SURAH MARYAM : AYAT 37-40

\"\"

GOLONGAN AHLI KITAB BERBEZA PANDANGAN TENTANG NABI ISA, NABI SAW BERI AMARAN KEPADA KAUM MUSYRIKIN TENTANG HURUHARA KIAMAT & KEMENANGAN BAGI UMAT ISLAM.


Full video: https://youtu.be/EGapCWp05jY

MUQADDIMAH :
1. Kita telah melalui perbincangan yang lengkap tentang kisah Nabi Isa a.s, keluarga Aal-Imran, tentang karamah Sayyidah Maryam ibu Isa a.s dan bagaimana malaikat datang membawa khabar dan perintah Allah s.w.t kepadanya.
2. Maryam hamil lalu membawa diri, bersalin, terjadi beberapa karamah ke atasnya dan mukjizat Nabi Isa yang memberinya kekuatan untuk kembali kepada kaumnya.
3. Menghadapi kecaman kaumnya dengan hujjah dan penjelasan oleh anaknya Isa yang masih bayi tetapi boleh bercakap. Isa juga memberitahu kaumnya tentang 9 sifatnya.
4. Kemudian Isa a.s diberi wahyu dan dilantik menjadi rasul, berdakwah dan menyeru kaumnya untuk beriman kepada Allah s.w.t yang Maha Berkuasa.
5. Selepas itu al-Quran senyap dan tidak menyebut klgi tentang kehiduapan Maryam dan Isa yang biasa. Di mana wafatnya Maryam dan lain-lain. Maka tidak perlu untuk kita mencari dan mengoreknya.
6. Apa yang menjadi perbincangan ialah perjuangan Nabi Isa dan bagaimana dia akan menjadi mercu tanda hari Kiamat. Agenda utamanya ialah menghapuskan salib-salib dan membunuh babi.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Demi Dia yang menggenggam diriku, sesungguhnya bahawa putera Maryam (Isa a.s) akan turun di antara kalian (orang-orang Muslim). Ia akan menjadi hakim yang adil bagi manusia dengan berdasarkan AL-Quran dan akan mematahkan salib serta membunuh babi; ia akan menghapuskan juzyah (pajak yang diambil dari non-Muslim yang berada di dalam perlindungan pemerintahan Muslim) akan mendatangkan kemakmuran sedemikian rupa sehingga tidak akan ada orang yang mahu menerima sedekah.” [HR Imam Bukhari].
7. Fatwa Imam Sayuti r.h.m: Maka sambutan tahun baru masih dikira menghidupkan malam yang menjadi amalan nasara dan Kristian, apatah lagi hari Krismas yang menjadi iktikad mereka tentang hari lahir Isa yang dianggap tuhan atau anak tuhan. Nabi Isa a.s lahir di bawah pokok tamar, bukan di bawah pokok krismas yang menjadi simbol perayaan mereka.
8. Nabi Isa a.s telah menjelaskan tauhid dirinya, tetapi puak ini masih tidak mahu mengakui kesilapan mereka dan terus dengan kesesatan iktikad mereka.
Firman Allah s.w.t dalam surah az-Zukhruf:
{Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: \”Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (ajaran Tuhan), dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara agama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
{\”Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus\”.}
{Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu, dari (paluan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.} (Az-Zukhruf: 63-65)

AYAT 37- {KEMUDIAN, GOLONGAN-GOLONGAN (DARI KAUMNYA) ITU BERSELISIHAN SESAMA SENDIRI. MAKA KECELAKAANLAH BAGI ORANG-ORANG KAFIR (YANG BERSELISIHAN) ITU, DARI APA YANG DISAKSIKAN PADA HARI YANG BESAR HURU-HARANYA.} (MARYAM 19:37)
1. Meskipun telah dijelaskan siapa sebenarnya Isa a.s, dan dia sendiri telah mengiklankan tentang kedudukan dirinya sebagai seorang hamba Allah dan seorang Rasul yang diutuskan, golongan yahudi dan Nasrani masih berselisih dan bertelingkah sesama mereka tentang identity Isa a.as
2. Kaum yahudi tetap enggan beriman dan menerimanya, menuduh bahawa Isa anak zina. Kumpulan yang jahat dan sesat sekali.
3. Manakala kaum Nasrani pula berpecah kepada beberapa golongan yang menjadi pengikutnya dan beriman kepadanya secara sesat:
i- menganggap dia Tuhan atau ii- anak tuhan atau iii- salah satu daripada 3 tuhan.
4. Terdapat juga golongan yang berimana secara benar iaitu golongan Islam yang menerima hakikat bahawa Isa a.s adalah seorang manusia biasa, hamba Allah yang dilantik menjadi nabi dan rasul.
5. Kerana itu kita hendaklah memohon untuk menjadi golongan yang pandangan dan pegangannya benar. {Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka.} [Al-Fatihah: 6-7].
6 Bukan daripada golongan ini: {…bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.} [Al-Faatihah: 7]. Iaitu kaum yahudi dan Nasrani tadi.
7. Allah s.w.t sebut: {Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.} Yakni celaka dan nerakalah bagi puak kafir yang beriktikad tentang Nabi Isa dengan kepercayaan yang batil dan salah itu pada hari Kiamat nanti.

