini menunjukkan semua cerita itu mengandungi peringatan yang besar kepada manusia, bukan hanya sekadar cerita untuk didengar, tidak menghayati apa yang mahu disampaikan oleh Allah s.w.t.
  8. Allah s.w.t menyebut bahawa risalah para Nabi itu diperkukuhkan dengan hujah dan dalil yang mantap. Kita yang mahu menyambung risalah ini mesti bersifat intelek dan mempunyai hujah dan dalil yang kukuh juga, barulah kita boleh menyampaikan ilmu dan maklumat yang tepat kepada masyarakat. Jangan pula menjadi \”incelik\” apabila diminta hujah dan dalil.
  9. Ayat 46- { kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu} – lamanya masa sehingga menyebabkan orang lupa akan ajaran lalu Allah s.w.t hantar setiapa tempoh seorang nabi untuk mengingatkan umat manusia. Selepas ketiadaan Rasulullah s.a.w sebagai rasul dan nabi terakhir, Allah s.w.t akan hantar pula seorang pentajdid (reformasi agama) untuk memperbaharui mengingatkan manusia akan ajaran agama Islam ini. Bukan buat ajaran agama baru, tetapi memperbaharui ingatan supaya kembali ke landasan agama yang sebenar.
    Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya Allah akan mengutus untuk umat ini, pada setiap akhir seratus tahun seorang mujaddid yang akan memperbaharui urusan agama mereka.\” [HR Abu Daud].
    Contoh: Bila ada kematian, sepatutnya jiran-jiran yang menghantar makanan untuk keluarga yang ditinggalkan bukan sebaliknya. Tetapi bila ada ustaz yang menegur perkara ini, maka dia pula akan dianggap sebagai pelik dan lari dari ajaran amalan yang telah sebati dalam masyarakat. Kerana itu perlu ada semakan balik untuk membetulkan apa yang telah tersasar dan lari dari ajaran agama yang sahih.
  10. Tentang persoalan kenapa Allah s.w.t banyak menyebut nabi Musa a.s sahaja berbanding dengan nabi Harun a.s, kita bolehlah kembali rujuk kepada ayat 253, surah al-Baqarah di atas tadi, juga:
    Firman Allah: {Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).} (An-Nisaa\’ 4:164)
    Tidak perlu kita pertikai dan membuat persoalan lagi.
  • Dengan tadabbur ini, semoga Allah s.w.t cerahkan hati dan dada kita untuk menjadi pencinta al-Quran yang akan memandu kita sehingga ke syurga nanti insya Allah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs