SURAH AR-RUUM : AYAT 28-29

\"\"

BANDINGAN BATILNYA SYIRIK DENGAN SEBUAH SYARIKAT, MENGIKUT HAWA NAFSU SUATU KEZALIMAN & ALLAH S.W.T BERKUASA MEMBERI HIDAYAH ATAU SEBALIKNYA.

Full video : https://youtu.be/sKRjWyj-z7w

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t buat perbandingan tentang syirik sebagaimana keadaan sebuah syarikat yang besar supaya manusia mudah memahaminya.
    Sebagaimana kamu tidak suka orang lain, pekerja atau hamba kamu; untuk menjadi sekutu dalam syarikat kamu, begitulah perbuatan syirik kamu terhadap Allah s.w.t!
  2. Allah s.w.t bawa perbandingan ini untuk menyatakan bahawa Allah s.w.t Maha Berkuasa untuk menghidupkan balik manusia selepas mereka mati nanti.
  3. Kemudian dibawa dali-dalil dalam beberapa ayat yang lepas, Allah s.w.t mengadakan yang tiada kepada ada dan menghidupkan semula bumi yang mati, dalil-dalil melalui kejadian langit dan bumi, hujan dan kilat.
  4. Maka kali ini Allah s.w.t bawa dalil perbandingan dari keadaan diri manusia itu sendiri.
  5. Semua contoh kebinasaan umat dahulu, dalil-dalil keterangan sudah dibawa, jika kamu masih tidak mahu terima juga, maka Allah s.w.t nyatakan punca dan sebab manusia itu menolak kebenaran dan agama Islam.
  6. Allah s.w.t juga menyatakan sekali lagi bahawa hanya Allah S.W.T yang Berkuasa Memberi Hidayah Atau Sebaliknya Menyesatkan.

AYAT 28- {IA MENGEMUKAKAN KEPADA KAMU SATU MISAL PERBANDINGAN DARI KEADAAN DIRI KAMU SENDIRI, IAITU: RELAKAH KAMU MENERIMA SEBAHAGIAN DARI HAMBA-HAMBA ABDI YANG KAMU MILIKI ITU MENJADI RAKAN KONGSI KAMU PADA HARTA BENDA YANG KAMI TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU, SUPAYA DENGAN PENERIMAAN KAMU ITU, MEREKA DENGAN KAMU MENJADI SAMA-SAMA BERHAK PADANYA, SEHINGGA KAMU PUN TIDAK BERANI (MENGURUSKAN HARTA BENDA ITU DENGAN TIADA PERSETUJUAN) MEREKA, SEBAGAIMANA KAMU TIDAK BERANI (BERBUAT DEMIKIAN DENGAN ORANG-ORANG YANG BERKONGSI DENGAN KAMU – YANG SETARAF DENGAN) DIRI KAMU? DEMIKIANLAH KAMI MENJELASKAN KETERANGAN-KETERANGAN SATU PERSATU BAGI ORANG-ORANG YANG MENGGUNAKAN AKAL UNTUK MEMAHAMINYA.} (AR-RUUM 30:28)

  1. Kali ini Allah s.w.t membuat satu misal, perbandingan dari keadaan diri manusia sendiri agar kamu mudah memahaminya. Analogi yang cukup mudah dan simple.
  2. Sukakah kamu jika kamu adalah tuan kepada satu harta atau syarikat yang besar, kemudian pekerja bawahan mengaku mereka adalah sekutu atau partner kepada kamu dalam syarikat tersebut?
  3. Wahai kaum Quraisy, sukakah kamu jika hamba abdi yang kamu milik mengaku mereka adalah tuan kepada kamu dan pemilik harta-harta kamu?
    Maka bagaimana mungkin kamu menjadikan sekutu bagi Allah s.w.t?
  4. Begitulah kaum musyrik menyembah selain Allah s.w.t bersama-Nya dan menjadikan sekutu-sekutu bagi-Nya, padahal semua sekutu-sekutu itu adalah hamba-hamba Allah dan milik-Nya. Ia adalah sesuatu yang tidak patut sama-sekali!
  5. Maka dengan perbandingan ini Allah s.w.t. menerangkan betapa buruknya perbuatan syirik itu. Allah bawa keterangan satu persatu, akan dapat memahaminya orang yang menggunakan akal!

AYAT 29- {ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU (TIDAK BERFIKIR), BAHKAN MENURUT HAWA NAFSU MEREKA (MELAKUKAN SYIRIK) DENGAN TIDAK BERDASARKAN PENGETAHUAN. MAKA TIADA SESIAPA YANG DAPAT MEMBERI PETUNJUK KEPADA ORANG YANG TELAH DISESATKAN OLEH ALLAH (DISEBABKAN BAWAANNYA SENDIRI), DAN TIADA PULA BAGI MEREKA SESIAPA YANG DAPAT MENOLONG MELEPASKAN MEREKA DARI AZAB.} (AR-RUUM 30:29)

  1. Tetapi malangnya orang-orang yang zalim tetap tidak mahu berfikir mengambil iktibar dan pengajaran dari segala ayat-ayat keterangan yang diberikan.
    Zalim kepada diri mereka itu sendiri dengan syirik kepada Allah s.w.t.
  2. Ayat keterangan dalil-dalil yang Allah s.w.t bawa untuk manusia samada 2 jenis:
    i- maqru\’ah – dalil yang dibaca seperti ayat al-Quran. مقروءة
    ii- musyahadah- dalil yang dapat disaksikan, dilihat. مشاهدة
  3. Mereka menolak semua itu kerana mengikut hawa nafsu dan jahil tentang hakikat sebenar dunia sebagai jambatan untuk ke akhirat.
  4. Firman Allah s.w.t: {(Wahai Muhammad), Maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka;}
    [Al-Qasas: 50].
  5. Maka jelaslah ini penyakitnya ialah penyakit mengikut hawa nafsu! Ia samada:
    i- mengikut syahwat – terpakai kepada kedua-dua kafir atau muslim.
    ii- atau penyakit syubhat keraguan – ini biasanya penyakit kaum munafiq.
  6. Maka sesatlah kamu akibat pilihan kamu sendiri!
  7. Kerja para rasul dan pendakwah hanyalah menyampaikan dakwah dan memberi bimbingan – hidayah Irsyad. هداية الإرشاد
  8. Tetapi hidayah Taufiq untuk menerimanya hanyalah milik Allah s.w.t, tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah akibat perbuatan zalim mereka sendiri. هداية التوفيق
  9. Lalu di akhirat kelak mereka akan diazab berpanjangan dan tiada sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab itu.
  10. Antara nikmat yang besar bagi orang mukmin di akhirat kelak ialah nikmat berkumpul dengan semua kaum keluarga yang sama-sama beriman! Insya\’ Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 29- {Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan.}- ayat ini menggalakkan kita untuk menuntut ilmu Syar\’i yang benar dari Allah dan rasul-Nya.
    Orang yang jahil akan terus berada dalam kesesatan dan kejahilannya. Orang yang berilmu jika dia tersasar jika diingatkan, insya\’ Allah dia akan mudah sedar dan insaf.
  2. Ayat 29- { Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah} – tanggung-jawab kita untuk meminta hidayah daripada Allah s.w.t setiap masa. Alhamdulillah setiap kali solat atau membaca al-Fatihah kita telah memohonnya setiap hari. Tetapi rugilah jika kita tidak memahami dan menghayati bacaan ini, apatah lagi tidak menyedari atau merasai apa-apa!
    Satu doa yang tidak pernah ditingalkan oleh Rasulullah s.a.w pada akhir solatnya:
    يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
    Maksud: \”Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu.\” [HR at-Tirmizi].
  3. Ayat 28- {Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri,} – Allah buat bandingan perumpamaan itu yang ada dalam diri kamu sendiri, yang kamu menyaksikan dan memahaminya sendiri.
  4. Ayat 28 juga – Allah buat bandingan supaya kamu nampak dalam kepala, tidak mungkin kamu dapat menerima, pasti tidak suka dan tidak rela jika ada hamba abdi (atau pekerja bawahan) yang kamu miliki itu menjadi sekutu atau berkongsi harta benda atau apa saja yang kuasa, sehingga mereka menjadi setaraf dan sama-sama berhak, seakan-akan hamba atau pekerja itu menjadi sekutu atau rakan kongsimu.
  5. Ayat 28- { Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.}- isyarat kepada sesiapa yang tidak menggunakan akalnya untuk berfikir akan kekuasaan Allah s.w.t, maka dia telah termasuk dalam pemikiran yang salah dan orang yang sesat.
  6. Ayat 29- ayat ini menjadi dalil bahawa orang yang mengikut hawa nafsu dan zalim tidak layak untuk menjadi pemimpin sama sekali!
    Firman Allah s.w.t: {Allah berfirman: \”Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia\”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: \”(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)\”. Allah berfirman: \”(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.\”} (Al-Baqarah 2:124)
  7. Ayat 28- {Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri,} – Tujuan Allah s.w.t membuat bandingan ini untuk menunjukkan betapa buruk dan kejinya perbuatan syirik kepada Allah s.w.t itu!
  8. Ayat 28- {Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.}- Allah s.w.t sebut khas golongan yang berakal kerana hanya yang berakal dan menggunakan akalnya akan mendapat manfaat daripada ayat ini, jika tidak, sebaliknya.
  9. Ayat 29- {Bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan.}- perbuatan mengikut hawa nafsu tanpa ilmu, ayat ini satu celaan kepada orang yang ikut nafsu dan jahil dengan maklumat, maka rendahlah darjatnya. Kita pun jangan ikut hawa nafsu, tetapi ikutlah dalil yang dibawa oleh Allah s.w.t. Terutamanya dalam ibadat, wajib ada dalil dari Allah s.w.t atau Rasulullah s.a.w.
  10. Ayat 29- { Dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.} – ayat ini pelengkap kepada bahawa hidayah itu milik Allah s.w.t dan sesiapa yang tidak mendapatnya tidak akan mendapat pertolongan lagi!

SEMOGA KITA SEMUA MENDAPAT HIDAYAH DAN BIMBINGAN ALLAH S.W.T SELALU.

Powered by BetterDocs