AYAT 38- {SUNGGUH JELAS PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN MEREKA YANG KAFIR ITU SEMASA MEREKA DATANG MENGADAP KAMI PADA HARI AKHIRAT. TETAPI ORANG-ORANG YANG ZALIM (DENGAN PERBUATAN KUFUR DAN MAKSIAT) PADA MASA DI DUNIA INI, BERADA DALAM KESESATAN YANG NYATA}. (MARYAM 19:38)
1. Maka apabila tiba hari Kiamat, baru mereka sedar dan jelaslah kepada mereka bahawa apa yang mereka percaya selama ini adalah salah dan sesat.
2. Tetapi apa guna lagi, sedangkan mereka semasa dunia berada dalam kesesatan yang nyata, bersikap pekak dan tuli tidak mahu melihat tanda kekuasaan Allah s.w.t. Mereka adalah orang yang zalim dari segi akidah maka terimalah akibatnya pada hari Akhirat.

AYAT 39- {DAN BERILAH AMARAN (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA UMAT MANUSIA SELURUHNYA TENTANG HARI PENYESALAN IAITU HARI DISELESAIKAN PERBICARAAN PERKARA MASING-MASING PADA MASA MEREKA (YANG INGKAR) DI DUNIA INI BERADA DALAM KELALAIAN SERTA MEREKA PULA TIDAK MAHU BERIMAN.} (MARYAM 19:39)
1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk memberi amaran dan peringatan kepada manusia di dunia ini sebelum mereka pergi ke akhirat, sebelum tiba hari yang tiada guna lagi penyesalan.
2. Sekarang inilah jika kamu mahu menyesal, bertaubat, u-turn kembali, jangan tunggu pada hari yang akan dibicarakan segalanya.
3. Hadis apabila maut dimatikan:
Daripada Abu Sa\’id al-Khudri r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
يُؤْتَى بِالْمَوْتِ كَهَيْئَةِ كَبْشٍ أَمْلَحَ
Kematian akan dibawa dalam bentuk seekor kibas berwarna hitam bercampur putih.
فَيُنَادِي مُنَادٍ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ
Lalu seorang penyeru akan menyeru: Wahai penghuni syurga. Lalu penghuni syurga akan mendongak dan melihat.
فَيَقُولُ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ، وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ،
Lalu penyeru tadi berkata: Adakah kalian kenal siapakah ini? Lalu mereka menjawab: Ya. Ini adalah kematian. Kesemua mereka telah melihatnya.
ثُمَّ يُنَادِي يَا أَهْلَ النَّارِ، فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ،
Kemudian diseru: Wahai penghuni neraka. Lalu penghuni neraka mendongak dan melihat.
فَيَقُولُ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ، وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ،
Lalu penyeru tadi berkata: Adakah kalian kenal siapakah ini? Lalu mereka menjawab: Ya. Ini adalah kematian. Kesemua mereka telah melihatnya.
فَيُذْبَحُ ثُمَّ يَقُولُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، خُلُودٌ فَلاَ مَوْتَ، وَيَا أَهْلَ النَّارِ، خُلُودٌ فَلاَ مَوْتَ
Lalu kibas tadi disembelih. Kemudian penyeru itu berkata: Wahai penghuni syurga, kekallah kalian dan tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, kekallah kalian dan tiada lagi kematian.
ثُمَّ قَرَأَ {وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ} وَهَؤُلاَءِ فِي غَفْلَةٍ أَهْلُ الدُّنْيَا {وَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ}\”
Kemudian baginda membaca: ((Berilah peringatan kepada mereka tentang hari Penyesalan; tatkala keputusan telah diberikan sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan tidak beriman (Maryam: 39))).
Mereka yang dalam keadaan lalai itu ialah penduduk dunia. [Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, hadis no: 4730]
4. Jangan kita pelik dengan kisah maut dalam hadis ini, perkara-perkara yang berlaku pada Hari Kiamat kita kena terima dan beriman dengan apa Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t itu Maha Berkuasa dan Mampu untuk melakukan apa sahaja yang dikehendakinya.

AYAT 40- SESUNGGUHNYA KAMILAH YANG MEWARISI BUMI DAN SEGALA MAKHLUK YANG ADA DI ATASNYA; DAN KEPADA KAMILAH MEREKA AKAN DIKEMBALIKAN. (MARYAM 19:40).
1. Sebagai penutup kepada bab ini Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w agar jangan berasa dukacita dengan karenah golongan kafir yang ingkar, kerana Allahlah yang menjadikan bumi ini dan segala makhluk di atasnya. Semuanya adalah milik-Nya lalu akan dikosongkan.
2. Yakni dikosongkan sebagai persediaan hari Kiamat atau kosong daripada puak kafir, iaitu dikalahkan dan diambil daripada orang kafir kemudian diberi kepada orang Islam. Kemudian bumi ini akan dikosongkan semuanya pada hari Kiamat kemudian dijadikan padang Mahsyar sebagai tempat perhimpunan manusia.
3. Kemudian seluruh manusia akan dikembalikan kepada Allah s.w.t untuk dibangkit, dihisab dan diberi balasannya. Jika kita ingat akan balasannya ini maka ingatlah untuk membaca doa ini setiap kali kita bangun dari tidur setiap pagi:

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر
Maksudnya: Segala puji bagi Allah, yang menghidupkan kami (dengan bangun tidur) setelah mematikan kami (dengan tidur), dan hanya kepada-Nyalah kami akan dibangkitkan. [HR al-Bukhari].
4. Jika kita sentiasa ingat bahawa semua kita akan kembali kepada Allah s.w.t dan akan dihisab, maka kita tidak akan berani untuk buat maksiat kepada-Nya, insya\’ Allah.

BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Setelah selesai kisah Nabi Isa a.s Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk memberi peringatan ada benda yang menakutkan akan kita hadapi di masa depan, kita akan dibangkitakn bertemu Allah s.w.t dan akad berdepan dengan hari perhitungan, dihisab dan diberi balasan,
2. Apabila berselisih pandangan puak ahzab (tentang Nabi Isa a.s tadi) maka Allah s.w.t kata: {Celakalah bagi orang yang kafir}, bukan bagi semua mereka yang berselisih pendapat, kerana ada satu golongan yang benar akidah kepercayaan mereka, mak Allah tidak masukkan mereka dalam celaan ini. Menunjukkan betapa tingginya dan halusnya seni bahasa al-Quran ini adalah I’jaz-nya, iaitu melemahkan orang lain daripada meniru dan menyelewengnya.
3. Amaran dan ancaman untuk orang yang kafir yang cukup dahsyat bagi mereka yang berdusta kepada Allah dengan mendakwa pelbagai keburukan ke atas Allah s.w.t, ada anak,-isteri, tuhan 3 dan lain-lain. Tetapi mereka diberi tempoh sehingga kematian mereka atau hari Kiamat.
4. Allah beri tempoh kepada orang jahat untuk mereka berubah dan bertaubat, dan tempoh kepada orang baik untuk menambah amalan kebaikan, alhamdulillah jika berada dalam golongan yang baik ini. Tetapi jika Allah s.w.t nak bagi pembalasan tidak akan ada yang akan terlepas darinya.
5. Sabda Rasulullah s.a.w: \”Tidak ada siapa pun yang lebih bersabar mendengar apa yang menyakitinya lebihi daripada Allah Ta\’ala, mereka membuat bandingan untuknya dan mendakwa-Nya mempunyai anak, salah satu daripada tiga Tuhan, namun demikian DIA tetap memberi keselamatan dan memberi rezeki kepada mereka.\” [Hr Muslim].
Lagi kufur lagi besar pangkat, lagi kaya. Begitu juga orang Islam lagi banyak nikmat diberi, walaupun dia buat maksiat dan ingkar itu menunjukan istidraj, yakni sebagai ujian dan supaya makin lagha dan hanyut, sehinggalah sampai waktu, akan mati dalam su’ul Khatimah, والعياذ بالله
6. Tamatlah sudah bab kisah nabi-nabi dalam surah ini, bermula dari Nabi Zakaria, Yahya dan Isa a.s, serta ibunya Maryam yang mulia. Semoga kita mendapat banyak faedah dan pengajaran darinya.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs